http://img10.imageshack.us/img10/7733/contactm.png

Friday, January 25, 2013

Cerpen : Gula-gula kapas





           
GULA-GULA KAPAS

            “Nak pergi mana ni?” Soal emak ketika aku menyalaminya yang ketika itu sedang duduk menonton tv di ruang tamu sebelum aku keluar.
            “Keluar kejap, jumpa kawan.” Jawabku lalu berjalan ke arah pintu dan membuka almari kasut dan aku keluarkan sepasang kasut flat berwarna biru tua.
            “Kepala tu tak ingat nak tutup ke?” soal emak sinis.
            Aku senyum saja. “Pergi dulu mak!” kataku lalu terus keluar. Dah biasa sangat perlian emak tentang aku yang tak reti nak bertudung ini aku dengari, tapi setiap kali itulah aku buat tak tahu dan pekakkan telinga.
            Alasan aku, dah kahwin nanti aku pakailah..
            Bila mak tanya, bila aku nak kahwin?
            Pun aku senyum je, aku perempuan, keputusan bukan terletak di tanganku. Bila Iqba dah ajak aku kahwin nanti, baru aku ada jawapan nak bagi pada emak. Tapi masalahnya sampai sekarang pun Iqba masih tak sebut apa-apa pasal kawin walaupun kami dah bercinta selama dua tahun.

*****

            Bila kawan-kawan aku tanya, “Apa ciri-ciri lelaki idaman kau?”
            Jawapan aku haruslah nak yang gempak dan baik-baik saja kan, macam.. ”Yang bekerjaya, bertanggungjawab dan yang paling penting, beriman. Sebab nanti dia yang akan bimbing aku ke syurga.” Budget jawapan itu dah cukup baik dan hebatlah untuk buat orang kagum dan fikir.. oh, bagusnya dia..
            Tapi ciri-ciri yang ada pada Iqba cukup sekadar dia bekerjaya, ada rupa, ada harta, nampak seperti bertanggungjawab tapi.. aku tak pasti adakah dia cukup beriman untuk pimpin aku bila kami dah kawin nanti?
            “B.. mak i dah bising suruh I pakai tudung. You rasa macammana?” Soalku pada satu pertemuan kami.
            “Macammana apa?” soalnya semula sambil membelai rambut panjangku.
            “Yelah.. you rasa I patut mula pakai tudung ke?”
            “Buat apa pakai tudung, rambut dah cantik nak tutup buat apa. Nanti macammana I nak pegang rambut you lagi..” rungut Iqba.
            Aku senyum. Aku tahu Iqba memang suka dengan rambutku. Kadang-kadang dia yang bayar kos aku pergi salon, dan dia sendiri pesan agar aku jangan potong rambut dan jangan warnakan sebab rambut aku dah semulajadi hitam dan berkilat. Dia tak nak rambut aku rosak.
            “Kalau nak pegang rambut I selalu, kenalah kahwin dengan I, hari-hari you nak belai rambut I pun tak ada siapa nak kisah.”
            Usapan Iqba pada rambutku terhenti.
            “Buat apa kahwin muda-muda, I nak kumpul asset dulu.. dah ada semua baru boleh fikir pasal kahwin.” Katanya.
            “Aset apa lagi? You dah ada kereta, dah ada kerja tetap, dah ada rupa, ke you nak buat badan berketul-ketul pulak?” gurauku sambil ketawa.
            “Sayang.. dalam hidup ni kita cuma ada satu peluang. Zaman kanak-kanak I dah berakhir, zaman remaja I pun dah berakhir, sekarang zaman bujang I, zaman I nak kumpul harta dan asset untuk I realisasikan impian yang I simpan masa zaman remaja dulu. Kalau I kahwin sekarang, macammana I nak capai impian I? Kan?”
            Aku diam. Dalam hati turut mengiyakan kata-kata Iqba itu. Aku juga punya impian yang ingin aku laksanakan, aku faham maksud dia.
            “Apa impian you?” soalku.
            “Impian I.. ada banyak! Salah satunya, I nak travel ke luar negara.” Jawab Iqba dengan mata yang menggambarkan seribu keinginan yang ingin dicapai.
            “Lagi?” Soalku sengaja melayan.
            “I nak beli rumah. Sebagai lelaki, apa yang paling penting sebelum dia berkahwin adalah ada rumah sendiri. So nanti tak adalah bini dia bergaduh dengan mak mertua duduk satu rumah pulak..” Iqba mencuit hidungku.
            Aku ketawa. Dalam diam aku melihat sikap bertanggungjawab yang ada pada iqba itu.
            “Lagi?”
            “Lagi? Adalah.. mana boleh I bagitau semua. You pulak, apa impian you?” soalnya.
            “I pun ada banyak impian jugak, tapi mana boleh I bagitau semua pada you kan..”
            “Okeh, salah satunya?”
            “Ermm.. impian terbesar I adalah nak kahwin dengan lelaki yang boleh bahagiakan I.” Jawabku, yakin.
            Iqba dah angkat kedua-dua kening dan diherotkan sedikit mulutnya. Mungkin pelik dengan impian aku yang kononnya impian-terbesar ini.
            “Itu. Je?” Soalnya.
            Aku mengangguk. “Itu je. So you boleh penuhi tak?”
            “Kalau setakat nak bahagiakan you, petik jari je. Bukan sekarang pun you dah bahagia dengan I ke?”
            “Bahagiakan I dalam perkahwinan..” tekanku.
            “Oh..” dan Iqba terdiam. Kemudian dia hembus satu keluhan kecil.
            Tiba-tiba aku jadi ragu-ragu mendengar keluhan itu. Jika diamati betul-betul, impian terbesar aku itu tidak semudah seperti yang orang fikirkan. Membahagiakan seorang isteri bukan satu tugas yang mudah. Kerana itu aku jadikan ianya sebagai impian yang paling aku ingin capai selain aku mahu beli kereta dan melancong ke jepun.

*****
            Iqba turunkan aku kat depan pagar rumah.
            “Tak nak masuk dulu?” pelawaku.
            “Tak apalah, lain kali je..” balasnya.
            “Ok, masuk kali ni dah puluh kali..”
            “Eh, ada orang ke kat rumah you?” cepat-cepat Iqba memintas kata-kataku.
            Aku mengeluh faham. Masuk kali ini dah berapa puluh kali ayat ‘lain kali’ itu diberikan setiap kali aku ajak Iqba singgah ke rumah. Aku tau yang sebenarnya dia belum bersedia untuk jumpa emak dan ayahku.
            “Oklah, I masuk dulu.” Aku hulurkan tangan kepadanya. Dia sambut dan aku cium tangannya, dan dia pula mencium tanganku. Kebiasaan itu sudah kami lakukan sejak bulan pertama kali menjalinkan hubungan. Sampai dah terbiasa dan rasa kekok kalau tak buat.
            Aku keluar dari kereta, menunggu sehingga dia pergi sebelum aku mula melangkah masuk ke rumah. Memang nampak seperti ada tetamu bila melihat banyak kasut di muka pintu. Siapa ya?
            “Assalamualaikum. Suami kemana?”
            Hampir terlompat aku kerana terkejut apabila disergah satu suara lelaki secara tiba-tiba. Aku memandang ke arah taman kecil di bahagian kiri rumahku. Ada seorang lelaki memakai baju T warna krim berkolar dipadankan dengan seluar jeans sedang duduk bersantai di atas kerusi betul-betul bawah pokok ceri.
            “Suami?” Soalku. Agak pelik dengan soalannya.
            “Yang dalam kereta tadi tu, bukan suami ke?” Soalnya.   
            Dalam kereta? Maksud dia Iqba?
            “Oh.. kami belum berkahwin.” Balasku walaupun dalam fikiran aku masih terfikir-fikir siapakah gerangan lelaki ini.
            “Dah tu, tunang?” soalnya lagi.
            “Pun belum..” aku melangkah setapak, berkira-kira untuk masuk ke dalam rumah.
            “Saya ingat suami isteri je yang amalkan sistem salam bersalaman..” katanya perlahan. Tapi sebenarnya nada dia bercakap tak cukup perlahan kerana setiap butir bicara yang sinis itu masih mampu menembusi telingaku.
            Aku menoleh memandangnya, tajam. Kemudian aku terus melangkah lebih laju masuk ke dalam rumah.
            “Assalamualaikum..” salam diberi, dan serentak itu semua mata memandang ke arahku.
            Dalam tersipu-sipu malu aku bersalaman dengan seorang wanita sebaya emak, seorang budak perempuan dan terus lari masuk ke bilik. Tapi baru je sempat letak beg tangan, mak dah panggil aku suruh keluar. Haish, ini yang leceh ni, mak suka tayang aku pada tetamu yang datang. Yang aku pula suka terperap dalam bilik kalau ada tetamu yang aku tak kenal datang.
            “Atikah.. mari sini.” Panggil emak lagi.
            Dalam keterpaksaan aku seret juga kaki melangkah keluar dari bilik dan menuju ke ruang tamu. Kerana tiada lagi kerusi kosong untuk aku duduk, makanya aku cuma bersimpuh di atas lantai bersebelahan dengan sofa emak.
            “Inilah Atikah.. kat rumah ni tinggal dia sorang je la, Amin dah duduk kat KL kerja sana, Akim pula duduk asrama..” cerita emak kepada kawannya ini. Aku cuma paksa diri untuk senyum sambil menunduk memandang lantai.
            “Dah besar dah Atikah.. dia sebaya Ayien kan?” soal mak cik itu.
            “Ha’ah.. sebaya Ayien. Ini pun entah dia kenal entah tidak dengan kawan lama dia tu..” balas emak.
            Ayien? Kenapa tiba-tiba aku rasa macam familiar dengan sebaris nama itu? Aku angkat kepala pandang emak, berhasrat untuk bertanya sesuatu tapi dalam masa yang sama tak mahu didengari oleh mereka.
            Emak pula tersenyum membalas pandanganku, seperti faham reaksi muka aku emak pun mula menjelaskan status tetamu ini.
            “Tak kenal ke mak cik Rosnah?” Soal emak.
            Aku garu kepala, “Mak Cik Rosnah..” rasa macam kenal, tapi macam tak kenal.
            “Dah lupalah tu, dah sepuluh tahun tak jumpa..” sampuk pak cik itu.
            “Ini pak cik Radi jiran kita masa kita duduk kampung dulu..” sampuk ayah pula.
            “Pak Cik Radi? Yang jual burger tu ke?” soalku semula. Mula terimbau kenangan burger pak cik Radi yang selalu aku dapat makan free dulu.
            “Ha.. pak cik Radi burger lah ni.” Sambut pak cik Radi dengan sengihan di bibir. Mungkin bangga kerana aku masih mengingati dirinya. Manakan tidak, masa aku kecil-kecil dulu kat gerai pak cik Radi itulah tempat aku bertenggek, menunggu pak cik Radi bagi burger percuma. Ditemani anak pak cik Radi si Ayien tu.
            Aku mula tersenyum. “Ah.. pak cik dengan mak cik ke, ingatkan siapalah tadi.” Sekali lagi aku bangun dan bersalaman dengan mereka berdua padahal awal-awal tadi dah salam dah.
            “Dah jumpa Ayien?” soal mak cik Rosnah.
            “Ayien?”
            “Assalamualaikum..” serentak itu Ayien masuk dan memberi salam. Kami memandang diantara satu sama lain. Jadi dialah Ayien? Mamat si mulut celupar tu? Huh, tak hairanlah..
            Aku duduk bersimpuh kembali di atas lantai manakala Ayien mengambil tempat duduk di atas kerusi, berhimpit dengan adik perempuannya.
            “Hai, kawan lama berjumpa senyap saja ke?” Tegur ayah. Merujuk kepada aku dan Ayien yang masing-masing buat tak tahu diantara satu sama lain.
            “Ambil mood dulu la tu, dulu lain, sekarang dah lain..” balas mak cik Rosnah.
            Aku senyum saja. Kadang sempat juga mata aku terlepas memandang Ayien. Kalaulah dia tak mulakan pertemuan semula kami selepas 10 tahun ini dengan mulut celuparnya tadi tentu sekarang aku sudah menegurnya seperti kawan lama.

*****
            “Apa mimpi mak cik Ros tiba-tiba datang rumah kita hari ni?” soalku selepas kepulangan mereka. Pinggan mangkuk selepas makan malam tadi aku cuci, manakala emak menyimpan baki lauk ke dalam peti ais.
            “Ayien dapat kerja kat sini, kebetulan pula dia pun duduk menyewa tak berapa jauh dari sini, itu yang macik Ros terus datang singgah tu..”
            “Ayien kerja apa?”
            “Pereka grafik ke apa entah acik Ros cakap. Dulu dia kerja biasa je kat kampung tu, sekarang ni baru terbuka luas pintu rezeki dia, Alhamdulillah.”
            “Dia nak kahwin ke apa?” soalku lagi.
            “Kenapa pulak?”
            “Yelah, selalunya orang yang nak kahwin pintu rezeki terbuka luas..”
            “Hisy tak semestinya nak kahwin baru pintu rezeki terbuka. Ada rezeki dia kat sinilah tu..”
            “Hem..”
            “Kamu nanti, rajin-rajinlah tengokkan dia. Dulu dia kat kampung, sekarang kat Bandar, bukannya dia biasa sangat kat sini..”
            “Haish, dia lelaki mak.. pandailah dia bawa diri.” Balasku, serentak dengan pinggan terakhir pun habis aku bilas, terus aku lap tangan dan berlalu masuk ke bilik.
            Malas aku nak dengar emak membebel pasal hubungan persahabatan antara aku dan Ayien, yang menjadi tiket, aku harus juga jadi penjaga mamat celupar itu di sini.

*****
            “Kau dari dulu sampai sekarang tak berubah kan?” kata Ayien.
            Untuk satu hari ini aku harus menghabiskan masa bersama-samanya semata-mata untuk menunjukkan dia jalan kesana dan kesini kerana dia memang sangat ‘fresh’ baru keluar dari kampung sampaikan kat pekan ipoh ini pun dia masih belum pernah explore. Jadi untuk memudahkan urusan dia sebelum dia mula bekerja nanti, emak dan ayah mencadangkan aku menjadi tourist guide untuk dia mengetahui kedudukan bank, masjid, pasaraya, dan perkara-perkara yang mungkin penting untuknya.
            Kalau bukan kerana dia pernah jadi kawan aku, rasanya memang aku tak rela nak buat kerja amal ini.
            “Tak berubah lebih baik daripada berubah jadi lupa diri, lupa kawan. Aku rasa kalau aku berubah, memang aku takkan duduk dalam kereta kau sekarang ni.” Balasku.
            “Tahap kelembapan otak kau pun tak berubah jugak eh? Maksud aku berubah ke arah kebaikan la dol.. bukan ke arah keburukan.” Katanya, main lepas je.
            Aku ketuk kepala dia dengan buku lima aku. Sukahati je nak kutuk aku dengan tahap kelembapan otak aku.
            “Adoi! Apa ni main ketuk kepala orang. Mak aku marah la..”
            “Kau pun sama, mulut celupar kau memang tak pernah berubah kan?”
            “Aku bukan celupar, aku cuma berterus terang. Kau kena faham konsep dan perbezaannya.” Balas Ayien.
            “Yang aku faham, kau berterus-terang ke kau cakap ke, apa saja yang keluar dari mulut kau memang akan kedengaran celupar.”
             “Ya.. mungkin itu kelebihan yang Allah bagi pada aku. Aku terima dengan hati terbuka..” balasnya. Tenang.
            Aku pandang muka dia dalam-dalam dengan pandangan mengjengkelkan. Adakah dia sedang memerli aku atau..
            “Dah lama ke kau bercinta dengan budak tu?” Soal Ayien, tidak mengendahkan pandangan kerek aku terhadapnya.
            “Apasal nak tahu?” soalku, mula memandang ke hadapan semula.
            “Sebab aku busybody.”
            “Baguslah kalau kau tahu.”
            “Ya, aku memang tahu.  Dia orang mana?”
            “Perlukah kau tahu?”
            “Terpulang pada kau untuk tentukannya. Kerja apa?” balas Ayien dan dia terus menerus bertanyakan soalan lagi.
            “Tukar topik please.”
            “Dah sepuluh tahun aku tak jumpa kau, bila kita berjumpa semula pada pertemuan pertama selepas sepuluh tahun dan aku nampak kau dengan seorang lelaki dah tentu tentulah hal itu yang aku nak tahu dulu. Kemudian barulah ke perkara-perkara lain yang seterusnya..” balas Ayien. Itu menunjukkan yang dia masih mahu mengetahui serba sedikit tentang Iqba. Tapi patut ke aku bagitau dia?
            “Oklah, memandangkan kau dulu pernah jadi rakan sepermainan aku, so aku izinkan kau bertanya soalan-soalan yang rasional untuk aku jawab. Silakan dengan soalan pertama.”
            “Siapa nama dia?”
            “Siapa dia?”
            “Pak we kaulah.”
            “Ehem.. Iqba.”
            “Umur?”
            Aku dah ketap bibir. Umur pun nak tau ke? “Tua dua tahun dari kita, 27”
            “Pekerjaan?”
            “Programmer.”
            “Woah?” Ayien bagi reaksi kagum. Dan aku balas dengan reaksi bangga.
            “Err.. orang mana?”
            “KL..”
            “Bila nak kahwin?”
            Tak ada jawapan.
            “Bila nak kahwin?” Soal Ayien lagi.
            “Tak tahu” jawabku, sepatah.
            “Kenapa tak tahu?”
            “Sebab keputusan bukan di tangan aku.”
            “Maksudnya dia belum lamar kau lagi?”
            “Some kind of..”
            “Eh, perempuan pun boleh lamar lelaki apa..”
            “Eww.. memalukan kot.” Pantas aku beri reaksi begitu.
            “Bagi orang melayu memang memalukan, tapi bagi islam tidak. Kalau seorang perempuan itu rasa dia dah bertemu dengan lelaki soleh yang boleh membimbing dia ke jalan Allah, maka wajib baginya meminang lelaki itu..”
            Kata-kata Ayien itu jauh meresap ke dalam hati aku. Tapi persoalannya, cukup solehkah Iqba untuk aku melamar dia?
            “Well.. I’m not that desperate to get married so soon.” Balasku setelah lama terfikir.
            “Berapa lama dah kau dengan dia?” soal Ayien lagi.
            “Almost 2 years..”
            “Baik korang kahwin cepat. Lagi lama korang kawan, lagi banyak pula maksiat yang mungkin terbuat.”
            Kali ini lengannya pula jadi tempat untuk aku pukul. Sedap mulut dia je nak cakap aku buat maksiat.
            “Ouch, boleh tak kau jangan sentuh aku sesuka hati? Haram tau tak.”
            “Oh, nak cakap pasal halal haram pula kat sini. Tuduh orang buat maksiat tu tak rasa bersalah pula?”
            “Aku bukan tuduh.. aku cuma ingatkan. Maksiat tu bukan sekadar buat hubungan terlarang, maksiat tu boleh jadi sesuatu yang ringan macam pegangan tangan ke..”
            “Hei, aku tak buat benda-benda terlarang itulah!” marahku.
            “Iya, aku tau kau tak buat sebab tu aku ingatkan. Aku suruh kahwin awal. Bukan aku tuduh..”
            Aku kalah untuk melawan kata-katanya lagi. Seperti ada sesuatu yang lain dalam diri Ayien sekarang. Dia macam dah berubah, ke arah kebaikan?
            Tapi mulut dia memang tak berubah!..

*****

            Bila aku jumpa Iqba, aku cuba untuk tidak bangkitkan soal kahwin lagi, tapi setiap kali aku tengok muka dia setiap kali itulah fikiran aku akan memikirkan tentang perjalanan hubungan kami. Sejauh manakah perhubungan ini akan terjalin? Adakah sampai ke alam perkahwinan? Atau sehingga ke akhir usia? Atau.. terputus di tengah jalan begitu saja? Oh..
            “B..” panggilku, perlahan.
            “Hem?”
            “I love you.” Ucapku, tulus dari hati.
            “Me too.” Balas Iqba sambil menyisip minuman sambil memandang ke sekeliling.
            “B..” panggilku lagi. Fikiran aku sebenarnya agak terganggu sekarang ini.
            “Hemm..”
            “You rasa sejauh mana hubungan kita ni akan pergi?”
            Sekarang barulah iqba memberi tumpuan pada aku.
            “Maksud you?”
            “Sampai bila kita nak macam ni?”
            “Kita bahagia macam ni kan?”
            “Ya.. tapi bukan ke ini cuma bahagia yang sementara? Sampai bila kita nak hidup dalam bahagia yang sementara ni? Bila kita nak cipta bahagia yang kekal?”
            Iqba senyum. Sinis.
            “Apa yang you cakap ni?” soalnya.
            Aku mengeluh.
            “I tau kita dah bincangkan hal ni banyak kali, tapi I rasa tak selamat.”
            “Tak selamat apanya?”
            “Tak selamat selagi I belum sah jadi isteri you.”
            Iqba tersedak. Aku hulurkan tisu kepadanya yang sedang terbatuk-batuk itu.
            “Sayang.. kita dah berbincang kan..”
            “Ya, but..”
            “Look. Kalau betul jodoh kita kuat, terpisah beribu batu pun, kita pasti akan bertemu juga.”
            Aku tunduk. Aku tak suka guna perkataan jodoh itu. Ianya hanya menunjukkan yang Iqba tidak betul-betul serius dengan perhubungan kami. Seolah-olah dia akan terima dengan hati terbuka jika satu hari nanti kami mungkin akan berpisah.
            “B.. I love you.” Ucapku, cuba sampaikan padanya bahawa aku betul-betul sayangkan dia.
            “I know.” Iqba kedip sebelah matanya. Dan senyum.


****
           
p/s : Apa kesudahannya? Haaa.. kalau nak tau cerita penuhnya, kenalah beli buku 'Antologi Orang Berdosa - Islamku sekadar pada IC' terbitan grup buku karangkraf dengan harga RM19.90. Tehee.. T__T


Thursday, January 3, 2013

Cerpen : Mr. Pavlova



            
            “Zuhayra!”
            Aku berhenti melangkah, terasa-rasa macam ada orang memanggil nama aku. Aku pandang sekeliling tapi tak nampak sesiapa yang aku kenal pun. Ah, mungkin salah dengar kot. Aku kembali atur langkah menuju ke Pasaraya Carefour.
            Sempat aku menarik sebuah troli, letak Samsung Galaxy tablet yang dah tersenarai barang-barang yang perlu aku beli hari ini di dalamnya sebelum aku terus menuju ke ruangan barangan dapur, dan hilang di sebalik rak-rak barangan untuk mencari bahan untuk penuhkan dapur rumah sewaku.
            “Zuhayra Nasrin!”
            Elok saja tangan aku mencapai tin sardin, ada pula suara seorang lelaki memanggil nama penuhku. Jelas. Aku memusing memandang belakang. Seorang lelaki dalam pakaian kemejanya dengan nafas tercungap-cungap memandang aku sambil berusaha menarik seulas senyuman dalam kepayahan dan mengangkat sebelah tangan kirinya, melambai ke arahku, kemudian menarik nafas lega dan meniup anak-anak rambutnya yang jatuh di dahi.
            “Pheww..” dia bercekak pinggang. Nampak dia seperti baru saja berlari seratus meter jarak jauh.
            “Awak panggil saya ke?” Dan aku dengan otak yang ligat bekerja mengali ingatan tentang wajah ini adakah pernah seumur hidup aku mengenalinya atau adakah pernah seumur hidupku berhutang dengan sesiapa lalu terlupa untuk membayar lalu membawa kepada perutusan seorang lelaki asing untuk datang mengutip hutang dari aku.. Okeh cukup! Aku memang tak kenal lelaki ini.
            “Zuhayra Nasrin?” Soalnya lagi.
            “Errr..” aku teragak-agak untuk berkata ya atau tidak sehingga akhirnya aku memutuskan untuk menjawab, “Ya?”
            Dia tersenyum. Puas hati.
            “Then awaklah orang yang saya cari.” Katanya.
*****

            Seminggu sebelumnya.
           
            “Hujung minggu ni aku ingat nak balik kampunglah, dah lama tak balik rindu pulak pada mak aku, dah la mak aku tu asal call je asyik tanya bila aku nak balik, asal call je kak ngah bila nak balik? So..”
            “So baliklah..” balasku, sekadar respon kepada bebelan Dayah, salah seorang rakan serumahku.
            “Itulah, so aku nak baliklah..” katanya.
            “Hemm..” aku menyelak helaian buku resepi Rasa itu kemudian ternampak satu resepi ringkas untuk membuat air lemon, sepintas lalu aku membaca bahan-bahan dan cara membuatnya.
            “Ceh, senang giler nak buat air lemon, beriyalah aku pergi order kat kedai, kalau tau buat sendiri pun boleh..” bebelku.
            “Dah tu, tak payahlah order, pergi la buat sendiri.” Dayah menarik sedikit buku itu dari aku dan membaca sekali imbas.
            “Itulah, nanti aku nak shopping barang dapur, ingatkan aku masukkan lemon dalam senarai barang nak dibeli.”
            “Hem..” itu saja respon Dayah.
            Senyap.
            “Eh kau ingat tak ada hari tu yang aku keluar dengan kau lepas tu aku terserempak dengan sorang kawan lama aku, Ingat tak?” Soal Dayah kembali membuka ruang bicara.
            “Kawan lama? Bila? Tak ingatlah..” balasku, malas nak kerah otak untuk mengingat sesuatu yang aku memang tak ingat.
            “Ala.. ada hari tu, masa tu hari jumaat, kau pakai baju kurung ungu lepas tu kita keluar kejap waktu lunch, keluar beli barang kaulah hari tu. Takkan tak ingat kot?”
            Aku berhenti memberi tumpuan pada buku Rasa di tangan dan mula memberi fokus kepada kata-kata Dayah itu. Mata aku memandang ke arah syiling sedang otak aku ligat memerah memori dimana aku memakai baju kurung ungu pada hari jumaat.
            “Ingat-ingat lupa, tapi kenapa eh?” Malas dah aku nak berusaha mengingati detik itu, tapi memandangkan Dayah begitu bersungguh-sungguh, aku terasa macam menarik je nak layankan cerita dia.
            “Ha.. time tu kan aku terserempak dengan kawan lelaki aku yang dia baru habis solat jumaat tu,..”
            “Ha pastu?” soalku, tak sabar.
            “Lepas tu entah macammana kawan aku tu tiba-tiba..” Dayah seperti teragak-agak untuk meneruskan cerita seterusnya.
            Aku pandang muka Dayah. Sengaja aku kerutkan dahi sekerut-kerut yang ada untuk menunjukkan bahawa aku mula mengesan sesuatu yang tak enak dalam perbualan ini.
            “Janganlah pandang aku macam tu..” Dayah menolak pipi aku, lembut.
            “Dah tu, kau yang cerita tersangkut-sangkut tu kenapa? Ceritalah cepat. Buat aku suspen aje..” rungutku.
            Dayah tarik bantal kecil bentuk empat segi di sebelahnya, dipintal-pintal hujung sarung bantal itu. Gaya dah macam orang serba salah pun ada aku tengok.
            “Ni apa kesalahan yang kau dah buat kat aku ni? Baik kau cakap sekarang. Kau pinjam tudung aku senyap-senyap lepas tu keluar dengan kawan lama kau tu ke? Atau kau guna kredit aku senyap-senyap sebab tak cukup kredit nak balas mesej kawan lama kau tu? Hah?.. ke apa..” aku menuduhnya dalam gurauan.
            “Hei kau ni memandai je nak tuduh aku kan. Ingat aku jahat sangat ke? Pernah ke aku guna barang kau tanpa mintak izin? Tak pernah kan.. “ Dayah menolak-nolak kepala dan badanku.
            Aku terjerit kecil.
            “Dah tu apasal yang kau takut sangat nak cakap dengan aku ni?” soalku tergelak kecil.
            “Tak, aku sebenarnya serba salah nak cakap kat kau yang kawan lama aku tu tetiba je cakap kat aku yang dia nak kenal dengan kawan aku yang pakai baju kurung warna ungu tu…”
            Terus aku terdiam.
            “Erk?” itu saja yang mampu keluar dari mulut aku.


*****

            Pasaraya Carefour.

            “Saya Mikhael.” Kata lelaki ini memperkenalkan diri.
            Aku garu kepala. Rasanya aku tak pernah kenal dengan mana-mana lelaki yang bernama Mikhael, hatta dulu mahupun sekarang. Jadi peratusan untuk aku mempunyai kawan lama bernama Mikhael yang perwatakannya sudah berubah sehingga membuatkan aku tak kenal orangnya adalah sangatlah tipis.          
            “Sorry, tapi saya tak kenallah. Awak ni siapa eh?” soalku, jujur.
            Dia tersenyum tapi kemudiannya cepat-cepat dia sembunyikan senyuman sinisnya itu di sebalik jari jemari yang digenggam.
            “Saya Mikhael.” Sekali lagi dia memperkenalkan namanya.
            “Iya, saya taulah nama awak Mikhael tapi saya tak kenal awak, jadi awak ni siapa selain nama awak Mikhael?” Panjang lebar aku menerangkan maksud soalan aku tadi.
            Dahlah kami sekarang berada di lokasi yang sangat tak sesuai untuk sesi berkenal-kenalan bagai. Dan aku masih memegang troli dengan tin sardin yang aku pegang tadi belum lagi aku masukkan dalam troli sebaliknya telah aku letakkan semula di rak asalnya.
            Dia ketawa. Bukan ketawa biasa-biasa, tapi ketawa besar sehingga menarik minat beberapa orang yang berada di lorong ini memandang ke arah kami. Aku mula rasa tak selesa dengannya. Lalu dengan pantas aku capai setin sardin dan terus menolak troli meninggalkannya ketawa sorang-sorang.
            Kadang-kadang aku selalu terlupa dengan pesan emak, “Never talk to a strangers” bila melibatkan orang itu tau nama aku. Sebab bila orang itu tahu nama aku, itu maksudnya dia bukan ‘stranger’ jadi aku bolehlah bercakap dengannya, tapi aku terlupa yang penjenayah ini ada bermacam-macam cara untuk buat diri mereka supaya tidak jadi seorang ‘stranger’.
            Ops, adakah aku sedang meragui status sebenar lelaki bernama Mikhael ini?
            “Awak, maaf kalau saya buat awak tak selesa, sebenarnya saya kawan lama kepada kawan serumah awak, Hidayah.”
            Terus terhenti ayunan langkah kakiku. Kawan lama Dayah?
            “Oh, yang Dayah cakap tiba-tiba kawan lama dia tu nak kenal dengan kawan Dayah yang pakai baju kurung warna ungu tu?” soalku, mengulang semula kata-kata Dayah seminggu yang lepas.
            “Haah.. begitulah nampaknya.”
            “Oh, awak rupanya.” Kataku, perlahan. Tak sangka sebenarnya. Sebab selepas apa yang Dayah beritahu aku dulu, aku langsung tak ambil peduli dan tak pernah membangkitkan tentang hal itu lagi sehinggalah Dayah balik kampung.
            “Ya, sayalah orangnya.” Jawabnya, ceria. Apa dia fikir yang aku memang ternanti-nanti untuk kenal dengan dia ke apa?
            Aku terus trolak troli dan memandang ke arah rak-rak makanan di sebelah kananku ini saja sambil memikirkan apakah lagi barang yang aku perlu. Di saat begini tiba-tiba otak aku jadi beku sampai terlupa terus apa yang aku mahu beli.
            “Sebenarnya lepas saya bagitau Dayah pasal hal ini, Dayah kata nanti dia akan tanya awak dulu, tapi dah seminggu dia tak text saya balik pun. Kebetulan pula tadi saya ternampak awak keluar dari kereta dan kebetulan saya pun baru je sampai kat tempat parking sebab tu saya terus panggil awak. Saya ingat awak kenal saya.” Jelasnya tanpa dipinta.
            “Oh.. yeke.” Itu saja respon aku.
            “Oh ya, Dayah mana?” Soalnya.
            “Dayah balik kampung.” Jawabku. Ya Allah, aku harap sangat mamat ni cepat-cepat pergi dari sini. Aku mula dah rasa tak selesa ni. Aku tak kenal dia dan dia kata nak kenal aku. Habis kalau dia tanya apa jawapan aku, apa aku nak jawab?
            “Awak beli barang dapur?” soalnya.
            Aku agak itu cuma soalan-soalan ringan sebelum dia akan masuk kepada soalan-soalan berat dan salah satu soalan paling berat adalah, ‘awak sudi tak kenal dengan saya?’ oh.. sebelum dia tanyakan soalan tu, aku perlu buat sesuatu! Sesuatu seperti..
            “Alamak!”
            “Kenapa?” soalnya cemas.
            “Saya rasa saya kena pergi toilet.” Jawabku, alasan spontan yang tiba-tiba keluar dalam kepala dan terus ke mulut.
            “Oh..”
            Aku bagi isyarat seolah-olah menyuruh dia menjaga troli aku yang berisi setin sardin itu sementara aku pergi ke tandas (kononnya), dia mengangguk dan cepat-cepat mengambil alih memegang troli aku itu, dengan peluang yang ada cepat-cepat aku berjalan terus keluar dari tempat ini dan menuju ke parking tanpa menoleh ke belakang lagi.
            Ya Allah, entah kenapa aku rasa macam takut sangat lepas tahu siapa sebenarnya si Mikhael tu. Bila dah selamat masuk dalam kereta barulah aku hembus nafas lega. Tanpa menunggu lama lagi aku terus hidupkan enjin dan pecut menuju ke rumah sewaku.
            Mungkin aku perlu pergi tempat lain untuk beli barang-barang dapur.

*****
            Sudah dua hari satu malam aku jadi macam kucing mati anak memikirkan kemana Samsung Galaxy Tablet aku pergi, satu rumah sudah aku dan Ina, rakan serumahku mencari kot-kot aku tersalah letak, tapi tablet itu masih tak dijumpai. Naik gila aku dibuatnya sehinggalah Dayah pulang dari kampung dan merungkaikan misteri kehilangan tablet kesayangan aku itu.
            “Cuba ingat balik kali terakhir kau guna tab tu masa bila?” kami bertiga duduk tenang-tenang di ruang hadapan dan berbincang.
            “Aku rasa aku letak dalam bilik je, mana ada aku bawak keluar. Kalau bawak ke bilik kau ke, bilik Ina ke, mesti ada punya, tapi tak ada!” jawabku, agak emosi. Selama ni kalau aku main tinggalkan benda itu kat mana-mana pun, dia mesti akan datang balik kat aku.
            Contoh, kalau aku tertinggal tab tu kat meja makan di dapur, akhirnya dia tetap akan ada dalam bilik aku juga walaupun bukan aku yang bawak sebab kat dalam rumah ni aku ada pembantu yang tahu sifat clumsy aku ini, jadi Dayah atau Ina akan pulangkan barang aku ke tempat asalnya. Tapi kali ni selepas berjam-jam benda tu tak ada depan mata aku dan dia masih tak kembali, barulah aku tersedar yang aku dah kehilangannya.
            “Eh kejap! Kau ingat tak masa kau kata nak keluar beli barang hari tu, kau tanya aku barang apa yang habis, masa tu aku nampak kau tengah pegang tab.” Kata Ina, tiba-tiba teringat.
            Aku diam. Cuba menggali memori hari sabtu lepas. Rasanya masa tu aku macam tengah catit sesuatu guna tab..
            Imaginasi aku terhenti apabila telefon bimbit Dayah berbunyi. Kami masing-masing memberikan tumpuan terhadap telefon yang berdering itu seolah-olah ianya adalah panggilan daripada si pencuri.
            “Hello.” Dayah menjawab panggilan. Aku dan Ina memandang reaksi muka Dayah dalam-dalam.
            “Ha ya, kenapa?”reaksi muka Dayah nampak serius.
            “Humm??” Dayah memandangku dengan pandangan tak percaya. Aku pula kerut kening tak faham.
            “Ohhh..” Dayah angguk kepala, tanda faham.
            “Hem.. uhum..” Dayah seperti sedang mendengar penerangan si pemanggil yang bercakap panjang lebar.
            “Barang apa?” Soal Dayah dengan dahi berkerut.
            “Hah? Kat kau?” Dayah terjerit. Terkejut campur suka dan lega. Aku dan Ina sudah saling berpandangan. Masing-masing angkat bahu.
            “Ha ok, ok, nanti aku bagitau dia. Ini pun dia dah nak menangis macam orang gila dah ni. Ok bye!” Dayah menamatkan panggilan dengan senyuman yang tak lekang di bibir.
            “Aku dah tau dah tab kau ada kat mana.” Kata Dayah.
            “Mana??” soal aku dan Ina serentak.
            “Ada pada Mikhael.”
            “Hah??” Juga serentak aku dan Ina tercengang. Aku tercengang memikirkan bagaimana barang aku itu boleh berada padanya manakala Ina tercengang memikirkan siapakah gerangannya manusia bernama Mikhael itu.
            “Dia cakap, kalau kau nak balik tab tu, kau sendiri kena datang jumpa dia.”
            Sekali lagi aku ternganga.

*****

            Ok, aku takkan tersadai di sini semata-mata untuk berjumpa dengan lelaki itu atas alasan untuk membalas salam perkenalannya. Aku jugak takkan tersadai di kedai kopi ‘berjenama’ yang ternama ini  kalau bukan kerana tablet aku ada di tangannya.
            BIla difikirkan balik, adakah ini suratan atau kebetulan? Macammana aku yang kononnya nak larikan diri daripada Mikhael semasa pertemuan pertama kami dulu, boleh membawa kepada pertemuan kedua dengannya walaupun tanpa rela hanya disebabkan kecuaian aku yang terlupa aku letak tablet dalam troli. Lepas tu dengan senang hati suruh Mikhael jagakan troli tapi tak sedar barang berharga ada kat dalam troli tu.
            Haish, makin lama makin parahlah penyakit cuai aku ni.
            “Assalamualaikum, maaf lambat. Dah lama tunggu?” Mikhael datang 15 minit kemudiannya dengan muka seposennya.
            “Kalau saya kena tunggu satu jam lagi pun saya sanggup. Demi tab saya.” Jawabku, sengaja menyindirnya.
            “Oh.. kalau saya tau tadi, baik saya datang lambat-lambat sikit.” Dia ketawa, sengaja nak mengusik aku.
            “Mana tab saya?” soalku. Mengikut perkiraan aku, selepas aku dapatkan kembali tab itu aku mahu terus pulang, tak mahu aku berlama-lama di sini dengan lelaki asing ini.
            “Err.. apa kata kita makan dulu.” Mikhael tersengih lagi. Nampaknya dia lebih licik daripada apa yang aku fikirkan.
            “Saya tak nak makan.”
            “Kalau macam tu, minum dulu. Jangan risau, saya belanja.”
            “Pun tak nak. Saya nak tab saya balik je.”
            “Kalau macam tu saya pun tak nak bagilah.”
            “Eh, kenapa pulak?”
            “Sebab awak tak nak terima pelawaan saya.”
            “Eh?”
            “Eh?” dia mengajuk cara aku.
            “Awak janganlah main-main..” rungutku.
            “Mana ada saya main-main.”
            “Pulangkan tab saya cepat.”
            “Makan dengan saya dulu.” Pintanya.
            Nampaknya aku terpaksa mengalah. Kalau aku terus main tarik tali, entah bila baru aku akan dapat tab tu semula dan pulang. Aku mengangguk tanda setuju untuk makan.
            Dia memanggil pelayan dan membuat pesanan. Sambil menunggu pesanan sampai, dia tak habis-habis memandang aku sambil tersenyum-senyum. Tak selesa aku dibuatnya.
            “Awak nak kenal dengan saya tak?” soalnya.
            “Nak buat apa kenal dengan awak?”
            “Sebab saya nak kenal dengan awak.”
            “So?”
            “So, awak nak kenal dengan saya tak?” diulang lagi soalan yang sama. Suka main-mainlah mamat ni.
            “Kalau saya kata tak nak?” dugaku.
            “Kalau saya kata tak nak pulangkan tab awak?” ternyata soalan dia lebih mencabar untuk aku jawab.
            “Apa istimewanya saya sampai awak nak kenal dengan saya? Padahal kita pernah jumpa sekali je kot. Itupun saya tak cam muka awak.” Soalku. Tertanya-tanya juga apa sebab yang membuatkan dia begitu bersungguh dengan pertemuan ini? Atau dia sebenarnya cuma nak main-main?
            Dia tergelak kecil. 
            “Awak lain daripada perempuan yang saya biasa jumpa.”
            “Saya biasa sajalah.” Nafiku.
            “Tak.. awak lain. Saya dah jumpa ramai perempuan. Yang seksi, yang tak pakai tudung, sampailah ke jenis yang pakai tudung, tapi antara semua yang saya pernah kenal, awak je lain. Sebab tu saya tertarik nak kenal dengan awak.”
            “Tipu. Mana ada apa yang lainnya. Saya manusia juga, saya hamba Allah juga. Yang membezakan manusia di sisi Allah hanyalah Taqwa. Di mata manusia, perbezaan itu tak ada nilai. “
            “See.. kan saya dah kata awak lain.” Katanya, lebih tegas.
            “Apa yang lainnya? Awak ni memang mulut manislah.” Tempelakku.
            “Mulut manis apa pulak. Saya cakap betullah. Saya tengok cara awak berpakaian pun saya dah nampak yang awak berbeza daripada perempuan lain yang saya kenal.”
            “Ya.. saya memang buta fesyen.” Aku terpaksa akui tentang hal itu.
            “Hei bukan pasal itulah.. hi hi hi..” dia ketawa lucu.
            Aku kerut dahi, habis tu dah memang betul pakaian aku tak up to date, baju aku sekadar baju T muslimah, seluar aku sekadar seluar slack, kadang-kadang digantikan dengan jean, atau blaus labuh paras peha. Tudung pula kalau bukan bawal, tudung segera itu sajalah yang aku pakai, kalau rajin baru lilit selendang. Itupun ikut majlis atau tempat mana yang aku akan pergi. Tak buta fesyen ke namanya tu?
            “Salah satu ciri yang ada pada awak adalah cara awak berpakaian. Saya bukan nak tekankan pakaian awak up to date atau tidak tapi cara awak berpakaian tu nampak ‘muslimah’ sangat. Mesti awak datang dari keluarga yang baik-baik, yang alim.. kan?”
            “Selama ni awak tak pernah jumpa orang yang berpakaian sopan menutup aurat ke?” soalku. Menyindir.
            Dia terdiam. Seperti sedang memikirkan jawapan yang sesuai untuk diberikan kepadaku.
            Bila dia mengjangkakan aku datang daripada keluarga yang baik-baik dan ‘yang alim’ buat aku rasa seperti terlalu besar penghormatan itu. Alim itu bermaksud ilmu. Orang-orang berilmu itu tertalu tinggi martabat mereka bagi aku, apabila seseorang meletakkan aku dalam kalangan ‘alim’ berdasarkan penampilan aku yang tak seberapa ini, ianya buat aku rasa agak tak selesa. Aku tak layak untuk dikategorikan Sebagai ‘orang alim’ (orang berilmu) sedangkan aku masih manusia biasa yang banyak kekurangannya.
            “Kalau biasa tu macam.. Dayah, dia pun bertudung tapi ya dia ‘biasa’ tapi awak lebih sikit dari Dayah..” seorang pelayan datang menghantar makanan kepada kami, perbualan kami terhenti seketika.
            Selepas pelayan itu pergi, barulah aku kembali membuka bicara.
            “Tak baik tau awak membanding-bandingkan kami hanya berdasarkan pemakaian kami, syurga dan neraka itu bukan diukur berdasarkan pakaian. Saya pakai macam ni kerana saya selesa dan kerana saya sedang cuba patuhi perintah Allah supaya menutup aurat tapi itu tak bermakna saya dah boleh dikelaskan sebagai ‘orang alim’.”
            “Saya masih banyak kekurangan. Saya tak suka awak judge saya kerana luaran saya dan salahkan agama islam kerana kelemahan saya. Kalau saya lebih dari sudut ini, dia mungkin lebih di sudut yang lain pula. Saya pun manusia biasa, saya pernah tinggal solat, ponteng puasa, lawan cakap mak ayah, bergaduh dengan kawan-kawan. Saya juga sentiasa dihasut syaitan. Saya tak ada beza dengan perempuan lain yang awak maksudkan..” ambik kau panjang lebar aku berbicara.
            Mikhael diam. Sejak aku bersuara tadi dia cuma diam dan mendengar kata-kataku dengan bersungguh-sungguh. Kini dia masih diam dan memandang aku tanpa berkelip. Aku tundukkan muka memandang makanan di atas meja. Aku dah terlebih cakap ke?
            “Saya rasa saya bukan sekadar nak kenal dengan awak tapi saya nak ka..”
            Hati aku berdegup laju, kenapa tiba-tiba dia cakap macam tu pulak?
            “Saya belum bersedia untuk berkahwin.” Pantas aku memotong kata-katanya.
            Mikhael ketawa. Malu-malu aku mengintai mukanya. Dah kenapa dia ketawa pula?
            “Saya nak KAWAN dengan awak. Boleh?” soalnya dalam senyuman yang cuba disorokkan.
            Aku dah termalu sendiri. Rasa macam nak sorok muka dalam pinggan makanan ni ha..

*****
           
            “Aku rasa macam ada yang tak kena dengan kawan kau tu.” Kataku kepada Dayah sambil mengasingkan putih telur dengan kuning telur untuk aku buat Pavlova. Memandangkan kek itu kini sangat popular sehingga menjadi satu fenomena aku rasa tersangatlah rugi kalau aku sendiri tak cuba buat.
            “Tak kena apa pulak?” balas Dayah yang ketika itu sedang rancak mengunyah buah strawberi yang aku beli untuk hiasan di atas pavlova ini nanti.
            “Dia baru jumpa aku sekali masa dia terserempak dengan kau dulu tu, itupun aku macam endah tak endah je dengan dia tiba-tiba dia cakap dia nak kenal dengan aku? Bukan ke pelik namanya tu? Yang kau ni boleh tak berhenti makan strawberi aku?” sempat aku memerli Dayah.
            “Huhu.. nah, nah ambil balik strawberi kau ni, kenyang dah aku makan.” Dayah menolak bekas berisi strawberi itu dekat kepadaku, kemudian dia berlalu ke sinki dan membasuh tangannya.
            “Semalam kau jumpa dia kau tak tanya ke kenapa dia tiba-tiba nak kenal dengan kau?” Dayah mencapai tuala kering dan dilap jari jemarinya.
            “Bila aku tanya dia cakap sebab aku lain daripada perempuan lain. Bila aku tanya lagi, dia tetap cakap aku lain daripada kau, lain daripada perempuan yang dia kenal, entah apa yang lainnya aku pun tak tahu. Tapi yang pasti dia judge aku berdasarkan pakaian yang aku pakai, ‘muslimah sangat’ katanya.. adil ke macam tu?”
            “Apa adil yang tak adilnya?”
            “Iyalah, dia cakap aku lain, salah satu faktor lain tu adalah dari segi pakaian aku yang ‘muslimah-sangat’ ni, Dan itu jadi sebab kenapa dia nak kenal dengan aku. Adil ke dia judge aku dari segi pakaian aku konon-kononnya aku ni baik sangat jadi sebab tu dia nak kenal dengan aku, tapi hakikatnya aku bukannya baik mana pun kan? Kan?”
            “Hem.. betul! Kau bukannya baik sangat pun..” Dayah jelur lidah kepadaku.
            Aku buat muka pada Dayah kemudian aku masukkan sukatan gula kedalam mangkuk berisi putih telur yang sedang aku pukul menggunakan hand mixer.
            “Tapi tadi, selagi dia belum dapat nombor telefon aku dan selagi aku tak cakap yang aku setuju untuk jadi kawan dia, selagi itulah dia taknak pulangkan tab aku. Boleh tahan juga kawan kau tu punya tak malu kan?”
            “Entah.. agaknya dia tak malu dengan kau je kot, dengan aku tau pula dia malu.. hikhik”
            Sekali lagi Dayah mengenakan aku.  

*****
            “Salam Zuhayra Nasrin, buat apa tu?” Satu mesej diterima daripada Mikhael. Masuk ini dah lima mesejnya aku biarkan tidak berbalas. Mesej pertama bertanya aku dimana, mesej kedua, dah makan ke? Mesej ketiga, Tablet aku sihat ke? Mesej keempat, kirim salam pada Dayah.
            Aku tak tahu pula maksud dia ‘jadi kawan aku ‘ itu sama dengan mesej aku setiap lima minit dengan soalan-soalan yang kalau aku balas sama macam aku membuang kredit aku sendiri.
            “Hey.. kawan lama siapalah yang asyik mesej aku tanya soalan-soalan bodoh ni..” sengaja aku memerli Dayah semasa melewatinya untuk ke dapur.
            “Tengoklah kawan baru siapa…” balas Dayah turut memerli aku.
            Aku ketawa kecil mendengar jawapan balasnya.
            Selepas semua mesej dari Mikhael yang tidak aku balas, dia masih tidak berputus asa dengan menghubungi aku pula, mulanya aku malas nak angkat tapi dia akan terus menerus menelefon sehingga panggilannya itu dijawab membuatkan aku pula yang tak tahan nak mendengar bunyi dari telefon itu.
            “Hello.” Mendatar nada suaraku.
            “Hello assalamualaikum Zuhayra Nasrin..” ceria bunyi suaranya seperti aku tak pernah mengabaikan mesej ringkas dan panggilan telefon darinya sebelum ini.
            “Iya Encik Mikhael.” Balasku. Nak panggil dia dengan nama penuh juga aku pula tak tahu apa nama penuh dia.
            “Hahaha.. janganlah panggil encik, panggil abang je. Abang Mikha.” Balasnya sambil ketawa.
            Buek.. abang la sangat.
            “Ada apa call saya?” soalku.
            “Saja nak pastikan awak selamat dari sebarang ancaman bahaya yang membuatkan awak tak boleh nak pegang telefon. Tapi nampaknya awak baik-baik saja kan?”
            Mamat ni boleh tahan juga kalau bab memerli eh.
            “Ehem..” aku dah tak tau nak balas apa.
            “Memandangkan awak sihat sejahtera, esok keluar dengan saya nak?”
            “Eh!” spontan aku terberi reaksi begitu.
            “Kenapa?”
            “Er.. tak ada. Awak ajaklah Dayah, kenapa ajak saya.”
            “Sebab saya nak ajak awak.”
            “Saya malas.”
            “Malas apa? Malas nak drive ke malas nak jalan? Kalau malas nak drive saya boleh datang ambil, kalau malas nak jalan, saya boleh dukungkan.. hewhew..”
            “Hei!” menakutkan betul bila aku dengar perkataan dukung itu. Sensitif tau..
            “He he hee.. saya gurau jelah. So awak nak saya ambil awak ke esok?”
            “Tak payahlah. Saya malas nak keluar.”
            “Kalau awak malas, biar saya datang rumah awak. Kita jumpa kat rumah awak, boleh?”
            Sekali lagi aku terjerit. Dia ni kenapa? Menakutkan betullah.
            “Saya malas nak keluar, saya malas nak jumpa awak. Boleh?” balasku, cuba mengawal nada suaraku yang sudah mahu meninggi.
            “Kalau itu satu permintaan, jawapan saya tak boleh. Awak kena juga datang jumpa saya.”
            “Atas alasan?”
            “Atas alasan saya kawan baru awak. Lagipun saya nak minta tolong awak buat sesuatu..” bisiknya.
            “Buat.. apa?”
            “Hah sebab itulah awak kena datang jumpa saya esok!..”
            Ok, aku rasa macam aku dah terjerat dalam perangkapnya.

*****
            Dari jauh aku dah nampak kelibatnya sedang menunggu di dalam restoran itu dari cermin luar. Sebaik aku masuk, senyuman dia sudah terukir untuk aku. Sebaik aku menghampiri meja, suaranya sudah berlagu memanggil namaku,
            “Zuhayra Nasrinnn…” dengan senyuman manis.
            Kadang-kadang aku rasa berbunga bila dengar dia panggil aku macam tu, hewhew.
            Sebenarnya aku cuba untuk beri reaksi muka orang yang terpaksa datang, tapi entah macammana aku boleh tersenyum pula apabila dia memanggil aku begitu.
            “Haaa… kan comel kalau awak senyum. Ini bila jumpa saya asyik buat muka kelat aje.”
            Dan spontan aku lagi aku terjelur lidah kepadanya. Opss..
            “Buat lagi macam tu, potong lidah tu nanti baru tau!” marahnya dalam gurau.
            Ok kali ini aku betul-betul kawal diri aku agar tidak bertindak diluar kesedaran otak lagi. Bahaya betul, kadang-kadang cara dia tu buat aku rasa macam dia seorang abang yang aku boleh main-main, manja-manja..
            “Awak nak apa suruh saya datang sini?” soalku. Kembali ke tujuan asal aku datang sini.
            “Sebelum saya bagitau, apa kata kita makan dulu.”
            “Saya dah makan dah kat rumah.”
            “Saya belum makan lagi.”
            “Eyy.. lain kali kalau awak ajak jumpa saya tak nak dah jumpa kat tempat-tempat yang ada makanan!”
            “Oh, maksudnya lain kali pun saya boleh ajak awak keluarlah ya?”
            Aku jegil mata memandangnya. Geram!
            “Apa nama penuh awak?” soalku.
            “MIkha.. kenapa nak tau?” soalnya pula sebelum sempat dia memberitahu nama penuhnya.
            “Senang saya nak panggil nama penuh awak nanti.”
            “Oh.. Mikhael Raof.”
            “Maksudnya Mikhael bin Raof?”
            “Yup.”
            “Apa nama penuh awak pulak?” soalnya pula.
            “Bukan ke awak dah tau?”
            “Tapi saya tak tau binti apa..”
            “Kenapa nak tau?”
            “Senang saya nak hafal bila nak akad nikah dengan awak nanti.” Jawabnya selamba.
            Aku terdiam. Dan terkebil-kebil.
            Dia ketawa. Hanya setelah mendengar bunyi suaranya baru aku kembali tersedar.
            Itu gurauan atau kiasan tu?
            “Sebenarnya ada rahsia yang saya nak bagitau awak..” katanya, sedikit berbisik.
            “Apa dia?”
            “Masa saya pegang tab awak tu, saya sebenarnya..”
            Hati aku dah mula dihambat kerisauan.
            “Saya sebenarnya terbukak folder gambar awak..”
            Aku dah jegil mata.
            “Saya tertengok gambar awak..”
            Api kemarahan dalam diri aku dah mula meluap-luap.
            “Lepas tu saya rasa saya nak.. “
            “Awak tahu tak awak tak amanah? Mana boleh sesuka hati awak je nak buka barang saya, tengok gambar saya, tak kisahlah gambar macammana pun yang ada kat dalam tu tapi itu hak peribadi saya. Yang awak gatal tangan sangat pergi tengok tu kenapa?”
            “Err.. saya cuma tertengok gambar masakan awak je, lepas tu saya rasa macam nak minta tolong awak masakkan untuk saya. Itu je.” Balasnya, takut-takut.
            “Oh..” aku terkebil-kebil. Rasa serba-salah pula sebab menuduh dia membuta tuli.
            “Dayah cakap, awak pandai masak..” tambahnya.
            “Oh?”
            “Saya yang tanya dia dulu..” katanya lagi seolah-olah ingin membela Dayah.
            “Saya tak buat part time job sebagai tukang masak..” perliku.
            “Awak tau tak apa maksud Zuhayra Nasrin?” dia menyoal.
            Aku terfikir-fikir. Sebenarnya aku memang tak pernah ambil tahu apa maksud nama aku.
            “Bunga pertolongan.” Dia menyoal dia sendiri menjawab.
            Oh.. jadi itu maksud nama aku?
            “So?” balasku. Kononnya tak begitu kisah dengan maksud namaku itu.
            “So, awak kenalah tolong saya memandangkan nama awak pun dah melambangkan seseorang yang akan sentiasa menghulurkan pertolongan. Kan?” dia mengangkat sebelah keningnya.
            Aku buat muka mengalah. “Awak nak suruh saya masak apa?” soalku.
            Dia senyum. Penuh makna.
            “Pavlova.”
            Aku kerut kening. Rasanya aku baru pertama kali buat pavlova SELEPAS dia pulangkan tab aku kan?

*****
            “Mula-mula dia terjumpa aku secara tak sengaja, lepas tu dia tolong jagakan tab aku, juga secara tak sengaja, lepas tu lagi, dia jadikan tab itu sebagai alasan untuk dia jumpa aku. Ingatkan lepas habis kes dengan tab tu selesailah masalah, rupanya dia umpan aku lagi sampai dia dapat nombor telefon aku, bila dah dapat dia umpan aku lagi ajak jumpa dengan alasan kononnya ada benda nak minta tolong, sekarang dia mintak aku buatkan pavlova untuk dia pula. Yang sebenarnya apa yang dia nak dari aku ni? Rumit betullah mamat ni. Kata nak kawan je, kawan apa macam ni, trouble maker adalah..” Rungutku sambil mengeluarkan satu persatu barang-barang pavlova yang baru aku beli dari dalam plastic dan aku letakkan di atas meja.
            “Siapa dia tu?” Soal Ina pelik.
            “Siapa lagi, kawan lama si Dayah tu la..”
            “Eh, bukan kawan baru kau ke?” balas Dayah pula.
            “Yelah, tapi asalnya dia kawan lama kau kan?”
            “Dia mintak kau buat pavlova? Apasal pulak?” soal Dayah.
            “Entah dia, teringin katanya. Aku suruh beli sendiri, dia kata payah nak jumpa. Beli barang-barang ni semua guna duit dialah ni. Bersungguh-sungguh nak suruh aku buat.”
            “Bila dia nak ambik?” Soal Ina.
            “Ambik apa?” soalku semula, kurang faham maksud Ina.
            “Ambik pavlova itulah..”
            “Oh.. esok! Nampak tak bukan main lagi dia nak bagi aku jemu tengok muka dia, baru hari ni ajak jumpa esok dah kena hadap muka dia lagi. Perh.. kawan lama siapalah ni..” aku kenyit mata pada Dayah sambil tersengih mengusik.
            Dayah hadiahkan jelingan tajam pada aku sebab asyik kena perli sedang aku terus ke dapur untuk memulakan misi membuat pavlova.
            Mula-mula aku asingkan empat biji telur putih dari telur kuningnya. Nak mengasingkan telur putih dengan telur kuning pun dah cukup rumit sebab kalau ada termasuk kuning telur hatta setitik pun boleh mempengaruhi tekstur maringue itu nanti, maka kat situ je aku dah habiskan masa selama lima minit. Kemudiannya aku pukul empat biji putih telur tadi dengan mesin pemukul sampai dia kembang tahap berbuih-buih macam sabun sebelum aku masukkan pula gula castor dalam setengah cawan sedikit demi sedikit guna tangan kiri sambil aku pukul adunan tu guna mesin pengisar dengan tangan kanan sampailah dia jadi berkilat.
            Phew.. kalaulah aku mampu beli stand mixer, tak payahlah aku perlu berpenat lelah memukul telur begini setiap kali nak buat kek. Oh, berhenti merungut! Langkah seterusnya, masukkan satu sudu tepung jagung, satu sudu esen vanilla, dan satu sudu cuka kemudian aku kacau sebati. Siap! Lepas ni boleh letak atas kertas pelapik dan bakar!
            Bahagian paling best buat pavlova adalah ianya sangatlah mudah! Semudah aku mengenali Mikhael..
            Oh Zuhayra Nasrin, kenapakah nama dia mesti terlintas di fikiran kau saat ini. Lupakan dia, lupakan!
             
30 minit kemudian..

            “Arrghhhh…” aku terjerit di dapur di hadapan oven sambil memandang meringue aku tadi yang dah jadi perang kehitaman kerana terlebih bakar. Rasa macam nak menangis tengok hasil masakan aku jadi macam ni, kalau ini kali pertama, mungkin aku tak kecewa sangat tapi ini dah percubaan kali kedua dengan percubaan kali pertama pavlova aku menjadi dengan sangat sedap dan.. cantik! Bukan hangit macam ni.
            “Kenapa? Kenapa?” Ina dan Dayah laju menerpa aku di dapur dengan muka panik sebelum Ina dapat mengenalpasti punca aku menjerit lalu bertanya, “Eay, apasal kek kau jadi macam ni?”
            “Wuwuwu.. aku pun baru nak tanya kau, kenapa dia jadi macam ni?” soalku dalam tangisan yang dibuat-buat.
            “Eh, kau yang buat kau nak tanya kitorang pulak? Boleh eh macam tu..” perli Dayah.
             “Hukhuk.. aku rasa aku dah ikut sebiji-sebiji macam yang aku buat sebelum ni tapi kenapa yang ini tak menjadi pulak…”
            “Sabar, sabar, tak jadi sekali boleh cuba lagi berkali-kali.” Ina mengurut belakang badanku, memujuk.
            “Memanglah boleh buat lagi, tapi membazir tau, siapa yang nak makan dah hangit-hangit ni?”
            “Siapa lagi, kaulah!” serentak Ina dan Dayah menjawab lalu cepat-cepat berlari semula ke rang hadapan meninggalkan aku dengan pavlova hangusku.
            Aku bawa tray berisi pavlova hangit itu ke meja dan aku duduk menongkat dagu memandangnya. Serta merta ingatanku terfikirkan Mikhael lagi. Pavlova dan Mikhael memang tak dapat nak dipisahkan, nampak mudah tapi rumit untuk difahami.
            Aku tarik nafas panjang sebelum aku bangun, dan memulakan semuanya sekali lagi. Mula-mula asingkan putih telur dan kuning telur…

*****
           
            Dari jauh aku dah nampak Mikhael tersengih-sengih melihat aku yang sedang berjalan menuju ke arahnya sambil menatang kotak kek saiz sederhana. Pastilah dia senang hati bila permintaannya telah aku penuhi. Kali ini kami berjanji untuk berjumpa di taman rekreasi seperti yang aku katakan sebelum ini aku dah tak mahu jumpa dengan dia di mana-mana kedai yang menjual makanan sebab nanti dia akan gunakan makan sebagai alasan untuk tak bagi aku balik awal.
            “Uh uh uh.. tengok tu apa Ayra bawakkan untuk saya, wah.. baiknya dia.” Puji Mikhael sambil mengedipkan matanya berkali-kali macam budak perempuan gedik. Haish, mamat ni memang suka buat aku keliru samada nak bagi dia penampar atau nak senyum je.
            “Tak payah nak mengada-ngada sangatlah, penat tau saya buat ni, sampai pukul dua pagi baru saya tidur.” Kataku, bukan nak minta belas kasihan, cuma nak dia faham lain kali aku tak mahu buatkan untuk dia dah.
            “Dua pagi? Alolo.. kesiannya dia. Tak apa, nanti saya bagi upah sebab awak dah tolong buatkan.” Balasnya sambil tersenyum.
            Kotak kek itu dia buka, dengan mata bersinar-sinar dia keluarkan pavlova dari dalam kotak itu dan dia letakkan di atas kotak kek. Senyuman masih tak lekang dari bibirnya. Ini bukan senyuman yang biasa aku lihat, senyuman dia kali ni nampak lain sikit. Macam senyuman orang puas hati, macam teruja pun ada. Ini macam senyuman yang datang dari hati sampai buat dia langsung tak sedar dia telah tersenyum sejak dia mula-mula nampak aku tadi sehinggalah sekarang dia belum berhenti senyum sesaat pun!
            Haih.. aku pula yang rasa sejuk hati tengok dia senyum macam ni, tengok cara dia pandang kek tu, tengok dia potong dan suap dalam mulut dia, tengok dia kesat krim yang tercalit kat tepi bibir dan jilat jari dia, tengok dia potong lagi sekeping dan terus sumbat masuk mulut dan makan, makan, makan sampai terlupa kat aku depan dia ni. Hem.. sedap sangat ke aku buat tu?
            “Errmm.. dap nya. Pandai Ayra masak.” Puji dia sambil memasukkan buah kiwi dalam mulut dan jilat jarinya yang tercalit krim.
            Tanpa dapat ditahan bibir aku tetap nak tersenyum. Suka!
            “Ara nak e? amik ah..” katanya dengan mulut yang penuh sambil menunjuk ke arah kek itu.
            Aku menggeleng. Tengok dia makan pun dah buat aku rasa kenyang.
            “Urmmm Ara ambik ar sikit, dah nak habis dah.” Kalut dia bercakap bila tengok kek itu dah tinggal sikit, risau benar kalau dia terhabiskan sebelum aku sempat makan, sampai sebut nama aku pun dah tak berapa betul.
            “Tak apa, awak makanlah. Memang kita buat untuk awak pun kan..”
            “Kalau macam tu saya habiskan lah ya?” Pintanya.
            “Iya habiskan…”
            Cepat-cepat dia makan bila dengar aku cakap macam tu, siap jilat krim yang melekat kat pisau tu lagi. Perh.. ini memang kalau dia mintak aku buat lagi pun aku sanggup buat dua biji sekali gus!
            “Ayra nak tau, saya kempunan nak makan kek ni sejak saya tengok cerita Scha dengan Awal tu yang apa ya tajuknya?..”
            “Entah, tak tengok.”
            “Hah.. yang cerita tu lah. Awal kata dia selalu bagi pavlova pada Scha, lepas tu saya punyalah teringin tapi nak cari kan payah. Nasib baik awak ada. Terima kasih Zuhayra..” dia menyengih lagi.
            “Sama.”
            “Ayra..”
            “Hem?”
            “Awak kahwin dengan saya nak?” soalnya tiba-tiba.
            “Kenapa pulak?” selepas beberapa kali dia suka secara spontan cakap benda-benda macam ni pada aku, jadi kali ini aku dah tak hairan sangat dah.
            “Kalau awak kahwin dengan saya, hari-hari saya nak suruh awak masak. Hari isnin buat pavlova, hari selasa spageti, rabu pizza, khamis ayam percik, jumaat…”
            “Dah, dah, tak nak saya kahwin dengan awak, nanti saya asyik kena duduk dapur je. Bosan ah.”
            “Kalau macam tu, isnin masak pavlova, spageti dengan pizza, hari selasa rehat. Rabu sambung balik buat ayam percik, nasi tomata dengan puding..”
            “Dah tak ada, tak ada! Siapa entah nak jadi isteri dia, sila jangan perasan please.”
            Dia muka kasihan kononnya lamaran dia ditolak.
            “Iyalah.. siapalah saya ni kan, enggang dan pipit mana boleh terbang sama tinggi..” sambil menyalit baki krim dan menjilat jarinya sendiri.
            Aku tergelak kecil melihat reaksi spontannya. “Dah tak payah nak buat muka kasihan kat sini.” 
            Aku akhiri pertemuan petang itu dengan senyuman yang mekar sehingga aku masuk tidur. Kata Dayah, aku tersenyum masa tidur. Ye ke?

*****

            “Aku terima nikahnya Zuhayra Nasrin binti Muhammad Zuwairy dengan mas kahwin RM100 tunai..”
            Sebak dada aku mendengar Mikhael mengucap akad itu dalam sekali lafaz. Dalam masa dua minit status aku dah berubah jadi puan dah? 
            “Tengok sekarang siapa yang kahwin dengan kawan lama aku tu..” bisik Dayah di telinga kiriku.
            Aku cubit pahanya perlahan. Waktu-waktu macam ni pun sempat lagi dia nak kenakan aku.
            “Tahniah Puan Ayra.” Bisik Ina pula di telinga kananku.
            Mikhael datang membawa cincin dan berlutut di hadapanku. Sempat pula dia mengenyit mata pada Dayah sebelum menghulurkan tangannya pada aku untuk aku sambut dan aku cium. Kemudian dia menyarungkan cincin di jari manisku sambil berkata perlahan,
            “Yeay.. lepas ni boleh makan pavlova hari-hari!” dan dia ketawa perlahan.

Setahun yang lepas.

            “Ayra awak percaya tak kalau saya cakap yang saya dah propose awak banyak kali tapi awak selalu tak bagi respon?” soal Mikhael pada satu pertemuan kami atas alasan, Mikhael nak makan Fettucini carbonara dan aku harus hantarkan padanya dan dia akan bagi upah.
            “Propose? Propose untuk?”
            “Kahwinlah, takkan propose jadi tukang masak saya pulak..”
            “Eh, ye ke? Bukan selalu yang awak cakap tu awak main-main ke?”
            “Oh awak ingat saya main-main ke? Patutlah awak tak layan..”
            “Eh kejap, maksudnya awak tak main-main ke?”
            “Tak.”
            “So sekarang pun awak bukan saja-saja tanyalah?”
            “Err.. hem!” dia mengangguk.
            “Oh..” tiba-tiba aku rasa malu.
            “Awak nak kahwin dengan saya tak?” soalnya, agak serius, tapi dalam nada yang santai.
            “Perangai awak ni sebijik macam perangai pavlova kesukaan awak tu.” Kataku, tiba-tiba mengubah topik perbualan.
            “Eh, kenapa pulak?” soalnya. Keliru.
            “Nampak mudah, tapi rumit.” Balasku.
            Dia garu kepala. Pening nak menafsirkan maksud kata-kataku. “Apa yang awak cakap ni?..””
            “Awak tahu tak, kalau saya bagi awak tengok resepi pavlova mesti awak akan cakap senang gila nak buat! Tapi cuba buat dulu baru awak tau senang ke susah nak buat dia.”
            “Susah ke nak buat dia?”
            “Rumit. Macam awak.”
            “Kenapa macam saya pula?”
            “Sebab awak pun rumit macam pavlova.”
            “Tak faham.” Dia nampak semakin berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang persamaan antara dia dan kek kesukaan dia tu.
            “Mula-mula awak cakap nak kenal dengan saya. Lepas tu awak paksa saya jadi kawan awak, dan sekarang awak ajak saya kahwin? Yang sebenar-benarnya apa tujuan awak dari awal lagi?”
            “Ohhhh..” dia tersenyum penuh makna.
            “Awak perasan ke?” soalnya.
            “Perasan apa?” soalku semula.
            “Taktik saya?”
            “Sebenarnya tak berapa perasan, tapi memang terasa macam ada sesuatu yang tak kena..” jawabku.
            Dia ketawa, bersambung-sambung.
            “Apa rancangan awak sebenarnya?” soalku.
            “Inilah rancangan saya, nak kahwin dengan awak.” Balasnya.
            “Kenapa awak nak kahwin dengan saya?”
            “Sebab.. awak lain.”
            “Apa yang lain?”
            “Lain daripada perempuan lain di mata saya. Awak special di hati saya. Ecewaahh..” dia ketawa, mungkin malu bercakap sesuatu yang romantik seperti itu.
            “Sebelum tu nak tau, kenapa awak tiba-tiba nak kenal dengan saya dulu padahal kita jumpa gitu-gitu je.”
            “Awak je yang pandang saya gitu-gitu je, padahal saya dah pandang awak dalam-dalam. Saya pernah jumpa awaklah sebelum tau yang awak kawan Dayah.”
            “Oh ye ke? Jumpa kat mana?”
            “Kat pasaraya, masa tu awak tengah beli barang. Masa tu saya dah agak dah awak ni mesti pandai masak. Sebab tu saya aim awak, saya memang nak cari isteri yang pandai masak pun.” Usiknya.
            “Chet.”
            “So nak tak jadi isteri saya?” sekali lagi dia menyoal.
            “Awak ni macam confident je saya nak kahwin dengan awak kan?”
            “Sebab saya confidentlah saya berani tanya.”
            Aku cebikkan bibir. Mengejeknya.
            “So?” dia menagih jawapan dari aku.
            “Ermm… tengoklah dulu.” Balasku. Tak berani nak kata ya, tapi lebih ragu-ragu untuk berkata tidak.
            “Nak tengok apa lagi, saya dah ada depan mata awak ni.”
            “Nantilah saya fikirkan..”
            “Nak fikir apa lagi? Saya pergi tanya mak ayah awak teruslah, boleh?”
            “Errmmm…” aku terfikir-fikir. Bab hati dan perasaan ni memang misteri kan? Aku tak tahu bila aku pernah suka dia, tapi sekarang hati aku kuat pada dia. “sukahatilah!” jawabku. Mungkin ini jodohku.
            “Allright! Tapi sebelum tu, nama bapak awak apa?” soalnya. Tiba-tiba aku teringat dia pernah tanya soalan yang sama pada aku dulu sebab katanya senang dia nak praktis bila nak akad nikah dengan aku nanti. Hewhew..
            “Nak praktis sekarang ke?” soalku, tersipu-sipu.
            “Tak, praktis kat rumah nanti.”
            “Pergi jumpa parents saya dulu, baru praktis.”
            “Ookkehhh…” balasnya dengan senyuman yang datang dari hati.

Habis. 2jan2013. 10.29pm.