http://img10.imageshack.us/img10/7733/contactm.png

Wednesday, November 30, 2011

Bab 28



Selangkah, dua langkah, huhh.. hiyahh. Sampai pun aku kat depan Villa! Yeah, and the winner is cik muda Irina Imani, mengalahkan tuan muda Iman Harraz!!!! Aku tersenyum kepuasan, sambil berpusing ke belakang untuk memastikan dimana kedudukan Harraz sekarang. Tapi sebaik saja mata aku terpandang gaya Harraz yang sedang berjalan itu, mata aku tiba-tiba seakan dipaku supaya terus memandang ke arahnya.
Cool. Harraz nampak sangat cool. Dia berjalan santai dengan kedua-dua belah tangannya dimasukkan dalam poket. Rambutnya yang tak disapu gel elok terjatuh ke dahi dan menutupi hampir kesemua dahinya. Mata dia! Nampak redup je. Nampak macam sepasang mata yang.. yang.. sayu. Walaupun muka dia nampak bengis tapi mata dia menunjukkan sebaliknya. Mata dia... sedih!

"Puas hati dah menang?" Soal Harraz, yang kini sudah pun berdiri di hadapanku. 

"Kenapa awak tak lari?" Soalku. Pelik dan curiga.

"Kalau aku lari memang dah sah la kau takkan menang irin..." Jawab Harraz, selamba.

"Awak memang nak kita menang? Kenapa?" 

"Tak ada sebab!"

"Tak ada sebab??..."

"Dah la kau tak payah banyak tanya. Sekarang baik kau fikirkan apa yang kau nak aku buat untuk kau." 

"Betul awak akan buat semua yang kita suruh??"

Harraz diam. Hanya keningnya saja yang dijongketkan.

Aku tak perlu fikir panjang lagi apa yang aku ingin dia lakukankan sebab permintaan ini dah lama aku ingin dia laksanakan.

"Kita nak... awak luahkan semua perkara yang terbuku dalam hati awak tu. Macam yang kita cakap tadi, kita nak jadi patung yang takkan bocorkan rahsia awak pada sesiapa, kita akan pinjamkan bahu kita kalau awak nak menangis dan kita akan tadahkan telinga kita untuk dengar semua masalah awak. Boleh awak tunaikan?" Soalku.

"Apa yang kau merepek ni Irin? Apa yang aku nak kena ceritakan pada kau? Masalah apa?" Soal Harraz, berkerut-kerut mukanya. Tak pastilah aku kerutan itu kerana dia memang betul-betul tak faham apa yang aku maksudkan atau kerutan itu kerana dia tak senang mendengar permintaanku ini.

"Kita tak taulah kalau awak memang tak faham atau buat-buat tak faham, tapi kita tau masalah awak dan mak awak, dan kita tau yang awak dah simpan lama benda tu dalam hati awak kan? Awak tak boleh macamni Harraz, sampai bila awak nak simpan rasa serba salah awak tu? Hidup awak takkan tenang, hati awak takkan senang sampai awak luahkan pada seseorang!" Pujukku. Kenapalah si Harraz ni keras hati sangat? 

Harraz mendengus kasar. 

"Kenapa kau pulak yang mesti nak sibuk-sibuk hal peribadi aku? Siapa yang ceritakan pada kau pasal semua tu? Atuk? Heh.. kau tak ingat ke apa yang kita rancangkan masa kat kampung dulu Irin? Aku akan tolong kau untuk betulkan balik masa silam kau, bukan kau yang akan betulkan masa silam aku.."

"Ya.. tapi sebelum awak selesaikan masalah orang lain, awak kena selesaikan masalah awak dulu!" Tegasku. 
Harraz diam. Menunduk memandang lantai marmar di kawasan hadapan pintu masuk villa. Dia mengeluh lagi sebelum dia angkat kepala memandangku.

"Kau ada masa seminggu untuk suruh aku buat benda lain yang lebih rasional daripada suruh aku betulkan hidup aku sendiri." Kata Harraz dan dia terus angkat kaki, masuk ke dalam villa tanpa pamitan.

Aku hanya memerhatikannya dari belakang dengan satu keluhan kecil. Atuk.. kenapa Harraz ni keras hati sangat? Irin penatlah nak pujuk dia. 

Perlahan aku heret kaki, turut sama melangkah masuk ke dalam villa. 

******************************

Keluar dari bilik selepas bersiap dan ingin menuju ke ruang makan, aku terpandang seseorang di ruang tamu. Laju kaki aku halakan ke arah sana, sekadar menurut rasa hati yang ingin tahu siapa tetamu yang datang itu. Tapi semakin langkah aku hampir dengan kedudukan lelaki itu, semakin aku rasa aku macam kenal dengan gerangan manusia ini. 

Bila Jarak aku berdiri dengan kedudukan lelaki yang sedang duduk di sofa itu hanya beberapa langkah jauhnya, lelaki ini angkat kepala memandangku. Kami berpandangan. Serta merta anggota badanku memberi tindak balas dengan mengundur setapak ke belakang, dengan mata yang dikecilkan dan mulut yang ternganga sedikit. Begitu juga dia yang serta merta terus berdiri menghadapku, dahinya juga berkerut. 

"Eh.." Terletus perkataan itu, keluar dari mulutnya.

"Awak??.." Kataku pula. Ingin bertanya sesuatu tapi sayangnya lidah aku tiba-tiba kelu. Tak tahu apa yang patut aku tanyakan. Yang pasti aku sangat-sangat terkejut melihat Syafiq berada di hadapanku saat ini dalam pakaian kemasnya. Seperti seorang pekerja pejabat yang sungguh berkarisma. 

Dari dulu hingga kini, aku sentiasa merasakan yang Syafiq ada auranya yang tersendiri!. 

"Irin?" 

Aku menoleh, pak cik Ghazi sedang berjalan menuju ke arah kami dengan sebuah fail hitam di tangannya. Aku toleh memandang Syafiq kembali, terfikir juga apa kaitannya Syafiq di sini dengan pak cik Ghazi? 
Kerana rasa ingin tahu yang mendalam, aku tetap terus berdiri di sini sekalipun pak cik Ghazi dah ambil tempat duduk berdekatan Syafiq dan mempersilakan Syafiq supaya duduk. Ternyata Syafiq juga merasakan apa yang aku rasa sebab dia asyik curi-curi memandang aku yang sedang berdiri di belakang kerusi pak cik Ghazi.

Mungkin terperasan dengan tingkah Syafiq itu, pak cik Ghazi menoleh ke belakang, memandangku. 

"Kenapa Irin??" Soal pak cik Ghazi.

"Errr..." Aku serba salah, apa yang patut aku katakan? Mengaku yang aku sebenarnya kenal Syafiq? Atau buat tak tau je? Aku sempat menjeling memandang Syafiq yang turut sedang memandangku.

Arrgghh.. kenapa tiba-tiba aku rasa macam aku tak patut biarkan Syafiq tahu siapa aku sebenarnya? Aku menggelengkan kepala sebagai jawapan kepada pertanyaan pak cik Ghazi itu sedangkan aku sendiri tak tau kenapa aku menggeleng. Bila aku baru berkira-kira untuk pergi dari situ, kehadiran atuk pula membantutkan langkahku.

"Irin buat apa kat sini? Dah sarapan?" Soal Atuk.

"Belum.. nak pergi sarapanlah ni." Jawabku, dan mula mengatur langkah setapak, ingin beredar dari situ. Biarlah.. mungkin aku boleh risik-risik pada pak cik Ghazi nanti tentang tujuan kedatangan Syafiq ke sini.

"Irin..." Panggil pak cik Ghazi. Sekaligus mematikan ayunan langkah kakiku, sebelum aku menoleh memandangnya.

"Irin kenal Syafiq?" Soal pak cik Ghazi. 

Aku garu kepala. Nak jawab ya, takut Syafiq mungkin tak selesa. Nak cakap tak, nampak sangat macam aku tak mengaku orang kampung sendiri. Tambah-tambah lagi dia adalah lelaki yang aku suka.

Aku pandang Syafiq, meminta pertolongan talian hayat daripadanya. Seperti memahami maksud pandanganku, Syafiq mengangguk perlahan.

"Kenal.." Jawabku, sepatah.

"Oh.. patutlah, pak cik tengok kampung Syafiq sama dengan kampung Irin." Kata pak cik Ghazi, sambil membelek-belek kertas di tangannya.

"Oh, Irin dengan dia satu kampung? Siapa nama kamu?" Soal atuk kepada Syafiq, dia berjalan menuju ke sofa dan duduk betul-betul berhadapan dengan Syafiq. Mungkin atuk masih belum mengenali Syafiq lagi agaknya.

"Syafiq." Jawab Syafiq sepatah sambil dia menundukkan kepalanya sedikit, sebagai tanda hormat.

"Oh.. irin.." Atuk menggamit aku supaya menghampirinya. Perlahan aku berjalan ke arah atuk sebelum tangan aku ditarik oleh atuk supaya duduk bersama-sama dengannya di sofa itu. 

Aku pulak yang rasa tak selesa. Bukan apa, sebelum ni pun aku memang tak pernah rapat apalagi bersembang dengan Syafiq, tiba-tiba hari ini kami dipertemukan dalam keadaan tak dijangka dan atas tiket, 'orang kampung' pasti atuk dan pak cik Ghazi fikir yang aku dan Syafiq sangat rapat dulu. Kalau tak, takkan atuk sampai menarik aku supaya duduk bersama mereka, kan?

"Syafiq dah tau siapa Irin sebenarnya?" Soal atuk.

Aku menggeleng. Atuk pamer reaksi terkejut.

"Tapi kata sekampung? Bukan Irin dengan dia berkawan ke?" Soal atuk lagi, meluahkan persoalannya.

"Hehehe... kami memang satu kampung, satu sekolah tapi bukan satu kelas. So.. tak pernah kenal rapat." Jawabku, dengan sengihan malu. Malu sebab aku harus mengakuinya di hadapan Syafiq sendiri.

"Maaf, kalau saya nak tanya. Err.. Irina buat apa kat sini?" Soal Syafiq. Berkerut dahinya, memandang aku dan atuk bersilih ganti.

Atuk memandangku dan memandang Syafiq semula. "Panjang ceritanya. Masa ini mungkin tak sesuai kalau kita nak ceritakan semua sekali, tak apalah, lain kali atuk bagi peluang untuk irin jelaskan semuanya kepada Syafiq, boleh Irin?" Soal atuk kepadaku.

Aihh.. kenapa aku pula? Aku nak cakap apa dengan dia, dah la tak rapat tiba-tiba nak bukak hikayat lama pulak. Kekok gila kot.. Aku pamer senyuman plastik kepada Syafiq yang masih memandang kami dengan reaksi muka ingin tahunya. 

"Irin jomlah kita pergilah sarapan dulu, pak cik Ghazi ada hal yang nak diselesaikan dengan Syafiq." Atuk bangun, diikuti aku "Err.. nanti jemput sarapan sekali ya?" Atuk mempelawa Syafiq untuk sarapan bersama-sama kami, sehingga Syafiq tersenyum segan kerana dipelawa dan mengangguk barulah kami meninggalkan mereka berdua di situ, dan terus menuju ke ruang makan.

"Betul ke Irin tak kenal rapat dengan Syafiq tu?" Soal atuk, semasa kami sudah mengambil tempat masing-masing di meja makan. Ada nada curiga dalam soalannya itu.

Aku yang ketika itu sedang meletakkan napkin di atas peha, pantas menggeleng, "Err.. betullah atuk, tegur dia pun Irin tak pernah, dulu." Jawabku.

"Tapi cara Irin pandang dia nampak macam ada sesuatu je?" Balas atuk dengan reaksi muka selamba sambil dia juga mengibas perlahan napkin yang dilipat cantik atas piring sebelum diletakkan di pehanya. 

"Ada sesuatu apa tu atuk? Irin biasa jelah, Irin cuma terkejut je tadi, tiba-tiba nampak dia kat sini.." Balasku, cuba berlagak selamba dan meneguk teh panas dalam cawan yang baru saja dituang oleh pelayan dapur.
Atuk senyum. Senyuman yang tak tahu bagaimana untuk aku tafsirkan.

"Apa atuk senyum-senyum ni??" Soalku, tak selesa. Orang kata kita tak boleh tipu orang tua sebab walaupun kita tak cakap apa-apa tapi mereka pandai baca bahasa tubuh kita. Huishh.. cara atuk pandang aku pun aku dah rasa macam atuk boleh baca bahasa tubuh aku. 

"Aik? Takkan atuk senyum pun tak boleh?" Usik atuk lalu ketawa. 

Aku mencebik sambil capai roti bakar dan capai pisau pula untuk sapu jem pada roti dan pada ketika itulah 
Syafiq dan pak cik Ghazi datang ke ruang makan, membuatkan pergerakan tangan aku seakan kaku. Bila atuk pandang aku membuatkan aku makin tak senang duduk.

Lebih membuatkan tingkah aku semakin serba tak kena bila panahan mata Syafiq betul-betul menikam ke anak mataku, oh.. tolong jangan bagi hati aku berkerja lebih keras! Aku penat nak rasa getaran jantung aku yang berlari laju ni!

Aku cepat-cepat tundukkan pandangan. Elok-elok tadi nak sapu jem pada roti terus tak jadi. Penyudahnya roti bakar kosong itu juga yang aku telan. Tawar.

"Syafiq satu sekolah dengan Irin dulu?" Soal atuk. 

Adush, kenapa tiba-tiba atuk tanyakan soalan itu pula.. macam nak bukak hikayat lama aku dengan Syafiq je.

"Ya, tapi saya senior Irina, kami jarang bertegur sapa" Jawab Syafiq. Jawapannya itu membuatkan aku rasa seperti kami memang tak ada apa-apa hubungan selain tinggal di kampung yang sama dan bersekolah di sekolah yang sama. Selama ni memang kau sorang je yang syok sendiri Irin...

"Oh... kalau dulu jarang bertegur sapa, sekarang bolehlah rapatkan hubungan." Kata atuk, seperti mengandungi maksud yang sangat mendalam dalam kata-katanya itu. Aku gigit bibir, risau pula kalau atuk 
akan berkata sesuatu yang akan buat aku makin tak senang duduk.

Syafiq tersenyum dan mengangguk. Sempat dia memandang ke arahku lagi. Huish boleh lemah jantung aku dibuatnya. Dahlah Syafiq duduk betul-betul kat depan aku. Aku baru berkira-kira untuk tundukkan pandangan daripada bertentang mata dengan Syafiq tapi mata aku terlebih dulu ternampak Harraz yang sedang berjalan menuju ke sini dengan pandangan matanya tertancap pada Syafiq yang sedang duduk membelakangi Harraz. 

Dalam fikiranku, hanya ada dua sebab yang rasional kenapa Harraz pandang Syafiq dengan pandangan mata helangnya itu. Pertama, sebab dia tertanya-tanya siapakah gerangan manusia asing yang berada bersama-sama kami di meja makan ini  dan yang kedua, mungkin dia tak suka ada orang lain yang mengambil tempat duduknya. Dan pada perkiraan aku, jawapan paling tepat untuk menghuraikan maksud pandangan tajam Harraz itu adalah nombor dua. Kerana dia hanya berdiri di belakang Syafiq dengan kedua-dua tangannya di dalam kocek dan memandang ke arah lelaki pujaan hati aku ni dengan muka serius yang mencuka. Tiba-tiba aku rasa macam aku dah lama tak nampak muka serius Harraz macam ni.

"Harraz.." Tegur atuk.

Serentak Syafiq dan pak cik Ghazi menoleh ke belakang. Syafiq menghadiahkan senyumannya untuk Harraz tapi Harraz tak beri reaksi langsung, sebaliknya dia terus beredar dan duduk di kerusi kosong sebelahku. Aku nampak perubahan air muka Syafiq yang menelan liur. Terus mati senyumannya. 

Dengan selamba, Harraz pecahkan telur rebus ke dalam mangkuk, capai serbuk lada sulah dan mengacau sebati campuran telur tiga suku itu dan serbuk lada sebelum dia menghirupnya dengan sudu. Nampak selamba benar gayanya seperti dia langsung tak ambil peduli dengan tetamu yang ada di hadapan aku ini. Aku rasa Harraz patut masuk kelas pendidikan moral supaya dia belajar bagaimana untuk menghormati tetamu.

"Ini Harraz, anak Tuan Ghazi.." Kata atuk memperkenalkan Harraz kepada Syafiq.

Syafiq tersenyum dan mengangguk faham. Sempat matanya memandang Harraz. Mungkin dalam hatinya mengeji sifat Harraz yang sombong atau mengutuk peribadi Harraz yang dingin, atau memikirkan dari mana 
Harraz mewarisi sifat sombong ini sedangkan pak cik Ghazi bukanlah seorang yang dingin dan sombong, atau apa sajalah, sama seperti yang aku lakukan semasa pertama kali aku bertemu Harraz. Cuma bezanya, dulu aku sangat takut dengan Harraz pada kali pertama kami dipertemukan, tapi Syafiq nampaknya dia seperti menyimpan satu perasaan menyampah dalam hatinya terhadap Harraz.

Ya, semua itu dapat aku baca dari air muka Syafiq yang kejap-kejap berubah dengan matanya masih tak lekang daripada memandang Harraz

"Err.. atuk, apa Syafiq buat kat sini?" Soalku, persoalan yang bermain dikepalaku tadi aku luahkan bila berpeluang.

Atuk pandang pak cik Ghazi, seperti ada satu arus magnetik di antara mereka, pak cik Ghazi terus angkat kepala memandang atuk sebelum dia memandangku dan menjawab soalan aku itu bagi pihak atuk.

"Syafiq akan jadi salah seorang pegawai baru di headquarters Residence Hotel, dia dah beberapa hari masuk kerja tapi baru hari ni pak cik dapat jumpa dia. Itupun sebab pak cik tak sempat nak masuk pejabat hari ni, sebab tu pak cik suruh Syafiq datang sini." Jelas pak cik Ghazi panjang lebar. 

Sekarang, mata aku dah terkedip-kedip berkali-kali. Tak percaya. Serta-merta kata-kata Bob di kampung dulu yang katanya Syafiq dah habis belajar dan kini bekerja di kuala lumpur bermain di telingaku. Tak sangka rupanya Syafiq akan bekerja di syarikat atuk! Oh, tiba-tiba aku rasa macam keciknya dunia...

Syafiq tersenyum manis memandangku. Alamak, tiba-tiba aku rasa macam nak cair macam coklat yang terkena panahan matahari. Tolong.. tolong jangan senyum macam tu pada aku, Syafiq!.

"Irin cepat sikit makan tu, aku tunggu kat library." Kata Harraz tegas, sebelum dia bangun dari kerusinya dan terus menonong berjalan tanpa mengucapkan apa-apa kepada tetamu ini mahupun kepada orang-orang tua yang ada di meja makan ini. sekaligus menghentikan saat-saat indah untuk aku menghayati kemanisan senyuman Syafiq. 

Aku pandang atuk, atuk pandang aku. Hati aku berat untuk meninggalkan meja makan ini memandangkan bukan senang untuk aku makan semeja dengan Syafiq. Atuk mengalihkan pandangan ke arah Syafiq.

"Kejap lagi awak masuk kerja kan?" Soal atuk kepada Syafiq.

Pantas Syafiq mengangguk.

"Habis kerja pukul berapa?" Soal atuk lagi.

"Urmm.. ikutkan pukul lima. Tapi saya tak pasti pukul berapa saya boleh balik." Jawab Syafiq.

"Kalau macam tu, balik kerja terus datang sini boleh? Makan malam kat sini." Pelawa atuk, aku dah terjegil biji mata dah ni. Apa pula motif atuk suruh Syafiq makan malam kat sini?

Syafiq diam, seperti sedang menimbangkan pelawaan atuk itu.

"Tak payah fikir-fikirlah, lagipun awak mesti nak tahu siapa saya pada Irin dan bagaimana Irin boleh ada kat sini kan?" Atuk memancing Syafiq supaya bersetuju dengan menggunakan aku sebagai alasan pula. 

Syafiq memandangku, lama. 

"Insyaallah, kalau tak ada apa-apa hal, saya datang." Balas Syafiq, beri jawapan pasti.

Atuk tersenyum memandangku. Aku kerut dahi. Apa maksud atuk ni? Senyum-senyum lepas tu pandang aku, kemudian pujuk Syafiq makan kat sini. Haduiii...

"Irin? Dah habis makan? Pergilah, Harraz dah tunggu tu.." Kata atuk kepadaku, seperti menghalau pun macam ya.

Dengan berat hati, aku angkat juga kaki meninggalkan meja makan, menuju ke bilik bacaan. Meninggalkan lelaki yang aku suka untuk bertemu dengan lelaki yang aku tak suka. Urrghh.. benci! Benci!

Aku buka pintu bilik bacaan dan masuk dengan berat hati, berat kaki, berat segala-galanya.

"Siapa mamat tu?" Soal Harraz, itu soalan pertama yang diajukan pada aku.

"Mamat mana?" Soalku, mula-mula memang aku blur, siapa mamat yang Harraz maksudkan, beberapa saat kemudian aku tersedar, mungkin mamat yang Harraz maksudkan adalah Syafiq.

"Oh.. nama dia Syafiq,bukan mamat!. Siapa dia? Awak tak dengar ke apa yang ayah awak cakap tadi?" Soalku. Memerli. Kerusi aku tarik dan duduk bersebelahan dengan Harraz yang sedang berdiri.

"Siapa dia pada kau?" Soal Harraz lagi. 

Kali ni aku rasa ada sedikit kepelikan pada soalan Harraz itu. Kenapa dia mesti tanya soalan sebegitu pada aku? Siapa Syafiq pada aku? Apa dia kenal ke siapa Syafiq sebelum ni?

"Apa maksud awak?" Soalku kembali.

"Dia Syafiq yang Bob sebut-sebutkan masa kat kampung dulu kan?" Soal Harraz lagi, keningnya terjongket.

Aku tersentak. Eh, tak sangka yang dalam diam dia, dalam dia buat-buat tak tahu dengan kawan-kawan aku, rupanya dia ambil peduli tentang apa yang kami bualkan?. Wow!

"Mana awak tau?" Soalku, dengan dahi yang sengaja aku kerutkan.

"Tengok cara kau pandang dia pun aku semua orang boleh tahu Irin.." Balas Harraz sambil menarik kerusi di kepala meja dan duduk di situ. Jawapan balasnya itu membuatkan aku tersipu-sipu malu.

"Tau apanya? Kita pandang apa? Ish, dah la.. cepatlah mulakan kelas!" Balasku, cuba menukar topik perbualan. Semakin panjang topik Syafiq dibualkan, alamatnya semakin panaslah muka aku walaupun duduk dalam bilik yang ada penyaman udara. 

Harraz tersengih sinis memandangku. Aku tak tau apa yang tak kena dengan muka aku sekarang sehingga Harraz perlu memandangku sebegitu rupa.

"Yang kau malu sangat dengan aku ni kenapa? Bukan aku memang awal-awal lagi dah tau ke yang kau suka kat mamat nama Syafiq tu? Dulu masa bercakap pasal budak tu depan aku tak malu pun?" Perli Harraz.

Dulu memanglah tak malu sebab aku ingat Harraz tak ambil pusing tentang apa yang aku, Bob dan Ziana sembangkan dan dulu Harraz tak kenal Syafiq, tapi sekarang dia dah kenal Syafiq dan dia pasti akan membuat penilaian terhadap Syafiq dan mencari kelebihan lelaki itu sehingga membuatkan aku terjatuh hati pada lelaki bernama Syafiq itu. Dan lepas tu bolehlah dia bahan aku pulak kan?

"Awak ni nak mengajar ke tak nak? Kalau tak nak baik kita keluar je." Protesku, malu sampai tak tau nak tukar topik apa lagi.

Harraz ketawa. "Kelakarlah kau ni Irin, dengan aku pun nak malu.. " Usiknya lagi.

"Harraz!!!" Panggilku, keras.

Harraz tergeleng-gelengkan kepalanya dengan ketawa yang semakin kuat dan bergema. Lucu sangatkah sampai meja pun mahu ditepuk-tepuk segala bagai? 

"Eeii.. Harraz! Kita keluar karang!" Ugutku dan bangun dari kerusi, berkira-kira untuk keluar dari bilik ini.
Harraz menahanku dengan isyarat tangannya, menyuruh aku supaya duduk kembali.

"Kita tak nak duduk sehingga awak berhenti ketawa." Ugutku, tegas.

Harraz berdehem beberapa kali dan cuba untuk menghentikan ketawanya. Tapi sengihan sinis itu masih belum 
hilang dari bibirnya. Aku buat muka monyok.

"Ambil kertas..." Katanya dalam sengihan yang ditahan-tahan.

"Nak buat apa?" 

"Ambik jelahhhh..."

Aku keluarkan sehelai kertas A4 dari dalam fail yang memang aku tinggalkan di bilik bacaan ini.

"Tulis kat atas tu, senarai perkara yang kau nak aku buat untuk kau." Arahnya.

"Hah??"

"Tulis je lahh.. tak ingat ke perjanjian kita apa? Kau dah menang lumba lari kan?" Kata Harraz dengan muka yang kembali serius. Sisa-sisa ketawa juga hilang dari bibirnya.

"Ohhh.." Aku baru teringat, padahal masa berlari tu, aku la yang bukan main eksited nak menang dan nak kalahkan harraz sebab benda inilah. Jadi apa patut aku suruh Harraz buat? 

Bangun pukul 6 pagi? Memang itu rutin harian dia. Hah! Suruh dia bancuh teh untuk lima puluh cawan dan agihkan pada semua penghuni Villa. Juga suruh dia berlari sepuluh pusingan villa ni? Ok tak? Aku pandang Harraz, mencari inspirasi dari wajahnya, Kononlah! 

Harraz jongket sebelah kening, membalas pandanganku. Aku tundukkan kembali pandangan, memandang ke atas kertas yang masih kosong. Kemudian laju tangan aku mencoret senarai perkara yang aku mahu Harraz lakukan untuk aku selama seminggu ini. Betullah, pandang muka Harraz je terus dapat inspirasi!

Siap! Kertas itu aku hulurkan kepadanya. Harraz menyambut dengan muka angkuhnya. Dia membaca satu persatu senarai permintaanku itu dengan tenang, kemudian reaksi mukanya berubah kepada berlapis dahi, kemudian berubah lagi kepada terbeliak biji mata, kemudian berubah lagi kepada kata-kata dan mulut yang ternganga...

"Hah?? What the...." Ayatnya tergantung sampai di situ.

Aku tersengih bangga. Kan aku dah kata, inilah masanya untuk balas dendam. Kan? Heh.. heh.. heh... Aku jongketkan sebelah keningku berkali-kali, macam Ziana Zain.

bersambung....


p/s : Sorry for being very-very-very the late! Kadang-kadang bila traffic light otak berselirat, tangan tak boleh nak buat kerja. Mana nak kejar dengan balik kampung, dengan kenduri, dengan nak siapkan 'buku CCMK', dengan plain guy, dengan cinta bas mogah part dua.. Huishh... ini belum lagi nanti dengan suami yang tak balik-balik kerja lagi, dengan anak-anak merengek nak makan, dengan kain baju tak berbasuh, dengan rumah tak berkemas. Ish.. ish.. ishh... 

Permohonan maaf ni diterima ke tidak? huhu.. >__<

Monday, November 21, 2011

Bab 27



 Dari tadi mata aku tak lepas daripada memandang Harraz yang sedang membuat regangan badan di sebelahku. Aku pandang dalam-dalam ke matanya sekalipun dia tidak memandang ke arahku. Terbit rasa kasihan dalam diri bila memikirkan kata-kata atuk semalam. Tak sangka disebalik muka serius, tak suka bergaul, suka marah-marah, suka menghukum dan nampak misteri rupanya Harraz menyimpan cerita duka dalam hidupnya, dia menanggung beban perasaan yang maha berat.

Bagi aku perasaan serba-salah akan sentiasa menghantui diri sehingga ianya berjaya ditebus dengan meminta maaf. Aku pernah rasa serba salah bila aku secara tak sengaja telah menyakitkan hati emak dengan bercakap kasar dengannya, sungguh aku tak sengaja masa tu dan lepas tu aku tak lena tidur semalaman sehinggalah aku mintak maaf kat mak dan jelaskan kenapa aku badmood masa tu.

Aku juga pernah rasa serba-salah dengan Bob bila aku telah membuatkan Bob terasa dengan gurauanku tentang dirinya, dan aku tak senang duduk bila Bob seperti cuba mengelak daripada bercakap dengan aku, sehingga aku meminta maaf dan berjanji takkan ungkit lagi tentang hal-hal yang berkaitan dengan dirinya, barulah hati aku kembali tenang.   

Tapi Harraz.. dia dah tak berpeluang untuk meminta maaf di atas kesilapan besar yang dia dah lakukan dulu. Lebih-lebih lagi dia hidup dengan memikirkan bahawa dia adalah anak derhaka kepada emaknya sendiri. Haihh.. sungguh! Aku rasa sangat-sangat kasihan dengan Harraz. Kalaulah dengan meminjamkan bahu aku untuk Harraz menangis itu sudah cukup untuk mengurangkan beban perasaan yang ditanggungnya, aku sanggup!

Aku sanggup walaupun lelaki ini adalah manusia yang paling banyak menyakitkan hati aku sepanjang tempoh aku mengenalinya. Aku sanggup kerana aku tahu, perlakuan Harraz sebelum ini adalah disebabkan masa silamnya. Dan aku sanggup kerana.... 

"Apasal kau pandang aku macam tu?" Soalnya Harraz sambil mengangkat sebelah kaki ke atas dan dilipatkan ke belakang, tiba-tiba saja dia mengalihkan pandangannya ke arahku, Pantas. Tanpa sempat untuk aku berpaling ke arah lain atau melakukan sesuatu yang rasional. 

Rasional seperti buat regangan badan, pandang ke langit atau pura-pura sisir rambut dengan jari atau apa saja yang tidak menampakkan ketaraan yang aku sedang memandang tepat ke muka Harraz.

"Pandang apa? Mana ada.." Balasku, mula berpura-pura memusing-musingkan kedua-dua belah tangan yang aku letak di bahu sebelum aku pusing ke depan dan kebelakang.

"Kau ingat aku tak nampak dari tadi kau asyik pandang aku?" Kata Harraz, memandangku dari ekor matanya.

Aku telan liur, sekarang aku terasa macam suhu badan aku naik mendadak. Panas. Aku kipas muka dengan jari, berharap yang rasa panas itu akan hilang.

"Perasan! Siapa yang pandang awak? Kita pandang kat padang sana tu.." Kataku menunjuk ke arah kawasan padang yang lapang. Tak ada apa-apa pun kat situ, tapi sebab padang itu betul-betul terletak di belakang Harraz, maka hanya alasan itu sajalah yang paling wajar aku rasakan untuk aku beri.

"Kalau betul kau pandang kat padang tu, apasal muka kau mesti merah??" Sekali lagi Harraz menjerat aku dengan soalannya. 

Kelu. Dah tak tau nak balas apa, aku terus angkat kaki berjalan mendahului Harraz. Aku pegang pipi dengan kedua-dua belah tangan dan menampar-namparnya perlahan. Pipi, pipi kenapa kau mesti malukan aku depan Harraz? Kenapa kau mesti memerah bila malu? Kenapa? Kenapa? Kenapa kau mesti jadi puteri lilin??? Kenapa???? Kali ini aku menampar pipiku lebih kuat sebagai hukuman untuk mereka kerana telah memalukan aku.

Kesian pipi, tak pasal-pasal jadi mangsa. Ish.. ish.. ish..

"Kalau kau nak pandang aku pun aku tak kisah Irin.. aku tau yang aku kacak." Tiba-tiba je telinga aku menangkap bunyi suara Harraz, kedengaran kuat dibelakangku. 

Aku toleh ke belakang, rupanya dia sedang mengekori aku dengan kedua belah tangannya dalam kocek seluar dan dia berjalan santai sambil memandang ke arah atas, seperti sedang menikmati kenyamanan udara pagi.

Aku mendengus, kuat.

"Perasan!" Balasku.

"Perasan itu lebih baik daripada tak mahu mengaku." Dia memerliku.

Apa-apa sajalah Harraz! Rasanya lebih banyak aku membalas kata-katanya, hati aku akan jadi lebih sakit atau paling tidak aku akan jadi lebih malu, memandangkan Harraz sangat hebat dalam bab-bab membaca isi hatiku. Entah dengan bomoh mana dia menuntut nak baca isi hati orang ni?

"Hihii.." Harraz ketawa.

Telinga aku masih boleh dengar dengan jelas walaupun suara dia ketawa itu sangat perlahan dan seperti berbisik. Pasti dia sedang ketawakan aku. Mulalah aku terasa macam larva gunung berapi nak meletup ni. Sebelum ketawa sinis dia itu akan kedengaran lebih kuat dan nyaring, sekaligus membuatkan aku semakin sakit hati, ada baiknya aku ayun kaki lebih pantas.

Tapi baru beberapa langkah aku berjalan menjauh darinya, telinga aku dah pun disumbat dengan bunyi ketawa Harraz yang semakin lama semakin kuat, semakin lama semakin buat hati aku rasa macam terbakar. 

Oh, Harraz kalaulah bukan sebab... 

Serta merta aku berhenti berjalan. Ya, kalaulah bukan sebab apa yang atuk cakap semalam, pasti hari ini aku takkan cuba untuk telan dan hadam semua ketawa sinis itu. Aku menoleh ke belakang dan menunggu sehingga Harraz berjalan menghampiriku dengan sisa tawa di bibirnya. Walaupun sakit hati nak tengok senyuman sinis dia tu, aku tetap tabahkan hati.  Ada sesuatu yang aku mahu sampaikan kepadanya.

"Hahahah.. Irin.. Irin... kelakarlah kau..."

"Harraz.. kalau awak rasa awak perlukan telinga untuk mendengar, bahu untuk awak tumpang menangis, patung yang takkan sebarkan cerita awak pada orang lain, awak boleh cari kita. Bahu dan telinga kita sentiasa bersedia untuk mendengar masalah awak." Kataku, terus memotong kata-kata Harraz. 

Harraz terdiam. Ketawanya mati, dahinya berkerut, mulutnya sedikit terbuka menandakan yang dia sangat pelik mendengar kata-kata yang keluar dari mulutku. Matanya dikedip-kedipkan beberapa kali sambil memandang tepat ke mukaku. 

"Haa??" Perkataan itu saja yang keluar dari mulutnya sebelum dia kembali menutup mulut yang terbuka sejak tadi.

"Kita sentiasa ada untuk awak." Ulangku. Samada Harraz tak faham atau tak dengar apa yang aku cakap tadi, aku tetap mahu dia faham tiga perkataan penting ini "ada untuk awak!"

"Kau demam ke Irin?" Soalnya. Sebelah tangannya yang disimpan dalam kocek seluar dikeluarkan dan dihalakan ke dahi aku ingin memastikan tahap suhu kepanasan dahi aku.

Cepat saja aku tepis perlahan. Aku tak demam Harraz. Tangannya itu 'disimpan' kembali ke dalam poket seluar. Dahinya berkerut.

Aku menggeleng sebagai jawapan yang aku tak demam. Aku tak merapu-rapu, tak tak kena sampuk, aku tak sakit jiwa. 

"Eh.. tak, kau demam ni, jom aku bawak pergi klinik." Harraz berkira-kira untuk berpatah balik. Kononnya ingin bawa aku ke klinik. 

Aku menggeleng lagi.

"Bila-bila masa yang awak perlukan, kita akan sentiasa ada masa untuk awak, ingat tu.." Aku ukir segaris senyuman sebelum aku mula berlari anak, meninggalkan Harraz yang masih kebingungan dibelakang.

Atuk.. Irin pasti akan pinjamkan bahu Irin untuk Harraz menangis. Aku berazam dalam hati sambil berlari dan tersenyum. Tersenyum sebab aku rasa sekurang-kurangnya aku ni taklah jahat sangat walaupun Harraz susah nak buat baik dengan aku tapi aku masih mahu untuk menjadi seseorang yang terbaik untuk dia, terbaik dari segi...

"Ouchh.." Terbaik dari segi aku langsung tak buat apa-apa regangan tadi dan terus berlari dan kaki aku kejang? Syabas Irin!

Aku sekarang dah terduduk atas aspal dengan kaki kiri yang dah tak boleh bergerak dan terasa menyucuk sampai ke.. sampai ke...

"Harrazzzzzzz...." Aku jerit memanggil Harraz, otak aku dah tak boleh fikir benda lain lagi selain aku mahu rasa sakit yang menjalar ke seluruh urat ini segera dihilangkan. Tapi entah dimana Harraz sekarang sampai aku menjerit pun dia masih tak dengar.

"Harraz!!!!!!" Jeritku lagi, dan pada ketika itulah baru aku ternampak Harraz sedang berlari perlahan seperti orang sedang berjogging dan bukan berlari laju seperti orang sedang mengejar seseorang yang sedang menjerit memanggil namanya.

Patutlah pun.. dia pakai headphone kat telinga. Tapi bila dia ternampak aku sedang melambai-lambai ke arahnya barulah dia mempercepatkan ayunan langkah kaki menuju ke arahku.

"Kenapa ni? Kenapa?" Soal Harraz cemas. Aku rasa macam nak tersenyum tengok reaksi muka dia sekarang sebab aku rasa macam sekurang-kurangnya Harraz masih ada perasaan! Tapi tak jadi nak senyum sebab kaki aku lebih memerlukan bantuan sekarang.

"Sakit.. kejang!" Jawabku.

"Huuuhhh.." Dengus Harraz, nadanya seperti 'Lah.. ingatkan apa tadi'.

Dia meluruskan kaki aku dan membuka kasut sukanku, lalu jari-jari kaki aku dipicit dan ditolak-tolak. Aku pun tak tau apa yang dia buat tapi yang aku tau setiap kali dia picit ibu jari kaki aku, rasa sakit menjalar itu seakan berkurangan. 

"Sakit lagi?" Soalnya, memandang tepat ke mukaku.

"Sikit je.." Balasku.

Kaki aku ditarik lagi, diluruskan, dipicit, diangkat ke atas dan semuanya sebelum dia biarkan kaki aku terlentang lurus di atas jalan. Harraz mengalihkan pandangannya ke mukaku, lama.

"Apa..." Soalku, pelik campur serba-salah. Aku ada buat salah apa-apa ke sampai dia perlu pandang aku sampai macam tu sekali?

"Siapa suruh kau berlari sebelum buat regangan?" Soalnya.

Automatik, mulut aku ternganga kerana baru tersedar kesalahan terbesar yang aku dah lakukan sebelum memulakan senaman, yang Harraz selalu pesan dan tekankan. Kemudian aku tutup mulut dan tertunduk sambil mengusap rambut, perlahan. 

"Itulah, sibuk sangat usha aku tadi sampai tak ingat nak buat apa dah?" Perlinya.

Muka aku berubah monyok pula. Tak payah la nak ungkit benda sama tu lagi, aku bukan usha dia sampai tak berkelip mata tu sebab aku 'tertawan' dengan wajah 'kacak la sangat' dia tu, tapi sebab aku kasihan dengan dia je. So tak payah nak perasan sangat boleh kan Harraz?

"Buat muka! Aku tak tolong tadi baru tau.." Marahnya pula. 

"Bisinglah awak ni." Rungutku dan cuba untuk bangun, tapi tiba-tiba rasa sakit tu menjalar lagi di kakiku.  Aku terduduk balik dan mengurut kakiku perlahan.

"Heh.. itulah, melawan lagi cakap orang yang dah tolong kau. Itu namanya tak berkat tau" Balas Harraz sambil tangannya meluruskan semula kaki aku sebelum dia bangun dan menghulurkan sebelah tangan kepadaku. 

Mazhab mana dia pakai, terima pertolongan orang tak berkat? 

"Cepat!" Gesanya bila aku masih tidak menyambut huluran tangannya itu. Perlahan aku angkat tangan dan menyambut huluran tangannya. Terasa yang jari jemari aku dicengkam kuat oleh tapak tangan Harraz yang lebih besar sekali ganda dari tanganku. Tiba-tiba rasa macam ada satu arus elektrik masuk dalam badan aku dan menggetarkan hati. Ohh...

"Jangan bengkokkan lutut kau tu." Sempat Harraz berpesan sebelum dia menarikku berdiri, pantas. Bila aku dah selamat berdiri, pegangan tangan kami terus aku leraikan. 

   "Buat regangan dulu sebelum kau berlari lagi" Pesannya lagi. Persis seorang abang yang sangat sayangkan adiknya. Oh... kalaulah Harraz betul-betul abang yang sayangkan aku sebagai adiknya, kan bagus? Jadi tak payah lah aku mendengar dia membebel dan memerli aku. Sebaliknya yang aku akan dengar adalah kata-kata nasihat dan "take care, love you, hati-hati.." dan....

ops.. panjangnya kau berangan Irina!!

Aku mula menggerakkan tubuh badanku, ke kiri, ke kanan, ke atas, ke belakang manakala Harraz kembali mendengar lagu-lagu dari mp3nya itu dan berlari setempat. Selesai membuat regangan terakhir di kaki, aku pun ikut Harraz berlari setempat kemudian mengekori langkah Harraz yang mula berjogging. 

Selepas kejadian yang perut aku sakit sebab berlari tu, Harraz tak pernah bagi muka untuk aku tak payah berlari. katanya, kalau aku tak cuba berlari perlahan-lahan sampai bila-bila pun perut aku, badan aku, anggota dalam tubuh badan aku takkan dibiasakan untuk berlari. Makanya, walaupun sekejap, aku tetap diwajibkan berlari. 

Sambil berlari, mata aku sempat meliar memandang ke sekeliling, kononnya nak hayati keindahan pemandangan waktu pagi di kawasan villa ini tapi secara tak sengaja aku ternampak kelibat pak cik Sibir yang juga sedang memandang ke arahku, di sebalik pokok pine yang tinggi sedang dicantas oleh seorang tukang kebun.  Tapi bila aku baru nak senyum, dia dah pandang tempat lain, pura-pura seperti dia tak nampakkan aku di sini. Rasa pelik kembali menjengah dalam diri. Kenapa dengan pak cik Sibir ni? 

"Ouch.." Sakit hidung aku bila aku pandang balik kehadapan hidung aku dah terlanggar belakang badan Harraz. Yang Harraz ni pun satu, berhenti tiba-tiba ni kenapa??

"Punya la besar badan aku ni, takkan aku berhenti pun kau tak nampak?" Soal Harraz sambil dia berpusing menghadapku yang sedang menggosok batang hidungku sendiri. 

Terasa sengal.

"Yang awak tiba-tiba berhenti kenapa?" Rungutku.

"Tiap-tiap pagi kita buat benda yang sama, kau tak bosan ke Irin?" Soal Harraz, menyimpang dari apa yang aku katakan tadi.

Aku terdiam dan berfikir sejenak. 

"Bosan jugak!, Kalau lain kali kita tak payah bangun pagi dan jongging mesti best kan?" Kataku.

"Tak. Tak best langsung sebab kau akan jadi pemalas. Lepas subuh tidur balik rezeki susah nak masuk kau tau." Harraz memangkah kata-kataku sambil dia berpeluk tubuh dan menarik nafas dalam-dalam.

"Hemmm... pagi ni aku nak ubah rutin kita. Apa kata kita lumba lari? Siapa sampai dulu kat tasik dia menang. Amacam?" Soal Harraz.

Aku pula yang berpeluk tubuh. kalau dah lawan lumba lari dengan Harraz memang dah sah-sah la Harraz yang akan menang. Tak adil punya pertandingan!

"Tak naklah, nanti mesti awak yang menang punya."

"Siapa yang kalah dia kena ikut cakap orang yang menang selama seminggu. Kalau kau menang, aku kena ikut cakap kau tanpa bantahan. Amacam? Tak teringin ke nak kenakan aku??" Soal Harraz sambil mengjongket-jongketkan keningnya. Seperti mencabar aku.

Aku mengeluh kuat. Siapa yang tak nak buat Tuan Muda Iman Harraz ni tunduk dengan aku, asyik-asyik aku je yang kena ikut cakap dia, inilah peluang aku untuk kenakan dia balik, tapi... ada peluang ke?

"Belum cuba belum tau Irin.. aku pun sebenarnya dah bosan, dah biasa dah tengok kau ikut cakap aku. Dah tak heran..." Kata Harraz lagi seperti cuba bermain tarik tali dengan aku. Yang mana membuatkan iman aku makin tergugat dan rasa tercabar itu makin menyala-nyala.

"Ok, kalau kita menang awak kena ikut cakap kita selama seminggu!" Putusku, akhirnya. 
Harraz tersengih, bangga. Mungkin puas hati sebab dapat cabar aku.
"Satu.. dua.. " Aku dan Harraz masing-masing bersedia di trek masing-masing, aku akan pastikan yang aku dapat kalahkan Harraz.

"Tiga!" Serentak dengan kiraan itu, Harraz terus berdesup lari, laju meninggalkan aku dibelakang. 

Hah... belum apa-apa lagi aku tiba-tiba dah rasa give up. Mana aci Harraz menang. Tengoklah tu, sempat lagi Harraz pusing belakang dan jelur lidah kat aku, sangat tak kelakar ok bila dia yang cadangkan kami lumba lari, dia yang tetapkan hukuman untuk orang yang kalah dan dia yang menang perlawanan ni. Tak boleh jadi ni!

Aku teruskan berlari sepantas yang mungkin asalkan aku berjaya mengatasi Harraz di depan sana. Tapi sekuat pun aku cuba Harraz tetap adalah pemenangnya! Hiyaaahhh..
Aku terus terduduk di atas rumput berhadapan tasik kerana kepenatan. Manakala Harraz yang dah sampai beberapa minit awal dariku masih lagi berdiri bercekak pinggang.

"Hoi, kau ni suka buat benda yang aku larang. Lepas berlari kena buat apa dulu?" Soal Harraz, seperti sedang mengajar budak kecik yang asyik lawan cakap ayah dia.

Tersedar tentang kesilapanku, lalu aku terus bangun dan menarik dan menghembus nafas berulang-ulang kali sehinggalah aku rasa yang suhu badan aku dah kembali normal, baru aku duduk kembali.

"Tak acilah macam ni, awak jugak yang menang... kalau tau tadi tak payah ikut cakap awak pun tak apa." Rungutku.

Harraz mengambil tempat duduk di sebelahku dengan kedua-dua kakinya ditegakkan dan lengannya direhatkan di atas lutut kakinya.

"Itulah kau, sikit-sikit mengalah, sikit-sikit putus asa. Boleh tak kau bangkit dari kegagalan dan berusaha?" Soal Harraz. 

Gaya dia bercakap macam nak bagi semangat kat aku tapi nampak macam nak perli aku pun iya. Ah, keliru aku nak tafsirkan maksud sebenar dia.

"Bangkit dari kegagalan? Kalau awak Harraz, awak boleh bangkit dari kegagalan tak?" Soalku, soalan menjerat ni. 

Kalau dia boleh bangkit dari kegagalan masa lalunya, bermakna dia boleh luahkan semua masalah dia dan hidup seperti manusia normal yang lain. Normal maksud aku di sini, dia boleh kembali mencari kawan, kembali senyum, kembali ceria dan hidup sebagai Iman Harraz yang baru!

"Apasal tiba-tiba kaitkan dengan aku pulak ni? Aku tengah bercakap pasal kau, bukan pasal aku."  Balas Harraz.

"Iya la, tau.. tapi kita nak tau jugak yang awak boleh bangkit dari kegagalan ke tak? Sebab awak ni kan nampak kuat, garang.. gagah." Sengaja aku berlawak dengan dia. Tapi sedihnya Harraz tak gelak pun.

"Soalan kau ni ada kena mengena dengan apa yang kau cakap kat aku tadi ke?" Soal Harraz, serius mukanya.

Aku terdiam. Bijak betul Harraz ni, aku ingatkan bila dia buat muka blur masa aku cakap yang aku sedia untuk pinjamkan telinga dan bahu untuk dia tu, dia tak faham apa maksud aku, tapi rupanya.. 

"Awak rasa?" Soalku kembali, sengaja ingin main tarik tali dengan Harraz.

"Apa yang kau tau yang aku tak tau?" Soalanku dibalas dengan soalan juga olehnya.

"Betul awak nak tau?" Soalku balik. Nampak gayanya kami hanya berbalas-balas soalan tapi masih tiada jawapan yang diterima dari kedua-dua pihak.

Harraz memandangku, tajam.

"Benda yang aku patut tahu tu, menyakitkan atau menyenangkan?" Soal Harraz kembali.

"Errmmm... terpulang pada bagaimana awak terima ia." Balasku, masih berkias. 

Aku tak tahu samada Harraz sudah bersedia untuk tahu punca sebenar kematian emak dia atau tidak tapi pada pendapat aku, Harraz sudah sepatutnya mengetahui hal yang cuba dielakkan ini. Sampai bila dia nak larikan diri dan hukum dirinya sendiri. Kan?

"Tak payah bagitau. Aku tak mahu ambil tahu langsung apa saja yang kau tahu" Putus Harraz. Seolah menutup ruang untuk aku bercerita.

"Tapi..." Aku cuba memujuknya tapi cepat saja dipintas oleh Harraz.

"Kita batalkan perlawanan tadi, sekarang siapa sampai dulu ke villa dia menang." Kata Harraz, bangun dari duduknya dan mengibas-ngibas seluarnya.

Baiklah, kalau Harraz memang belum bersedia untuk tahu hal sebenar, siapalah aku untuk memaksa dia kan? 
Aku ukir segaris senyuman sebelum aku bangun dari tempat dudukku dan menyahut cabaran Harraz. Sekali lagi?.

"Ok, tapi kali ni biar kita yang kira." Putusku, sekurang-kurangnya aku dah bersedia untuk lari dulu sebelum kiraan ketiga.

"Small matter!" Jawab Harraz.

Kami berdiri di tengah-tengah trek jogging dan bersedia untuk berlari. Aku mulakan kiraan. "1, 2... " Bila kaki aku dah melangkah setapak kehadapan baru aku sebut "3!" kali ni memang aku berlari sungguh-sungguh tanpa menoleh ke belakang lagi. Matlamat aku cuma satu, kalahkan Harraz dan hukum dia dengan hukuman-hukuman yang pernah dia jatuhkan kepada aku sebelum ni.

Inilah masanya nak balas dendam kan?


Bersambung...
   

 p/s : Kepada nama-nama yang akan disebut ini, boleh tak korang add kite tak FB? Oh, dan tolong bagitau ye kalau korang dah add!, Kenapa? Sebab korang ada hutang dengan aku. Heheh.. tak lah, sebab nak kenal siapa korang, biasa korang komen je kan, tapi tak ada tinggalkan link blog ke apa ke macam yang lain-lain. Oh, ok..ok.. calon-calonnya adalah....

Arasnierynie (Sorry kalau salah eja, biasa aku panggil 'ara' je (>__<))
Shadow
kak ida
Kayrel
rahimawati

ada lagi nama-nama yang aku lupa nak sebut ke?? Oh dan 'tanpa nama' tinggalkan la nama korang. huhu.

last.. last.. Thanks for reading! <3 <3   ^__^

                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                       

Wednesday, November 16, 2011

Bab 26



Tempoh seminggu dah pun berakhir, nak tak nak aku tetap harus kembali ke villa. Orang yang paling tak sabar nak balik, mestilah si Harraz ni. Dan orang yang paling berat hati, mestilah mak dan orang terasa seperti hatinya dibelah dua, mestilah aku.
 
"Irin jangan lupa datang sini lagi ya?" Pesan mak, padahal waktu itu kami masih bersarapan dan aku belum siap mandi pun lagi. Risau benar dia kalau aku takkan datang jenguk dia kat sini lagi.
 
"Insyaallah mak, kalau ada masa Irin datang"
 
"Janji, jangan lupakan mak tau?" Pesan mak lagi.
 
"Mak ni... mana boleh Irin lupakan mak! Dah bertahun-tahun Irin duduk sini dengan mak dan abah, takkanlah boleh lupa macam tu saja..." Balasku, sedikit memuncung. Macamlah aku ni kacang lupakan kulit.
 
Emak tersengih. "Ya, mak tahu. Sebab tu mak pesan, Harraz pun lain kali datang sini lagi tau?" Ajak mak, tersenyum.
 
Harraz yang baru ingin menyuap nasi lemak ke mulut, terhenti pergerakannya bila namanya disebut, Dia memandangku sekilas sebelum kembali memandang emak dengan reaksi muka blur. Tapi tetap dia anggukkan kepala sekalipun dia tak pasti apa sebenarnya butir bicara antara aku dengan emak. Kemudian dia kembali menyuap sudu ke mulut. Aku tersenyum nipis melihat reaksi muka blurnya itu. Comel!.
 
Oh, aku terpuji dia lagi. Ehem.. ehem.. aku capai sudu dan menyambung makan. Ingin mengusir pergi senyuman yang tersinggah di bibirku kerana muka blur Harraz tadi.
 
Selesai bersarapan, kami bersiap-siap mengemas untuk pulang. Dalam bonet kereta sudah hampir mahu penuh dengan segala macam buah tangan yang emak dan abah sediakan. Semuanya terdiri daripada buah-buahan yang abah ambil dikebunnya. Aku jadi tak sampai hati nak menolak sekalipun aku tak pasti siapa yang mahu makan pisang muda ini, kalau dibuat kerepek pisang bolehlah. Tapi siapa yang nak buat? 

Dengan buah macangnya, dengan sayur kangkung, dengan buah labu, dengan... haih.. aku bukannya tak sudi nak terima tapi aku bukan duduk di rumah sewaku sendiri yang aku boleh 'kerja'kan buah-buahan dan sayuran ini semua. Dapur kat villa tu pun aku belum jumpa..
 
"Irin, pisang tu nanti kalau tak nak buat kerepek, tunggu dia masak, boleh goreng.." Pesan mak.
 
Aku mengangguk cuma. Dalam hati dah tertanya-tanya pada siapa aku nak sampaikan pesanan mak tu? Aku bukan kenal pun orang-orang dapur kat villa tu.
 
"Sayang sekarang belum musim buah lagi, kalau tak boleh bawak buah balik sana. Lain kali kalau nak balik sini, balik masa musim buahlah Irin.." Pesan abah pula.
 
Pun aku angguk je, sebab aku tak tahu bila lagi aku boleh mintak kebenaran untuk balik ke sini.
 
Harraz pandang aku selepas bonet ditutup, seperti memberi isyarat untuk memulakan perjalanan. Faham dengan bahasa matanya itu, aku mula menghulur tangan kepada emak, berlaga pipi kiri dan kanan tiga kali sebelum memeluknya erat. Kemudian aku hulur tangan pada abah kemudian segera masuk ke dalam kereta sebab aku tak mahu menangis dihadapan emak kalau lebih lama aku berbalas-balas ucapan selamat tinggal.
 
Aku menjenguk ke luar tingkap bila kereta mula bergerak perlahan, emak sedang mengesat matanya dengan lengan baju. Abah menepuk-nepuk bahu emak sambil melambai ke arahku, aku membalas walaupun dah rasa sebak tengok emak menangis. Ishh.. ini yang tak suka ni, agaknya penyakit suka menangis aku ni berjangkit daripada emak ke apa?
 
Aku berhenti melambai bila kereta bergerak semakin jauh, dan mengeluh. Harraz menutup tingkap keretaku dan menoleh memandangku sekilas yang duduk di kerusi penumpang  di sebelahnya.
 
"Bukannya dah tak datang sini lagi..." Kata Harraz, mungkin memujuk tapi dalam nada memerli.
 
Harraz suka macam itu kan? Macam nak pujuk aku, tapi dalam masa yang sama dia sebenarnya sedang memerli aku.
 
"Boleh datang setiap bulan tak?" Soalku. Sengaja mengujinya.
 
"Boleh.. boleh.." Jawab Harraz perlahan, dengan pandangan matanya masih memandang ke hadapan.
 
Mataku bersinar-sinar, tak sangka yang dia akan jawab macam tu sebab aku fikir dia mesti akan cakap, 
"banyak cantik muka kau nak balik tiap-tiap bulan" atau mungkin "memang aku bos kat villa tu, boleh sesuka hati nak bagi kau balik kampung tiap-tiap bulan" atau lain-lain kata-kata sinis yang sewaktu dengannya.
 
"Betul ke boleh??" Soalku, dengan kedua-dua boleh tangan aku genggam dan aku letakkan bawah dagu, memandang Harraz dengan penuh rasa kasih dan sayang.. kononnya! Dan senyuman kegembiraan.
 
"Boleh... blah!" Jawab Harraz. Semasa perkataan 'blah' itu disebut, dia memandangku dan menjelirkan lidah.
Terus mati senyuman aku, hilang juga pandangan kasih dan sayang yang aku beri padanya tadi, diganti dengan muncung yang hampir panjang macam Donald Duck dan berpeluk tubuh sambil bersandar di kerusi, memandang terus ke hadapan. Tak puas hati dan geram.
 
"Menyampahlah cakap dengan awak ni!" Protesku.
 
Harraz ketawa. "Siapa suruh kau suka cakap dengan aku?" Balasnya, sarkastik.
 
"Dah! Tak nak cakap dengan awak dah." Aku buat gaya seperti aku menzip mulutku dan terus memandang ke luar tingkap.
 
Baru je ingat nak berbaik-baik dengan Harraz lepas dengar kisah sedih dia tu, tapi bila dia buat perangai tak berapa nak bagus dia tu, dah hilang mood aku untuk terus berbaik dengannya. Apa dengan aku pun dia anggap kawan yang hanya akan merosakkan hidup diakah?
 
"Elehhh.. macam budak-budak! Cuba jadi matang sikit Irin, kau tu dah 22 tahun. Kalau kahwin pun dah berderet anak kau dapat agaknya." Balas Harraz. Kata-kata itu membuat aku makin sakit hati.
 
Aku sensitif betul bab-bab kahwin ni. Lantaklah kalau orang lain dah dapat anak berderet pun, tapi aku tetap rasa umur 22 tahun adalah umur yang sangat tak matang untuk berumah tangga.
 
Penyudahnya aku diam dan Harraz diam. Dalam kereta menuju ke kuala lumpur yang jaraknya tak tahu nak kira entah berapa puluh kilometer dan tempoh masanya pun tak ingat nak kira sebab masa bertolak tadi lupa nak tengok jam. Yang aku tahu, jaraknya sangat jauh sehingga boleh membuatkan tulang belulang terasa sengal dan kejang.
 
Bila terasa penat dengan situasi dingin seperti itu, aku mula merangka soalan untuk aku tanyakan pada Harraz. 

Ok, sebab hati aku nak tau sangat tentang sejarah lampau Harraz, jadi boleh tak aku tanyakan saja tentang itu kepadanya?
 
Tanya? Tak payah? Tanya? Tak payah? Hati aku berperang samada patut aku tanyakan tentang hal itu atau tak payah, sempat aku mengerling memandang Harraz sekilas. Ingin melihat reaksi mukanya.
 
Biasa. Tak serius, tak masam, tak mesra.
 
"Kata tak nak cakap dengan aku, tapi curi-curi pandang muka aku. Apa kes?" Soal Harraz sambil mengjongketkan sebelah keningnya dan memandangku sekilas.
 
Aku telan air liur, terkedu. Tak sangka yang Harraz perasankan gerak-geriku. Haih.. mata dia tu, macam mata helang!
 
"Kenapa Irin? Kau nak cakap apa dengan aku??" Soal Harraz, seperti membuka ruang bicara untukku. 

Sekarang aku semakin dihimpit rasa serba-salah. Bukan apa, aku risau kalau dia tak suka aku tanyakan tentang hal ini.
 
"Pasal semalam?" Soal Harraz lagi. Tak memandang ke arahku.
 
Sebaliknya aku yang memandangnya lama.
 
"Eh, mana awak tahu? Awak ni tau je apa yang kita fikirkan, kan?" Kataku, spontan. Sekaligus telah memberitahu Harraz apa yang tersimpan dalam hatiku sejak tadi.
 
Tak semena-mena Harraz ketawa. Aku kerut dahi. Pelik.
 
"Kau tu.. bukan susah pun nak teka isi hati kau." Kata Harraz, seperti yakin benar yang dia sangat mengenaliku sampaikan nak baca isi hati aku pun bukan sesuatu yang sukar baginya.
 
"Ye ke??" Soalku, terkejut. Bukan apa kalau dah Harraz sendiri boleh baca isi hati aku, pastilah orang lain pun boleh kan?
 
"Hurmm... "
 
"Oh, so? Tak nak sambung ke cerita pasal semalam?" Ajuku.
 
"Apa yang kau nak tahu?" Soalnya.
 
"Ermm... apa yang awak buat sampai awak rasa yang awak ni anak derhaka?"
 
Harraz diam. Tumpuannya lebih kepada pemanduan. Tiba-tiba aku rasa macam dia takkan jawab pertanyaanku itu.
 
"Soalan lain!" Katanya, selepas menyepikan diri beberapa minit.
 
"Hurmm... ok, apa perkara paling teruk, paling tak elok yang awak pernah buat?" Soalku, mula menukar corak soalan lebih kepada gaya santai dan agak bodoh-bodoh.
 
"Paling teruk eh..." Harraz mengetuk-ngetuk stereng dengan jari, seperti sedang berfikir.
 
"Perkara yang paling teruk, yang aku paling menyesal, yang aku harap aku takkan buat lagi adalah..." Harraz membiarkan ayatnya tergantung.
 
"Adalah?" Soalku, tak sabar ingin tahu.
 
Harraz menoleh memandangku.
 
"Adalah.." Katanya lagi dan membiarkan ayat itu tergantung. Lagi.
 
"Adalah apa?" Soalku, tak sabar.
 
"Adalah tidur dengan perempuan!" Jawab Harraz lancar dan lantang.
 
Aku tersentap, terkedu, terdiam. Tidur dengan perempuan? Dalam banyak-banyak kesalahan kat dunia ni, kesalahan yang aku paling tak boleh terima adalah berzina, merogol dan penganiayaan terhadap wanita. Dan Harraz telah melakukan sesuatu yang sangat aku tak boleh terima dengan hati terbuka sekalipun apa yang dilakukan itu 'mungkin' dengan kerelaan pihak perempuan tersebut.
 
Hati aku tiba-tiba terasa pedih. Sakit!.
 
"Orang kata, kalau kita buat salah dengan Allah, kita masih boleh memohon keampunan darinya, tapi kalau kita buat salah sesama manusia dan manusia tu tak maafkan kita... " Harraz membiarkan ayatnya tergantung.
 
Aku diam, tak berniat untuk menyambung ayat itu atau membahas tentang tindakan Harraz. Aku tak ada suara lagi sekarang, aku sakit hati, aku geram. Kenapa mesti sampai tidur dengan perempuan?
 
"Apasal senyap? Tak ada soalan lain ke nak ditanya?" Soal Harraz, pelik dengan tingkahku yang tiba-tiba 
mendiamkan diri.
 
"Dah berapa ramai perempuan yang awak tiduri?.." Soalku, mendatar.
 
"Berapa?... Errmmm.... " Harraz mengira dengan jarinya. Terbeliak mataku bila melihat dia mengira lebih daripada sepuluh, biar betul Harraz ni??
 
"Dosa aku dengan Allah pun belum tentu dimaafkan, takkanlah aku sengaja nak buat dosa dengan manusia pula Irin..." Jawapan Harraz agak menyimpang daripada soalan yang aku tanyakan kepadanya tadi. Jarinya berhenti mengira dan kembali fokus pada pemanduan.
 
"Jadi maksudnya awak tak buat benda-benda terkutuk semua tu? Fuhh.." Soalku dan menarik nafas lega.
 
"Aku buat semua benda terkutuk tu, tapi yang aku tak buat cuma tidur dengan perempuan itu je." Harraz 
menjelaskan.
 
Ya, itulah maksud aku tadi. Tak apalah.. sekurang-kurangnya sekarang aku sudah berapa lapang dada. 
Mengetahui yang Harraz tidak meniduri perempuan lain bermakna dia tidak merosakkan maruah perempuan lain. Alhamdulillah..
 
Kami masing-masing senyap untuk beberapa minit. Aku memandang ke luar tingkap dan Harraz memandang terus ke hadapan.
 
"Irin..." Harraz memanggilku, aku menoleh ke sisi, memandangnya.
 
Harraz menoleh ke sisi memandangku sekilas bila aku tak menjawab panggilannya. Bila dilihat aku memandangnya sebagai isyarat menunggu soalan darinya, baru dia bersuara.
 
"Kau tak cam ke muka orang tua yang hantar kau ke sini dulu?"
 
Aku mengalihkan padangan ke dashboard kereta. Apakah misi untuk kembali ke masa lampau aku bermula sekarang? Tiba-tiba aku rasa malas nak hadapi perkara-perkara ini. Mengingati masa lampau itu bukan satu perkara yang mudah tahu?
 
Akhirnya, aku cuma mampu menggeleng. Susah nak ingat memandangkan perkara tu dah berlaku bertahun-tahun lepas dan ditambah pula aku hanya berjumpa dengan pak cik itu dalam tempoh yang singkat.
 
"Ok, kalau tak cam muka, takkan kau tak ingat bentuk badan dia? Dia tu tinggi ke.. kurus ke.. botak ke??" 
Soal Harraz lagi.
 
Aku garu kepala. Boleh tak kalau aku cakap yang aku memang tak ingat langsung?
 
"Kita..."
 
"Jangan cakap yang kau tak ingat langsung sedangkan kau tak cuba sungguh-sungguh untuk ingat pun!" Belum sempat aku berkata apa-apa Harraz terlebih dulu memberi amaran.
 
Aku mengeluh. Ketara sangatkah reaksi mukaku tentang apa yang aku fikirkan, sehinggakan Harraz boleh 
baca isi hatiku??
 
Aku memaksa fikiranku untuk kembali ke zaman semasa aku berusia lima tahun dahulu. Mencari-cari memori dimana aku dan pak cik itu didalam kereta. Ya, aku ingat situasinya, cuma aku lupa mukanya.
 
Aku pejamkan mata dan meletakkan jariku di pelipis kepala. Sedaya upaya aku cuba mengingat. Bila aku dapat sikit gambaran, terus aku katakan pada Harraz dan cuba untuk ingat gambaran seterusnya. Tiba-tiba aku terasa macam aku ni sedang hilang ingatan dan cuba untuk mengingati masa lampau aku.
 
"Dia pakai topi.. "
 
"Jaket kelabu."
 
"Badan dia besar, tegap, tinggi."

"Dia bagi kita gula-gula." Selepas mengatakan itu, aku terus membuka mata. Letih.
 
Tak ada apa-apa lagi yang boleh aku ingati. Semuanya kabur. Mungkin kerana masa tu aku memang tak beri tumpuan terhadap muka pak cik tu, bila aku asyik mencari dimana ibu dan ayah. 
 
"Takkan itu..." Harraz mula bersuara untuk mempertikaikan kemampuanku mengingati.
 
"Tolonglah Harraz jangan paksa kita. Bukan senang tau nak ingat semua benda sekelip mata!" Rungutku, rimas.
 
"Ok..ok.. " Kata Harraz, seperti baru tersedar akan keterlanjuran dia memaksaku. Penyudahnya, aku diam saja sepanjang perjalanan kerana mood aku tiba-tiba tak baik.

************************

 
"Assalamualaikum..." Aku terdengar suara atuk memberi salam semasa aku sedang berehat-rehat sambil menonton tv di bilikku, tadi Ros kata atuk ajak aku makan malam, tapi aku tak mahu keluar sebab aku penat 
sangat sampai hilang selera nak makan dan sekarang atuk pula yang datang ke bilik untuk ajak aku makan?
 
"Atuk..." Panggilku, menyambut kedatangan atuk dengan mempersilakannya duduk di sofa sebelahku.
 
"Tengok cerita apa ni?" Soal atuk, memandang lama di skrin tv cuba mengenalpasti cerita apa yang sedang aku tonton.
 
"Cerita korea.." Jawabku, sepatah.
 
"Cerita korea? Faham ke apa dia cakap?" Soal atuk, berlawak.
 
"Ada subtitles lah atuk.. tu ha, nampak ada bahasa melayu kat bawah tu." Kataku, tergelak.
 
"Atuk ingat Irin faham bahasa korea tadi." Balas atuk. Aku mencemik.
 
Kemudian atuk tepuk pehaku. "Kenapa tak makan?" Soalnya.
 
"Tak ada seleralah.. penat sangat duduk dalam kereta tadi, sampai hilang selera makan." jawabku, jujur.
 
"Tak lapar?"
 
"Tak. Lagipun Irin memang dah biasa tak makan."
 
"Dah biasa tak makan? Kenapa?" Soal atuk, berkerut dahinya.
 
"Malas! Hehe.."
 
"Huh.. nak makan pun malas. Patutlah kurus kering macam orang tak cukup makan."
 
"Tak apalah kurus, daripada gemuk terlebih makan, kan lagi susah."
 
"Iyalah tu."
 
"Iyalah!" Aku kembali memberi tumpuan ke arah cerita korea di tv, bila ada bahagian yang menarik. Buat 
sementara waktu, aku lupakan atuk yang berada di sebelahku dan menonton dengan begitu asyik sekali.
 
"Seronok kat kampung?" Soal atuk.
 
Aku mengangguk. Mataku masih belum lari dari memandang kaca tv.
 
"Harraz macammana?" Soal atuk lagi.
 
"Dia ok." Jawabku.
 
"Baguslah!" Balas atuk dengan helaan nafas lembut.
 
Dan saat itu fikiran aku tak lagi memikirkan tentang cerita korea ini sebaliknya, aku memikirkan tentang 
Harraz dan atuk. Kenapa atuk seperti risau sangat tentang Harraz semasa di kampung? Mungkin atuk tau 
sesuatu pasal Harraz tak?
 
Aku menoleh memandang atuk, lama. Dalam fikiran aku sedang merangka soalan yang patut aku tanyakan pada atuk.
 
"Kenapa pandang atuk macam tu?" Soal atuk, pelik.
 
Aku tersengih. "Err... Irin nak tanya sikit boleh?" Soalku, bermukadimah.
 
"Boleh..."
 
"Pasal Harraz." Kataku lagi.
 
Atuk merapatkan kedua-dua keningnya. Menunggu aku membuka cerita.
 
"Atuk tahu tak pasal sejarah silam Harraz?" Soalku.
 
"Semuanya dalam poket atuk, kenapa?"
 
"Kalau macam tu atuk mesti tahu kenapa mak Harraz meninggal kan?"
 
"Kenapa Irin tiba-tiba nak tahu ni?"
 
"Tak.. sebab masa kat kampung Harraz pernah cakap yang dia sendiri tak tau apa  punca mak dia meninggal, lepas tu dia cakap yang dia dah jadi anak derhaka. Irin peliklah, tapi bila Irin tanya lagi dia tak nak cerita pula. 

Kenapa ya atuk?" Soalku, penuh dengan rasa ingin tahu yang membuak-buak.
 
Atuk tarik nafas dan menghelanya perlahan. Kemudian atuk memandang aku yang sedang menangih jawapan darinya ini sebelum perlahan-lahan atuk ukirkan senyuman.
 
"Irin memang patut tahu sesuatu tentang Harraz jadi Irin takkan anggap dia musuh Irin lagi.." Kata atuk, seolah sudah bersedia untuk membongkar rahsia yang sangat besar tentang Harraz. Aduh, berdebar pulak rasa hati aku ni.
 
"Apa dia atuk? Cepatlah cerita..." Gesaku.
 
"Dulu Harraz anak yang baik.. tapi keadaan berubah bila dia mula masuk sekolah menengah, bila dia mula kenal dunia remaja, bila dia mula rasa yang dia dah cukup besar untuk buat keputusan dia sendiri. Dia jadi lupa diri.." Atuk hela nafas lagi. Berat.
 
Terkedip-kedip mata aku pandang atuk. Sabar menunggu lanjutan cerita seterusnya.
 
"Daripada budak baik yang tak pernah lawan cakap mak ayah, Harraz berubah jadi seorang anak yang suka melawan, suka memberontak, dalam diam rupanya dia dah belajar merokok, keluar malam, ponteng sekolah dan macam-macam lagi yang mungkin kami tak tahu." Tergeleng-geleng kepala atuk sepertinya dia sedang membayangkan peristiwa yang telah berlaku dulu.
 
"Lepas tu?" Soalku, tak mahu atuk berhenti bercakap dan termenung lagi.
Atuk tersenyum memandangku, "Amboi.. bukan main teruja nak tau pasal Harraz ya?" Usik atuk.
 
"Hihii.. cepatlah atuk.. cerita lagi." Gesaku, malu.
 
"Irin tau tak, masa mak Harraz meninggal, Harraz langsung tak tahu. Tiga hari dia keluar rumah tak balik-balik. Sebelum dia keluar, dia bergaduh teruk dengan mak dia. Punca pergaduhan menurut pembantu rumah masa tu, Harraz mengamuk sebab mak dia tak bagi dia keluar.. "
 
"Tapi apa punca mak Harraz meninggal?" Soalku, memotong kata-kata atuk. Memang itu yang aku nak tahu sangat pun.
 
"Jatuh tangga."
 
"Hah?" Aku terkejut. Jatuh tangga? Oh, dah ajal Irin..
 
Atuk tersenyum sinis. "Irin pun terkejut kan? Atuk dan pak cik Ghazi pun mulanya tak percaya punca arwah meninggal hanya kerana jatuh tangga, tapi yang jadi saksi masa tu.. atuk tak ingat nama dia, tapi pembantu rumah tu kata arwah nak kejar Harraz, masa kat tangga dia tersalah langkah dan terjatuh. Luaran memang nampak tak ada kecederaan apa-apa tapi luka dalaman dia yang teruk. Doktor sahkan lagi, yang arwah mungkin mati mengejut." 
 
 Aku terasa dada aku macam sebu dan sempit tiba-tiba. Jatuh tangga dan mati mengejut selepas bertengkar dengan Harraz dan Harraz langsung tak tahu selepas tiga hari? Besarnya dugaan yang Harraz terima..
 
"Habis? Harraz macammana?"
 
"Harraz macammana apa?"
 
"Macammana dia tau yang mak dia dah meninggal?"

"Dia tak tahu sehinggalah atuk cari dia dan bagitau. Tapi sampai sekarang dia tak pernah tanya dan tak pernah mahu tau apa punca mak dia meninggal sebab katanya, mengetahui tentang itu lebih menyakitkan."
 
"Kesian Harraz..." Luahku, dari hati.
 
"Lebih kesian lagi bila pak cik Ghazi langsung tak mahu mengaku Harraz ni anaknya, masa tu Harraz umpama anak terbuang, tolak ke kiri tak ada siapa yang mahu terima, tolak ke kanan, tak ada siapa yang nak sambut. Sejak tu, atuk saja yang ambil tahu tentang Harraz dan sejak tu, Harraz berubah jadi dingin dan pendiam."
 
"Oh.. patutlah. Tapi.. pak cik Ghazi dengan Harraz nampak ok je?"
 
"Ya, ok.. itupun selepas bertahun-tahun. Selepas Harraz betul-betul berubah dan menyesal dengan kesilapan lalunya, barulah pak cik Ghazi terima Harraz semula."
 
Aku terangguk-angguk. Fahamlah aku kenapa Harraz cakap yang dia anak derhaka. Memang apa yang dia buat itu terlalu besar dosanya. Memang dia anak derhaka! Mudah-mudahan sebelum emak dia meninggal, emak dia dah maafkan dosa-dosanya. Amin..
 
"Berat dugaan yang Harraz terima kan atuk?" luahku.
 
Atuk mengangguk. "Atuk tahu yang sampai sekarang pun dia masih simpan rasa serba-salah tu tapi dia tak pernah tunjuk yang dia lemah. Atuk yakin yang dia perlukan seseorang untuk dia luahkan masalah dia.. tapi atuk tak dapat nak tolong kalau dia sendiri tak mahu bercerita.." Luah atuk. Prihatin sungguh atuk tentang Harraz.
 
"Dia lelakilah atuk.. dia mesti kuat punya." Kataku, meluahkan pendapat.
 
"Lelaki ni Irin, bukan mahu menangis macam perempuan untuk luahkan perasaan, lelaki yang simpan masalah dia seorang diri ni lebih bahaya daripada perempuan yang menangis tiga hati tiga malam. Sekurang-kurangnya lepas menangis, hati jadi lega. Tapi kalau dah disimpan sorang-sorang masalah tu tak nak luahkan... atuk risau kalau dia jadi gila saja."
 
"Atuk.."
 
 "Betullah atuk cakap. Hehe."

"Takkanlah sampai boleh jadi gila?"

"Tak mustahil Irin.. sebab tu kalau boleh atuk mahu Irin jadi kawan Harraz. Sekarang pun atuk dah nampak banyak perubahan dalam hubungan Irin dengan Harraz, kamu berdua dah tak macam singa dengan tikus lagi, dan lepas ni mungkin Irin boleh jadi bahu untuk Harraz menangis pula. Boleh kan Irin?" Pinta atuk.

"Err..." Aku kelu. Mula-mula aku rasa macam nak merajuk dengan atuk sebab samakan aku dengan tikus, tapi lepas dengar permintaan atuk yang terakhir tu aku terasa macam... aku diamanahkan satu tugas yang sangat berat dan besar.

Pinjamkan bahu untuk Harraz menangis? 

Atuk tepuk peha aku dua kali kemudian dia bangun, menghadiahkan senyuman manis untukku sebelum atuk melangkah keluar.



p/s : Errrr.. terima kasih kerana menunggu! hehe..


Thursday, November 10, 2011

bab 25




Emak pandang aku, sebelum dia mula bersuara. “Sebenarnya.. bukan mak cik dengan pak cik yang jumpa Irin, tapi ada orang lain yang jumpa Irin dan bawa dia ke sini. Orang tu pesan suruh kami jaga Irin baik-baik. Orang tu pesan lagi yang mak ayah Irin dah tak ada. Irin anak yatim piatu dan tak ada tempat untuk dihantar, jadi orang tu minta jasa baik mak cik dan pak cik untuk jaga Irin.”
Harraz pula memandangku. Sebelum dia kembali memandang emak.

“Masa tu, Irin takkan tak ingat apa-apa mak cik?” Soal Harraz.

“Entahlah, masa tu Irin asyik panggil ibu dengan ayah dia je. Katanya ayah dia janji nak belikan kek.” Emak tiba-tiba tersebak. Mukanya berubah muram. “Rupanya hari tu, hari jadi Irin, mak cik dengan pak cik pujuk dia, belikan kek dan cakap kat Irin...” Emak mula mengalirkan air mata. Tiba-tiba aku sendiri pun ikut tersebak. Haishh.. aku bukan boleh tengok orang menangis ni.

“Sudahlah tu...” Kata Abah.

Harraz mula serba-salah. Dia sendiri nampak seperti tak tahu samada nak suruh mak berhenti bercerita atau teruskan saja. “Err.. mak cik.” Panggil Harraz, seperti ingin memujuk, tapi dia akhirnya hanya diam dan garu kepala.

Emak kesat airmata dengan lengan baju. Mak pandang aku dan menggamit aku supaya datang kepadanya. Aku bangun dari tempat dudukku dan menarik satu kerusi kosong di sebelah emak. Emak memeluk bahuku sebaik aku duduk, sambil mengusap rambutku.

“Masa tu, mak cik cakap kat Irin.. ibu dengan ayah dia dah tak ada. Emak dengan abah yang akan jadi Ibu dan ayah baru Irin.” Tangisan emak makin menjadi-jadi. Aku urut tangannya, cuba memujuk sedangkan aku sendiri tak reti nak pujuk.

“Irin memang budak baik, lepas mak cik cakap macam tu, dia langsung tak pernah tanya pasal ibu dengan ayah dia lagi. Dia terus jadi anak kami yang kami jaga baik-baik sampai dia besar. Sampai keluarga kandung Irin datang sini dan ambil Irin, mak cik masih anggap Irin adalah anak mak cik sendiri.” Kata emak lagi, berselang-seli dia bercakap sambil menahan hingus daripada keluar. 

Mendengar kata-kata itu, aku sendiri yang menangis. Sebak, terharu, gembira dan macam-macam perasaan lagi bercampur baur dalam hati. Penyudahnya, aku dengan emak macam berlawan-lawan menangis.
“Ish.. siapa yang pujuk siapa ni? Kalau dah dua-dua pun menangis..” Usik abah sambil ketawa. Aku turut tertawa dalam tangisan, lucu dengan keadaan diri kami. 

“Err.. maaf kalau saya tanya lagi.” Harraz teragak-agak untuk mengutarakan soalannya.

“Apa dia Harraz? Tanya sajalah.. mak cik tak apa-apa.” Kata mak dalam suara sengaunya. 

“Ermm.. siapa lelaki yang hantar Irin ke sini tu? Mak cik dengan pak cik kenal ke dia?”  Harraz nampak seperti ingin tahu benar tentang sejarah silam hidupku, sedangkan aku sendiri, tak pernah peduli dengan masa lampauku. 

Bagi aku, past is past, yang penting teruskan melangkah menuju ke masa depan yang belum pasti. Dan lagipun, mengingati masa lampau aku, sama seperti aku meletakkan diri aku dalam satu emosi yang sangat menyedihkan. Aku tak mahu menangis lagi semata-mata kerana aku terkilan dengan cara kematian ibu dan ayah.

Emak dan abah diam sambil berpandangan sesama sendiri. “Entahlah, sebenarnya mak cik dengan pak cik pun tak kenal lelaki tu. Tapi masa tu kami terserempak dengan dia masa kami dalam perjalanan nak balik dari kebun. Mula-mula dia nampak macam sesat dan dia macam nak tanya sesuatu pada kami, tapi tiba-tiba dia minta tolong kami jagakan Irin pulak.”

“Lepas tu, mak cik dengan pak cik terus terima macam tu je?” Soal Harraz. Lagaknya seperti tak puas hati dan tak sangka.

“Errr...” Emak pandang abah. Mungkin dia sendiri tak tahu nak jawab apa.

“Masa tu kami tak sempat nak fikir panjang bila tengok Irin tengah tidur dan lelaki tu nampak macam nak cepat pergi. kami lebih kesiankan Irin daripada memikirkan hal-hal lain.” Jawab abah.

“Ohh.. “ Harraz terangguk-angguk, seolah mengerti situasi abah dan emak ketika itu.

“Tapi...” Harraz ingin berkata sesuatu lagi tapi dia kelihatan serba-salah.

“Apa dia Harraz? Tanyalah, selagi kami boleh jawab, kami akan jawab.” Kata abah.

“Maaf, tapi saya cuma tertanya-tanya. Mak cik dan pak cik tahu tak yang berita kehilangan Irin ni tersebar hampir di seluruh Malaysia?” 

Emak dan abah berpandangan lagi. Mereka seperti sedang memikirkan tentang jawapan untuk soalan yang diutarakan oleh Harraz itu. Berkerut dahi abah.

“Pak cik tak pastilah. Lagipun dulu, kami memang tak tengok berita, rumah kami tak ada tv sehinggalah setelah setahun Irin tinggal kat sini, itupun sebab Irin yang asyik minta nak tv. Pada jiran-jiran pun kami cakap yang Irin ni anak angkat yang kami ambil dari pasangan orang susah. Lagipun pak cik memang dah lama kata nak ambil anak angkat, jadi bila pak cik jaga Irin, diorang tak banyak tanya lagilah" Jawab abah, tenang. 

Harraz diam dia seperti sedang memikirkan sesuatu. Dan perbualan kami hanya terhenti setakat itu bila abah akhirnya membuat keputusan untuk ke kebun memandangkan matahari mula menampakkan sinarnya.

*****************************

Aku kutip batu-batu kecil di kawasan tasik ini, mana yang cantik aku nak buat main batu seremban, mana yang buruk dan pecah, aku nak baling dalam tasik tu. Nampak sangat yang aku tak ada kerja, dan mencari kerja.

"Kau nak buat apa dengan batu-batu tu??" Soal Harraz dari arah pondok yang didudukinya. 

Aku menoleh sekilas. Melihatnya yang sedang duduk bersandar di tiang, dengan sebelah kaki kanan diluruskan dan kaki kiri dijadikan tempat untuk merehatkan lengan kirinya. Aku menghabiskan kutipan batu dan berjalan menuju ke arah Harraz, aku tolak kaki kanannnya perlahan sebagai isyarat untuk dia memberikan tempat duduk untukku.

"Kat sana ada tempat, duduklah kat sana.." Kata Harraz, tak mahu mengalihkan kakinya dan menyuruh aku duduk di tempat lain. 

Aku tolak jugak kaki dia kuat-kuat, aku nak jugak duduk kat sini. Harraz mengalah, ditegakkan kedua-dua kakinya dan kedua-dua lengannya diletakkan atas lutut. Aku tersenyum, bangga.

"Kita nak ajak awak main batu seremban ni, jom main!" Aku hamparkan batu-batu yang aku dah kutip tadi di atas pangkin ini dan duduk bersila menghadap Harraz.

"Batu seremban? Kau ingat aku ni budak perempuan ke nak main benda-benda macam tu? Heh.." Soalnya, tersengih sinis.

"Dulu masa kat sekolah, kita siap lawan-lawan main dengan budak lelaki lagi kot.. tak ada sesiapa kisah pun ini mainan lelaki ke mainan perempuan?" Kataku, sengaja ingin menunjukkan kepadanya bahawa permainan itu bukan kira jantina.

"Kawan-kawan lelaki kau tu mesti lembik! Orang mainlah, aci kejar ke, sorok-sorok ke, main bola ke.. ini, heheeh.. batu seremban? Tak macho langsung" Katanya lagi, masih ingin memperlekehkan permainan ini dengan mengatakan bahawa kawan-kawan lelaki aku lembik.

"Tak nak main sudah.. kita main sorang-sorang." Balasku, malas dah nak bertekak dengan Harraz semata-mata nak ajak dia main batu seremban. Buang air liur je.

Aku mula membaling batu satu persatu, ditemani Harraz dan tiupan angin sepoi-sepoi. Bila batu tu dah melantun ke atas, Harraz cepat-cepat sambut sebelum batu tu jatuh dalam tangan aku. 

"Harraz!" Marahku, tadi ajak main tak nak. Ini nak kacau orang pulak.

Batu yang disambut itu dicampak kepadaku, aku sambung main dan sekali lagi Harraz mengganggu. Aku jegil mata memandangnya. Harraz ketawa.

"Ingat aku takut sangatlah dengan muka garang kau tu? Hahaha... " 

"Sibuk je, awak kacau lagi siap!" 

Harraz mencebik. Konon tak takut langsung dengan ugutan aku. Aku buat tak tahu dan teruskan bermain, Harraz tak kacau lagi, dia senyap dan merenung aku membaling batu. Tiba-tiba rasa tak selesa bila dia asyik pandang. Ok, mungkin aku patut biarkan je dia kacau aku macam tadi daripada dia tenung aku macam orang ada masalah.

"Irin.. terima kasih!" Ucap Harraz tiba-tiba.

Serta-merta ayunan tangan aku yang rancak membaling batu terhenti. Sampai batu terakhir yang aku campak tadi pun aku lupa nak sambut balik sehingga membuatkan batu tersebut jatuh sipi-sipi di kepalaku. Aku mengelak, terkejut.

Tapi tak sangka yang refleksi spontan itu membuatkan Harraz ketawa berdekah-dekah sampai menepuk tempat duduknya. Alah.. lawak sangat ke aku terkejut pun?

"Ish.. dah la tu, janganlah gelak.." Kataku, malu. Cara Harraz gelak buat aku rasa malu, macam aku buat lawak bodoh yang wajib digelakkan.

"Irin.. Irin.. yang kau berhenti main tu kenapa? Nasib baik batu tu tak jatuh atas kepala kau, kalau tak.." Harraz menggelengkan kepalanya. "Heii.." Sambungnya lagi.

"Awaklah, yang tiba-tiba ucap terima kasih kat kita tu kenapa?"

Harraz terus berhenti ketawa, diganti dengan sengihan dan sisa-sisa tawa. Dia berhenti menepuk pangkin yang diduduki oleh kami ini, dia berhenti memandangku, sebaliknya dia duduk tegak dan bersila, dia berdehem dengan senyuman sinis yang masih belum hilang. Sebelum dia bersuara.

"Terima kasih sebab jaga aku masa aku demam, terima kasih sebab lumur air asam jawa kat kepala aku, terima kasih sebab kau sanggup tidur duduk semata-mata nak tengok aku. Tapi memang patut pun kau buat macam tu, sebab kalau bukan sebab aku, mesti kau terlantar atas katil seminggu sebab tak nak makan ubat dulu. So, fair la kan?." Katanya.

Aku terasa muka aku panas. Alamak, bukan masa tu dia tak sedar ke? Bukan masa tu dia meracau-racau dalam tidur ke? Bukan masa tu... 

Tidak! Masa tu, dia tau aku yang lumur kepala dia dengan air asam, dia tau masa tu aku yang risaukan keadaan dia, dia tau masa tu aku sampai tertidur kat sebelah dia. Ohh, malunya...

"KIta buat semua tu pun sebab kita rimas dengar suara awak meracau-racau je, rimas tau, orang nak tidur pun susah." Kataku, cuba menutup rasa malu disamping untuk mengelakkan Harraz daripada salah faham tentang perbuatanku. 

"Apa-apa sajalah Irin.. "

Aku sambung melambung batu. Harraz memerhatikan batu-batu yang aku lambung itu sebelum dia mengesot mendekati aku  dan menunggu sehingga aku berhenti bermain.

"Nak apa?" Soalku, sambil menyambut batu yang jatuh sebelum membaling batu yang lain.

"Nak main!" Jawabnya.

"Tadi kata tak macho main batu seremban. Ini kan mainan budak perempuan?" Perliku.

Batu yang baru ingin jatuh Harraz sambut dulu sebelum aku sempat menyambutnya. Semua batu-batu yang tinggal di atas pangkin dia kutip, batu yang ada dalam genggaman aku dimintanya.

Aku hulur juga dengan hati yang menyumpah-nyumpah Harraz. Kutuk orang bukan main, lepas tu buat muka tak malu nak main jugak!. Menyampah.

Aku perhatikan saja Harraz campak batu-batu itu satu persatu, pantas. Sekejap saja dia dah timbang batu dan kira jumlah markahnya sebelum dia kembali mengulang main dengan gaya 3.2.1.  Boleh tahan jugak Harraz main, tak nampak kekok langsung kot...

"Pandai main?" Soalku, berupa perlian.

"Tengok tanganlah.." Jawabnya.

"Hurmmm.." Aku mencebik. Terus mengalihkan pandangan ke arah lain sebab tak nak Harraz bangga dan perasan dia bagus kalau aku asyik perhatikan cara dia main. Tapi seketika kemudiannya, aku kembali menoleh memandang Harraz dan bertanya, 

"Eh, Harraz.. kenapa awak tanya kat mak macam tu tadi?"  

"Tanya apa?" Soalnya. Kepalanya didongak untuk melihat batu yang ingin jatuh. 

"Tanya pasal sejarah silam kita la.." Balasku. 

"Sebab aku nak tau.." Harraz campak lagi satu batu tinggi-tinggi. 

"Kenapa awak nak tau?"

"Kenapa? Tak boleh?" Tangan kanannya menyambut batu yang dibaling tadi.

"Bukanlah.. tapi, kita pun tak pernah ambil kisah tentang semua tu, awak pula yang lebih-lebih."

Harraz berhenti bermain. Dipandangnya aku dengan dahi berkerut.

"Tak pernah ambil kisah? Maksudnya kau langsung tak nak tahu siapa lelaki yang hantar kau ke sini dulu? Kau tak nak selidik, kenapa selepas 19 tahun baru atuk jumpa kau kat sini? Kau tak nak siasat, apa punca kemalangan ibu dengan ayah kau dulu?" Soal Harraz, bertubi-tubi.

Aku diam, fikiran aku sedang mencari jawapan sesuai untuk soalan-soalan itu.

"Tak! Kita tak nak tahu dan lebih baik kita tak tahu daripada kalau kita tau dan kita sakit hati, atau menyesal atau.. apa-apa saja perasaan yang boleh buat kita bersedih." Jawabku, sangat yakin dengan jawapan yang aku beri sambil mengutip batu-batu yang Harraz tinggalkan berterabur untuk aku sambung main.

Harraz mengeluh. "Kau tau tak Irin? Kau ni, manusia paling pelik aku pernah jumpa, manusia yang paling pemalas, paling penakut dan paling suka duduk dalam mimpi. Sampai bila kau nak terus duduk dalam zon selesa tu? Sampai bila kau nak simpan perasaan dan anggap yang semua yang berlaku adalah takdir sedangkan kau belum pun buat apa-apa, sampai bila Irina??" Nada Harraz mendatar tapi mampu membuatkan hati aku terasa pedih dan kecil hati, seolah dia cuba menyedarkan aku bahawa apa yang dikatakannya itu adalah sesuatu yang patut aku ambil peduli dan fahami.

Tapi aku tak mahu peduli dan tak mahu faham. Aku pekakkan telinga dan terus bermain seolah-olah apa yang Harraz cakap itu tidak langsung meninggalkan kesan di hatiku.

"Irina Imani!!" Batu-batu ditanganku Harraz tepis kasar, separuh darinya berterabur atas lantai. Kali ni aku betul-betul terkejut dengan tindakan spontannya. Matanya tak berkelip daripada memandang aku. 

"Apa?" Soalku. 

"Apa? Kau tanya aku apa? Kau sedar tak apa yang sedang berlaku dalam hidup kau sekarang ni? Kau sedar tak yang ada sesuatu yang kau patut cari dan fikirkan? Kau sedar ke tak Irin?" Soal Harraz, kini nadanya agak menaik, tapi masih dikawal agar tidak kedengaran seperti menengking. 

Aku menunduk, memandang lebihan batu yang jatuh di atas pangkin ini. Aku capai sebiji dan aku putarkan ianya dengan jari. 

"Cukuplah, kita dah jumpa atuk, dah jumpa keluarga kandung kita, apa lagi yang kita nak harapkan? Nak tanya kat atuk kenapa ibu dengan ayah meninggal? Nak salahkan takdir yang kita tak sepatutnya tercampak ke daerah ini dan hidup susah? Nak merintih dan menangis? Nak buat apa lagi?" Soalku, mula sebak. 

Entahlah.. kata-kata Harraz itu seperti cuba untuk menarik aku keluar dari zon selesa seperti yang dikatakannya tadi. Dia tak tahu, betapa aku cuba untuk pulihkan trauma dalam diri aku, dia tak tahu betapa aku menangis tiap-tiap malam sebab rindukan ibu dan ayah tapi aku tak pernah cakap kat emak dan abah, dia tak tahu.. betapa aku tertanya-tanya, betulkah aku masih ada keluarga lain? kalau ada, dimana mereka? Setiap hari, aku menunggu akan ada seseorang yang mengaku dia adalah saudara kandungku, datang untuk bawa aku pergi, tapi harapan hanya tinggal harapan kosong. Sehingga akhirnya, aku berhenti berharap dan menganggap mak dan abah adalah satu-satunya keluarga yang aku ada.

Dia tak faham....

"Kau perlu rungkaikan misteri yang membelenggu hidup kau selama ni, kau kena cari tau apa punca dan sebab atas semua yang berlaku. Bukan biarkan apa yang dah berlalu tu, pergi macam tu saja, sedangkan teka-teki dalam hidup kau pun masih belum dirungkaikan. Kalau aku sebagai seseorang yang cuma melihat pun dah terasa macam ada sesuatu yang tak kena, takkan kau yang alaminya tak rasa apa-apa langsung?" Bebel Harraz, panjang lebar. Sakit pula telinga aku mendengar.

Aku menggeleng. Air mata aku dah terasa macam nak tumpah. Sebelum aku menangis depan Harraz, baik aku angkat kaki dulu.

"Entah, biarlah.. malas nak fikir." Serentak kata-kata itu, aku bangun dan mengatur langkah meninggalkan pondok ini, niatku ingin terus puang ke rumah. Sempat aku kesat air mata yang mengalir. 

"Irin!" Aku terasa lengan aku ditarik supaya berhenti berjalan dan berhadapan dengan Harraz. Nak tak nak, muka aku yang hodoh sedang menangis ini terpaksa juga aku tayang untuk jadi tatapan Harraz yang sedang tergaman melihatku. Aku menundukkan kepala sambil berusaha untuk berhenti menangis sedangkan aku tahu, bila aku dah menangis jangan haraplah aku akan berhenti dengan mudah. 

"Jom.. kita duduk kat situ dulu.." Ajak Harraz, lembut. Seakan memujuk.

"Tak nak, nak balik." Aku memprotes. Aku ayun kaki selangkah ke hadapan. Tapi berhenti setapak kerana Harraz menghalang laluanku.

"Kau nak jawab apa pada mak abah kalau diorang nampak muka kau macam ni?" Soalnya. Sindiran berupa soalan.

Ya, betul juga tu. Takkan aku nak jawab yang aku bergaduh dengan Harraz sampai nangis-nangis macam pasangan kekasih yang baru putus hubungan? Memikirkan yang aku memang tak ada alasan logik untuk diberikan pada mak yang macam wartawan hiburan tu, maka aku berpatah balik dan duduk di atas rumput bawah pokok ketapang. Harraz duduk di sebelahku dan dia mengeluh beberapa kali. Macam dia pulak yang ada masalah besar sampai perlu mengeluh sebegitu.

"Aku tak nak kau jadi macam aku Irin. Menyesal pun tak guna." Kata Harraz tiba-tiba. 

Aku sebenarnya pelik juga dengar kata-katanya itu, tapi untuk membuka mulut dan menanyakan kenapa dia bercakap macam tu, rasanya memang agak mustahillah kot, memandangkan ego aku sekarang ni setinggi eifel tower!.

"Kau nak tau kenapa aku garang sangat dengan kau masa kita mula-mula jumpa dulu?" Soalnya, memandangku dari sisi. 

Dalam hati aku menjerit-jerit cakap nak! Nak!. Tapi kat mulut aku senyap je. Mengangguk tak, balas pandangan dia pun tak. Aku terus pandang arah tasik sambil kesat air mata yang turun macam hujan lebat.
Harraz ketawa. Perlahan.

"Tak nak tau sudah, aku pun malas nak cerita.." Katanya. Seperti sengaja nak main tarik-tarik tali dengan aku pulak. 

Ish..

"Cakap jelah!" Kataku, tak puas hati. Mestilah aku nak tahu. Seumur hidup, belum pernah aku jumpa manusia yang garang, baran, sombong dan maha pelik macam Harraz yang 'dulu'. Harraz yang terbaru ni macam dah baik sikit. Tak garang macam dulu dah.

Harraz ketawa lagi. Lucu agaknya melihat gelagatku, sebelum dia berdehem beberapa kali dan cuba untuk serius. Akhirnya dia membuka hikayat Iman Harraz, untuk diperdengarkan kepadaku... 

"Urrmmm... dulu aku ada ramai kawan, kawan masa susah, kawan masa senang. Tapi sayangnya, aku tersalah pilih kawan. Melalui diorang, aku belajar hisap rokok, melalui diorang, aku belajar merempit, melalui diorang, aku belajar melepak kat kelab, melalui diorang, aku belajar ponteng sekolah, melalui diorang, aku belajar jadi anak derhaka..." 

"Kau bertuah Irin, sekurang-kurangnya masa ibu dengan ayah kau pergi, kau bukan anak derhaka pada diorang, tapi aku.. masa mak aku meninggal, aku dah pun jadi anak derhaka pada dia. Masa mak aku pergi, aku tak sempat pun nak mintak ampun, apalagi nak tengok jenazah dia untuk kali terakhir. Heh.."

"Entah aku patut salahkan kawan atau salahkan diri aku sendiri. Tapi masa tu aku tak fikir yang aku salah, aku fikir kawan-kawan aku yang jadi punca mak aku meninggal, kawan-kawan aku yang jadi punca aku jadi anak derhaka. Dan sejak itulah.. aku tak pernah ada kawan, apalagi mahu berkawan. Bagi aku, kawan hanya akan membawa aku ke arah kehancuran."

"Lepas tu dapat pulak tugasan kena jaga kau, si budak kampung yang tak dengar cakap. Memang buat aku naik angin jelah kan?" Harraz tersengih menyindir sambil memandangku. 

"Jadi, sebab kawan-kawan awak dan punca kematian emak awak.. awak terus benci orang lain?" Soalku, ego sudah aku tolak ketepi. Cerita Harraz lebih menarik untuk aku terus korek dan selami. 

Harraz mengangguk. 

"Tapi bukan pasal itu yang aku nak tekankan kat sini. Kau patut tau yang aku tak pernah tau apa punca mak aku meninggal sehingga ke hari ini sebab aku takut nak hadapi hakikat, yang mungkin aku adalah penyebab kepada kematian emak. Akibatnya? Sampai sekarang aku tak pernah rasa aman dan rasa serba salah tu terus menghantui aku. Perit perasaan tu Irin, aku tak mahu kau pun rasa apa yang aku dah rasa.."

"Sebab tu aku nak kau luahkan segala yang terpendam dalam hati kau, cari apa misteri yang mungkin ada pada sejarah hidup kau, rungkaikan. Jadi kau akan lebih mudah teruskan hidup tanpa rasa tersekat lagi."
"Habis? Kenapa awak tak cuba cari tahu punca kematian mak awak? Takkan awak pula sanggup hidup dalam keadaan serba salah sampai bila-bila?" Soalku.

"Samada aku tau atau tak tau, hakikatnya tetap sama.. Aku anak derhaka." Jawab Harraz, selamba.

Aku ternganga, tak tau apa yang patut aku katakan lagi. Agaknya apalah kesalahan paling besar yang Harraz telah lakukan sehingga dia menggelarkan dirinya anak derhaka?

"Jadi kau nak ikut cakap aku atau berkeras dengan kehendak kau?" Soalnya kepadaku.

"Awak nak kita buat apa?"

"Patah balik ke belakang, dan betulkan balik apa-apa yang tak betul tu." Jawab Harraz, berkias.
"Maksudnya?"

"Maksudnya kita balik dulu, lepas tu nanti kita plan sama-sama" Harraz bangun dan mengibas-ngibas punggungnya. 

"Jom!" Dia mengajak, bila aku masih tidak bangun dari tempat dudukku.

Err.. mungkin aku patut ikut je apa yang Harraz cakap tu, daripada aku peningkan kepala aku fikir apa yang aku sebenar-benarnya patut lakukan. Aku turut bangun dan berjalan beriringan dengan Harraz menuju ke rumah. 

Betulkan balik apa-apa yang tak betul dulu?                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                   


p/s : Salam, aku dah.. (Aku? Kurang ajarnya.. oklah, kite!.) kita dah senaraikan nama-nama yang join Segmen Review Tuan Muda Iman Harraz kat sebelah kanan blog ni, di bahagian bawah sekali untuk yang belum join segmen tu dan tak reti nak buat macammana boleh klik kat nama-nama glamour tu untuk buat rujukan atau saja-saja baca. Sekarang baru ada tiga, kita harap sangat kalau lebih ramai yang join sebab rupanya baca review korang sangat seronok! Dan buat kita sedar kat mana kelebihan dan kelemahan cerita ni. Paling best bila korang main teka-teka apa ending cerita nih. Hahahaaa.. so sweet!

btw, lepas baca rajin-rajinlah komen, boleh? *Hakhak.. melampau kau mia, mintak lebih-lebih!*