http://img10.imageshack.us/img10/7733/contactm.png

Friday, September 30, 2011

Bab 16



"Cara terbaik untuk kau belajar bertutur dalam bahasa inggeris adalah dengan bertutur selalu dalam bahasa itu." Kata Harraz semasa kami sedang berjalan di deretan kedai-kedai yang menjual baju-baju dan tudung-tudung di jalan Masjid India.

"Tapi sebelum kau boleh mula bertutur kau perlu mulakan dengan memahami beberapa perkataan dalam bahasa inggeris. Eh, tapi kau punya bahasa inggeris taklah teruk sangat kan? SPM kau dapat 4b kira ok lah tu, tulis esei dalam bahasa inggeris kau tahu?" Soal Harraz.

Aku tak ambil pusing sangat pun dengan apa yang Harraz katakan sebab aku leka memerhatikan deretan kain-kain yang tergantung di dalam dan di luar kedai, apa yang ditanya pun aku tak perasan.

"Tengok apa?" Soal Harraz. Terperanjat aku dibuatnya.

"Tak ada apa.." Balasku.

"Kau dengar ke tidak apa yang aku cakap tadi?" Soal Harraz yang kini sedang berjalan di belakangku.
"Hemm.. dengar, dengar.." 

"Kalau dengar cuba ulang balik apa yang aku dah cakap tadi?" Pinta Harraz, uish mamat ni memang suka kenakan aku.

"Alah, buat apa nak ulang-ulang, kita dah dengar dah la. Oh ya, kenapa awak bawa kita ke sini? Awak nak ajar kita cara nak jual beli, tawar menawar ke?" Soalku, lurus. Yelah, hari tu dia suruh aku berlari sebab nak ajar aku teori biologi, mungkin hari ni dia nak ajar aku teori jual beli pula ke?

"Banyaklah kau, hehe.." Aku terus memusingkan kepala bila terdengar nada suaranya yang ceria diiringi ketawa kecil. Harraz ketawa? 

"Apa pandang-pandang?" Soalnya, kembali serius. Aku kembali memandang ke hadapan. 

"Habis tu awak nak suruh kita buat apa kat sini?" Soalku, pelik.

"Saja. Daripada aku biarkan mak su pantau kau, baik aku bawa kau keluar. Eh, apasal kau takut sangat dengan mak su tu? Dia bukannya nak makan kau pun.." 

"Bukan takut, tapi tak selesa. Cara dia tu macam bos yang garang, yang suka cari kesalahan orang lain. Kita tak selesalah.."

"Kau belum kenal dia betul-betul lagi, bila kau dah kenal kau mesti akan cakap kat aku yang 'oh, sebenarnya mak su tu taklah teruk sangat'" Harraz mengajuk cara aku bercakap di akhir biacaranya. Aku mencebikkan bibir. 

"Ye ke? Jadi mak su tu memang taklah teruk sangat perangai sebenar dia erk?" Soalku.

"Taklah, dia ok.. cuma kadang-kadang tu dia perfestionist sangat, sampai buat orang menyampah nak layan kerenah dia." 

"Ohhh.. eh, awak nampak macam dah biasa lah dengan mak su, awak rapat dengan dia ke?" Soalku lagi kini kami berjalan beriringan dari satu deretan kedai ke kedai seterusnya.

"Tak juga, tapi dulukan aku biasa kerja sekali dengan dia, jadi dah faham sangat perangai dia tu."

"Oh, kalau macam tu, boleh la kita mintak tips kat awak tentang bagaimana cara untuk berhadapan dengan mak su. Boleh?" 

"Boleh..boleh.. tapi kena bayar la. Apa kau ingat ilmu aku ni percuma je ke, boleh bagi kat sesiapa?"

"Alah.. itu pun kena bayar, kedekut betul!" Tanpa sedar aku mengucapkan kata-kata itu.

"Apa kau kata? Kedekut? Banyaklah kau punya kedekut, bukan main banyak lagi ilmu aku bagi kat kau, macam ni kau balas?" Sempat Harraz mencupit pipiku kuat sampaikan terangkat-angkat kepalaku mengikut daya tarikan pipiku.

"Apa ni, sakitlah!" Aku mengusap-ngusap pipiku yang mungkin semakin memerah, bukan dipicit main-main, picit betul-betul ok!.

"Padan muka, itu hukuman untuk kau." Katanya sambil tersengih bangga. "Irin aku laparlah, jom belanja aku makan.." Katanya dan berjalan mendahului aku.

"Eh, kenapa kita pulak? Kita mana ada bawa duit. Harraz!.. Tunggulah!.." Aku mengejar langkahnya yang panjang itu. Tiba-tiba Harraz berhenti, menungguku. 

"Soalan aku tadi, kau reti tak tulis esei dalam bahasa inggeris?" Soal Harraz, kembali mengulang soalannya.

"Esei? Boleh la sikit-sikit.. tapi dah lama tak tulis dah lupa." Jawabku dengan hujung biara itu aku perlahankan suara. Takut Harraz marah sebab aku lupa.

"Lupa? Baguslah macam tu, lain kali apa yang aku dah ajar lupakan semuanya." Betul-betul aku kena perli.

"Bukan sengaja tapi tak dah lama tak praktis, macammana nak ingat.." Aku cuba mempertahankan diri.

"Dah tu, perkataan-perkataan yang kau ingat maksudnya pun kau lupa jugak?"

"Err.. ada setengah tu ingat, ada setengah tu lupa juga.." 

"Hemm.. Irin.. Irin.." Harraz menggelengkan kepalanya beberapa kali. Comel pulak aku tengok, macam abang yang marahkan adiknya. Hurmm

"Ada bawak laptop?" Soalnya lagi. Aku menggeleng.

"Eh, bawak laptop susah pula nak pegang. Itulah kau aku suruh beli Ipad nak juga beli laptop, kalau pakai Ipad kan senang nak bawa kemana-mana.." Tak pasal-pasal aku dibebelnya tentang hal yang dah berlalu. Apa masalahnya mamat ni?.

"Apa kena mengena beli laptop dengan beli Ipad ni?" Soalku, kerut dahi.

"Banyak kena mengenanya. Sambil kau keluar berjalan kau boleh senaraikan semua perkataan-perkataan dalam bahasa inggeris yang kau nampak dan cari maksudnya, dengan cara itulah kau belajar. Ada bawa buku?" 

Aku menggeleng. "Buku nota kita hilang.."

"Hilang pulak? Ish.. kau ni, semua benda pun nak hilang, nak lupa, apa yang kau ingat ent...." Harraz terdiam tanpa sempat menghabiskan kata-katanya. Aku angkat kening memandangnya.

"Ermm.. tak apalah, Kita beli buku baru je." 

Aku mengangguk setuju. Maka bermulalah perjalanan kami mencari kedai yang menjual barang-barang alat tulis. Dapat satu buku nota tebal dan sebatang pen, cukup. Kembali meneruskan langkah, mengutip ilmu di tepi-tepi jalan.

"Catit apa saja perkataan dalam bahasa inggeris yang kau nampak dan tak faham maksudnya. Balik nanti baru cari maksudnya." Pesan Harraz. Aku mengangguk, faham. Setiap perkataan yang aku nampak di banner kedai-kedai aku catit, di  banting, di atas kertas pemplet, dimana-mana saja!. 

Memang aku puji cara Harraz mengajarku, selama ni aku tak pernah sangka yang aku boleh belajar bahasa inggeris dalam erti kata 'sambil-sambil'. Sambil jalan-jalan, sambil makan, sambil tengok-tengok. Sebab dulu, cara aku belajar bahasa inggeris yang membantu aku untuk dapat keputusan 4b dalam SPM adalah dengan sentiasa bawa kamus kemana saja dan membacanya macam baca novel!. Cara itu memang tak sesusah mana, tapi agak membosankan. Sebab itu setiap lima minit aku baca kamus, aku akan berhenti sekejap dan memerhatikan gelagat kawan-kawanku di kelas. Kemudian sambung baca balik. 

Tapi cara Harraz ini agak menyeronokkan!

"Kalau dalam masa sehari kau boleh dapat seratus perkataan, setiap hari kau ulang sebut apa yang kau dah dapat tu, confirm! sekejap je kau dah boleh kuasai bahasa inggeris. Lepas ni aku nak speaking london je lah dengan kau." Kata Harraz yang setia mengekoriku sejak tadi.

Aku terangguk-angguk. Sekadar tindak balas yang menunjukkan aku dengar apa yang dibebalkan oleh Harraz. 

"Tekun betul kau kutip ilmu ya sampai aku cakap pun buat bodo.. macam inilah contoh sebenar seorang bakal pewaris tuan pengerusi Resident Hotel." Puji Harraz, kedengaran ikhlas ditelingaku. Aku tersenyum. Lebar.

"Oh, pertama kali kita dengar sesuatu yang menyejukkan telinga keluar dari mulut awak, terima kasih sebab buat kita rasa seperti dihargai." Kataku tersengih, sempat mengalihkan pandangan ke mukanya sekilas.

"Heh.. kau ingat aku ni manusia tak ada perasaan ke yang tak tahu nak menghargai? kau tu je yang selalu buat aku naik angin.." Balas Harraz, kedengaran bangga sekali dengan kata-kataku tadi.

"Kita? Selalu buat awak naik angin? Heh, awak tu yang suka buat kita rasa macam tak cukup kaki tangan untuk penuhi permintaan awak." Balasku.

"Kalau kau ikut cakap aku, buat semua yang aku suruh, pasti aku takkan susahkan hidup kau. Tapi kau tu ha.. suka sangat melawan! Suka sangat aku jatuhkan hukuman."

"Alah, tapi kita ikut semua arahan awak pun, awak hukum kita juga. Padahal kadang-kadang saya terlewat lima minit je, awak dah hukum kita lari keliling padang. Tak ada timbang rasa langsung." Protesku.

"Amboi.. dah pandai melawan nampak? Itulah dia, pantang bagi muka sikit, buat baik sikit, pijak kepala. Sebab itulah aku malas nak cakap banyak dengan kau!"  Kata Harraz, tiba-tiba moodnya berubah, kembali seperti asal, sebagai tuan muda singa yang sangat aku tak suka.

"Kita cakap yang betul.. takkan nak marah?" Soalku, cuak pula melihatnya.

"Lebih baik kau buat kerja kau tu, daripada nak cari gaduh dengan aku lagi" Kata Harraz mengambil jalan tengah agar kami tidak lagi bertikam lidah. Aku setuju, sangat setuju dengan saranannya itu memandangkan aku tak tahu apa akan terjadi kalau dia buat perangai singa dia kat sini, tak pasal-pasal aku pula yang ditinggalkan di sini. 

Penyudahnya, aku dengan kerja aku. Harraz dengan kerja dia. Tanpa. Suara.

Sebelum pulang, Harraz mengajakku untuk makan di sebuah restoran biasa berdekatan kawasan itu sebab katanya dia dah dahaga sebab temankan aku berjalan. Tenaga dia dah habis, kalau tak tambah tenaga balik, dia tak boleh bawa kereta, katanya... Sedangkan aku tahu yang dia memang betul-betul lapar. Kalau tak, tak ada maknanya dia suka-suka hati nak singgah makan kat restoran tanpa bintang ini. Tuan mudalah katakan..

"Kau order dulu, aku nak pergi toilet jap." Pesannya semasa aku baru je nak cecahkan punggung ke kerusi. Belum sempat aku nak tanya, apa yang dia mahu, dia terus melangkah pergi. Hemm.. kalau order untuk aku je, nanti dia kata aku ni berkira pula, tapi nak orderkan untuk dia pun aku tak tahu apa yang dia nak? Ambil jalan tengah, tunggu je lah sampai dia datang balik.

Aku perhati keadaan sekeliling. Riuh dengan suara-suara pengunjung yang meminta pesanan. Ada yang bersembang macam nak bagi satu kawasan ni dengar cerita mereka. Tiba-tiba mata aku terpandang pada seorang lelaki yang juga sedang memandangku. Tapi dia cepat-cepat memandang ke arah lain bila aku memandangnya. Comel sangat ke aku ni sampai nak tenung lama-lama? Kalau lelaki itu muda lagi tak apalah, ini dah tua, macam lingkungan usia mak su je. Ish.. minta jauh la dia pandang aku sebab dia berkenan!. 

"Dah order?" Soal Harraz lalu duduk di hadapanku.

"Belum.." Jawabku sambil menggeleng.

"Lah.. kan aku dah suruh order dulu tadi?"

"Kita tak tau awak nak makan apa, kalau kita order yang awak tak suka nanti, awak tak nak makan pula."

"Aku bukan macam kau, cerewet. Sayur pun tak makan, aku makan semua makanan asalkan halal" 
Sempat Harraz memerliku sambil matanya melilau-lilau mencari pelayan kedai untuk membuat pesanan.

Mana dia tahu aku tak suka makan sayur? Tajam betul mata dia perhatikan aku. Seorang pelayan perempuan datang ke arah kami dengan kertas kecil dan pen di tangan.

"Kau nak makan apa?" Soal Harraz memandangku. Aku menggeleng. 

"Suruh makan pun tak nak.." Sempat dia merungut. "Bagi.. nasi goreng kampung dengan teh o ais. 
Kejap.." Katanya membuat pesanan sebelum kembali memandangku. "MInum pun tak nak?" Soalnya sinis. 

"Milo ais." Terus aku membuat pesanan kepada kakak itu. Kakak itu mengangguk sambil mencatit menu sebelum beredar. Kami masing-masing diam melayan perasaan. Aku terperasan lagi yang lelaki yang duduk di meja rapat di dinding itu masih memandang ke arahku. Ish.. aku tak kenal dia lah, kenapa dia asyik pandang-pandang aku ni? Tak selesa betul! Aku mengalihkan badan ke arah lain dan mengeluh rimas. Rupanya perbuatan aku itu disedari oleh Harraz.

"Kau apasal?" Soalnya.

"Tak ada apa.."

"Kalau tak ada apa kenapa kau macam tu? Macam orang mati laki je aku tengok."

Aku diam, malas nak buka cerita. Nanti dia kata aku perasan pula.

"Ke kau malu nak cakap kat aku yang kau lapar?" Soalnya lagi.

"Bukanlah. Hah! tu awak punya nasi dah sampai. Sila makan cepat sebelum tenaga awak habis." 

"Eleh, kalau tenaga aku habis pun kau kisah apa, bukannya kau yang memandu."

"Sebab bukan kita yang memandulah kita risau. Dah la, makan je lah cepat."  gesaku bila pelayan itu datang  meletakkan makanan dan air kami lalu pergi.

Harraz memandangku sinis sebelum dia mula menyuap masuk nasi ke mulutnya. Makan dengan begitu berselera. Hah! kan aku dah kata, dia ni lapar tahap gaban. 

Selesai makan. sudah sampai masanya untuk bergerak pulang. Hari pun dah agak lewat petang. Sewaktu dalam perjalanan untuk ke tempat parking, seseorang merempuhku kasar dari belakang. Lelaki itu memusing menghadap kami dan meminta maaf. 

"Maaf. maaf, saya tak sengaja. Saya nak cepat tadi. Cik...?" Lelaki ini adalah lelaki tua yang asyik memandangku di dalam restoran itu tadi. Aku pandang Harraz bila lelaki ini masih berdiri di hadapanku walaupun sudah meminta maaf. 

"Irina.." Jawab Harraz bagi pihakku, memandangkan lelaki ini menunggu aku memperkenalkan diri. Oh, Harraz aku lagi tak mahu beritahu namaku, dia pergi beritahu pula.

"Oh, cik irina. Maaf cik Irina, saya betul-betul tak sengaja."

AKu mengangguk, faham. "Tak apa, tak apa, tak patah pun tangan saya ni" Spontan aku mengeluarkan kata-kata seperti itu. Sungguh, spontan! bukan sengaja nak bersikap sombong dan kurang ajar. Lelaki itu berlalu selepas mengucapkan kata maaf sekali lagi.

"Boleh tahan juga mulut kau eh. Orang mintak maaf, kau perli dia pulak" Kata-kata Harraz itu sukar untuk aku tafsirkan ia sebagai perlian, kekaguman atau lucu. Rasanya ketiga-tiga itu terkandung dalam ayatnya. 

"Kita tak sengajalah," Aku membela diri.

"Tak sengaja.. tapi memang mulut kau macam tu lah maksudnya kan? Apasal dengan aku kau tak cakap macam tu?" 

"Kenapa pula nak kena cakap macam tu dengan awak?." 

"Yelah, kau ni aku cakap apa pun kau ikut je.. cuba lawan sikit!"

Aku kerut dahi, garu kepala, mulutku ternganga sikit. Tergaman, pelik. Harraz suruh aku lawan dia? Sihat ke tak dia ni?

"Lawan? Nak lawan macammana?"

"Kalau aku suruh kau buat sesuatu yang kau tak suka, lawanlah!. Pertahankan apa yang kau rasa betul, ini setakat lawan sikit-sikit lepas tu bila aku ugut, terus takut. Bosan betul. Tak adventure tahu nak bergaduh dengan kau, ini asal aku hukum kau, aku yang kena tanggung balik masalah kau."

"Tapi nanti kalau awak marah kita? Macammana?" Soalku lagi, Keliru dan ragu-ragu. Biar betul dia nak aku lawan dia, bukan dia suka ke kalau aku kalah dengan dia?.

"Kalau aku marah kau, kau marah la aku balik. Hadoi, itu pun nak kena ajar ke?"

"Marah awak balik?" Aku terfikir-fikir. Memandangkan Harraz dah bagi lampu hijau, mungkin aku patut rebut peluang ini. Tapi mampu ke aku nak bergusti dengan Harraz? Nak bergaduh tarik-tarik rambut dengan member perempuan pun aku tak pernah, inikan pula nak bergaduh dengan seorang lelaki yang terkenal dengan ketegasannya.

"Kau kena pertahankan hak kau. Kau kena yakin untuk dapat apa yang kamu. Jangan jadi lembiklah Irin." Kata Harraz lagi sebelum kami masuk ke dalam kereta. Perbualan kami terhenti di situ. Dan aku masih terfikir-fikir tentangnya. Boleh ke aku lawan Harraz?  
********************

Selesai mandi dan solat maghrib, aku membuka laptop dan mula menaip,  selepas dapat laptop ini aku langsung terus lupa dengan buku notaku yang hilang entah kemana itu. Malam ni aku tak terasa untuk menulis apa-apa cerita sebaliknya aku mahu menulis tentang Harraz. Ya, untuk pertama kalinya aku menulis sesuatu tentang Harraz.  

"Tuan muda Iman Harraz lelaki misteri yang pendiam, sombong, kerek, tak ada perasaan, tak sedar diri dan yang sewaktu dengannya. Tapi makin lama aku bersama dengan dia makin aku nampak nilai-nilai murni yang ada dalam dirinya. Sebenarnya, dia bukan tak reti ketawa, dia bukan sombong, dia bukan kedekut ilmu, dia cuma misteri.

Pertama kali aku jumpa dia, dia tak suka bercakap, dia suka bersandar di dinding sambil peluk tubuh. Kadang-kadang dia masukkan tangan dalam kocek seluar dan berdiri tegak. Renungan matanya kadang-kadang kosong, kadang-kadang sinis, kadang-kadang ada sesuatu yang tersirat, kadang-kadang menakutkan!. Dan dia boleh jadi seseorang yang suka mengusik, walaupun dalam gaya sinisnya.  Well.. selepas kejadian di luar tadi, aku semakin kuat merasakan yang dia tu taklah teruk sangat cuma... dia macam sengaja mencipta jurang antara dia dan orang lain, macam dia sengaja bersikap dingin dengan aku, dengan Ros, dengan semua orang!.

Aku harap yang Harraz akan kekal menjadi Iman Harraz versi baik seperti ini, biarpun bukan dengan orang lain, sekurang-kurangnya dengan aku. Sebab aku dah tak larat asyik kena hukum saja.. :c

Irin..Irin.. bilalah kau nak jadi cik muda yang tegas dan berani?...." 

"Cik muda... buat apa tu?" Taipan aku terhenti bila ros tiba-tiba muncul. cepat-cepat aku tekan ctrl S untuk simpan dan tekan butang pangkah jadi Ros takkan dapat kesan apa yang aku sedang lakukan. 

"Ros.. awak ni macam halimunanlah, tau-tau dah muncul." Aku pura-pura marah sedangkan aku cuma risau jika Ros mungkin akan terbaca hasil taipan aku ini.

"Cik muda yang kusyuk sangat menaip sampai tak sedar saya datang... taip apa tu? cerita baru ye?" Soalnya dan mendekati aku sebelum duduk di birai katil disebelahku.

"Eh, tak ada apalah. Awak ni.. tak ada kerja ke?" Soalku memandangnya.

"Ish.. ada ke patut tanya soalan tu kat saya, seharian tak jumpa cik muda. Rindu tau!"

"Rindu nak bergosiplah tuuu.."

"Hehe.. tau tak apa. Petang tadi pergi mana dengan tuan muda ha? Amboiii... sejak-sejak lepas keluar sama dulu, makin rapat pula saya tengok cik muda dengan tuan muda ni. Ada apa-apa yang saya tak tahu ke cik muda?"

"Apa awak merepek ni Ros? Mana ada apa-apalah. Macam biasa je, cuma..."

"Cuma? Cuma apa? Cuma apa?"

"Ish, cuma tuan muda awak tu, dah jadi baik sikit. Dia dah tak marah-mmarah kita lagi, bila dia nak mengajar pun.. oklah.." Aku tersenyum-senyum. Tanpa sedar. Dan hanya terperasan bila Ros memandangku dengan reaksi muka yang.. pelik!.

"Apa?" Soalku.

"Cik muda.. jangan cakap yang cik dah mula ter.."

"Eh, jangan merepeklah. Tak ada maknanya kita nak suka kat dia. Hello, siapa yang tahan duduk dengan 'singa' tu? Lagipun hati kita dah dimiliki. Eceh." Aku tergelak akhirnya. Malu bercampur.. malu!.

"What? Hati sudah dimiliki? Oleh siapa? Siapakah jejaka malang itu??" Soal Ros sengaja mengusikku.

"Ros! Jahatlah awak ni."

"Alololo.. ok, ok siapakah jejaka bertuah itu? Tak pernah cerita kat saya pun ya" 

"Well.. sebenarnya taklah dimiliki pun, tapi hati kita ni dah melekat kat seseorang tu. Tak payah tau la.."

"Ala, cik muda..cerita je lah"

"Nope. Eh, awak dah jumpa mak su?"

"Ala.. nak tukar topik la tu. Cerita tadi belum habis lagi ok."

"Tutup cerita tadi, buka cerita mak su pula."

"Fine, kenapa dengan puan Azie?" Ros mengalah dengan muka tak puas hati.

"Puan?"

"Ya?"

"Sejak bila mak su kahwin?"

"Sejak... hampir lima tahun lepas, mungkin."

"Betul ke? Mak su dah kahwin? Mana suami dia?"

"Ya, dia dah kahwin dan ya jugak, dia dah bercerai!"

Aku tutup mulut dengan sepuluh jari. Terkejut. Kenapa Harraz tak cakap apa-apa pun pasal hal ni? Mati-mati aku ingat mak su masih bujang.

"Janda?"

"Ibu tunggal.." Ros memerliku.

"Tapi dia belum jadi ibu kan?"

"Belum."

"Tak sangka...."

"Tuk, tuk, tuk,..." Aku terhenti bercakap bila pintu bilik kedengaran kuat diketuk dari luar. Aku dan Ros berpandangan sesama-sendiri. Jarang ada orang kacau aku malam-malam. Harraz pun tahu hormat waktu peribadi aku. 

"Tak apa, biar saya buka pintu." Ros bangun dari katil dan melangkah ke pintu. Beberapa saat kemudian, tubuh mak su yang berdiri dihadapanku.

"Err.. mak su." Tegurku. Terpana campur tak sangka yang dia akan datang mencariku sampai ke bilik.

"Tak tidur lagi?" Soalnya. Aku kerling jam di skrin laptop, baru pukul 8.45 malam. 

"Belum.."

"Ermm.. mak su saja datang sini, sebab mak su tak sempat nak lawat bilik Irin siang tadi."

"Ohh.." Hanya itu yang terkeluar di mulutku, dan mak su memulakan 'tugasnya' dengan memerhati ke segenap ruang dalam kamar beradu ku ini. Aku memandang Ros menghantar pandangan tak faham dengan tindakan mak su. Dan Ros cuma mengangkat bahu tanda dia juga tak tahu.

"Selesa duduk bilik ni?" Soal mak su. 

"Selesa.." Jawabku sepatah. Masih kekok berada bersama mak su. Perlahan aku turun dari katil dan berdiri di hadapan katil. Aisshh, apasal mak su terjah bilik aku ni? Macam sengaja nak cari salah aku je... Risau! Risau!.

"Kalau tak selesa atau kalau ada apa-apa yang tak cukup, Irin beritahu je pada mak su, mak su akan penuhi permintaan Irin." Mak su memusing dan tersenyum memandangku. 

Berkelip mataku memandang reaksi muka mak su yang berubah ceria. Selepas seharian aku melihatnya seperti seorang bos wanita cerewet yang tak suka senyum, kini aku melihatnya seperti orang lain yang peramah dan mesra. Aku gosok mata dengan kedua-dua jari. Mungkin aku bermimpi. Tapi aku masih nampak gambaran yang sama selepas mata aku gosok beberapa kali. Sah, ini mak su.

"Irin kenapa? Sakit mata ke sayang??..." Mak su menyoal sambil berjalan mendekatiku.

Sayang? Ok, sekarang aku rasa macam nak pengsan. Mak su mengusap dahiku, lembut.

"Tak.. Irin ok. Hee.." Aku tersengih sumbing. 

"Hurm.. Irin ni. oklah, mak su keluar dulu. Jangan tidur lewat sangat." Pesan mak su sambil mencium mesra dahiku. Sungguh, aku rasa macam nak tumbang sekarang.

Aku menghantar pemergian mak su dengan pandangan mata sehingga pintu bilikku ditutup. Aku dan Ros saling berpandangan.

"Saya macam tak percaya Puan Azie ada sifat-sifat keibuan macam tu." Kata Ros.

"Kita lagi tak percaya!" Balasku lalu terus menghempaskan diri di atas katil.

"Sepanjang saya kerja kat sini, puan Azie adalah orang yang paling, paling, paling digeruni selepas tuan muda."

"Ye ke? Sebab?"

"Cerewet, perfectionist, garang, suka mengarah.. ok senang cerita, perangai dia dengan perangai tuan muda memang tak jauh beza." Kata Ros agak berbisik.

Heh.. patutlah Harraz boleh masuk dengan mak su, rupanya sebab diorang berkongsi cara pemikiran yang sama.

"Kenapa cik muda senyum?" Soal Ros.

"Tak ada apa... eh, tapi kelakar la bila teringat balik apa yang mak su buat tadi."

"Kelakar? Saya risau kalau apa yang dia buat tu sebab ada agenda yang tersembunyi je.." Kata Ros, serius. Terus mati senyumanku. Agenda tersembunyi?

"Apa maksud awak?"

"Tak ada apalah, mungkin sebab hati saya belum boleh terima yang puan Azie sebenarnya ada sifat-sifat keibuan itu yang otak saya fikir bukan-bukan tu.."

"Oh," Aku abaikan apa yang Ros cakap itu dan kembali memberi tumpuan pada laptop yang dah pun 'tertidur'  sebab terbiar dari tadi.

p/s : Nak mintak tolong boleh?? Tolong drop sikit komen lepas baca. Boleh? Sunyi la.. tanpa komen-komen dari korang.... :c *menagih simpati*
  

Monday, September 26, 2011

bab 15



       Ibu? Tak mungkin itu ibu, tapi wanita yang ada dihadapanku ini seperti jelmaan ibu. Siapa dia?. Pemandu teksi itu berlalu selepas meletakkan sebuah beg beroda di sisi wanita ini. Pantas Harraz menuju ke arahnya dan menarik beg itu walaupun tidak disuruh. Aku pula masih kaku ditempatku berdiri. Tertanya-tanya siapakah wanita ini?.

Aku menunduk, bila wanita ini berjalan ke arahku dengan pandangan matanya tak lepas dari memandangku. Aku hanya mengangkat kepala bila melihat kasut wanita ini betul-betul berhenti di hadapanku.

"Iman Harraz, who's this girl?" Soalnya kepada Harraz tapi pandangan matanya masih belum beralih dari memandangku.

"Cik muda Irina Imani" Jawab Harraz yang sedang berdiri di belakang wanita ini. Sorotan mata Harraz juga memandang ke arahku. Aku ingin jongket kening atau apa saja reaksi sebagai isyarat untuk bertanyakan siapakah wanita ini, tapi bila mata wanita yang berdiri dihadapanku ini masih tidak beralih hatta sesaat pun dari memandangku, macammana aku nak 'berbahasa' isyarat dengan Harraz di sedang berdiri belakangnya kan?.

"Irina Imani?" Soal wanita ini dengan dahi berkerut. Sebelum dia berpusing memandang Harraz.

"Did you mean, Irina Imani someone who we were looking for all this while??...." Soalnya lagi. Nada seperti terkejut.

Harraz mengganguk. Wanita ini kembali memadang ke arahku. 

"Irina Imani? Dimana kamu berada selama ni?" Soalnya. Dengan deru nafas yang turun naik. Aku terpinga-pinga. Ya, aku faham apa yang dia cakap tu tapi aku kelu, sampai aku tak tak boleh nak bercakap. Siapa dia sebenarnya?.

Aku memandang Harraz dan wanita ini bersilih ganti. Mungkin pelik dengan reaksi muka aku yang entah bagaimana rupanya, wanita ini menoleh sekilas memandang Harraz dan memandangku kembali.

"Kenapa?" Soalnya.

"Ahh??.. aa.. heee.." Aku tersengih, dan menggeleng beberapa kali. Wanita ini mengerut dahi sekali lagi. Mungkin pelik melihat reaksi aku.

"Azie?"  

Kami masing-masing menoleh ke arah pintu dibelakangku bila kedengaran suara atuk memanggil. Berdiri disebelahnya pak cik Ghazi yang kelihatan tenang sentiasa.

"Ayah.." Wanita ini terus meluru mendapatkan atuk dan mencium tangannya. Dahi atuk berkerut seribu, sejenak pandangan matanya memandang ke arahku. Aku garu kepala, agak keliru dengan situasi ini. Aku pandang Harraz di sebelahku. Harraz membalas pandanganku tanpa suara, tanpa pandangan sinis, tanpa perasaan. Akhirnya aku cuma mampu mengeluh, memandangkan aku tak tahu bagaimana lagi caranya untuk aku mencari jawapan kepada persoalan dalam kepala otakku sekarang ini.

Wanita itu memimpin tangan atuk masuk ke dalam, diikuti pak cik Ghazi.

"Jom.." Kata Harraz mengajakku masuk. Kami mengekori langkah mereka menuju ke ruang tamu utama villa. Atuk duduk di sofa berangkai tiga, pak cik Ghazi berdiri di sisi kerusi manakala aku duduk di kerusi single, Harraz berdiri di sisiku dan mak su berdiri di tengah-tengah ruang sambil berpeluk tubuh memandangku, aku menunduk. Serba-salah dibuatnya.. Suasana terasa tegang di ruang tamu ini. Masing-masing diam tanpa suara walaupun aku pasti, ramai yang ingin mengeluarkan persoalan masing-masing, termasuk mak su.

"Irin, ini mak su azie, anak atuk nombor dua, adik ibu Irin." Kata atuk, memecahkan kesunyian di ruangan ini secara tak langsung, memberi jawapan kepada persoalan besar yang berlegar dalam kepalaku tadi. Rupanya wanita yang kelihatan seperti ibu itu adalah mak su, adik ibu?. Sungguh aku memang tak ingat langsung tentang dia. Ah, aku sepatutnya dah boleh agak, pastilah dia ada kena mengena dengan ibu sebab muka mereka seiras. Mungkin kerana terlalu terkedu tadi, aku sampai tak boleh memikirkan tentang itu.

"Dah berapa lama Irina tinggal kat sini?" Soal maksu. Aku angkat wajah memandangnya. Tak pasti soalan itu ditujukan kepada aku atau kepada atuk, tapi pandangan matanya masih memandang ke arahku.

"Belum pun sampai  sebulan." Jawab atuk, aku pantas menundukkan kembali wajahku. Nampaknya kehadiran aku ke villa ini seperti  tidak disenangi oleh mak su.

"Kat mana ayah jumpa dia?" Soal mak su lagi.

"Azie..." Kata atuk perlahan, mungkin tak mahu membicarakan tentang hal ini dihadapanku. Mungkin.

"Kenapa?" Soal mak su, nada tak puas hati.

"Kenapa Azie balik tak beritahu?" Soal atuk lagi.

"Kenapa tiba-tiba kena beritahu pula? Kenapa Azie dah tak boleh balik ke sini lagi ke?" Soal mak su. Sarkastik.

"Azie.. rumah ni rumah Azie juga. Ayah cuma tanya, kalau-kalau nak ayah jemput di airport ke tadi." Balas atuk, lembut.

"Azie dah besar, kalau setakat nak balik ke sini dari airport tu masalah kecil je ayah. Yang ada di depan mata Azie sekarang ni, masalah besar." Kata mak su masih memandang ke arahku. Ya, aku tau yang aku adalah masalah baginya.

"Azie, itu irin, anak saudara Azie, darah daging Azie, Irin tak datangkan apa-apa masalah pada ayah atau pada Azie. Dia ada hak dalam villa ini." kata atuk, tegas. Hati aku tersentuh mendengarnya. 

"Habis Kenapa tak ada sesiapa pun yang beritahu pada Azie? Kenapa nak sembunyikan dari Azie? Apa? Azie ni orang asing ke ayah? Sampai hal penting macam ni pun Azie boleh tak tahu?. Dan bukankah dulu ayah kata ayah dah tak mahu teruskan pencarian dia lagi?" Soal maksu bertalu-talu, makin berang.

Atuk mengeluh, berat. Dia urut kepalanya sambil memejam mata dan menunduk. Atuk nampak tertekan. Perasaan serba-salah menyelubungi hati aku sekarang ini. Apa sebenarnya masalah yang mak su maksudkan itu. Betul ke aku mendatangkan masalah kepada mereka. Ah, tiba-tiba aku terasa seperti orang asing di dalam villa ini.

"Iman.. bawak Irin keluar." Kata atuk, pandangan matanya masih merenung lantai. Kenapa atuk tak benarkan aku duduk dan berbincang bersama mereka? Aku juga ingin tahu apa alasan atuk.

Harraz berdiri di hadapanku, dari isyarat matanya mengajak aku supaya beredar. Aku akur, lalu bangun dan mengekori langkah Harraz. Sempat aku menoleh ke belakang. Zapp, mataku bertemu pandang dengan mata mak su yang terpancar sinar kemarahan. Terus aku berpaling, hati aku berdebar-debar. Tak sedap hati.
"Harraz.. sebelum ni mak su tu duduk kat mana?" Soalku bila kami dah keluar dari ruang tamu utama dan berjalan di koridor untuk ke bilikku.

"Overseas." Jawab Harraz sepatah.

"Ohhh.. Dia kerja apa kat sana?" Soalku lagi.

"Cari peluang untuk kembangkan sayap perniagaan atuk, kalau boleh nak buka cawangan hotel kat sana."

"Wow.. buka hotel kat sana? Hebatnya.... " Kataku spontan, kagum!.

"Ermm.. tau tak apa, sebab tu kau kena belajar betul-betul. Kalau tak nanti macammana kau nak uruskan cawangan hotel kat luar negara tu, kalau nak cakap bahasa inggeris pun tak reti." Sempat pula Harraz memerli aku. Grrr.. sabar je lah.

"Yeah.. itupun kalau.." Jawabku perlahan.

"What you mean by kalau?" Soal Harraz yang tiba-tiba memberhentikan langkahnya dan berpusing memandangku. Serta-merta aku yang berjalan di belakangnya turut memberhentikan langkah.

"Tak.. kalaulah kita yang akan uruskan. Kalau tak.. " 

"Tak ada 'kalau-kalau' by hook or by crook kau tetap akan uruskan empayar Resident Hotel sebab kau satu-satunya waris yang tinggal selain mak su." kata Harraz tegas dan jelas. Terdiam aku dibuatnya. "Got it?" Soalnya lagi.

Aku mengangguk. Maksud aku yang 'kalaulah' itu adalah kerana kehadiran aku di sini seperti tak disenangi, jadi mungkin  pada bila-bila masa aku akan dihumban keluar dari rumah agam ini. Ya, siapa tahu apa akan terjadi di masa depan kan?.

Harraz kembali menyeret langkah. Terus berjalan menuju ke bilik tidurku. Sampai di hadapan pintu bilik, Harraz berhenti dan memusing menghadapku. 

"Tunggu aku kat sini, nanti aku datang." Katanya dan terus berpusing mengatur langkah mungkin ke biliknya. Tanpa menunggu lama aku terus masuk ke dalam bilik dan berharap agar Ros ada di dalam. Tapi hampanya rasa hati sebab Ros tak ada.


****************

Aku tak ambil masa yang lama untuk bersiap kerana bila Harraz kata dia akan datang balik ke sini, bermakna aku harus bersiap secepat yang mungkin jadi aku takkan dirundung keresahan jika pintu bilikku diketuk bertalu-talu. Tapi lain yang aku fikirkan, lain pula yang terjadi. Aku pula yang harus menunggu Harraz? Apakah? Kalau aku tau dia lambat, tak payah la aku tergesa-gesa mandi sampai sabun pun ala kadar. Ish. Rugi.. rugi.. Rugi tak mandi lama-lama tadi.

"Tup, tap.." Bunyi tumit kasut yang memijak lantai mengalihkan perhatianku. Aku mengintai dari sebalik tiang tempat aku berdiri, di hadapan pintu bilikku. Mak su?. Aku kembali menyorok di sebalik tiang yang tak berapa nak besar ini, tapi masih mampu untuk melindungi tubuhku. Patut ke aku tegur dia, atau tak payah? Habis kalau dia nampak aku nanti takkan aku nak buat bodoh je? Ok, dia mungkin nak lalu kat sini je, bukan nak cari aku pun, kan?.

"Irina?" Aku terasa macam tercekik air liur mendengarkan nama aku dipanggil. Perlahan aku memusing berhadapan dengan mak su yang sedang berpeluk tubuh memandangku ini.

"Mak su.." Tegurku, konon-konon baru terperasankan kehadiran mak su setelah ditegur. Kononnya..
"Mak su nak cakap sikit dengan Irina.." Kata mak su, riak di wajahnya menggambarkan sesuatu yang sukar untuk aku tafsirkan. Ya, mukanya seiras dengan ibu tapi perwatakannya nampak agak keras. Berbanding ibu yang lebih lembut dan suka tersenyum.

"Ha.. ok." Balasku. Kekok.

Mak su berjalan beberapa langkah dan berhenti betul-betul di sebelahku. "Maaf kalau perwatakan mak su buat Irina rasa tak selesa, tapi Irina kena biasakan diri dengan cara mak su. Mak su tak pandai nak simpan perasaan, apa yang mak su cakap adalah apa yang mak su rasa dan fikirkan dan mak su sebenarnya agak terkilan bila kehadiran Irina ke sini tidak dimaklumkan langsung kepada mak su sedangkan mak su berhak tahu. Irina adalah anak saudara mak su, Irina adalah orang yang kami cari bertahun-tahun, walaupun mak su tak ada kat sini tak bermakna yang mak su tak mahu ambil tahu semua perkembangan di sini." Mak su diam setelah menghabiskan kata-katanya.

"Oh.. maaf, Irin tak tahu yang mak su ada.." Balasku. Sebenarnya aku tak ada point untuk balas kata-kata mak su itu.

"Mak su tak salahkan Irina, mak su faham kalau Irina tak ingat mak su, malah mungkin atuk pun Irina tak ingat dulu. Tapi mak su salahkan orang-orang dalam villa ini." Mak su berpeluk tubuh dan merenung ke hadapan. 

Aku senyap. Apa lagi yang aku patut cakap? Dari jauh kelihatan Harraz berjalan pantas ke arah kami, dan dia berhenti kira-kira sepuluh langkah dari tempat kami berdiri bila dia baru terperasankan kehadiran mak su. 

"Dimana Irina berada selama ni?" Soalnya tanpa memandangku.

"Di kampung, perlis." Jawabku, tak ada ayat bunga-bunga, straight to the point.

"Perlis? Patutlah susah nak jumpa, jauh ke sempadan rupanya. Irina tinggal dengan siapa kat sana?" 

"Emak dan abah."

"Siapa tu?"

"Parents angkat Irin." 

"Oh, jadi sepanjang tempoh Irin menetap di sana, tak pernah sekalipun ke Irin terfikir untuk cari keluarga kandung Irin?" Soal mak su, soalan seperti ingin menjerat aku. 

"Irin tak ingat siapa-siapa pun, kecuali ibu dan ayah dan yang Irin tahu ibu dan ayah dah tak ada. Irin tak pernah terfikir pun untuk kembali ke sini.. tapi dulu Irin selalu berharap yang Irin akan ada ahli keluarga yang lain. " Jawabku sekejap sedih, sekejap bertenaga. Emosi tak stabil..

"Jadi irin suka bila akhirnya atuk datang dan bawa Irin kembali ke sini? Duduk di rumah mewah, dan bakal jadi pewaris harta-harta atuk?" Soalan mak su itu kedengaran sungguh sinis di telingaku. Apa dia ingat aku kembali ke sini semata-mata kerana harta ke?

"Irin bersyukur sebab akhirnya Irin jumpa keluarga kandung Irin, tapi Irin tak pernah tahu yang atuk sebenarnya seorang hartawan sehingga Irin menjejakkan kaki ke sini.. Irin kembali bukan disebabkan harta." Wah, aku sendiri macam tak sangka yang aku boleh cakap macam tu pada mak su, tapi hati aku memang sangat sakit bila mak su seolah menuduhku mata duitan. Aku tak ingin la harta-harta ini semua kalau ia hanya akan membuatkan hubungan kekeluargaan putus kerananya. Aku dah biasa hidup susah dan aku tak kisah jika aku terpaksa kembali ke kehidupanku sebelum ini. 

"Masih banyak lagi yang Irina belum tahu dan belum faham tentang kehidupan sebenar Irina kat sini. Pilihan di tangan Irina, ingin terus melangkah atau berpatah balik." Kata mak su lagi sebelum dia angkat kaki dan pergi dari sini. Sekaligus menamatkan perbualan kami. Heh, nampaknya aku dah berjaya buat mak su terdiam.

Harraz menghampiriku setelah mak su berjalan melepasinya. "Jom, kita dah lambat ni?" Katanya dan
 terus berjalan mendahuluiku. Aku mengekorinya. Dalam hati terfikir-fikir untuk beritahu saja padanya tentang apa yang mak su cakap pada aku tadi, tapi akal aku menegah. Kalau beritahu pada Harraz pun apa dia boleh buat? Kan?. Eh, tapi sekurang-kurangnya, mungkin dia boleh bagi pendapat tentang apa yang mak su maksudkan dengan kata-kata terakhirnya tadi.

"Err... Harraz..." Panggilku, perlahan. Teragak-agak. 

Harraz menoleh sekilas dan memandang ke hadapan semula. "Ermm.." Itu reaksinya.

Aku garu kepala. Patut ke aku cakap? Atau patut aku tanya pada Ros je?.

"Er.. tak ada apalah." Akhirnya, aku putuskan untuk tidak bertanya padanya. Harraz menoleh sekilas memandangku dengan dahi berkerut, tapi tak pula dia persoalkan kenapa aku tak jadi bertanya. Baguslah macam tu, tak adalah aku rasa serba-salah nanti. Aku mengeluh berat. Lepas satu, satu masalah timbul, lepas satu, satu persoalan dibangkitkan.

"Keputusan di tangan Irin samada ingin terus melangkah atau berpatah balik.." Bukankah kata-kata itu seperti satu ancaman untukku?. Kenapa baru pertama kali mak su melihatku, aku sudah jadi seperti seorang musuh untuknya? Sedangkan aku bukan orang asing, aku adalah anak buahnya. 

Terlalu asyik memikirkan tentang hal itu sehinggakan aku tak sedar yang kami dah pun sampai di satu ruangan. Ini pertama kali aku masuk ke ruangan ini memandangkan dalam villa ini terdapat terlalu banyak bilik dan ruang-ruang tamu yang belum sempat aku terokai. Ada seorang perempuan yang sedang duduk menunggu di situ, sebaik kami masuk dia bangun dan menegur aku.

"Assalamualaikum cik muda Irina, saya Faezah, perunding imej cik Irina." Katanya sambil tersenyum. Orangnya pun cantik, bergaya. Aku perhatikan keadaan sekeliling ruang yang luas ini. Terdapat cermin besar dan beberapa kotak besar di atas meja di tengah-tengah ruang, juga di atas sebuah meja panjang tersedia bermacam-macam jenis aksesori. Aku dah terasa macam berada di sebuah kedai yang menjual aksesori pula. Aku mengalihkan pandangan ke muka Harraz. 

"Hari ni kau akan belajar makeup dengan cik Faezah." katanya seolah faham dengan maksud pandanganku padanya itu.

"Belajar makeup? kenapa nak kena belajar pula?" Soalku pelik.

"Boleh tak kau tak payah banyak tanya?" Soalnya kembali.

Aku mencemik, nak tanya sikit pun tak boleh. 

"Silakan cik muda.." Faezah mempersilakan aku supaya duduk di sebuah kerusi bersebelahannya. Perlahan aku mengatur langkah ke arahnya. Kotak besar di atas meja itu faezah buka, rupanya itu kotak menyimpan alat-alat solek.

"Cik muda pernah makeup sendiri sebelum ni?" Soal Faezah, peribadinya nampak mesra. Aku menggeleng. Rasa kekok bila berada bersama orang seperti Faezah yang nampak penuh berkarisma, tengoklah cara dia bercakap pun, lembut dan teratur je, gaya dia berpakaian, cara dia duduk.. Ahh segala-galanya kelihatan sempurna di mataku.

"Ok, tak apa, saya akan ajar cik Irina bersolek dari A to Z. lagipun bersolek ni tak sesusah mana cik Irina.." Katanya lagi.

"Oh.." Hanya itu reaksi yang mampu aku beri. Faezah mula mengeluarkan satu persatu alat-alat solek itu dan disusunnya di atas meja. Aku mencuri pandang ke arah Harraz yang sedang duduk di sofa berdekatan sambil menelek telefon bimbitnya.

"Ok, perkara yang paling asas sekali cik Irina perlu buat sebelum pakai makeup adalah ini, Foundation!, fungsi dia untuk menutup cela di wajah dan membuatkan kulit muka kita nampak flawless tanpa sebarang noda, jerawat atau bekas jerawat. Nah, ambil sikit dan cuba ratakan di muka cik Irina." Kata Faezah dan mengepam keluar sedikit cecair yang dipanggil foundation ke atas telapak tanganku. Aku teragak-agak untuk menyapu ia ke muka, tapi Faezah merangsangku dan membuat isyarat tangannya supaya aku menyapu ia ke mukaku.

Tiba-tiba aku rasa macam aku anak gadis yang pathetic giler, sampaikan nak pakai foundation pun aku tak reti. Sungguh, selama ni aku tak pernah kisah dengan benda-benda ni semua tambah-tambah lagi kerja aku dulu tak memerlukan aku untuk tampil bergaya dan cantik. Asalkan kemas sudah cukup.

"Sapukan rata pada seluruh muka, nak sapu benda ni, tak perlu tebal sangat, tapi jangan nipis sangat. Ikut pada kulit muka kita." Pesan Faezah lagi. Aku mengangguk je sedangkan aku tak berapa berminat untuk tempek-tempek benda ni semua. Malas.

"Okeh, lepas tu kita sapu bedak tabur untuk bagi sapuan nampak lebih sempurna." Kata Faezah lagi lalu menghulurkan kepadaku berus besar dan bedak tabur. Aku sambut hulurannya dan sapu ke muka ala kadar. Fikiran aku terganggu. Entah apa yang aku fikirkan, aku pun tak pasti tapi yang aku sangat pasti aku memang malas nak buat benda-benda ni semua. Aku.. bukan tak minat, tapi boleh tak kalau ianya ditunda ke waktu lain?.

"Irina, orang tengah ajar tu kenapa kau main-main?" Soal Harraz dari sofa yang didudukinya. 

"Hah? Urmm.."  Itu reaksiku, memandangnya sekilas sebelum kembali menyapu bedak ke seluruh muka. Ala kadar.

"ok, langkah seterusnya, bahagian mata. Ini eyeshadow, sapukan di kelopak mata." Faezah memberiku sekotak eyeshadow pelbagai jenis warna. Aku garu leher tak tau nak pilih warna yang mana satu.

"Biasanya kita guna eyeshadow bergantung pada warna baju, dan tempat yang kita nak pergi. Kalau macam sekarang cik Irina pakai baju warna putih, siang hari dan tak pergi mana-mana majlis, sekadar untuk bersantai, saya cadangkan cik Irina guna warna-warna terang. Tak perlu terlalu tebal, nipis je pun dah cukup."
       Aku terangguk-angguk faham. Aku pilih warna hijau, dan aku colekkan ke kelopak mata. Tapi kekok pula bila sambil pejam mata, nak sapu benda nih. Akhirnya Faezah yang tolong make up kan muka aku sampai habis. Kira aku belajar sekerat jalan je lah ni. Aku pandang mukaku di cermin. Pelik! Walaupun cuma sentuhan makeup yang nipis, aku tetap rasa pelik. Aku lebih suka rupa asalku yang kosong tanpa warna. Cukup sekadar merah darah. 

"Hah, kan cantik bila cik Irina dah makeup, oleh sebab ini kelas pertama cik Irina dengan saya, jadi saya ajar sikit-sikit je dulu, sekadar untuk pengenalan. Untuk kelas seterusnya nanti, saya akan ajar cik Irina macammana nak makeup sendiri. Jangan risau.. masih ada banyak masa." Kata Faezah tersenyum. Dia yang nak mengajar bukan main beriya-iya lagi tapi aku yang nak belajar ni, macam tak ikhlas je nak terima ilmu. Teruk betul la aku ni.

"Okeh, sekarang kita beralih pula pada pemilihan pakaian cik Irina." Faezah bangun dan menuju ke satu sudut di tepi dinding, tabir kain berwarna putih diselaknya, itu dia.. tergantung berpasang-pasang jenis pakaian. Eh, kenapa aku boleh tak perasan ada benda tu kat situ tadi? Oh, mungkin sebab warna langsir dan warna dinding yang sama-sama putih. 

Faezah menggemitku untuk bersama-sama dengannya melihat pakaian yang tergantung di situ. Aku bangun dan menyeret langkah ke arahnya. "Banyaknya baju.. tapi baju kat bilik kita pun dah banyak." Kataku, spontan. Iyalah baju-baju kat bilik tu pun belum sempat aku pakai habis takkan dah nak tambah baju lagi kot?

"Hurmm.. baju yang ada kat bilik cik irina tu mungkin ada yang tak sesuai untuk cik pakai, jadi hari ni saya sediakan pakaian yang mungkin lebih sesuai untuk imej cik Irina." 

"Imej?" Soalku, pelik sebab perlu ke aku berimej-imej segala macam artis sedangkan aku bukan sesiapa. 

"Ya, Imej. Sebagai seorang cucu yang bakal mewarisi legasi hotel seorang hartawan ternama malaysia, cik Irina akan jadi tumpuan ramai orang, oleh sebab itu cik Irina perlu tampil dengan imej yang sesuai. Bila dah jadi tumpuan orang ni, banyak benda yang perlu diambil kira, banyak aspek yang perlu dijaga. Soal imej juga tak boleh dipandang remeh. Sebab peribadi cik Irina menggambarkan imej syarikat." Terang Faezah panjang lebar.

Aku terangguk-angguk faham. Sampai begitu sekali ya? Haii.. rumitnya hidup jadi CIk muda Irina Imani.
    
Faezah memilih beberapa pasang pakaian untuk aku cuba dan Harraz menjadi pengkitik tetap, memberikan pendapatnya dimana kurangnya pakaian itu, bagaimana impaknya bila aku memakai pakaian ini, betapa tuanya aku dalam gaun itu, begitu kebudak-budakannya aku dengan gaun paras lutut ini, itu ini, begitu begini, sehinggalah akhirnya Harraz berpuas hati dengan pakaianku yang itu, iaitu blaus ringkas dan skirt paras bawah lutut. Kata Harraz, pakaian seperti ini lebih menampakkan imej seorang yang matang tapi masih mengekalkan ciri-ciri keremajaan. Pesannya lagi pada Faezah, dia tak mahu lihat aku pakai skrit yang lebih pendek dari paras lutut, 

"Lebih baik bagi dia pakai kain labuh je terus. Atau paling tidak biarlah disertakan sekali legging." Wah.. banyak pula songeh dia. Yang aku sebagai tuan punya badan ni dah rasa macam patung hiasan kat butik yang harus mempamerkan pakaian yang disarung ke tubuh tanpa suara bantahan!.

Selepas melalui satu lagi sesi iaitu sesi memilih aksesori, barulah pembelajaran untuk pagi itu berakhir. Nasib baik untuk pemilihan aksesori rambut dan pakaian, Faezah memberi kebebasan kepadaku untuk memilih mana yang aku suka. Kalau tidak memang dah sah-sah la diorang menganggap aku patung.

"Terima kasih, Faezah." Ucapku, sebagai tanda penghargaan kerana bersusah payah untuk aku.

"Sama-sama.. dah memang tanggungjawab saya untuk tolong cik Irina. Oklah, kelas saya dah habis, saya balik dulu." Faezah meminta diri setelah siap mengemas alat-alat solek itu. Dia bangun dan menghulurkan tangan bersalaman dengan aku. Aku turut bangun dan menyambut huluran tangannya. Kemudian Faezah berlalu pergi selepas bercakap sesuatu dengan Harraz.

Aku duduk kembali dan memandang wajahku di cermin. Aku masih rasa wajah aku lagi cantik tanpa makeup. Ermm.. mungkin aku patut minta pendapat Ros nanti.

"Kau kenapa Irin?" Soal Harraz, sedang berdiri di hadapanku sambil menyorokkan tangannya di kocek seluar.

"Kenapa apa?" Soalku. Tak faham.

"Aku tau kau ada nak cakap sesuatu dengan aku tadi, ada sesuatu yang mengganggu fikiran kau kan?. Cuba cerita dengan aku." Kali ini Harraz bercangkung dihadapan aku yang cuma dipisahkan dengan sebuah meja. Aku terasa malu bila dia buat perangai macam seseorang yang sangat caring ini. Sedangkan aku sedia maklum yang dia adalah manusia yang tak punya perasaan.

"Mana ada apa-apa, kita biasa je. Awak tu yang fikir bukan-bukan." Jawabku sambil melarikan padangan ke arah lain. 

Harraz diam, tapi aku tahu yang dia masih belum berhenti merenungku. "Kau tak payah nak tipu akulah Irin, walaupun aku baru kenal kau, tapi aku boleh baca fikiran kau. Aku tau ada sesuatu yang tak kena dengan kau sekarang. Pasal mak su ke?" Soalnya, serkap jarang.

Oh, pandainya Harraz meneka. Jadi patutkah aku beritahu saja padanya?.

"Tak payah fikir banyak lah Irin, cerita je kat aku. Apa kau ingat aku ni tak ada telinga ke untuk mendengar?" Kata Harraz lagi. Betul-betul buat aku percaya yang dia boleh baca fikiran aku.

"Sebenarnya.. tadi mak su cakap kat kita, yang masih banyak yang kita belum tahu tentang villa ni, dia jugak bagi kita pilihan samada nak terus tinggal kat sini, atau berpatah balik?" Aku angkat kepala memandang Harraz. Pandangan matanya yang tiada perasaan itu membuatkan aku kembali tenang. Tenang sebab aku tahu yang dia takkan perli atau bahan aku.

"Apa lagi mak su cakap?" Soalnya lagi.

"Tak ada.. itu je. Kita rasa macam mak su tak suka kita ada kat sini." Kataku lagi meluahkan perasaan.
"Aku tak rasa yang mak su tak suka kau tinggal kat sini, tapi dia mungkin rasa terpinggir sebab tak diberitahu tentang kau. Jadi untuk melepaskan rasa marah tu, kau yang jadi mangsa." kata Harraz, menyuarakan pendapatnya.

"Tapi yang dia kata kehidupan kat sini masih banyak lagi yang kita belum tahu tu apa pulak maksudnya?" Soalku, masih belum cukup yakin dengan pendapat Harraz tadi.

"Memang banyak lagi yang kau belum faham tentang kehidupan sebenar kau kat sini, dan aku takkan beritahu semuanya pada kau sekaligus. Buat masa ni, kau cuma perlu ikut apa yang suruh dan jangan melawan. Setiap keputusan yang aku ambil, untuk kebaikan kau juga. Lama-lama nanti kau akan fahamlah." 
"Apa salahnya kalau kita tahu sekarang pun?"

"Aku tak nak kau pening kepala. Nak adaptasi dengan dunia kat sini pun kau belum mampu, inikan pula nak tahu bagaimana hidup kau akan jadi nanti. Confirm kau akan ambil keputusan untuk balik ke kampung, duduk dengan mak ayah angkat kau tu. Dah la Irin, tak payah fikir banyak. Sekarang baik kau pergi makan, pukul dua tunggu aku kat bilik bacaan."

Aku mencebikkan bibir. Ni yang leceh kalau cakap dengan Harraz, mesti ada je benda yang dia tak mahu terangkan. Balik-balik, ikut cakap dia. Itu je la yang asyik dipesannya. Bosan. Aku bangun dan keluar dari ruang ini dan menuju ke dining hall. Tapi sesuatu yang aku tak terfikir akan berlaku, terjadi di hadapan mata aku sekarang. Mak su, seorang diri sedang menjamu selera di meja makan!. Aku jadi serba-salah, patut atau tidak aku pergi makan dengan mak su? Tapi aku masih rasa kekok jika ingin duduk berdua sahaja dengannya. Ah, tak payah lah.

Aku berpatah balik ingin melepakkan diri di bilik, tapi dalam perjalanan terserempak dengan Harraz. Dia mengerut dahi memandangku.

"Nak pergi mana?" Soalnya.

"Ah.. nak pergi toilet jap." Dalihku.

"Kat dining hall kan ada toilet?"

"Tak.. tak sempat sampai sana pun lagi, baik terus pergi kat bilik je"

"Apa pulak, dah nak dekat dah kan, daripada kau patah balik lagi jauh. Jomlah." Harraz menggesaku untuk mengikutnya ke ruangan makan.

"Eh, tak apa, tak apa, kita pun memang nak ambil barang kat bilik," Aku mengelak lalu cepat-cepat ingin menuju ke bilik, tapi sempat pulak Harraz memaut sikuku. Aku terpana, selama aku kenal Harraz, tak pernah dia suka-suka hati nak pegang-pegang aku. Aku pandang tangannya yang sedap melekap di siku aku. Seperti baru tersedar, terus Harraz melepaskan pegangannya itu.

"Sorry, tak sengaja" Katanya.

Tanpa menunggu lebih lama, aku mengatur kembali langkahku. Sungguh aku tak mahu makan semeja dengan mak su. Aku. Belum. Bersedia.

"Aku tahu yang kau bukan betul-betul nak ke tandas, kan?" Soal Harraz, serta-merta membuatkan ayunan langkah kakiku terhenti. Aku menoleh memandangnya.

"Apa awak merepek ni?" Soalku, pura-pura tak faham.

"Apa lagi yang tak kena Irin?" Soal Harraz kembali.

Aku garu kepala. "Ermm.. ah, tak ada apa-apa. Kita ok je" Aku tergeleng-geleng. Sehabis baik cuba berlagak seperti tiada apa-apa. Walaupun hakikatnya aku sedang menipu dengan manusia yang mengaku dirinya boleh membaca fikiranku. Kebenaran kata-katanya itu masih belum dapat aku pastikan.

"Heh, kalau ok jom kita pergi makan sekarang. Aku tak mahu kau terlewat masuk kelas aku petang ni." Ugut Harraz dengan sengihan sinisnya.

"Urmm... err... tak apalah, awak pergilah dulu, nanti kita datang." Aku masih cuba untuk mengelak. Harraz.. Harraz, kenapa la kau suka memaksa?

Harraz berjalan mendekatiku, "Jom, aku bukan suruh kau pergi berperang, aku nak ajak kau makan je" Katanya, dan sekali lagi lengan aku dipautnya, menarik aku menuju ke ruangan makan. Memang aku dah tak ada pilihan lain. Ah, lambat laun aku tetap akan berhadapan dengan mak su pada bila-bila masa memandangkan yang kami tinggal dalam satu rumah yang sama.

Sampai di ruangan makan, mak su memandang aku dan Harraz dengan pandangan penuh curiga. Aku tundukkan kepala, tak berani untuk berhadapan dengannya. Harraz menunjukkan kerusi sebagai isyarat untuk menyuruh aku duduk manakala dia mengambil tempat di kerusi berhadapan dengan aku. Mak su, duduk di kerusi di kepala meja, tengah-tengah diantara kami.

"Dari mak su sampai tadi, mak su dah tertanya-tanya, apa sebenarnya hubungan Irina dan Iman?" Soal mak su sambil memandang aku dan Harraz bersilih ganti.

"Eh, eh.. tak.. tak ada apa-apa." Aku kalut cuba untuk menafikan tanggapan mak su terhadap kami, sedangkan Harraz tenang saja.

"Iman?" Soal mak su kepada Harraz.

"Atuk arahkan saya supaya jadi penasihat Irina sepanjang tempoh yang Irin perlukan." Terang Harraz ringkas dan padat.

"Penasihat? Habis tugas Iman kat pejabat tu macammana pula?" Soal mak su lagi, kedengaran sinis di telingaku.

"Yang itu atuk dah serahkan pada orang lain untuk uruskan."

"Oh.. " Mak su sekilas memandang ke arahku. Aku paksa untuk ukir senyuman walaupun ianya sangat sukar.

Seorang maid girl datang dan mencedokkan nasi ke dalam pingganku. Tiba-tiba aku hilang selera untuk makan. Sambil makan sempat mak su bertanya lagi pada aku..

"Sepanjang Iman jadi penasihat Irina, apa yang Irina dah belajar?" Soal mak su, tidak mengangkat wajah memandangku, sebalik masih menguis nasi di pinggan sebelum disudukan ke mulut.

"Err.. macam-macam jugalah." Jawabku sambil menjeling memandang Harraz yang sedang menjamu selera dengan begitu berselera sekali. Kenapa aku terasa macam sedang berada di dalam bilik temuduga kerja ni??

""Macam-macam tu apa?" Soal mak su lagi. Memandangku sekilas.

Macam-macam tu apa? Apa yang aku dah belajar sebelum ni aku pun lupa. Yang aku ingat aku lebih selalu kena hukum daripada belajar. "Hemm.. Irina?" Soal mak su bila dilihatnya aku senyap, tidak menjawab soalannya.

"Err.. banyak mak su, tadi belajar make up, belajar... bahasa inggeris. Belajar..." Adush aku dah lupa apa lagi yang aku dah belajar dengan Harraz sebelum ni. Apa lagi ya..

"Masih banyak lagi yang belum saya ajar pada dia. Lagipun dia baru tiga minggu kat sini." Kata Harraz menjawab bagi pihakku. Fuhh.. nasib baik. Kami bertentang mata untuk beberapa saat. Aku menghantar pandangan terima kasih dan Harraz menghantar pandangan bangga dengan ucapan terima kasih aku tu. Aku mencebik, meyampah.

"Tiga minggu tak dikira baru lagi, tiga minggu itu lama, sepatutnya tiap-tiap hari ada pembelajaran yang baru, Irina kena lebih cepat pick up, sampai bila nak simpan Irina kat dalam villa ni?" Soal mak su pada akhir katanya nada suaranya naik mendadak. Tegas. Memang peribadi mak su nampak sangat komited dengan kerja dan tegas. Sangat layak untuk menjadi seorang bos yang cerewet.

"Saya tak mahu terlalu memaksa dia, lagipun atuk tak mahu terlalu tergesa-gesa. Bila Irin dah betul-betul bersedia, barulah atuk akan kenalkan dia pada media." Jelas Harraz. Aku sebagai tuan punya badan pun tak faham langsung apa yang diorang cakapkan ini.

"Nak tunggu sampai Irina dah sedia? Bila? Tahun depan? Nak tak nak, dia harus bersedia. Kalau tak apa gunanya Iman sebagai penasihat irina kalau bukan untuk suruh dia bersedia? Hal macam ni tak boleh disimpan lama-lama Iman, lambat laun pihak luar akan tahu dan masa tu masalah lain pula yang akan timbul." Bebel mak su lagi, Sekarang perbualan itu dah jadi perbualan dua hala antara mak su dan Harraz saja, aku seperti tak wujud di situ. 

"Baiklah, saya akan cuba." Balas Harraz, seperti sudah malas untuk bertekak dengan mak su lagi. Betul, lepas Harraz cakap macam tu terus mak su diam dan menyambung makan. Nampak seperti Harraz dah faham dengan perangai mak su. Dia tahu bila dia perlu bercakap dan dia tahu bila dia perlu diam.

Aku pandang mak su dan aku pandang Harraz. Masing-masing mendiamkan diri. Aku pandang Harraz lagi, spontan. Harraz angkat sebelah keningnya sambil membalas pandanganku. Cepat-cepat aku menunduk dan kembali menguis nasiku. Sebenarnya dari tadi lagi aku belum menjamah nasi ini memandangkan aku begitu asyik mengikuti perbualan di antara mak su dan Harraz sehingga terlupa untuk makan.

"Lepas ni apa pula aktiviti korang?" Soal mak su, soalan itu lebih ditujukan kepada Harraz.

"Saya nak bawa Irin keluar" Jawab Harraz, selamba. Keluar? Dia tak cakap kat aku pun tadi.

"Keluar? Kemana? Ini bukan masanya untuk pergi jalan-jalan makan angin."

"Tak.. saya nak bawa Irin pergi tempat terbuka untuk ajar dia lebih peka dengan apa yang saya akan ajar kejap lagi."

"Tempat terbuka? Kat mana?" 

"Tak pasti lagi, mungkin bukit bintang, mungkin masjid india ke, mana-mana open places." 

"Oh.."

"Mak su nak ikut?" Soal Harraz lagi.

"Err.. tak! Saja tanya."

"Kalau mak su nak ikut pun tak ada masalah."

"No! Mak su ada kerja nak buat lepas ni."

Harraz jongket bahu. Permainan apa pula yang aku lihat di depan mataku ini? Kenapa aku terasa macam Harraz sedang mempermainkan mak su? Atau fikiran aku saja yang memikirkan sebegitu?

"Mak su dah habis makan, korang teruskanlah." Kata mak su selepas beberapa minit. Dia menolak kerusi dan bangun. Terus keluar dari dining hall meninggalkan kami.

"Apa maksud awak nak bawa kita keluar lepas ni? Bukan awak kata kita ada kelas ke kejap lagi?" Tanpa berlengah terus aku ajukan soalan pada Harraz.

"Mula-mula memang aku kata ada kelas, tapi beberapa minit lepas aku buat keputusan untuk tukar lokasi kelas kita."

"Kenapa?"

"Perlu ke kau tahu?"

"Ya lah, kita pun ada hak untuk tahu kan?"

"Tak, kau tak ada hak untuk persoalkan apa yang aku buat, jangan lupa dengan lima prinsip aku kalau kau tak nak aku susahkan kau." Ugut Harraz. Wah.. dasar tak sedar diri betul mamat ni.

"Fine, kita dah habis makan. Tuan muda teruskanlah makan." Kataku, sengaja menyindirnya dengan gelaran tuan muda itu dan menggunakan ayat mak su tadi, tanpa berlengah lagi aku mengatur langkah menuju ke bilik tidur. Dua sebab kenapa aku tinggalkan meja makan sedangkan aku belum habis makan. Satu, aku tak berapa nak lapar dan aku dah biasa berlapar. Dua, aku malas nak hadap muka Harraz dan layan ugutan-ugutan tak masuk akalnya bila aku asyik bertanya, sedangkan aku seorang yang penuh dengan tanda tanya.

Sekali lagi aku berharap agar Ros ada di bilikku sekarang, tapi sekali lagi aku kecewa. Melihat jam sudah hampir ke pukul satu setengah petang, lekas-lekas aku ke bilik air untuk ambil wuduk. Terpandangkan mukaku yang masih ada make up. Ahh.. tak sempat la nak tunjuk kat Ros. Selepas aku siap tanggalkan make up dan cuci muka, baru aku teringat, kenapa tak aku ambil gambar dulu tadi?. Errgghh..



p.s : Sorry sebab terlambat upload.  kita ada sesuatu yang nak tanya kat korang (SINI)