http://img10.imageshack.us/img10/7733/contactm.png

Saturday, June 5, 2021

Doa-doa yang dimakbulkan

 (Tulisan bulan puasa tahun tahun lepas yang tak berjaya disiapkan. Saja nak simpan sini 🤪)


di bulan ini, setiap lintasan hati akan menjadi kenyataan dalam sekelip mata. Katanya inilah bulan setiap permintaan yang baik mahupun yang buruk mungkin dimakbulkan.


buktinya, hari tu aku menempelak dalam hati apabila melihat seorang lelaki membawa plastik hitam dengan muka selamba sedangkan baru 3 hari berpuasa, selang dua tiga hari kemudian, aku pula berdiri di kedai mamak sedang memesan sekeping roti canai yang dibungkus dalam plastik hitam. Aku menempelak diri sendiri kerana perbuatan aku terhadap orang lain berbalik kepada diriku sendiri. 


Sebagai perempuan yang mempunyai sebab kukuh untuk membeli makanan di kedai, aku tak pernah gunakan kesempatan itu semata-mata untuk memalukan diri sendiri. Lebih baik aku masak di rumah, sedangkan membeli makanan di bazar pada pukul 3 petang dalam keadaab cuti pun dah cukup buat aku malu dan paranoid merasakan semua orang tahu aku tak puasa, apatah lagi membeli sebungkus roti di kedai runcit. 


Aku takkan sekali-kali menjatuhkan maruah aku dengan sebungkus plastik hitam. 


Tapi kerana kasih kepada ibu yang demam dan mengidam roti canai aku terpaksa juga menjatuhkan maruahku buat kali pertama.


entah apa sebabnya ibu tiba-tiba demam dan tak larat bangun sedangkan selama ini, sesakit mana pun ibu, dia jugalah yang akan bangun masak dan keluar ke pasar, tak pernah aku melihat dia terbaring lesu begini hanya kerana berpuasa. Lagi tak logik bila dia mengidam roti canai. Ibuku mana suka makan roti canai! Liat dan susah nak kunyah katanya. Gigi palsu yang dipakainya buat dia tak selesa mengunyah makanan kegemaran aku itu. 


kerana itu aku fikir, ini semua bukan kebetulan, akan tetapi pantulan daripada lintasan hati aku terhadap lelaki yang tak bersalah itu. Mungkinkah dia juga membeli roti canai untuk orang yang sakit di rumahnya?


Tapi itu belum cukup menjadi bukti kukuh untuk aku percaya, sehingga kali kedua lintasan hati aku menjadi nyata;


Ketika menjemur cadar di ampaian melalui tingkap, aku terhidu bau hapak dari baju dan seluar abah yang diguna untuk berkebun, hasil serapan peluh yang diperan selama berhari-hari, tidaklah aku pasti sudah berapa hari baju itu digunakan– terjemur elok di ampaian. Dalam hatiku terdetik, 'kenapalah tak dibasuh sahaja baju itu setiap hari, walaupun untuk berkebun, sekurangnya bau baju itu takkan sehapak ini.'


Selesai aku menyidai cadar nak berkalih dari tingkap, aku dengar bunyi sesuatu terhempap sesuatu, perlahan tapi aku pasti telinga aku mendengar. 


Aku berkalih semula ke tingkap dan mendapati baju yang elok tergantung tadi sudah jatuh ke tanah, mengenai lopak air. Hati aku yang malas mahu keluar untuk kutip baju itu mencadangkan agar aku berlalu pergi dan buat tak tahu saja, tapi fikiran ku yang lebih takit kalah abah membebel sebab bajunya kotor membuatkan aku mengomel sambil keluar dan mengutip baju di bawah ampaian. 


Satu kerja lagi nak kena pulas mesin, tunggu lagi sehingga habis dan perah lalu jemur.  


Sekali lagi aku mengingatkan diri supaya jaga hati dan mulut agar tidak terlintas perkara buruk sebaliknya bercakap hanya hal hal yang baik semata supaya perkara yang baik-baik saja yang akan berlaku. 


*****


Ramadan setiap tahun sama sahaja bagi saya, di awal puasa saya menyenaraikan beberapa azam seperti banyakkan membaca quran, solat terawih dan solat di awal waktu, tapi hari demi hari berlalu dalam bulan ramadan, satu persatu azam itu saya tinggalkan dek kerana kemalasan, terlupa, terleka dengan hal-hal dunia akhirnya ramadan hanya jadi satu bulan dimana saya hanya menahan diri dari lapar dan dahaga sahaja. 


Untuk tahun ini contohnya, saya sudah memasang niat untuk solat terawih di masjid kerana tahun lepas sekali pun saya tak berpeluang untuk pergi kerana saya telah tertinggal hari pertama, yang menyebabkan kemalasan pada hari-hari seterusnya. Selain itu saya berniat untuk solat dhuha setiap hari selama 30 hari dengan harapan hal itu akan menjadi rutin yang tidak boleh ditinggalkan, memandangkan selalunya saya solat dhuha hanya pada setiap kali teringat, atau ketika rajin sahaja. Itu boleh dihitung perumpamaannya sebulan sekali. Saya beranggapan solat dhuha membuka pintu rezeki walau hanya dilakukan sekali sekala, tapi yang sebenarnya, jika dilakukan secara berterusan, bukan sahaja pintu rezeki tapi juga dosa-dosa kita akan diampunkan.

 

Perkara ketiga yang berada dalam senarai untuk dibuat sepanjang ramadan saya, solat di awal waktu. Kebiasaannya saya solat zohor pukul 2.30 ke 3 petang, sedangkan azan pada pukul 1.30 petang. Solat asar pukul 6.40 petang dan maghrib pada 8 atau kadang ke 8.15 kerana saya terleka bermain telefon ataupun bersembang dengan mak. Tabiat itu yang perlu saya ubah pada bulan ini.



Saturday, April 18, 2020

Cerpen : Turun dari Kayangan Airbus



Perang dunia sedang melanda dunia ketika ini tapi peperangan ini bukan di antara manusia dan negara tapi antara manusia dengan musuh yang halimunan! 

Musuh yang bersaiz sebesar atau mungkin lebih kecil daripada kuman yang langsung tak nampak dengan mata kasar sebaliknya perlu dilihat di bawah mikroskopi. Virus sekecil itu yang memberi impak yang begitu besar sehingga mampu membunuh manusia membuatkan satu dunia mengalami pandemik.

Oleh itu setiap negara menjaga rakyat dan negara masing-masing dengan cara tersendiri, sementara Malaysia membawa pulang semua rakyat di luar negara pulang ke tanah air dan menyekat kemasukan orang luar dan menghalang rakyat keluar negara.

Sementara itu di ibu kota kuala lumpur, sekumpulan rakyat Malaysia yang baru turun dari penerbangan Kayangan Airbus telah dibawa ke sebuah hotel untuk dikuarantin selama dua minggu bagi mengenalpasti samada mereka membawa masuk sekali musuh-musuh yang halimunan itu atau tidak. Musuh-musuh halimunan itu hanya akan menjelmakan diri dalam masa dua minggu selepas 'mereka' menyerang manusia dalam diam. 

Sementara itu, 

"Ya babe, i baru touchdown Malaysia pagi tadi, sekarang baru sampai hotel 5 star yang kerajaan sediakan tuu." Perempuan berambut blonde yang bercuti di Itali yang sepatutnya sebulan terpaksa memendekkan percutiannya, sedang menarik bagasi kecil sambil menunggu giliran turun dari bas. 

"Souvenir you? Eh mestilah ada. Kalau i boleh terus balik rumah i suruh you datang ambil! Oh lupa, you tak boleh keluar rumah, takpe nanti i pos kat you je tapi kena tunggu dua minggu lagi lah sampai i boleh balik rumah." Dia berdiri di kaki tangga, matahari malaysia menyilaukan mata. Ditarik cermin mata hitam atas kepala terus disangkut ke pangkal telinga.

"Itulah babe, i pun tak faham apa salahnya kalau i kuarantin kat rumah sendiri je kan? Tapi dah orang nak taja penginapan di hotel, i okey saja. Eh okeylah babe, nanti i call you lagi." Dia menarik dua lagi bagasi dari ruang simpanan barang sambil menamatkan panggilan apabila dirasakan menarik beg besar dengan sebelah tangan sangat melecehkan.

*Di kaunter pendaftaran*

"Saya nak bilik menghadap menghadap menara klcc please."

"Maaf Cik, saya bukan pekerja hotel, saya...."

"Cepat sikit please. Saya baru turun dari kapal terbang terus naik bas ke sini dan sekarang kepala saya dah pusing-pusing, saya mahu berbaring atas katil empuk dalam bilik penghawa dingin, aaahhhhh... tak sabar! Mana kunci bilik saya?" Mukanya teruja sambil menghulur tangan meminta kunci.

Pekerja yang bertugas mengambil kunci secara rambang, serahkan pada si perempuan rambut blonde.

Perempuan berambut blonde itu menarik beg terus ke lift, tekan butang dan hilang ke dalam kotak lift dengan dua tiga orang yang lain.

Sampai di bilik yang dituju, dia meninggalkan bagasi di pintu bilik, mencampak beg 
tangan ke atas katil dan berjalan terus ke tingkap. Dah dua minggu dia tinggalkan malaysia, rindu pula nak tengok menara KLCC. Kata orang hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri, lebih baik di negara sendiri. Yaaaa walaupun Malaysia panas sikit, hmmm...

Langsir tebal diselak. Tiada menara KLCC, cuma nampak bumbung-bumbung bangunan. Dia tak puas hati, dia perlu buat aduan kepada pengurus hotel ini. Dalam mana-mana perniagaan sekalipun, bukankah semua pelanggan itu wajib betul dan semua permintaannya harus dipenuhi?

Perempuan berambut blonde merempuh orang yang menghalang laluannya, dia menepuk meja perempuan yang memberinya kunci tadi sambil berkata dengan nada tegas,

"Saya mintak view menara KLCC tapi apa yang awak bagi? View rumah setinggan?" 

Perempuan bertugas yang memakai suit plastik yang panas dan tebal berlapis-lapis itu menarik nafas panjang sebelum menghembusnya dan mengeluarkan hujahnya pula. 

"Awak datang sini bukan untuk bercuti dan berehat-rehat, saya bukan pekerja hotel dan awak baru turun dari kapal terbang, bukan kayangan. Sila kembali ke bilik awak, makanan akan dihantar tiga kali sehari di depan pintu bilik. Jangan call room servis untuk order makanan, tapi boleh order makanan dari luar. Ada apa-apa lagi awak nak tanya?"

Kepanasan kerana memakai suit plastik ini tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan panasnya hati melayan perempuan berambut blonde yang baru turun dari Kayangan (airbus) ini. 

Dia mendengus. "Kalau macamtu saya nak balik rumah sendiri!"

"Nak balik? Baliklah! Nanti kalau kena serang dengan virus tu jangan datang cari kami, duduk jelah kat rumah tu rawat diri sendiri." 

Perempuan rambut blonde tak puas hati. Dia tau dia bukan di pihak 'pelanggan' maka dia tak 'wajib' menang. Sekarang baru dia sedar, di lapangan peperangan ini, dia memegang watak 'tebusan', jika dia mengikut kata pihak hospital, maka dia akan selamat, jika dia ingkar maka virus itu akan menang dan nyawanya mungkin akan melayang. 

Dengan rasa tak puas hati kerana ego yang tercalar, dia kembali ke bilik hotel yang menjadi tempat perlindungan sehingga 'rundingan' antara KKM dan virus bernama Corona itu untuk membebaskan dirinya, selesai dalam masa dua minggu lagi. 

Dia capai telefon, menghubungi nombor di skrin, "Hello babe?"



p/s : Writing challenge between me and my friend, Nian dengan tema ' Kayangan'













Saturday, September 21, 2019

p/s : cerita tergantung takde hala tuju



Pintu kaca aku tolak. kosong. Aku keluar balik dan baca sekali lagi papan kecik yang tergantung di pintu tertulis 'open'.

memang kedai ni jenis suka tinggal kedai tak berkunci ke? Dari arah belakang muncul seorang kakak bercermin mata dan tali pengukur terikat di lehernya. Dia tidak membukan pintu untuk aku atau bertanya jika aku perlukan apa-apa sebaliknya dia terus duduk di mesin jahitnya walaupun aku pasti dia nampak dengan jelas aku ada di muka pintu ini sedang memandang dia.

memang orang dalam kedai ni tak mesra pelanggan kah?

Aku tolak semula pintu sambil bagi salam.

"Waalaikumsalam. Ya nak apa?" soal kakak tu tanpa sikit pun angkat kepala pandang aku.

"Jahit tepi."

"Sekarang tak bolehlah, tengah sibuk."

"Tak..." telefonnya berbunyi. dia berdecit sebelum menjawab panggilan itu.

aku masih berdiri di tempat tadi sambil memandang sekeliling kedai yang dah macam tongkang pecah. Sebelah mesin jahit kakak tu duduk ada lagi satu mesin jahit yang pada awalnya aku langsung tak perasan kewujudannya sebab atas tu dah penuh dengan kain berlonggok.

"Takkk.. baju dah siap dah tapi saya tak sembat lagi." muka kakak tu nampak bengang. Aku nampak dia julingkan mata ke atas.

"Makcik nak ambik bila? Sekarang tak boleh sebab saya ada kerja lain ni. Mak cik ambil esok lah boleh?"

di tepi sudut dinding ada baju yang bergantungan tapi di atas lantai penuh plastik berisi kain. Ada antara kain tu dah terkeluar dari plastiknya.

"Yelah nanti dah siap saya mesej mak cik."

"iyeee, memang dah siap. maksud saya nanti dah siap sembat saya mesej mak cik balik."

dia matikan panggilan dan sambung menjahit.

"Tak paham ke orang sibuk. Ingat orang nak jahit baju dia saja? Bukannya nak pakai esok pun!"

aku tak tahu dia membebel pada siapa tapi urusan aku dengan dia masih belum selesai ni.

"Baju ni saya tinggal dulu boleh kak?"

dia angkat kepala. "Oh, ada lagi ingat dah keluar. Ha boleh, boleh, tinggal la dulu... bila nak ambik?"

"Mak cakap bila-bila akak dah tak sibuk, akak jahitlah."

"Letaklah kat mana-mana yang ada ruang." katanya.

Punyalah banyak kain kat dalam kedai ni, dia kata letaklah kat mana-mana tapi dia tengok pun tidak plastik yang aku bawak ni, nanti macammana dia nak tau mana satu kain yang aku hantar?

"Akak tak nak tengok dulu ke?"

dia berdecit. kaki dia yang tadi tengah tekan pedal mesin pun terhenti.

"Okey kak! saya letak je kat mana-mana yang ada ruang."

Sebelum aku keluar, aku perhati lagi keliling kedai. Ada dua helai baju belum disembat tergantung di tempat gantungan.

Walaupun sebelah kaki aku dah keluar pintu, hati aku masih terlekat di sini, tak mahu keluar.

"Kak..."

"Apa lagi kalau nak cepat hantar je kedai lain."

"Tak, tak. Saya nak tanya akak nak saya tolong ke? saya boleh sembat baju."

Saat soalan itu terluah, mata kakak ni bukat dan bersinar-sinar. "Ha boleh ke? Akak nak sekarang, boleh?"

Aku angguk laju. Nak yakinkan dia yang aku memang betul-betul boleh buat.

Dia terus capai baju yang bergantungan, diletak atas timbunan kain atas mesin jahit sebelahnya. Dia terkorek-korek laci mencari sesuatu sebelum dikeluarkan sebatang jarum. kemudian dihulur pada aku.

"Benang kat sana. Rak belah bawah. Pilihlah yang paling sesuai."
 dia menunjuk ke arah almari benang.

Aku bawak sekali dua helai baju tu ke almari benang, satu persatu benang aku acukan pada baju. mencari warna yang paling tepat untuk baju tu.

"Basi satu inci. Silang pangkah." pesannya. Dari kedudukan dia di atas kerusi dan aku di atas lantai, aku cuma mendengar suara tanpa kepala.

Jumpa dah benang. Aku perlukan juga jarum peniti, tali pengukur dan gunting. Kalau ada Sniper lebih baik. Tapi... nak mintak pun takut mengganggu.

Aku bangun melilau-lilau di belakang badan kakak ni sambil mata terjengah mencari barang yang aku perlu.

"Ya Allah, nak apa?"

"Peniti, tali tape, sniper."

dia memandang keliling. "Cari kat atas meja. Kalau takde tengok kat mesin jahit sebelah ni. Kalau takde jugak ambil jelah yang baru dalam almari display tu."

"Okey."  Aku janji aku takkan kacau kakak lagi. Aku di sini nak tolong dia pun kan?

Lalu kau memilih untuk pergi



"Minggu depan last aku kerja." katanya sebelum dia keluar kereta.

Aku cuma mengangguk dan tidak memberikan apa-apa kata yang dia 'mungkin' harapkan.

Apa? kau harap aku cakap, 'sunyilah aku lepas ni' 'so kat mana kita nak celebrate?' 'kau pasti dengan keputusan tu?' 'Lepas ni nak buat apa?'

aku lepaskan cluch dan tekan minyak terus meluncur tanpa memandang dia yang mungkin menoleh memandangku pergi.

5 tahun.

Pada awalnya mungkin kita buat keputusan tanpa berfikir panjang. asalnya mungkin ia hanya cakap-cakap kosong untuk isi masa lapang. Tapi dah lima tahun kita lalui masa susah senang bersama. Lima tahun aku dengar kau berkeluh kesah tentang impian yang ingin kau capai, tentang hasrat yang tak tertunai, tentang perasaan yang dipermain.

Aku mendengar semuanya. Pada sudut yang aku rasa perlu, aku berikan pendapatku, pada sudut yang tak perlu, aku simpan alasanku.

selepas 5 tahun, ini adalah jalan terbaik untuk kamu.

aku?

heh, aku masih mahu berjuang dengan caraku. Disini.

Wednesday, August 7, 2019

writing prompts : Star-Bucks









STAR-BUCKS


            Kuasa instagram telah mempengaruhi aku untuk berada di dalam kedai kopi terkemuka seantero dunia ini sambil membaca senarai menu yang  tergantung di dinding belakang kaunter barista tanpa mengetahui mana satu kah kopi yang paling sedap patut aku pilih sambil membuat perbandingan harga dan membuat senarai pendek untuk nama kopi yang kedengaran ‘sedap’ macam cocoa cappuccino, caffe mocha, chocolate cream chip atau yang ada perkataan hazelnut. Sebenarnya kopi bukanlah kegemaranku, jika bukan kerana rasa teringin yang membuak-buak untuk menikmati salah satu minuman di sini, aku memang takkan sekali-kali menghabiskan duit untuk secawan kopi yang mahal. Baik aku bancuh je kopi Che Nah yang ada kat rumah.


            Kesukaran membuat perbezaan antara setiap nama kopi itu buat pilihan aku jadi semakin sukar. Adakah caffe mocha itu lebih pahit daripada cocoa cappuccino? Adakah aku patut pesan sesuatu yang bercoklat kerana aku benci kopi yang pahit? Kalau kopi yang ada perkataan hazelnut itu adakah bila minum rasa macam kacang hazel?


            Pelanggan yang buat pesanan di kaunter sudah dua tiga kali bertukar, ada yang sudah mendapatkan minuman mereka lalu terus berlalu keluar, ada yang duduk di kerusi sambil berswafoto dengan kopi pilihan, ada pula sedang duduk berbincang dengan sebuah laptop di atas meja, ada juga yang sedang membaca buku dengan sepotong kek dan kopi dalam cawan kecil,  sedangkan aku sejak lima belas minit lepas masih berdiri kaku dalam tujuh langkah jaraknya antara aku dan meja kaunter.


            Aku menyesal datang ke sini hari ini. Sekurang-kurangnya aku patut membuat sedikit rujukan bagaimana untuk membeli minuman di restoran ini, atau setidaknya mengenalpasti terlebih dahulu nama minuman yang aku mahu. Kebetulan aku melalui kawasan ini hari ini, tanpa berfikir panjang aku terus melangkah masuk tanpa mengetahui sesukar ini untuk membuat pilihan.


            Aku sedar akan mata barista lelaki berkulit cerah, mata sepet sikit sekali pandang macam muka cina itu sekali sekala memandang ke arahku sambil mengambil pesanan pelanggan dan membancuh kopi mereka. Kalau aku keluar tanpa membeli apa-apa nanti malulah pulak dengan barista tu, akhirnya aku melangkah tiga tapak ke hadapan. Lelaki itu senyum kepadaku, bersedia untuk mengambil pesanan.


            “Ermmm....” aku bercadang untuk minta pendapat darinya tentang perbezaan setiap nama kopi itu, tapi memikirkan maruah aku akan tercalar jika bertanya soalan begitu di tempat orang ‘ada-ada’ ini, aku matikan hasrat itu.


            “Caramel macchiato.” Aku main sebut je bila itu yang mata aku nampak di papan menu. Lupa terus aku sepatutnya pesan minuman bercoklat jika ingin selamat daripada terkena kopi yang pahit.


            “Panas ke sejuk?”

            “Sejuk.”
            “Tall, grande, venti?”

            Aku telan liur. “Ya?”

            “Saiz cawan.” Dia senyum. Senyuman yang mesra.

            “Oh.” Apa soalannya tadi? Aku dengar tall je.

            “Venti lah ya.” Terus dia mencapai  cawan dan menulis sesuatu.

            “Nama?”

            “NurLis...” Auto-pilot mulut aku laju je nak bagi nama penuh tapi  kemudian aku teringat tak pernah ada orang tulis nama penuh di cawan kopi.

 “Lisa.”

Dia mengulang semula pesanan aku dan memberikan harga. Bayaran dibuat, dan dia membancuh minuman. Sementara itu aku berdiri di kaunter sebelah sambil memerhatikan dia yang lincah bergerak.

“Lisa!”

Nama aku dipanggil serentak cawan kopi saiz besar diletak atas kaunter. Aku mencapainya dan terus berjalan ke pintu. Oh, tapi sebelum itu aku perlu buat satu hal lagi yang semua orang ‘wajib’ buat jika berkunjung ke sini-- keluarkan telefon bimbit dari poket, laraskan kedudukan cawan pada ketinggian yang sesuai, halakan kamera telefon pada subjek, dapatkan titik fokus, pastikan pencahayaan cantik dan... tangkap!


Dari paparan telefon aku membaca apa yang tertulis di cawan, alihkan telefon, aku baca lagi berkali-kali tulisan di cawan kopi itu, terus aku menoleh ke belakang. Tepat ke kaunter barista. Si lelaki bermuka cina tu menoleh sekilas ke arahku dengan senyuman sambil dia melayan pelanggan di hadapannya.


“Heh!” Sengihan kecil terletus dari bibirku. Terus saat itu juga aku muat naik gambar itu ke instagram dengan emoji bintang bersinar aku letakkan di sekeliling cawan kopi itu. Uploaded!


Aku keluar dengan senyuman yang lebar ke telinga. Seperti ada satu butang dalam badan aku ini yang selalunya senyap dan pasif, tiba-tiba dihidupkan. Ledakan daripada butang itu naik ke hati, pecah! lalu memercikkan bunga api berbentuk bintang secara bertalu-talu.


Seperti itulah perempuan, hatinya mudah dijentik walaupun dengan sekecil-kecil hal, sekalipun lima minit kemudian aku menyumpah kerana rasa caramel macchiato yang pahit!


            “Have a good day Lisa! You’re so beautiful. *emoji hati*”




*sumber gambar google kemudian diedit guna instagram*


Sunday, February 18, 2018

Sahabat itu macam, bila kita 'wave' dan dia akan sambut.




Bukan senang kita nak jumpa orang yang nak kawan dengan kita, bukan kita je yang nak kawan dengan dia. Aku tak tahu pulak kalau nak berkawan, perlu perasaan yang sama sama mahu. Ingatkan teori cinta je macam tu. Tapi memang betul. Kenapa kalau kita ada masalah besar, kita tak cerita pada keluarga, tapi cerita pada kawan? Lagi-lagi kawan baik. Sebab kawan akan cuba memahami tapi keluarga akan cuba menghukum.

                Kenapa kalau kita suka kat seseorang, kita akan cerita pada kawan, bukan pada keluarga? Sebab kawan akan layan perasaan kita syok sendiri tu, tapi keluarga akan haling perasaan itu daripada bercambah.

                Kenapa kita kena cari kawan yang sama-sama mahu kawan dengan kita, dan bukan kita je nak kawan dengan dia? Sebab kalau kita susah atau perlukan seseorang yang berada di susah dan senang kita, kawan tu akan datang pada kita. Bukan kita je yang jadi bahu untuk dia, waktu dia susah.
            
    Aku tahu benar apa yang dia akan pikir. "Oh, dia tak nak kawan dengan aku dah. Oklah. Tak payahlah kawan."

                Tapi pernah tak dia berfikir, yang aku di sini hari-hari berharap dia hantar pesanan ringkas bertanya kabar. Pernah tak dia terfikir, bila aku kata, aku bahagia walaupun tanpa dia, itu sebenarnya Cuma nak sakitkan hati dia, sebab dia dah tinggalkan aku sendiri? Pernah tak dia terfikir, aku selalu doa dalam diam semoga hubungan kami kekal sampai syurga? Pernah tak dia fikir, aku hari-hari berperang dengan ego sendiri, nak mulakan perbualan dulu atau tunggu dia mula dulu?

                Pernah tak dia fikir, kadang-kadang aku cakap pada diri sendiri, ‘alah, bukannya aku tak pernah berkawan, lepas tu lost contact, lepas tu buat hal masing-masing’ tapi deep down aku selalu berharap yang hubungan kami tak jadi macam tu. Pernah tak dia fikir?

                Hati aku mulalah flashback memori, ‘oh dulu aku je mulakan dulu. Aku je yang terhegeh-hegeh tapi dia buat ignore je, macam tak kisah, macam tak peduli.’ Mungkin juga itu hasutan syaitan supaya kami tak teruskan silaturrahim. Tapi pernah tak dia CUBA untuk perbaiki hubungan kami?


                Ke aku je yang hari-hari fikir semoga hubungan ini tak putus di tengah jalan?


Saturday, May 27, 2017

Terawikh



            Perut aku kembung dimasuki angin pasti kerana pucuk paku yang aku makan berbuka tadi, sekarang aku rasakan akibatnya, bila nak kentut tapi tak boleh keluar. Kalau aku kentut secara sengaja atau tidak sengaja pun, aku kena buka telekung, buka tudung, ambil wuduk dan berkejar pakai telekung semula sebelum imam mulakan solat terawikh. Memikirkan itu saja dah buat aku rasa lebih baik aku simpan dalam-dalam angin ini supaya tidak membatalkan wuduk aku.


            Rakaat pertama solat, ada budak dalam lingkungan 2 atau tiga tahun berjalan di saf aku ke hulu ke hilir dengan mini telekungnya. Sebab dia nampak comel dengan telekungnya itu, aku hampir membuang pandang ke arahnya sewaktu dia berjalan di hadapanku. Ahhh.... angin dalam perut aku berpusar-pusar macam berjoget pulak.


            Habis empat rakaat, imam membaca doa sedang aku menyelit doaku sendiri. “Ya Allah, mudahkan aku untuk habiskan solat ini, sekurang-kurangnya sehingga cukup lapan rakaat, atau paling baik sehingga habis solat witir.” Dengan keyakinan doa yang aku pohon itu, lagi empat rakaat hanya aku jalani dengan dua orang budak berlari-lari di depan saf kami. Sorang lagi budak tu tadinya cuma duduk di tepi dinding, sekarang dah ikut budak bertelekung itu berlari pula.


            Aku tak rasa nak marah mak dia sebab bawa anak ke masjid, tapi aku terfikir apa perasaan mak dia yang tengah solat tu, bila anak berlari-lari ke hulu ke hilir mengganggu jemaah yang lain?


            Selesai lapan rakaat, budak itu berlalu pergi bersama mak mereka. Aku selesaikan baki 3 rakaat solat witir dengan tenang.


            Dalam perjalanan pulang, kami bercerita lagi tentang hal di masjid tadi.

            “Huh, tengik baunya.” Kata mak.

            Maaf mak, angin tu berlumba-lumba mahu keluar. Bahana pucuk paku siput sedut kiriman mak cu petang tadi.