http://img10.imageshack.us/img10/7733/contactm.png

Saturday, August 15, 2015

Cuba Jangan



                Apa yang Faley tak buat untuk pikat hati Daris? Dari belajar minum kopi sedangkan dia benci rasa kopi yang pahit. Belajar membaca komik padahal dia lebih sanggup baca beribu perkataan dalam novel daripada melihat gambar dan membaca dialog yang buat dia pening kepala. Menonton perlawanan bola sepak sedangkan dia anti-bola. Menonton siri Transformer dan dia tertidur di pertengahan cerita, ulang tayang semula semata-mata untuk memahami jalan cerita dan cuba untuk kenal semua watak tapi akhirnya dia Cuma kenal kereta kuning bernama bumble bee, sehinggalah belajar buat kuih seri ayu padahal buat karipap pun dia tak pernah.

                “Mak i suka perempuan yang pandai masak. “

                Lalu Faley menyalin resepi dari ibunya dan cuba masak setiap hujung minggu. Faley tahu yang dia tak hebat di dapur, tapi sekurang-kurangnya dia cuba. Kalau dia tak cuba sampai bila-bila dia takkan tahu siang ikan rebus tak payah pakai pisau. Basuh ayam pakai tepung. Goreng ikan keli letak asam keping.

                “I suka tengok perempuan pakai selendang. Nampak... cantik.”

                Faley faham. Tudung bawal crepe yang dia selalu pakai ni keras, selalu nampak tak kemas bila dipakai jadi Faley belajar pakai selendang ikut tutorial kat youtube. Daris tersenyum lebar bila tengok Faley buat seperti yang dia mahu. Senyuman Daris adalah kepuasan Faley.

                Dan hari ini, dada Faley berdebar-debar sebab ini kali pertama Daris akan membawanya berjumpa dengan mak dia.

                Emaknya yang ramah selalu tersasul memanggil Faley dengan nama Fanaa. Mungkin Faley dan Fanaa tu tak jauh beza bunyinya sampai tersasul. Bila emak Daris meminta diri untuk ke dapur, dan Daris mahu mengambil barang di bilik,  Faley mengambil album gambar yang diletak bawah meja kopi. Diselak satu persatu sehingga dia tertancap lama pada sekeping gambar perempuan yang iras muka dirinya.

                “Itu Fanaa..” Kata Mak Daris sambil meletakkan sedulang minuman di atas meja.

                “Siapa Fana?”

                “Err.. kawan lama Daris.”

                Faley pandang gambar itu lama. “Fana pandai masak mak cik?” Soalnya.

                “Oh, dia memang hebat di dapur.

                Dan Daris muncul di sebalik dinding. Tergamam melihat Faley dan album gambar di tangannya.

                Sekarang Faley faham siapa dia di mata Daris.

“Aku bukan yang terbaik, tapi ku cuba. Hanya satu yang ku pinta agar kau cuba jangan suruh aku jadi seperti dia. Mana mungkin aku terima jadi bayang-bayang dirinya dan berhenti menjadi aku” 

Lagu Ana Raffali bermain di telinganya ketika itu.