http://img10.imageshack.us/img10/7733/contactm.png

Thursday, October 17, 2013

Peplum : Bab 3

            “Adik.. petang ni kita buat kuih nak?” Soal emak tersenyum-senyum sambil berjalan menghampiri aku yang sedang menonton tv di ruang tamu. Aku tahu maksud ayat mak tu, bila dia kata ‘kita’ itu maksudnya dia mahu suruh aku yang buat kuih, dia tolong sikit-sikit je.
            “Nak buat kuih apa?” Soalku, mendatar.
            “Ikut adiklah, adik nak makan kuih apa?” Emak menyoal aku kembali.
            “Ikut adik, tak rasa macam nak makan kuih apa-apa pun..” aku menukar-nukar siaran tv.
            Emak tarik muka, “Iyalah tu tak rasa nak makan, nanti bila dah buat dia juga yang nak makan, kannn..”
            “Iyalah, dah ada depan mata takkan tak makan kot. Mak tu lah, nak buat kuih apa?”
            “Ermm.. mak teringin nak makan kuih keria, dari malam tadi asyik teringat-ingat je, tapi barangnya tak ada. Kejap lagi adik pergi beli ya?” Pinta emak sambil mengerdipkan matanya sambil tersenyum.
            Aku pandang muka emak dengan mata yang aku buka besar-besar.
            “Adik beli? Alaaa… emak la beli, adik buat eh?”
            “Ala.. adik la pergi beli, nanti mak bagi duit ya.” Emak senyum lagi.
            Aku tarik muncung. Ini yang tak best ni,        

            Aku memilih-milih ubi yang dijual di tepi jalan oleh peniaga india. Mereka menanam sendiri ubi-ubi ini di kawasan rumah mereka lalu menjualnya di tepi jalan. Nampak tak ciri-ciri orang yang rajin berusaha? Tak maccam aku, peluang datang depan mata pun nak ambik masa untuk fikir-fikir lagi.
 Tiba-tiba ada seorang mak cik ni datang turut sama memilih ubi keledek di sini. Eh, rasa macam kenal..
            “Mak cik, ni mak Norli ya?” Sapaku,.
            Mak cik itu memandang aku agak lama. Mungkin sedang menganalisa wajah aku dalam fikirannya. Aku tahu yang dia memang tak kenal aku jadi ada baiknya aku perkenalkan diri aku sendiri sebelum dia semakin tertanya-tanya.
            “Saya Delisya, kawan sekolah Norli.” Kataku, tersenyum.
            “Ahh..” mak cik ini terangguk-angguk faham. Walaupun dia tak kenal aku tapi sekurang-kurangnya dia tahu aku berkawan dengan anaknya.
            “Norli buat apa sekarang mak cik?” Soalku, dah lama aku tak jumpa Norli, nombor telefonnya pun aku tak ada, jadi sementara ada peluang berjumpa dengan emaknya, kenapa tak aku tanya je perkembangan terbaru Norli kan?
            “Norli ada kat rumah tu, bukan ada kemana pun, kerja pun tidak.”
            “Oh.. dia tak ada minta kerja kat mana-mana ke?”
            “Ha’ah.. tak ada. Mak cik yang tak bagi dia pergi kerja jauh-jauh, risau mak cik kalau apa-apa jadi, nak tengok pun payah. Itulah kalau dia nak kerja, mak cik cakap cari kerja kat kawasan dekat-dekat dah la, tak payah nak cari rumah sewa ke, makan semua mak ayah boleh tanggung kan.”
            Aku mengangguk, setuju. Tapi lepas tu tiba-tiba aku teringatkan pasal peluang kerja yang Akhbar offer tu, bukan ke Maria ada cakap yang Akhbar nak cari dua orang pekerja kan? Ting! Tiba-tiba mentol kunng menyala di kepalaku.
            “Hah, cakap pasal kerja kebetulan saya pun baru dapat tawaran kerja kat kawasan sini jugak, kerja kat butik pakaian yang baru nak buka kat bangunan baru bina tu, kebetulan dia nak cari dua orang pekerja, kalau Norli nak boleh saya cakap pada orang tu. Lagipun saya lagi suka kalau ada kawan yang saya kenal nak kerja sekali..”
            “Ohh.. butik pakaian? Hah nantilah, balik nanti mak cik bagitau dia. Kalau dia nak mak cik suruh dia bagitau pada kamu, tapi kamu ada nombor telefon? Nanti senang mak cik nak suruh dia telefon kamu.”
            “Ada, ada. Mak cik nak salin kat kertas ke apa?”
            “Tulis atas kertaslah, mak cik tak bawak telefon pulak..”
            “Oh.. ok tak apa, saya tulis..” cepat-cepat aku keluarkan buku nota dengan pen dari dalam beg silang yang memang akan sentiasa ada dalam beg aku itu dan aku tulis nombor telefon aku di situ sebelum sehelai kertas itu aku koyak dan aku serahkan kepada mak cik ini.
            “Nanti mak cik suruh la Norli telefon saya. Senang kami nak bincang apa yang patut. Ya?” Pesanku.
            Mak cik ini terangguk-angguk faham sambil menyimpan kertas yang aku bagi itu ke dalam beg tangannya yang kecil dan comel berwarna hijau tua. “Ha yelah balik nanti mak cik pesan pada dia. Bukan apa kan kalau dia dapat kerja biasa-biasa tapi dekat-dekat sini apa nak dikisahkan. Belanja apa semua mak abah dia boleh tanggung, Duit gaji tu orang kata untuk belanja poket dia saja.” Mak cik ini meluahkan pendapatnya.
            Aku terangguk-angguk setuju.
            “Kamu sebelum ni tak kerja ke?” Soalnya.
            “Kerja.. tapi baru seminggu berhenti. Itu yang nak cari kerja lain tu.”
            “Aahh.. kerja apa? Kenapa berhenti?” Soalnya lagi.
            Aku tersenyum-senyum. Malasnya nak buka hikayat lama, karang kalau aku buka cerita mahu terus duduk bersila dekat tepi jalan ni ha. Akhirnya aku cuma boleh cakap,
            “Dah tak ada rezeki kat tempat lama tu mak cik..” dan aku menunduk kembali memilih ubi.
            “Ha’ah iyalah tu, Dah setakat itu je rezeki kamu kat sana ya.”

            Dan perbualan kami terhenti di situ bila aku membayar harga ubi yang aku beli dan membawa haluan ke rumah. Dalam hati sempat berdoa agar Norli bersetuju untuk terima tawaran kerja itu nanti.  

Wednesday, October 9, 2013

Peplum : Bab 2

       
            Aku perlu ke pejabat pos hari ini. Rutin biasa setiap hari rabu, pos barang-barang yang dibeli oleh pelanggan online melalui khidmat pos laju dan barangan mereka akan sampai keesokan harinya. Kerana itu di butik ini aku mempunyai bilik khas aku sendiri. Bilik yang digunakan untuk aku menguruskan pelanggan-pelanggan alam maya aku yang berurusan melalui instagram, whatsapp, blog dan facebook. Dan kelebihan yang aku ada yang membuatkan kak Sarah memilih aku untuk membuat kerja-kerja ini adalah kerana aku mempunyai kereta sendiri, berbanding Norli yang pergi dan balik kerja dihantar dan diambil oleh ayahnya.
            Sewaktu aku sedang memasukkan parcel-parcel ke dalam bonet kereta, Akhbar datang menghampiri.
            “Hai, nak aku tolong?” Soalnya.
            Sambil menyusun parcel di dalam bonet aku mereka patah kata yang sesuai untuk aku balas,
            “Kau rasa?” aku senyum.
            “Aku rasa macam kau tak perlukan pertolongan..”
            Aku jegil mata memandangnya. Dia ketawa lalu terus mengambil parcel di dalam troli dan memasukkan ke dalam bonet kereta aku.
            “Aku rasa 80% keuntungan butik ni datang dari pelanggan-pelanggan alam maya kau berbanding pelanggan-pelanggan Norli.” Katanya.
            Aku senyum.
            “Sebab sekarang dunia di hujung jari. Buat apa susah payah nak datang kedai kalau boleh klik kat phone sendiri je.” Balasku.
            Akhbar tidak membalas apa lagi. Sehingga parcel habis dimasukkan, Akhbar terus tutupkn bonet keretaku dan memegang troli.
            “Kau nak terus pergi kan?” soal dia.
            Aku angguk.
            “Biar aku simpankan troli ni.” Lalu dia terus tolak troli masuk ke dalam butik.
            Tanpa sedar aku tersenyum sendiri dengan pertolongan kecil yang dia hulurkan. Akhbar dari dulu sampai sekarang, masih lagi suka menolong orang.

***

            Selesai dengan urusan di pejabat pos, sewaktu perjalanan pulang, aku terpandang orang jual rojak atau orang penang panggil pasembur kat tepi jalan. Terus fikiran aku terfikirkan Akhbar. Tanpa fikir panjang lagi, aku terus bgi signal ke kanan dan bersedia untuk memasuki simpang, tapi baru je kereta nak parkir bersebelahan dengan gerai itu, tiba-tiba ada kereta lain yang dah masuk dulu, entah datang dari arah mana tiba-tiba boleh pulak dia mencelah dulu? Nasib baik aku memang bawa perlahan kalau dah tak kemek dah belakang kereta ni aku raduk.
            Dengan hati yang berbulu aku parkir kereta agak jauh sedikit dari kereta vios itu.
            Dalam banyak-banyak hal, kepantangan aku adalah apabila ada kereta memotong di simpang, tidak memberikan signal dan tiba-tiba mencelah macam ni. Tercabar ego aku sebagai pemandu perempuan.
            Keluar dari kereta seiring dengan lelaki yang membawa vios itu, dia mengangkat sedikit topi bulat yang dipakai sambil tersenyum sebagai tanda maaf atau apa aku pun tak tahu. Walaupun dia senyum tapi sebab hati aku tengah sebal, aku tak mampu nak membalas senyuman dia, aku masih rasa yang tindakan dia itu tadi sangat tidak wajar.
            Lelaki yang kurus, tinggi, memakai baju t lengan pendek separas atas siku dan berseluar jeans, juga bercemin mata selain topi berbentuk bulat di atas kepala itu sedang bercekak pinggang sambil melihat-lihat juadah yang terdapat di gerai itu. apabila aku semakin menghampiri aku terdengar dia bertanya pada mak cik penjual,
            “Benda apa ni mak cik?”
            “Ini? Karipap kamu tak kenal?” soal mak cik itu dengan nada tak percaya.
            “Apa pulak tak kenal, karipap tu saya kenallah, ini yang warna hijau ni kuih apa?” soalnya, sambil menunjuk kearah kuih berbentuk bunga dan berwarna hijau, diatasnya ditabur dengan bijan, dan kelilingnya berwarna sedikit coklat keperangan.
            “Ini?” soal mak cik itu meminta kepastian.
Dia mengangguk.
“Ini bahulu kembojaaa..”
“oh.” Balasnya. Polos.
Tanpa membuang masa, aku terus meminta pak cik itu membungkuskan tiga bungkusan pasembur. Satu untuk aku, satu untuk Norli dan satu lagi untuk Akhbar. Dulu, Akhbar suka makan cucur udang. Kalau kat kantin hampir setiap hari aku tengok dia beli cucur udang kat kantin. Entah kenapa walaupun cucur udang tu macam digoreng biasa-biasa je, tapi kesedapannya rasa lain macam, sejak itu aku pun dah jadi penggemar setia cucur udang mak cik kantin.
“ini apa pulak?” Soalan lelaki tadi itu beralih pula pada pak cik yang sedang membuangkuskan aku punya rojak. Aku menapak setapak ke belakang bila terasa jarak dia berdiri dengan aku hampir terlalu rapat.
“Rojak.” Balas pak cik itu sepatah.
Aku memandang lelaki ini atas bawah. Tengok gaya macam bukan orang sini, ditambah lagi dengan soalan dia yang macam semua benda pun dia tak tahu lagilah mengukuhkan andaian aku itu. tapi kot ye pun datang entah dari bandar mana, takkanlah pasembur pun dia tak kenal? Ke baru balik dari oversea memandangkan cara parkir kereta pun dah tak reti.
“Sedap ke? Nak rasa sikit boleh?” selamba je dia mintak.
“Rasa-rasa tak boleh, kalau nak kena beli. Rm3 je pun..” balas mak cik tu selamba.
Aku hampir tergelak mendengar jawapan mak cik tu tapi sempat aku tutup mulut sebelum tawa aku meletus. Cuma tak sangka yang dia dengar, lepas tu dia toleh pandang aku sekilas, aku terus buat tak nampak dan pura-pura pandang tempat lain.
“Bagilah satu. Dengan kuih yang tu, kuih kemboja apa tadi entah..” katanya
“Bahulu kembojaaaa..” mak cik itu membetulkan.
“Ha.. bahulu kembojaaaa..” dia mengajuk.
Sekali lagi aku hampir ketawa dengan perangai selamba dia. Tapi aku tekup muulut kuat-kuat sebab tak mahu dia perasan. Aku tak maksudkan yang aku dah maafkan dia atas kesalahan yang dia dah buat tadi.
Siap pak cik tu membungkus aku punya pasembur, aku terus bayar dan laju-laju jalan ke kereta. Masa aku tengah undur kereta aku nampak yang mamat tu tengah berdiri menghadap arah kereta aku dan pandang je sampai aku dah masuk ke jalan utama. Apa masalah dia nak pandang-pandang aku?

Sampai kat kedai, aku fikir nak masuk butik dulu lepas tu baru hantar makanan ni pada Akhbar, tapi tiba-tiba rasa segan pulak kalau Norli tau aku belikan untuk Akhbar, jadi aku terus je pergi kedai Akhbar, kebetulan masa aku masuk tu abang Daus ada kat depan, konon nak lari dari Norli, sekali terkena pulak dengan abang Daus, tapi alang-alang dah masuk takkanlah nak keluar balik pula kan?
“Hah..” abang Daus tegur aku dengan senyuman. Dia nampak macam sedang membuat design dalam laptopnya.
Dengan abang Daus dengan aku tak berapa nak rapat sangat, sebab dengan Akhbar pun aku baru nak merapatkan diri, dengan abang dia apatah lagi.
“Cari Akhbar ke?” soalnya.
“Ah?.. errr..” kalau aku cakap tak, habis tu apa pulak tujuan aku datang sini? Kalau aku cakap ya, rasa macam peliklah pulak. Aduhh… tiba-tiba aku rasa menyesal sebab datang sendiri ke kedai ni semata-mata nak hantar makanan.
Tiba-tiba Akhbar muncul dari sebalik pintu bilik kecil yang ada dalam kedai ni. Dia nampak terkejut melihat aku.
“Ait? Icha..” tegurnya.
Aku senyum. Lebih kepada menyengih sebenarnya. Aku hayun plastic berisi pasembur itu dihadapan Akhbar. Dia nampak terkejut, mungkin sebab tak jangka dengan tindakan aku sebenarnya.
“Tadi beli pasembur, terbeli lebih lupa kak Sarah tak ada, nah ambillah.” Tipu!. Sungguh tak sangka yang mulut aku pandai menipu.
“Oh.” Akhbar nampak lega. Dia sambut huluran plastic itu dan memandang isi di dalamnya.
“Pasembur? Hoooyeeehh.. rezeki, rezeki..” sampuk abang Daus dengan matanya masih lagi menghadap skrin laptop.
Aku senyum. Terasa lega bila pemberian kecil aku ini memberi besar makna kepada orang lain.
“Terima kasih Icha..” ucap Akhbar. Kedengaran sangat manissss di telingaku.    
Aku angguk dengan senyuman melebar dan memberi isyarat untuk keluar memandangkan tak ada apa lagi yang mahu disembangkan bila telefon bimbit Akhbar berbunyi. Di muka pintu sekali lagi Akhbar mengucapkan terima kasih sambil menekan punat hijau dan dia berkata ‘ha hello..’ dalam nada kasar-tapi-mesra.
Aku berjalan menuju ke butik dengan kaki yang terasa seperti tidak memijak lantai dan hati terawang-awang dan senyuman yang hampir ke telinga macam mascot mcD, sebelum semua itu hilang bila aku terlanggar bahu dengan seorang lelaki yang sedang bercakap di telefon sambil memandang keliling.
“Hoi sorry, sorry..” kata lelaki itu dan aku tak perlu tunggu lebih lama untuk cam lelaki itu, cukup dengan hanya melihat topi yang dipakai.
Mata aku memandang cermin mata hitamnya saat kami berselisih untuk ke laluan masing-masing. Tengok muka dia terus hilang senyuman aku. Aku terus berjalan tanpa menoleh ke belakang lagi tapi telinga aku sempat menangkap butir bicaranya..
“Kedai pasembur? Eh, apa susah sangat nak cari kedai kau ni?” Marahnya dalam gurau.
Aku masuk ke butik disambut dengan mata Norli yang bersinar-sinar melihat bungkusan makanan yang aku bawa.
“Kadang-kadang Oli rasa macam anak burung yang tunggu ibunya balik bawa makanan..” kata Norli bila aku letak bungkusan itu atas meja di hadapannya.
“Kahkahkah.” Aku ketawa besar.

Wednesday, October 2, 2013

Peplum : Bab 1






Sewaktu aku menolak pintu cermin dan melangkah masuk ke dalam butik, satu suara menyapaku. “Hai icha..” saat aku angkat kepala, muka dia terlayar di ruang mata sedang tersenyum memandangku.
Senyumannya aku balas melebar. Indah terasa pagi ini bila pandangan pertama dihidangkan dengan senyuman manisnya.
Oh! Kenalkan, itu Akhbar, senior aku masa zaman sekolah. Sebenarnya kami tak berapa rapat dulu tapi sejak aku bekerja di butik pakaian milik kakak sepupu Akhbar, kami mula bertegur-tegur sapa dan sedang dalam proses untuk menjadi lebih rapat.
Bagi Akhbar, hubungan kami mungkin sekadar bekas senior-junior-zaman-sekolah dan icha-pekerja-kak-Sarah tapi bagi aku hubungan aku dan dia lebih dari itu, dia adalah crush aku selama 11 tahun ini, sejak aku darjah 5 sehingga kini. Tapi Akhbar tak pernah tahu, malah tak ada sesiapa pernah tahu.
Dan ia akan terus menjadi rahsia sehingga satu waktu yang aku pun tak tahu selama mana.
“Lambat sampai hari ni icha?” Dan aku ditegur pula oleh Norli. Kawan aku masa zaman sekolah.
Sama kesnya macam Akhbar, dulu aku dengan Norli tak rapat sebab kami tak sama kelas dan lagipun kelompok kawan-kawan kami juga berbeza. Tapi dah jodoh kami dipertemukan di sini, sejak itu kami mula jadi kawan baik dan kami selalu tertanya, kenapalah kami tidak ‘dipertemukan’ sejak dulu lagi?
“Ha’ahh.. hantar mak pergi klinik dulu tadi, dia demam.”
“Oh, lepas tu dia kat rumah sorang-sorang ke?” soal Norli dengan riak ingin tahu.
AKu angguk sambil senyum. “Demam biasa je, dah tak teruk sangat..” jawabku, cuba menyedapkan hati aku dan hati mereka yang mendengar supaya mereka tak fikir yang aku dengan mudahnya meninggalkan emak seorang diri di rumah dalam keadaan demam macam tu.
Di hadapan Akhbar, aku selalu mahu kelihatan terbaik walau dalam apa cara sekalipun. Entahlah, mungkin itu perasaan biasa bila berhadapan dengan orang yang kita suka agaknya?.
 Tanpa menunggu lagi, aku terus angkat kaki masuk ke satu bilik khas untuk ruang kerjaku. Sengaja pintu aku biarkan terbuka supaya aku boleh lihat Akhbar dari situ. Kalau ikutkan hati, aku memang mahu keluar balik dan duduk di luar bersama-sama mereka, tapi hati aku selalu jual mahal, buat endah tak endah je bila Akhbar ada. Lepas tu bila dengar Akhbar menyakat Norli, aku pula yang jeles. Haiihh.. payahnya lah kalau suka orang dalam diam ni, semua benda ni kena simpan sendiri.
Disebabkan dulu aku tak rapat dengan Norli jadi aku tak tahu sejak bila Norli dan Akhbar boleh jadi mesra macam tu? Masa zaman sekolah aku hanya nampak Akhbar di mataku, aku tahu siapa kawan rapat dia, aku tahu siapa awek dia, aku tahu kat mana kelas dia, apa jawatan dia dalam persatuan, kat mana rumah dia, tapi aku tak pernah nampak sekali pun Norli muncul di tengah-tengah kehidupan Akhbar. Kalau dari dulu Norli memang dah rapat dengan Akhbar mesti aku dah ‘aim’ Norli sejak dulu lagi.
Contohnya, aku tahu Farhana rapat dengan Akbar sebab diorang sama-sama pengawas, jadi nama Farhana akan terlekat dalam kepala aku setiap kali aku terfikirkan Akhbar. Sesiapa saja yang rapat atau berkaitan dengan Akbar akan menjadi ‘subjek’ yang akan aku perhatikan.
Suara Norli dan Akhbar ber sok-sek kedengaran lagi. Setaip kali itulah aku akan menoleh ke luar dan melihat muka Norli sedang berkerut melawan usikan Akhbar.
Satu perkara yang aku tak faham dengan Akhbar, kenapa dia suka datang ke sini (walaupun aku suka kalau dia datang) padahal dia tak ada apa-apa urusan pun? Ya, dia pun bekerja di kedai komputer yang sebaris dengan butik kak Sarah ni, tapi perlu ke datang ke butik ni pagi-pagi macam orang tak ada kerja?
Bercakap tentang kedai komputer, kedai itu milik abang Akhbar sepenuhnya. Mereka menjual barang-barang berkaitan komputer dan juga mengambil upah membaiki gadget/komputer yang rosak, juga menjadi penjual komputer/laptop. Kalau nak diikutkan, kedai kecil yang nampak biasa itu sebenarnya menawarkan macam-macam khidmat pelanggan macam buat banner, kad kawin, kad bisnes, khidmat jurutaip, printing, fotocopy, dan lain-lain yang aku pun tak pasti, tapi yang aku pasti dengan khidmat yang mereka sediakan, tak mungkin Akhbar masih boleh berjalan-jalan dan duduk melepak di butik ini awal pagi, walaupun kedai tu abang  dia yang punya, tapi tak bermakna dia tak ada kerja yang perlu dibuat, kan?
Sekali lagi, walaupun aku suka dia ada disini, aku memang tak akan sekali-kali bertanya soalan itu pada dia sebab aku tak mahu dia terasa hati lepas tu dia terus tak datang sini dah. Perhh, aku rasa kalau tak tengok muka dia sehari boleh gelap duniaku, hilang segala kenikmatan dan keindahan hari itu.
Ya, memang aku suka hidup dalam duniaku sendiri. Dunia dimana hanya Akhbar yang aku fikirkan.
Parah.

Peplum : Prolog



            Berdasarkan novel ‘Plain Jane’ tulisan Nurul Syahida, plain jane digambarkan sebagai seorang perempuan yang biasa-biasa, yang keberadaannya tidak disedari, dan kehilangannya tidak dipeduli. Golongan ini seperti makhluk yang tenggelam bersama kertas dinding seperti iklan Doublemint gum yang kononnya selepas mereka makan chewing gum itu barulah mereka akan menyerlah dan keluar dari kertas dinding itu. Kononnya.

            Menjadi diriku, seorang plain jane, tidak semudah iklan chewing gum itu. Aku tak boleh makan chewing gum jenama itu dan aku akan terus keluar dari kepompong ini, tidak juga semudah watak Balkis dalam novel itu yang walaupun dengan peribadi ‘plain’nya dia masih lagi berjaya mencuri tumpuan Zaniel, Bangsar-most-eligible-bachelor dan pemilik-syarikat-Digital-art-yang-kaya-dan-KACAK. Menjadi diriku yang plain jane lengkap dengan pakej rendah diri ini membuatkan aku rasa macam terperangkap dalam satu selut yang menenggelamkan aku ke dalamnya, yang untuk keluar dari situ adalah sesuatu yang sangat sukar.

            Menjadi diriku, Delisya yang plain dan disaluti Lumpur adalah sangat menyedihkan.



Tuesday, October 1, 2013

Peplum : Sinopsis



            “Berdasarkan kajian psikologi, crush hanya bertahan untuk maksimum empat bulan. Jika ia melebihi tempoh itu, maksudnya kamu sudah jatuh cinta..”

            Akhbar adalah ‘crush’ Delisya tetapi ianya telah berlanjutan untuk tempoh 11 tahun. Jadi adakah maksudnya Delisya telah jatuh cinta pada Akhbar? Ya, tepat sekali. Tapi sayangnya Delisya bukanlah gadis biasa yang akan secara terangan menunjukkan perasaannya itu kepada lelaki yang dia suka. Delisya lebih rela menyimpan perasaan selama 11 tahun itu dan makan hati berulamkan jantung setiap kali menahan rasa cemburu melihat Akhbar bersama perempuan lain.

            Pertemuannya dengan Izham, kawan kepada Akhbar membawa satu dimensi yang baru dalam hidup Delisya. Memikirkan tentang Izham membuatkan fikiran Delisya teralih daripada asyik memikirkan tentang Akhbar. Bukan Delisya yang suka sangat nak fikir tentang lelaki mulut sinis itu tapi apabila lelaki itu asyik mengganggu hidupnya, buat Delisya rasa agak menyampah

Lebih parah lagi apabila Izham mengetahui salah satu rahsia terbesar Delisya. Ini adalah mimpi ngeri. Yang sebenarnya apa motif Izham mengganggu Delisya dengan ayat-ayat pemedih telinga dia tu? 

Thursday, April 4, 2013

cerpen : Peplum





            Berdasarkan novel ‘Plain Jane’ tulisan Nurul Syahida, plain jane digambarkan sebagai seorang perempuan yang biasa-biasa, yang keberadaannya tidak disedari, dan kehilangannya tidak dipeduli. Golongan ini seperti makhluk yang tenggelam bersama kertas dinding seperti iklan Doublemint gum yang kononnya selepas mereka makan chewing gum itu barulah mereka akan menyerlah dan keluar dari kertas dinding itu. Kononnya.
            Menjadi diriku, seorang plain jane, tidak semudah iklan chewing gum itu. Aku tak boleh makan chewing gum jenama itu dan aku akan terus keluar dari kepompong ini, tidak juga semudah watak Balkis dalam novel itu yang walaupun dengan peribadi ‘plain’nya dia masih lagi berjaya mencuri tumpuan Zaniel, Bangsar-most-eligible-bachelor dan pemilik-syarikat-Digital-art-yang-kaya-dan-KACAK. Menjadi diriku yang plain jane lengkap dengan pakej rendah diri ini membuatkan aku rasa macam terperangkap dalam satu selut yang menenggelamkan aku ke dalamnya, yang untuk keluar dari situ adalah sesuatu yang sangat sukar.
            Menjadi diriku, Delisya yang plain dan disaluti Lumpur adalah sangat menyedihkan.

*****

            Tahu sejak bila aku mula jatuh suka pada Akhbar si lelaki yang tak berapa nak kacak, tapi sejuk mata memandang itu? Sejak aku pertama kali kenal erti suka semasa aku baru berusia 11 tahun. Cuba teka dah berapa tahun aku simpan perasaan suka ni pada dia? Sebelas tahun. Ya, SEBELAS TAHUN. Satu tempoh yang agak lama untuk perasaan suka itu terus bertapak dalam hati seseorang kan? Mungkin kerana lelaki itu adalah lelaki pertama yang mengajar aku erti suka, jadi untuk melupuskan terus perasaan itu rasanya agak sukar, bertambah sukar lagi bila si dia sentiasa ada di depan mataku. Membuatkan aku tak dapat nak lupakan dia.
            Tapi tahu tak sepanjang tempoh sebelas tahun itu aku tak pernah mengakui perasaan aku padanya. Sebaliknya sepanjang sebelas tahun ini aku kerap kali makan hati berulam jantung. Menahan perasaan rindu dan tertanya-tanya tentangnya bila melihat dia bersama perempuan lain. Syok sendiri itu memang memeritkan tahu? Tapi siapalah aku untuk mengakui yang aku suka padanya..
            Cuma seorang gadis biasa.
            The. Plain. Jane.
            Kadang-kadang aku rasa macam aku terkena sumpahan dengan perkataan itu. Hanya kerana aku rasa aku cuma seorang gadis yang biasa, aku terus hilang separuh daripada keyakinan diriku.
            Aku hilang keyakinan untuk bercakap di hadapan orang ramai.
            Aku hilang keyakinan untuk berpakaian cantik mengikut arus fesyen semasa
            Aku hilang keyakinan untuk memakai make up.
            Disebabkan semua diatas, aku hilang keyakinan untuk memikirkan bahawa ‘mungkin’ Akhbar juga menyukai aku dalam diam..
            Delisya Hamdan, sila jangan berangan! Oh.
            Dan setiap kali aku cuba untuk berfikiran positif, akan ada suara-suara negatif dalam diriku itu meracuni fikiranku.
            Haih.

****
            Pada suatu hujung minggu aku, Maria dan Norli keluar bersama-sama. Itu cara biasa kami menghabiskan masa hujung minggu, tapi secara tak sengaja kami terserempak dengan Akhbar dan kawan-kawannya yang kebetulan sedang duduk-duduk minum di gerai mamak.
            Terus secara tak sengaja lagi Akhbar mengajak kami duduk minum sama-sama. Walaupun ikutkan hati mestilah aku mahu duduk kat situ, tapi memikirkan kami bertiga perempuan dan duduk dengan lelaki-lelaki yang jumlahnya nampak macam lebih dari tiga orang? Memang tak lah kan..
            Tapi bila Akhbar bersungguh-sungguh mengajak..
            “Jomlah kita duduk kejap.” Kata Maria. Aku dan Norly berpandangan. Masih memikirkan.
            “Cha, Oly, meh la lepak dulu.” Panggil Akhbar lagi. Sambil itu sempat dia menarik beberapa buah kerusi untuk kami duduk.
            Maria yang aku akui memang jenis yang selamba dan mudah mesra dengan sesiapa itu terus saja berjalan mendahului kami. Nampaknya aku dan Oly dah tak ada harapan untuk menolak pelawaan Akhbar itu.
            “Jomlah Echa.” Kata Norly sambil menarik tanganku perlahan.
            Akhbar memang bersungguh-sungguh mengajak sampaikan dia sanggup tarik dan tolakkan kerusi untuk aku duduk. Kadang-kadang aku rasa sikap Akhbar yang suka mengambil berat inilah buat hati aku makin sukar untuk melepaskan dia.
            “Korang nak minum apa?” soalnya sambil dia berjalan ke tempat duduknya kembali.
            Aku pandang Norly, Aku tak fikir nak minum atau makan pun, duduk kat sini pun sebab dah diajak.
            “Teh ais.” Pinta Maria, Haish.. laju je kan budak sorang ni.
            Oly angkat dagu sambil pandang aku, isyarat bertanya aku mahu minum apa. Aku menggeleng sambil mencebikkan bibir tanda tak mahu.
            “Oly, Echa, korang nak minum apa?” Soal Akhbar.
            “Kitorang tak minum kot.. lagipun tadi dah minum dah.” Balas Norly.
            “Hah? Tak minum? Aku dah order dah kot..” sampuk Maria.
            “Entah, dah duduk takkan tak minum kot? Orderlah, aku belanjalah.. jangan risau!” pujuk Akhbar.
            Aku dan Norly berpandangan. Nampaknya selagi kami tidak buat pesanan selagi itulah si Akhbar ini akan memaksa kami. Aku kedipkan mata pada Norly tanda aku setuju untuk minum sekali.
            “Nak minum apa?” soal Norly.
            “Milo ais.”
            “Milo ais dua.” Norly menyampaikan pesanan kepada Akhbar sebelum Akhbar melaung pada pekerja kedai ini dan disahut oleh si tukang bancuh air itu.
            Akhbar memandang aku dan tersenyum. Puas hati nampaknya. Kemudian dia bertanya sesuatu pada Maria tapi aku tak berapa ambil tahu kerana aku baru perasan yang sejak tadi perlakuan kami mungkin sedang diperhatikan oleh kawan-kawan Akhbar yang berada di meja ini. Tiba-tiba aku rasa malu..
            “Ini kawan aku masa zaman sekolah..” aku terdengar Akhbar memperkenalkan kawannya kepada Maria.
            Aku turut angkat kepala, cuba untuk berlagak selamba dan ingin melihat siapa gerangan manusia yang diperkenalkan itu. Lelaki berkaca mata itu mengangkat tangan dengan dua jari ditegakkan sebagai tanda peace ke arah Maria.       Nampaknya Maria bakal ada kawan baru kejap lagi.
             “Hobi dia ni memang suka buat peace, pantang ambil gambar mesti jari tu nak ditegakkan.” Cerita Akhbar tanpa dipinta. Disahut dengan gelak tawa daripada Maria dan rakan-rakan Akhbar yang lain.
            Aku ikut tersenyum sekadar menghormati suasana. Peluang yang ada ini aku ambil untuk melihat satu persatu muka lelaki-lelaki yang ada di sini, tapi tak sangka yang aku akan tertangkap apabila seorang lelaki dengan muka selamba dan rambut yang agak messy sedang memandang ke arahku. Terus aku senyum segaris dan memandang ke arah lain.
            Berdebar-debar pula jantung aku dibuatnya. Bukan sebab apa, tapi sebab cara lelaki tu pandang, macam ada sesuatu..
            Aku keluarkan telefon dari poket dan menekan-nekan telefon murah yang fungsi utamanya hanyalah untuk mesej, terima dan buat panggilan sahaja. Tak ada perkhidmatan internet mahupun kamera di dalamnya, jadi aku agak mati kutu apa motifnya aku pegang telefon ni sekarang ni?
            Okey, aku cuma sedang mencari alasan untuk buat aku kelihatan sibuk dengan sesuatu jadi aku tak perlu membabitkan diri dengan perbualan mereka, tapi aku nak mesej siapa? Akhirnya aku genggam saja telefon itu dan aku cuba memberi tumpuan kepada perbualan mereka yang nampaknya makin rancak, Norly juga nampak sudah semakin selesa berada dalam kelompok ini. aku saja yang masih rasa terasing.
            Sekejap-sekejap, apabila aku menoleh ke arah kiriku aku akan terpandang muka mamat-rambut-messy itu dan dia masih lagi tercuri-curi memandangku. Dari tadi aku perasan yang dia tak bercakap apa pun, malah dia seperti tidak ambil peduli dengan perbualan mereka yang lain.
            Dia seperti aku yang terasing terus dari kelompok ini. Tapi, haruskah aku dijadikan subjek utama untuk buat dia rasa sibuk seperti aku yang menjadikan telefon bimbitku sebagai mangsa?
            Oh.. aku harap untuk balik ke rumah sekarang.
****
            Dari tadi aku perhatikan lelaki yang pakai baju kemeja warna merah jambu yang sedang berdiri untuk membeli air di gerai itu. Aku perhati dia bukan sebab warna baju yang dia pakai tapi sebab aku rasa aku macam kenal rambut dia, tapi aku tak ingat tak kat mana aku pernah jumpa dia..
            Aku cuba untuk tak ambil peduli tapi hati aku masih rasa tak puas hati selagi aku tak tahu siapa dia. Aku pejam mata sambil cuba mengingati seraut wajah itu. Bermula dengan semalam aku pergi kerja macam biasa, tak jumpa mana-mana lelaki asing, sehari sebelumnya pun sama..
            “Hai, macam kenallah.”
            Terus aku buka mata dan melihat lelaki itu ada di hadapanku sedang menarik kerusi dan duduk di hadapanku. Dia tegur aku dulu? Maknanya aku memang pernah jumpa dialah sebelum ni kan?
            Dia senyum pada aku, menampakkan lesung pipit di pipi sebelah kanannya. Kemudian dia capai cawan air dan diminum menggunakan straw dengan cawan plastik itu diangkat sekali mengikut arah kepalanya yang sedang  memandang ke sekeliling kedai makan ini.
            Walaupun aku masih tertanya-tanya siapa sebenarnya dia tapi mulut aku macam terkunci untuk berbicara hatta sepatah perkataan pun. Aku macam.. loser.
            “Awak biasa makan kat sini ke?” soalnya sambil meletakkan kembali air di atas meja dan memandang muka aku dengan mata yang dikecilkan. Mungkin kerana kepanasan di waktu tengahari ini membuatkan dia sukar hendak membuka mata.
            “Err.. “ Sekali lagi mulut aku macam terkelu.
            Lelaki ini memandang aku lama, masih lagi dengan mata yang dikecilkan. Sambil itu sempat dia menyisip minumannya. “Awak kenal saya tak?” Soalnya.
            “Err..” aku nak cakap yang aku macam pernah nampak tapi aku tak ingat kat mana tapi mulut aku masih tak mahu mengeluarkan suara.
            “Saya harap yang saya tak salah orang. Tapi saya rasa awak ni kawan Akhbar yang pendiam tu kan?” soalnya kembali.
            Bila dia sebut nama Akhbar, terus ingatan aku macam teringat kembali peristiwa dua minggu lepas masa Akhbar ajak kami singgah minum kat kat kedai mamak lepas tu ada sorang mamat ni yang macam asyik pandang aku. Jadi, inilah mamat tu!
            “Aaahhh..” terus keluar suara aku, siap dengan tangan-tangan aku sekali terangkat dan menunjuk ke arahnya. Ya, aku dah ingat sekarang!
            “Aaahh..” dia pun ikut sama bersuara dan mengikut gerak tanganku.
            “Dah ingat dah?” Soalnya.
            Aku mengangguk sambil mengerdipkan mata.
            “Sorang je ke?” soalnya.
            “Ha’ah..” Lepas dah tau siapa lelaki ni tiba-tiba rasa kekok pula nak bersembang dengan dia sebabnya ini baru pertemuan kedua kami dan lagipun ini kali pertama kami bercakap dan lagi aku langsung tak tahu apa nama dia.
            “Selalu makan kat sini?” soalnya.
            “Kadang-kadang. Kalau lapar.” jawabku. Skema.
            “Kalau lapar? Maksudnya kalau tak lapar awak pergi makan kat tempat lainlah?”
            Aku tergelak kecil. Itu perlian atau soalan bodoh tu?
            “Eh, eh, gelak pula dia.”
            “Kadang-kadang saya bawa bekal. Kadang-kadang saya makan kat rumah. Kadang-kadang saya malas makan tengahari, dan kadang-kadang kalau saya lapar, tapi tak bawa bekal dan tak makan kat rumah, jadi saya akan datang sini dan beli makanan.” Jelasku. Sengaja aku memanjang lebarkan jawapan untuk soalan dia tadi.
            “Ooohh.. baiklah, saya dah faham.” Dia angguk dan capai lagi bekas minumannya lalu disisip sambil matanya meliar memerhati sekeliling.
            “Sebelum ni tak pernah nampak pun awak kat sini?” soalku pula. Situasi kekok tidak seharusnya dikekokkan lagi dengan suasana yang sunyi.
            “Kebetulan saya ada kerja kat area sini, tapi sebab dah tengahari, confem semua orang pergi makan tengahari saya terpaksalah tunggu kat sini dulu. Awak kerja kat area sini?”
            “Haa..ah.”
            “Nasib baik ada awak, boleh temankan saya.” Katanya.
            Ketika itu aku ternampak pekerja kedai sedang berjalan ke arah kami membawa platik yang berisi pesanan yang aku minta sebelum lelaki ini datang. Plastik itu diletakkan di atas meja dan aku membuat bayaran.
            “Ada orang kirim ke?” soalnya.
            “Tak. Sorry saya tak boleh temankan awak, saya memang tak makan kat sini, saya tapau makan kat tempat kerja. Awak duduklah ya, saya pergi dulu.” Aku bangun dan berkira-kira untuk pergi.
            “Eh, eh.. duduklah dulu.” Lelaki ini cuba menahanku, plastik berisi makanan itu ditariknya. Aku tarik balik tapi dia rampas terus dari tangan aku dan disorokkan agar aku tak boleh rampas balik.
            “Eh, janganlah macam ni. Bak lah balik bekal tu,” aku dah panik.
            “Boleh, kalau awak duduk balik dan makan kat sini.” Ugutnya.
            Aku bukan tak boleh ikut cakap dia, tapi aku rasa macam tak ada kewajaran untuk aku ikut kata dia. Aku tak kenal dia dan tak ada sebab untuk aku temankan dia semata-mata kerana dia keseorangan. Ini macam.. merepek!
            “Macamnilah.. saya tahu sesuatu tentang awak dan Akhbar dan saya pasti yang awak tak mahu orang lain tahu tentang hal itu kan?”
            “Apa yang awak tau?” okey, aku agak terkejut bila tiba-tiba dia babitkan nama Akhbar dalam drama sebabak kami ini.
            “Sebab tu awak kena duduk dulu.” Dia senyum. Mungkin terasa menang sebab dapat pancing perhatian aku.
            “Awak saja nak perangkap saya kan?” aku jadi ragu-ragu pula bila melihat senyuman dia tu.
            “Macamlah awak tu cantik sangat sampai saya kena guna cara ni untuk perangkap awak..” Dia letakkan bekal makanan aku itu di atas meja sambil menyilangkan lengannya. Nada dia bercakap macam aku pula yang tengah merayu pada dia sekarang, padahal keadaan adalah sebaliknya.
            Terus aku rasa macam darah naik ke kepala. Dia nak minta tolong orang lepas tu cakap macam tu pada orang yang dia nak minta tolong tu? Memang sengaja nak cari pasallah kan..
            “Saya sedekahkan sajalah nasi goreng saya tu pada awak. Makan baik-baik ya, jangan membazir.” Aku terus ingin pergi dengan perasaan geram yang terlampau tapi,
            “Saya tahu awak suka Akhbar!”
            Tapi sebaris ayat yang keluar dari mulut lelaki ini terus mematikan ayunan langkah kakiku. Aku memusing memandangnya dengan pandangan yang aku sendiri tak pasti bagaimana aku sedang memandangnya saat ini.

****

            “Delisya, akak nak keluar kejap pergi sekolah anak akak, dia ada buat persembahan untuk event sekolah dia, tapi hari ni jugak photographer yang nak shoot untuk baju-baju baru tu nak datang, so.. boleh tak Delisya tolong tengok-tengokkan dia?” Kak Sarah memandang aku dengan pandangan penuh pengharapan.
            “Kita? Err.. tapi kita kan tak pernah uruskan hal-hal tu, apa kata akak suruh Norly je?” Aku cuba mengelak dengan membabitkan Norly sekali dalam masalah ini.
            Aku cukup tak suka jadi bidan terjun. Selama ni kerja aku cuma menguruskan urusan pembelian dan penghantaran baju-baju di butik ini secara online, bahagian pemasaran memang bukan tugas aku, malah aku tak pernah ambil tahu tentangnya sebab semua itu kak Sarah iaitu pemilik butik ini yang buat. Aku tak berani ambil risiko atas sesuatu tugas yang aku langsung tak tahu nak buat.
            “Norly kan nak jaga kat depan, macammana dia nak ulang alik ke depan ke belakang, leceh tu. Delisya je la yang tolong akak eh? Please.. kalau bukan sebab anak akak, memang akak takkan pergi, lagipun takkan nak cancel, kesian orang tu susah-susah cari masa nak buat job ni.” Sekali lagi kak Sarah merayu.
            Aku ketap bibir. Kak Sarah dah banyak tolong aku, apalah salahnya sekali-sekala aku pula yang tolong dia kan? Akhirnya aku senyum dan angguk kepala tanda aku setuju.
            “Alhamdulillah, baru lega hati nak keluar. Baju-baju tu akak dah sangkut siap-siap, nanti bila orang tu dah datang Delisya tolong pakaikan kat patung je ya? Apa-apa hal nanti call je akak, ni akak nak pergi dah ni. Kejap lagi orang tu sampai tau..” Kak Sarah capai beg tangannya di bawah meja, telefon bimbit di atas meja dan tablet di meja kerja satu lagi sambil berjalan keluar.
            “Oh ya, nama dia Izham.” Sempat kak Sarah berhenti sekejap sebelum dia terus keluar dari ruangan pejabat ini dan bercakap sesuatu dengan Norly di bahagian luar.
            Aku teruskan dengan menyemak email dan tempahan yang tergendala tadi sebelum beberapa minit kemudiannya..
            “Echa, photographer tu dah sampai.” Norly masuk dan dibelakangnya berdiri seorang lelaki yang aku jumpa di kedai makan lebih kurang satu jam lepas. Terus aku berdiri dan tegur lelaki tu dengan cara yang agak kurang sopan.
            “Awak buat apa kat sini?!”
            “Dia nak buat kerja dialah..” jawab Norly polos. Disokong dengan mimik muka ‘mengiyakan’ dari manusia yang sedang berdiri di belakang Norly itu.
            Baru aku teringat yang Norly tak tahu apa yang berlaku antara aku dan lelaki ini sebelumnya, jadi aku tak patut buat dia lebih pelik dan ingin tahu. Sebab nak cover balik, terus aku macam..
            “Eh.. ha’ah aku terlupa pula yang aku kena cover kerja kak Sarah.. hi hi.” Aku tersengih sambil pegang kepala yang ditutupi tudung.
            “Hem.. kau buatlah apa yang patut, aku nak pergi depan ni.” Norly terus berlalu keluar dari ruangan pejabat meninggalkan aku dengan lelaki yang mengetahui salah satu rahsia besar aku ini.
            “Apa awak buat kat sini?” Soalku perlahan agar tidak didengari oleh Norly. Sesaat kemudiannya aku terfikir yang soalan aku itu salah, dah sah-sah la dia datang sini sebab nak buat kerja, kemudiannya aku bertanya lagi dengan corak soalan yang lebih tepat.
            “Kenapa mesti awak?” soalku.
            “Kenapa dengan mesti saya?” soalnya kembali.
            “Kenapa mesti awak yang akan jadi photographer hari ini dan kenapa mesti saya yang kena berurusan dengan awak hari ni?”  Soalku lagi.
            Dia cebik bibir sambil angkat kedua-dua bahunya dengan kedua-dua tangan dia sembunyikan dalam poket jeansnya sambil menjawab,
            “Sebab.. kita berdua ada jodoh hari ni.” Sambil kenyitkan mata dan senyum.
            Terus aku rasa macam nak muntah hijau sekarang juga.
            “Eeii.. tolonglah.”
            “Tolong apa? Tolong berdiri depan awak dan dengar awak mengeluh kenapalah kita ditakdirkan berjumpa dua kali hari ni?” soalnya, sarkastik.
            Aku nak balas sesuatu dengan kata-katanya itu tapi lidah aku pula jadi kelu tak tau nak cakap apa. Fine, aku kalah dengan kesinisan kata-katanya itu. Aku berjalan ke satu sudut dimana sesi photoshoot selalu diadakan apabila butik mendapatkan koleksi-koleksi terbaru untuk dipromosikan.
            Aku capai satu baju yang bergantungan dan aku sarungkan di badan patung dan aku letakkan patung itu di tempat yang mana ada satu tabir putih dibelakangnya. Aku intai lelaki ini yang kalau tak silap kak Sarah kata nama dia Izham ini. dia sedang melakukan sesuatu dengan kamera hitam di tangannya itu sambil aku membetul-betulkan letak duduk baju di patung. Bila dia kelihatan sudah bersedia untuk memulakan pengembaran, aku berkalih ke tepi  dan pura-pura sibuk melihat baju-baju lain yang bergantungan.
            Untuk beberapa minit hanya ‘bunyi cengkerik’ yang kedengaran dan itu menunjukkan bahawa kami langsung tidak bersuara.
            “Klik! Klik! Next!” dia meminta aku menukar baju yang lain pula setelah selesai dengan baju yang itu.
            Oleh kerana aku memang tak biasa buat kerja-kerja ini jadi pergerakan aku jadi macam agak lembab macam orang tak reti buat kerja langsung. Setakat nak buka zip dan tarik baju itu dari patung pun dah ambil masa hampir setengah minit.
            “Nak saya tolong ke?” Soalnya. Aku tak pasti adakah itu pelawaan yang datang ikhlas dari hati atau satu soalan yang bersifat sindiran?
            Aku nak cakap sesuatu sebagai respon kepada soalan dia tadi tapi aku tak tahu nak balas apa, jadi aku cuma memandangnya sekilas sambil menarik baju itu dari patung dan capai penyangkut baju untuk aku sangkutkan balik.
            “Aik, tanya pun marah?” katanya.
            “Siapa marah?” aku fikir mungkin kerana aku tak jawab apa-apa tadi, dia fikir aku mungkin marah.
            “Kalau tak marah kenapa jeling?” soalnya kembali.
            Terus terhenti pergerakan aku tadi, “Ha? Siapa jeling?” soalku kembali. Tak faham dengan tuduhannya.
            Dia senyum sambil menekan-nekan sesuatu pada kameranya. “Awak buat jelah kerja awak, lambat pun saya sanggup tunggu.” Balasnya.
            “Kenapa awak ni?” balasku lagi, sambil menyarungkan baju yang kedua pula. Masih tak puas hati dengan cara dia bercakap.
            “Kenapa apa?” soalnya pula.
            “Sindir-sindir saya kenapa?”
            “Eh bila pula saya sindir awak?”
            “Tadi!.”
            “Bila?”
            “Memang tak ada orang yang nak mengaku salah sendiri..” aku pula yang perli dia sambil membetulkan baju pada patung.
            “Huh?” dia buat muka pelik.
            Aku tak balas apa-apa lagi dan terus melangkah dua tapak ke belakang dan berpeluk tubuh. Menunggu dia menyudahkan kerjanya pula.
            Klik! Klik! Entah berapa keping gambar dia ambil dan dia lihat semula dari skrin kecil kameranya itu kemudian dia sebut lagi perkataan ‘Next!’ itu. Dan aku lakukan perkara yang sama seperti tadi, menukar baju dan menyangkut baju yang sedia ada.
            Dari ekor mata aku perasan yang dia sedang memerhatikan aku buat kerja. Walaupun rasa agak tak selesa tapi aku terpaksa buat-buat selamba.
            “Awak pernah terfikir tak kalau ada sekurang-kurangnya dua patung, kerja kita akan jadi lebih cepat siap?” Soalnya. Sekali lagi aku rasa soalan itu macam satu das tembakan yang terkena tepat ke hati aku dan aku terus rebah jatuh ke bumi. Okey, perumpamaan itu terlalu dramatik!.
            “Tapi awak nampak tak kat sini ada satu patung je?” balasku.
            “Cadangan saya nanti awak pesan kat bos awak suruh beli lagi satu patung untuk mudahkan kerja ‘kita’”.
            Mendengar satu persatu kata-katanya yang kedengaran sinis dipendengaranku itu buat aku jadi tak fokus untuk buat kerja sekaligus buat aku jadi makin lembab menyiapkan hatta sehelai baju pun.
            “Hisy, boleh tak awak diam je, tak payah cakap apa-apa?” rungutku.
            “Saya ada mulut, suka hati sayalah nak cakap ke tak nak.”
            “Eeish.” Aku mengeluh.
            “Okey, saya diam.” Balasnya. Mungkin tak mahu berkelahi dengan aku lagi.
            Suasana agak tenang sikit bila kami buat kerja masing-masing tanpa bersuara. Aku siap-siap tanggalkan baju seterusnya dari penyakut baju dan dia dengan kerjanya, ambil gambar.
            “Awak tak puas hati dengan saya ke?” tiba-tiba dia bertanya sambil menekan butang ‘snap’ dan cahaya flash terpancar.
            “Tak puas hati pasal apa?” soalku perlahan, gaya macam orang malas nak layan.
            “Pasal saya tanya soalan sensitif kat awak masa kat kedai makan tadi.”
            Aku diam.
            “Saya memang pandai cari kelemahan orang dan ugut orang itu dengan kelemahan dia bila keadaan memaksa. Bagi pihak saya kat kedai makan tadi, ya keadaan memaksa saya berbuat demikian.” Katanya lagi.
            “Kalau situasi tadi, bukan keadaan yang memaksa, tapi awak yang salah guna kelebihan. Tapi yang saya tak faham, kita baru berjumpa dua kali macammana awak dah boleh cari kelemahan saya?”
            “Ahhaaa… caugh! Awak dah mengaku! Hihi..” tiba-tiba dia macam teruja dan ketawa suka.
            Aku yang tak faham apa-apa ni macam blur je bila tengok muka dia macam tu, lepas tu baru aku sedar yang aku dah mengaku pada dia yang aku memang suka pada Akhbar padahal masa kat kedai makan tadi aku cuma cakap, “Merepek!” sebagai jawapan untuk kata-katanya yang berbunyi..
            “Saya tau awak suka Akhbar.”
            Kali ni aku betul-betul rasa macam dipermainkan. Spontan baju yang aku pegang aku campak ke lantai dan aku terus keluar mendapatkan Norly. Aku pesan pada Norly tolong tengokkan lelaki kat dalam tu sebab aku nak keluar ada hal kecemasan, padahal aku dah geram tahap tak tertahan yang kalau aku masih berdepan dengan lelaki itu aku mungkin akan menangis di hadapannya.
            Norly yang terpinga-pinga tidak aku pedulikan, aku terus keluar dan berjalan tanpa arah tuju.
****

            Kesempatan berjumpa dengan Akhbar seolah-olah satu rahmat bahawa Allah memahami perasaan aku lalu dia utuskan Akhbar untuk berjumpa dengan aku pada suatu pagi secara tak sengaja di pasar basah yang membawa kepada kami bersarapan roti canai di kawasan pasar itu atas pelawaan aku.
            “Aku tak tau pulak yang kau rajin pergi pasar?” soalku, sekadar pemanas bicara.
            “Hihi, mak aku la ni, tiba-tiba malas nak keluar dia paksa suruh aku belikan ikan dengan sayur dia.”
            “Sekali-sekala belajar apa salahnya ye dak? Nanti dah kahwin senang bini kau.” Aku sengaja mengusik.
            “Macam tulah yang mak aku cakap tadi. Esok-esok senang bini kamu..” Akhbar mengajuk cara emaknya bercakap. Pecah ketawa kami berdua.
            Setelah ketawa kami reda, suasana senyap seketika. Aku memandang kosong ke arah luar kedai manakala Akhbar menghirup teh panasnya sementara menunggu roti canai kami siap dimasak.
            Aku terfikir mungkin ini masa yang terbaik untuk aku bertanya Akhbar tentang Izham, tapi dalam masa yang sama hati aku berbelah bahagi. Risau dengan penerimaan Akhbar nanti. Tapi..
            “Ehem.. Izham tu kawan kau ya?” kalau tak ditanya, lagi terseksa jiwa aku dibuatnya dengan persoalan tentang Izham itu.
            “Eh, mana kau kenal dia?” soal Akhbar dengan reaksi muka pelik bercampur teruja.
            Aku senyum, “Hari tu dia ada job dengan butik kami. Kenal macam tu je..”
            “Kenal macam tu je? Eh kejap! sebelum tu korang pernah jumpa ke?” soalnya lagi. Berkerut-kerut keningnya.
            “Kan kita pernah minum sekali kat kedai mamak dulu..“ Aku cuba membawa ingatan Akhbar ke saat itu. Dia pandang ke langit, cuba mengingati balik detik itu.
            “Aku rasa selain sekarang ni, sekali je aku pernah keluar minum dengan kau, jadi masa itulah ya? Masa tu kau dengan Norly dan Maria kan?” Akhbar meminta kepastian.
            Aku angguk.
            “Oh, Izham pun ada sekali erk? Tapi bila masa pula korang berkenal-kenalan masa tu?“
            “Mana ada berkenal-kenalan. Masing-masing cam muka macam tu je la..” Okey, tipu. Cuma Izham yang cam muka aku tapi aku tak cam muka dia sehingga dia yang tegur aku dulu. Tapi Akhbar tak perlu tahu tentang itu.
            “Ohhh..” Akhbar terangguk-angguk, puas hati dengan penerangan aku.
            “Dia tu.. macammana eh perangai dia?” soalku.
            Akhbar dah pandang aku pelik.
            “Eh.. tak tak, jangan salah faham, kami kan pernah kerja sekali so aku cuma nak tau perangai dia bila bekerja je, tak ada apa-apa pun..”
            “Ah.. kalau dia mengayat kau jangan layan sangat, dia memang pantang nampak perempuan..”
            “Playboy?” soalku.
            “Kasanova Malaya lebih tepat.”
            “Tak nampak macam tu pun, selalu playboy mulut mesti nak manis, tapi yang dia ni.. hem, mulut pedas berapi.”
            “Hahaha.. mulut dia memang macam tu, kadang-kadang cara dia bergurau tu macam kasar sikit, kalau orang tak biasa memang senang terasa, tapi bila dah biasa, kalau dia buat perangai balas je macam tu balik.”
            “Tapi dia baik sebenarnya..” Tiba-tiba Akhbar macam nak naikkan saham si Izham tu pula.
            “Eh, aku tak kata pun dia jahat?”
            “Yelah mana tau lepas kena berdas-das tembakan mulut bercili dari dia kau terus judge dia sebagai lelaki jahat ke..”
            “Haha.. mana adalah.”
            “Tapi aku pelik sikit..”
            “Apa?”
            “Selalunya dia kalau dengan perempuan yang dia baru kenal, memang sehabis boleh dia cuba kawal mulut tu bagi jangan cakap lepas. Tapi apasal dengan kau dia tak kawal mulut dia ha?”
            Aku kedip mata berkali-kali. Sedang mencari jawapan yang terbaik untuk soalan yang rumit itu.
            “Kau rasa?” akhirnya soalan juga yang aku balas.
            “Mesti ada sesuatu yang tak kena..” Akhbar buat muka curiga sambil usap dagu.
            Aku dah rasa macam berdebar tak tentu hala. “Contohnya?”
            Akhbar pandang aku dengan muka serius. Kemudian sedikit demi sedikit dia mula mengukir senyuman.
            “Entah-entah dia suka kau?”
            Terus rahang aku jatuh ke bawah. “Merepek!”
            Akhbar ketawa lepas.
            Okey, aku tau Akhbar cuma bergurau. Phew..
****

            Aku sedang berjalan seorang diri hari itu semasa aku ternampak baju-baju peplum tergantung dalam sebuah kedai pakaian. Terus aku berdiri tegak di situ melihat peplum dengan pelbagai jenis warna dan potongan. Aku suka fesyen ni, aku teringin sangat nak pakai tapi aku malulah. Kalau pakai pun nak pergi ke mana?
            Aku capai peplum warna biru lembut. Sekadar meneliti rekaan baju itu dan membuat perbandingan dengan baju-baju peplum yang ada di butik kami.
            “Biru? Merah lagi sesuai untuk awak kot.”
            Tiba-tiba ada suara lelaki bercakap. Terus aku pandang kiri dan kanan lepas tu aku nampak muka mamat ini. si kasanova Malaya bak kata Akhbar. Heh, dalam ramai-ramai manusia, kenapalah si kasanova ini yang mesti aku jumpa?
            Aku sangkutkan balik baju itu dan aku terus melangkah ingin meninggalkan tempat ini. atau lebih tepat lagi aku mahu meninggalkan lelaki itu.
            “Hei, nak pergi mana tu?” panggilnya.
            Aku buat tak tahu, sibuk jelah dia ni. Tak habis-habis nak ganggu ketenteraman hidup aku.
            “Okey, saya takkan komen apa-apa. Sebenarnya biru tu pun sesuai untuk awak.” Katanya. Mungkin dia fikir aku merajuk mendengar komen dari dia itu tapi sebenarnya aku tak peduli pun.
            Dia menghalang laluan aku.
            “Tepilah,.” Kataku.
            “Awak belum pilih baju lagi.” Balasnya.
            “Siapa kata saya nak beli baju?”
            “Awak dah pegang baju tu tadi.”
            “Pegang tak bermakna nak memilih dan membeli. Tengok je tak boleh?”
            “Oh lupa. Awak pun kerja kat butik pakaian juga, buat apalah susah-susah nak beli baju kat butik lain kan?”
            “Huh, whatever..” aku terus melangkah tanpa mempedulikan dia.
            “Awak nak pergi mana? Bukan sekarang ni waktu kerja awak ke?”
            “E.L” sepatah aku menjawab.
            “Emergency Leave? Kenapa tak nampak macam ada hal kecemasan pun?” soalnya, sarkastik.
            “Bukan urusan awaklah.”
            “Tapi busybody selalu rasa semua urusan adalah urusan dia.”
            Ya Allah.. mulut dia ni macam mesin pemprosesan perkataan. Ada je modal dia nak membalas. Lagi lama aku layan dia makin gila aku dibuatnya.
            “Awak nak ikut saya tak?” soalnya.
            “Pergi mana?”
            Dia angkat kening dua kali sambil senyum.
           
***
            “Pergi sana sini asyik jumpa perempuan pakai Peplum aje. Apa yang istimewa sangat dengan design tu?” soal Izham dalam rungutan.
            “Peplum tu comel la. Tapi still menyerlahkan sifat-sifat kelembutan.” Jawabku, spontan.
            “Oh awak pun salah seorang penggemar pelum lah ni?”
            “Haruslah!.”
            “Tapi apasal macam tak pernah nampak awak pakai pun?”
            “Eh, kita baru jumpa dua tiga kali macammana awak nak nampak?”
            “Sebenarnya tak payah jumpa banyak-banyak kali pun saya dah tau yang awak memang tak pernah pakai baju tu pun kan?.”
            Terus aku pandang muka dia dalam-dalam.
            “Saya tengok cara awak pandang peplum biru tadi pun saya dah boleh baca fikiran awak. Awak sebenarnya teringin nak pakai kan?”
            “Eh awak ni pakai ilmu apa ha? Semua benda pun awak tau. Ke awak dah mandrem saya?”
            “Woit.. woit.. mandrem, mandrem jangan main eh, saya tak perlukan pertolongan jin dan syaitan. Saya cuma gunakan kelebihan yang Allah bagi ni dengan sebaik-baiknya.”
            “Kelebihan apa yang awak ada? Boleh baca fikiran orang?”
            “Tak. Tapi boleh baca gerak tubuh orang. Saya graduate psikologi.” Dia angkat bahu sambil cebik bibir.
            “Oh..” terus terdiam aku dibuatnya.
            “Kenapa tak pernah pakai peplum?” soalnya.
            “Seganlah.”
            “Segan kenapa?”
            “Rasa macam tak kena dengan diri saya.”
            “Dah cuba?”
            “Err..”
            “Belum kan? 20 tahun kemudian, awak akan menyesal dengan perkara-perkara yang awak tak buat sekarang berbanding awak menyesal sebab tersilap langkah. Fesyen Peplum ni hanya ada sekarang. Tahun depan dah tak ada dah. Rasanya tak payah tunggu 20 tahun, 2 bulan dari sekarang pun awak dah boleh menyesal.” Kata Izham.
            “Huh, cakap senanglah. Yang nak pakai tu saya, bukan awak. Yang tanggung malu kalau baju tu tak sesuai dengan saya adalah saya, bukan awak jugak.”
            “Awak tak berani pakai peplum sama macam awak tak berani nak mengakui perasaan awak sendiri?”
            “Apa awak cakap ni?”
            “Awak tahu maksud saya..”
            “Mulalah tu, nak kenakan saya lagi?”
            “Hahah.. kenakan apa pula. Saya cuma tanya, bukannya saya kenakan awak.”
            ““Menyukai tak bererti memiliki.”
            “Awak cakap macam tu sebab awak tak ada keyakinan nak cakap pada dia yang awak suka dia, kan? Itu kata-kata orang yang tak ada keberanian..” balas Izham.
            “Taklah! Ok, memang saya suka dia tapi itu tak beerti yang suka saya tu sampai saya mahu dia jadi seseorang yang penting dalam hidup saya. Suka. Just, SUKA. Awak faham tak maksud perkataan tu?”
            “Tapi bagi saya kalau awak berani, walaupun cuma suka, awak masih boleh simpan harapan yang lebih tinggi kalau awak yakin.”
            “Tapi saya cuma anggap dia macam seseorang yang.. yang.. macam penambah perasa dalam hidup saya, sekurang-kurangnya nanti saya boleh usya dia dari jauh, saya boleh simpan perasaan ni diam-diam. Saya boleh ternanti-nanti kehadiran dia, tapi saya pun takkan kecewa kalau dia ada orang yang lebih istimewa dalam hati dia.”
            Izham buat muka.
            “Errgghh! Susahlah nak cakap dengan awak ni!”
            “Tapi awak tengah bercakap dengan saya pun..”
            “Kan? Itu yang saya tak faham tu, kenapalah saya perlu bersusah payah nak terangkan pada awak?”
            “Sebenarnya awak bukan nak terangkan pada saya, tapi awak sedang cuba yakinkan hati awak yang awak rasa cukup sekadar awak ada perasaan suka tu, tapi jauh di sudut hati, awak masih berharap yang awak boleh memiliki dia.”
            “Taklaaah…” pantas aku menafikan. Kenapa aku rasa macam dia lebih faham perasaan aku lebih daripada diri aku sendiri?
            “Payung tak boleh menghentikan hujan, tapi boleh buat kita berdiri dalam hujan. Keyakinan diri mungkin tak membawa kejayaan, tapi memberi kekuatan untuk kita menghadapi apa saja cabaran.” Kata-kata motivasi Izham itu terus membuat aku terdiam lagi.
            Okey. Mungkin aku perlukan payung.

****
            “Semalam ada orang nampak kau keluar dengan Izham? Wow sejak bila korang berdua ni?” soal Norly.
            “Siapa orang tu?” soalku balik.
            “Adalah.. orang tu.”
            “Siapa?”
            “Maria..”
            “Eh, aku tak tahu pulak Maria pun kenal Izham?”
            “Habis.. dah dia kawan Akhbar, mestilah Maria kenal. Kau macam tak tau Maria tu, siapa yang dia tak kenal?”
            Aku diam saja. Dalam hati mengakui kebenaran kata-kata Norly itu.
            “Sejak bila kau dengan Izham ni?” soal Norly lagi
            “Heh? Sejak bila aku ada apa-apa dengan dia?”
            “Habis tu kau keluar dengan dia?”
            “Skeptical betullah korang ni, asal nampak perempuan dengan lelaki keluar sama je dah fikir yang diorang ada hubungan. Habis kalau seorang penjual tudung bercakap dengan pelanggan lelaki yang nak belikan tudung untuk isteri dia itu pun dikira ada hubungan juga ke?”
            “Situasi ini lain echa..aku tak pelik kalau orang lain, tapi itu kau. Orang macam kau keluar dengan lelaki, tambah-tambah lelaki macam Izham tu! Siapa tak pelik mak cik?”
            “Apa yang peliknya dengan aku? Aku bukan manusia biasa ke?”
            “Kau kan macam pemalu sikit, nak bercakap dengan orang yang kau tak kenal pun susah tup-tup keluar dengan Izham, mana tak pelik..”
            “Kebetulan aku terserempak dengan dia lepas tu dia ajak jalan sekali. Itu je. No hard feeling.”
            “Ye ke ‘no-hard-feeling’ atau dia nak mintak maaf kat kau sebab dah sakitkan hati kau masa dia datang dulu?”
            “Huh?” aku buat muka pelik.
            “Masa kau cover kerja kak Sarah hari tu, lepas tu kau tiba-tiba keluar dan suruh aku gantikan tempat kau tu, dia cakap dia dah buat kau marah, dia buat apa pada kau?”
            “Kau Tanya dia?”
            “Yelah pulak.. dah kau tiba-tiba nak keluar tanpa sebab padahal kerja belum siap, mestilah aku pelik. Kenapa., apa dia buat?”
            “Tak ada apalah. Dia tu je yang kuat sangat memerli, aku tak tahan aku tinggal je la kan.”
            “Erk?” Norly macam ragu-ragu nak terima alasan bodoh aku ni.
           
*****

            Van pos laju berhenti betul-betul kat depan rumah aku pagi ini. Kebetulan aku memang nak keluar pergi kerja, abang pos tu terus datang ke arah aku dengan bungkusan dia.
            “Delisya Hamdan..??” soalnya.
            “Saya.”
            “Nah, sign kat sini ya.” Dia hulurkan satu kertas dan sebatang pen untuk aku tandatangan. Kemudian dia hulurkan pula bungkusan itu pada aku.
            “Terima kasih.” Ucapku. Dia mengangguk dan berlalu pergi dengan van oren putihnya.
            Aku rasa aku tak ada order apa-apa barang kat internet, aku pun tak ada peminat misteri, hari ni bukan hari jadi aku, habis tu apa motifnya aku tiba-tiba dapat hadiah ni? Alang-alang dah keluar rumah, aku malas nak masuk balik dan simpan barang ni, jadinya aku bawa jelah ke butik, bukak kat sana nanti.
            Sampai di butik, aku membuka bungkusan itu. Sehelai baju peplum warna biru tua dengan lace di keliling leher dan butang di bahagian dada aku keluarkan. Bila masa aku pernah menang apa-apa giveaway kat internet sampai aku boleh dapat baju ni?
            Alu mencari sesuatu dalam kotak itu, sesuatu yang boleh bagi petunjuk kepada motif baju ini diberi pada aku dan aku jumpa sekeping nota yang tertulis.
            “Pakai baju ni atau awak akan kehilangan dia..” – Izham.
            Aku baca berkali-kali semata-mata untuk menghubungkaitkan baju ini dengan kehilangan ‘dia’ yang mana aku pasti ‘dia’ yang dimaksudkan adalah Akhbar. Eh, kejap! Kalau kiriman ni datang dari Izham, macammana dia boleh dapat nama penuh dengan alamat rumah aku?
            “Echaaa.. aku ada bawa nasi lemak untuk kau ni, tadi ada orang..” Norly berhenti bercakap sambil berjalan apabila dia melihat aku memandangnya tanpa kelip.
            “Err.. aku letak kat sini okey, nanti kau makanlah.” Katanya dan cepat-cepat ingin ghaibkan diri dari pandangan mata aku.
            “Kau ke yang bagi alamat aku pada Izham?” soalku. Langkah Norly terhenti. Dia memusing dan tersengih memandangku.
            “Tehee… dia cakap dia nak bagi sesuatu pada kau sebagai tanda maaf, lepas tu dia cakap.. selagi dia tak bagi benda tu dia akan rasa serba salah.” Kata Norly serba salah.
            “Macammana aku boleh jumpa dia?” soalku.
            “Nak buat apa jumpa dia?” Norly dah mula risau.
            “Nak cakap yang aku dah maafkan dialah..”
            “Oh..” Norly hembus nafas lega. “Aku tak ada nombor dia, dia kerja kat mana pun aku tak tahu, tapi.. apa kata kau tanya Akhbar je.”
            “Aku tak nak babitkan Akhbar dalam hal ni.”
            “Hurm..” kami berdua terdiam. Nampaknya selain bertanya Akhbar, memang tak ada cara lain untuk aku berjumpa dengan Izham atas temujanji memandangnya selama ini kami selalu bertemu secara kebetulan.
            “Assalamualaikum..” Kak Sarah datang dan memberi salam.
            Terus aku dan Norly memandang kak Sarah.
            “Kak Sarah!”
            Kak Sarah terpinga-pinga.

*****
            Aku tunjukkan kotak yang berisi baju peplum yang Izham beri itu di hadapan matanya. Selepas mendapat nombor telefon Izham dari kak Sarah, aku terus menghubunginya dan menyatakan yang aku mahu berjumpa dengannya sekarang. Tapi sebab dia kata dia ada kat rumah spontan aku cakap yang aku nak datang rumah dia sekarang. Walaupun tak tahu apa tujuan aku, dia tetap memberikan alamat rumahnya dan berjanji untuk menunggu aku di situ.
            Nah, sekarang aku sudah pun ada di hadapannya.
            “Apa ni?” soalnya. Aku tak tahu apa motifnya dia tanya soalan yang dia sendiri dah ada jawapannya.
            “Saya yang sepatutnya tanya awak, apa ni?”
            “Oh, peplum. Saya belikan khas untuk awak.”
            “Motif?”
            “Saya tak nak awak menyesal.”
            “Kenapa pulak saya nak menyesal?”
            “Macam saya cakap sebelum ni, lebih baik awak menyesal dengan perkara yang awak dah lakukan berbanding menyesal atas perkara yang awak tak pernah cuba.”
            “Tapi saya tak faham apa kaitannya baju ni dengan Akhbar? Awak nak perli saya ke apa..”
            “Awak tak berani pakai peplum sama macam awak tak berani confess perasaan awak pada Akhbar. Awak simpan perasaan teringin memiliki itu dalam hati, tapi dalam masa yang sama awak rasa sakit bila tengok orang lain dapat apa yang awak mahu. Awak stuck kat situ, tanpa berusaha untuk dapatkan apa yang awak juga mampu dapat. Disitulah saya diperlukan, untuk bantu awak keluar dari zon yang awak sendiri cipta itu.”
            “Saya rasa awak terlalu bersusah payah. Terima kasih untuk perhatian awak tu, tapi saya rasa saya boleh uruskan hidup saya sendiri. Nah, ambil balik baju awak ni. Sedekahkan saja pada kawan-kawan perempuan awak yang lain.”
            “Delisya saya tak pernah tolong orang lain sama macam saya tolong awak tau. Awak tak rasa ke yang awak patut rasa terharu dan bersyukur atas perhatian saya ni?”
            “Perlu ke?”
            “Haruslah!”
            “Dahlah, saya nak balik kerja ni. Nah ambil balik baju ni.”
            “Tak nak!”
            Aku jegil mata memandangnya.
            “Saya tak nak jadi buruk siku. Saya dah belikan untuk awak, mana boleh saya ambil balik.”
            “Habis tu awak nak suruh saya buat apa dengan baju ni.”
            “Lagi mau tanya, pakailah..”
            “Kan saya..”
            “Lebih baik awak pakai baju ni atau awak akan kehilangan Akhbar terus..”
            “Kan saya dah cakap yang saya tak berniat pun nak memiliki dia? Boleh tak awak berhenti push saya macam ni?”
            “Saya tak push awak. Kan saya kata saya cuma nak tolong awak.”
            “Awak ni kan..”
            “Awak la. “  
            Aku kalah lagi dengan dia. “Errghh..” dah tak tahu nak buat apa, aku terus pergi dengan kotak baju itu sekali aku bawa. Lagi lama aku berdebat dengan dia, lagi sakit kepala aku dibuatnya.
            “Ingat pesan saya tu, lebih baik awak pakai baju tu kalau awak tak mahu kehilangan Akhbar.” Sempat Izham melaung pada aku. Berbulu je hati aku dengar.
            Tapi semakin hampir aku kearah kereta yang aku parkir di seberang jalan, semakin perlahan dan aku terus berhenti berjalan bila aku ternampak Akhbar sedang berjalan menuju ke arah aku. Atau lebih tepat lagi, dia mungkin sedang menuju ke rumah Izham. Cuma yang menjadi persoalannya, sejak bila Akhbar ada di sini? Dia dengar tak apa yang Izham cakap tadi?
            Aku menoleh memandang Izham. Dia sedang bercekak pinggang sambil menggaru belakang kepalanya dengan tangan kanan dan reaksi muka yang sedang mengeluh ‘alamak.. habislah aku kali ni’. Dari reaksi mukanya aku pasti yang dia bukan sengaja melaung nama Akhbar kuat-kuat kerana dia nampak lelaki ini, tapi dia juga seperti aku yang tak sedar akan kehadiran Akhbar.
            “Siapa yang nak hilang aku ni?” soal Akhbar lalu dia berdiri di sebelahku sambil memandang aku dan Izham silih berganti.
            Aku dah macam hilang punca. Apa aku nak cakap, apa patut aku buat. Sekejap-sekejap aku pandang Izham kemudian pandang Akhbar balik, sambil pandang kereta aku di seberang sana.
            “Woi, apa mimpi datang rumah aku pagi-pagi ni?” soal Izham,. Menukar topik perbualan.
            “Aku datang sebab aku ada job nak bagi pada kaulah. Echa buat apa kat sini?” Akhbar bertanya pada aku.
            “Err.. aku.. haa..”
            “Aku order baju dari butik dia lepas tu, aku paksa dia suruh hantarkan ke sini.” Izham menjawab bagi pihakku.
            “Ha.. ha’ah..” aku terangguk-angguk.
            “Oh.. tapi siapa yang akan kehilangan aku tadi?” sekali lagi Akhbar bertanya.
            Aku rasa macam nak pengsan duduk dalam situasi ini.
             
****
            Mungkin betul kata Izham. Aku terlalu merendah diri sehingga aku rasa macam tak layak untuk hidup. Aku membina jurang yang dalam sehingga aku rasa tak mampu nak melangkah keluar dari zon gelap yang aku sendiri cipta. Semalam, masa Akhbar tiba-tiba muncul di saat kami sedang berbicara tentangnya, aku mula rasa yang sampai bila aku nak simpan perasaan ni pada dia senyap-senyap? Sampai bila Izham mahu terus menerus mengugut aku dengan isu ini? Sampai bila semua ini akan berterusan? Lalu aku tinggalkan Izham dan Akhbar, dan berserah saja pada Izham apa alasan yang dia mahu beri untuk soalan Akhbar itu.
            Disaat aku jatuh dalam lopak berselut yang dalam dan kotor itu, muncul Izham datang menghulurkan tangan tapi aku dengan sombong dan egonya, menolak pertolongan itu, akibatnya aku tenggelam makin dalam, makin aku rasa yang aku tak ada harapan untuk memasang harapan. Tapi sebab Izham tak pernah jemu menghulur, mungkin aku patut sambut huluran tangannya agar aku boleh keluar dari lopak yang kotor ini dan meneruskan kehidupanku dengan impian dan harapan yang patut aku capai.
            Tak kisahlah siapa pun Izham, sesinis manapun mulut dia. Dia tetap manusia biasa yang dengan ikhlas hati mahu menolong aku. Bukankah kita patut menerima pertolongan orang tanpa mempedulikan perangai buruknya?.
            Kerana itu, hari ini aku tepis rasa rendah diri aku dan berpegang pada prinsip ‘payung’ Izham dan aku memakai peplum pemberian ikhlasnya ke tempat kerja. Bila dah pakai baru aku rasa yang sebenarnya peplum ini adalah sejenis pakaian yang bila aku pakai orang takkan pandang aneh terhadapku semata-mata kerana aku buta fesyen. Rasa macam bodoh je nak pakai peplum pun nak malu, bukannya aku tak pakai baju langsung pun, kan?.
            “Ohmypeplum! Echaaa… comeeeelllnyaaaa pakai peplum!” Baru je aku masuk dalam butik, Norly terus menjerit memandang aku.
            Aku tak tau samada aku patut tersipu-sipu malu atau lempang Norly sebab bagi reaksi terlampau macam tu.
            “Ni baju yang Izham bagi tu ke?” Soal Norly lagi.
            Okey, aku sedang tersipu-sipu bila Norly sebut nama Izham. Rasa macam ‘siapa Izham tu weh? Pak we aku ke yang kau sebuk-sebuk nak sebut nama dia?’ gitu..
            “Ha’ah..” jawabku.
            “Call la dia suruh dia datang.” Tiba-tiba Norly suruh aku buat sesuatu yang agak memelikkan.
            “Hey, nak buat apa?” terus aku bercekak pinggang.
            “La.. nak tunjuk pada dia yang kau pakai baju nilah.”
            “Esyh. Merepek je kau..”
            “Uhuk.. uhuk.. siapa yang dok sebut nama Izham nih? Asyik tersedak je saya dari tadi.” Tiba-tiba Izham masuk sambil menepuk-nepuk dadanya dan berpura-pura terbatuk.
            Terus aku rasa macam nak ghaibkan diri dari tempat ini. Sebelum Izham ternampak aku, cepat-cepat aku  lari sembunyikan diri, tapi Norly dengan pantas menahan aku dari berlari.
            “Izham tengok ni, comel tak Echa pakai peplum.” Norly berusaha memusingkan badan aku menghadap ke arah Izham sedangkan aku sedaya upaya cuba melepaskan diri.
            “Haahh..” itu je reaksi Izham.
            Aku rasa pipi aku panas.
            “Comel kan? First time kite tengok Echa pakai baju-baju macamni tau, kalau tak jenuh kite dengan kak Sarah  paksa pun dia tak nak pakai. Apa lah yang awak dah buat pada kawan kami ni..”
            Izham tersenyum puas hati. Dia berjalan mendekati aku dan serentak itu Norly pun beralih ke meja kaunter.
            “Kalau awak dah ada keyakinan untuk pakai peplum maksudnya awak dah bersedia untuk berhadapan dengan dia?” soal Izham. Sehabis boleh cuba diperlahankan suaranya agar tidak didengari Norly.
            “Tak. Saya pakai peplum bukan sebab saya tak mahu kehilangan dia, tapi sebab saya sedar ada sesetengah perkara yang kita perlu lepaskan dan ada sesetengah benda yang kita kena dapatkan.”
            “Maksud awak?”
            “Saya pilih untuk pakai peplum sebab saya memang dah teringin sangat nak pakai dan saya akan lepaskan Akhbar sebab malam tadi saya stalk facebook dia, rupanya dia dah ada awek. Okey yang sebenarnya saya dah lama tau dia dah ada awek tapi saya masih simpan “harapan” kot-kot diorang putus, tapi.. malam tadi saya rasa cukuplah tu sebelah tahun simpan rasa suka pada dia. Mungkin saya perlu move on dan cari orang lain untuk saya suka pula.” Aku tergelak. Malu mengakui hal ini pada Izham tapi selagi tak bagitau selagi tu rasa macam tak best sebab alang-alang dia dah tau semuanya tentang Akhbar.
            Izham senyum lagi.
            “Tak sangka eh, terus berubah pendirian awak lepas pakai peplum pemberian saya ni. So..  apa kata awak simpan rasa suka awak tu pada saya pulak. Saya teringin juga nak rasa perasaan ada secret admirer ni.” Katanya. Sekarang aku rasa mulut dia memang manis.
            “Kasanova Malaya macam awak tak ada secret admirer? Memang penipu besar.”
            Terus kelat muka Izham. “Mana awak tau gelaran saya tu?”
            “Adalah..” balasku dan terus aku berpusing masuk ke ruangan pejabat sambil tersenyum lega.
            Kadang-kadang kita bukan tak boleh melangkah kehadapan sendirian, tapi kita cuma perlukan anjakan dan sokongan dari sesuatu untuk kita tepis anasir-anasir jahat dari dalam diri kita sendiri. Rendah diri itu adalah bakteria dari dalam diri aku, dan Izham adalah antibodi untuk aku menepisnya.
            Dan Akhbar, cuma ‘bunjut dalam sup’ dalam hidup aku. Bak kata Balkis dalam Plain Jane.


Cik miaKaftiya menggayakan Peplum di fitting room. Hewhewhew ;p