http://img10.imageshack.us/img10/7733/contactm.png

Friday, May 29, 2015

Lega



                Sejak ada budak perempuan baru kerja kat stesen minyak Shell  tepi jalan itu, Leman makin rajin pergi isi minyak kat situ. Setiap kali dia cuma isi rm10. Selang masa dua atau tiga hari sekali dia akan mengisi minyak semula.

                Budak perempuan berkulit cerah itu suka pandang Leman atas bawah bila  Leman nak bayar duit kat kaunter, tapi Leman tak peduli dengan pandangan dia tu, Leman balas je balik dengan kenyitan mata terus budak perempuan itu berhenti pandang Leman atas bawah, dia pandang duit baki yang kena dipulangkan je.

             "Heh!" Leman sengih nakal.

             Dua hari kemudian, Leman datang lagi. Kali ini dengan kawan-kawannya. Budak perempuan itu tersipu-sipu bila Leman memandang ke arahnya sambil berjalan ke kaunter. Habis membayar duit, mengambil duit baki dan mengenyitkan mata pada budak perempuan itu, Leman kembali ke kereta. Pian sedang mengisi tangki minyak, Opie sedang bermain candy crush game dan Leman sedang termenung sambil gigit jari. Ada sesuatu yang difikirkannya.

                “Weh, aku tak tahan ar…” kata Leman bila Pian masuk kereta. 

                Opie dan Pian serentak memandang Leman.

                “Tak tahan apa kau ni?” Soal Pian.

                “Nak kencing pergi cepat, orang nak pergi dah ni.” Kata Opie, kembali bermain game.

                “Ishh.. aku tak tahan dah ni!" Makin kuat Leman gigit jari. Muka Leman macam orang tak senang duduk.

                 "Tak tahan, tak tahan! Tu tandas kat belakang tu." Jerkah Pian.

               "Arghh.. aku tak tahan!" Leman terus keluar dari kereta, dia berjalan pantas ke arah kaunter, matanya memandang tepat ke muka budak perempuan itu yang sedang tersipu-sipu sambil memandang ke tempat lain.

                Leman tak tahan. Dia memang dah tak boleh tahan nak cakap kat perempuan ini.

                “Awak cantik!”

                Terkebil-kebil budak perempuan itu dibuatnya. Leman terus pergi balik ke kereta.


                “Huh, lega….” Pian terus masuk kereta, hidupkan enjin dan pergi. 

                Dua hari kemudian, dia pasti akan datang lagi 




#KarKas #Basedontruestory 



Saturday, May 23, 2015

ANTIDOT



                Rasa serba tak kena. Dada aku macam sempit sampai nafas pun tak mampu dihela. Fikiran menerawang memikirkan benda yang aku sendiri tak pasti hujung pangkal. Jasad aku kaku di atas kerusi, tangan memegang kain, mesin jahit industri terbiar hidup membingitkan suasana. Aku lelah. Aku tahu ada sesuatu yang tak kena tapi aku tak tahu apa dia. Dada aku tumbuk berkali-kali biar rasa sempit itu hilang, biar lapang, biar tenang.

                “Kenapa?” Tanya Lala.

                “Entahlah..” aku mengeluh.

                Lala jongket kening. Lalu dia kembali fokus bekerja.

                Aku mengeluh. Keluhan yang berat. Kain ditangan kembali aku pandang, baju kurung ini harus disiapkan hari ini juga, tak boleh dilengah lagi kalau tidak aku akan terus melengahkan kerja-kerja yang lain.

                Baru jahit pesak dan tangan, tekak mula rasa kering. Mungkin rasa sempit di dada itu bikin badan jadi terhidrat. Aku tinggalkan kepingan-kepingan kain yang perlu dicantum itu, mesin jahit industri aku matikan dengan menekan butang merah. Tali pengukur aku tarik dari leher dan letak di atas meja.

                “Aku nak pergi kedai, ada apa-apa nak kirim?” Soalku pada Lala.

                Dia menggeleng tanpa memandang aku. Tanpa pamitan, aku terus keluar dan berjalan kaki menuju ke kedai serbaneka tak jauh dari situ. Pintu peti ais aku buka, melihat-lihat sambil menimbang tara air apa yang mahu aku capai. Penat berfikir akhirnya air kacip fatimah perasa madu dan kurma aku capai. Pintu peti ais aku tutup kembali dan ketika itu aku sedar ada figura lelaki sedang berdiri menghadapku.

                Betul-betul disebelahku. Dan sedang memandangku. “Sorry..” kataku sebab dah buat dia menunggu lama lalu aku terus ke kaunter bayaran, dan berjalan dengan kaki yang macam tak pijak tanah kembali ke tempat kerja.

                Dada aku berombak kencang, perut berirama tidak senada seolah ada rama-rama yang sedang mengepak kencang. Aku terus duduk di kerusi dan menarik nafas berulang kali.

                Dan rasa sempit yang menyesak dada itu perlahan-lahan hilang. Fikiran aku tenang, dada aku lapang dan aku kembali menjahit kepingan-kepingan kain itu dengan bibir yang tak berhenti tersenyum.

                “Siapa yang kau jumpa kat kedai tu tadi Mia?” Tanya Lala tiba-tiba.


                Terus mati senyumanku.