Dari tadi aku asyik menguap saja. Entahlah.. petang-petang ni mood nak belajar pun dah hilang, yang aku tau, aku mahu cepat-cepat keluar dari bilik ini. Cepatlah Harraz.. cepatlah berhenti membebel.. tak ada satu benda pun masuk dalam kepala otakku sekarang ni.
Hahh.. mata aku dah makin layu ni..
"Pap!" Serta merta mata yang layu dah tertutup tadi terus terbuka luas bila meja ditepuk dengan kuat.
Terkejut aku dibuatnya.
"Jangan tidur masa aku tengah mengajar." Kata Harraz, memberi amaran dan peringatan.
"Hummm.. mengantuk sangatlah! Bosan! Cukup-cukuplah tu, jom kita pergi main pulak" Ajakku sambil menggeliat.
"Banyaklah kau punya main! Dah besar-besar pun ingat nak maaiinnn aje kerja kau. Macammana nak uruskan legasi hotel ni nanti kalau perangai pun tak berubah?" Bebel Harraz.
Aku buat muka sambil menongkat dagu di atas meja. Tak pasal-pasal dapat ceramah percuma di petang-petang hari ni. Main tu maksud aku, buat aktiviti riadah kat luar rumah, bukannya ajak main yang main aci kejar ke, main anak patung ke, bukannya ajak main macam budak-budak itulah Harraz!.
"Buat muka! Buat muka! Ingat comel sangatlah buat muka macam tu?" Katanya, memarahiku.
"Apanya..?? Asyik membebel je macam mak nenek.." Rungutku perlahan. Cukup untuk didengari oleh telingaku saja.
"Hah! Melawan! Tak berkat ilmu baru tau.. nanti aku nak suruh atuk hantar kau masuk mana-mana kolejlah, senang kerja aku tak payah nak jadi pengajar tak bertauliah untuk ajar kau lagi."
"Hah? Masuk kolej? Nak! Nak!" Ajuku, teruja. Wahh.. memang itu yang aku nanti-nantikan sejak dulu, teringin sangat nak rasa kehidupan jadi pelajar selain daripada zaman persekolahan. Sayangnya dulu mak dan abah tak mampu nak sara kos pengajianku. Haihh.. kenapalah dari awal lagi aku tak terfikir untuk mintak atuk daftarkan je aku masuk ke kolej?
"Amboooiii.. suka! Nak sangat ke belajar kat kolej?" Soal Harraz. Reaksi mukanya nampak seperti yang dia tak jangka aku akan memberi reaksi teruja sebegini. Mungkin tadi dia cuma berniat untuk menggertakku, tapi tak sangka yang aku tak akan tergertak langsung. Mungkin?
"Mestilah nak! Bila awak nak bagitau kat atuk?" Soalku, dengan sengihan melebar.
Harraz mengemas buku-bukunya yang digunakan untuk sesi pengajaran tadi sambil menjawab pertanyaanku,
"Nantilah.. aku kena fikir jugak kursus apa yang kau patut ambil.."
"Ohh.. kalau kita sendiri pilih kursus yang kita nak tak boleh ke?" Soalku, dalam fikiran sudah terbayang-bayang kursus kesetiausahaan.
"Hal ini nanti kita bincang. Dah, kau nak keluar pergi main sangatkan? Pergilah keluar." Harraz menghalauku. Disamping dia juga bersiap sedia dengan barang-barangnya dijinjit, untuk keluar dari bilik bacaan ini.
Aku bangun dan menolak kerusi ke bawah meja sebelum melangkah keluar dan kembali ke bilik tidur untuk solat asar dan salin baju dulu. Tiga puluh minit kemudian, aku dah pun berada di garaj basikal, ingin mengeluarkan basikalku.
Sewaktu aku sedang mengayuh basikal di hadapan pintu utama villa, Harraz keluar dari pintu dengan pakaian sukannya. Nak berjogging agaknya.
"Harraz!" Panggilku. Harraz menoleh memandangku sekilas sebelum dia buka langkah dan berlari-lari anak.
Aku kayuh basikal lebih laju untuk menyaingi langkahnya.
"Harraz, jom main basikal nak?" Soalku sambil mengayuh basikal seperlahan yang mungkin untuk beriringan dengan Harraz.
"Tak nak!" Balasnya.
"Tak nak? Kenapa? Malu eh.." Usikku, memandangkan aku sudah sedia tahu tentang kelemahannya yang tak reti bawa basikal itu.
"Diamlah irin!" Balas Harraz, masam mukanya.
"Hahahhaaa.. jomlah naik basikal. Kita boleh ajar awak, bukan susah pun nak bawa basikal.." Pujukku lagi.
"Tak nak, tak berminat langsung!" Balasnya.
"Kenapa tak berminat pulak?"
"Sebab tak berminatlah."
"Orang yang paling cool kat dunia adalah orang yang tak malu mengakui kelemahannya dan sanggup mencuba untuk memperbaiki kelemahannya itu." Kataku, sengaja menggunakan psikologi untuk membuatkan Harraz tunduk pada egonya sendiri.
Harraz berhenti berlari dan berdiri tegak-tegak dengan matanya memandang tepat ke mukaku. Serta-merta aku pun menekan brek dan berhenti dari mengayuh basikal. Aku balas pandangan Harraz sambil mengerdipkan mata berulang-ulang kali.
"Kau ni memang suka cabar aku buat sesuatu yang aku tak mahu buat, kan Irin?"
"Cabar? Mana ada" Nafiku.
"Hah.. lepas tu suka nafikan apa yang kau dah buat."
"Eh... apa pulak?"
"Kau dah tau yang aku tak reti bawak basikal lepas tu kau nak suruh aku main basikal pulak, itu bukan mencabar ke namanya tu?"
"Teheee.. " Aku tersengih menampakkan barisan gigi.
"Oleh sebab aku memang jenis yang pantang dicabar, maka aku akan sahut cabaran kau tu. Tepi!" Harraz menolakku supaya turun dari basikal, sebelah tangannya memegang stereng basikal.
AKu turun dari basikal, dan memberi laluan kepada Harraz untuk menaiki basikalku. Lepas tu dia pandang aku, aku jongket kening, tak faham dengan maksud pandangannya itu.
"Kau kata nak ajar aku tadi kan?" Soalnya, berkias.
"Ohh.. " Aku tersengih sambil terangguk-angguk faham. Aku ingat Harraz tak mahu pertolongan aku tadi.
Lalu aku pegang sebelah handle basikal dan menyuruhnya kayuh.
"Ni kalau kayuh takkan senget sebelah ke ni?" Soalnya.
"Tak adalah.. kan kita pegang ni, cepatlah kayuh!"
"Jangan lepaskan tangan!" Harraz bagi amaran.
"Ya.. tak lepas."
Lalu dia mula mengayuh selangkah demi selangkah, bila agak-agak dia dah mula boleh stabilkan diri, aku lepaskan pegangan tangan di handle basikal itu. Tapi Harraz yang panik melihat tindakan aku itu terus menjerit suruh aku pegang dia.
Haihh.. penakut betullah Tuan Muda Iman Harraz ni!
"irin!!!!!!!...." Jerit Harraz bila dia dah tak boleh kawal handle basikal dan basikal itu melilau-lilau ke kiri dan kekanan sebelum....
Ok, baik aku tutup mata dulu! Dan serentak mata aku pejam, telinga aku terdengar bunyi suara Harraz menjerit. Oh, teruk betullah mamat ni, bila aku buka mata aku lihat Harraz sudah pun terbaring di atas aspal dengan basikal aku terlentang di sebelahnya. Sekarang tak ada apa lagi yang boleh aku lakukan selain menggelengkan kepalaku.
Aku atur langkah berjalan ke arah Harraz. Dia sedang mengerang kesakitan padahal aku rasa tak ada mana-mana bahagian di tubuhnya yang luka pun?
"Harraz! Awak baru terjatuh basikal, bukannya baru dilanggar lori.. jadi boleh tak berhenti mengerang macamnya sakit sangat?" Perliku sambil bercekak pinggang memandangnya.
Daripada posisi terbaring atas jalan tar, Harraz terus duduk bersila dan mendongak memandangku. "Kaulah! Aku dah cakap suruh pegang, yang kau pergi lepas tangan tu kenapa?" Ajunya, memarahiku.
Aku bercangkung memandang Harraz. "Apasal kita pulak? Awak yang bawak basikal, awak kawallah handle tu, yang terjerit-jerit panggil kita kenapa? Macamlah kita boleh tolong pun kalau dah awak pun tak kawal handle tu!"
"Oh.. berlagak kau eh, tengoklah...." Bicara Harraz terhenti sampai di situ, matanya memandang ke satu arah di belakangku. Lama dia perhati. Aku turut menoleh memandang ke belakang, tak ada apa-apa yang pelik yang aku lihat kecuali... pak cik Sibir.
Aku baru ingin memandang Harraz kembali, tapi dia terlebih dahulu bangun dan berjalan melintasi aku terus berjalan ke arah pak cik Sibir. Pelik dengan kelakuannya, aku turut bangun dan mengekori Harraz. Ketika itu, pak cik sibir yang kononnya sedang menyapu daun-daun kering terus melangkah dan berpaling pergi meninggalkan saki-baki daun kering yang masih belum habis disapu.
"Pak cik!" Panggil Harraz. Tapi pak cik Sibir langsung tidak menoleh sebaliknya terus mengatur langkah seolah-olah dia langsung tak dengar panggilan Harraz itu.
"Pak Cik Sibir! Tunggu." Jerit Harraz, lebih lantang. Dia mengejar pak cik Sibir sambil berlari-lari anak dan memintas laluan pak cik Sibir sehinggakan lelaki tua itu terpaksa juga berhenti melangkah.
Aku mempercepatkan langkahku, tak mahu terlepas untuk mendengar apa yang akan mereka katakan. Tak, maksud aku, apa yang akan Harraz tanyakan pada pak cik Sibir?.
"Pak cik.. saya ada benda nak tanya ni." Kata Harraz, ketika itu aku sudah pun berada di sebelahnya, memandang dua manusia dihadapanku ini. Yang seorang ini dengan muka serba tak kena dan serba-salahnya, manakala yang seorang lagi dengan muka serius seperti menagih sesuatu! Ah, Harraz suka bertindak di luar pengetahuan aku.
"Tanya apa tuan muda? Kalau tak penting, lain kali sajalah ya, saya nak cepat ni, ada kerja lagi yang belum siap!" Balas pak cik Sibir.
"Tak.. saya nak tanya soalan penting ni. Sangat penting!" Tegas Harraz, air mukanya yang serius itu masih tidak berubah. Soalan penting apakah yang mahu ditanyakan?
"Err.. lain kali boleh tak tuan muda? Saya betul-betul ada hal mustahak ni, saya pergi dulu." Pak Cik Sibir terus melangkah tanpa mempedulikan permintaan Harraz.
"Pak cik, saya yakin yang pak cik tau sesuatu tentang keluarga ini!" Kata Harraz, serta-merta pak cik Sibir yang dah melangkah beberapa tapak ke hadapan tadi, terhenti. Dia menoleh ke belakang dan memandang tepat ke muka aku, sebelum dia memandang ke arah Harraz sekilas dan terus atur langkah kembali.
Berkerut kening aku memandangnya dari belakang. Kenapa dia pandang aku? Bukan aku yang bercakap dengan dia tadi, tapi Harraz!
"Aku rasa memang ada sesuatu yang tak kena dengan pak cik Sibir." Kata Harraz, dan kami berdua berbalas pandangan. Harraz dengan pandangan yakinnya, aku dengan muka berkerut.
"Maksudnya....??" Soalku. Ya, Harraz patut bagi aku klu kenapa dia berfikir macam tu terhadap pak cik Sibir. Jadi aku pun boleh tolong fikirkan untuk dia sekali.
Harraz tak menjawab soalanku sebaliknya dia terus berlalu pergi. "Awak nak pergi mana pula tu?" Soalku.
Harraz tak jawab jugak, tapi dia angkat basikal yang dah terlentang itu dan ditongkatkan sebelum dia kembali mengatur langkah, berjalan ke arah tasik yang tak berapa jauh dari jarak kami berdiri. Aku cuma mampu mengeluh dan menggeleng kepala melihat Harraz, memang kadang-kala kelakuannya yang suka buat aku rasa macam aku bercakap dengan tunggul kayu itu, sangat menyakitkan hati!
Di tasik, baru Harraz bersuara dan membicarakan mengenai pendapatnya. "Kalau pak cik Sibir yang mulanya rapat dengan kau tapi tiba-tiba berubah dan menjauhkan diri dari kau, itu bukan petanda yang dia memang tahu sesuatu tentang keluarga kau ke Irin?"
"Kenapa pulak?"
"Dia ada bagitau apa-apa pada kau?" Soal Harraz, langsung tidak mempedulikan persoalan aku tadi.
"Dia pernah bagitau yang dia rapat dengan ibu dan dah bekerja dengan atuk bertahun-tahun sejak dari banglo lama dulu. Tapi apa punca dia tiba-tiba jauhkan diri dari kita, itu kita tak tau!"
"Aku dah agak... tengok cara dia yang macam nak larikan diri dari kita tadi pun aku dah dapat rasa memang ada sesuatu yang tak kena!"
"Awak rasa apa yang tak kena tu?" Soalku, sengaja nak buat lawak bodoh petang-petang ni.
Harraz jegil mata memandangku. "Kalau aku tau tak payah la aku pening-pening kepala nak fikir pasal hal ni, mak cik!" Kata Harraz, siap memanggil aku mak cik lagi.
"Ehem-ehem.." Tumpuan aku dan Harraz terganggu bila terdengar suara asing yang berdehem di antara kami.
Serentak aku dan Harraz menoleh ke belakang dan melihat Syafiq sedang tersenyum memandang kami, err... memandang aku sebenarnya!
"Eh, hai! Awak buat apa kat sini?" Soalku, terus berjalan mendekati Syafiq.
"Hai.. macam tak bagi je saya datang sini?" Balas Syafiq, pura-pura merajuk.
"Eh, tak.. bukan! Maksud kita macammana awak tau yang kita ada kat sini?"
"Hehe.. saya gurau je tadi, sebenarnya tadi saya pergi villa, jumpa Ros, dia kata awak mungkin ada kat sini."
"Ohh.. ya ke. Ada apa awak cari kita?"
"Saya nak ajak Irin makan malam ni? Boleh?"
"Malam ni??.. err..." Aku serba-salah tak tau nak balas apa, aku tak pernah buat keputusan sendiri sepanjang tempoh aku tinggal di sini jadi aku mungkin perlu dapatkan keizinan daripada atuk dulu.
"Kalau awak fikirkan pasal atuk, jangan risau sebab saya dah mintak kebenaran dia awal-awal lagi." Kata
Syafiq sekaligus menghilangkan rasa serba-salahku.
"Oh, ya ke? Cepat betullah awak bertindak kan.. hihi.."
Tingkah Harraz yang tadi langsung tidak mencelah tiba-tiba terus berjalan kasar dan menarik basikal aku lalu dinaikinya walaupun masih belum pandai, melilau basikal itu dibuatnya. Bila dia dah memang tak reti nak kayuh, dicampaknya saja basikal itu di tepi dan dia sendiri berjalan kaki balik ke villa.
"Kenapa tu?" Soal Syafiq.
Aku jongket bahu dan menggelengkan kepala. "Entah!" Balasku, terus menuju ke arah basikal kesayangan aku yang kena campak tadi dan aku angkat sebelum menolaknya sambil berjalan bersama-sama Syafiq, kembali ke villa.
Wow, malam ni kami akan keluar makan bersama-sama? Pheww..
****************************
Selepas solat maghrib aku terus bersiap-siap untuk keluar kejap lagi dan khidmat Ros sangatlah diperlukan untuk membantu aku menatarias penampilanku memandangkan aku tak pandai nak bersolek walaupun dah beberapa kali hadiri kelas solekan dengan cik Faezah! Haishh..
"Encik Syafiq ambil cik muda pukul berapa?" Soal Ros, sambil merapikan rambutku untuk disanggul kemas.
"Tak.. dia tak ambil, kita suruh dia tunggu kat restoran tu je, nanti kita suruh driver hantar!" Balasku, sambil memerhatikan tatarias di wajahku dan menambah di bahagian-bahagian yang aku rasakan tidak kena.
"Suruh driver hantar?? Kenapa tak suruh je dia ambil kat sini? Barulah nampak gentleman..." Balas Ros, mulanya dia macam melenting tapi bila dia menyebut perkataan gentleman dia tersenyum meleret pula.
Aku jongket kening memandang muka Ros dari cermin. "Heeiii.. Ros ni, kita pun tak ada apa-apa dia pulak yang lebih-lebih kan?" Usikku tersenyum.
"Tak adalah.. saya cakap je. okeh dah siap!" Ros memperkemaskan sanggulku itu dan memandang wajahku dari cermin.
"Hai, ini kalau encik Syafiq terjatuh hati kat cik muda ni, kat manalah nak dicampak tuan muda tu ya?" Soal Ros..
"Merepeklah awak ni, kita dengan tuan muda awak tu tak ada apa-apa hubungan pun okay!"
"Yelah.. sekarang memang tak ada, tapi esok-esok adalah tu." Makin giat Ros mengusikku.
Aku bangun dari kerusi dan terus mencapai beg tanganku di atas katil dan melangkah menuju ke pintu.
"Takkan pernah ada Ros, ada baiknya kalau awak doakan saja kita ada jodoh dengan Syafiq tu, lagi baik.." Tombol pintu aku pulas, dan aku terus melangkah keluar sebelum sempat Ros membalas apa-apa.
Aku berjalan melewati setiap bilik dan ruang tamu sebelum sampai di muka pintu keluar utama. Sementara menunggu pemandu yang akan membawaku keluar ke restoran itu sampai, aku berdiri saja di lobi utama villa.
"Irin..." Aku menoleh ke belakang bila terdengar suara halus seseorang memanggilku. Tapi tak ada sesiapa yang aku lihat.
"Huhhh.." Cepat-cepat aku menoleh ke kiri pula bila bunyi dengusan itu kedengaran begitu dekat denganku.
Oh, Harraz rupanya! Aku tarik nafas lega sebab aku ingatkan tadi entah makhluk manalah yang menyeru-nyeru namaku.
"Ish, terkejut kita.." keluhku.
Harraz memandangku tanpa reaksi. dikuis-kuis hujung kasutnya pada lantai marmar dengan kedua-dua belah tangannya dalam kocek seluar. Satu keluhan dilepaskan. "Kau pernah cakap dengan aku yang kalau aku perlukan telinga untuk mendengar, bahu untuk tumpang menangis dan patung yang takkan bocorkan rahsia aku pada orang lain, kau akan sentiasa ada untuk aku kan?" Soal Harraz.
"Errr.. ahha, kenapa?" Soalku, teragak-agak.
"Jadi kalau aku cakap yang sekarang aku perlukan telinga, bahu dan manusia untuk temankan aku, kau ada masa untuk aku tak?" Soalnya.
"Sekarang?" Soalku, inginkan kepastian. Aku memang akan sentiasa ada untuk Harraz bila-bila masa yang dia perlukan aku, tapi bukankah sekarang aku perlu keluar dengan Syafiq untuk temunjanji tak rasmi kami yang pertama?
Harraz mengangguk.
Dan sekarang Harraz telah meletakkan aku pada satu situasi yang aku sendiri tak pasti mana satu patut aku pilih? Aku garu kepala.
"Aku faham kalau kau tak boleh nak tunaikan apa yang kau dah katakan dulu tu" Kata Harraz dan berpaling, terus berjalan menuju ke arah taman di bahagian kiri villa.
Oh, kenapa secara tiba-tiba je Harraz perlukan aku? Apa yang dia nak kongsikan dengan aku sebenarnya? Tapi muka dia, nampak macam sedih je? Atau dia sebenarnya dah bersedia untuk luahkan masalah dia pada aku? Atau...
"Cik muda, maaf saya terlewat, boleh kita gerak sekarang?" Soalan yang keluar dari mulut pemandu yang entah bila sudah terpacak di sisi kereta itu, terus menyedarkan aku yang sekarang aku sepatutnya perlu naik kereta dan pergi ke restoran dimana Syafiq sedang menantiku, tapi entah kenapa tiba-tiba hati aku rasa berat!
"Err.. kejap! Saya tertinggal barang." Kataku kepada lelaki pertengahan usia itu dan terus berlari anak menuju ke arah dimana Harraz berada. Disitu aku lihat Harraz sedang duduk di kerusi sambil tunduk memandang rumput di hujung kakinya. Perlahan aku atur langkah ke arahnya dan duduk bersama-sama dengannya di kerusi itu.
"Ok, sekarang kita dah sedia untuk awak, ada apa-apa yang awak nak kongsikan dengan kita?" Soalku. Harraz menoleh sekilas ke arahku sebelum dia kembali memandang ke arah rumput karpet ini.
Sesaat dua, Harraz masih belum buka mulut. Senyap saja yang menyelubungi kami.
"Harraz, kita menunggu ni.. ok, kalau awak memang tak ada apa-apa benda nak kongsi dengan kita, baik kita keluar sekarang sebab ada orang lain sedang menunggu kedatangan kita." Ugutku, sejujurnya aku harap yang aku dapat penuhi permintaan kedua-dua lelaki ini, jadi biarpun Syafiq perlu menunggu lama sedikit, tak mengapa.. asalkan Harraz tak rasa yang dia keseorangan.
Tapi ugutanku itu nampaknya seperti tak beri apa-apa kesan pada Harraz kerana dia masih lagi tidak membuka mulut untuk bersuara. Adakah ini trick Harraz untuk melengah-lengahkan masaku daripada keluar atau dia masih keberatan untuk membuka mulut?
"Ok, kalau awak memang tak ada apa-apa nak dicakapkan dengan kita, so kita pergi dululah ya?" Aku terus bangun dan berkira-kira untuk pergi tapi langkahku rasa tersekat bila tiba-tiba pergelangan tanganku dicengkam, perlahan.
Aku dan Harraz berpandangan, Harraz menarik tanganku supaya aku duduk kembali dan selepas itu barulah pegangan di lenganku itu dilepaskan.
"Apa sebenarnya yang kau tau tentang masa silam aku?" Soal Harraz, sepuluh jari jemarinya bersatu dan dipatahkan sehingga mengeluarkan bunyi.
"Tentang zaman remaja awak, tentang mak awak dan.. sebab awak jadi dingin begini.." Jawabku, sepatah demi sepatah.
"Jadi apa perkara yang aku sepatutnya tahu??" Soalnya lagi.
"Punca kematian emak awak.." Jawabku.
Sepuluh jari-jemari yang Harraz genggam itu dibawa ke dahi dan diketuk-ketuk dahinya perlahan dengan mata yang terpejam. "Ceritalah.." Kata Harraz.
Melihat keadaannya sekarang buat aku rasa macam... tak sampai hati pula nak buka cerita, mungkin tak tahu itu lebih baik untuknya, daripada dia tahu dan dia terluka..
"Ceritalah Irin, aku tau lambat laun aku perlu tahu jugak hakikat sebenarnya" Gesa Harraz.
"Errmm.. mak awak meninggal sebab jatuh tangga, masa nak... kejar awak!" Kataku, membuka cerita.
"Teruskan.." Gesa Harraz lagi bila aku terdiam agak lama. Sungguh, tiba-tiba aku rasa tak sampai hati.
"Doktor sahkan, mungkin ada darah beku kat kepala mak awak akibat hentakan yang kuat masa jatuh tu, atuk dengan ayah awak tak dapat cari awak masa tu sebab diorang tak tau awak kat mana, sebab tu diorang tak dapat nak beritahu awak awal-awal tentang kematian mak awak tu.."
Harraz mengangguk-angguk faham.
"Harraz, maaf kalau kebenaran ni lebih buat awak rasa sakit! Tapi awak boleh ceritakan pada kita apa sebenarnya yang berlaku masa tu?" Soalku,
"Tak ada apa-apa yang berlaku, cuma aku ni anak derhaka yang tak mahu dengar cakap mak bapak dan akibatnya.. aku sendirilah kena tanggung." Harraz mengetap bibirnya kuat. Nampak seperti dia sedang menahan tangis.
"Harraz kalau awak rasa awak nak mengangis jangan tahan, luahkan saja lagipun tangisan bukan beerti yang diri seseorang itu lemah, tapi tangisan adalah salah satu terapi untuk membuang sisa-sisa toksin yang ada dalam badan, untuk buang cas-cas negatif yang melalui tangisan saja ianya boleh dikeluarkan." Kataku, mengeluarkan semula teori yang pernah aku baca dalam buku. Lagipun lelaki ego macam Harraz memang takkan menangis kalau kita kata yang "nak menangis tak semestinya dia mesti jadi perempuan"
"Pandailah kau berteori-teori pulak, entah boleh pakai ke entah tidak!" Rungut Harraz, kononnya hendak membahanku tapi nada suaranya sendiri pun sudah berubah garau dan matanya sendiri sudah mula memerah.
"Kita tak pernah cakap benda yang kita tak yakin kebenarannya ok.. " balasku, cuba membangkitkan suasana dengan kata-kata sinisku.
Harraz menganggukkan kepalanya berkali-kali, mungkin ingin maklumkan kepadaku yang dia setuju dengan statement aku tadi, tapi dia tak boleh nak keluarkan suara. Ah, Harraz terlalu menjaga standartnya sehinggakan menangis dihadapanku pun dia tak sanggup!
"Harraz, luahkan saja! Kenapa nak tahan airmata tu daripada mengalir? Awak hanya buat tubuh awak makin sakit sebab cas-cas negatif tu belum dikeluarkan.." Pujukku lagi, masih menggunakan teori kesihatan itu.
Harraz cuba untuk lemparkan senyuman sinis terhadapku, tapi ternyata senyumannya itu pahit dan palsu. Aku nampak setitik air jernih keluar dari tubir mata Harraz, terus mengalir ke pipi. Setitik, demi setitik dan semakin lebat...
Dan melihat Harraz menangis semahu-mahunya, mengetahui yang Harraz kini sedang melepaskan beban perasaan yang ditanggungnya, dan membuatkan Harraz sedar dan mengetahui tentang sesuatu yang sering dielakkannya selama ini membuatkan aku lupa, dimana aku sepatutnya berada dan membuatkan aku sampai tak ingat bahawa ada seseorang sedang menantiku di luar sana...
p/s : tak tau nak kata apa... hhihii.. ;p