http://img10.imageshack.us/img10/7733/contactm.png

Sunday, June 26, 2011

Bab 1 (Selepas diedit)

   "Irina.. tuk, tuk, tuk, Irinaaaa...."

Terus aku buka mata bila mendengar suara mak menjerit di muka pintu, dengan pantas aku bangun dan membuka pintu bilik. Terkejut.

    "Kenapa mak?" Soalku.

    "Kenapa? dah pukul 7.30 pagi sayang. Tak kerja?" Soal mak, sempat memerli aku.

    "7.30??" Pantas aku terus capai tuala dan meluru masuk ke bilik air. Uurrgghh aku selalu macam ni, tak boleh tidur lambat sikit, mesti bangun pun lambat.

Bila dah terlambat mandi pun ala kadar je la, yang penting cukup syarat gosok gigi, cuci muka, sabun badan. Siap.

    "Mak kenapa tak gerak irin awal-awal?" soalku dalam kain kemban sambil berlari masuk ke bilik.

    "Mak ingat kamu tengah bersiap, lama tu baru mak perasan, kamu mana ada keluar-keluar dari bilik, Tu yang mak ketuk pintu tu, rupanya betul tak bangun lagi." jawab mak melaung dari ruang hadapan rumah. Rumah ni pun tak besar mana kalau setakat aku kat bilik, mak kat dapur nak bersembang, masih boleh didengar lagi.

    "Irin tak sedar langsung mak, matilah Irin kena marah kejap lagi.. mak, tolong tapaukan apa-apa yang mak masak tu." Pintaku.

Aku sarung uniform kerja. Mujur baju seragam ni tak perlu digosok kerana aku memang akan menyangkutnya tiap-tiap hari. Rambut? Ahh sanggul saja lah. Hendak disikat pun pasti tak sempat. Salah satu keburukan bila anda memiliku rambut kerinting yang panjang yang hampir mencecah paras pinggang adalah perlukan masa yang lebih untuk menguruskannya.

Siap! Aku capai beg di atas lantai, mencari-cari telefon bimbit di atas katil dan memasukkannya ke dalam beg dan terus keluar dari bilik. Mak yang sudah sedia menunggu di muka pintu menghulurkan bekas makanan dan air untukku. Aku sumbat masuk dalam beg dan mencium tangan mak. Langkah aku atur pantas. Kalau boleh berlari, memang aku akan buat, tapi aku malu..  

Hampir sepuluh minit kemudian, aku sampai ke destinasi yang aku tuju.

    "Aii mak cik, awal sampai?" Tegur bob, menegurku dalam masa yang sama memerli. Kerana kepenatan aku cuma membalas tegurannya dengan segaris senyuman.

    "Ni kes bangun lambat lagi la ni?" Soalnya menghampiriku yang sedang menyimpan beg dalam laci, sebelum aku duduk di kerusi kaunter.

Sekali lagi aku hanya mengangguk.

    "Kau buat apa malam-malam sampai tidur lambat tu? Takkan jaga anak kot..." Usiknya. bertenggek di atas meja kaunter, berhadapan denganku.

    "Ceh, ada ke. Aku tak buat apa-apa la. Saja malas nak tidur awal." Jawabku.

    "Macam aku percaya je cakap kau tu kan?" Bob mengecilkan matanya. Curiga.

    "Tak paksa kau percaya pun." Aku jelir lidah kepadanya. Sibuk sangat nak tahu aktiviti malam aku.

    "Cerita la kat aku, kau sambung belajar ya? Eh, kau sambung belajar kat mana? kenapa tak bagitau aku?" Soal bob lagi, mula membuat andaian yang bukan-bukan.

    "Bila masa pula aku pergi sambung belajar ni? Heh kau ni, pandai-pandai je."

    "Dah tu, kalau bukan sebab kau belajar malam-malam, apa lagi yang kau buat? Nak kata kau pergi ronda-ronda satu pekan, memang tak logik la. Nak kata kau layari internet, lagi tak logik. Bagi aku kalau kau belajar malam-malam je yang logik. Dalam seminggu, memang tak sah kalau kau tak datang kerja lambat." Rungut Bob. 

    "Aku dah kata aku tak buat apa-apa kau tak nak percaya, aku nak cakap apa lagi kan? Terpulanglah kau nak kata apa pun." Balasku. Bagi aku punca aku lambat datang kerja tak ada kaitan dengan Bob yang sibuk nak tahu aktiviti malamku. Hal peribadi tetap peribadi.

    "Eh, bercakap pasal sambung belajar ni kan, kau tak nak sambung belajar ke? Umur kau baru berapa, 22 tahun kan? Muda lagi, boleh la kalau nak sambung." Cadangnya tiba-tiba. Terkeluar dari topik bahasnya tadi.

    "Nak tu memang la nak, tapi dah tak ada rezeki nak buat macammana? Lagipun, belajar tak semestinya kena masuk sekolah balik bob, ilmu itu ada dimana-mana, belajar daripada kehidupan pun dikira belajar juga kan?." Balasku.

    "Betul juga tu, ramai orang sekarang aku tengok, belajar tinggi-tinggi tapi bila berfkir macam orang tak ada kelayakan. Baik jadi macam kita ni je, belajar pun tak tinggi, tapi pandai. Kan Irin?"

    "Ish! Kau ni, tak semestinya.. dah la, layan kau bercakap je nanti tak siap kerja aku. syuhh, syuhh.. pergi main jauh-jauh," Aku menolak badan Bob menjauhi aku.

    "Ala kau ni, nak gurau sikit pun tak boleh. Tapi betul la aku cakap, kalau kau nak sambung belajar lagi boleh apa, kau bukannya tua sangat. Orang lain umur macam kau ni ada yang tengah bergelumang dengan kertas peperiksaan lagi tau. Rugi la kau, kalau muda-muda dah tak nak belajar, jangan jadi macam aku ni, dah tua baru teringin nak masuk Universiti. Muda-muda dulu tau enjoy je.." Kata Bob panjang lebar, seolah-olah menyesali dengan nasib dirinya.

    "Tua? haha.. sedar pun kau tu dah tua kan. itulah aku nak panggil abang kau tak kasi, budget umur 25 tahun tu muda macam aku la tu.."

    "Eh, budak ni, orang cakap betul-betul dia kenakan aku balik pulak. Ahh... malas dah aku nak cakap dengan kau." Kata Bob terus ke bahagian belakang. Merajuk lah tu.

Sambung belajar? Eerrmm... siapa yang tak nak. Kalau diberi peluang, aku nak sangat ambil bidang Kesetiausahaan. Aku minat bidang tu sejak aku tengok drama jepun kat TV tentang sekumpulan setiausaha dalam satu syarikat. Ntah apa tajuknya, aku pun dah lupa.

Tapi suatu hari, aku terdengar perbualan mak dan abah tentang aku. Tentang perancanganku lepas habis SPM nanti.

    "Kalau Irin dapat keputusan yang baik dalam SPM dia, kita nak hantar dia sambung belajar pakai duit apa bang?" Soal emak meluahkan kerisauannya. Aku yang ketika itu baru pulang dari sekolah, kaku di muka pintu. Aku ingin dengar perbualan yang seterusnya.

    "Nanti abang akan usahakan cari duit untuk dia. Duit jual pisang yang abang dapat tu pun, abang dah asingkan. Kita menyimpan la sikit-sikit. kalau tak cukup nanti, kita pinjam la kat sesiapa dulu." Itu kata abah.

    "haiihh.. apa la nasib anak kita tu, dah la mak ayah dah tak ada. Dapat pula mak abah angkat yang tak mampu nak bagi kemewahan pada dia. Kesian Irin.." Keluh emak.

    "Tak baik awak cakap macam tu, kalau bukan sebab Irin, agaknya sampai sekarang pun kita tak merasa nak ada anak." Tegas abah.

    "Ya itu saya tahu bang, tapi kalau sampai belanja untuk sekolah dia pun kita tak mampu nak sediakan. Patutnya dari dulu lagi kita serahkan dia pada orang yang boleh jaga dia dengan sempurna." Keluh emak lagi.

Aku yang mendengar sejak tadi, menahan mulut dengan jari agar suaraku senduku tidak kedengaran. Daripada masuk ke rumah dan menghadapi emak dan abah, aku memilih untuk berpatah balik dan memencilkan diri di satu kawasan kampung, bawah pokok ketapang, berhadapan tasik. Di situ aku menangis semahu-mahunya.

Aku sedar yang aku tak seharusnya menyusahkan emak dan abah untuk menyediakan keperluan pembelajaran aku lagi bila mereka sudah bersusah payah membesarkan diri aku selama ini. Jasa emak dan abah terlalu besar. Dan sejak dari itu, aku memasang tekad untuk tidak lagi menyusahkan emak dan abah. Sebaliknya, aku akan cuba untuk membalas budi mereka.

       "Hellooo.. ni nak kerja ke nak termenung ni?"

Aku hanya tersedar seorang pelanggan perempuan berdiri di hadapanku dengan muka bosan bila Bob menolakku ke tepi sebelum dia mengambil alih tugasku dengan mengambil bayaran barang yang dibeli oleh pelanggan ini.

Aku terpinga-pinga.

Selepas pelanggan itu keluar, Bob memandangku curiga. Aku pura-pura menyibukkan diri dengan menyusun barang-barang yang ada di atas meja. Cuba berlagak seolah tiada apa-apa yang berlaku.

       "Mula-mula datang lambat, lepas tu termenung sampai tak sedar orang datang. Apa masalah kau sebenarnya?" soal Bob, prihatin.

Aku tak ada apa-apa masalah Bob!. Jeritku dalam hati. Terus aku ke tandas. Melarikan diri daripada pandangan curiga dan soalan bertubi-tubi Bob.

 


Tuesday, June 21, 2011

Prolog

hari ini ulangtahun aku yang ke lima. Ibu dan ayah berjanji akan bawa aku berjalan-jalan sebagai hadiah hari jadi aku. Dan kata mereka, hari ni aku akan dapat apa saja yang aku mahu. Aku teruja, tak sabar. Aku tak nak minta banyak hadiah, aku cuma nak main kat mesin yang ada banyak anak patung tu je. Aku nak suruh ayah ambilkan anak patung untuk aku banyak-banyak, aku nak letak kat atas katil dalam bilik, malam-malam anak patung tu boleh temankan aku tidur.

mesti seronok. hehe.

Tapi sebelum pergi main kat tempat banyak anak patung tu, ayah kata dia nak bawa kami pergi ke satu tempat dulu. Bila aku tanya kat mana, ayah cakap rahsia. Aku pandang ibu, tapi ibu senyum je. Walaupun rasa nak tau sangat, tapi aku cuma boleh tunggu je, sebab kata ibu, orang yang bersabar tu, disayangi Allah.

Sampai kat satu tempat, tiba-tiba ayah berhentikan kereta kat tepi jalan. Aku tak tau ayah nak pergi mana, tapi aku nampak ada banyak orang jual buah-buahan kat tepi jalan. Ayah suruh aku dengan ibu tunggu dalam kereta, ayah seorang je yang keluar. Aku lambai ayah, tapi ayah tak pandang belakang. Aku jerit panggil ayah, tapi ayah tak dengar..

Tiba-tiba ada bunyi macam hon kereta, kuat. Lepas tu aku nampak badan ayah terbang. Ibu menjerit, terus ibu keluar dari kereta, dan ibu pulak yang terbang.

Aku pelik, kenapa ayah dengan ibu terbang tinggalkan aku seorang diri dalam kereta? aku pun nak ikut ayah dengan ibu juga. Aku keluar dari kereta, tapi aku dah tak nampak ayah dengan ibu. Tiba-tiba je ada ramai orang kat situ. Aku pandang atas, mungkin ayah dengan ibu tengah tunggu aku kat atas sana, Tapi tak ada juga.

    "ayah.. ibu.. kenapa tinggalkan irin sorang-sorang. Irin nak ikut ayah dengan ibu pergi makan kek, irin nak suruh ayah belikan anak patung banyak-banyak untuk irin. Ayahhh..." aku menangis.

Tiba-tiba ada seorang pak cik datang kat aku, Dia tanya kenapa aku menangis. Aku cakap ayah dengan ibu dah tinggalkan aku. Pak cik tu ajak aku ikut dia, tapi aku tak nak. Aku nak tunggu ayah dengan ibu datang.

Pak cik tu kata, dia nak bawa aku pergi jumpa ayah dan ibu. Dia suruh aku jangan menangis. Aku kesat air mata dengan jari. Lepas tu aku ikut pak cik tu naik kereta. Pak cik tu baik, dia bagi aku makan gula-gula. Bila aku tanya kat mana ayah dengan ibu, pak cik ni cakap ada kat satu tempat yang jauh, dia suruh aku makan gula-gula tu dulu sampai habis.

Bila dah habis makan gula-gula pun kami masih belum sampai. Aku bosan. Aku nak jumpa ayah dengan ibu cepat, aku nak makan kek dengan ayah dan ibu. aku menangis lagi. Pak cik tu kata, kalau aku nak jumpa ayah dengan ibu, aku tak boleh menangis, dia suruh aku tidur, bila dah sampai nanti, pak cik tu akan kejutkan aku. Tapi aku tak mengantuk, pak cik tu kata, kalau nak jadi budak baik aku kena ikut cakap dia. Lepas tu aku tidur tipu-tipu, sampailah rupanya aku tertidur betul-betul...

Bila aku terjaga, aku dah ada kat tempat lain. Ibu dengan ayah tak ada. Yang ada cuma mak cik dengan pak cik yang aku tak kenal. Mereka kata, sekarang mereka adalah ibu dan ayah aku, sebab ibu dan ayah dah terbang ke langit. Ibu dengan ayah takkan jaga aku lagi, tapi mak cik dengan pak cik ni yang akan jaga aku. tapi pak cik yang ini bukan pak cik yang bagi aku gula-gula masa dalam kereta tadi. mana pak cik tu??.