Pintu lutsinar aku tolak, seat
yang berdekatan dengan pintu aku tuju – duduk menghadap cermin besar di dinding.
Pelayan perempuan dengan uniform merah datang hulur buku menu. Tak perlu selak
buku itu aku sudah tahu apa yang aku mahu,
“Brown....”
Seorang
perempuan tiba-tiba datang tarik kerusi dan duduk. “Brownies lagi? Secret
recipe ada berpuluh-puluh jenis kek untuk dimakan, kenapa mesti brownies?” Soal
dia.
“Sebab
saya suka.”
Dia
tarik buku menu dan menyelak satu persatu. Pelayan tadi masih menunggu dengan
buku nota dan pen di tangan. Memandang aku dengan kening yang dijongket.
“Biar
saya pilihkan untuk awak.” Dia mengetuk-ngetuk jarinya pada dagu sambil
menyelak menu. “Saya suka carrot cake, tapi saya tak makan carrot cake setiap
kali, saya gila cheese, tapi saya tak
makan cheese cake selalu. Kadang-kadang apa yang kita suka makan bukan sebab
kita memang suka, tapi sebab itu adalah benda yang kita dah biasa buat. Itu
rutin.”
Aku
biarkan dia membebel tentang kek yang meleret kepada entah apa benda. Aku cuma
peluk tubuh dan pandang dia tak berkelip. Dia sangat comel bila berakap tanpa
henti. Dia sangat jelita dengan tudung bawal yang kadang-kadang serabai bila
dia stress, dan kemas bila mood dia baik. Tudung bawal tu dah macam lantunan
mood dia pada satu hari itu. Yang dia tak tahu, aku selalu ‘baca’ mood dia
daripada gaya tudung bawal yang dia pakai.
“....
jangan terus hidup dalam zon kawasan selamat, awak kena keluar dan cari hidup
yang baru.” Dia pandang aku dengan muka sayu.
“Encik?”
Pelayan perempuan itu tadi memanggil aku. Siap mengawang-awangkan tangan dia
kat muka aku lagi.
Aku
tersedar dan perempuan yang duduk kat kerusi depan aku ni tadi dah tak ada.
“Encik
termenung?” Soal si pelayan.
Aku
pandang muka si pelayan. ‘Awak kena keluar, cari hidup yang baru...’ ayat itu
terngiang-ngiang di telingaku.
Aku
senyum pada pelayan ini. “Dah lama awak kerja sini?”
Aku
sedang melangkah setapak, mencari ‘hidup’ aku yang baru.