http://img10.imageshack.us/img10/7733/contactm.png

Wednesday, August 7, 2019

writing prompts : Star-Bucks









STAR-BUCKS


            Kuasa instagram telah mempengaruhi aku untuk berada di dalam kedai kopi terkemuka seantero dunia ini sambil membaca senarai menu yang  tergantung di dinding belakang kaunter barista tanpa mengetahui mana satu kah kopi yang paling sedap patut aku pilih sambil membuat perbandingan harga dan membuat senarai pendek untuk nama kopi yang kedengaran ‘sedap’ macam cocoa cappuccino, caffe mocha, chocolate cream chip atau yang ada perkataan hazelnut. Sebenarnya kopi bukanlah kegemaranku, jika bukan kerana rasa teringin yang membuak-buak untuk menikmati salah satu minuman di sini, aku memang takkan sekali-kali menghabiskan duit untuk secawan kopi yang mahal. Baik aku bancuh je kopi Che Nah yang ada kat rumah.


            Kesukaran membuat perbezaan antara setiap nama kopi itu buat pilihan aku jadi semakin sukar. Adakah caffe mocha itu lebih pahit daripada cocoa cappuccino? Adakah aku patut pesan sesuatu yang bercoklat kerana aku benci kopi yang pahit? Kalau kopi yang ada perkataan hazelnut itu adakah bila minum rasa macam kacang hazel?


            Pelanggan yang buat pesanan di kaunter sudah dua tiga kali bertukar, ada yang sudah mendapatkan minuman mereka lalu terus berlalu keluar, ada yang duduk di kerusi sambil berswafoto dengan kopi pilihan, ada pula sedang duduk berbincang dengan sebuah laptop di atas meja, ada juga yang sedang membaca buku dengan sepotong kek dan kopi dalam cawan kecil,  sedangkan aku sejak lima belas minit lepas masih berdiri kaku dalam tujuh langkah jaraknya antara aku dan meja kaunter.


            Aku menyesal datang ke sini hari ini. Sekurang-kurangnya aku patut membuat sedikit rujukan bagaimana untuk membeli minuman di restoran ini, atau setidaknya mengenalpasti terlebih dahulu nama minuman yang aku mahu. Kebetulan aku melalui kawasan ini hari ini, tanpa berfikir panjang aku terus melangkah masuk tanpa mengetahui sesukar ini untuk membuat pilihan.


            Aku sedar akan mata barista lelaki berkulit cerah, mata sepet sikit sekali pandang macam muka cina itu sekali sekala memandang ke arahku sambil mengambil pesanan pelanggan dan membancuh kopi mereka. Kalau aku keluar tanpa membeli apa-apa nanti malulah pulak dengan barista tu, akhirnya aku melangkah tiga tapak ke hadapan. Lelaki itu senyum kepadaku, bersedia untuk mengambil pesanan.


            “Ermmm....” aku bercadang untuk minta pendapat darinya tentang perbezaan setiap nama kopi itu, tapi memikirkan maruah aku akan tercalar jika bertanya soalan begitu di tempat orang ‘ada-ada’ ini, aku matikan hasrat itu.


            “Caramel macchiato.” Aku main sebut je bila itu yang mata aku nampak di papan menu. Lupa terus aku sepatutnya pesan minuman bercoklat jika ingin selamat daripada terkena kopi yang pahit.


            “Panas ke sejuk?”

            “Sejuk.”
            “Tall, grande, venti?”

            Aku telan liur. “Ya?”

            “Saiz cawan.” Dia senyum. Senyuman yang mesra.

            “Oh.” Apa soalannya tadi? Aku dengar tall je.

            “Venti lah ya.” Terus dia mencapai  cawan dan menulis sesuatu.

            “Nama?”

            “NurLis...” Auto-pilot mulut aku laju je nak bagi nama penuh tapi  kemudian aku teringat tak pernah ada orang tulis nama penuh di cawan kopi.

 “Lisa.”

Dia mengulang semula pesanan aku dan memberikan harga. Bayaran dibuat, dan dia membancuh minuman. Sementara itu aku berdiri di kaunter sebelah sambil memerhatikan dia yang lincah bergerak.

“Lisa!”

Nama aku dipanggil serentak cawan kopi saiz besar diletak atas kaunter. Aku mencapainya dan terus berjalan ke pintu. Oh, tapi sebelum itu aku perlu buat satu hal lagi yang semua orang ‘wajib’ buat jika berkunjung ke sini-- keluarkan telefon bimbit dari poket, laraskan kedudukan cawan pada ketinggian yang sesuai, halakan kamera telefon pada subjek, dapatkan titik fokus, pastikan pencahayaan cantik dan... tangkap!


Dari paparan telefon aku membaca apa yang tertulis di cawan, alihkan telefon, aku baca lagi berkali-kali tulisan di cawan kopi itu, terus aku menoleh ke belakang. Tepat ke kaunter barista. Si lelaki bermuka cina tu menoleh sekilas ke arahku dengan senyuman sambil dia melayan pelanggan di hadapannya.


“Heh!” Sengihan kecil terletus dari bibirku. Terus saat itu juga aku muat naik gambar itu ke instagram dengan emoji bintang bersinar aku letakkan di sekeliling cawan kopi itu. Uploaded!


Aku keluar dengan senyuman yang lebar ke telinga. Seperti ada satu butang dalam badan aku ini yang selalunya senyap dan pasif, tiba-tiba dihidupkan. Ledakan daripada butang itu naik ke hati, pecah! lalu memercikkan bunga api berbentuk bintang secara bertalu-talu.


Seperti itulah perempuan, hatinya mudah dijentik walaupun dengan sekecil-kecil hal, sekalipun lima minit kemudian aku menyumpah kerana rasa caramel macchiato yang pahit!


            “Have a good day Lisa! You’re so beautiful. *emoji hati*”




*sumber gambar google kemudian diedit guna instagram*