http://img10.imageshack.us/img10/7733/contactm.png

Monday, February 10, 2014

Peplum : Bab 5


                Tiga hari selepas kami sibuk-sibuk mengemas kedai sebelum ianya dengan rasmi mula beroperasi, kak Sarah sempat adakan sedikit jamuan dan bacaan doa selamat khas untuk pembukaan kedai itu.  Memandangkan majlis itu dibuat di kedai jadi ianya adalah majlis tertutup untuk para jemputan sahaja, dan tidak untuk orang luar.
                Ada dua perkara yang buat aku sangat teruja dan tak sabar bila mengetahui tentang rancangan kak Sarah berkenaan jamuan ini,
                Satu : Makanan. Dua : Akhbar.
                Tapi diantara kedua-duanya aku baru sedar yang Akhbar sudah cukup untuk buat aku hilang selera untuk makan dengan hanya mengetahui yang dia ada disini, berdekatan denganku.
                Ehem.
                Sewaktu seorang ustaz yang juga kenalan suami kak Sarah yang dijemput sedang membacakan doa, aku sempat mencuri pandang kearah Akhbar. Aku tahu yang cara aku itu salah, tapi aku macam tak dapat nak kawal diri daripada tidak memandangnya. Dia terlalu sempurna dimata aku, malah terlalu istimewa di hati aku sehinggakan aku sangat menghargai detik-detik indah apabila dia ada dihadapan mata, dekat denganku.
                Selesai bacaan doa, mereka dijemput menjamu selera dengan konsep hidangan ala buffet, ambik makanan dan duduklah kat mana-mana ruang yang kosong. Aku sebagai pekerja dan sebahagian daripada majlis ini membiarkan tetamu dulu menjamu selera sementara aku dan Norli cuma berdiri di satu sudut dan memerhatikan mereka yang sedang menjamu selera.
                Okey, mungkin yang sebenarnya lebih kepada sedang memerhatikan Akhbar. Hikhik.
                Aku lihat Akhbar juga tidak terus makan sebaliknya dia sibuk bermain dengan anak-anak kak Sarah, nampak rapat saja diorang tu. Alahaii.. tersentuh hati aku tengok. Rasa macam makin berganda-ganda saham dirinya naik Siap dengar budak-budak tu panggil dia ChikBa lagi. Comel sangat..
                “Eh, Norli, Delisya kenapa tercegat kat situ lagi? Cepatlah makan.” Panggilan kak Sarah terus mengalihkan perhatian aku daripada Akhbar dan menarik perhatian Akhbar kearah kami.
                Mungkin kerana kak Sarah memanggil kami dengan suara yang lantang.
                Aku pandang Norli, Norli pandang aku dan kami berbalas senyuman kemudian mengangguk pada kak Sarah.
                “Icha nak makan ke?” Soal Norli.
                Aku pandang Akhbar, aku nak makan bila Akhbar makan nanti. hikhik
                “Ikut Norli lah.” Balasku.
                “Ermm.. kita biar diorang makan dululah, lagipun tak ada tempat nak duduk ni.” Putus Norli.
                Aku mengangguk. Lega.
Tiba-tiba kak Sarah datang ke arah kami sambil menghulurkan satu bekas yang berisi makanan kepada kami.
                “Norli, Delisya boleh tak tolong isikan tart ni dalam pinggan ke apa, lepas tu letak kat atas meja tu ya. Kawan akak bagi ni.”
                Dengan senang hatinya aku menyambut huluran bekas itu sambil mengangguk.
                “Eh, akak ni tadi suruh korang makan, ni suruh buat kerja pula. Lepas ni terus makan tau..” Pesan Kak Sarah sambil ketawa.
                Kami ke bahagian belakang. Mengambil pinggan yang berada dalam bekas besar yang kak Sarah bawa dari rumah untuk majlis ini kemudian menyusun tart blueberry di dalam pinggan-pinggan itu sebelum dibawa ke depan.
                Selepas itu kami berdiri lagi di satu sudut dan cuma memerhatikan orang lain makan.
                “Norli, Delisya mari sini makan. Yang korang berdiri macam patung cendana tu kenapa. Meh.” Kak Sarah menggamit kami agar menuju ke arahnya di meja buffet, tapi bila kami macam teragak-agak untuk berjalan dia siap menarik tangan kami ke meja.
Kemudian dihulurnya pinggan kepada kami. Sekarang kalau kami masih tak makan juga, aku tak tahulah apa kak Sarah akan buat nanti.
                Aku fikir nak makan yang ringan-ringan dulu jadi aku ambil roti jala, tart blueberry..
                “Makan banyak-banyak sikit, bagi gemuk badan tu.” Aku terdengar suara lelaki berkata, terasa begitu dekat denganku.
                Bila aku menoleh aku lihat Akhbar sedang mencapai pinggan sambil tersenyum. Terus tiba-tiba aku jadi tersipu-sipu malu. Kata-kata Akhbar itu aku biarkan tidak dibalas sebab aku tak tahu nak cakap apa. 
                Kami masing-masing diam sambil mengambil makanan kemudian Norli bertanya aku nak makan kat mana? Aku pandang sekeliling ruang kedai yang sudah dipenuhi orang. Itulah sebabnya kenapa kami tak mahu makan lagi tadi, sebab tak ada ruang nak duduk.
                “Makan kat belakang nak?” Cadang Norli.
                Terus aku angguk.
                Kami ke belakang dan duduk di meja kerja kak Sarah kerana meja itu lebih besar dan lapag berbanding meja aku yang ada computer di situ. Baru je aku letakkan pinggan di atas meja dan terpandang air yang dibawa Norli, baru aku teringat yang aku terlupa nak ambil air sekali tadi.
                “Eh, kita nak pergi ambil air kejaplah.” Kataku, dan dengan riang hatinya pergi ke depan semula. Dalam hati tu sebenarnya seronok sebab ada peluang nak tengok Akhbar lagi.
                Bertambah lebar senyuman aku bila melihat Akhbar masih ada di meja buffet itu. lambat-lambat aku mencapai cawan dan mengisi air. Sebelum aku pergi, Akhbar Tanya pada aku,
                “Makan kat mana?”
                “Belakang.” Balasku sepatah.
                “Oh.” Dia memusing ke kanan dan mencapai sepiring bihun goreng kemudian dia berikan pada aku.
                Aku pandang dia dan bihun itu dengan dahi berkerut. Tak faham kenapa dia bagi aku.
                “Bagi pada Norli, suruh dia makan banyak sikit bagi gemuk.” Katanya, sekaligus menjelaskan maksud perbuatanya itu.
                Sedikit demi sedikit kerutan di dahiku mula berkurangan. Aku sambut huluran piring itu dan membawanya ke belakang sambil mengulang tayang dialog yang dicakapnya tadi dalam fikiran sebelum aku sampaikan dialog yang sama kepada Norli.
                “Jahat tau dia tu, tak habis-habis nak kenakan Oli.”
                Balasan balas daripada Norli betul-betul buat aku fikir seratus kali ada, adakah sebenarnya aku perasan yang kononnya Akhbar tegur aku masa awal-awal tadi?            


Monday, February 3, 2014

Peplum : Bab 4


            Dua hari kemudian barulah aku mendapat panggilan telefon daripada Norli. Aku tak tahu kenapa dia perlu mengambil masa selama dua hari untuk menghubungi aku? Adakah dia juga perlu memikirkan semasak-masaknya sebelum menghubungi aku atau..?
            “Norli tak ada kredit nak call Icha, ini pun kakak Norli baru topup kan. Biasalah.. orang tak bekerja haha..” itu alasannya.
            “Oh, itulah kita nak bagi Norli kerja lah ni. So macammana?”
            “Ermmm… kerja dia jaga butik pakaian je kan?” Soal Norli.
            “Haaa… ah! Kalau berdasarkan maklumat yang diberitahu pada kita macam tu lah. Kita sendiri pun tak pasti kerja dia macammana yang selebihnya.” Jelasku.
            “Hemm.. “ Norli seperti sedang mempertimbangkan tawaran ini. “Norli bukan apa, kalau kerja tu senang, biasa-biasa je Norli berani la ambil tapi kalau yang kena buat itu, buat ini Norli takut juga sebab Norli memang TAK PERNAH ada pengalaman bekerja so.. agak risau sikit lah.” Jelasnya.
            Aku mengangguk sedangkan aku tahu dia tidak dapat melihat anggukkanku ini. Tapi bagi aku kerja di butik cabarannya tidaklah sebesar atau seteruk bekerja di pejabat peguam tempat aku kerja sebelum ini. Sekurang-kurangnya mungkin tidak melibatkan banyak pihak kecuali bos, pelanggan dan baju-baju? Mungkin?.
            “Alah, kita rasa kerja dia tak susah la Norli. Lagipun gaji dia bayar RM500 tau. Kalau duduk je kat rumah tu siapa la yang nak bayar awak RM500 tu..” aku cuba menyakinkan Norli sebab sekurang-kurangnya kalau Norli bersetuju, semangatku untuk terima kerja ini juga makin bertambah sebab ada geng!
            “Urrrmmm..” Norli terfikir-fikir. Aku faham perasaan untuk keluar dari zon selesa itu. Mula-mula mesti akan rasa ragu dan takut, tapi sebenarnya perasaan kita sendiri yang terlalu memikirkan tentang hal kecil itu.
            “Tak apa Norli, kalau Norli tak biasa kita kan ada, kita boleh tolong..” sekali lagi aku cuba menyakinkannya.
            “Kalau Norli fikir lagi, boleh?”
            “Heeiii.. nak fikir lagi? Sepatutnya hari ni kita dah kena bagi jawapan tau. Kejap lagi kalau Akhbar telefon tanya apa keputusan kita takkan nak mintak tangguh lagi, nanti dia bukak tawaran ni pada orang lain pula..”
            “Akhbar?” Soal Norli.
            Aku tak pasti adakah Norli mengenali Akhbar atau tidak tapi memandangkan kami satu sekolah dulu, kemungkinan untuk dia kenal Akhbar walaupun cuma kenal gitu-gitu je adalah tinggi. Jadi aku ceritakan tentang Akhbar senior sekolah menengah dulu sehinggalah kisah pemilik sebenar butik itu.
            “Ohh.. kalau macam tu, Norli setujulah. Tapi Delisya pun kerja jugak kan?”
            Tersungging senyuman di bibirku.
            “Ya haruslah. Yeay, lepas ni boleh terus bagitau pada Akhbar!” Jeritku kegirangan.
            “Haha. Nanti apa-apa hal terus mesej atau telefon Norli kat nombor ni ya?” Pesannya.
            “Okeh.”
            “Assalamualaikum.”
            “Waalaikumsalam.” Dan talian dimatikan.
            Sejurus selepas itu aku terus menghantar pesanan ringkas kepada Akhbar.
Dan Maria!

***

            Pada hari pertama aku sepatutnya mula bekerja, semua perkara buruk berlaku. Pertama, aku terlewat bangun sebab aku dah biasa bangun pukul sembilan pagi sejak aku mula jadi penganggur. Kedua, kebetulan pula emak tak ada di rumah untuk mengejutkan aku sebab dari semalam lagi dia dah kata yang dia nak pergi kelas mengaji kat rumah mak cik apa entah, di Taman Permai. Sejak bila mak aku berkawan dengan orang-orang taman aku pun tak tahu. Ketiga, bila aku sampai saja di kedai pada pukul sebelas pagi, Norli dan kak Sarah majikan baru aku itu memandang aku dengan pandangan yang sukar untuk aku tafsirkan.
            Orang kata persespi pertama adalah yang paling penting, sebab tu pada pertemuan pertama kita kena bagi imej yang baik-baik, tapi aku? Hari pertama dah tunjuk perangai buruk.
            “Maaf, kita terlambat.” Sambil tersengih macam kerang buruk aku hulur tangan pada kak Sarah untuk bersalaman. Untuk tunjukkan imej baik selepas ianya dirosakkan dengan datang lambat, aku siap cium tangan kak Sarah tu.
            “Tak apalah, hari pertama lewat akak tak kisah jangan hari-hari lewat sudahlah ya..” sinis sungguh kata-kata yang keluar dari mulut kak Sarah itu, berbisa telinga aku mendengar
            Aku hulur tangan pada Norli pula dan bersalam dengannya sambil buat mimik muka serba salah.
            Norli cuma tersenyum simpati.
            Kemudian aku menarik satu kerusi kosong dan duduk bersama dengan mereka di meja bulat ini. Aku agak yang kak Sarah sedang jalankan sesi temuduga sebab kalau dilihat keadaan kedai nampak macam belum dikemas apa-apa lagi pun.
            “Delisya dulu kerja apa?” Soalan kak Sarah buat aku berhenti melilaukan mata memandang sekeliling kedai ini.
            “Ah, dulu kerja kerani.”
            “Biasalah guna computer?”
            Aku angguk, “biasa.”
            “Internet reti guna?”
            Aku bulatkan mata, kalau tak fikirkan yang dihadapanku ini adalah majikanku dah lama dah aku jerit, ‘GILA TAK RETI??’ nasib baik aku masih mampu kawal diri lalu aku Cuma mengangguk dengan bangga.
            “Kalau macam tu, akak nak Delisya uruskan bahagian admin, Norli bahagian depan ya?”
            Aku lihat Norli mengangguk macam dia dah faham apa tu bahagian admin dan bahagian depan, padahal aku yang terlambat sampai dan tak mendengar apa-apa dari mula tercengang-cengang sebab tak faham.
            “Bahagian admin tu kena buat apa kak?” Soalku.
            “Oh, akak lupa yang Delisya belum dengar konsep perniagaan akak ni sebab datang lambat tadi kan..” Kata kak Sarah.
            Rasa macam dada aku ditusuk pisau tumpul dan berkarat, ngilu tapi tak pedih. Aku masih mampu tersenyum tapi dengan tahap ketebalan muka yang bertambah berinci-inci.
            “Macam ni Delisya, sebelum akak buat keputusan untuk buka kedai ni, akak buat perniagaan atas talian dari rumah je. Jadi bila perniagaan akak dah makin berkembang akak perlukan tapak untuk memudahkan kerja-kerja akak inilah, lagipun kalau campurkan hal rumah dengan kerja jadi tak tentu hala kan, sebab tu walaupun dah ada kedai akak masih mahu kekalkan perniagaan atas talian tu.”
            Aku mengangguk faham.
            “Jadi memandangkan Delisya biasa guna computer, akak nak Delisya uruskan bahagian atas talian. Maksudnya pelanggan kita bukan setakat orang yang datang ke kedai saja, pelanggan kita pun ada kat dalam computer tu. Faham tak?” Kak Sarah pandang tepat ke mata aku. Mungkin untuk memastikan yang aku tak keliru atau pelik.
            Apa dia ingat aku ni kampung sangat ke sampai tak tahu pasal online-shop ni?  
            Terus aku angguk laju-laju sambil cakap, “Faham-faham, kita pun pernah beli barang online jugak.” Dengan nada bangga.
            “Haaahhh…” itu saja reaksi yang kak Sarah mampu bagi.
            “Oklah, kalau macam tu bolehlah kita mula mengemas sekarang.” Kak Sarah bangun, diikuti oleh Norli dan aku.
            Banyak kotak-kotak yang belum dibuka yang aku fikir didalamnya terdapat baju-baju yang perlu digantungkan pada penyangkut baju di sini. Baru saja aku berkira-kira untuk membuka salah satu daripada kotak-kotak itu, kak Sarah sudah menyuruh aku ke bahagian belakang.
            “Delisya tolong susun barang-barang kat belakang ya.”
            Aku fikir bahagian belakang adalah tempat penyimpanan barang, tapi sebaliknya ia adalah satu ruang kerja macam pejabat. Ada dua buah meja, computer dan beberapa barag lain yang belum dikemas. Ruangan ini tidaklah begitu sempit, Cuma agak kecil daripada bahagian depan yang Cuma dipisahkan dengan dinding dan pintu cermin.
            Mungkin ini ruangan kerja aku nanti. Okey tiba-tiba aku jadi tak sabar nak mulakan kerja ini! Perasaan tu sangat lain daripada pengalaman kerja sebelum ini.