http://img10.imageshack.us/img10/7733/contactm.png

Saturday, June 5, 2021

Doa-doa yang dimakbulkan

 (Tulisan bulan puasa tahun tahun lepas yang tak berjaya disiapkan. Saja nak simpan sini 🤪)


di bulan ini, setiap lintasan hati akan menjadi kenyataan dalam sekelip mata. Katanya inilah bulan setiap permintaan yang baik mahupun yang buruk mungkin dimakbulkan.


buktinya, hari tu aku menempelak dalam hati apabila melihat seorang lelaki membawa plastik hitam dengan muka selamba sedangkan baru 3 hari berpuasa, selang dua tiga hari kemudian, aku pula berdiri di kedai mamak sedang memesan sekeping roti canai yang dibungkus dalam plastik hitam. Aku menempelak diri sendiri kerana perbuatan aku terhadap orang lain berbalik kepada diriku sendiri. 


Sebagai perempuan yang mempunyai sebab kukuh untuk membeli makanan di kedai, aku tak pernah gunakan kesempatan itu semata-mata untuk memalukan diri sendiri. Lebih baik aku masak di rumah, sedangkan membeli makanan di bazar pada pukul 3 petang dalam keadaab cuti pun dah cukup buat aku malu dan paranoid merasakan semua orang tahu aku tak puasa, apatah lagi membeli sebungkus roti di kedai runcit. 


Aku takkan sekali-kali menjatuhkan maruah aku dengan sebungkus plastik hitam. 


Tapi kerana kasih kepada ibu yang demam dan mengidam roti canai aku terpaksa juga menjatuhkan maruahku buat kali pertama.


entah apa sebabnya ibu tiba-tiba demam dan tak larat bangun sedangkan selama ini, sesakit mana pun ibu, dia jugalah yang akan bangun masak dan keluar ke pasar, tak pernah aku melihat dia terbaring lesu begini hanya kerana berpuasa. Lagi tak logik bila dia mengidam roti canai. Ibuku mana suka makan roti canai! Liat dan susah nak kunyah katanya. Gigi palsu yang dipakainya buat dia tak selesa mengunyah makanan kegemaran aku itu. 


kerana itu aku fikir, ini semua bukan kebetulan, akan tetapi pantulan daripada lintasan hati aku terhadap lelaki yang tak bersalah itu. Mungkinkah dia juga membeli roti canai untuk orang yang sakit di rumahnya?


Tapi itu belum cukup menjadi bukti kukuh untuk aku percaya, sehingga kali kedua lintasan hati aku menjadi nyata;


Ketika menjemur cadar di ampaian melalui tingkap, aku terhidu bau hapak dari baju dan seluar abah yang diguna untuk berkebun, hasil serapan peluh yang diperan selama berhari-hari, tidaklah aku pasti sudah berapa hari baju itu digunakan– terjemur elok di ampaian. Dalam hatiku terdetik, 'kenapalah tak dibasuh sahaja baju itu setiap hari, walaupun untuk berkebun, sekurangnya bau baju itu takkan sehapak ini.'


Selesai aku menyidai cadar nak berkalih dari tingkap, aku dengar bunyi sesuatu terhempap sesuatu, perlahan tapi aku pasti telinga aku mendengar. 


Aku berkalih semula ke tingkap dan mendapati baju yang elok tergantung tadi sudah jatuh ke tanah, mengenai lopak air. Hati aku yang malas mahu keluar untuk kutip baju itu mencadangkan agar aku berlalu pergi dan buat tak tahu saja, tapi fikiran ku yang lebih takit kalah abah membebel sebab bajunya kotor membuatkan aku mengomel sambil keluar dan mengutip baju di bawah ampaian. 


Satu kerja lagi nak kena pulas mesin, tunggu lagi sehingga habis dan perah lalu jemur.  


Sekali lagi aku mengingatkan diri supaya jaga hati dan mulut agar tidak terlintas perkara buruk sebaliknya bercakap hanya hal hal yang baik semata supaya perkara yang baik-baik saja yang akan berlaku. 


*****


Ramadan setiap tahun sama sahaja bagi saya, di awal puasa saya menyenaraikan beberapa azam seperti banyakkan membaca quran, solat terawih dan solat di awal waktu, tapi hari demi hari berlalu dalam bulan ramadan, satu persatu azam itu saya tinggalkan dek kerana kemalasan, terlupa, terleka dengan hal-hal dunia akhirnya ramadan hanya jadi satu bulan dimana saya hanya menahan diri dari lapar dan dahaga sahaja. 


Untuk tahun ini contohnya, saya sudah memasang niat untuk solat terawih di masjid kerana tahun lepas sekali pun saya tak berpeluang untuk pergi kerana saya telah tertinggal hari pertama, yang menyebabkan kemalasan pada hari-hari seterusnya. Selain itu saya berniat untuk solat dhuha setiap hari selama 30 hari dengan harapan hal itu akan menjadi rutin yang tidak boleh ditinggalkan, memandangkan selalunya saya solat dhuha hanya pada setiap kali teringat, atau ketika rajin sahaja. Itu boleh dihitung perumpamaannya sebulan sekali. Saya beranggapan solat dhuha membuka pintu rezeki walau hanya dilakukan sekali sekala, tapi yang sebenarnya, jika dilakukan secara berterusan, bukan sahaja pintu rezeki tapi juga dosa-dosa kita akan diampunkan.

 

Perkara ketiga yang berada dalam senarai untuk dibuat sepanjang ramadan saya, solat di awal waktu. Kebiasaannya saya solat zohor pukul 2.30 ke 3 petang, sedangkan azan pada pukul 1.30 petang. Solat asar pukul 6.40 petang dan maghrib pada 8 atau kadang ke 8.15 kerana saya terleka bermain telefon ataupun bersembang dengan mak. Tabiat itu yang perlu saya ubah pada bulan ini.