http://img10.imageshack.us/img10/7733/contactm.png

Tuesday, December 29, 2015

KarKas : Trauma


                Saat kaki melangkah masuk ke rumah apartment 11 tingkat itu, seakan ada kabus yang perlahan-lahan hilang dan menampakkan ruang kosong yang sepi dan suram dalam rumah itu. Bunyi cicak di siling seakan menyambut kedatangan tuan baru ke rumah tumpangannya.


                Sarang lebah di satu dua sudut mengukuhkan lagi dakwaan yang rumah ini sudah terlalu lama tidak disewakan. Oleh kerana itu, sewa rumah diletakkan harga rendah asalkan ada penghuni, itu kata tuan rumah. Aku dan isteri yang baru mendirikan rumah tangga memang sangat memerlukan rumah kos rendah seperti ini. Biarpun rupanya sedikit usang, ia bukan masalah besar untuk aku 


                Suatu malam, aku terjaga dari tidur bila telinga aku menangkap semacam bunyi aneh dari luar bilik. Ingin membangunkan isteri di sebelah, tapi tempat pembaringannya kosong. Aku fikir mungkin bunyi itu datang darinya, dia membasahkan tekak di dapur barangkali. Lalu aku terus sambung tidur.


                Dua malam seterusnya, aku terjaga lagi. kali ini aku terdengar bunyi erangan dari luar bilik. Aku raba katil di sebelah, ingin mengejutkan isteri, tapi ternyata dia tiada di sebelah. Aku terpandang pula pintu bilik air yang bernyala lampunya. Bunyi erangan siapakah itu?


                Aku duduk membatu di atas katil. Menunggu isteri keluar dari bilik air sambil mendengar dengan teliti bunyi erangan yang sayup-sayup itu. Rasa ingin tahu yang begitu membuak-buak buat aku tak betah menunggu, lalu pintu bilik aku buka sedikit dan mengintai di ruang tamu.


                Kosong.


                Aku menapak perlahan keluar dari bilik, berjalan perlahan-lahan ke ruang dapur. Bunyi erangan yang sekejap berbunyi, sekejap hilang itu kedengaran kuat di ruangan ini. aku mengintai dari sebalik pintu, kosong. Tapi bunyi itu kedengaran jelas dari bawah singki!


                Aku telan liur yang terasa pahit. Bulu roma aku naik meremang. Seakan tak kuat lutut aku untuk terus berdiri di sini. Laju aku berlari masuk ke bilik, panjat katil dan terus berselubung. Dari dalam selimut, aku intai lampu bilik air yang masih bernyala.


                Esoknya, aku memanggil beberapa orang kawan rapat dan jemaah di masjid berdekatan untuk membaca yasin dan solat hajat di rumah ini. bila isteri bertanya, kenapa aku buat semua ini, aku jawabkan saja sempena masuk ke rumah baru. Tak akan sekali-kali aku menceritakan hal sebenar kepadanya. Aku masih belum mampu untuk mencari rumah sewa lain dengan harga yang murah seperti ini. Harapanku semoga dengan usaha kecil ini akan memberi keamanan kepada kami untuk mendiami rumah ini.


                Seminggu sudah berlalu dan tiada lagi perkara aneh berlaku. Aku juga sudah berlapang dada untuk terus tinggal di rumah ini. Tapi kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Pada malam berikutnya, bunyi erangan itu kedengaran lagi.


                Aku toleh ke sisi, setiap kali bunyi erangan itu muncul, mesti isteriku juga tiada di sebelah. Lampu bilik air juga tertutup, Aku keluar ke ruang tamu, risau kalau-kalau isteriku terdengar apa yang aku dengar dan dia pergi mencari punca suara itu. Tetapi isteriku tiada di dapur mahupun di ruang tamu. Dan bunyi erangan di bawah singki itu masih kedengaran.


                Dimana isteriku?


                Pada saat dan ketika itu, mataku hanya tertumpu pada kabinet bawah singki. Walau debar dalam dada seperti tiada penghujungnya, aku harus mencari jawapannya.


                Di bawah singki itu.


                Air liur yang aku telan terasa keras seperti batu. Tangan sasa aku yang ingin memegang tombol kabinet sedikit menggeletar. Terlihat liang roma yang menegak. Bukan entiti yang berwajah hodoh yang aku takutkan, tetapi jawapan disebalik misteri erangan di bawah sinki ini yang buat aku berdebar.


                Dengan lafaz bismillah disertai seketul air liur aku telan, pintu cabinet aku buka.


                “Sayang?”


                Dan erangan terhenti.


***

                “Mak ingat dia dah sembuh..” ibu mertuaku mematah-matahkan jemarinya.


                “Maksud mak?”


                “Dulu dia selalu menyorok bawah sinki, kalau bekas suaminya balik dalam keadaan mabuk.” Ibu mertuaku mengesat air mata yang jatuh di pipi.


Tema : Erangan bawah singki
                

Friday, December 4, 2015

karkas : Buah hati rakyat malaysia



Menjadi Buah Hati Rakyat Malaysia tidaklah semanis seperti yang semua orang lihat. Sedekad sudah berlalu, dari beribu-ribu pujian kepada berjuta-juta makian sudah dia hadam. Namun dia masih mampu berdiri dan melangkah setiap hari dengan senyuman, dan terus mengekalkan status penyanyi nombor satu terbaik di Malaysia.

Terbaharu, seorang Datin dalam lingkungan lewat usia 40-an membuat kenyataan di Melodi (dengan namanya dihitamkan) bahawa suaminya sedang menjalin cinta dengan seorang penyanyi terkenal (juga identiti penyanyi itu dihitamkan) sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Apabila ditanya apakah motif kenyataan ini dibuat, wanita itu mendedahkan yang penyanyi itu merancang untuk  berkahwin dengan suaminya sedangkan dia tidak bersetuju untuk berpoligami. Akibatnya dia diminta untuk memilih samada berpoligami mahupun berpisah. Pilihan yang diberikan sangatlah berat sebelah dan langsung tidak memihak kepada dirinya sedikit pun.

Lalu wanita ini menggunakan medium 'Melodi' untuk meraih simpati jutaan rakyat Malaysia agar keadilan berpihak kepadanya.

Skuad Melodi yang terkenal dengan 'Terjah!' mencari penyanyi yang dimaksudkan akan tetapi sudah beberapa kali terjahan mereka terganggu kerana ketiadaan penyanyi itu di Malaysia ketika ini. Menurut sumber yang boleh dipercayai, penyanyi itu sedang bercuti di London sehingga minggu hadapan.

Segelintir manusia yang bersembunyi di sebalik identiti Pahlawan Kekunci dengan mudahnya dapat menebak siapkah penyanyi yang dimaksudkan setelah mereka menonton Melodi dan mengikuti perkembangan penyanyi itu di Instagram. Lalu muncullah gossip di blog-blog hiburan dengan tajuk sensasi:

‘Mariyyah punca keretakan rumah tangga orang.’

‘Mariyyah bakal berkahwin dengan suami orang.'

‘Mariyyah bakal menamatkan zaman bujang.’

Seluruh rakyat Malaysia menantikan kepulangan Mariyyah, penyanyi nombor satu Malaysia itu untuk memberi kenyataan balas bagi pertuduhan dan gosip yang telah tersebar ini. Berita perkahwinan Mariyyah adalah satu hal yang paling dinanti-nantikan oleh semua peminatnya dari luar dan dalam negara.

***

Mariyyah sedar yang rahsia besarnya telah terbongkar. Sebentar lagi pihak wartawan akan mengejarnya sehingga ke lubang cacing. Dia akan dicincang dengan soalan-soalan yang bisa memuaskan hati-hati seluruh rakyat Malaysia. Di dalam bilik kebal itu, dia tanggalkan telinganya dan disimpannya di dalam peti besi. Diambilnya rambut yang paling mengerbang, lalu disarung ke kepalanya. Kelihatan di depan cermin, membiaskan rupa Buah Hati Rakyat Malaysia yang anggun. Tiada siapa yang pernah tahu rahsia ketenangannya tika berhadapan amukan manusia-manusia di luar sana.

***

“Mariyyah, betul ke dakwaan mengatakan you akan berkahwin dengan suami orang?” Tanya wartawan yang bertudung dengan rokok di tangan.

“Adakah lelaki itu akan menceraikan isterinya?” Tanya wartawan botak bertatu di lengan, yang macam pondan.

“Mariyyah, apa pendapat awak tentang poligami?” Tanya wartawan wanita tua yang berskirt-mini kemanja-manjaan.

Dia dikeremuni lebih daripada sepuluh orang wartawan dan diajukan soalan bertalu-talu namun dia masih mampu tersenyum, riak wajahnya langsung tidak menampakkan garis-garis kelelahan mahupun tekanan.

“Mariyyah apa istimewanya Datuk J?"

Mariyyah langsung tidak mendengar setiap satu soalan yang diajukan, dia cuma melihat kumat-kamit wartawan.

“Hehe. No komen.” Jawabnya, mudah...

...senyuman manis terus terlukis di bibirnya, mengekalkan status Buah Hati Rakyat Malaysia, selagi belum melepasi tarikh luput status itu yang ditentukan oleh Melodi dan Pahlawan Papan Kekunci.



Tema : Telinga tertinggal dalam bilik kebal