Hari
ini hari isnin. Haiihhh.... Tiada istilah Monday blues dalam hidup aku
melainkan weekdays blues. Memijak satu persatu anak tangga seperti menerima
satu persatu fail yang diletakkan di atas bahu. Memandang pintu yang kebal dan
tebal berwarna krim itu seperti melihat tebalnya masalah yang perlu aku
selesaikan. Menjadi seorang kerani di pejabat guaman... seperti menjadi hamba
kepada....
“Hidayah,
call mahkamah tanya berkenaan dengan kes Azirawati, dah ada tarikh Sebutan kes atau
belum.” Azri, lawyer assistant di pejabat Amin & co memberi arahan sebaik
melihat muka aku di muka pintu masuk. Dia yang kebetulan datang dari arah
pantri terus masuk ke biliknya dengan secawan Nescafe panas di tangan.
“Baik.”
Jawabku sambil melangkah ke arah meja yang diatasnya sudah ditimbuni dengan
fail-fail berwarna coklat dan diikat dengan tali warna merah jambu.
Nombor
mahkamah Ipoh aku dail, bercakap dengan Aisyah kerani di sana yang biasa
berurusan dengan aku berkaitan fail ini, dan tarikh baru untuk Sebutan kes yang telah ditetapkan aku
masukkan dalam diari. Pada tarikh yang sama Encik Azri ada Perbicaraan di
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Lalu aku maklumkan hal itu kepadanya di biliknya.
“Saya
akan pergi KL, awak cari lawyer lain tolong MOB saya.”Arahnya tanpa memandang
aku. Matanya hanya tertumpu pada fail di atas meja.
“Hidayah!”
Keluar dari bilik Azri, aku dipanggil pula oleh Encik Amin. “Pukul berapa awak
sampai tadi? Waktu operasi pejabat ni pukul 9 pagi sampai 5 petang, tapi saya
perasan kadang-kadang awak selalu masuk dah nak dekat pukul 10 dan balik tepat
pukul 5.”
“Oh
saya...”
“Saya
nak awak balik pukul 6 hari ini. Ambilkan fail Puan Rahimah. Dia dah bayar
hutang dia belum?”
Belum
sempat aku menjelaskan punca aku datang lambat dan pulang awal, bertubi-tubi
pula soalan dan arahan yang diberi pada aku. Dengan keluhan aku menjawab.
“Belum bayar lagi.”
“Kalau
awak nak gaji awak masuk tepat pada masanya hujung bulan ni, awak tahu apa yang
awak kena buat kan?” Nadanya yang sinis menampar gegendang telingaku.
“Sehari,
sepuluh kali saya call dia mintak dia bayar bill, tapi dia marah saya balik.
Saya nak buat macammana?” Aku cuba mempertahankan diri.
“Saya
ambil awak bekerja bukan untuk awak tanya saya balik apa yang awak patut buat.
Dah, pergi ambil fail dia.”
Dia
dan egonya, yang langsung tak nak kalah!
Keluar
dari bilik Encik Amin, sekali lagi nama aku dipanggil.
“Hidayah!
Pak cik Rahim on the line.” Kak Ina menyambungkan panggilan ke mejaku. Berlari
anak aku ke meja untuk menyambut panggilan.
“Hello...”
“Hah,
Hello. Pak cik ada kat mahkamah ni, mana lawyer tak ada pun?” Nadanya terus
meninggi sebaik panggilan itu disambut.
“Kami
mintak lawyer dari firma lain tolong ganti sebab...”
“Saya
bayar lawyer awak, bukan suruh awak pergi cari lawyer lain suruh gantilah apa
lah. Ni dah lama saya tercongok menunggu ni, sorang pun tak ada nak panggil
saya. Tiap kali pergi mahkamah duit kena bayar jugak RM100. Kamu ni nak
main-mainkan saya ke??”
“Pak
cik... kes hari ini untuk sebutan saja, jadi...” aku cuba untuk menjelaskan hal
sebenar tapi panggilan dah dimatikan dahulu.
Oh,
ini bukan kali pertama aku diserang dalam telefon. Bahkan ada yang datang
pejabat dan memaki hamun hanya kerana mereka tak faham bidang tugas kerani dan
peguam. Ini bukan kali pertama aku ditegur encik Amin, bukan juga kali pertama
dilayan macam manusia tak ada perasaan oleh Azri. Bukan juga kali pertama
diarah buat itu dan ini. Menjadi proletar bermaksud berada dalam frekuensi
dimana aku tiada hak untuk bercakap lebih selain menelan semua kepahitan itu
sendiri dan teruskan hidup sehingga nyawa dicabut dari badan.
Haihhh...
dah penat rasanya nak hidup dalam frekuensi proletar ini lagi. Tak pernah dalam
sebulan, aku tak fikir untuk berhenti saja, tapi ketidakyakinan itu sentiasa
menghalang niatku.
“Hidayah!
Mana fail yang sama mintak tadi.” Laung encik Amin dari dalam bilik kerjanya.
Tapi
sampai bila nak hidup bawah telunjuk orang saja. Dah macam badut mekanikal!
Lalu dengan lafaz bismillah, aku cetak surat yang yang sudah lama tersimpan
dalam komputer. Ruangan tarikh yang selama ini aku biarkan kosong, aku isikan
dengan tarikh hari ini. Dengan fail Puan Rahimah dan surat yang aku ‘print’
tadi aku letakkan di hadapan Encik Amin.
“Awak
marah sebab saya tegur tadi?” Soalnya sebaik membaca isi kandungan surat
tersebut. “Kalau awak tak boleh terima teguran, kat mana-mana pun...”
“Saya
nak jadi macam encik Amin!” Aku memotong kata-katanya, “Atau mungkin lebih
hebat daripada encik Amin.” Buat pertama kalinya, dia mendengar.
“Waktu
tu, saya akan jadi pendengar yang baik untuk pekerja saya, memahami masalah
mereka, dan sama-sama membantu mereka selesaikan tugas sebab bekerja dalam satu
pasukan memerlukan kerjasama.”
Encik
Amin terdiam terus.
“Oh
lagi satu, saya selalu datang lambat sebab bas yang saya naik tu selalu tak
menepati masa. FYi, saya dah tunggu bas dari pukul 7.30 pagi.” Aku sendiri tak
tahu mana datang keberanian aku untuk memerlinya.
Encik
Amin letak notis berhenti aku itu ke tepi dan dia kembali meneliti kes. Aku berundur setapak dua ke belakang sebelum memusing
untuk keluar, tapi di muka pintu bilik kata-kata encik Amin buat aku tersenyum
menang.
“Saya
doakan awak berjaya.”
p/s : Frekuensi = Gelombang. Proletar = golongan pekerja, marhaen, orang kebiasaan.