http://img10.imageshack.us/img10/7733/contactm.png

Monday, May 21, 2012

cerpen : manik-manik cinta




            Sejak seminggu yang lepas aku rasa macam aku dah kehilangan kehidupan sosial bila setiap hari, setiap masa tak kira siang ataupun malam aku asyik menghadap kain, benang, gunting, tali tape, dan mesin jahit. Ini semua disebabkan tempahan baju-baju pengantin yang aku terima dari Lina, si mak andam yang baru membuka butik pengantinnya.
            Ok, aku bukan nak mengeluh si Lina hantar kain yang banyak untuk dibuat baju-baju pengantin untuk butik dia, tapi aku cuma rasa aku agak tertekan bila dia perlukan tiga pasang baju dalam masa dua minggu. Mana nak kejar dengan tempahan-tempahan yang lain, dengan kain yang belum dipotong, dengan masalah-masalah lain yang mungkin timbul, dengan itu, dengan ini dan dengan semua perkara berkaitan.
            Disebabkan itu, kadang-kadang aku rasa macam nak buang air besar pun tak sempat!
            “Nida…. Baju dah siap?” Soal Lina, tersengih-sengih datang ke kedaiku dan bertanyakan tentang bajunya.
            Ya aku tahu yang dia perlukan baju-baju pengantin ini secepat mungkin, tapi bila dia datang ke kedaiku dan bertanyakan tentang bajunya, secara tak langsung, itu telah membuatkan aku rasa semakin tertekan. Sekalipun dia tidak mendesak.
            “Belum sayang…manik pun tak jahit lagi ni..” balasku sambil menjahit zip pada baju pengantin yang berwarna biru muda.
            Semalam aku baru saja siapkan dress labuh warna ‘merah-jambu-belacan’ hari ni aku dah kena hadap dress warna biru pulak. Siap dress ni, kena hadap baju akad nikah warna krim pulak. Dan seterusnya sehinggalah semua baju-baju dia selesai dijahit.
            “Agak-agak bila boleh dapat? Customer aku nak tengok baju ni..” Soal Lina, tidak bernada mendesak dalam soalannya tapi dalam dia tak sedar aku sedang merasakan otot-otot dan urat-urat badanku mula mengeras dan mengejang, kesakitan paling terasa di bahagian leher.
            Aku berhenti menjahit dan memandang Lina, lalu bertanya kepadanya dalam nada suara yang perlahan dan lemah.
            “Kau nak minggu depan kan??”
            “Ha’ah.. minggu depan. Saja je aku tanya kau bila boleh siap, kot-kot boleh siapkan lebih awal ke..” balas Lina, selamba.
            “Minggu depan insyaallah siaplah..” kataku dan kembali menyambung kerja yang terhenti tadi.
            Kalau ikutkan hati nak je aku cakap yang aku cuma ada dua tangan, ada masa dua puluh empat jam dan ada tanggungjawab sebagai seorang pemilik kedai jahit dan bertindak sebagai si tukang jahit yang ada dua orang pekerja dan aku perlu memotong kain untuk dijahit oleh pekerja-pekerjaku dan Lina bukanlah satu-satunya pelanggan yang aku ada.
            Tapi kerana dia adalah pelanggan aku, maka aku harus menjaga hati dia sepertimana aku menjaga hati pelanggan-pelanggan aku yang lain. Customer’s always right kan?
            “Minggu depan hari jumaat kan?” Soal Lina kembali.
            “Insyaallah hari jumaat.” Balasku.
            Aku tak yakin yang aku mampu siapkan ketiga-tiga helai baju pengantin Lina ini pada hari yang ditetapkan memandangkan aku seorang yang harus lakukan semuanya dari kerja memotong kain, sehinggalah ke menjahit manik. Bukanlah Qila dan Nik pekerjaku tak boleh tolong jahitkan tapi memandangkan ini baju pengantin, aku rasa lebih selesa dan selamat kalau aku sendiri yang jahit, tambahan pula kalau dah kami bertiga tumpukan perhatian pada baju-baju pengantin ni saja, nanti siapa pula yang nak siapkan baju pelanggan-pelanggan yang lain kan?
            Tapi itulah pula masalahnya bila Lina selalu fikir yang aku bekerja hanya untuk memikirkan tentang baju dia saja..

*****
            Pada pagi yang panas dan sunyi, yang kedengaran cuma bunyi mesin jahit dan suara Farah, Faizal, AG dan Ucop di corong radio Hot fm dan aku sedang menjahit manik pada dress biru, seseorang memberi salam dan masuk ke dalam kedai. Seorang perempuan yang ayu dan manis sedang tersenyum-senyum memandang aku.
            “Saya nak tempah jahit manik pada baju bertunang saya ni boleh tak?” Soal gadis itu.
            Aku dah terkelu, nak terima rasa macam dah tak mampu. Nak menolak..
            “Saya bukan nak pakai cepat pun, hujung bulan ni baru nak guna..” katanya lagi dengan reaksi muka seperti sedang memancing aku agar menerima tempahan bajunya.
            “Ohh.. ok!” tanpa sedar rupanya perkataan itu yang aku sedang ucapkan kepadanya lalu membuatkan dia tersenyum lebar dan Qila melakukan apa yang sepatutnya macam mengambil nama dan nombor telefon juga mencatitkan tarikh untuk dia ambil bajunya dan aku kembali tenggelam dalam misiku untuk menyiapkan baju pengantin si Lina…
            Segala tentang apa yang berlaku disekelilingku pada hari itu langsung tidak aku ambil kisah bila aku betul-betul terasa macam aku sedang terbenam bersama-sama manik yang berwarna warni. Dua hari lagi sebelum hari jumaat dan aku masih belum siap pasang manik pada dress biru ini sedangkan kain layah dan baju akad nikah warna krim itu pun masih belum aku sentuh.
            Disaat begini aku benar-benar berharap agar aku diberi masa 30 jam sehari supaya aku punya lebih banyak masa untuk makan, tidur dan solat kerana selain solat, aku betul-betul tak bangun dari kerusiku mahupun mengangkat kepala untuk melihat jam pun!

            Dua hari kemudiannya…

            Lina datang ke kedai dengan harapan baju-baju yang dimintanya sudah siap serba sempurna manakala aku sedang tertidur di mesin jahitku kerana terlalu penat dan tak lalu untuk bangun.
            “Ini apasal tidur kat tempat kerja ni? Woit.. tunjuklah contoh yang baik sikit pada pekerja wehh..”
            Aku terjaga dari lena bila terasa badan aku dicuit-cuit. Mata aku berpinar-pinar memerhatikan sekeliling. Aku gosok mataku perlahan dan menguap.
            “Hemm.. baju kau dah siap tu..” kataku dengan suara yang tak berapa nak keluar. Sekali lagi aku menguap. Mengantuk sangat! Malam tadi pukul 4 pagi baru aku tidur semata-mata nak siapkan baju nikah warna krim, itupun nasib baik manik pada veil Nik tolong jahitkan, kalau tak aku tak taulah pukul berapa pula baru aku tidur dan pagi ni aku dah kena bangun awal untuk bukak kedai.
            Sepanjang lapan tahun aku jadi tukang jahit sejak berumur 18 tahun sehingga kini 25 tahun, ini kali pertama aku terima ‘tugasan’ yang sangat, sangat, sangat mencabar kredibiliti aku sebagi seorang tukang jahit.
            Pertama, aku tak pernah jahit baju pengantin sebelum ini dan tiba-tiba disuruh buat mengikut rekaan dalam majalah tanpa ada guru yang mengajar mahupun apa-apa tutorial, aku memberanikan diri memotong dan menjahit kain-kain itu sehingga ianya berjaya kelihatan seperti pakaian pengantin di dalam majalah itu.
            Kedua, dahlah tak pernah buat, tiba-tiba kena siapkan dalam masa yang singkat pula  tu. Sekarang aku tak tau samada aku patut ucap terima kasih pada Lina kerana telah memberi aku pengalaman yang sangat mencabar ini atau memintanya supaya berhenti meminta khidmatku untuk menjahit baju-baju pengantinnya lagi?
            “Pandai pun kau jahit, perfect! Marvellous! Sebiji macam yang aku nak. Nanti aku hantar lagi kat kau eh? Hari tu aku pergi makeup wedding anak Dato’, dia punya baju warna biru tua dengan gold, smart weh.. aku ingat nak buat la sepasang warna tu..”
            “Biru gold?” Soal Nik dengan dahi yang berkerut.
            Aku menguap. Telinga aku memang mendengar yang kombinasi warna itu agak pelik, tapi mulut aku tak larat untuk bertanya dimanakah cantiknya kombinasi kedua-dua warna itu,
            “Ha’ah.. biru bukan macam biru ni.. “ ditunjuknya dress biru muda yang dah siap dipegang ditangan bersama dua lagi baju yang aku jahit itu.
            “Tapi biru dia pekat lagi, macam warna balai polis. Kan biru pekat tu kan.. hah biru itulah, kain lace dia letak warna gold. Perh.. mesti smart gilalah..”
            “Eee… ye ke.. macam pelik je?” Sangkal Nik, masih tidak yakin yang kombinasi kedua-dua warna itu akan menghasilkan sesuatu yang ‘smart’ bak kata Lina.
            “Pelik sebab orang jarang guna warna tu, tapi kalau dah siap nampak ok.. nanti aku beli kain, bla, bla, bla..”
            Butir-butir perbualan mereka yang seterusnya dah tak  masuk ke telingaku lagi. Aku kembali melentokkan kepala dia tepi mesin jahit dan sekejap saja aku dah terlena kembali. Bukan masalah aku untuk memikirkan warna biru dan gold itu sesuai atau tidak untuk dijadikan gaun baju pengantin.

*****
            Bermula dengan tiga helai kain yang Lina mintak aku jahitkan ia agar menjadi gaun pengantin yang cantik dan menawan, kini menjadi bermeter-meter kain yang pelbagai warna dan kombinasi kain lace yang Lina hantar ke kedaiku. Dengan setiap kain adalah dengan rekaan yang berbeza.
            “Baju coklat ni aku nak kau buat macam ni..” ditunjuk gambar baju pengantin yang dipakai oleh entah model mana kepadaku dan meminta aku menjahit kain itu sama seperti gambar di dalam ipadnya, atau kalau tak dapat sebiji-sebiji serupa, lebih kurang serupa pun boleh..
            “Untuk songket pula aku tak mahu macam songket yang biasa orang pakai baju kebaya tu je, aku nak buat songket moden. Kau tambah lah bunga-bunga kat badan dia, pastu buat dress tau. Baru glamour pakai songket tapi ala-ala dress... kelasss kau jah!”
            “Songket moden? Design sama dengan baju coklat ni ke?” Soalku, sekadar untuk kepastian.
            Sampai songket pun nak dimodenkan?. Memang kelaslah kau Lina, semua benda nak yang up to date aje, upah pun kena yang up-to-datelah macam ni.
            “Design… ha’ah, buatlah sama pattern tapi nanti bunga-bunga kat badan dia janganlah kau bagi duduk kat tempat yang sama jugak, ubah-ubah la sikit bagi nampak lain sikit..”
            “Iya aku taulah. Kau tak payah nak mempertikaikan kretiviti aku sebagai tukang jahit, aku taulah macammana aku nak buat nanti. Lagi? Baju mana pulak?”
            “Iyalah, aku cakap aje, bila masa aku pertikaikan kretiviti kau… eh, cakap pasal kretiviti, nak tau baju biru yang kau jahit hati tu customer aku suka gila, wedding dia bulan depan dia nak pakai baju tu.”
            “Iya? Tema dia apa? Biru merah?” Soalku, lebih kepada memerli Lina.
            “Biru merah apanya pulak.. biru pinklah. Dia dah tempah nak ambil full package dengan aku.”
            Oh.. biru pink? Nasib baik biru dan merah jambu itu adalah satu gabungan yang sudah biasa digunakan, so taklah terlalu janggal bila membayangkan kombinasi kedua warna itu.
            “Baju warna biru pelamin warna pink ke?” Soalku, berminat ingin tahu bagaimana Lina mahu memadankan kedua-dua warna itu.
            “Baju dah tentulah biru, pelamin je aku ingat nanti nak gabungkan dua-dua warna tu, pelamin, bunga dengan bantal campur dua-dua warna. Tapi mungkin  nak lebihkan warna pink bagi naik sikit warna baju yang diorang pakai, kalau tak tenggelam pulak pengantin karang.”
            Membincangkan topik ini tiba-tiba aku mula berminat untuk berkongsi perkahwinan impian aku pada Lina.
            “Kalau aku, aku teringin nak buat warna putih je. Orang panggil off white kan? Pastu buat kat taman, pasang khemah dengan kain latar putih, yang berwarna pun bunga-bunga je, waaaa.. mesti smart kan? Kan?” aku dah tersengih-sengih memandang Lina dengan mata yang bercahaya.
            Kalaulah impian betul-betul jadi kenyataan.. haish alangkah indahnya.
            “Ha’ah, lepas tu buat tak tepi tasik, angin bertiup kencang, habis terbang semua nanti, lagi haru bila tiba-tiba hujan pulak turun… oh, alangkah indahnya pengantin bersanding dalam hujan..”
            Hilang mataku yang bercahaya tadi bila mendengar sumpahan yang Lina lemparkan dalam angan-anganku tadi.
            “Eeee.. kau ni boleh tak sekali sekala jangan rosakkan angan-angan aku? Cubalah cakap yang hari itu cuaca sangat redup dan baik, hujan tak turun, angin tak bertiup kencang sehingga menerbangkan segala benda yang ringan dan aku bersanding dalam majlis ringkas dalam gaun warna putih dan segalanya berjalan dengan lancar. End of story! Kan?”
            “Masalahnya memandangkan kau tinggal kat Malaysia yang cuacanya tak menentu, nak tak nak kau kena fikir jugak tentang keberangkalian hujan atau panas ni semua.. satu lagi, kalau pakai baju warna putih, buat kat taman.. tak ke baju kau akan jadi lebih cepat kotor?”
            Dan sekali lagi Lina menyuntikkan racun dalam impian perkahwinanku.
            “Ok, malas nak fikir.. next! Baju kau yang lain tu nak fesyen macammana pulak?” Aku menukar topik. Aku takkan biarkan Lina terus memusnahkan impian perkahwinanku dengan idea dan kebarangkalian dia tentang struktur tanah dan lokasi taman bunga pula.
*****
            Jika ditanya apa yang aku suka tentang bidang jahitan (walaupun pada awalnya aku belajar menjahit sebab emak yang paksa kerana aku malas nak sambung belajar dan dalam kepala otak aku waktu itu cuma ingat tentang kerja, kerja, kerja dan mahu memegang duit sendiri) hanyalah..
            Kepuasan!
            Selepas seminggu bertungkus lumus bekerja menjahit baju-baju pengantin, dengan tak cukup tidur, tak lalu makan dan tak sempat rehat sampaikan bila tengok butir-butir manik tu pun dah buat aku rasa macam nak termuntah, tapi bila melihat baju hasil penat lelah aku itu dipakai oleh seorang perempuan pada hari bersejarahnya, rasa penat itu terbang melayang diganti dengan satu kepuasan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
            Ianya seperti kepuasan bila kita membeli sebuah kereta myvi setelah bertahun-tahun sanggup mengikat perut semata-mata untuk mengumpul bayaran untuk duit muka kereta.
            Dan satu lagi sebab adalah kerana ia membuatkan aku jadi teringin nak pakai baju-baju pengantin ini.
            Pernah satu hari tu aku saja-saja cakap pada Lina..
            “Asyik jahit baju pengantin je, aku pulak yang jadi teringin nak pakai.”
            Kemudian Lina memandangku dengan reaksi muka terkejut dan seakan-akan tak percaya.
            “Apa??” soalku, tak selesa melihat expresi mukanya.
            “Hari tu kau cerita pasal wedding kat taman dengan tema warna putih, hari ni kau cakap pasal teringin nak pakai wedding dress pulak. Aku rasa lain kali kalau aku datang balik mesti kau cakap pasal konsep hantaran dan konsep pelamin pulak..”
            Aku campak lebihan kain yang ada di tepi mesin jahitku ke arah Lina. Suka-suka hati dia je nak cakap macam tu. Ni perli aku ke apa ni?
            Lina tergelak suka, diikuti Nik dan Qila. Seronok betul diorang nak bahan aku ya..
            “Betul tak Nik? Qila? Dulu aku datang hantar kain dia cakap pasal angan-angan dia yang semua putih tu. Ni aku datang nak tengok perkembangan baju, dia bercakap pasal teringin nak pakai baju pengantin pula, esok-esok aku datang nak ambil baju mesti dia nak cakap pasal hantaran dengan pelamin pulak, lepas tu make up, lepas tu tempat honeymoon.. kah, kah kah…” Galak Lina ketawa.
            Aku tarik muncung lalu menyambung kerja-kerja menjahitku yang terhenti kerana kemunculan Lina ke sini tadi.
            “Kalau dah tak sabar sangat kawin jelah Nida oii..”
            “Ha’ah.. memang nak kawin tu senang, petik je jari berderet yang datang meminang, lepas tu mencurah-curah duit turun dari langit, nak buat kenduri tiga hari tiga malam dengan baju berpasang-pasang pun tak kisah kan…” kata aku bernada sarkastik.
            “Eh, cop! Kau tak ada pak we ke Nida?” Soal Lina, didekatkan kepalanya ke kepala mesin jahitku. Menanti jawapan balas dari aku.
            Aku diam. Tetap terus melakukan kerjaku. Malas nak jawab soalan yang selalu sangat ditanya oleh orang-orang sekeliling macam mak cik, nenek, sepupu dan kawan-kawan seangkatan.
            “Nik?” Lina memandang Nik menagih jawapan, tapi Nik cuma tersenyum dan mengjongketkan bahunya.
            Mungkin faham dengan isyarat badan Nik itu, Lina terangguk-angguk mengerti dan berkata perlahan..
            “Oh, tak ada pak we…”
            Aku angkat kepala, memandangnya sekilas. Dia membalas pandanganku dengan senyuman. Entah apalah yang difikirkannya itu.

****
            “Tett.. tet.. tett..tet..” Tidur aku terganggu dengan bunyi isyarat mesej yang datang dari telefon bimbit yang aku letak di bawah bantal. Rasanya dah lama tidur aku tak diganggu dengan bunyi telefon berbunyi kecuali pada pukul enam pagi pada tiap-tiap hari kerana jam loceng yang aku setkan supaya berbunyi untuk mengejutkan aku solat subuh.
            Dengan mata yang tak berapa nak terbuka, aku buka peti simpanan mesej dan membaca nota ringkas yang tertera di skrin.
            “Hai Nida! Dah tidur ke?”
            Aku gosok mata berkali-kali dan cuba membaca pesanan ringkas itu kembali untuk memastikan yang aku tak tersalah baca. Betul! Mesej itu ditujukan untuk aku cuma datangnya dari nombor yang tidak aku kenali.
            Antara untuk membiarkan saja mesej itu dan sambung tidur, naluri aku lebih kuat untuk membalas mesej itu dan mencari tau siapakah gerangan si manusia yang menghantar soalan-tak-matang ini kepadaku.
            “Dah tidur ke?” jam menunjukkan ke  angka satu pagi, memang dah sah-sah la manusia normal yang bekerja keesokkan harinya sudah tidur. Apalah..
            “Sorry, saya tak kenal nombor awak. Siapa ni?” Soalku.
            Beberapa minit kemudian telefon bimbitku kembali berbunyi. Datangnya dari nombor yang sama. Cepat betul dia membalas mesejku.
            “Memang awak tak kenal nombor saya, kita baru nak berkenalan. Btw, nama saya Hashim. Selamat berkenalan!”
            Seorang lelaki yang entah dari mana datangnya tiba-tiba kata nak berkenalan dengan aku pada pukul satu pagi? Manusia manalah yang menjual nombor aku ni..
            “Sorry, tapi saya tak kenal awak dan tak pernah terfikir nak berkenalan dengan mana-mana lelaki termasuk awak yang bernama Hashim. Dari mana awak dapat nombor saya?”
            Aku tak ada masa nak terus-terusan bermain teka-teki dan melayan lelaki ini lalu mengorbankan masa tidurku. Dahlah aku sendiri pun dah kurang masa berehat, takkan masa tidurku pun masih ada yang mahu curi?
            “Oh.. tapi ada seorang kawan tu cakap kat saya yang awak nak cari teman lelaki. Kebetulan saya pun sedang cari calon isteri sebab tu saya hubungi awak.”
            Sekarang aku betul-betul dah ternganga seluas-luas yang ada. Bila masa aku pernah cakap pada sesiapa yang aku mahu cari teman lelaki ni? Pada adik beradikku? Diorang sendiri sedia maklum akan prinsipku yang tak suka dikenen-kenenkan dengan mana-mana lelaki. Pada sepupu-sepapatku? Tak pernah dan tak akan pernah! Habis? Siapa punya kerja?
            “Siapa nama kawan awak tu?”
            Soalku terus kepada si Hashim ini. Tak sanggup untuk terus berteka teki lagi.
            “Lina…” Balasnya.
            Lina? Dan fikiran aku serta merta terus teringatkan perbualan kami beberapa hari lepas dan bagaimana Lina tersenyum bila mengetahui yang aku tak ada teman lelaki dan… sekarang aku faham kenapa Lina tersenyum begitu.
            Ini rupanya agenda dia ya…
            Dan selepas itu aku langsung tak membalas pesanan si Hashim tu sebaliknya terus sambung tidur. Aku berharap yang Lina akan datang ke kedaiku esok jadi bolehlah aku terjah dia habis-habisan.

****
           
            Aku menanti dengan penuh kesabaran dan pengharapan moga-moga Lina datang ke kedaiku hari ini, tak sabar-sabar rasanya nak terjah dia dengan soalan bertubi-tubi macam kenapa kau bagi nombor aku pada sang lelaki yang aku tak kenal? Kenapa kau pandai-pandai nak buat keputusan bagi pihak aku? Kenapa? Kenapa? Kenapa?
            “Tet.. tet.. tett..” telefon bimbitku berbunyi. Satu mesej diterima. Aku menekan butang baca dan nama Hashim tertera di skrin.
            “Hai awak.. buat apa tu?”
            Terus aku rasa bulu romaku macam meremang. Aku tak tau kenapa tapi aku rasa macam tak sedap hati bila lelaki ini menghantar mesej sebegitu padaku. Entah kenapa!
            “Korang.. korang nak tau tak, malam tadi akak tengah tidur, dalam pukul satu macam tu ada orang hantar mesej kat akak. Dari nombor yang akak tak kenal, bila dirisik-risik dia cakap nama dia Hashim.. lepas tu.. lepas tu nak tau takkkk??”
            Qila dan Nik memandangku tidak berkelip, begitu teruja dan bersemangat untuk mendengar kisahku.
            “Lepas tu apa?? Ceritalah cepat..” pinta Nik.
            Aku tarik nafas panjang-panjang dan menghembuskannya deras sebelum aku mula menyambung cerita.
            “Korang mesti tak percaya kalau dengar cerita akak ni..” sengaja aku melambat-lambatkan sesi bercerita, konon nak bagi suspen pada diorang berdua yang lebih muda daripada aku ini.
            “Akak ni.. cerita jelah…” rungut Qila pula.
            “Ok, tapi sebelum tu korang ingat tak akak pernah cerita dengan Lina pasal wedding impian akak masa dia datang hari tu yang dia punyalah kutuk itu ini, tak sesuai segala bagai tu?”
            Qila dan Nik serentak mengangguk. Laju.
            “Hah.. akak sangat, sangat, sangat tak sangka yang rupanya dia nak kenalkan akak dengan entah lelaki mana tapi lelaki tu namanya Hashim dan dialah yang hantar mesej pada akak malam tadi.”
            Qila dan Nik terdiam beberapa saat sebelum Nik akhirnya mengeluarkan suara dengan reaksi “Oh.. so?”
            “So? So kau tanya? Dia jual nombor akak pada entah lelaki mana yang akak tak kenal kot??”
            “Itu maksudnya dia nak kenalkan akak dengan lelaki itulah tu, akak layan je lah, lagipun akak bukannya ada pak we kan?” Soal Qila.
            Aku mengeluh. Aku bercerita pada orang yang salah ke? Oh, mungkin diorang tak faham, bukan prinsip aku untuk berkenalan dengan mana-mana lelaki sembarangan. Tambah-tambah lagi bila perkenalan itu dimulakan dengan bersms, berchatting, bercakap di telefon sebelum berjumpa.
            Satu sebab yang pasti kenapa aku tak suka perkenalan seperti ini adalah kerana salah satu pihak pasti akan menaruh harapan terhadap pihak satu lagi. Contoh :-
            Satu, aku pastilah mengharapkan kalau lelaki itu tak kacak macam No Min Wo si pelakon korea tu pun, sekurang-kurangnya biarlah dia mempunyai rupa paras yang sedap mata memandang macam Remy Ishak ke..
            Dua, aku mungkin tak dapat atau susah untuk terima hakikat bila pada pertemuan pertama kami, sang lelaki itu rupa-rupanya seorang lelaki yang ‘comel’ dengan pipi yang tembam, perut yang kedepan, kaki yang dua kali ganda lebih besar dari diriku, tangan yang juga dua kali ganda dari diriku. Ok, bukanlah nak cakap yang aku sangat pentingkan kesempurnaan dan paras rupa, tapi kadang-kadang kita tak sedar yang kita telah meletakkan harapan yang terlalu tinggi terhadap seseorang itu.
            Kerana itu aku cuba menjauhkan perkenalan ‘suara’ sahaja. Cuba kalau aku berjumpa dengan seorang lelaki comot yang bekerja di workshop dengan mukanya dipalit dengan minyak hitam dan badannya berbau peluh dan dia menghulurkan salam perkenalan, agak-agaknya aku akan terima ke?
            Satu, kalau aku terima adalah kerana dia cuma menghulurkan salam perkenalan dan pakaian dia bukanlah sesuatu yang perlu aku ambil peduli.
            Dua, kalau aku menolak. Mungkin kerana waktu itu aku seorang mata duitan ataupun sesuatu seperti itu.
            Tapi sekurang-kurangnya aku masih boleh membuat keputusan yang rasional pada saat si lelaki comot itu menghulurkan salam perkenalan. Menerima atau menolak? Tapi kalau suara sahaja yang menghulurkan salam perkenalan… aku mungkin sedang membuat keputusan yang separuh-separuh macam “alah, layan jelah. Bukan kenal pun. Entah-entah encemmm..” kalau betul-betul sedap mata aku memandang tak apalah lagi, cuba kalau si dia tak menepati kriteria yang aku harapkan? Kan ke dah timbul masalah kat situ.
            “Assalamualaikum…” Lina muncul di muka pintu kedaiku semasa aku sangat-sangat ternanti-nantikan kedatangan dia.
            “Lina!” jeritku.
            “Apa? Aku baru masuk kau dah pandang aku macam nak dibaham tu kenapa?” soal Lina dengan dahi berkerutnya sambil menarik kerusi dan duduk di hadapanku. Kedududkan kami cuma dipisahkan dengan sebuah mesin jahit elektrik.
            “Apa yang kau dah buat pada aku?” Soalku, sengaja ingin berkias dengannya. Nak lihat samada dia akan mengaku atau buat-buat tak tahu?
            “Buat apa babe? Suruh kau jahitkan baju pengantin untuk butik aku banyak-banyak? Alah, bukannya aku tak bayar.. nanti dah siap baju kau jahit aku bayarlah babe, jangan risaulah!”
            Aku memandang Lina tajam-tajam. Ini sengaja buat-buat tak tau ke apa ni?
            “Apa? Betullah, apa lagi yang aku dah buat kat kau selain tambahkan kerja-kerja kau sampai kau terpaksa tidur kat meja mesin jahit? Nik.. apa aku dah buat?” Soal Lina kepada Nik.
            “Entah.. tak nak masuk campur..” balas Nik sambil menjahit baju kurung pahang.
            “Qila!” Lina beralih memandang Qila, mengharapkan pertolongan darinya pula. Oh, tolonglah Lina.. sangat tak kelakar bila kau pura-pura buat muka tak bersalah kau tu.
            “Kita tak tau apa-apa..” balas Qila selamba.
            “Hentikanlah lakonan tak menjadi kau tu Lina… siapa si Hashim tu?” Soalku.
            “Hashim? Hashim mana pulak ni?” Lina tersengih-sengih.
            “Bila masa aku mintak tolong kau carikan seorang lelaki yang sedang-mencari-calon-isteri untuk aku ni?”
            “Taklah.. hari tu kan kau sibuk bercerita pasal your-wedding-day-dream, pasal baju pengantin yang kau teringin nak pakai tu then kau cakap kau tak ada pak we. Kebetulan, si Hashim ni kawan abang aku, dia pun tengah mencari calon isteri.. so aku terus terfikirkan kau sebab aku ingat yang kau mungkin dah bersedia nak kahwin tapi belum jumpa calon lagi. So.. itulah, aku fikir mungkin korang akan serasi bersama. Seorang mencari calon isteri, dan seorang lagi mencari teman untuk merealisasikan majlis perkahwinan impiannya. Sesuai gitu kann??”
            Aku mendengus kuat. Aku tak sangka sampai ke situ si Lina ni fikirkan.
            “Lina sayang… bila aku cakap aku teringin nak pakai baju pengantin, aku tak maksudkan yang aku mahu kawin cepat-cepat dan berkias yang konon-kononnya aku harap kau carikan calon suami utk aku. TERINGIN dan INGIN adalah dua makna yg berbeza okeh...."
            “Yalah.. dari cara kau cakap nampak macam kau dah tak sabar-sabar sangat nak kahwin. So daripada kau buang masa mencari teman lelaki yang belum tentu serius nak kahwin dengan kau, ada baiknya kau kawan je dengan si Hashim ni, umur dah tiga puluh, dah ada kerjaya tetap, dah ada rumah dan kereta, yang tak ada calon isteri je. Kalau kau kahwin dengan dia, memang aku yakin majlis perkahwinan impian kau pasti jadi kenyataan…”
            Sekali lagi aku mengeluh, berat.
            “Lina.. Lina.. kau ingat hal kahwin ni cukup dengan dapat calon suami yang dah ada aset dan kerja tetap saja ke? Bagi aku perkahwinan lebih daripada itu. Ia bukan macam jahit manik yang kalau aku tak puas hati dengan rekaannya, aku boleh bukak balik dan jahit semula dan lagi, dan lagi sehingga akhirnya aku jumpa rekaan yang aku paling suka dan paling sesuai untuk baju itu. Aku tak nak pakai baju pengantin dua tiga kali, naik pelamin dengan tema berbeza berkali-kali dan aku tak mahu bertukar-tukar suami macam tukar design manik pada baju.."
            “Tapi kau belum pun kenal si Hashim ni, manalah tau dia Mr, Right yang kau cari-cari selama ni?”
            Aku menggeleng. Bukan nak berlagak atau apa, tapi aku dapat rasa yang dia bukan soulmate aku walaupun kami belum bertemu.
            “So, nanti kau cakaplah kat dia, berhenti sms aku ya.. aku belum terdesak untuk berkahwin.” Putusku. Titik!

****

            Aku sampai lambat ke kedai pagi itu kerana aku terlambat bangun. Semuanya gara-gara aku mengisahkan kain-kain untuk dibuat baju pengantin Lina, sesampainya aku ke kedai ada seorang lelaki sedang menunggu di situ. Qila dan lelaki itu memandang aku manakala aku terpinga-pinga tak tau apa punca.
            “Kak.. dia datang nak ambil baju ni, tapi akak tak jahit lagi..” Qila menayangkan sehelai baju kurung moden berwarna krim kosong kepadaku.
            Tiba-tiba aku macam blur. Bila masa ada orang hantar baju tu minta aku jahitkan?
            “Jahit apa, tu dah siap dah..” balasku.
            “Jahit manik.. dia nak pakai untuk majlis tunang.. “
            O’ooo.. aku tekup mulut dengan jari. Terasa serba-salah. Sungguh aku langsung tak ingat apa-apa pasal baju ni.
            “Oh.. sorry sangat-sangat, saya.. saya.. entahlah tapi saya memang betul-betul tak perasankan baju ni. Majlis pertunangan awak bila? Kalau saya siapkan sekarang awak boleh tunggu?” soalku kepada lelaki ini.
            Aku rela menadah telinga jika dia mahu memanahku dengan anak panah berupa kata-kata yang menusuk pedih jantungku. Aku redha.
            Tapi sebaliknya pula yang berlaku bila dia cuma tersenyum mesra kepadaku. Dan melihat senyuman itu tiba-tiba aku rasa seperti badan aku ringan sampaikan ingin terbang ke udara.
            “Ada hikmahnya saya datang ke sini lebih awal.. baju ni nak dipakai hujung minggu ni, hari ahad dan sebenarnya bukan saya yang nak bertunang, tapi adik saya. Dia pesan suruh saya datang ambil esok tapi saya tergerak hati nak datang hari ni. Jadi awak masih ada masa seharian untuk siapkan baju ni” katanya, panjang dan lebar tapi tak ada satu perkataan pun yang benar-benar melekat kat dalam corong telingaku selain adik dia nak bertunang.
            “Jadi esoklah saya datang ambil?” soal lelaki ini, anak matanya menembusi anak mataku.
            Tiba-tiba aku seakan-akan baru tersedar dari lamunan yang panjang.
            “Esok? Jumaat? Ha…. Ok! Ok!” balasku, entah apa yang dikatakan tadi entah, aku pun tak berapa pasti.
            “Oklah, maaf ganggu.. saya balik dulu. Assalamualaikum” katanya sambil menghadiahkan senyuman manis untukku.
            Err.. sebenarnya senyuman dia taklah manis mana pun tapi pada mata aku senyuman dia nampak macam ada aura. Macam senyuman seorang lelaki budiman. Macam.. Anuar Zain! Bukan.. bukan muka dia macam Anuar Zain, tapi senyuman dia..
            “Kak Nidaaaaa…” aku seakan tersedar kembali apabila Nik menjerit memanggil namaku.
            “Ha? Apa? Kenapa?” soalku, terpinga-pinga dan keliru. Rupanya aku masih lagi berdiri di tengah-tengah ruang diantara pintu dan tempat letak Tv, manakala badanku menghadap ke arah pintu dan lelaki budiman itu tidak ada lagi di luar sana. Kelibatnya sudah hilang tapi aku lagi yang masih belum hilang berkhayal.
            “Akak menungkan apa tu? Dari tadi Nik dok panggil akak tapi akak tak dengar, apa yang difikirkan tu??”
             “Hah.. tak ada.. akak tengok tu.. eh kau panggil akak kenapa?” aku cuba mengelakkan daripada membukan cerita tentang lelaki itu lalu menukar topik perbualan.
            “Ini.. tolong tengokkan betul ke Nik jahit ni? Rasa macam pelik je..”
            Aku berjalan ke arah Nik yang sedang duduk di mesin jahitnya.
            Haish lelaki dengan senyuman menawan, kenapa tiba-tiba aku boleh teralit melihat senyuman kau??. Kes berat aku ni!

*****
           
            “Sorry sangat, sangat sebab buat awak terpaksa menunggu, saya cuba siapkan cepat-cepat ya..?” ajuku kepada lelaki yang mahu mengambil baju pertunangan adiknya semalam.
            Semalam bila melihat senyuman menawam dia tu, aku langsung tak mendengar dengan jelas yang katanya dia mahu ambil baju ini hari ini, jadi aku memang tak sentuh langsung baju ini sejak semalam.
            Pagi tadi bila Qila menegurku dan bertanyakan tentang baju itu sudah aku jahit atau belum dan Qila mengingatkan yang lelaki itu mahu ambil hari ini, barulah aku kelam kabut nak siapkan, nak dijadikan cerita masa aku tengah kalut menjahit itulah dia muncul dengan senyuman senget ke tepi dan menampakkan lesung pipitnya yang menambahkan kemanisan pada senyumannya.
            “Tak apa.. tak perlu kelam kabut, saya boleh tunggu..” katanya, kedengaran ikhlas di telingaku. Dia lalu melabuhkan punggung di kerusi yang aku sediakan berhadapan dengan tv.
            Sekarang sepenuh tumpuan aku berikan pada baju ini. Memandangkan baju ini kosong, sekosong yang ada, jadi aku perlu menambah manik pada bahagian leher yang meleret sampai ke dada untuk menaikkan seri baju berwarna krim ini.
            Dan menjahit sulaman meleret-leret itu bukanlah satu kerja yang mudah. Kalau dapat kerja yang sebegini paling cepat yang aku pernah siapkan pun dalam masa tiga hari. Itu termasuk makan, mandi, buang air, tengok tv, bersembang, sempat jahit baju lain dan potong kain untuk Qila dan Nik jahit.
            Tapi sekarang.. bayangkan yang aku perlu hadap baju ini tanpa sempat untuk mengalihkan mata sesaat pun, bila handset berbunyi pun aku biarkan dengan harapan baju ini dapat disiapkan segera mungkin.
            Tapi ada satu perkara saja yang mampu buat kepala aku kejap-kejap terangkat. Iaitu lelaki itu. Setiap kali aku angkat kepala memandangnya, dia akan membalas pandanganku sambil tersenyum. Aku juga membalas dengan senyuman yang kelat sebab tiba-tiba aku jadi tak reti macammana nak senyum.
            Keadaan sebegitu berterusan sehinggalah entah berapa puluh minit atau jam kemudian, aku simpulkan benang terankhir, dan lebihan benang itu aku gunting sekaligus membuat penilaian terakhir terhadap pakaian itu sebelum aku boleh menarik nafas lega.
            “Baju dah siap! Akhirnya…” kataku sambil bangun dan menuju ke arah lelaki yang masih belum aku ketahui namanya ini.
            Lelaki ini tersenyum meleret lagi. Senyum tanpa membuka sedikit pun mulutnya. 
            “Alhamdulillah.. “ ucap lelaki ini buat aku tersipu-sipu malu.
            Ya, sepatutnya haruslah ucap alhamdulillah, bukan ‘akhirnya’.
            “Cantik awak jahit, walaupun buat last minit tapi masih kemas” puji lelaki ini. Eh, eh, cara dia cakap macam dia pandai je menghargai seni jahitan. Ke ayat nak membodek je ni?
            “Ehem.. terima kasih..”
            “Saya bukan puji sembarangan, tapi saya bercakap berdasarkan fakta, hihi..” guraunya sambil ketawa perlahan. “Berapa ya?” soalnya kembali.
            “Ermm…” aku menimbang-nimbang harga yang patut aku letakkan. Memang aku siapkan last minit tapi baju ni dah dihantar lebih awal kepadaku, jadi memang tak adillah kalau aku nak kira harga ‘last minute’ tapi kejang jugak tangan aku menjahit tadi.. patut mintak harga lebih jugak ni, tapi..
            “Berapa je yang awak letak saya akan bayar..” katanya seperti boleh membaca fikiran aku pula.
            “Ermm.. RM50” putusku akhirnya.
            Dia mengeluarkan duit dari beg duitnya manakala aku memasukkan baju dari tangannya itu ke dalam beg plastik. Kami bertukar barang. Lelaki ini masih berdiri di depanku, kelihatan dia seperti ingin berkata sesuatu kepadaku, secara tak langsung membuatkan aku juga terkaku di hadapannya, menunggu sesuatu keluar dari mulutnya.
            “Datanglah ahad ni, pukul 12 tengahari.”
            “Oh.. insyaallah” balasku
            Dia mengangguk. “Oklah.. terima kasih untuk baju ni, adik saya mesti suka”
            “Sama-sama.. kirim salam kat adik.”
            “Baiklah,” dia kemudiannya buat isyarat dengan jari menunjuk ke arah pintu dan kakinya melangkah setapak, ”saya balik dulu.. assalamualaikum.”
            Aku mengangguk dan menjawab, “waalaikumsalam.
            Sehingga kelibat dia hilang dari pandangan barulah aku berpaling memandang Nik dan Qila dan saat itu aku rasa macam aku nak buat dua perkara je, samada nak menjerit dan melompat ataupun nak terus pengsan.
            “Kak Nidaaaaa…. Ya Allah kak.. tadi masa akak menjahit dia pandang akak tak berkelip!” belum sempat aku memutuskan apa yang aku patut buat, Nik telah dulu membuatkan aku semakin keliru sebab tiba-tiba aku rasa macam sedang tersengih melebar pulak.
            Ok, menjerit, pengsan atau senyum je?
            “Ha’ah.. lepas tu bila kitorang pandang dia, baru dia tersenyum-senyum malu pandang tempat lain.” Sampuk Qila pula.
            “Haaaahhhh.. tiba-tiba akak rasa macam nak pengsan..” aku meletakkan belakang tanganku di atas dahi sambil buat-buat lembik dan terus terduduk di atas kerusi hitam tempat dimana lelaki tadi duduk.
            This is what I call, I want get married!

****
            Kerana kesibukanku dengan baju-baju pengantin Lina, hampir setiap malam aku terpaksa datang ke kedai untuk menyelesaikan semua kerja-kerja untuk hari esok seperti, potong kain untuk dijahit oleh Qila dan Nik esok, jadi esok aku dah boleh tumpukan perhatian pada baju-baju pengantin Lina saja.
            Pukul lapan aku datang, pukul sembilan aku berhenti untuk solat Isya’ dan bila jam menginjak ke sepuluh malam, aku berhenti. Teringat pesan mak tadi yang tak benarkan aku pulang lewat. Pukul sepuluh mesti dah kena tutup kedai.
            Aku tinggalkan semua kerja yang aku buat tadi, beg aku capai, suis lampu aku tutup, semasa nak mengunci pintu tiba-tiba ada seseorang yang memberi salam di belakangnya. Terkejut aku dibuatnya. Tapi bila aku menoleh..
            “Waalai..kum..salam..” sepatah-sepatah salam itu aku jawab. Lelaki ini?
            “Malam-malam pun datang kedai?” Soalnya diiringi senyuman menawan itu.
            “Ha’ah.. banyak kerjalah..” jawabku, cuba menenangkan diri lalu menarik roller besi itu turun sambil dibantu oleh dia, walaupun aku tak suruh.
            “Datang seorang diri je? Kalau banyak kerja takkan pekerja tak datang tolong sekali kot?” Soalnya sambil dia menghulurkan tangannya, meminta mangga kunci daripada aku, tanpa banyak soal aku hulurkan saja dan membiarkan dia memangga roller besi itu.
            “Terima kasih” ucapku untuk pertolongannya itu. “Saya tak bayar gaji over time untuk pekerja jadi saya sendiri kenalah buat kerja lebih masa..” balasku, sebagai jawapan kepada soalannya tadi.
            “Oh.. memang bos yang sangat berdedikasi. So, tiap-tiap malamlah datang sini?” Soalnya lagi. Kini kami sedang berjalan ke arah kedai runcit yang terletak berhampiran dengan kedaiku.
            “Selalunya tak, tapi sebab sekarang terlalu banyak kerja, jadi terpaksalah datang jugak.. yelah orang kerja sendiri, kenalah kerja kuat sikit..”
            Lelaki ini mengjongketkan keningnya. Mengakui kata-kataku, “So nak terus balik ke ni?”
            “Ha’ah.. mak dah pesan balik awal.. kenapa?” Soalku.
            “Taklah, ingat nak ajak awak minum-minum dulu ke.. “
            Aku memandang ke sisi, cuba menyembunyikan senyumanku, “tak bolehlah.. nanti mak saya risau pula. Siang-siang boleh, itupun kalau saya tak sibuklah..”
            Dia garu belakang kepalanya dengan sebelah tangan lagi dia sembunyikan dalam kocek seluar tracknya.
            “Urmmm.. tak apalah kalau macam tu, maksudnya lain kali waktu siang hari, dan bila awak tak sibuk, bolehlah ya?” soalnya..
            Aku tersenyum lalu mengangguk. Ah, bibir ni asyik nak tersenyum je.
            “Saya balik dulu?” aku menunjuk ke arah kereta yang aku parkir dihadapan kedai runcit ini. Sengaja aku parkir di tempat terang, mudah dilihat orang.
            Dia mengangguk dan mempersilakan aku menuju ke keretaku. Tapi baru saja aku ingin menuruni satu anak tangga, dia memanggilku..
            “Awak..”
            Aku menoleh.
            “Saya lupa nak tanya, nama awak apa?”
            “Nida.. awak?”
            “Haris..”
            Aku senyum lagi lalu terus masuk ke dalam kereta dan memecut laju sebab aku rasa tak selesa bila dia masih berdiri di situ dan memerhatikanku.
            Ok, aku terasa jantung aku berdegup kencang lagi!

***
             “Ada si Hashim tu mesej kau lagi?” soal Lina.
            Hari itu dia datang bukan untuk melihat perkembangan terkini baju-bajunya tapi dia cuma mahu bertanyakan perkembangan terkini diantara aku dan si Hashim itu.
            Aku menggeleng. Sejak aku bertemu Haris aku langsung tak teringat langsung tentang Hashim dan aku tak peduli samada dia mesej aku ataupun tidak.
            “Aku dah cakap kat abang aku.. tapi aku tak taulah pula apa yang Hashim tu cakap balik pasal kau..” kata Lina lagi.
            “Dia nak cakap apa pun, bukannya kitorang ada apa-apa. Kalau aku tolak dia sekalipun apa dia nak buat? Hakikatnya kami memang tak ada apa-apa hubungan ataupun kaitan kalau bukan disebabkan oleh kau, kan?” sengaja aku berkata begitu untuk mengenakan Lina. Jadi lain kali dia perlu beringat yang bukan semua orang suka blind date!.
            “Alah.. niat aku baik apa, aku cuma nak tolong kau.. manalah aku tau yang kau tak suka cara macam ni..” rungut Lina perlahan.
            “Alah kak Lina, kak Nida dah tak pandang lelaki lain dah, dalam kepala dia tu ada sorang je yang dia ingat..” Nik mula mengusik aku.
            Aku pandang Nik sambil ketap bibir. Kenapalah Nik ni suka bocorkan rahsia aku...
            “Hah? Siapa? Siapa? Kata tak ada pak we?”
            “Memanglah tak ada pak we, tapi ni pak we baru jumpa..” balas Nik.
            “Nik Zaihasra…” aku memanggil Nik dengan nama penuhnya.
            “Pak we baru jumpa? Ohhh.. patutlah tak nak pada si Hashim tu, rupanya dah ada yang bertakhta di hati..”
            “Tak payah nak bertakhta di hati sangatlah, bolehkan…”
            “So, siapa lelaki tu? Dah ada rasa yang dialah lelaki yang kau mahu pilih tema warna baju pengantin sama-sama, pilih konsep perkahwinan sama, dah yakin yang dialah design manik yang kau takkan tanggal lagi?” soal Lina. Aku jadi keliru untuk menafsirkan maksud soalan dia samada dia memerli atau dia memang ‘memahami’ apa yang aku cari selama ni?.
            “Aku tak taulah, tapi yang pasti bila aku tengok dia, aku rasa macam manik-manik cinta tu bersinar-sinar… sampai silau mata!” balasku separuh jenaka.
            “Manik-manik cinta la pulak.. apa-apa pun yang penting, kalau nak kahwin jangan lupa cari aku, biar aku yang uruskan wedding kau.”
            “Diskaun mesti ada aa..” usikku.
            “Pasti..”

****

            “Dah lama menjahit?” Soal Haris.
            Ketika itu kami sedang duduk di kedai makan mak cik Kama yang tak jauh dari barisan kedaiku. Aku sedar yang kerja-kerjaku di kedai masih bertimbun tapi kalau nak tunggu sehingga semua kerja-kerja aku selesai memang entah bilalah baru aku ada peluang nak keluar minum dengan Haris, jadi pelawaannya pada hari ini tidak aku tolak sebaliknya aku terima dengan hati yang terbuka.
            “Lama jugaklah, dah hampir lapan tahun..”
            “Wow! Lama juga tu. Minat menjahit ke?” Soalnya.
            Aku tergelak lalu menggeleng. “Dulu mak yang suruh, lepas tu bila dah masuk dalam bidang ni takkan nak berhenti terus kan, so teruskan jelah. Lama-lama pun datang minat dan sampailah sekarang, dah ada kedai sendiri.”
            Haris terangguk-angguk. Aku nampak ada reaksi kagum pada reaksi mukanya.
            “Awak.. kerja apa?”
            “Saya kerja biasa-biasa je.. berniaga jugak, tapi jual hardware komputer. Oh, kalau awak nak tau mak saya tukang jahit juga, kadang-kadang kalau bosan saya tolong mak saya menjahit.” Cerita Haris dengan sengihan yang menampakkan giginya.
            “Oh.. ye ke?” aku terkelu. Patutlah cara dia macam faham je dengan dunia seorang tukang jahit.
            Dia mengangguk. “Mak mertua mesti sayangkan awak kalau awak kahwin nanti”
            “Kenapa pula?”
            “Sebab golongan emak-emak ni suka kalau perempuan pandai menjahit, sayangnya adik perempuan saya tu tak minat menjahit..”
            Aku tersenyum cuma.
            “Tambah-tambah lagi kalau mak mertua awak tu si tukang jahit juga…” dan ayat terakhir yang keluar dari mulut Haris itu kedengaran perlahan tapi jelas di telingaku.
            Jantung aku berdegup lagi. Dup, dap.

****

            Aku masih ada masa dua bulan dari sekarang dan baju putihku masih belum siap dijahit. Aku masih ada masa dua bulan dari sekarang dan aku masih belum pilih jenis dan warna bunga yang aku mahukan. Aku masih ada masa dua bulan dari sekarang, dan aku masih belum memilih lokasi yang sesuai dan strategik untuk majlisku itu. Aku masih ada masa dua bulan dari sekarang dan aku masih belum memilih kad yang aku berkenan. Aku masih ada masa.. aku masih ada masa..
            Empat patah perkataan itu sajalah yang aku sematkan dalam kepala. Aku. Masih. Ada. Masa. Sedangkan hati aku dah gundah gulana, jiwa aku dah resah gelisah kerana aku masih belum jumpa tema yang sesuai untuk majlis perkahwinanku nanti.
            Aku dah membeli kain warna putih susu untuk aku jahit sendiri baju pengantinku, tapi aku masih belum jumpa rekaan yang aku mahu.
            Aku dah melihat-lihat bunga segar yang sesuai digunakan untuk tema majlis dalam taman, tapi aku masih keliru samada untuk menggunakan bunga ros atau guna saja bunga-bunga lain macam carnation atau… atau.. oh aku sudah semakin pening.
            “Tinggal dua bulan sebelum majlis kau berlangsung tapi satu benda pun kau belum tentukan lagi. Memang nak cari bunga segar tu senang macam nak pilih ikan kat pasar. Memang kau sorang je pelanggan aku yang aku nak kena fikirkan. Memang kau..” Lina dah mula membebel bila dilihatnya aku masih menyelak-nyelak majalah sejak lima belas minit yang lalu dan tidak memberikan apa-apa respon terhadap pertanyaannya.
            Aku tutup majalah dan aku pandang Lina dalam-dalam. Cuba mencari sesuatu di wajah hitam manis itu. Sesuatu yang aku sendiri tak pasti apakah ianya, tapi hati aku mencari sinar keikhlasan di wajah Lina ini.
            “Kalau aku serahkan seratus peratus kecuali baju aku, tentang majlis ni pada kau, boleh tak kau janji yang kau akan tunaikan impian aku?” soalku kepadanya.
            Lina dah ternganga mulut sambil menunjukkan jari telunjuk ke mukanya sendiri. Seakan tak percaya dengan apa yang aku katakana.
            “A..a..aku? Kenapa aku?” soalnya.
            “Sebab majlis tinggal dua bulan dari sekarang dan aku masih belum buat keputusan untuk semua benda sebab aku terlalu harapkan kesempurnaan. Aku tau yang aku tak boleh buat semua ni kalau aku mahu majlis perkahwinan aku berlangsung dua bulan dari sekarang” balasku, yakin.
            Yakin yang Lina mampu menguruskan majlis ini sebaik-baiknya.
            “Oh.. kalau dah kau cakap macam tu.. ya.. aku ok je.” Balas Lina sambil jongket bahu. Gaya orang teruja yang teramata-amat teruja tapi menyembunyikan keterujaan dia dalam hati. Aku tau lepas dia keluar dari kedai aku pasti dia akan melompat kegembiraan.
            “Ok, kalau macam tu, nah ambil balik majalah ni dan pastikan aku dapat bersanding dua bulan dari sekarang.”
            “Yes, madam-to-be” kata Lina dan terus keluar dari kedaiku.

Dua bulan kemudian.

            Aku kini sudah sah menjadi seorang isteri kepada sang lelaki yang bernama Haris dan majlis perkahwinanku diadakan di taman tasik, dengan tema warna putih dan bunga-bungaan segar menjadi pelengkap pelaminku dan aku sangat berpuas hati dengan apa yang Lina dah lakukan untuk majlis ini. Tapi satu je yang buat aku rasa sangat-sangat risau bila langit kelihatan gelap, aku berdoa dalam hati agar awan hitam itu berarak pergi tapi nampaknya doaku tak dimakbulkan bila hujan mula turun dan kami terpaksa berteduh di bawah khemah.
            Maksud aku berdiri di bahagian tengah khemah ramai-ramai sebab kiri kanan dah kena tempias hujan hampir setengah jam juga rasanya.
            Lina berbisik di telingaku, “aku dah kata yang idea kau tak boleh dipakai dengan cuaca kat Malaysia ni..”
            Aku cuma jongket bahu, malas nak komen apa-apa. Well.. ini majlis perkahwinan impianku, tak kiralah walau apa pun yang berlaku aku cuma ingin mengingati hari ini dan tarikh ini sebagai satu hari yang aku diraikan dengan cinta hatiku dalam majlis idamanku. Cukup.
            Tapi bila hujan reda seseorang menjerit dan menunjuk ke arah langit, semua orang berpusu-pusu menuju ke arah yang ditunjukkan oleh budak lelaki itu.
            Pelangi! Dua jalur pelangi!
            “Rupanya Allah nak beri hadiah untuk majlis perkahwinan kita..” Haris berbisik di telingaku.
            Aku tersenyum lalu melentokkan kepalaku di bahunya.
            Perkahwinan bukan macam jahit manik pada baju pengantin, ia lebih bermakna dan lebih penting dari itu.


Tamat-21/5/12-
             
             

Thursday, May 10, 2012

lepas gian.


AMARAN : ENTRI INI BUKAN SEBUAH CERITA.



aku agak sibuk dan aku rasa gian / rindu / tak sabar-sabar nak menulis kembali.
jadi aku lepaskan gian dengan menulis sesuatu yang tidak bermanfaat di sini.
Sekian. 


p/s : manik-manik cinta yang berlegar-legar dalam kepala otak masih belum ada ruang dan peluang untuk aku keluarkan. Moga-moga ia tak hilang disaat aku dah bersedia dengan papan kekunci dan ms word. 

TOLONG JANGAN HILANG TERBANG!