http://img10.imageshack.us/img10/7733/contactm.png

Friday, February 17, 2012

bab 39 (akhir)



      Setahun telah berlalu. Dalam tempoh itu bermacam-macam perkara telah aku lalui, dah bermacam-macam dugaan aku tempuhi, sampaikan aku dah jadi lali dan kebal dengan semua ujian dan dugaan itu. Antaranya..
Aku meninggalkan villa dan duduk bersama emak dan abah dalam satu tempoh waktu yang agak lama hanya kerana rasa kecewaku dengan keluarga kandung aku sendiri. Pengajianku terpaksa aku tangguhkan. Aku tak sanggup nak guna apa-apa saja yang berkaitan dengan duit dan harta atuk. Di kampung, tak ada sesiapa yang peduli tentang aku, tak ada sesiapa yang bertanya kenapa aku pulang kembali ke sana kecuali Bob dan Ziana. Jawapan aku bila mereka bertanya cuma.. "Aku bercuti panjang, nak habiskan masa berkualiti dengan mak dan abah" terus mereka akan mengangguk faham.
Mak su? Ikutkan rasa sakit hati aku, memang aku nak saja sumbat mak su masuk ke dalam penjara, sekalipun dengan meringkuk dalam penjara tidak mampu mengembalikan ibu dan ayah aku tapi aku tetap mahu mak su rasa betapa pedihnya hati aku bila orang yang aku percayai rupanya adalah dalang di sebalik tragedi masa laluku. Tapi atas pujukan atuk dan rayuan mak su, aku akhirnya membiarkan saja pembunuh itu lepas bebas. Biarlah.. biar Allah saja yang menghukumnya, aku tak ada kuasa untuk menghukum itu. Selepas itu dengarnya mak su berhijrah ke luar negara. Entah negara mana dia pergi aku pun tak pasti. Biarlah dia dengan hidup barunya disana asalkan dia tidak akan mengganggu aku lagi. 
Pak Cik Sibir. Huh.. siapa sangka rupanya tekaan Harraz selama ini memang tepat. Pak Cik Sibir menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan aku. Dia mengetahui semua tentang ibu dan ayah. Dia tahu tentang apa yang mak su dah lakukan dan dia mengambil sikap mengasingkan dan menjauhkan diri dari aku kerana ancaman mak su. Mak su tak mahu pak cik Sibir membocorkan rahsia lampau itu. Rahsia dimana mak su sebenarnya sudah lama jatuh cinta pada ayah dan tanpa pengetahuannya atuk telah bersepakat dengan keluarga ayah untuk menyatukan ibu dan ayah. Bukan setakat itu dendam mak su, sebaliknya mak su selalu rasa yang ibu adalah perampas. Segala yang mak su inginkan akan atuk beri kepada ibu. Kerana itu mak su tak dapat terima bila suami yang dikahwininya jatuh bankrap dan jadi gila. Mak su tak boleh terima bila hidup ibu lebih bahagia daripada dirinya. Dia mahu ibu menderita sama sepertinya. 
Lelaki misteri itu. Ya, lelaki yang sering kali muncul di hadapanku pada waktu-waktu yang aku tak jangkakan. Lelaki itulah yang telah menyelamatkan aku dan menghantar aku ke perlis satu ketika dulu. Lelaki itu adalah orang upahan mak su. Lelaki itu yang mengakibatkan kemalangan itu berlaku. Aku menangis teresak-esak semasa lelaki itu datang berjumpa denganku dan menceritakan semua kejadian 19 tahun lepas. Betapa aku rasa hidup aku asyik dipermainkan oleh orang sekeliling aku. Betapa tragis dan malangnya kisah hidup aku sehinggakan aku tak mampu buat apa-apa lagi selain menangis, menangis dan menangis. "Terima kasih pak cik, sebab dah hancurkan hidup saya" itu kata-kata terakhir yang aku ucapkan kepadanya sebelum aku pulang ke rumah dengan hati yang hancur lebur.
Atuk. Niatnya cuma ingin menghabiskan sisa hidupnya dengan keluarga. Dia tak mahu berpecah, dia tak mahu sesiapa pergi, dia tak mahu aku mahupun mak su meninggalkannya. Memang aku kasihan dengan atuk tapi setiap kali aku pandang setiap sudut dalam villa aku cuma akan rasa seperti hati aku disiat-siat. Inikah keluarga yang telah mengambil ayah dan ibu aku? Inikah keluarga yang telah membuatkan aku jauh terpisah dan terasing, inikah keluarga yang dapat menggembirakan aku? Inikah dia? Tidak!
Syafiq. Mungkin perasaan yang pernah ada untuknya dulu tidak lagi sama seperti sekarang. Bagi aku Syafiq adalah kenangan masa lalu yang kini menjadi salah seorang teman rapat aku. Kami berkongsi cerita, meluangkan masa bersama dan bertukar-tukar pendapat. Cuma perasaan yang tersimpan dalam hati, tak pernah aku ceritakan padanya. 
Dan Harraz. Aku tahu yang aku tak sepatutnya menyalahkan dirinya di atas semua perkara yang telah berlaku ke atasku. Aku tahu yang aku tak sepatutnya memaki hamun dirinya dan menyalah dirinya kerana cuba membawa aku kembali ke zaman silamku, sekaligus membuatkan aku kecewa bahawa inilah dia, zaman silam aku yang sangat kelam dan suram! Tapi sayangnya aku baru sedar yang aku tak sepatutnya melakukan semua perkara di atas selepas aku kehilangannya. Selepas Harraz mengambil keputusan untuk pergi. Pergi jauh yang aku sendiri tak pasti kemana. 
Betapa setiap saat yang berlalu, aku asyik teringatkannya, setiap perkara yang aku lakukan hanya akan membawa ingatan aku kepadanya. Setiap cerita yang aku tonton seakan berkaitan dengan dirinya. Setiap detik, saat dan masa. Hanya dia dalam fikiranku.
Dan kini, setelah genap setahun berlalu. Setelah rajuk hatiku pergi dibawa angin lalu, aku kembali ke villa. Mendedahkan rahsia diriku sebagai Cik Muda Irina Imani pada media, dan pada satu malaysia. Bakal memangku jawatan Pengerusi Residence Hotel setelah aku tamatkan pembelajaran nanti. Ya, dan juga membuatkan rakan-rakan di kolej terutama Hanna, Nazmi dan Naim ternganga dan terbeliak biji mata melihatku dan melayan aku macamlah aku ni puteri mahkota. 
Setelah apa yang aku dah lalui, kini aku bukan lagi Irin yang manja dan mengada-ngada. Bukan lagi Irin yang lembik asyik dibuli, bukan lagi Irin yang lemah asyik ditindas, bukan lagi Irin yang lama. Sebaliknya sekarang aku adalah cik muda Irina Imani yang tegas dalam membuat keputusan, yang cekap dalam menguruskan hal-hal pentadbiran di villa, yang matang dan yang berdikari. Kini aku tak lagi perlukan tuan muda Iman Harraz sebagai penyelamat aku, atau sebagai malaikat pelindung aku kerana aku mampu melindungi diriku sendiri.
Ya, aku boleh melindungi diriku sendiri sekalipun daripada anjing yang asyik menjelurkan lidah sambil memandang aku ini. Aku tertanya-tanya, adakah anjing ini melihat aku seperti sebatang tulang yang menyelerakan sehingga dia perlu merenung aku sebegitu??
"Syuhh.. syuhh.." Aku menghalaunya dengan jari-jemariku, tak selesa pula aku nak layan perasaan kat sini kalau anjing ni ada. Sekarang aku mula rasa nak menyesal sebab suruh bodyguard aku semua pergi. Konon-kononnya nak tenangkan diri, nak layan blues kat taman ni, alih-alih kena usha dengan anjing liar pulak! Haish.. memang salah pilih tempatlah!.
"Syuhh.. " aku cuba lagi menghalau anjing itu sambil aku berdiri dan berjalan, ingin menjauhkan diri darinya. Tapi tiba-tiba anjing tu ikut aku. Apahal anjing ni, ada hutang dengan aku ke..
Bila aku berjalan lebih pantas, anjing ini seperti berlari dan menghampiri kaki aku. Ahh.. sampai nak himpit-himpit kaki aku pulak! Memang aku bukak langkah seribulah. Tapi anjing ni tiba-tiba menyalak dan mengejar aku. Makin pantas aku berlari. Tolong, tolong jangan malukan aku kat tempat awam ini, tolong jangan tarik seluar aku atau jangan ragut kasut aku. Tolong... Aku berlari kehadapan dengan kepala yang memandang anjing itu di belakang aku. Tiba-tiba badan aku terlanggar seseorang, bila aku memusingkan kepala, muka aku terus tersembam di dada orang itu. Bunyi anjing itu melalak masih kedengaran. Terus aku buka langkah untuk berlari tapi tiba-tiba tangan aku terasa seperti ditarik. 
"Eh, tak tau teori kalau kena kejar dengan anjing jangan berlari?" Soal suara lelaki, yang aku yakin datangnya daripada menusia yang menarik tangan aku itu tadi.
"Worghh.. worrghh.." Anjing liar ini menyalak-nyalak lagi di hadapan kami. 
"Masalahnya dia nak gigit, takkan nak berdiri kaku je kot?" Soalku, sambil cuba menyorokkan diri di belakang lelaki itu.
"Kalau saya berjaya buat anjing ni diam, awak nak buat apa?" Soal lelaki ini. 
"Apa awak nak?" Soalku pula. Dalam keadaan ini boleh pulak kami buat pertaruhan tentang si anjing gila ini.
"Teman saya makan." Pinta lelaki ini.
"Ha.. ok..ok.." Balasku. Begitu terdesak untuk meminta bantuan lelaki ini supaya menyumbat sesuatu pada mulut anjing ini agar dia kembali diam. Naik malu aku bila ada mata-mata yang sedang memandang ke arah kami sambil ketawa, ada juga yang memandang dengan pandangan simpati. 
Lelaki ini tiba-tiba membongkok, entah apa yang dikutipnya di atas tanah sebelum dia bangun kembali dan mencampak sesuatu yang dikutip tadi sehingga membuatkan tumpuan anjing itu teralih kepada benda yang dicampak tadi. Oh, dia campak ranting kayu rupanya..
Aku baru saja ingin menarik nafas lega dan mahu berkenalan dengan lelaki yang telah jadi penyelamat aku ini tadi, tapi tiba-tiba tangan aku pula ditarik sehingga memaksa aku berlari, mengikut ayunan langkah lelaki ini. 
"Eh.. eh.. kenapa kena lari pula ni?" Soalku, panik.
"Nanti anjing tu nak bagi kayu tu pada kita balik." Balas lelaki ini.
Aku sempat menoleh ke belakang. Kelibat anjing itu aku lihat sedang menyalak-nyalak di tempat kami berdiri tadi, ada kayu yang diletakkan di atas tanah tempat anjing itu menyalak. Ceh, patutlah dia pandang aku tak berkelip tadi, nak ajak aku main rupanya..
Lelaki ini terus menarik aku agar turut berlari dengannya sehinggalah aku sendiri memintanya supaya berhenti menarik tanganku, perut aku dah terasa kejang, kaki aku macam nak patah sebab dah lama tak berjongging, nafas aku dah jadi agak tak teratur, peluh muka membasahi dahi, ketiak dan badan aku. Bila lelaki ini berhenti berlari, aku terus terduduk di atas jalan, dengan mata yang terpejam dan tenaga yang hilang. 
Sungguh! Aku memang sangat belum bersedia untuk berlari tadi.
"Heh.. heh.. kau memang tak berubah kan budak?" Soal lelaki ini. 
Apa dia kata tadi? Aku memang tak berubah? Budak? Siapa budak?" Aku angkat kepala dan mendongak memandang muka lelaki ini tapi cahaya matahari yang terpancar dari arah kepala lelaki ini membuatkan aku tak mampu untuk melihat wajahnya dengan lebih jelas. Lalu aku tundukkan kembali kepalaku.
Aku terasa kepala aku digosok sehingga membuatkan rambut aku yang dibiarkan lepas bebas itu berserabai. Aku angkat kepala, muka lelaki tadi betul-betul di hadapan mata aku. Dia sedang bercangkung sambil tersenyum memandangku. Untuk sesaat, aku seakan terpegun. Bukan terpegun kerana wajahnya yang kacak sebab muka lelaki ini tak kacak mana pun dengan janggut nipis yang menutupi dagunya, pipinya yang nampak seperti tidak bersih, mungkin kerana tidak bercukur tetapi kerana senyuman lelaki ini, manis!
Aku hanya tersedar yang aku telah merenung lelaki ini agak lama bila dia sendiri menumbuk pipi aku perlahan dengan buku limanya lalu dia ketawa perlahan. Lebih menambahkan kemanisan senyumannya.
"Hoi, aku taulah kau rindu aku tapi tak payahlah nak tenung muka aku sampai macam tu sekali." Katanya. 
Rindu? Dia kata aku rindu dia? Eh, rasanya aku langsung tak kenal siapa mamat yang berada di hadapanku ini, macammana dia boleh kata aku rindukan dia?
"Eh, kejap! Awak siapa?" Soalku.
"Aku.. Iman!" Jawabnya, dan dia berdiri, sebelah tangannya dimasukkan dalam poket seluar. Sebelah tangan lagi dia hulurkan kepadaku, untuk menarik aku bangun. Teragak-agak aku menyambut.
Bila aku dah berdiri tegak di hadapannya, dia senyum lagi sambil berkata, "Dan kau Imani, kan?"  Soalnya.
Sekarang aku terasa macam mulut aku terbuka terlalu luas. Mungkin mampu memuatkan seekor tupai di dalamnya. 
Lelaki ini ketawa lagi. Oh, sungguh aku tak kenal dengan lelaki yang asyik tersenyum dan ketawa ini. Siapa dia sebenarnya? Macammana dia boleh kenal aku pulak? Lebih-lebih lagi dengan nama Imani itu?
"Hey, Irin! Kau betul-betul tak ingat aku ke?" Soalnya lagi sambil menanggalkan topi yang dipakainya. Sekarang barulah aku nampak keseluruhan wajahnya dengan lebih jelas. 
Mata aku sedang menganalisa wajah lelaki ini jikalau aku pernah kenal dengan dia. Tambah-tambah lagi tadi dia memanggil aku Irin. Pastinya dia memang mengenali aku. Tapi kenapa aku tiba-tiba macam orang hilang ingatan ni?
"Haish, lembap betullah kau ni. Ini akulah, Harraz! Iman Harraz. Kau dah lupa?" Soalnya dengan sebelah keningnya yang dijongketkan.
Iman Harraz? Lelaki yang sedang tersenyum dan tergelak-gelak ini Iman Harraz? Lelaki yang berjanggut nipis dan bermuka serabai ini Iman Harraz? Iman Harraz yang selalu buli aku dulu tu? Iman Harraz yang kacak dan bergaya dan tak suka senyum itu? Iman Harraz yang aku rindui itu? Betulkah ini Iman Harraz?
"Harraz?..." Panggilku, perlahan.
"Ya, aku Harraz. Pelik betullah, macammana kau boleh tak cam aku? Ke kau benci aku sangat sampai muka aku pun kau dah tak nak ingat?" Soalnya.
"Tak.. bukan benci. Tapi.. muka awak nampak lain, awak.. senyum." Balasku perlahan. Hati aku bergetar. Tiba-tiba rasa rindu begitu membuak-buak dalam hatiku. Harraz.. Harraz ada kat depan mata aku sekarang!
Tiba-tiba je aku rasa nak menangis. Sesungguhnya aku dah lama tak menangis sebab aku dah janji pada diri sendiri yang aku bukan lagi Irina Imani si budak lembik yang suka menangis tu, tapi aku sekarang adalah cik muda Irina Imani yang kuat dan gagah! Entah kenapa bila depan Harraz aku jadi lembik balik.
"Oishh.. macam ni ke cara kau sambut kepulangan aku? Dengan air mata? Bila nak matang ni Irin?" Soal Harraz, sengaja mengusikku.
"Harraz.. kita rindu awak!" Ucapku, tanpa rasa malu. 
"Hah.. hahhhaaa.. ada jugak orang rindu aku. Ingatkan semua orang dah tak nak tengok muka aku lagi. Tak sia-sia aku mengembara ke hutan amazon semata-mata nak kejar cita-cita aku mengembara ke seluruh dunia." Harraz ketawa terbahak-bahak. DIa ingat aku buat lawak ke apa?
"Awak pergi hutan Amazon? Seriously?"
"Taklah! Gila kau nak aku mati sorang-sorang kat dalam hutan tu? Aku belum kahwin lagi kot.." Balas Harraz.
"Eleh.. habis tu balik sini kenapa? Nak kahwin lepas tu baru nak jelajah hutan Amazon tu?" Balasku, sengaja mengusiknya.
"Ha'ah.. aku balik ni sebab nak cari calon isteri. Rasanya tak payah cari jauh-jauh, yang kat depan mata ni pun boleh kot??" Harraz jongket kening memandangku.
"Siapa nak kahwin dengan awak.." balasku, malu.
"Hurmmm.. tadi kata rindu kat aku.. ajak kahwin tak nak pulak.."
"Hantar kita balik!" Pintaku. Malu.
"Apasal? Dah tak ingat jalan nak balik?"
"Jomlah hantar kita balik! Jumpa atuk, jumpa pak cik Ghazi...." Aku memberikan kata-kata kiasan yang membawa maksud aku setuju dengan lamarannya.
Harraz memandangku dengan ekor matanya dan tersengih lagi. Sengihan yang membuatkan aku rasa macam pipi aku diserbu darah merah yang maha pekat! Oh Harraz, nampaknya kau akan tetap jadi guardian angel aku sampai bila-bila!

-And that's the end-



p/s : isk..isk.. sedihnya! Dah habis? Maaf kalau ending ini tak seperti yang korang harapkan, tapi aku tak mahu buang masa lagi dengan mengarang draf panjang-panjang sebab makin lambat ending cerita ni disiapkan, makin banyaklah kerja-kerja aku akan tertangguh. Lagipun, kalau ada rezeki untuk mss ni diterbitkan, takkanlah nak biar korang baca versi yang sebijik sama macam dalam blog kan? So, haruslah tamatkan cerita dengan ending yang biasa-biasa je, jadi nanti boleh edit balik dengan jalan cerita yang lebih teratur. Kan? Kan? >_<

Dikesempatan ini, aku ingin mengucapkan (alamak, drama!) ribuan/jutaan/billion terima kasih pada semua Harraz's lovers yang baca cerita ni sikit-sikit, yang baca kadang-kadang, yang baca ala kadar, yang baca tajuk dan bab je dan yang baca sepenuhnya enovel ini. Serius cakap, tak tipu! Tanpa korang entah siap entah tidak enovel ni. Serius cakap lagi, tanpa korang.. siapalah mia kaftiya yang baru nak belajar tulis novel ni...

Thank you sayangsss!! (serius cakap, memang sayang korang!) >_< *blushing* 



Friday, February 10, 2012

bab 38



Sangat pelik aku rasakan hari ini bila yang menghantar aku ke kolej bukan Harraz, tapi pemandu peribadi atuk. Sebaik aku keluar saja dari muka pintu villa, lelaki ini yang layak aku panggil pak cik sudah berdiri terpacak di sisi kereta, bila dia lihat aku sedang berdiri memandangnya, dia terus membukakan pintu kereta dan mempersilakan aku masuk. 

Bila aku tanya... “Mana Harraz?”

Jawapan yang diberikan olehnya ialah, “Mulai hari ini saya yang akan menghantar dan menjemput cik muda di kolej.” 


Nampak gayanya memang ada sesuatu yang tak kena dengan Harraz, kenapa tugas menghantar dan mengambil aku pun dah ditukar kepada orang lain??

Sampai saja di perkarangan kolej, tanpa sempat aku berbuat apa-apa, pak cik driver ini sudah terlebih dulu membukakan pintu untuk aku. Aku pandang sekeliling sebelum aku keluar, risau kalau ada yang ternampak aku dilayan seperti tuan puteri sampaikan pintu kereta pun perlu dibukakan. Oh tidak!

Yakin yang tak ada sesiapa yang mempedulikan kehadiran kereta ini, aku cepat-cepat keluar dan berpesan pada pak cik driver ini, “Lain kali tak payah bukakan pintu untuk kita tau, biar kita buka sendiri.” Pesanku.

Pak cik ini mengangguk sebelum dia masuk kembali ke dalam kereta dan kereta bergerak perlahan dan semakin laju.

Aku baru nak tarik nafas lega, tapi tiba-tiba aku rasa macam air liur aku tersekat di kerongkong bila ternampak Hanna sedang memandangku dengan dahi berkerut dan pandangan penuh tanda tanya.

O’ooo.. nampaknya aku harus mula rangka jawapan untuk membalas serangan soalan daripada Hanna, bermula sekarang!  

Satu langkah ayunan kaki aku buka. Ok, Hanna mesti akan tanya siapa pak cik tadi tu.

Dua langkah ke hadapan. Jawab je yang itu pak cik aku, dia memang suka bergurau nak bukakan pintu kereta orang.

Tiga langkah. Dimana Harraz? Errrr....

Empat langkah. Harraz...  sibuk? Lima langkah. Aku dah nampak Hanna sedang berjalan ke arahku dengan senyuman, oh.. jangan datang sini please. Aku perlukan lebih masa untuk memikirkan jawapan.

“Irin!” Tegur Hanna lalu memaut lenganku, mesra.

“Hai.. baru sampai?” Soalku. Tersengih cuak. Menanti dengan perasaan berdebar-debar saatnya Hanna akan mula menembak soalannya kepadaku.

“Ha’ah.. baru sampai lepas tu nampak Irin dalam kereta sebab tu Hanna tunggu. Oh, hari ni driver Irin pulak yang hantar eh? Sepupu Irin tu mana?” Soal Hanna, selamba.

“Dia... sibuk. Ada kerja." Balasku, nampaknya Hanna langsung tak persoalkan tentang driver itu, mungkin bagi dia itu perkara biasa memandangkan memang ramai pelajar kolej ni anak orang-orang kaya. Fuuhh.. selamat!

"Oh.. tak dapat tengok muka dia pagi ni.." Keluh Hanna perlahan. Tapi masih mampu aku dengari. Aku pandang mukanya dengan dahi berkerut dan senyuman yang cuba aku tahan.

Hanna tersipu-sipu membalas pandanganku sebelum dia menolak lengan aku dan dia berjalan lebih pantas. Malulah tu...

Sampai di kelas, baru saja punggung aku nak mencecah kerusi, sekali lagi aku terdengar perbincangan hangat antara Nazmi dan Naim di belakang berkaitan 'cucu pengerusi Resident Hotel' itu. Topik apa pula yang mereka bincangkan kali ini??

"Kau rasa budak tu larikan diri masa malam tu betul-betul sebab dia larikan diri ke atau sebab dia diculik??" Soal Nazmi membangkitkan persoalan.

"Kau merepek apa kena culiknya.. kan paper dah cakap yang budak tu belum bersedia nak muncul kat khalayak?? Eh, tapi budak ni cun jugak kan? Kalaulah dia tak tutup muka, perghh.. " Balas Naim, menolak sebarang spekulasi yang cuba dibangkitkan oleh Nazmi.

Aku tersentak mendengar kata-kata itu. Mana diorang tahu yang 'budak' itu cun? Ada gambar ke?? Kerana rasa hati yang begitu membuak-buak aku terus bangun menuju ke arah mereka dan turut menyelit ingin melihat apa yang terpampang di skrin laptop itu. 

Itu dia! Gambar aku sedang menutup muka sambil bersembunyi di belakang Harraz. Mujur saja muka aku memang tak nampak langsung, kecuali pakaian dan rambut aku saja yang kelihatan. Tanpa sedar rupanya aku sedang merenung skrin laptop dengan mulut yang melopong. Kalau tidak kerana ditegur oleh Nazmi mungkin sekarang aku masih terkebil-kebil memandang gambar aku sendiri.

"Cara kau tengok gambar ni macam tengah tengok alien." Usik Nazmi, tergelak.

Aku telan liur. Kalaulah diorang tahu gambar siapa yang diorang sedang lihat ini, pasti diorang takkan bahan aku dengan usikan sebegini, sebaliknya pasti mereka akan persoalan kepada aku kenapa, bagaimana, dimana, dan bermacam-macam soalan lagi yang berkaitan dengan sejarah silam aku. Betul kata Harraz, aku cuma perlu percayakan dirinya sebab setiap keputusan yang dia ambil tetap yang terbaik untuk aku. 

Arrghh.. kenapa mesti fikir tentang Harraz pula sekarang ni? Bukankah dia dah tak nak kawan dengan aku lagi. Pasti dia marah sebab aku tak mahu percayakan dirinya.

"Aku ada soalan, kalaulah ditakdirkan yang satu hari nanti, kau akan berjumpa dengan budak perempuan ni, apa yang kau nak buat?" Soal Naim kepada Nazmi. 

Nazmi terdiam sambil memikirkan dalam-dalam tentang soalan Naim itu.

"Kalau aku jumpa dia eh? Ermm... aku nak kiss pipi dia, boleh?" 

Aku pandang muka Nazmi tajam-tajam. Seriously? Nak kiss pipi aku? Yuks! Tak rela! Aku terus kembali ke meja aku sambil menggosok pipi aku macamlah Nazmi dah cium pipi aku. Oh.. imaginasi terlampau betullah aku ni.

"Kenapa Irin gosok pipi?" Soal Hanna, polos. 

"Uh? Tak.. tadi terasa macam berminyak." Dalihku.

"Oh.." 

Tiba-tiba telefon bimbit aku berbunyi, cepat-cepat aku keluarkan ianya dari dalam beg tangan. Nama 'Syafiq' tertera di skrin. Nampak nama Syafiq baru aku teringat yang dah agak lama aku tak berhubungan dengan lelaki ini. 

"Assalamualaikum." Ucapku. 

"Waalaikumsalam. Irin, kat mana?" Soalnya dihujung talian.

"Kolej. Kenapa?" 

"Irin ok?" Soal Syafiq, kini baru aku terperasan nadanya yang agak cemas.

"Ok je.. kenapa Syafiq?"

"Tak.. saya baca berita, pasal Irin hilang. Saya dah lama nak call Irin tapi sibuk sangat sampai tak sempat nak call. Irin ok ke? Siapa yang culik Irin?" Soal Syafiq, panjang lebar.

Aku pandang sekeliling. Tiba-tiba aku rasa suara Syafiq bercakap macam terlalu kuat sehingga mampu didengari oleh orang-orang sekelilingku, macamlah aku buka pembesar suara.

"Syafiq.. kita tak boleh nak cerita sekarang sebab kita dalam kelas ni. Boleh tak malam nanti kita call awak?" Pintaku, sedaya upaya cuba untuk tidak buat Syafiq risau sekaligus cuba untuk tidak buat Syafiq terasa yang aku tak mahu berbincang hal ini dengannya.

"Tapi saya nak tau sangat ni, boleh tak Irin cerita je sekarang? Please. Hati saya takkan tenang selagi saya tak dengar cerita sebenar. Telinga saya ni dah diasak dengan pelbagai spekulasi." Pinta Syafiq, begitu berharap.

Serba-salah pula aku dibuatnya. Kemana patut aku pergi? Tandas? Ah, tempat itu akan jadi kawasan yang sentiasa ada orang keluar masuk. Kalau cakap kat sini je? Nanti pensyarah masuk nak lari macammana?

"Irin? Boleh tak?" Suara Syafiq di hujung talian mengejutkan aku.

"Ok, tapi boleh tunggu kejap sampai kita jumpa tempat yang selamat?" 

Penat mencari dan memikirkan lokasi yang sesuai, aku akhirnya menyorok di bawah tangga. Satu-satunya laluan yang jarang dilalui oleh pelajar kerana tangga ini agak jauh daripada kelas. Setelah itu aku ceritakan dari awal sampai ke akhir berkaitan kejadian malam itu. Tentang bagaimana aku ditarik dan diacukan pisau sehinggalah bila aku dibawa pulang atas permintaanku sendiri.

"Irin, petang ni balik dengan saya?" Pinta Syafiq selepas aku selesai bercerita.

"Eh, kenapa pulak? Tak apa.. pak cik drebar boleh ambil kita, awak tak payah la susah-susah." Tolakku, tak mahu menyusahkannya.

"Tak susah pun Irin. Lagipun saya rasa tak puas cuma dengar dalam telefon je. Saya nak tengok awak depan-depan, saya nak pastikan yang awak tak apa-apa" Ucap Syafiq, penuh.. romantis. Tapi kenapa aku rasa macam geli tiba-tiba pula ni? Hiks.

"Kita oklah Syafiq, kita selamat. Kalau tak, takkanlah kita boleh bercakap dengan awak sekarang, kan?"

"Tak kira, petang ni saya datang jemput awak. Pesan kat driver awak tak payah ambil awak petang ni." Arah Syafiq.

"Tapi Syafiq..."

"Saya ambil." Dan talian dimatikan. 

Aku merenung skrin telefon yang memaparkan muka aku sendiri. Satu keluhan aku lepaskan.

*************

Jam di tangan aku kerling lagi. Rasanya dah setengah jam aku menunggu tapi bayang Syafiq masih belum kelihatan. Dia terlupa atau dia terlewat ni?? Nak call, rasa macam serba salah pulak, dah la orang tu nak ambil, so tunggu jelah sampai dia datang kan? 

Hurmmm... Aku kembali duduk di atas salah satu anak tangga sambil menongkat dagu dan memandang kehadapan. Termenung.

"Pin.. Pinnn.." Lamunan aku terhenti bila telinga aku menangkap bunyi hon dari arah bertentangan dengan aku. Kereta hitam tersadai di atas jalan dan Harraz sedang menjengulkan kepalanya keluar dari tingkap sambil memandang aku dan menggamit aku ke arahnya.

Sejak bila dia ada kat situ? Kenapa aku tak perasan pun?? Sekali lagi Harraz menggamit aku supaya datang kepadanya lalu aku sangkut beg tangan ke bahu dan memeluk fail tebal di tangan. Melangkah setapak demi setapak menuju ke arah Harraz.

"Kenapa?" Soalku. 

"Kau ni memang dasar ratu termenung betul. Tau tak berapa lama aku tunggu kat sini, kau boleh tak perasan?? Heh.." Kata Harraz, memerli aku. Ada sengihan di hujung bibirnya. Uish, dah lama tak tengok Harraz versi yang ini, Harraz versi suka mengusik dan mengarah!

Sebabnya kebelakangan ini Harraz sudah bertukar menjadi Harraz yang moody dan.. pelik!.

"Naik!" Suruh Harraz.

"Ha?" Soalku. Err.. sebenarnya aku ingin katakan perkara lain tapi tak tau kenapa reaksi itu yang aku berikan.

"Naiklah, aku hantar kau balik." Jelas Harraz.

"Eh, kita tengah tunggu Syafiq ni, dia kata nak ambil kita." Tolakku.

"Syafiq takkan datang ambil kau, naik je lah."

"Kenapa pula dia takkan datang ambil kita?" Soalku curiga.

"Dia ada mesyuarat. Kalau habis pun lambat. Takkan kau nak tunggu dia kat sini sampai malam kot? Dah la naik jelah. Takkan nak tunggu aku bukakan pintu pulak."

Kalau betul Syafiq ada mesyuarat kenapa dia tak beritahu aku? Atau Harraz yang tipu aku? Tapi kalau betul Syafiq ada mesyuarat dan mesyuarat tu habis lambat, aku macammana? Takkan nak tunggu kat sini sampai malam kot? Habis tu balik je dengan Harraz??

"Kau tunggu apa lagi ni Irin.. naik sajalah! Tak nak naik aku tinggal je karang!" Harraz mula berang. Untuk masuk ke dalam kereta pun aku perlu ambil masa sampai berpuluh-puluh minit. Padahal buka saja pintu dan masuk. Mudah je kan?

Tak mahu fikir kemungkinan yang lain, maka aku putuskan untuk rebut peluang di depan mata. Naik kereta dan pulang!.

"Kau dah tau yang Syafiq tu sibuk, yang kau sibuk nak suruh dia ambil kau tu kenapa?" Soal Harraz, membuka bicara.

"Eh, bukan kita yang suruh dia ambil kita ok, dia yang nak ambil sendiri."

"Lepas tu kau tak reti nak menolak, terima je pelawaan sesiapa saja kan?" Kata Harraz, agak kasar. Nada suara macam nak cari pasal dengan aku je ni.

"Apa awak peduli!" Balasku, geram. Kalau tau yang aku dan dia akan bergaduh dalam kereta ini, aku lebih rela menunggu Syafiq datang mengambilku sekalipun aku harus menunggu sehingga malam.

"Aku peduli semua tentang kau!" Balas Harraz, lantang. 

Aku tersentak. Terkejut mendengar nada suara Harraz yang tinggi itu. 

"Ehem.. sorry." Ucap Harraz, perlahan. Mungkin dia sendiri tak sedar yang dia bercakap dengan nada sebegitu.

Aku tersentuh mendengar ucapan maafnya sehinggakan aku sendiri pun tak tau samada patut cakap 'ok, tak apa' atau nak marah dia balik atau... ok, buat tak tau je, Irin!. Akhirnya kami cuma diam sehingga sampai di muka pintu villa. Sebelum aku keluar, Harraz kembali bersuara.

"Irin, sekali lagi aku nak tanya. Boleh tak kau percayakan aku?" Soal Harraz. Dia pandang mata aku dalam-dalam.

Aku terkebil-kebil membalas pandangannya. Tiba-tiba mulut aku kelu, tak tau mahu jawab apa.

"Irin, percayakan aku?" Soal Harraz lagi.

Perlahan-lahan aku mengangguk. Dah banyak kali dia tanyakan soalan ini, dan setiap kali itulah aku akan jawab ya, jadi tak ada bezanya jika kali ini pun aku mengiyakan. Tapi persoalannya, kenapa Harraz selalu mintak aku supaya percaya pada dia? Apa yang dia nak buat??

Harraz tersenyum. Lega.

"Terima kasih. Lepas ni jangan keluar seorang diri lagi. Kalau tak ada sesiapa yang boleh ambil kau, ingat aku akan sentiasa ada untuk kau." Ucap Harraz, kedengaran lembut di telingaku.
Aku mengangguk lagi.

"Dah, pergi masuk." Arah Harraz.

Aku mengangguk lagi dan membuka pintu kereta. Sepanjang perjalan ke bilik aku rasa macam kaki aku tak jejak tanah. Terasa melayang-layang!

Malam itu, selepas solat maghrib, aku bercadang untuk melepak-lepak di gazebo, sebab rasanya macam dah lama benar aku tak melepak kat taman kecil itu, tapi semasa sedang melintasi bilik tidur Harraz, tiba-tiba hati aku tergerak untuk masuk ke dalam sekalipun aku tak tahu samada Harraz ada di dalam ataupun tidak. Pintu bilik yang tidak ditutup rapat menguatkan lagi keinginan aku itu. 

Baru saja tangan aku ingin menolak pintu itu, tiba-tiba saja ada suara berbisik yang menghalang aku daripada berbuat demikian. 'Jangan masuk bilik orang tanpa kebenaranlah Irin!'. Aku angkat balik tangan, tak jadi nak masuk. Lalu aku atur langkah satu persatu. Perlahan. Kemudian aku terhenti, dan menoleh kembali ke arah pintu bilik itu. Keinginan aku terlau membuak-buak ingin masuk. Tak taulah apa yang istimewa sangat tentang bilik Harraz itu, sebab aku memang tak pernah masuk bilik dia. 

'Irin, selama ni dia masuk bilik kau selamba bodoh dia je, tak ada sesiapa kisah pun?' Bisik satu suara lain. Sekaligus seakan menarik kaki aku agar melangkah lebih dekat ke arah pintu bilik Harraz. Aku tarik nafas sebelum pintu itu aku tolak perlahan. Terbuka sedikit, nampak seperti tidak ada sesiapa di dalam. Aku tolak lagi sehingga luas melebar seperti mengalu-alukan kedatangan aku ke situ. 

Tanpa berfikir panjang, kaki aku angkat untuk masuk ke dalam. Berjalan-jalan mengelilingi bilik yang agak kecil sikit daripada bilik aku itu. Tak ada apa-apa yang istimewa tentang bilik Harraz ini, cuma terdapat bilik air dan susunan perabotnya kemas dan ringkas. Cuma ada sebiji katil, almari pakaian yang lengkap dengan meja solek dan meja tulis. Kaki aku atur terus menuju ke meja tulis yang terdapat buku-buku yang bertaburan di atasnya. Harraz.. Harraz.. suka tabur-taburkan buku tau! Tanpa sedar lincah je tangan aku nak kemaskan buku-buku itu, tapi secara tiba-tiba mata aku terpandang sesuatu yang bagi aku agak ganjil, agak menarik perhatian dan aku tahu bahawa cebisan kertas itu mengandungi satu rahsia mengenai sejarah hidupku!

Aku teliti satu persatu, aku baca. Dahi aku berkerut-kerut. Sekalipun aku kurang faham tapi otak aku masih keras bekerja untuk mencerna semua data-data yang dah aku analisa tadi. Semakin aku selak helaian kertas di atas meja, semakin aku berjumpa dengan isi-isi penting yang aku perlukan. Dan pada saat otak aku mula mencerna hasil maklumat yang aku dapat, ketika aku mula mengenalpasti hasil keputusan analisa, ketika itulah...

"Irina Imani!!" Harraz menjerit memanggil namaku dengan lantang. Mukanya tegang. Aku tahu dia tak suka aku membaca maklumat-maklumat peribadi ini, tapi nampaknya dia dah terlambat. Aku dah tau semua rahsia yang Harraz simpan. 

Oh, patutlah selama ini dia sentiasa harap yang aku akan percayakan dirinya, patutlah selama ini dia selalu bersikap dingin bila aku tanyakan tentang 'misi' kami itu, patutlah dia melarikan aku daripada majlis malam itu, patutlah...

"Harraz.." Ucapku perlahan sebelum aku terjelepok jatuh terduduk di lantai dan menangis teresak-esak.

"Ibu.. ayah.." ucap aku lagi. Air mata semakin laju mengalir. Aku tak tau apa yang aku patut lakukan sekarang, tapi aku benar-benar rasa 'kehilangan'. Aku rasa macam separuh dari hidup aku dah hilang selepas apa yang aku baca hasil dari penyiasatan Harraz itu, aku rasa macam dunia ini tak adil untuk aku.

"Irin.." Harraz mendekati aku dan dia bercangkung di sebelah aku.

"Irin.. kenapa kau masuk ke sini?" Soal Harraz, lirih. Aku dah tak peduli apa Harraz akan cakap, aku lebih peduli tentang apa aku harus buat untuk hidup aku, untuk masa depan aku dan yang lebih penting, untuk manusia yang menyebabkan kematian ibu dan ayah aku.

Tiba-tiba seperti ada satu bisikan halus ditelingaku yang menyuruh aku bangkit dari kesedihan ini, dan lakukan apa yang sepatutnya aku lakukan dari awal lagi, tegakkan keadilan! Aku bangun dari lantai, kertas-kertas yang dah berterabur aku buat tadi, aku kutip satu persatu dengan kasar sehinggakan ada yang hampir keronyok.

"Irin.. kau nak buat apa ni?" Soal Harraz disebelahku, dia sedang cuba menenangkan aku yang dah tak mampu untuk bertenang lagi ini. Tangannya yang mendarat di lenganku aku tepis kasar. Aku cuma capai mana-mana kertas yang sempat saja sebelum aku meluru keluar dari bilik Harraz, menuju ke ruang tamu.

"Irin! Irin tunggu.." Panggil Harraz, sekali lagi lengan aku ditarik dari belakang sehingga membuatkan badan aku terdorong ke belakang. Aku tepis lagi dan menolak-nolak tubuh Harraz agar dia berhenti mengganggu aku. 

"Atuk! Atuk!" Aku menjerit memanggil atuk macam orang hilang akal. Difikiranku saat ini cuma ada nama atuk. Aku tak peduli kalau semua orang dalam villa ini akan mendengar suaraku yang lantang, yang aku mahu hanyalah atuk muncul di hadapan mataku sekarang juga!.

"Atuuuuukkkk.." Jeritku lagi.

"Apasal terjerit-jerit ini Irin?" Soal mak su yang tiba-tiba muncul entah dari mana. Kemudian datang emak dan abah, turut memandangku dengan dahi berkerut.

Baguslah, aku memang mahu mereka semua ada di sini, tapi atuk masih lagi belum muncul. Dimana atuk?

"Atuk..." Jerit aku lagi. Air mata yang tadinya hampir kering kini kembali bergenang di kelopak mata. Aku risau kalau atuk tak ada di villa sekarang, aku risau kalau atuk mungkin sedang bekerja di luar daerah atau di luar negara sehingga memakan masa berhari-hari, aku risau kerana aku mahu atuk ada di sisiku sekarang!

"Irin.. kenapa ni nak?" Soal emak, lembut. Aku pandang muka mak, muka abah. Terasa seperti ingin berada di dalam pelukan emak pula sekarang. Tapi aku tak boleh lemah! Aku kena kuat. Bukan sekarang masanya untuk aku bermanja-manja. Tugas aku belum selesai.

"Irin? Kenapa menjerit panggil atuk?" Soal maksu lagi. Ada nada tak senang dalam bicaranya.

"Tadi Irin bergaduh dengan saya, lepas tu dia nak mengadu kat atuk. Tak apalah.. biar saya je yang pujuk dia. Jom Irin." Harraz menarik tangan aku dan menolak tubuh aku agar mengikut langkahnya. Tapi aku keraskan badan, aku tak akan berganjak sehingga aku berjumpa dengan atuk.

"Irin..." Pujuk Harraz.

"Irin nak jumpa atuk. Mana atuk?" Soalku, sambil meronta-ronta cuba melepaskan diri dari cengkaman Harraz.

"Atuk tak ada.. nanti kita bincang sama-sama. Jom!" Pujuk Harraz, masih cuba untuk menggunakan kelembutan dengan aku. 

"Tak nak! Irin nak jumpa atuk jugak!" Protesku. Aku rasa macam fikiran aku sangat-sangat tak waras sekarang kerana aku tak mampu berfikir tentang apa-apa lagi melainkan atuk.

"Irin? Kenapa ni?" Soal satu suara. Dan suara itu datangnya dari manusia yang aku tercari-cari tadi. 
Pegangan Harraz di lenganku semakin longgar, kami masing-masing menghalakan pandangan ke arah atuk dan pak cik Ghazi yang sepertinya baru pulang yang entah dari mana. 

"Kenapa ni?" Soal atuk, dahinya berkerut melihat situasi tegang ini.

Aku terus meluru mendapatkan atuk, kertas di tangan yang aku pegang sejak tadi aku hulurkan pada atuk. "Irin nak tau, selama ni atuk memang rahsiakan hal ini dari pengetahuan Irin ataupun atuk memang tak tau apa-apa langsung?" Soalku. Air mata dah mencurah-curah jatuh.

Atuk sambut huluran kertas itu, dibaca dan diselak satu persatu mukasurat. Dahinya yang berkedut itu dilapisi kerut yang tebal, mulut atuk hampir ternganga, atuk pandang aku dengan wajah yang kesal. Dia mengeluh dan kertas ditangannya itu diberikan kepada pak cik Ghazi.

"Irin..." Atuk meraih tanganku dan digenggam erat.

Semakin kuat aku menangis, bukan lagi setakat air mata yang keluar tapi dengan suara yang tersedu sedan sekali keluar. Pandangan atuk itu, nada suaranya buat aku rasa macam aku dah buat satu kesilapan besar dengan tunjukkan bukti kepada atuk.

"Kenapa Irin buat macam ni.." Soal atuk, matanya juga bergenang dengan air mata. 

Kan! Aku tau yang aku tak salah tafsir dengan nada suaranya tadi. Memang atuk dah tau! Atuk dah tau dari awal lagi! Kejamnya atuk! Kejam! Kejam! Makin kuat aku melalak. Aku tak boleh terima hakikat ini.

"Ada apa sebenarnya ni? Kenapa semua orang nak menangis ni?" Soal mak su tiba-tiba, lalu dia merampas kertas yang dipegang oleh pak cik Ghazi. Aku hanya memerhatikan reaksi mukanya sambil dia membaca kertas itu. Dari reaksi muka tak puas hati dan penuh tanda tanya, mulutnya mula ternganga, mak su juga seperti aku tadi yang terjelepuk jatuh selepas mengetahui hal yang sebenarnya. 

"Mak su! Tak payah nak berpura-pura macam mak su tak tau apa-apa, Irin tak sangka mak su penyebab kematian ibu dengan ayah Irin, Irin tak sangka yang mak su sanggup bunuh kakak kandung mak su sendiri, Irin tak sangka yang mak su sanggup pisahkan Irin dari keluarga Irin sendiri, Irin tak sangka yang mak su sekejam ini!" Aku meluahkan semua yang aku rasakan. Rasanya kemarahan aku ini seperti belum cukup untuk membalas semua perbuatan mak su terhadap ibu dan ayah. Belum cukup!

"Irin... " Atuk cuba meraih aku ke dalam pelukannya, tapi aku melarikan diri. Aku tak sanggup. Aku tak sangka, yang rupanya atuk juga berkomplot. Atuk sanggup simpan penjenayah yang dah bunuh anak dan menantunya sendiri. Atuk sanggup tutup mulut, tutup mata semata-mata kerana harta! Atuk kejam!

"Irin.. atuk buat semua ni demi kebaikan kita semua. Atuk cuma mahu keluarga kita bersatu, atuk cuma mahu habiskan sisa hidup atuk dengan ahli keluarga yang atuk ada.." Jelas atuk, tapi penjelasan itu langsung tidak mampu untuk buat aku rasa tenang. Mereka semua penipu!!!!
        Aku lari masuk ke dalam bilik dan mengunci diri di dalamnya. Aku hanya mahu mengasingkan diri daripada kehidupan yang maha tak adil ini. 



p/s : Bagi yang tak tahu, (yang tau pun buat-buat tak tau jugak) segala entri berkaitan cerita ini dari PROLOG sehinggalah ke BAB AKHIR nanti, ianya hanyalah draf semata-mata. Jika aku berpeluang untuk menerbitkan manuskrip ini ke dalam versi cetak, insyaallah, ianya akan jadi 50% berbeza daripada apa yang korang baca di blog ini. Insyaallah... ;)


Sunday, February 5, 2012

bab 37


  

Aku tersedar dari lena yang panjang. Entah kenapa aku rasa macam aku tidur terlalu lena, terlalu lama sampai kepala aku rasa sakit sebab terlebih tidur. Tapi keadaan sekeliling aku nampak lain, cahaya matahari seperti baru terbit bila aku nampak jalur-jalur cahaya disebalik awan yang gelap, dan aku kini terbaring di atas suatu tempat yang sempit dan syilingnya terlalu rendah. Kat mana aku sekarang??

Aku bangun dari tilam yang sangat keras dan sempit itu, garu kepala sambil memandang sekeliling. Oh, rupanya aku berada di dalam kereta yang tersadai di tepi jalan yang lengang. Aku lihat Harraz sedang tidur di kerusi bahagian pemandu. Aku pegang kepala dan mengetuk-ngetuk dahiku perlahan. Cuba memanggil balik memori tentang apa sebenarnya yang dah berlaku semalam dan kenapa aku berada di sini bersama Harraz.
Lampu terpadam. Harraz tarik aku dan...

"Harraz! Harraz bangun!!" Aku menepuk-nepuk bahu Harraz, mahu dia segera bangun dan menjelaskan kepadaku berkaitan hal malam tadi, kenapa dia tarik aku dan acukan pisau pada perut aku dan kenapa kami berada di sini, kenapa tak pulang ke villa??

"Harrazzzz.. bangun!" Aku goyang-goyangkan badannya pula.
Harraz terjaga, dia memisat-misat matanya sebelum dia menoleh memandang aku dengan mata separuh terbuka.

"Apa?" Soalnya, dengan suara yang tak berapa nak keluar. 

"Kenapa kita ada kat sini? Apa awak buat malam tadi? Kenapa tak balik ke villa? Mana mak? Abah? Atuk? 
Kenapa awak bawa kita kat sini Harraz? Kita nak balik! Kita nak balik!" Aku merampus dan merungut-rungut macam orang hilang akal.

Gurauan apa pula yang Harraz dah buat ni? Kelakuannya malam tadi memang sangat-sangat pelik. Bertambah pelik lagi bila dia sanggup membiarkan aku bermalam di dalam kereta yang tersadai di tepi jalan. Memang sengal kan?

"Nanti kita baliklah.." Balas Harraz sambil membetulkan kedudukan kerusinya dan meraup muka, cuba mengembalikan kesegaran daripada rasa mamai dan mengantuk.

Selepas bertubi-tubi soalan yang aku tanyakan padanya, cuma tiga perkataan itu saja yang keluar dari mulutnya? 'Nanti?'. Nanti tu bila?

"Kita nak balik sekarang, kita tak nak tunggu 'nanti', esok atau lusa. Kita nak balik sekarang!" Kataku dengan nada yang agak tinggi. Cukup tinggi untuk buat Harraz faham kehendakku yang ini. Tiada kompromi.

"Ya lah.. nanti aku hantar kau balik, janganlah risau sangat bukannya aku nak jual kau ke siam pun." Rungut 
Harraz dan menganggap bahawa permintaan aku tadi seperti angin lalu yang tak perlu dipedulikan.

"Harraz kita nak balik SEKARANG! Bukan nanti, awak faham tak? Kenapa awak tinggalkan kereta kat tepi jalan ni? Kenapa tak balik villa, kenapa..."

"Shuuhhh. Diam boleh tak?" 

"Macammana kita nak diam kalau kita sendiri tak tau kat mana awak nak bawa kita pergi? Kita nak balik je, jadi boleh tak awak tolong bawa kita balik, then kita akan zip mulut! Please.." Rayuku.

"Ya, kita akan balik tapi bukan sekarang! Boleh tak kau sabar je?"

"Tak bolehhhhh... kita nak jumpa atuk, nak jumpa mak dengan abah, kita nak cakap dengan diorang, kita tak nak duduk kat sini dengan awak. Kalau awak tak mahu bawa, tak apa.. kita balik sendiri!" Aku bertindak di luar kewarasan akal, terus aku buka pintu kereta dan keluar, berjalan menonong tanpa sedar arah jalan yang patut aku tuju. Yang aku tahu aku cuma mahu balik ke villa, sekarang!

"Irin.. Irin.. tunggu!" Harraz mengejarku dari belakang.

Pantas aku mengatur langkah daripada berjalan kepada berlari. Berlari sekuat hati agar aku tak dapat ditangkap oleh Harraz, aku pasti jika dia dapat aku nanti, dia takkan lepaskan aku lagi dan takkan benarkan aku untuk pulang. Harraz jahat! 

"Irina Imani! Berhenti!" Jerit Harraz, lantang. 

Bunyi suaranya seperti dia cuma berada beberapa langkah saja di belakangku. Aku lajukan langkah agar dia tak dapat kejar aku, tapi malangnya kaki aku tersadung di antara satu sama lain lalu aku jatuh tersungkur, Tangan dan kaki aku bergesel atas jalan, mujur saja aku dapat tahan muka aku dengan tangan, kalau tidak mungkin gigi aku pula yang akan patah.

"Irin!.." Harraz berjaya tangkap aku. Haha.. mari ketawakan diri aku sendiri yang tak berjaya melarikan diri dengan sempurna!

Aku terasa lutut dan lengan aku pedih. Aku cuba duduk dan memeriksa lengan aku yang berdarah, kain yang menutupi lutut aku juga menampakkan kesan cecair seperti darah. Serta-merta aku menangis dengan kelalaian diri sendiri, menangis kerana aku tersepit dalam situasi yang membingungkan ini, menangis kerana... kerana.. ah, otak aku terlalu keliru sekarang ini.

"Tengok! Kan dah berdarah, yang kau nak berlari tu kenapa? Kan aku dah cakap nanti aku hantar kau balik, jadi tunggu jelah. Kau ingat kalau kau lari macam tadi kau boleh sampai ke villa dengan cepat ke?" Bebel Harraz sambil dia membelek-belek lenganku. 

"Isk.. isk.." Aku tak membalas kata-katanya sebaliknya terus-terusan menangis macam budak tak cukup umur. 

"Dah la.. jangan menangis, aku kan ada?" Pujuk Harraz. Pujukan yang tak mampu buat aku rasa terpujuk langsung.

"Kenapa awak bawa kita ke sini Harraz?" Soalku, dalam sendu dan berlagu. Tak pasal-pasal kami buat drama sebabak kat tepi jalan pula.

Harraz mengeluh. "Jom, kita naik kereta, luka kau ni kena isi ubat.." Harraz tak menjawab pertanyaanku sebaliknya dia menukar topik perbualan. Tangan aku ditarik, sebagai isyarat menyuruh aku bangun. Rupa Harraz nak angkat dan kendong aku ke kereta? Memang tak lah...

Walaupun lutut aku luka dan berdarah tapi itu tidak membuatkan aku sampai tak mampu berjalan. Alah bisa tegal biasa, macam tak biasa pulak masa kecik-kecik dulu suka main panjat-panjat bukit lepas tu berlari turun bukit sampai tersembam jatuh atas jalan sampai lutut berdarah. Balik rumah mengadu kat mak tapi mak buat tak tau sebaliknya lagi suruh aku pergi main lagi.

Ya, rasa sakit dilutut tidak setanding dengan rasa hati yang keliru dan blur. Aku mahu Harraz jelaskan segala-galanya berkaitan hal malam tadi dan kenapa kami tersadai di sini, tapi kenapa dia seperti mahu mengelak daripada membicarakan tentang itu?

Sampai di kereta, Harraz duduk di sebelahku di kerusi belakang, dicapai kotak tisu dan dilap luka pada siku aku. Gayanya seperti sangat.. prihatin dan.. haish, kenapa waktu ini aku harus mengukur tahap 'kebaikan' 
Harraz selepas apa yang dia lakukan pada aku malam tadi?

"Harraz, tolonglah jawab kenapa awak bawa kita ke sini?" Soalku, memandang wajahnya yang sedang larit mencuci luka aku.

Harraz buat tak tau.

"Harraz, kita serius ni. Boleh tak sekali-sekala awak layan kita macam manusia? Boleh tak sekali sekala awak jelaskan setiap tindakan yang awak ambil itu? Boleh tak Harraz???" Soalku, lantang! Perlukah aku menjerit lebih kuat agar Harraz dapat mendengar dengan lebih jelas?

"Kau tak boleh exposed to media too soon. Kau belum bersedia, kau tak tahu macammana hidup kau akan jadi nanti bila satu malaysia dah kenal kau" Jelas Harraz. Dia langsung tak angkat kepala memandang aku, sebaliknya cuma menunduk merenung tisu bercalit darah di tangannya.

"Oh, disebabkan hal itu, awak ingat dengan cara tarik kita keluar dari dewan, acukan pisau pada perut kita, pengsankan kita dan bawa kita ke sini adalah cara yang paling 'baiklah'? Awak tak fikir ke nanti atuk risau, emak abah risau, mak su.. Ros, nanti semua orang dan pihak media tertanya-tanya kemana kita menghilang. Awak tak fikir ke semua tu Harraz?"

"Ya, tapi aku tak bermaksud nak buat semua ni kalau bukan sebab keadaan yang memaksa! Lagipun aku tak buat semua yang kau cakap tadi..." Balas Harraz lancar sebelum tiba-tiba dia mengatup mulutnya dan mengeluh.

"Habis kalau bukan awak yang buat, siapa? Kita bukak je mata, awaklah orang pertama yang kita nampak, lepaas tu awak boleh cakap yang awak tak buat semua tu?? Jangan anggap kita budak-budaklah Harraz.." 

Air mata aku semakin mengering. Saat ini menangis bukan penyelesai masalah, aku harus paksa Harraz bukak mulut dengan ketegasanku

"Irin.. aku tau yang kau tengah keliru sekarang ni, tapi boleh tak untuk sekali ni je, kau percayakan aku?" 
Pinta Harraz sambil memandang anak mataku dalam-dalam. Penuh pengharapan.

Oh kenapa tiba-tiba aku rasa macam nak ikut cakap dia? Kenapa tiba-tiba aku nampak ada sinar keikhlasan dalam matanya itu? Kenapa tiba-tiba aku rasa macam keadaan sekeliling jadi putih bersih dan mata Harraz nampak bercahaya?

"Irin?" Panggil Harraz.

Terus aku tersedar dari lamunan tentang 'kenapa' yang aku cipta. Sebab nak cover malu, aku terus persoalkan kenapa aku perlu percaya padanya, sedangkan selama ini aku memang sentiasa percaya pada setiap keputusan Harraz untuk aku.

"Aku tak boleh terangkan pada kau satu persatu tapi aku cuma harap kau tolong percayakan aku dengan jangan tanya apa-apa soalan dan jangan mintak aku hantar kau balik ke apa ke, boleh?" Harraz merayu pada aku untuk pertama kalinya! Jadi patutkah aku bersorak kegembiraan??

Tidak.. aku tak patut bersorak kerana sekarang aku sedang memandang Harraz dengan mata yang terkebil-kebil, blur. Sebelum akhirnya aku mengangguk, reaksi spontan yang aku lakukan di luar kesedaran otakku. 

Tapi apabila aku tersedar, segalanya sudah terlambat untuk aku berkata tidak kerana Harraz sedang tersenyum lega dan aku tak sampai hati untuk menghakis senyumannya itu.

Harraz jarang senyum, tapi sekarang dia sedang tersenyum!

Harraz keluar dari kereta dan duduk di kerusi bahagian pemandu, dia hidupkan enjin, masukkan gear satu dan kereta mula meluncur di atas jalan raya.

"Awak nak pergi mana?" Soalku.

"Cari ubat. Dan makanan." Balas Harraz, memandang aku dari cermin hadapannya dengan senyuman kelegaan yang masih belum lekang dari bibirnya.

"Oh.." Hanya itu yang terluah di bibirku. Aku tak tahu kenapa hari ini otak aku jadi macam tak berapa nak betul. Mula-mula aku macam kena histeria marahkan Harraz, tapi sekarang aku seperti menyerahkan hidup aku sepenuhnya kepada Harraz, aku rela dibawa kemana saja, aku sanggup hadapi apa saja asalkan Harraz 
ada bersamaku. Aku memang dah gila ke?

Selepas melalui perjalanan yang panjang di atas jalan raya, kami kini mula memasuki sebuah pekan kecil yang juga sunyi kerana kebanyakan kedai-kedai belum dibuka, cuma ada sebuah kedai seven eleven saja yang masih beroperasi. Harraz menyuruh aku menunggu di dalam kereta sementara dia masuk untuk membeli makanan dan ubat untuk siku dan lutut aku yang luka itu.

"Harraz.." sempat aku memanggilnya sebelum pintu kereta ditutup. Harraz menjengukkan kepala ke dalam kereta.

"Jangan lupa plaster dan kapas!" Pesanku, ewah main order-order pulak. 

Harraz senyum dan mengerdipkan matanya tanda dia mengerti sebelum pintu kereta kembali ditutup. Oh my.. kenapa hati aku rasa berdegup-degup pula ni? Harraz senyum je kot.. tak payah nak suka sangat boleh kan 
Irin?

Aku terpandang radio dan tiba-tiba tergerak hati untuk membuka radio itu. Punat 'on' aku tekan.

"Cucu kepada Pengerusi Residence Hotel dikhabarkan hilang pada malam sidang media yang diadakan untuk mengumumkan status dirinya sekaligus memperkenalkan dirinya kepada media selepas kehilangannya sejak 19 tahun lepas.  Punca kehilangan masih belum diketahui, tapi ada desas desus yang mengatakan, gadis itu mungkin masih belum bersedia untuk muncul di khalayak ramai. Berita seterusnya.." 

 Berita seterusnya  sudah tak masuk ke dalam telinga aku lagi. Yang ada dalam fikiranku sekarang cuma wajah atuk yang tenang tapi tersimpan kerisauan dalam hatinya. Muka cemas emak yang sedang mematah-matahkan jarinya dan muka tenang abah yang sedang menepuk-nepuk bahu emak untuk menenangkannya. 
Aku mula tak senang duduk kembali. Aku mahu balik! Aku mahu jumpa mereka, aku mahu mereka tahu yang aku selamat, aku baik-baik saja di sini bersama Harraz.

"Nah, mee segera je yang aku jumpa boleh mengenyangkan. Kalau tak cukup, roti tu pun ada. Lepas makan baru aku cuci luka kau tu." Kata Harraz sebaik saja dia masuk ke dalam kereta dan meletakkan plastik di kerusi sebelahku dan menghulurkan mee segera dalam cawan kepada aku. 

Aku sambut perlahan. Harraz terus menikmati sarapannya dengan berselera di kerusi hadapan. Tiba-tiba aku rasa berbelah bagi antara permintaan Harraz supaya aku mempercayainya dengan perasaan orang-orang tua kesayangan aku di villa sana. Perasaan siapa patut aku jaga?

"Harraz..  tadi kita dengar radio, berita pasal kita dah masuk dalam radio. Kita nak balik.." Aduku. Serba salah.

Selera Harraz terus terbantut, dia menoleh memandangku. "Kalau aku cakap, kau lebih selamat ada dengan aku kat sini, kau percaya tak?" Soal Harraz.

"Tapi..."

"Aku tak mintak banyak Irin, aku cuma mintak kaau tolong percayakan aku.." Keluh Harraz, berkerut dahinya.

Aku menunduk. Rasa serba salah menguasai diri. Rasa serba salah pada orang tuaku, dan rasa serba salah pada Harraz.

"Kalau macam tu, bagi kita punjam telefon awak, kita nak call atuk, nak bagitau yang kita selamat kat sini dengan awak."

"Telefon aku tak ada.." Balas Harraz, kembali menguis mee kari dalam cawannya.

 "Tak ada? Tak bawak? Tertinggal kat villa?" Soalku, agak kabur dengan maksud tak adanya itu.

"Hilang." Balasnya selamba.

"Hilang?" 

"Dah la Irin, makan cepat, nanti nak cuci luka kau tu lagi."

"Habis tu macammana kita nak call atuk ni?? Nanti diorang risau.."

"Haish. kau nak sangat balik ke Irin? Kalau nak balik sangat, makan cepat, cuci luka tu cepat, nanti aku hantar kau balik!" Dengus Harraz kasar. Reaksi mukanya berubah masam. Mee di tangan pun seperti ingin dicampak keluar dari tingkap saja. Dia nampak sangat tak puas hati.

Ops, sorry.. aku tak sengaja terbebel. Dah berulang kali Harraz minta aku supaya percaya padanya, tapi entah kenapa aku rasa lebih selamat kalau aku berada di villa bersama-sama atuk, mak dan abah berbanding berada di daerah asing ini dan cuma duduk di dalam kereta tanpa arah tuju sekalipun bersama Harraz. 
Keyakinan aku terhadapnya seakan goyah!

Selesai makan, walaupun tak habis. Selesai isi ubat pada luka, Harraz memandu kereta untuk membawa aku pulang ke pangkuan keluarga. Sepanjang perjalanan pulang ke villa Harraz langsung tak bersuara. Dia nampak seperti sangat serabut dan terganggu, kadang-kadang pemanduannya agak membahayakan bila stereng melilau-lilau, kejap dipandu laju, kemudian perlahan pula. Aku yang duduk kat belakang ni pula yang rasa macam nak tercabut keluar semua organ-organ dalam badan.

Nak dimarah, takut aku pula yang kena marah balik, nak ditegur takut aku pulak yang kena 'tegur' balik, penyudahnya aku cuma tahan perasaan je lah. Dan berdoa semoga kami sampai ke villa dengan selamat. 
Amin...


***************************

Sampi saja di perkarangan villa, keadaan sekeliling tiba-tiba jadi macam kelam kabut, aku nampak orang berlari-larian, ada yang masuk ke dalam villa dan ada yang berkumpul di hadapan pintu utama, sebaik saja mereka terlihat kereta Harraz. Nampaknya 'semua' orang menantikan kepulangan kami. Sebaik saja Harraz memberhentikan keretanya, pintu kereta sudah dibukakan untuk aku dari luar, bila aku keluar, tubuh aku terus dirangkul oleh emak yang sedang menangis teresak-esak, pak cik Ghazi terus meluru ke arah Harraz dan berkata sesuatu kepadanya, atuk berada di tengah-tengah, mungkin keliru sebab tak tau samada mahu menyambut aku atau patut menyambut Harraz. Mak su sedang berdiri di tengah-tengah anak tangga sambil memerhatikan kami dengan muka tanpa perasaan, Ros berdiri tidak jauh darinya dengan muka risau bercampur leganya sambil menarik-narik sapu tangan di jarinya.

"Irin pergi mana nak? Kalau belum bersedia, kenapa lari? Kenapa tak cakap dari awal?" Soal emak sambil menepuk-nepuk belakang badanku, memarahi aku dalam tangisannya.

Ouch, sesak nafas Irin, mak!

Emak hanya berhenti memeluk sekaligus menepuk badan aku selepas atuk menyuruh kami semua masuk dan berkumpul di ruang tamu. Hal ini harus dibincangkan! Tegas atuk.

Aku dan Harraz duduk di sofa berangkai dua macam pesalah yang melakukan zina... erk! Ok, macam pesalah yang mencuri barang berharga, manakala emak, abah, atuk, mak su dan pak cik Ghazi masing-masing ada yang berdiri dan ada yang duduk berpeluk tubuh sambil memandang kami dengan pandangan tajam, tak puas hati, risau, penat dan bermacam-macam lagi yang aku sendiri sukar untuk tafsirkan maksud pandangan mereka itu.

"Ceritakan dari awal, apa sebenarnya yang berlaku?" Soal atuk, bertindak sebagai hakim dalam hal ini.

Aku pandang Harraz, Harraz pandang aku. Aku memberi isyarat kening bertaut untuk menyuruhnya membuka cerita memandangkan dia yang memulakan semua ini. Tapi Harraz balas pula dengan reaksi mulutnya yang dikatup tanda dia tak mahu bersuara.

"Berhenti main-main mata. Ceritakan cepat apa yang atuk suruh tu." Tengking mak su tiba-tiba. Sempat jugaklah bahu aku terangkat kerana terkejut.

"Harraz.. dia, dia.." Aku bersuara gagap. Entah kenapa lepas kena sergah langsung aku jadi tak reti nak bercakap.

"Belum sampai masa untuk Irin diperkenalkan pada media, atuk. Dia masih belajar di kolej, dia masih belum faham selok-belok pentadbiran di hotel, kalau dia diperkenalkan kepada media sekarang, Irin mungkin akan hilang privasi dirinya." Lancar Harraz bersuara, sedangkan tadi dia yang tak mahu cakap apa-apa.

"Betul Irin apa yang Harraz cakap tu?" Soal atuk, kini memandang tepat ke muka aku, ingin mendapatkan jawapan dari mulut aku pula.

"Err... Haa..." Aku memandang atuk dan Harraz bersilih ganti. Apa patut aku cakap ni? Aku tak pernah cakap yang aku belum bersedia, Harraz yang memandai-mandai buat keputusan untuk aku. 

Harraz pandang aku dengan mata yang dikecilkan. Sekali pandang nampak macam mata helang yang tajam sedang mengusha mangsa untuk diterkam. Adakah pandangan Harraz itu bermaksud dia mahu aku jawab 'ya' sekaligus aku harus berkompromi dalam kes yang langsung tak ada kena mengena dengan aku ni??

"Ha'ah.. betul atuk." Jawabku. Harraz sedang mengajar aku menipu sedangkan aku budak baik yang tak pandai menipu! Ok, tipu.

"Kalau Irin belum bersedia, kenapa Irin tak bagitau atuk awal-awal? Atuk takkan paksa Irin untuk ikut semua kehendak atuk, Irin tahu kan? Larikan diri pada malam tu bukan satu cara yang baik, tindakan Irin itu hanya buat atuk terpaksa tanggung malu, pihak media mula persoalkan apa punca Irin hilang. Ada yang kata Irin kena culik, Irin tak kesian kat kami ke?" Soal atuk, perlahan tapi sayu.

Kenapa tiba-tiba kesalahan itu diletakkan atas bahu aku pulak? Bukan Irin penyebab semua masalah ini atuk, tapi Harraz, atuk! Harraz!! Nak saja aku jeritkan kata-kata itu pada semua orang. Tapi...

Pandangan helang itu sekali lagi memandang tajam ke muka aku.

"Irin minta maaf atuk, mak, abah, mak su, pak cik Ghazi." Aku terpaksa meminta maaf kepada mereka semua di atas kesalahan yang tidak aku lakukan. Kejamnya Harraz...

"Dah lah, pergi masuk bilik, berehat.." Arah atuk. 

Aku mengangguk dan laju je masuk ke bilik, luka aku perlu dicuci lagi sebab aku dah rasa darah kering ini mula membuatkan kulit aku kejang dan semakin sakit.


**************************


Sejak akhir-akhir ini, kelakuan Harraz nampak agak pelik sikit. Harraz semakin banyak mendiamkan diri. Dia macam nak jauhkan diri dari aku, dia mengelak setiap kali terserempak dengan aku di ruang makan, di bilik bacaan, di ruang tamu, di ruang rehat, di gazebo, di mana-mana! Dan dia selalu banyak mengeluh. Kalau nak dihitung, dalam minggu ini saja, sudah berapa kali Harraz langsung tidak berada bersama-sama aku dalam 'kelas' kami. Sebaliknya dia cuma meninggalkan beberapa buah buku dan kuiz di atas meja untuk aku selesaikan berserta nota yang dia tulis. Aku tak tau apa punca yang membuatkan dia jadi begitu tapi yang pasti aku rasa sangat tak senang hati dengan situasi ini, aku rasa kehilangan. Kenapa agaknya dengan dia ya??

"Harraz.." Panggilku sewaktu dia sedang membaca buku di bilik bacaan. Harraz langsung tidak menyahut mahupun mengangkat kepala memandangku.

"Harraz, we need to talk!" Kataku lagi lebih tegas, dan sengaja menggunakan bahasa inggeris untuk cuba menarik perhatiannya. Tapi malangnya Harraz tetap tidak berkalih daripada memandang bukunya.

Kali ini aku rasa macam aku perlu buat sesuatu supaya Harraz boleh mengalihkan perhatiannya daripada buku itu. Aku berjalan pantas ke arahnya dan menarik buku di pegangannya itu dengan kasar. Buku itu aku tutup dan aku hempas kuat di atas meja. Kali ini Harraz memandangku dengan muka terpinga-pinga. 

"Apa masalahnya dengan kau ni?" Soalnya, berang.

"Apa masalahnya dengan awak tu?" Balasku.

"Kau yang rampas buku aku dulu lepas tu kau tanya aku apa masalah aku?" Harraz bangun dari kerusinya dan berdiri memandangku. Gaya macam nak cari gaduh je. 

Aku berundur ke belakang bila jarak Harraz berdiri terlalu dekat dengan aku.

"Awak yang buat tak tau bila kita cakap dengan awak lepas tu awak tanya apa masalah kita rampas buku awak?" Balasku. Walaupun rasa takut-takut tapi aku cuba berlagak berani juga. Kalau aku tak buat begini rasanya sampai bila-bila pun aku takkan tahu apa masalah yang membelenggu kami sampaikan Harraz tak mahu bercakap dengan aku.

"Kalau aku tak jawab bila kau panggil pun, itu masalah kau ke?" Soalnya kembali.

Aku mengeluh. Kalau macam ni, bila masanya masalah akan selesai kalau asyik berbalas-balas soalan je. 

"FIne. Sekarang boleh tak kita duduk dan berbincang baik-baik?" Soalku, mula mengendurkan suara.

"Bincang apa? Tak ada benda yang nak dibincangkan pun" Balas Harraz, dia kembali duduk di kerusinya tadi dan membuka buku yang dah aku rampas tadi.

"Ada! Ada benda yang awak dan kita perlu bincangkan. " Aku berjalan ke meja dan menompang kedua-dua tangan di atas meja sambil memandang muka Harraz yang macam tak ada perasaan itu.

"Aku tak ada masa nak berbincang sesuatu yang tak penting.." Jawab Harraz, dia menyelak satu persatu mukasurat buku. 

"Ini penting Harraz, berkaitan kita dan awak. Kenapa sejak akhir-akhir ini awak macam asyik nak larikan diri dari kita? Apa salah kita? Apa yang awak tak suka kita buat? Awak tak suka kita selalu keluar dengan Syafiq ke? Atau awak tak suka kita selalu lawan cakap awak? Atau..."

"Cukup Irin! Aku tak ada apa-apa masalah dengan apa yang kau nak buat. Kalau kau nak keluar dengan Syafiq, nak berkepit dengan mamat tu dua puluh empat jam pun aku tak peduli. Bukan hal aku dan bukan masalah aku."

"Habis? Apa masalahnya sampai awak tak mahu bercakap dengan kita? oh, pasal misi yang awak rancang tu, misi untuk bongkar misteri masa lampau kita, apa jadinya? Kenapa terhenti sekerat jalan?" Soalku, memang hal ini dah lama menjadi tanda tanya dalam fikiranku. 

"Pasal tu, aku rasa baik kau lupakan saja. Aku dah malas nak jadi penyiasat yang tak dibayar gaji semata-mata untuk cari sesuatu yang tak ada isu."

"Tak ada isu? Oh.. habis yang selama ni awak cakap pak cik Sibir mungkin tahu sesuatu tentang kisah silam kita? Yang awak persoalkan siapa lelaki yang hantar kita ke rumah emak abah tu, awak kata tak ada isu? 
Apa sebenarnya masalah awak ni Harraz?" Soalku, geram pulak aku dengan mamat ni. Suka hati dia je nak lepaskan semua yang dah dia mulakan.

Harraz angkat kepala dari memandang buku kepada memandang wajahku. Redup pandangan matanya seperti cuba memujuk aku. Entah kenapa aku rasakan macam tu.

"Irin.. kalau kau percayakan aku, tolong dengar apa yang aku cakap ni. Hentikan semua yang dah kita mulakan. Hentikan dengan siasatan yang tak ada penghujung tu, hentikan semuanya. Tak payah buang masa dan menoleh ke belakang lagi tapi terus maju ke hadapan dan bersedia untuk jadi cik muda Irina Imani yang sebenar. Boleh?" Kata Harraz, lembut dan mendatar. Hati aku rasa terpujuk mendengar permintaannya itu.

"Tapi kenapa Harraz?" Soalku, juga dalam nada yang lembut. Harapnya Harraz akan terpujuk sekaligus akan 
memberitahu kepada aku apa sebab dia berbuat demikian.

"Sebab aku tau apa yang terbaik untuk kau dan kau mesti.. percayakan aku."

"Yang terbaik untuk kita? Percayakan awak? Tapi apa sebabnya? Tak boleh ke awak terus terang je 
Harraz?" Soalku, mula berang. Penatlah macam ni, kenapa Harraz tak mahu berterus terang saja?

"Irin, lepas kau keluar tolong tutup pintu rapat-rapat." Kata Harraz, bahasa kiasan menyuruh aku keluar tu.

Aku hanya berdiri sambil memandang tajam ke arah Harraz sebelum aku berlari keluar dan menghempas pintu dengan kuat. Terasa macam ada satu beban dalam dadaku yang buat aku rasa macam sesak nafas. Macam.. dihimpit dengan sesuatu sehingga menyempitkan saluran pernafasanku. Dan hanya satu cara untuk membuatkan aku kembali pulih adalah dengan mengalihkan sesuatu yang menghimpit itu dan hanya Harraz yang tahu caranya.


p/s : Sebab aku sayang korang, jadi aku siapkan cepat-cepat! Korang sayang aku balik tak?? *kedip mata banyak kali. Sengih melebar...* ;)