http://img10.imageshack.us/img10/7733/contactm.png

Monday, September 15, 2014

Cerpen : Roti calon suami



                “Sepanjang usia aku yang dah cecah 25 tahun ni, aku rasa tak banyak yang aku dah capai dalam hidupaku..” tiba-tiba terletus keluar perkataan itu keluar dari mulut aku. Bukan aku memang baru terfikir tapi semasa usiaku genap 25 tahun tiga hari yang lepas, aku mula bermuhasabah diri dan  memikirkan tentang perjalanan hidup aku selama ini.
                “Kau dah ada kereta, dah ada perniagaan online, simpanan dalam akaun pun agaknya ribu riban, itu kau kata tak banyak yang kau dah capai? Belum kira berapa kali kau pergi travel ke luar negara, hantar mak ayah kau pergi umrah, belan..”
                “Orang yang berjaya dia takkan pernah rasa cukup dengan apa yang dia dah ada.” Pantas aku memotong kata-kata Naimah sebelum dia menyenaraikan lebih panjang lagi apa yang aku dah buat sebelum ni.
                Naimah terdiam seketika sebelum dia tersengih sambil memetik jari dihadapan muka aku.
                “Ya betul!” katanya. Straw dalam cawan dikacau agar ais batu yang dah cair sebahagiannya dan teh ais itu larut sebati sebelum dia menyisip minuman itu.
                Kemudian dia kembali memegang sudu dan garpu lalu mengauk mee goreng di dalam pinggan sambil bertanya padaku, “so berbanding apa yang kau dah capai sebelum ni, apa lagi yang kau rasa ‘belum-cukup’ tu?” Soalnya dengan perkataan belum cukup itu ditekankan. Khusus untuk memerli aku sambil dia menyuap mee goreng ke dalam mulut.
                Aku tidak terus jawab soalan itu sebabnya jawapannya tiada pada aku buat masa ini. Kini tumpuanku tertumpu pada kuewtiaw goreng di pinggan. Aku menyuap kuewtiaw yang masih berasap itu ke dalam mulut.
                Tiba-tiba teringat yang dulu, aku tak suka makan kat kedai mamak sebab bagi aku, kedai mamak hanyalah untuk kaum lelaki sebab aku selalu nampak ramai orang lelaki je yang datang makan kat kedai mamak. Nak masuk ke kedai tu pun malu, malah tak tau apa yang dia jual selain roti canai, tose, dan sewaktu dengannya sehinggakan dia boleh beroperasi sehingga lewat petang. Tapi sebab Naimah sangat rajin mengajak aku temannya lepak malah kadangkala makan tengahari di kedai mamak, lama-lama aku jadi terbiasa pula.
                Tapi mee goreng mamak bukanlah suatu menu yang menjadi kegemaranku. Macam ada sesuatu dalam mee goreng mamak yang buat ia berbeza daripada mee goreng kedai makan yang lain dan aku tak sukakannya. Please.
“Kalau bercakap dengan kau memang kena banyak-banyak bawak bersabar. Kan?” kata Naimah dengan senyuman palsu yang berniat untuk memerli aku.
                  Aku tergelak kecil. Ini bukan kali pertama Naimah memerli aku dengan ayat pedas macam tu sebab memang dah banyak kali aku abaikan soalan Naimah tanpa dijawab ataupun sambil bercerita aku melambat-lambatkan proses penceritaan dengan buat kerja lain macam baca sms, tengok facebook atau makan sehingga membuatkan Naimah ternanti-nanti.
                Bukan sengaja, tapi ia macam habit.
                “Aku tengah fikir lah ni apa lagi yang aku nak capai tu. Aku berfikir sambil makan. Hikhik.” Balasku.
                “Huuuhh..” Naimah buat muka menyampah.
                Aku sengih saja sambil hirup milo ais. Senyap diantara kami bila masing-masing sambung makan, tapi baru dua tiga suap kuewtiaw itu masuk ke mulut, aku sudah sendawa. Haish, pelik.. rasanya aku belum makan apa-apa pun tadi, takkan cepat benar dah kenyang kot?
                Tiba-tiba mata aku terpandang milo ais di bahagian kiri tanganku.
                “Hei kau ni pun satu Naimah, apasal tak ingatkan aku jangan order milo ais masa makan makanan berat.”
                Naimah pandang aku dengan muka keliru sambil mengunyah. “Kehape?” Soalnya.
                “Aku dah sendawa dah ni.” Balasku sambil menggosok perut.
                Naimah cepat-cepat menelan makanannya dan berkata padaku, “Itulah, kan Nabi Muhammand SAW dah pesan jangan makan bersulamkan air..”
                Erk. Habis tu tadi aku nampak dia makan bersulamkan air tak apa pula?

***
                “Pak cik, kasi milo kurang ais kaw, bungkus dengan penuh kasih sayang satu.” Pesanku pada pak cik Tajudin, india muslim yang merupakan pemilik kedai ini. Dia mengangguk sambil kata ok.
                Dah dua kali aku lalu kat sini semata-mata nak order milo ais tapi bila kelibat pak cik Tajudin dan dua anak lelakinya tidak kelihatan, aku terus je berlalu ke kedai hadapan padahal mak cik tu dah bangun sambil tersenyum-senyum memandang aku, bersedia nak ambil order.
Aku bukan apa, kalau air yang dibancuh oleh isteri atau menantu perempuan pak cik Tajudian ni rasa dia tak kaw, macam air yang kurang kasih sayang.
“Nah adik..” aku sambut huluran bungkusan air itu sambil menghulurkan pula RM2 menggunakan tangan kiri lalu mengucapkan terima kasih.
Apabila aku berpusing, bahu aku hampir terlanggar dengan seorang lelaki yang kebetulan berada di belakangku yang juga ingin membuat pesanan. Belum sempat aku cakap apa-apa dia dah angkat tangan dan terus berjalan ke arah kaunter. Jadi aku terus pergi kerana memikirkan yang hal itu bukanlah sesuatu yang perlu difikirkan.
Langkah aku ayun kembali ke kedai dimana aku menyewa untuk memudahkan aku menyimpan dan menjual barang-barang seni yang berasaskan kain yang mana kebanyakannya aku jual melalui internet.
Aku menggunakan kain dari jenis yang berbeza untuk menghasilkan bantal hiasan, beg tote, beg duit, keychain dan barang-barang lain berdasarkan permintaan pelanggan. Sedar tak sedar sudah hampir tiga tahun aku menjalankan perniagaan online ini tapi..
*tiba-tiba mentol lampu menyala dikepalaku.
Hemm.. bercakap tentang target yang aku ingin capai sekarang dan masa hadapan, rasanya aku dah tau apa dia.
***
                “Pertama, aku nak ada kedai yang rasmi.”
                “You already had one Phia.”
                “Kedai yang ada itu ibarat macam kau dah tayang hiasan dalaman rumah yang marvelous, meletop kat orang tapi hakikatnya, atap rumah pun kau tak pasang lagi.” Begitu teori mudah aku.
                “Means?” Soal Naimah. Kadang-kadang aku rasa Naimah ni bukan tak faham apa yang aku cuba sampaikan, tapi dia memang lebih suka aku jelaskan satu persatu. Macam budak kecik yang nak disuapkan makanan ke mulut.
                “Orang dah tau aku punya produk macammana, habis takkanlah aku nak ajak diorang datang ke kedai yang macam stor penyimpanan barang tu? Ewww.. sekurang-kurangnya aku mahulah kedai yang cantik sikit, yang bila orang pandang sekali nak pandang lagi. Kalau dah datang sekali, nak datang lagi, gittuew..”
                “Oohh.. good idea. Lagi?”
                “kadang-kadang aku rasa macam asyik terkurung kat dalam kedai je sebab nak siapkan tempahan customer sampai aku tak ada masa nak bersosial, itu pun nasib baik aku ada kau, sebab kau, aku ada alasan untuk berhenti sekejap dari bekerja dan duduk melepak kat kedai mamak ni. Jadi..”
                “Kau perlukan pekerja?” Soalnya.
                Pantas aku mengangguk. “Ya, tapi seseorang yang boleh dengar cakap aku, minat kerja-kerja remeh dan teliti. Kalau kau jumpa sesiapa macam kriteria yang aku cakap tadi, bagitau aku ya?” Aku kedip mata memandangnya. Konon membodek.
                “Kalau kau tak kedip mata macam tu pun, in sha allah aku akan carikan lah mak cik!”
                “HIkhik.. lagi satu kita ni dah 25 tahun, walaupun aku rasa macam masih muda lagi malah tak kisah pun kalau masih tak ada calon suami, tapi bukankah kita tetap kena start enjin dari sekarang?”
                “Hah? Start enjin nak pergi mana?”
                “Pergi cari calon suami.”
                “Huuuuummm.. benda ni kacang jelah.” Naimah memetik jari dihadapan mukaku.
                “Kacang? Kau ingat ‘sekacang’ kau jerit ‘mamak kasi roti-calon-suami-satu, kasi garing sampai kacak ha…’ cenggitu?”
                Naimah tersengih-sengih. Termalu sendiri sebab gurauannya tidak aku pedulikan.
                Bila aku menoleh ke kananku, baru aku terperasan ada seorang lelaki sedang berdiri sambil terkebil-kebil memandangku.
                O’oo.. jangan cakap yang dia dengar apa yang cakap tadi sudah.

***
                Cari seorang pekerja, checked!. Naimah dah jumpa adik kepada kawan sekolahnya yang memang minat kerja-kerja seni. Bonusnya, budak perempuan itu juga pandai menjahit manik, mungkin dia boleh bagi sentuhan baru untuk produk-produk baru aku nanti.
                Untuk waktu ini, Hafiya (nama bakal pekerja baru aku itu) cuma akan buat apa yang aku suruh sahaja kerana daripada mengambil tempahan, memotong kain dan membuat design akan aku lakukan sendiri jadi dia hanya perlu menjahit berdasarkan apa yang akan aku tunjukkan nanti. Mujur juga dia cepat cekap menggunakan mesin jahit.
                Gaji yang aku akan bayar pada dia adalah bergantung kepada berapa banyak tempahan yang dia dapat siapkan dalam masa sebulan. Kalau dia malas, maka kuranglah gaji dia dalam bulan itu, tapi kalau dia rajin, maka banyaklah gaji dia.
 Aku memang suka mengajar orang untuk jadi rajin
                Hewhew.

***
                Pada suatu hari, ada seseorang menghantar email kepadaku menggunakan nama M.Afif, katanya dia dah lama tengok produk-produk aku di blog dan juga Instagram, malah adik perempuan dia sendiri pun pernah membeli dari aku, jadi katanya dia berminat untuk membuat pelaburan dalam bisnes yang aku jalankan ini.
                Mulanya aku agak ragu-ragu kerana aku cuma menjalan perniagaan kecilan, dan lagipun apa motif seorang lelaki berminat untuk melabur dalam perniagaan ‘biasa-biasa’ seorang perempuan?
                Tapi membaca tujuan dan motif darinya membuatkan aku ingin berkata.. ehem, very deligent!
                Begini katanya,
                “Kenapa saya berminat dengan bisness ‘girlish’ awak sedangkan saya ni seorang lelaki? Simple, sebab zaman sekarang ramai perempuan pandai cari duit sendiri. Saya suka duit, saya ada duit dan saya mahu melipatgandakan lagi duit yang saya ada dengan cara melabur dalam perniagaan awak. Saya tahu pelaburan dalam bisnes awak ni mungkin tak bagi keuntungan yang berlipat kali ganda pada saya, tapi sekurang-kurangnya ia boleh jadi side income. Jadi awak berminat tak dengan tawaran saya ni?”
                “Apa yang awak boleh bagi untuk saya?”
                “Apa saja yang awak perlukan.”
                “Tapi awak kena ingat, bisnes saya ni bukan ada keuntungan tiap-tiap bulan, bukan sentiasa ada permintaan. Mungkin awak perlu fikir masak-masak lagi dengan tawaran awak tu sebab mengikut perkiraan saya, pelaburan awak hanya akan beri keuntungan kepada saya. Tak adil untuk awak nanti.” Balasku.
                “Macam yang saya cakap tadi, saya tahu keuntungan untuk saya tidak seberapa tapi saya anggap ia sebagai side income, berapa pun yang tinggal untuk saya, saya tak kisah.”
                Eyhhh.. makin berkerut kening aku membaca emailnya. Dia ni biar betul. Ke dia kenal aku lepas tu dia nak kenakan aku ke ni?
                “Kalau macam tu apa kata awak set masa untuk kita jumpa. Bila, kat mana?” Putusku. Mungkin bila berjumpa depan-depan aku akan lebih yakin dengan kesungguhan dia untuk membuat pelaburan ini.
                “Esok pagi. Kat kedai mamak Tajuddin.”
                Aku baca perkataan kedai mamak Tajuddin itu dengan mata yang terkebil-kebil. Aku salah baca ke?
                ***
                Aku terfikir-fikir nak ajak Naimah sekali ke tidak nak pergi kedai mamak Tajuddin ni. Fikir punya fikir akhirnya kaki aku buat keputusan untuk pergi seorang diri tidak berteman.
                 “Mamak, kasi teh O semangat, biar pekat sampai melekat.” Pintaku sambil tarik kerusi menggunakan kaki sebelum aku duduk.
                ‘Esok pagi, kedai mamak Tajuddin’. Dan hanya sebaris ayat itu saja penutup bicara antara aku dengan M. Afif semalam. Pagi tu pukul berapa? Pakai baju apa? Nombor telefon apa? Apa dan apa langsung tak ada.
                “Teh O semangat pekat siap!” Kata pak cik Tajuddin sambil membawakan aku secawan air.
                Aku hirup perlahan dan menikmati aura semangat itu meresap ke seluruh tubuhku sambil pejam mata.
                “Mamak, kasi kopi rindu, kurang gula satu.”
                Terus aku buka mata dan perlahan-lahan menoleh di sebelahku. Seorang lelaki yang aku kira baru sahaja duduk di kerusi sebelah aku ini tersenyum dan mengangkat sebelah tangan sebagai isyarat hai lalu berkata.
                “Muhammand Afif.”
                Besar mata aku memandangnya. Tapi dengan aksi spontan aku juga angkat sebelah tangan dan memperkenalkan diri,
                “Sephia.”
                “Kopi rindu kurang manis, Siap!” pak cik Tajuddin datang lagi dan menghantar air lelaki ini.
                Serentak kami sama-sama mengangkat gelas masing-masing.
Hirup dengan sekali hirupan.
Dan meletakkan kembali cawan di atas piring.
“Tak nak order roti calon suami?” Soal Afif.
“Hah? Er..” berlapis dahi aku cuba ingat balik kat mana aku pernah dengar ayat tu.
“Hah hah.. abaikan soalan saya tu. Saya ada soalan yang lebih perlukan jawapan dari awak. Setuju terima pelaburan saya?”
Sebelum menjawab soalan itu, aku hirup lagi teh o yang dah tinggal suam. Aku perlukan semangat dan keyakinan yang tinggi untuk menjawab soalan ini.
“Sebelum tu biar saya yang bertanya. Apa keuntungan yang awak harapkan kalau awak melabur dalam perniagaan saya?”
“Saya cuma harap yang senarai wishlist awak akan tercapai.” Jawabnya dengan muka selamba.
Aku pandang dia tak berkelip. Dia ni main-main ke apa.
“Sorry?” kataku, meminta dia mengulang semula kata-katanya.
“Err.. tak, saya cuma nak bantu orang-orang yang macam awak.”
Aku kecilkan mata memandangnya. Makin curiga. Dan yang sebenarnya aku mula terperasankan sesuatu. Rasanya kali pertama aku nampak dia adalah masa aku terlanggar bahu sewaktu nak beli milo bungkus. Kali kedua masa aku takut dia terdengar aku mintak roti calon suami, Kali ketiga..
Sekarang.
“Orang-orang macam saya ni orang yang macam mana?” soalku, sengaja menyusahkan dia untuk menjawab soalanku.
“Macam awak. Macammm…” berjeda. Aku tahu dia sedang memikirkan jawapan.
“Macam?” Aku tongkat dagu dengan sebelah tangan.
“Macam awaklah,” gelabah.
“Macam saya?”
“Ha.. macam awak.”
“Saya macam mana?”  Aku lantangkan suara sambil tepuk meja.
“Awak macam roti canai, yang kental dan kenyal, yang walaupun dah diuli dan dicanai, malah ditebar sampai koyak, awak masih kuat tak mahu putus asa. Masih mampu kelihatan cantik, menarik dan menyelerakan dalam pinggan dalam bentuk empat segi yang garing dan beri kegembiraan pada orang yang melihat, masih mampu mengenyangkan perut setiap orang yang makan ketika perut mereka sedang meluap-luap kelaparan, masih mampu…” jawabnya pantas. Mungkin dia terkejut kerana disergah.
Tapi aku lebih terkejut mendengar setiap patah perkataan yang keluar dari mulutnya.
Dia berhenti bercakap bila dia sedar aku sedang memandang dia dengan muka bengis. Sikit je lagi bila teh o ni dah betul-betul sejuk, memang aku akan simbah ke muka dia kalau dia belum berhenti menterjemahkan aku dalam analogi sekeping roti canai.
“Maaf. Dari awal lagi saya dah nampak awak sebagai seorang wanita yang penuh semangat dan harapan macam sekeping roti canai yang menyelerakan.. tak! Maksud saya roti canai tu yang menyelerakan, tapi awak mengagumkan, tehee..” dia tersengih dalam takut-takut.
Sedikit demi sedikit, ketegangan pada otot-otot muka aku mula kendur. Ya, aku tak patut marah-marah pada usia begini sebab aku tak mahu kelihatan tua terlalu awal.
“Awak cakap apa tadi? Dari awal lagi…?” Soalku.
“Ya, dari awal lagi saya nampak awak kat sini.. dan terdengar semua senarai impian awak..” katanya dengan bermula ayat ‘terdengar’ itu suaranya hampir-hampir tidak kedengaran.
“Saya memang perasan, kita pernah terserempak dua kali..”
“Tiga.”
“Dua kali jelah.”
“Kali pertama masa awak kata yang awak belum capai banyak benda dalam hidup awak.”
“Masa tu saya tak perasakan awak tapi itu tak penting yang penting sekarang awak memang betul-betul dengar semua yang saya sembangkan dengan kawan saya tu? Serius?” Aku hampir tak percaya yang selama ini perbualan kami didengari oleh orang lain.
“Asalnya terdengar sebab kedai ni bukannya besar sangat, jarak meja ke meja pun tak jauh tapi bila dah dengar sekali, kali kedua pun terdengar topik yang sama, saya jadi berminat pulak nak tahu apa seterusnya. Jalan akhir saya ambil keputusan untuk masuk campur terus dalam perancangan awak.”
Aku cuma mampu terlopong.
“Awak tak payahlah buka mulut tu luas sangat, nanti lalat yang masuk. Jadi sekarang awak setuju ke tidak dengan usul saya? Saya akan laburkan duit dan terima apa saja keuntungan walaupun dalam jumlah yang kecil mahupun lambat. Atau kalau awak sudi, saya tak kisah untuk jadikan ia pelaburan perkahwinan.” Dia kenyit sebelah mata.
Aku telan liur.
“Mamak, canai roti semangat, penuh cinta untuk kawan saya ni.” Laung Afif.
“Sebelum ada hitam putih, saya perlu fikirkan masak-masak dulu.” Putusku.
“Terpulang. Tapi saya cuma nak bagi tahu yang saya dah jatuh cinta pada roti canai kurang kolestrol, lebih berkhasiat macam awak ni.”
Aku cuma mampu tayang reaksi  muka entah apa-apa.
***
Dihadapan kedai yang baru siap diubahsuai, aku kini boleh berpeluk tubuh dan memandang dengan penuh lega dan puas apabila akhirnya aku dah capai tiga perkara dalam beberapa bulan aku berusia 25 tahun ini.
Mempunyai seorang pekerja, mendapat sebuah kedai dan mempunyai calon suami. Kertas hitam putih ditandatangani, pelaburan diterima, keuntungan dikongsi bersama, dan ikatan baru akan diikat atas persetujuan bersama.
“HANDMADE BY SEPHIA” tertulis besar sebagai pengenalan kedai aku yang mana disebalik terbinanya semua ini berdirinya roti calon suami yang dah dicanai kacak-kacak oleh mamak Tajudin dari Allah untuk aku.

1.19am-11.12.13-rabu


p/s : Ditulis untuk 'Projek-zine-roti-canai'