http://img10.imageshack.us/img10/7733/contactm.png

Thursday, October 17, 2013

Peplum : Bab 3

            “Adik.. petang ni kita buat kuih nak?” Soal emak tersenyum-senyum sambil berjalan menghampiri aku yang sedang menonton tv di ruang tamu. Aku tahu maksud ayat mak tu, bila dia kata ‘kita’ itu maksudnya dia mahu suruh aku yang buat kuih, dia tolong sikit-sikit je.
            “Nak buat kuih apa?” Soalku, mendatar.
            “Ikut adiklah, adik nak makan kuih apa?” Emak menyoal aku kembali.
            “Ikut adik, tak rasa macam nak makan kuih apa-apa pun..” aku menukar-nukar siaran tv.
            Emak tarik muka, “Iyalah tu tak rasa nak makan, nanti bila dah buat dia juga yang nak makan, kannn..”
            “Iyalah, dah ada depan mata takkan tak makan kot. Mak tu lah, nak buat kuih apa?”
            “Ermm.. mak teringin nak makan kuih keria, dari malam tadi asyik teringat-ingat je, tapi barangnya tak ada. Kejap lagi adik pergi beli ya?” Pinta emak sambil mengerdipkan matanya sambil tersenyum.
            Aku pandang muka emak dengan mata yang aku buka besar-besar.
            “Adik beli? Alaaa… emak la beli, adik buat eh?”
            “Ala.. adik la pergi beli, nanti mak bagi duit ya.” Emak senyum lagi.
            Aku tarik muncung. Ini yang tak best ni,        

            Aku memilih-milih ubi yang dijual di tepi jalan oleh peniaga india. Mereka menanam sendiri ubi-ubi ini di kawasan rumah mereka lalu menjualnya di tepi jalan. Nampak tak ciri-ciri orang yang rajin berusaha? Tak maccam aku, peluang datang depan mata pun nak ambik masa untuk fikir-fikir lagi.
 Tiba-tiba ada seorang mak cik ni datang turut sama memilih ubi keledek di sini. Eh, rasa macam kenal..
            “Mak cik, ni mak Norli ya?” Sapaku,.
            Mak cik itu memandang aku agak lama. Mungkin sedang menganalisa wajah aku dalam fikirannya. Aku tahu yang dia memang tak kenal aku jadi ada baiknya aku perkenalkan diri aku sendiri sebelum dia semakin tertanya-tanya.
            “Saya Delisya, kawan sekolah Norli.” Kataku, tersenyum.
            “Ahh..” mak cik ini terangguk-angguk faham. Walaupun dia tak kenal aku tapi sekurang-kurangnya dia tahu aku berkawan dengan anaknya.
            “Norli buat apa sekarang mak cik?” Soalku, dah lama aku tak jumpa Norli, nombor telefonnya pun aku tak ada, jadi sementara ada peluang berjumpa dengan emaknya, kenapa tak aku tanya je perkembangan terbaru Norli kan?
            “Norli ada kat rumah tu, bukan ada kemana pun, kerja pun tidak.”
            “Oh.. dia tak ada minta kerja kat mana-mana ke?”
            “Ha’ah.. tak ada. Mak cik yang tak bagi dia pergi kerja jauh-jauh, risau mak cik kalau apa-apa jadi, nak tengok pun payah. Itulah kalau dia nak kerja, mak cik cakap cari kerja kat kawasan dekat-dekat dah la, tak payah nak cari rumah sewa ke, makan semua mak ayah boleh tanggung kan.”
            Aku mengangguk, setuju. Tapi lepas tu tiba-tiba aku teringatkan pasal peluang kerja yang Akhbar offer tu, bukan ke Maria ada cakap yang Akhbar nak cari dua orang pekerja kan? Ting! Tiba-tiba mentol kunng menyala di kepalaku.
            “Hah, cakap pasal kerja kebetulan saya pun baru dapat tawaran kerja kat kawasan sini jugak, kerja kat butik pakaian yang baru nak buka kat bangunan baru bina tu, kebetulan dia nak cari dua orang pekerja, kalau Norli nak boleh saya cakap pada orang tu. Lagipun saya lagi suka kalau ada kawan yang saya kenal nak kerja sekali..”
            “Ohh.. butik pakaian? Hah nantilah, balik nanti mak cik bagitau dia. Kalau dia nak mak cik suruh dia bagitau pada kamu, tapi kamu ada nombor telefon? Nanti senang mak cik nak suruh dia telefon kamu.”
            “Ada, ada. Mak cik nak salin kat kertas ke apa?”
            “Tulis atas kertaslah, mak cik tak bawak telefon pulak..”
            “Oh.. ok tak apa, saya tulis..” cepat-cepat aku keluarkan buku nota dengan pen dari dalam beg silang yang memang akan sentiasa ada dalam beg aku itu dan aku tulis nombor telefon aku di situ sebelum sehelai kertas itu aku koyak dan aku serahkan kepada mak cik ini.
            “Nanti mak cik suruh la Norli telefon saya. Senang kami nak bincang apa yang patut. Ya?” Pesanku.
            Mak cik ini terangguk-angguk faham sambil menyimpan kertas yang aku bagi itu ke dalam beg tangannya yang kecil dan comel berwarna hijau tua. “Ha yelah balik nanti mak cik pesan pada dia. Bukan apa kan kalau dia dapat kerja biasa-biasa tapi dekat-dekat sini apa nak dikisahkan. Belanja apa semua mak abah dia boleh tanggung, Duit gaji tu orang kata untuk belanja poket dia saja.” Mak cik ini meluahkan pendapatnya.
            Aku terangguk-angguk setuju.
            “Kamu sebelum ni tak kerja ke?” Soalnya.
            “Kerja.. tapi baru seminggu berhenti. Itu yang nak cari kerja lain tu.”
            “Aahh.. kerja apa? Kenapa berhenti?” Soalnya lagi.
            Aku tersenyum-senyum. Malasnya nak buka hikayat lama, karang kalau aku buka cerita mahu terus duduk bersila dekat tepi jalan ni ha. Akhirnya aku cuma boleh cakap,
            “Dah tak ada rezeki kat tempat lama tu mak cik..” dan aku menunduk kembali memilih ubi.
            “Ha’ah iyalah tu, Dah setakat itu je rezeki kamu kat sana ya.”

            Dan perbualan kami terhenti di situ bila aku membayar harga ubi yang aku beli dan membawa haluan ke rumah. Dalam hati sempat berdoa agar Norli bersetuju untuk terima tawaran kerja itu nanti.  

Wednesday, October 9, 2013

Peplum : Bab 2

       
            Aku perlu ke pejabat pos hari ini. Rutin biasa setiap hari rabu, pos barang-barang yang dibeli oleh pelanggan online melalui khidmat pos laju dan barangan mereka akan sampai keesokan harinya. Kerana itu di butik ini aku mempunyai bilik khas aku sendiri. Bilik yang digunakan untuk aku menguruskan pelanggan-pelanggan alam maya aku yang berurusan melalui instagram, whatsapp, blog dan facebook. Dan kelebihan yang aku ada yang membuatkan kak Sarah memilih aku untuk membuat kerja-kerja ini adalah kerana aku mempunyai kereta sendiri, berbanding Norli yang pergi dan balik kerja dihantar dan diambil oleh ayahnya.
            Sewaktu aku sedang memasukkan parcel-parcel ke dalam bonet kereta, Akhbar datang menghampiri.
            “Hai, nak aku tolong?” Soalnya.
            Sambil menyusun parcel di dalam bonet aku mereka patah kata yang sesuai untuk aku balas,
            “Kau rasa?” aku senyum.
            “Aku rasa macam kau tak perlukan pertolongan..”
            Aku jegil mata memandangnya. Dia ketawa lalu terus mengambil parcel di dalam troli dan memasukkan ke dalam bonet kereta aku.
            “Aku rasa 80% keuntungan butik ni datang dari pelanggan-pelanggan alam maya kau berbanding pelanggan-pelanggan Norli.” Katanya.
            Aku senyum.
            “Sebab sekarang dunia di hujung jari. Buat apa susah payah nak datang kedai kalau boleh klik kat phone sendiri je.” Balasku.
            Akhbar tidak membalas apa lagi. Sehingga parcel habis dimasukkan, Akhbar terus tutupkn bonet keretaku dan memegang troli.
            “Kau nak terus pergi kan?” soal dia.
            Aku angguk.
            “Biar aku simpankan troli ni.” Lalu dia terus tolak troli masuk ke dalam butik.
            Tanpa sedar aku tersenyum sendiri dengan pertolongan kecil yang dia hulurkan. Akhbar dari dulu sampai sekarang, masih lagi suka menolong orang.

***

            Selesai dengan urusan di pejabat pos, sewaktu perjalanan pulang, aku terpandang orang jual rojak atau orang penang panggil pasembur kat tepi jalan. Terus fikiran aku terfikirkan Akhbar. Tanpa fikir panjang lagi, aku terus bgi signal ke kanan dan bersedia untuk memasuki simpang, tapi baru je kereta nak parkir bersebelahan dengan gerai itu, tiba-tiba ada kereta lain yang dah masuk dulu, entah datang dari arah mana tiba-tiba boleh pulak dia mencelah dulu? Nasib baik aku memang bawa perlahan kalau dah tak kemek dah belakang kereta ni aku raduk.
            Dengan hati yang berbulu aku parkir kereta agak jauh sedikit dari kereta vios itu.
            Dalam banyak-banyak hal, kepantangan aku adalah apabila ada kereta memotong di simpang, tidak memberikan signal dan tiba-tiba mencelah macam ni. Tercabar ego aku sebagai pemandu perempuan.
            Keluar dari kereta seiring dengan lelaki yang membawa vios itu, dia mengangkat sedikit topi bulat yang dipakai sambil tersenyum sebagai tanda maaf atau apa aku pun tak tahu. Walaupun dia senyum tapi sebab hati aku tengah sebal, aku tak mampu nak membalas senyuman dia, aku masih rasa yang tindakan dia itu tadi sangat tidak wajar.
            Lelaki yang kurus, tinggi, memakai baju t lengan pendek separas atas siku dan berseluar jeans, juga bercemin mata selain topi berbentuk bulat di atas kepala itu sedang bercekak pinggang sambil melihat-lihat juadah yang terdapat di gerai itu. apabila aku semakin menghampiri aku terdengar dia bertanya pada mak cik penjual,
            “Benda apa ni mak cik?”
            “Ini? Karipap kamu tak kenal?” soal mak cik itu dengan nada tak percaya.
            “Apa pulak tak kenal, karipap tu saya kenallah, ini yang warna hijau ni kuih apa?” soalnya, sambil menunjuk kearah kuih berbentuk bunga dan berwarna hijau, diatasnya ditabur dengan bijan, dan kelilingnya berwarna sedikit coklat keperangan.
            “Ini?” soal mak cik itu meminta kepastian.
Dia mengangguk.
“Ini bahulu kembojaaa..”
“oh.” Balasnya. Polos.
Tanpa membuang masa, aku terus meminta pak cik itu membungkuskan tiga bungkusan pasembur. Satu untuk aku, satu untuk Norli dan satu lagi untuk Akhbar. Dulu, Akhbar suka makan cucur udang. Kalau kat kantin hampir setiap hari aku tengok dia beli cucur udang kat kantin. Entah kenapa walaupun cucur udang tu macam digoreng biasa-biasa je, tapi kesedapannya rasa lain macam, sejak itu aku pun dah jadi penggemar setia cucur udang mak cik kantin.
“ini apa pulak?” Soalan lelaki tadi itu beralih pula pada pak cik yang sedang membuangkuskan aku punya rojak. Aku menapak setapak ke belakang bila terasa jarak dia berdiri dengan aku hampir terlalu rapat.
“Rojak.” Balas pak cik itu sepatah.
Aku memandang lelaki ini atas bawah. Tengok gaya macam bukan orang sini, ditambah lagi dengan soalan dia yang macam semua benda pun dia tak tahu lagilah mengukuhkan andaian aku itu. tapi kot ye pun datang entah dari bandar mana, takkanlah pasembur pun dia tak kenal? Ke baru balik dari oversea memandangkan cara parkir kereta pun dah tak reti.
“Sedap ke? Nak rasa sikit boleh?” selamba je dia mintak.
“Rasa-rasa tak boleh, kalau nak kena beli. Rm3 je pun..” balas mak cik tu selamba.
Aku hampir tergelak mendengar jawapan mak cik tu tapi sempat aku tutup mulut sebelum tawa aku meletus. Cuma tak sangka yang dia dengar, lepas tu dia toleh pandang aku sekilas, aku terus buat tak nampak dan pura-pura pandang tempat lain.
“Bagilah satu. Dengan kuih yang tu, kuih kemboja apa tadi entah..” katanya
“Bahulu kembojaaaa..” mak cik itu membetulkan.
“Ha.. bahulu kembojaaaa..” dia mengajuk.
Sekali lagi aku hampir ketawa dengan perangai selamba dia. Tapi aku tekup muulut kuat-kuat sebab tak mahu dia perasan. Aku tak maksudkan yang aku dah maafkan dia atas kesalahan yang dia dah buat tadi.
Siap pak cik tu membungkus aku punya pasembur, aku terus bayar dan laju-laju jalan ke kereta. Masa aku tengah undur kereta aku nampak yang mamat tu tengah berdiri menghadap arah kereta aku dan pandang je sampai aku dah masuk ke jalan utama. Apa masalah dia nak pandang-pandang aku?

Sampai kat kedai, aku fikir nak masuk butik dulu lepas tu baru hantar makanan ni pada Akhbar, tapi tiba-tiba rasa segan pulak kalau Norli tau aku belikan untuk Akhbar, jadi aku terus je pergi kedai Akhbar, kebetulan masa aku masuk tu abang Daus ada kat depan, konon nak lari dari Norli, sekali terkena pulak dengan abang Daus, tapi alang-alang dah masuk takkanlah nak keluar balik pula kan?
“Hah..” abang Daus tegur aku dengan senyuman. Dia nampak macam sedang membuat design dalam laptopnya.
Dengan abang Daus dengan aku tak berapa nak rapat sangat, sebab dengan Akhbar pun aku baru nak merapatkan diri, dengan abang dia apatah lagi.
“Cari Akhbar ke?” soalnya.
“Ah?.. errr..” kalau aku cakap tak, habis tu apa pulak tujuan aku datang sini? Kalau aku cakap ya, rasa macam peliklah pulak. Aduhh… tiba-tiba aku rasa menyesal sebab datang sendiri ke kedai ni semata-mata nak hantar makanan.
Tiba-tiba Akhbar muncul dari sebalik pintu bilik kecil yang ada dalam kedai ni. Dia nampak terkejut melihat aku.
“Ait? Icha..” tegurnya.
Aku senyum. Lebih kepada menyengih sebenarnya. Aku hayun plastic berisi pasembur itu dihadapan Akhbar. Dia nampak terkejut, mungkin sebab tak jangka dengan tindakan aku sebenarnya.
“Tadi beli pasembur, terbeli lebih lupa kak Sarah tak ada, nah ambillah.” Tipu!. Sungguh tak sangka yang mulut aku pandai menipu.
“Oh.” Akhbar nampak lega. Dia sambut huluran plastic itu dan memandang isi di dalamnya.
“Pasembur? Hoooyeeehh.. rezeki, rezeki..” sampuk abang Daus dengan matanya masih lagi menghadap skrin laptop.
Aku senyum. Terasa lega bila pemberian kecil aku ini memberi besar makna kepada orang lain.
“Terima kasih Icha..” ucap Akhbar. Kedengaran sangat manissss di telingaku.    
Aku angguk dengan senyuman melebar dan memberi isyarat untuk keluar memandangkan tak ada apa lagi yang mahu disembangkan bila telefon bimbit Akhbar berbunyi. Di muka pintu sekali lagi Akhbar mengucapkan terima kasih sambil menekan punat hijau dan dia berkata ‘ha hello..’ dalam nada kasar-tapi-mesra.
Aku berjalan menuju ke butik dengan kaki yang terasa seperti tidak memijak lantai dan hati terawang-awang dan senyuman yang hampir ke telinga macam mascot mcD, sebelum semua itu hilang bila aku terlanggar bahu dengan seorang lelaki yang sedang bercakap di telefon sambil memandang keliling.
“Hoi sorry, sorry..” kata lelaki itu dan aku tak perlu tunggu lebih lama untuk cam lelaki itu, cukup dengan hanya melihat topi yang dipakai.
Mata aku memandang cermin mata hitamnya saat kami berselisih untuk ke laluan masing-masing. Tengok muka dia terus hilang senyuman aku. Aku terus berjalan tanpa menoleh ke belakang lagi tapi telinga aku sempat menangkap butir bicaranya..
“Kedai pasembur? Eh, apa susah sangat nak cari kedai kau ni?” Marahnya dalam gurau.
Aku masuk ke butik disambut dengan mata Norli yang bersinar-sinar melihat bungkusan makanan yang aku bawa.
“Kadang-kadang Oli rasa macam anak burung yang tunggu ibunya balik bawa makanan..” kata Norli bila aku letak bungkusan itu atas meja di hadapannya.
“Kahkahkah.” Aku ketawa besar.

Wednesday, October 2, 2013

Peplum : Bab 1






Sewaktu aku menolak pintu cermin dan melangkah masuk ke dalam butik, satu suara menyapaku. “Hai icha..” saat aku angkat kepala, muka dia terlayar di ruang mata sedang tersenyum memandangku.
Senyumannya aku balas melebar. Indah terasa pagi ini bila pandangan pertama dihidangkan dengan senyuman manisnya.
Oh! Kenalkan, itu Akhbar, senior aku masa zaman sekolah. Sebenarnya kami tak berapa rapat dulu tapi sejak aku bekerja di butik pakaian milik kakak sepupu Akhbar, kami mula bertegur-tegur sapa dan sedang dalam proses untuk menjadi lebih rapat.
Bagi Akhbar, hubungan kami mungkin sekadar bekas senior-junior-zaman-sekolah dan icha-pekerja-kak-Sarah tapi bagi aku hubungan aku dan dia lebih dari itu, dia adalah crush aku selama 11 tahun ini, sejak aku darjah 5 sehingga kini. Tapi Akhbar tak pernah tahu, malah tak ada sesiapa pernah tahu.
Dan ia akan terus menjadi rahsia sehingga satu waktu yang aku pun tak tahu selama mana.
“Lambat sampai hari ni icha?” Dan aku ditegur pula oleh Norli. Kawan aku masa zaman sekolah.
Sama kesnya macam Akhbar, dulu aku dengan Norli tak rapat sebab kami tak sama kelas dan lagipun kelompok kawan-kawan kami juga berbeza. Tapi dah jodoh kami dipertemukan di sini, sejak itu kami mula jadi kawan baik dan kami selalu tertanya, kenapalah kami tidak ‘dipertemukan’ sejak dulu lagi?
“Ha’ahh.. hantar mak pergi klinik dulu tadi, dia demam.”
“Oh, lepas tu dia kat rumah sorang-sorang ke?” soal Norli dengan riak ingin tahu.
AKu angguk sambil senyum. “Demam biasa je, dah tak teruk sangat..” jawabku, cuba menyedapkan hati aku dan hati mereka yang mendengar supaya mereka tak fikir yang aku dengan mudahnya meninggalkan emak seorang diri di rumah dalam keadaan demam macam tu.
Di hadapan Akhbar, aku selalu mahu kelihatan terbaik walau dalam apa cara sekalipun. Entahlah, mungkin itu perasaan biasa bila berhadapan dengan orang yang kita suka agaknya?.
 Tanpa menunggu lagi, aku terus angkat kaki masuk ke satu bilik khas untuk ruang kerjaku. Sengaja pintu aku biarkan terbuka supaya aku boleh lihat Akhbar dari situ. Kalau ikutkan hati, aku memang mahu keluar balik dan duduk di luar bersama-sama mereka, tapi hati aku selalu jual mahal, buat endah tak endah je bila Akhbar ada. Lepas tu bila dengar Akhbar menyakat Norli, aku pula yang jeles. Haiihh.. payahnya lah kalau suka orang dalam diam ni, semua benda ni kena simpan sendiri.
Disebabkan dulu aku tak rapat dengan Norli jadi aku tak tahu sejak bila Norli dan Akhbar boleh jadi mesra macam tu? Masa zaman sekolah aku hanya nampak Akhbar di mataku, aku tahu siapa kawan rapat dia, aku tahu siapa awek dia, aku tahu kat mana kelas dia, apa jawatan dia dalam persatuan, kat mana rumah dia, tapi aku tak pernah nampak sekali pun Norli muncul di tengah-tengah kehidupan Akhbar. Kalau dari dulu Norli memang dah rapat dengan Akhbar mesti aku dah ‘aim’ Norli sejak dulu lagi.
Contohnya, aku tahu Farhana rapat dengan Akbar sebab diorang sama-sama pengawas, jadi nama Farhana akan terlekat dalam kepala aku setiap kali aku terfikirkan Akhbar. Sesiapa saja yang rapat atau berkaitan dengan Akbar akan menjadi ‘subjek’ yang akan aku perhatikan.
Suara Norli dan Akhbar ber sok-sek kedengaran lagi. Setaip kali itulah aku akan menoleh ke luar dan melihat muka Norli sedang berkerut melawan usikan Akhbar.
Satu perkara yang aku tak faham dengan Akhbar, kenapa dia suka datang ke sini (walaupun aku suka kalau dia datang) padahal dia tak ada apa-apa urusan pun? Ya, dia pun bekerja di kedai komputer yang sebaris dengan butik kak Sarah ni, tapi perlu ke datang ke butik ni pagi-pagi macam orang tak ada kerja?
Bercakap tentang kedai komputer, kedai itu milik abang Akhbar sepenuhnya. Mereka menjual barang-barang berkaitan komputer dan juga mengambil upah membaiki gadget/komputer yang rosak, juga menjadi penjual komputer/laptop. Kalau nak diikutkan, kedai kecil yang nampak biasa itu sebenarnya menawarkan macam-macam khidmat pelanggan macam buat banner, kad kawin, kad bisnes, khidmat jurutaip, printing, fotocopy, dan lain-lain yang aku pun tak pasti, tapi yang aku pasti dengan khidmat yang mereka sediakan, tak mungkin Akhbar masih boleh berjalan-jalan dan duduk melepak di butik ini awal pagi, walaupun kedai tu abang  dia yang punya, tapi tak bermakna dia tak ada kerja yang perlu dibuat, kan?
Sekali lagi, walaupun aku suka dia ada disini, aku memang tak akan sekali-kali bertanya soalan itu pada dia sebab aku tak mahu dia terasa hati lepas tu dia terus tak datang sini dah. Perhh, aku rasa kalau tak tengok muka dia sehari boleh gelap duniaku, hilang segala kenikmatan dan keindahan hari itu.
Ya, memang aku suka hidup dalam duniaku sendiri. Dunia dimana hanya Akhbar yang aku fikirkan.
Parah.

Peplum : Prolog



            Berdasarkan novel ‘Plain Jane’ tulisan Nurul Syahida, plain jane digambarkan sebagai seorang perempuan yang biasa-biasa, yang keberadaannya tidak disedari, dan kehilangannya tidak dipeduli. Golongan ini seperti makhluk yang tenggelam bersama kertas dinding seperti iklan Doublemint gum yang kononnya selepas mereka makan chewing gum itu barulah mereka akan menyerlah dan keluar dari kertas dinding itu. Kononnya.

            Menjadi diriku, seorang plain jane, tidak semudah iklan chewing gum itu. Aku tak boleh makan chewing gum jenama itu dan aku akan terus keluar dari kepompong ini, tidak juga semudah watak Balkis dalam novel itu yang walaupun dengan peribadi ‘plain’nya dia masih lagi berjaya mencuri tumpuan Zaniel, Bangsar-most-eligible-bachelor dan pemilik-syarikat-Digital-art-yang-kaya-dan-KACAK. Menjadi diriku yang plain jane lengkap dengan pakej rendah diri ini membuatkan aku rasa macam terperangkap dalam satu selut yang menenggelamkan aku ke dalamnya, yang untuk keluar dari situ adalah sesuatu yang sangat sukar.

            Menjadi diriku, Delisya yang plain dan disaluti Lumpur adalah sangat menyedihkan.



Tuesday, October 1, 2013

Peplum : Sinopsis



            “Berdasarkan kajian psikologi, crush hanya bertahan untuk maksimum empat bulan. Jika ia melebihi tempoh itu, maksudnya kamu sudah jatuh cinta..”

            Akhbar adalah ‘crush’ Delisya tetapi ianya telah berlanjutan untuk tempoh 11 tahun. Jadi adakah maksudnya Delisya telah jatuh cinta pada Akhbar? Ya, tepat sekali. Tapi sayangnya Delisya bukanlah gadis biasa yang akan secara terangan menunjukkan perasaannya itu kepada lelaki yang dia suka. Delisya lebih rela menyimpan perasaan selama 11 tahun itu dan makan hati berulamkan jantung setiap kali menahan rasa cemburu melihat Akhbar bersama perempuan lain.

            Pertemuannya dengan Izham, kawan kepada Akhbar membawa satu dimensi yang baru dalam hidup Delisya. Memikirkan tentang Izham membuatkan fikiran Delisya teralih daripada asyik memikirkan tentang Akhbar. Bukan Delisya yang suka sangat nak fikir tentang lelaki mulut sinis itu tapi apabila lelaki itu asyik mengganggu hidupnya, buat Delisya rasa agak menyampah

Lebih parah lagi apabila Izham mengetahui salah satu rahsia terbesar Delisya. Ini adalah mimpi ngeri. Yang sebenarnya apa motif Izham mengganggu Delisya dengan ayat-ayat pemedih telinga dia tu?