http://img10.imageshack.us/img10/7733/contactm.png

Saturday, May 27, 2017

Terawikh



            Perut aku kembung dimasuki angin pasti kerana pucuk paku yang aku makan berbuka tadi, sekarang aku rasakan akibatnya, bila nak kentut tapi tak boleh keluar. Kalau aku kentut secara sengaja atau tidak sengaja pun, aku kena buka telekung, buka tudung, ambil wuduk dan berkejar pakai telekung semula sebelum imam mulakan solat terawikh. Memikirkan itu saja dah buat aku rasa lebih baik aku simpan dalam-dalam angin ini supaya tidak membatalkan wuduk aku.


            Rakaat pertama solat, ada budak dalam lingkungan 2 atau tiga tahun berjalan di saf aku ke hulu ke hilir dengan mini telekungnya. Sebab dia nampak comel dengan telekungnya itu, aku hampir membuang pandang ke arahnya sewaktu dia berjalan di hadapanku. Ahhh.... angin dalam perut aku berpusar-pusar macam berjoget pulak.


            Habis empat rakaat, imam membaca doa sedang aku menyelit doaku sendiri. “Ya Allah, mudahkan aku untuk habiskan solat ini, sekurang-kurangnya sehingga cukup lapan rakaat, atau paling baik sehingga habis solat witir.” Dengan keyakinan doa yang aku pohon itu, lagi empat rakaat hanya aku jalani dengan dua orang budak berlari-lari di depan saf kami. Sorang lagi budak tu tadinya cuma duduk di tepi dinding, sekarang dah ikut budak bertelekung itu berlari pula.


            Aku tak rasa nak marah mak dia sebab bawa anak ke masjid, tapi aku terfikir apa perasaan mak dia yang tengah solat tu, bila anak berlari-lari ke hulu ke hilir mengganggu jemaah yang lain?


            Selesai lapan rakaat, budak itu berlalu pergi bersama mak mereka. Aku selesaikan baki 3 rakaat solat witir dengan tenang.


            Dalam perjalanan pulang, kami bercerita lagi tentang hal di masjid tadi.

            “Huh, tengik baunya.” Kata mak.

            Maaf mak, angin tu berlumba-lumba mahu keluar. Bahana pucuk paku siput sedut kiriman mak cu petang tadi.



0 ceritaMia's lovers: