http://img10.imageshack.us/img10/7733/contactm.png

Thursday, July 28, 2011

Bab 7



Hari ini adalah hari terakhir aku bekerja. Mungkin aku takkan sempat untuk mengucapkan selamat tinggal kepada semua rakan sekerja memandangkan hari ini, aku akan masuk kerja pagi dan bertugas bersama-sama dengan Ziana. Juga Bob. Tapi aku pasti akan merindui mereka semua.

    "Bob aku ada benda nak cakap dengan kau.." Kataku membuka bicara.
Bob menanti dengan penuh sabar, berkerut keningnya memandangku.

    "Kau pun tau kan yang aku ni anak angkat je?"

Bob mengangguk. "Ehemm.." Katanya.

    "Semalam keluarga kandung aku cari aku kat rumah, diorang dah jumpa aku."

Bob tersenyum teruja dan gembira. "Ye ker? Baguslah macam tu! Rupanya kau ada keluarga juga ya"

Aku senyum segaris. Tawar.

    "Sebab tu, aku nak berhenti kerja. Aku kena ikut family aku, tinggal dengan diorang..." Aku bersuara perlahan. Sedih. Tak pasti kenapa aku perlu sedih, sedangkan aku akan tinggal bersama-sama dengan atuk kandungku, keturunan aku sendiri.

    "Oh.." Bob terdiam. Hilang senyuman di bibirnya.

    "Bila kau nak pergi?" Soalnya lagi.

    "Lusa.."

    "Cepatnya..."

    "Kalau tak, semalam lagi aku dah kena pergi. Nasib baik pak cik tu bagi aku tempoh untuk selesaikan semua urusan aku kat sini."

Kami masing-masing diam untuk beberapa minit.

    "Okeh, memandangkan hari ni hari terakhir kau kat sini, apa kata habis kerja nanti kita keluar makan? Aku belanja!" Kata Bob cuba menceriakan suasana.

    "Hari terakhir? Siapa yang nak berhenti?" Soal Ziana tiba-tiba yang baru muncul dari belakang.

    "Aku.." kataku.

    "Kau? Kenapa kau nak berhenti Irin? La.. tak syok la macamni. Kau dapat kerja lain ke?" Soal Ziana bertubi-tubi.

    "Eh, banyak pula soalan kau kan? Sukahati dialah nak berhenti kenapa pun." Usik Bob.

    "Aku tanya kau ke Bob?" Soal Ziana, mula menunjukkan tanda-tanda ingin bergaduh.

    "Ha'ah, aku jurucakap Irin. Kau jangan tak tau pulak!"

    "Eleh.. budget Irin ni baranglah yang nak kena ada jurucakap kan..." Balas Ziana.

    "Wei sudah-sudah la tu, aku nak berhenti ni cuba la korang bawak-bawak berbaik." Kataku meleraikan pergaduhan 'manja' mereka.

    "Lepas ni kau dah tak dapat tengok kitorang gaduh dah. Sementara kau ada ni, baik kau tengok puas-puas" Kata Bob.

    "Sementara aku ada ni lah aku nak tengok korang berbaik-baik.. nanti kempunan pula aku.." Kataku lirih. Entah bila lagi aku boleh datang ke sini melawat mereka..

    "Eh kau ni Irin, cakap macam.. nak pergi jauh je. Kau nak pergi mana sebenarnya ni?" Soal Ziana curiga.
Aku senyum sambil menggaru kepala. Sukar untuk aku jelaskan kepadanya bila dia sendiri tak tahu yang aku sebenarnya cuma anak angkat kepada emak dan abah. Hanya Bob saja yang tahu status diriku. Itupun sebab dia terlebih rajin menemubual diriku masa awal-awal aku mula bekerja dulu.

    "Aku nak pindah.." Itu yang terkeluar dari mulutku akhirnya. Mungkin itu jawapan terbaik daripada aku membuka hikayat sejarah hidupku di sini, memang sampai esok pun tak habis agaknya..

    "Pindah mana?" Soal Ziana.

    "Eh dah la tu kau ni banyak sangat soalannya. Pergi sambung kerja, habis shift ni kita pergi makan, aku belanja!" Putus Bob mematikan terus soalan-soalan yang sedang dan akan keluar dari mulut Ziana.

    Ziana berlalu dengan rungutan di bibirnya, tak puas hati. Aku tersenyum gelihati. Jenaka sebeginilah yang akan aku rindu nanti.. dan Syafiq! 


*****************

    Ini suratan atau kebetulan? Atau Allah mendengar kata hatiku lalu memakbulkan permintaanku yang berharap untuk 'terjumpa' dengan Syafiq sebelum aku pergi meninggalkan tempat ini. Ah walauapapun alasannya, aku bersyukur dan terharu akhirnya aku terjumpa Syafiq di gerai ini semasa aku, Bob dan Ziana baru saja duduk di kerusi tak jauh dari tempat Syafiq berdiri. Walaupun hanya memandang dari jauh, tapi kegembiraan aku tak terhingga!.

    "Ahhh.. patutlah mata tu tak berkelip, ingatkan tengok apa, rupanya tengok pakwe dia kat situ.." Usikan Ziana mematikan terus lamunan aku daripada terus memandang Syafiq di hujung sana yang sedang menunggu pesanan makanan agaknya.

    "Eh, ZIana ni kan, mana ada aku pandang sesiapa. Pandai-pandai je.." Dalihku, tak mahu dia terus memikirkan yang aku mempunyai kaitan dengan Syafiq, kalau Bob dapat tahu lagi kecoh jadinya nanti.

    "Pakwe? Pakwe siapa ni? Mana?" Soal Bob, mula curiga. Tengoklah tu, berkerut keningnya.

    "Mana ada sesiapa, Ziana ni memandai je nak kenakan aku.." Cepat-cepat aku menjawab sebelum Ziana membuka mulut.

    "Ye lah, aku je la yang nak kenakan dia, padahal dia yang pandang orang tu tak berkelip. Dua kali pulak tu aku nampak.." Kata Ziana tersengih-sengih. Menyindir aku tu.

    "Eh, pening kejap. Cuba cerita kat aku betul-betul, siapa pandang siapa? Pakwe siapa? Ini cakap berbelit-belit.." Rungut Bob sambil memegang kedua belah kepalanya.

    "Itu hah.. mamat yang Irin suka usha tu. Dah suka cakap je ala suka, boleh aku tolong mintakan nombor telefon ke, tanyakan nama ke, apa ke, ini suka diam-diam buat apa.."

    Lemah semangat aku bila Ziana dengan lancarnya menyebut "mamat yang Irin suka usha tu" adoi Ziana ni memang tak boleh simpan rahsia betullah. Tengoklah Bob ni, dah pandang aku sambil terangkat-angkat keningnya ha.. memang payah betul kalau dapat kawan yang sorang tak pandai simpan rahsia dan yang sorang lagi banyak tanya mengalahkan wartawan!

    "Baik kau cerita kat aku cepat, siapa mamat tu? Kekasih gelap kau ye?" Soal Bob dengan jari telunjuknya digoyang-goyangkan di hadapan mukaku.

    "Kekasih gelap apanya, mana adalah! Dah la, korang datang sini nak makan ke nak korek rahsia aku?" Aku capai menu makanan atas meja dan cuba memfokuskan diri dengan membaca menu yang tersenarai.

    Tapi dari ekor mata aku nampak yang Ziana dan Bob masih memandangku mengharapkan jawapan. Aku mengeluh, lemah dengan 'serangan' mereka.

    "Ok, memang aku suka dia.." Kataku menunduk. Kalau bukan sebab diorang memang takkan lepaskan aku selagi aku tak buka mulut terutama Bob, pasti aku takkan buka pekung sendiri. Malu kot mengaku suka kat seseorang lelaki pada lelaki lain. Walaupun lelaki itu adalah Bob.

    Ziana tepuk tangan, Bob tepuk meja. Di mulut mereka masing-masing terluah perkataan "hahh..". Aku tutup muka sambil menongkat dagu.

    "Dia tau tak kau suka dia? Nak aku tolong ke?" Soal Bob. Begitu prihatin dengan masalah cinta 'syok sendiri' aku.

    "Tak payahhhhh..." Tegasku. Janganlah mereka buat kerja gila dengan memanggil Syafiq dan tolong aku membuat pengakuan yang aku sebenarnya suka dia. Tolong jangan!.

    "Lah, orang nak tolong kau jual mahal, karang melepas apa tak dapat." Bidas Ziana.

    "Eeii.. aku suka dia, bukan bermaksud aku nak ada hubungan dengan dia. Suka senyap-senyap pun apa salahnya.." Aku memandang tanpa perasaan ke arah senarai menu di tanganku.

    "Sampai bila kau nak syok sendiri ni? Mana tau dia pun syok kat kau, untung-untung jodoh korang panjang, boleh kahwin terus..." Kata Bob, menyokong teori Ziana.

    Aku menggelengkan kepala berkali-kali. Kalau aku tau diorang akan jadi terlebih prihatin, memang aku takkan buka mulut tadi. Lebih baik aku biarkan mereka mendesakku supaya bercerita tentang Syafiq berbanding aku yang terpaksa mendesak mereka supaya jangan masuk campur dalam urusan cintaku.

    "Hah tu, dia datang. Bob jalankan tugas anda." Kata Ziana. Cepat-cepat aku angkat kepala dan melihat Syafiq sedang berjalan ke arah kami dengan bungkusan plastik di tangannya. Bob dan Ziana juga memandang tepat ke muka Syafiq dengan tangan Bob yang aku lihat sedang bersedia untuk mengangkat tangan, mungkin ingin memanggil Syafiq bila dia dah berada dekat dengan kami nanti.

    "Korang jangan terfikir nak buat kerja gila tu ya." Kataku memberi amaran dan berharap yang amaran aku ini cukup 'keras' sehingga mampu menggerunkan mereka. 

    "Kitorang cuma nak tolong kau Irin, kau kena faham..." Kata Ziana, mendatar. Seolah-olah cuba untuk memahamkan aku bahawa tindakan mereka nanti bukan sesuatu yang... memalukan aku.

    "Jangan! Jangan! Jangan! Kalau korang buat macam tu, korang bukan kawan aku lagi!" Kali ini aku yakin kata-kataku ini bukan lagi satu amaran main-main, tapi amaran yang akan aku laksanakan jika mereka benar-benar melakukan perkara itu.

    Bob dan Ziana memandang tepat ke mukaku. Dan ketika itulah Syafiq semakin menghampiri meja kami dan dia berjalan di laluan sebelah meja kami tanpa memandang sedikit pun ke arah aku. Lega...

    "Wow." Itu perkataan pertama yang keluar dari mulut Bob.

    "Wooo.." Dan itu pula perkataan pertama yang keluar dari mulut Ziana.

    "Bob, aku rasa sepanjang tujuh bulan aku kerja dengan Irin ini pertama kali aku nampak dia marah.." Kata Ziana kepada Bob.

    "Jangan kata kau, aku pun sama. Boleh tahan jugak kan kalau dia marah.. ish..ish..ish.." Kata Bob dengan kepala yang digeleng-gelengkan.

    "Cuba la buat aku marah lagi. Silap-silap aku boleh bertukar jadi Incredible Hulk baru korang tau.." Kataku sambil mengipas mukaku dengan kertas menu, rasa macam berasap je muka aku ni.

    "Ok, ok, aku rasa Irin dah lapar, apa kata kita order sekarang." kata Ziana lalu membelek menu.

    "Elok juga tu, sebelum ada asap keluar dari telinga dia pula." Balas Bob tersengih-sengih.

Aku sepatutnya dah selesai makan dan boleh pulang lebih awal kalau Bob dan Ziana tak sibuk-sibuk nak selesaikan masalah cinta syok sendiri aku.


************

Pejam celik, pejam celik, rupanya hari ini sudah masuk hari ketiga. Awal pagi lagi dah tersadai di hadapan rumahku kereta hitam yang datang beberapa hari lepas. Pak cik Ghazi juga sudah menunggu untuk membawaku pulang. Walaupun sebelah hatiku dah terasa terbang ke sana, tapi sebelah lagi hatiku terasa berat untuk melepaskan kehidupan aku di sini.

Kenapalah aku perlu melalui kehidupan yang rumit ini? Kenapalah aku harus kehilangan ibu dan ayah? Kenapalah aku terpisah dari keluarga asalku? Bukankah bagus kalau kehidupanku bukan begini jadi aku takkan menghadapi dilema ini?. Ah, tak baik merungut Irin!.

    "Mak, abah, izinkan Irin untuk datang melawat mak  dengan abah kat sini lagi ya? Irin janji, Irin akan selalu jenguk mak  dan abah. Irin nak mak dengan abah  tahu yang Irin tak pernah lupa jasa baik mak dan abah." Aku genggam erat tangan mereka.

    Kami berpelukan beberapa ketika sebelum aku masuk ke dalam kereta yang pintunya sudah dibuka untuk menyambutku sejak tadi. Tiga hari rasa macam tiga jam! Sekejap je aku dah kena balik ke tempat asalku. Ke dunia dimana aku patut berada 19 tahun lepas.

    "Jaga diri baik-baik Irin, jangan lupa makan, jangan nakal-nakal. Jangan lawan cakap atuk, jangan.. lupakan mak.." Perlahan kedengaran suara emak sewaktu menyebut perkataan terakhir itu. Ahh mana mungkin aku akan lupakan emak dan abah. Tidak sama sekali.

    "Jangan tinggalkan solat, jangan bangun lewat, jadi cucu yang baik sepertimana Irin jadi anak yang baik untuk mak dan abah. Ingat pesan abah?" Itu pula pesanan abah.

    "Ingat abah, Irin takkan lupa. Terima kasih sebab jaga Irin selama ni. Irin pergi dulu.." Aku tak dapat menahan airmata daripada mengalir bila melihat tangisan emak. Sehingga aku masuk ke dalam kereta, sehingga pintu kereta ditutup, sehingga kereta itu berjalan, dan sehingga ia bergerak makin jauh, dan menjauh, aku masih menoleh ke belakang dan berharap agar aku akan dapat kembali lagi ke kampung ini.

    Pemergianku bukan kerana ingin hidup mewah dengan atuk, tapi kerana aku ingin menggamit memori bersama ibu dan ayah. aku ingin cari "perasaan" aku di sana.

************

    Sejak tadi mulut aku seakan tak mahu tertutup, mata aku seakan tak mahu berkelip, tubuh badanku seakan kejang tak mampu bergerak bila melihatkan pemandangan indah di hadapan mataku ini. Ya, rumah atuk yang bakal aku diami ini kelihatan tak jauh beza seperti istana. Bangunan berwarna krim susu yang tersergam indah ini benar-benar memukau pandangan mataku. Aku kelu.

    Aku tahu atuk seorang yang agak kaya dengan hanya melihat dari kereta yang dipandu oleh pemandunya yang kemas berpakaian seragam, juga aku tahu atuk seorang yang berpengaruh dengan hanya melihat pak cik Ghazi dan ceritanya tentang penyiasat persendirian itu, tapi aku sangat tak sangka yang atuk rupanya jauh lebih hebat dari itu. Atuk mungkin jutawan atau hartawan!

    Tubuhku masih lagi kejang dan tak mampu bergerak keluar dari kereta walaupun kami sudah sampai betul-betul di hadapan rumah bak istana ini dengan disambut oleh berpuluh-puluh orang yang memakai pakaian seragam warna hitam putih, cuma berlainan rekaan sahaja. 

Jangan kata mereka berdiri di situ untuk menyambut kedatanganku...

    "Irina, atuk dah tunggu tu, jom kita masuk." Teguran pak cik Ghazi membawa aku kembali ke alam realiti. Alam dimana aku kini bukan lagi di kampung halaman, sebaliknya di kawasan hutan yang  tersembunyi mahligai indah di sebaliknya.

    "Atuk.." Tanpa sedar perkataan itu yang keluar dari mulutku. Ya, itu tujuan aku ke sini, untuk bertemu dengan atuk.

    Perlahan-lahan aku melangkah keluar dari kereta dengan kaki yang tiba-tiba menggeletar dan terasa seram sejuk, mengekori langkah pak cik Ghazi ke hadapan pintu  rumah bak istana ini, dimana berpuluh-puluh manusia berpakaian seragam itu berdiri. Malu pula bila tau diri sendiri jadi tumpuan. Penyudahnya aku hanya berjalan menunduk sambil mengira satu persatu anak tangga yang aku daki.

    "Irina.." Aku mengangkat kepala bila terdengar suara asing yang agak garau menyapaku.

    Seorang lelaki tua yang berkerusi roda tersenyum memandangku. Berkaca-kaca matanya memandangku tanpa kelip sambil tangannya didepangkan seolah-olah ingin menyambut aku ke dalam pelukannya.  Diakah atuk?

    "Atuk?" Soalku.

    Dia mengangguk. Mataku terpaku memandangnya, mencari persamaan wajah tua itu dengan wajah kedua ibu bapaku. Garis-garis halus di mata dan di sebahagian besar mukanya membuatkan aku tak mampu melakukan pengecaman. Walau tiada persamaan di wajah itu, dia tetap atuk aku.

    Atuk menghulurkan tangannya, memintaku supaya menghampirinya. Lama aku pandang huluran tangan itu sebelum perlahan-lahan aku berjalan menghampirinya dan menyambut huluran tangan itu. Tubuhku dibawa ke pelukannya. Rambut aku diusap perlahan.

    "Irina cucu atuk.." Kata atuk. Berkali-kali. Ada nada gembira. Ada nada sedih pada intonasi suaranya. 

    Air mataku mengalir. Terasa seolah-olah ada aliran magnet yang meresapi tubuhku. Aku yakin ini memang atuk dari darah dagingku sendiri. Aku rindu...

    "Atukk.." Aku membalas pelukannya.

    Atuk meleraikan pelukan setelah entah berapa minit kami berkeadaan begitu, dia mengesat airmataku. 

"Muka kamu sekarang saling tak tumpah macam muka ibu kamu dulu." Katanya sambil tersenyum.

    Aku tersengih, mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi. Kalaulah ibu masih ada sekarang, pasti aku boleh membuat perbandingan muka aku dengan ibu. Wajah ibu hanya tersemat dalam hatiku, dalam kotak fikiranku saja kerana aku langsung tidak mempunyai sekeping pun gambar ibu selama ini.

    "Atuk ada banyak sangat perkara yang nak dicerita dengan kamu, dan kamu pun pasti nak tanya macam-macam dengan atuk kan? Tapi sekarang ni, pergi rehat dulu. Malam nanti kita sembang panjang." Kata atuk menepuk bahuku. Terpancar sinar kepuasan dan keserian di wajahnya.

    Aku mengangguk. Ya, macam-macam yang nak aku tanyakan, dimana atuk sewaktu ibu dan ayah kemalangan, dimana atuk selama aku dipelihara oleh keluarga angkatku itu. Kenapa baru sekarang atuk muncul? Walaupun pak cik Ghazi dah menceritakan semuanya tapi aku masih ingin tahu dari mulut atuk sendiri. Mungkin aku perlu persiapkan mental dan fizikal sebelum aku mendengar cerita sebenarnya daripada atuk.

    Seorang perempuan yang memakai uniform hitam ala-ala jaket dipadankan dengan seluar hitam dan bersanggul kemas menghampiriku.

    "Mari saya bawa cik muda ke bilik" Katanya.

    Aku pandang atuk, meminta izinnya. Atuk mengangguk. Mengizinkan. Aku menghadiahkan senyuman mesra kepada atuk sambil bangun dari lantai marmar itu yang  telah aku duduk sejak tadi dan mengikut langkah gadis ini ke bilikku.

    Aku dibawa ke sebuah bilik yang luas dan cantik. Betul-betul macam bilik seorang puteri inggeris macam yang selalu aku tonton di tv. Zapp!! Tiba-tiba fikiran terbayangkan bilik yang berwarna merah jambu semasa aku masih tinggal bersama ayah dan ibu dulu, cuma bilikku sekarang ini bertemakan warna putih dan diserikan dengan warna-warna pastel dan terang pada bantal-bantal kecil yang dipenuhi di atas katil, pada hiasan bungan ros merah segar yang diletakkan pada setiap sudut, pada kusyen-kusyen kecil yang disusun di sofa, pada pengepit langsir yang berbentuk bunga. Walaupun bilik yang aku duduki dulu tidak seluas ini, tapi gambarannya seolah-olah sama.

    "Ini bilik cik muda. Oh ya, saya Ros, pembantu peribadi cik muda. Jika ada apa-apa cik panggil je saya." Katanya sambil tersenyum.

    Kerana terlalu kaget dan terkejut, aku sekadar menganggukkan kepala. Ros berdiri tegak di tengah-tengah laluan antara pintu dan ruang yang menempatkan sofa dan kerusi-kerusi juga televisyen. Manakala aku berjalan "menjelajahi" bilik ini.

    Katil  empuk dengan limpahan bantal-bantal kecil pelbagai bentuk, baju-baju yang pelbagai warna dan jenis bergantungan, kasut-kasut bertumit tinggi tersusun kemas di rak, bilik air berjakuzi, ahh.. aku tak pernah jumpa bilik air yang macam bilik tidur ini. Kemas. Cantik! Sampai aku tak tahu bagaimana untuk aku mandi nanti.

    "Kalau cik muda nak tau, bilik ni dah lama kami sediakan, cuma tunggu kepulangan cik muda saja."

    Aku hampir melompat terkejut bila ditegur oleh Ros dalam keadaan aku yang tengah leka dengan suasana baru ini.

    "Ya kah?" Itu reaksiku. Aku perlukan masa untuk membiasakan diri dengan orang yang baru aku kenal. 

    "Menurut cerita daripada pekerja-pekerja senior di sini, sewaktu rumah ini dibina, tuan pengerusi telah kelihangan anak, menantu dan cucunya sekaligus, sedangkan pembinaan rumah ini adalah sebagai kejutan pengerusi untuk mereka. Kerana terlalu sedih dan kecewa proses pembinaan rumah ni pernah terbantut, sedangkan perbelanjaan untuk membina rumah ini saja dah menelan belanja jutaan ringgit, sehinggalah ada maklumat mengatakan yang kemungkinan besar cucu tuan pengerusi belum meninggal tapi jejaknya tidak dapat dikesan, waktu itu tuan pengerusi mula giat menjalan penyiasatan dan pencarian secara besar-besaran ke atas cik muda dan proses pembangunan rumah ini juga disambung semula, dengan harapan apabila cik muda di temui rumah ini boleh cik muda duduki." Terang Ros panjang lebar. Seperti sedang membacakan nota sejarah tentang diriku.

    "Rupanya pencarian itu hanya berhasil setelah berbelas-belas tahun. Saya bertuah kerana akhirnya saya adalah orang yang akan menjaga cik muda di sini." Kata Ros lagi. Teruja.

    "Bertuah?" Soalku.

    "Ehemm.. bertuah sebab sejak dulu lagi dah ramai yang menanti cik muda di sini dengan harapan mereka dapat menjadi pembantu peribadi cik muda sekembalinya cik muda nanti, tapi setelah bertahun-tahun cik muda masih belum ditemui, mereka mula putus asa, sehinggalah saya yang memegang jawatan ini, tak sangka penantian saya selama dua tahun akhirnya terbalas."

    "Oh.." Itu saja reaksi yang mampu aku beri. Apa la yang istimewa sangat dengan jadi orang gaji? Agaknya atuk bayar gaji mahal kot..

    "Kenapa awak pilih kerja ni?" Soalku.

    "Sebab saya nak jaga cik muda.."

    "Sanggup jadi orang gaji semata-mata nak jaga saya??"

    "Saya bukan orang gaji, saya cuma pembantu peribadi yang hanya akan menguruskan hal ehwal cik muda SAHAJA. Dan saya sangat berbesar hati untuk melakukan perkara itu."

    "Peliklah, kenapa awak buat saya rasa macam saya ni terlalu istimewa?" Soalku, kerut dahi.

    "Sebab cik muda Irina Imani memang istimewa! Berita kehilangan cik muda saja dah tersebar seluruh malaysia, walaupun masa tu saya kecil lagi dan tak berapa nak faham tentang hal ini tapi saya tau yang setiap orang pun mengharapkan untuk jadi seseorang yang paling dekat dengan cik muda.."

    "Tersebar seluruh malaysia? Kalau macam tu memang mustahillah kenapa saya tak ditemui sedangkan saya masih berada di malaysia.." Kataku terfikir-fikir.

    "Sebab itulah kehilangan cik muda dianggap sesuatu yang misteri kerana masih belum dijumpai walaupun berita kehilangan sudah tersebar."

Tiba-tiba  satu perasaan jahat menyelinap dalam hatiku, takkan mak dan abah sengaja menyembunyikan aku di sana kerana tak mahu aku diambil oleh keluargaku? Tapi kalau betul, kenapa tadi abah dan mak seakan merelakan pemergianku?

    "Ah, cik muda jangan fikir bukan-bukan, saya yakin yang mak dan ayah angkat cik muda takkan buat perkara yang tak sepatutnya terhadap cik muda.  Kalau tak, mesti dah lama diorang minta duit tebusan atau apa-apa sebagai balasan sebab dah menjaga cik muda selama ni, kan?" Kata-kata Ros membawa pergi semua fikiran negatifku. Macam tau-tau saja aku sedang memikirkan tentang itu.

    "Awak ni boleh baca fikiran orang ke Ros??" Soalku, sengaja ingin menyakatnya.

Ros tersipu-sipu malu, "Boleh baca fikiran tu tak adalah, tapi kalau setakat nak agak daripada reaksi muka tu.. boleh la sikit-sikit." Katanya tersengih-sengih.

Aku tersenyum melihat gelagat Ros yang nampak agak ceria dan petah bercakap. Lain benar peribadinya semasa dihadapan atuk tadi.

    "Alamak!.." Jerit Ros tiba-tiba sambil menutup mulutnya dengan kesepuluh jari.

    "Kenapa?" Soalku, terkejut.

    "Saya lupa nak siapkan baju untuk cik muda pakai malam ni..." Katanya tersengih sumbing sambil menggenggam kedua-dua belah jari tangannya.

Kali ini aku tergelak sambil menggelengkan kepala. Ros..Ros..

Saturday, July 23, 2011

Bab 6


    Sejak tadi hati aku bagai ditarik-tarik agar pulang ke rumah. Tak pernah aku rasa sebegini. Fikiran aku mula mengandaikan perkara yang bukan-bukan. Tumpuanku pada kerja juga terganggu.

    Tadi aku hampir saja membuatkan gaji aku dipotong kerana terlebih memberi duit baki kepada pelanggan. Nasib baik pelanggan yang baik hati itu memulangkan semula baki wang yang aku terlebih bagi tu. Ahh.. 
kacau! Kalaulah aku dibenarkan pulang awal hari ini...

Kalaulah...

    Sedangkan jam baru pukul 1 tengahari dan aku masih ada baki masa dua jam sebelum waktu kerjaku tamat. Oh, masa cepatlah berjalan.. aku dah tak sabar nak balik rumah ni. Aku berhenti dari mengasingkan barang makanan untuk ditopup di bahagian hadapan yang sudah habis, dan duduk memeluk lutut di atas lantai. Satu benda pun tak masuk dalam kepala otakku saat ini selain rumah! Rumah! Rumah. Aku nak balik rumah sekarang boleh tak????....

    Apa la yang ada kat rumah tu sampai aku asyik teringat-ingat ni? Macamlah aku dah sebulan tak balik rumah. Ada sesuatu yang buruk berlaku pada emak ke? Atau pada abah? Tapi kalau betul ada, mesti sesiapa akan call aku kan?

    Pantas aku bangun dan capai beg untuk ambil handset yang tersimpan di dalamnya. Hanya untuk memastikan jika ada panggilan untukku yang aku tak perasan. Mungkin?.  Tapi tak ada satu panggilan tak dijawab mahupun pesanan ringkas pun. Kalau dah tak ada orang call, maksudnya tak ada apa-apalah tu Irin. Yang kau nak risau lebih-lebih ni kenapa?.

    Aku kembali terduduk di atas lantai. Kenapa hati aku tak tenang ni? Pagi tadi elok je. Aku tenung telefon bimbit Nokia itu dan berharap yang segala keresahan di hatiku ini akan hilang diserap oleh telefon bimbit ini, tapi sebaliknya keresahan aku makin bertambah bila semakin aku tenung ia, semakin aku berharap yang aku akan dapat panggilan dari rumah.

    Ahh, daripada aku pening-pening kepala, kenapa tak aku sendiri je yang telefon emak di rumah? Sekurang-kurangnya dengan cara itu resah di hatiku akan berkurangan. Aku menekan punat telefon bimbit mencari nama emak, sebelum talian itu disambungkan dan aku menunggu dengan penuh kesabaran sehingga panggilan itu dijawab.

Dua kali tutt, tiga kali, empat kali, lima kali dan seterusnya, tak dijawab. Aku matikan panggilan. Mana mak ni, takkan dia letak telefon merata-rata lagi kot sampai lupa kat mana dia simpan?

Aku dail lagi nombor telefon bimbit emak. Dua kali tutt, tiga kali dan seterusnya tetap tak berjawab. Jam di skrin telefon bimbitku menunjukkan pukul 1.30 petang. Baru 1.30 petang sedangkan aku rasa begitu lama duduk di dalam stor ni tanpa berbuat apa-apa??.

Sementara menunggu satu jam setengah lagi untuk aku balik ke rumah dan jantung aku macam dah nak meletup ada baiknya aku balik sekarang. Jadi aku takkan tertanya-tanya lagi. Aku sangkut beg ke bahu, keluar dari stor dan mencari Bob untuk meminta pelepasan awal darinya memandangkan dia merupakan manager di sini.

    "Apasal tiba-tiba je nak balik ni? Mak kau sakit ke?" Soal Bob, keliru.

    "Tak.. aku pun tak tau nak explain kat kau macammana, tapi boleh tak aku balik sekarang? Please..."

    "Ahh.. ok,ok baliklah. Apa-apa hal call aku." Katanya

    "Thank you." Ucapku dan terus berlari anak keluar dari Seven Eleven ini dan menuju ke rumah. Ya Allah, walauapapun yang menantiku di rumah, biarlah ianya sesuatu yang baik.



    Itu dan ini, apa dan siapa, bila dan bagaimana dan pelbagai persoalan menemani perjalananku ke rumah. sehingga kaki aku mencecah tanah di halaman, mataku disantap dengan imej sebuah kereta mewah berwarna hitam. Kelihatan seorang lelaki yang berpakaian seragam kemas berdiri di sisi pintu hadapan kereta.
Ada tanda tanya besar di kepalaku. Milik siapakah kereta ini? Siapa pula yang berkawan dengan orang kaya? Mak? Abah? Atau siapa?

Laju aku atur langkah ke dalam rumah. Pasti ada sesuatu yang tak elok telah berlaku.

    "Mak, abah!" Jeritku di muka pintu.

    Tiga pasang mata memandangku. Sepasang mata penuh pengharapan, manakala dua pasang mata lagi penuh kesedihan. Perlahan aku atur langkah ke arah mak yang menghulurkan tangannya kepadaku.

    Lelaki berkot dan bertali leher itu tidak berkelip memandangku. rambutnya yang agak beruban tidak mencacatkan langsung karisma dirinya. Aku resah bila pandangan matanya langsung tidak beralih mahupun berkelip dari memandangku. Siapa dia?.

    "Mak.. " Panggilku.

Ingin aku tanyakan pada mak, siapa lelaki ini, kenapa dia ada di sini. Tapi tak terluah persoalan-persoalan itu.
    "Irin.. ini encik Ghazi, dia datang sini..." Bicara mak terhenti, ada sendu dalam nadanya.
Aku pandang muka mak yang mula memerah. Ada airmata yang bergenang di tubir matanya. Kenapa mak menangis?.

    "Abah..." Panggilku, mengharapkan agar abah dapat menyempurnakan kata-kata mak yang tergantung tadi.

Abah tarik nafas, dalam. Sebelum perlahan-lahan dihembusnya semula. Kepala aku diusap perlahan. Aku nampak yang dia berusaha keras untuk senyum, tapi tawar.

    "Abah kenapa?" Soalku lagi tak sabar. Aku rimas dalam keadaan ini. Aku lemas. Aku ingin tahu apa yang terjadi.

    "Encik Ghazi datang nak bawa Irin balik." Kata abah perlahan.

    "Bawa Irin balik mana?" Soalku, keliru. Selama ni setahu aku ini saja rumah yang aku ada. Ini tempat tinggalku, ini duniaku. Bersama abah dan mak  yang setia menjagaku.

    "Bawa balik ke rumah Irin yang sebenar." Jawab lelaki tua dalam lingkungan usia abah, yang abah dan mak panggil encik Ghazi.

    "Irin ada rumah ke?" Soalku kepadanya. Bukankah selama ini hidup aku cuma sebatang kara? Aku tak ada ibu, tak ada ayah. Aku cuma ada mak  dan abah yang dah aku anggap sebagai ibu dan ayahku sendiri.

    "Ada. Irina ada rumah sendiri, atuk Irina dah lama tunggu Irina balik." Kata encik Ghazi lagi, lembut.

Atuk? Aku ada atuk? Setelah bertahun-tahun aku hidup di sini, baru muncul waris keturunanku  untuk membawa aku pulang? Gembira? Ya, aku sangat gembira mendengar berita ini. Aku ada atuk! Darah dagingku! Tapi dalam masa yang sama aku agak terkilan, di mana atuk sewaktu kejadian itu? Dimana atuk sewaktu aku ditinggalkan di kampung halaman ini? Di mana atuk sepanjang proses pembesaranku di rumah kecil ini? Di mana?.

    "Irin ada atuk?" Soalku lagi meminta kepastian.

    "Ya, pak cik datang sini sebab nak bawa Irina balik ke rumah atuk Irina. Tinggal bersama dengan dia." jelas encik Ghazi lagi, tersenyum.

    Aku tersenyum. Sinis. Setelah bertahun-tahun aku dijaga oleh sepasang suami isteri yang memintaku memanggil mereka mak dan abah, kini aku ingin dibawa pergi ke dunia asalku, meninggalkan mereka yang telah banyak berkorban untukku. Sanggupkah aku?.

    "Tapi Irin tak boleh tinggalkan mak dan abah." Kataku, tegas.

Langsung aku tak angkat muka. Sebenarnya hati aku berbelah bahagi. Kembali ke pangkuan keluarga kandungku atau terus tinggal bersama mak dan abah yang dah banyak berjasa kepadaku? Aarrgghh.. kenapa baru sekarang atuk harus muncul!! Kenapa tidak beberapa tahun lepas? Kenapa tidak semasa aku sangat-sangat memerlukan dia?

    "Irin.. mak dan abah tak larang Irin untuk duduk dengan atuk Irin, pergilah." Kata mak menahan sendu.

    Inikah perkara yang membuatkan dada aku terasa tidak enak sejak di tempat kerja tadi?Inikah perkara buruk yang aku fikirkan tadi? Menghadapi saat gembira dan perpisahan dalam masa yang sama?.

    "Irina, walaupun Irina dah duduk dengan atuk tapi Irina masih boleh datang ke sini, masih boleh lawat mak dan abah Irina kat sini. Tapi atuk, dia sangat perlukan Irina sekarang ni. Dia rindukan Irina.." pujuk encik Ghazi.

    Ya, aku ingin kembali ke pangkuan atuk yang selama ini sudah aku lupakan, aku ingat aku cuma ada ayah dan ibu, tapi rupanya aku juga ada atuk, atuk yang jarang aku jumpa kerana kesibukannya.

    Tapi apa pula kata mak dan abah? Aku anak yang tak kenang budi? Aku seperti kacang lupakan kulit. Apa pilihan yang harus aku pilih?. Air mata aku begenang, tunggu masa untuk tumpah je. Keliru, gembira, kecewa semua bercampur gaul.

    "Irin.. mak ikhlas benarkan Irin pergi. sementara masih ada masa, pergi lah jumpa dengan atuk Irin, habiskan sisa hidup yang masih ada dengan dia sebelum terlambat. Sekurang-kurangnya Irin akan rasa lebih dekat dengan ibu dan ayah Irin kan?"  Pujuk mak dalam sendunya.

    "Tapi mak..."

    "Dari dulu lagi mak dah ikhlaskan hati untuk biarkan Irin cari keluarga kandung Irin bila Irin dah bersedia nanti. Sekarang, peluang dah ada depan mata, takkan irin nak lepaskan saja? Irin dah hilang ibu dan ayah, takkan Irin nak hilang atuk pula?" Pujuk mak lagi.

Aku mengeluh, berat. Mak membuatkan aku rasa semakin serba salah.

    "Tapi ini terlalu mengejut, Irin belum sedia.." Kataku. sekurang-kurangnya aku perlu memberitahu majikanku yang aku perlu berhenti kerja, aku perlu mengemas pakaian dan barang-barangku. Banyak benda yang perlu aku selesaikan di sini.

    "Encik Ghazi datang dari jauh semata-mata untuk bawa Irin balik, takkan Irin nak biar dia balik dengan tangan kosong, dan hampakan atuk Irin yang tengah menunggu Irin sekarang? Pergilah Irin, abah dengan mak bukan menghalau tapi atuk Irin lebih berhak ke atas Irin" Kata abah lembut, tapi terasa pedih menikam jantungku. Seolah-olah abah menghalauku walaupun dia mengatakan sebaliknya.

    Air mataku tumpah juga. Perlahan dan semakin deras. Peritnya rasa situasi ini. Kenapa aku perlu menghadapi berita gembira dan duka sekaligus?

    "Saya faham kalau Irina perlukan masa untuk berfikir dan selesaikan semua urusannya disini, tiga hari lagi saya akan datang balik untuk bawa Irina balik ke sana.." Kata-kata encik Ghazi membuatkan hati aku kembali tenang.

    Aku kesat air mata. Dalam keadaan begini menangis takkan menyelesaikan masalah. Aku perlu berbincang dengan mereka secara lebih terperinci.

    "Irin nak tau, macammana pak cik boleh jumpa Irin kat sini?" Soalku.

encik Ghazi menarik nafas panjang, seolah-olah perkara ini terlalu berat untuk diceritakan.

    "Sebenarnya kami dah lama cari Irina, dah bertahun-tahun sejak kemalangan itu berlaku, atuk Irina tak pernah berhenti cari cucunya. Kehilangan Irina jadi tanda tanya pada kami semua, kalau Irina pun terbabit dalam kemalangan tu sekali, mesti ada jasadnya di situ, tapi.. " encik Ghazi berhenti bercakap dan menunduk.

    "Saya tak sanggup nak lihat atuk Irina terus-terusan menyalahkan dirinya sebab tak ambil peduli pada anak, menantu dan cucunya. Bertahun-tahun dia hidup dalam kemurungan. sehinggalah beberapa hari lepas, penyiasat persendirian yang kami upah, terjumpa Irina di sini. "

    Penyiasat persendirian? Orang itukah yang mengekoriku tempoh hari sewaktu aku baru pulang dari kerja?

    "Tapi macammana pak cik boleh yakin dan pasti yang Irin lah orang yang pak cik cari?" Soalku, mula ragu-ragu. Entah-entah pak cik Ghazi tersalah orang dan aku sebenarnya tak ada atuk?.

    "Sebelum pak cik datang sini, pak cik dah siasat latar belakang Irina dulu. Irina Imani binti Ilyas, kematian ibubapa sewaktu berumur empat tahun dah cukup membuktikan Irina adalah orang yang kami cari." Kata pak cik Ghazi, yakin.

Aku telan liur.

Monday, July 18, 2011

Bab 5


Aku sedang berjalan-jalan di sebuah taman yang menempatkan bermacam-macam jenis bunga dan pokok-pokok besar yang berbunga dan rendang. Redup je tempat ni, tenang.

    "Irina..."

Aku menoleh kebelakang bila terdengar namaku dipanggil. Kosong, tiada sesiapa di sini selain aku sendiri.

    "Irina.."

Sekali lagi nama aku dipanggil. Aku memandang sekeliling, mencari gerangan tuan punya suara. Sehinggalah aku ternampak ibu sedang memandangku dengan senyuman manis di bibirnya. Dah lama aku tak tengok senyuman itu. Senyuman yang selalu diberikan kepadaku setiap kali aku bercerita tentang kawan-kawanku semasa di taska. Senyuman yang selalu dihadiahkan untukku, setiap kali aku berjaya melakukan sesuatu kebaikan. Senyuman terakhir yang di sematkan di fikiranku, sewaktu aku kata aku nak beli kek dan anak patung untuk hadiah hari lahirku.

    "Ibu!"

Aku berjalan mendekati ibu tapi yang peliknya semakin aku berjalan, semakin aku terasa ibu terlalu jauh sedangkan kalau dilihat jarak tempat ibu berdiri dengan aku cuma beberapa langkah.

    "Ibu, tunggu Irin.." Panggilku.

Pandangan mata ibu sayu, tiada lagi senyuman di bibirnya. Aku berjalan lebih pantas untuk sampai kepada ibu, aku ingin peluknya erat. Aku ingin lepaskan rasa rindu ini. Aku hulur tangan kepada ibu agar ibu menyambut, tapi sebaliknya ibu cuma melihat. Aku berlari, berlari dan berlari, tetap aku masih belum dapat 
kejar ibu.

    "Ibuuu...." Jeritku.

Tiba-tiba kaki aku tersadung sesuatu dan aku terjatuh. Aku menangis, menangis dan menangis bila ibu langsung tak menolongku bangun sebaliknya dia terus menjauh, menjauh dan hilang dari pandanganku.
Tiba-tiba ada seseorang yang menghulurkan tangannya kepadaku.

    Aku tersentak, dan terus terjaga dari lenaku. Aku perhati keadaan sekeliling. Aku masih di atas katil dan di dalam bilik tidurku, bukan di sebuah taman bunga ditemani ibu. Mimpi lagi. Masuk malam ni, dah tiga malam aku bermimpi tentang ibu, cuma malam ni agak pelik sikit, kenapa ada orang yang hulur tangan kepadaku?

    Dua malam sebelumnya aku bermimpi, kejadian yang berlaku 19 tahun lepas. Kejadian dimana kemalangan itu berlaku, roh aku seolah-olah sedang melihat kejadian itu, bagaimana ayah yang dilanggar kereta, bagaimana ibu keluar dari kereta dan juga dilanggar, bagaimana aku yang masih belum tahu apa-apa ketika itu menangis dan menjerit memanggil ibu dan ayah sedangkan tiada sesiapa yang mempedulikan aku, sehinggalah seorang pak cik yang memujukku dan mengajak aku menaiki keretanya dan membawa aku ke sebuah perkampungan. Di perkampungan itulah dimana aku ditinggalkan bersama-sama dengan emak dan abah. Cuma yang menjadi persoalanku sehingga sekarang, siapa pak cik yang membawaku ke rumah emak dan abah itu?

    Pada malam pertama aku bermimpi, cuma bayangan wajah ayah dan ibu saja yang muncul dalam mimpiku. Tanpa pamitan, tanpa senyuman, cuma pandangan yang tiada perasaan.

    Petanda apa pula ni? Selalunya kalau kita bermimpi tentang seseorang yang dah tak ada, adakah ianya membawa sesuatu maksud? Risau dan runsing kepalaku sekarang ini, penyudahnya entah pukul berapa aku kembali lena.



Disebabkan mimpi itu, kehidupan harianku terganggu. Setiap masa aku asyik memikirkan tentang mimpi itu. Nak aku ceritakan pada emak dan abah tapi berat pula mulut nak bercerita, nak ceritakan pada Bob.. rasa macam tak selesa pula. Walapun Bob tahu yang aku hanyalah anak angkat kepada emak dan abah tapi aku masih tidak begitu terbuka untuk bercerita semua masalah peribadiku kepada Bob, sekalipun dia selalu menjadi seseorang yang begitu prihatin denganku macam seorang abang, tapi..

    "Aku tau yang kau memang suka termenung, tapi kalau sampai tahap termenung macam ni, aku tau yang kau ada masalah kan?"

Teguran Bob yang secara tiba-tiba itu mematikan lamunanku tentang mimpi-mimpiku. Aku urut dada, reaksi biasa untuk menunjukkan yang aku memang terkejut dengan sergahannya.

    "Apasal kau ni suka main sergah-sergah?" Marahku.

    "Mana ada aku sergah, tak nampak ke aku cakap baik-baik tadi?" Balas Bob, separuh berjenaka tapi memang betul pun katanya, mana ada dia sergah, aku je yang terkejut lebih.

    "Kau ada masalah ke? Kalau ada cerita je la kat aku, aku ni kan pendengar yang setia.." kata bob.
Aku mencebik bibir.

    "Apa tak betul ke aku cakap" Balasnya sedikit tegas.

    "Terima kasih je lah sebab sudi mengoffer diri, tapi aku tak ada apa-apa masalah pun"

    "Walaupun aku kenal kau tak sampai setahun, tapi tengok muka kau pun aku dah boleh baca apa yang tersimpan dalam hati kau tu tau.."

    "Uuu... bahayanya.."

    "Heh kau jangan tak tau pula yang aku ni, boleh baca fikiran orang. Sekarang cerita apa masalah kau kat aku."

Bob baik, memang sangat baik. Tapi kadang-kadang Bob buat aku rasa rimas dengan sikapnya yang suka mendesak. Dia tak faham aku walaupun aku tau yang dia cuba untuk faham dengan sikapku yang kadang-kadang ceria macam dunia ni aku yang punya, dan kadang-kadang senyap dan suka menyendiri. Ada sesetengah perkara yang aku tak kisah berkongsi dengannya tapi ada juga sesetengah perkara yang aku tak boleh atau tak bersedia untuk berkongsi dengan dia.

    "Tengok tu, aku suruh cerita dia termenung pula. Sah! memang ada sesuatu yang terbang dalam kepala otak kau tu kan?"

    "Kalau ada pun, tak semestinya aku wajib cerita kat kau kan?"

    "Ok, aku anggap yang kau sebenarnya belum sedia nak cerita kat aku, tapi nanti, kalau kau perlukan telinga untuk mendengar, jangan lupa aku sentiasa ada untuk kau." Kata Bob. Begitu memahami. Oh, tak pernah aku lihat Bob begini. Terserlah ciri-ciri seorang lelaki berumur 25 tahun dalam dirinya. Kalaulah dulu dia tak melarang aku memanggilnya abang pasti sekarang aku dah pun menjadikannya sebagai abang angkat aku.

    "Bob, thank you." Ucapku ikhlas.

Bob tak menjawab apa-apa sebaliknya sekadar menghadiahkan senyuman segaris untukku sebelum dia kembali menyambung kerjanya.

     Ya Allah, aku mohon kepadamu agar mimpi-mimpi itu tidak membawa maksud buruk dalam kehidupanku, Ya Allah, kau cucurilah rahmatku untuk ibu dan ayah, tempatkan lah mereka dalam golongan orang-orang yang beriman. Amin..


    Sewaktu dalam perjalanan balik kerja, naluri aku mengatakan bahawa ada seseorang yang sedang memerhatikanku sejak aku keluar dari tempat kerjaku tadi. Walaupun hari masih siang, terang lagi benderang tapi perasaan tak enak itu tetap bermukim di dadaku. Aku sentiasa percaya pada kata hati dan selalunya naluri aku tak pernah silap.

    Aku mempunyai tahap naluri yang kuat sehinggakan aku boleh merasakan kehadiran syafiq walaupun aku tak nampak dia. Sewaktu sedang beratur hendak naik bas ke bandar, hati aku kuat menyatakan yang syafiq ada di dalam bas yang sama. Pada mulanya aku menganggap ia cuma mainan perasaan, ya mungkin perasaan aku saja yang berharap agar dia ada di dalam bas itu tapi sebaliknya yang berlaku bila rupa-rupanya dia betul-betul ada dalam bas tersebut!.

Dan sejak tu aku tak pernah menafikan naluri aku sendiri.

    Sambil berjalan aku mengerling ke belakang. Ingin melihat gerangan manusia yang mengekoriku itu, tapi orang itu terlalu bijak bila dia langsung tidak membuatkan dirinya berjaya dikesan mahupun terlihat oleh jelingan mataku.

    Apa yang dia nak? Mencuri? Meragut? Atau menculik aku?. Ya Allah, betapa tak selamatnya aku rasakan saat ini. LIndungi aku Ya Allah. Lindungi aku daripada manusia-manusia yang berniat jahat terhadapku.
Lindungi aku. LIndungi aku. Bantu aku. Jauhkan aku daripada manusia-manusia yang berniat jahat terhadapku itu. Ya Allah, Ya Allah.

    Tak putus-putus hatiku mengucapkan doa itu, memohon perlindungan dari yang Maha Melindungi sehingga akhirnya aku selamat sampai di rumah tanpa diculik, diragut mahupun diapa-apakan.

    "Irin?" Emak menegurku dengan kening berkerut.

    "Ya?" Jawabku sedikit blur.

    "Kenapa?" Soal emak.

    "Tak ada apa. Kenapa?" Soalku sambil menggaru kepala. Pelik dengan soalan emak.

    "Dah tu kenapa mak tengok muka pucat je? Demam ke?"

Aku usap pipi. Pucat? Terus aku melihat wajahku di cermin. Ya lah, pucat sikit bibirku.

    "Ahh.. tak, penat sikit je, banyak kerja tadi. Makan pun belum lagi." Dalihku. Tak mungkin aku akan ceritakan pada mak yang aku terasa seperti diekori tadi. Itu hanya akan membuatkan emak risau saja.

    "Lah kenapa tak makan lagi?  Patutlah pucat je muka tu, pergi makan cepat. Dah tau tekanan darah awak tu rendah, lagi nak lengah-lengahkan makan, kalau pengsan kat tepi jalan tadi siapa la yang nak tolong" Bebel mak panjang lebar sambil tangannya ligat mengurai daun pisang dari batangnya.

    Tanpa jawapan balas aku terus masuk ke bilik, menyalin baju dan keluar kembali dan masuk ke dapur, mencari makanan untuk diisi kedalam perut yang tak lapar langsung. Aku selalu macam ni, bila tak ada makanan depan mata, bukan main lapar lagi perut ni, tapi bila makanan dah terhidang depan mata, terus hilang selera nak makan. Sebab tu kadang-kadang aku makan pun kerana dipaksa oleh mak dan abah.

    "Abah tak balik lagi ke mak?" Soalku, sekadar membuka ruang perbualan.

    "Ada tadi abah balik kejap hantar daun pisang ni kat mak, lepas tu abah pergi balik. Katanya nak tebang pisang, lambatlah dia balik petang ni." Jawab mak membuka cerita.

    "Mak nak buat kuih apa dengan daun pisang tu?" Soalku, sambil menyuap sedikit demi sedikit nasi ke mulut.

    "Lepat pisang"

    "Aik, ada ke pisangnya?" Soalku sambil tercari-cari pisang di sekeliling dapur. Tak jumpa.

    "Ada, tadi abah hantar sekali, ada kat luar tu mak tak bawa masuk lagi."

    "Oh.. bagus betul tanam pisang ni kan mak? Daun dia boleh guna, buah dia dah sah-sah la boleh dimakan, batangnya pun boleh dibuat gulai. Kalau macam ni abah jadi tauke pisang ajelah." Kataku separuh bergurau tapi fikiranku ligat memikirkan logiknya mengkomersilkan tanaman pisang. Tapi bagaimana caranya?.

    "Eh, bukan abah kamu tu memang tauke pisang ke?" Soal emak, bergurau.

    "Itu tauke yang biasa-biasa, yang Irin cakap ni tauke luar biasa mak!, Jadi  pengusaha pisang yang berjaya. Boleh kan mak?" Soalku. Tiba-tiba aku jadi teruja membincangkan topik ini.

    "Kalau dah tanam pisang, jual pisang nak berjaya macammana lagi Irin, dapat abah kamu kumpul duit untuk perbelanjaan kita pun dah cukup berjayalah tu." 

    "Pisang kan boleh dieksport ke luar negara, nanti abah tanam la pisang banyak -banyak, bagi pada pemborong untuk dieksport ke luar negara, kan dah dapat banyak untung kat situ?" Kataku meluahkan buah fikiranku sendiri.

Emak cuma ketawa mendengar kata-kataku.

    "Hei.. anak mak seorang ni, kalau nak dieksport ke luar negara mestilah dia pilih baka pisang yang bagus-bagus, kalau setakat pisang emas yang selalu direbut dengan burung ni tak hendaknya diorang export ke luar negara. Pandang sebelah mata pun  tidak agaknya." Kata mak masih bersisa ketawa di bibirnya.

    "Hemm.. kalaulah Irin boleh tolong abah dengan mak.." Aku menguis nasi di pinggan. Mengeluh.

    "Irin? Kenapa Irin cakap macam tu?" Soal emak bangun sambil membawa helaian-helaian daun pisang tadi ke dapur. Sejak tadi kami bersembang dengan emak di ruang tamu depan tv manakala aku di meja makan di dapur.

    "Tak adalah, kalaulah Irin boleh tanggung keluarga kita jadi mak dan abah tak payah kerja lagi, tapi gaji Irin tak cukup banyak untuk tampung keluarga kita.." Kataku kesal. Kesal kerana emak mahupun abah tak langsung membenarkan aku untuk berbuat demikian.

    "Irin, mak dan abah tak minta Irin untuk tanggung mak dan abah tau, lagipun kita bukannya miskin macam dalam cerita Bersamamu tu yang rumah tak lengkap, elektrik tak ada, air tak ada, kita cuma tak cukup mewah tapi hidup kita sempurna, cukup semuanya. Biar kita miskin harta Irin, jangan kita miskin kasih sayang.."

    "Tapi Irin teringin nak tengok mak dan abah duduk goyang kaki kat rumah, tak payah risau pasal kerja, pasal nasi lemak, pasal pisang kat kebun. Biar semuanya Irin yang uruskan, sekurang-kurangnya Irin takkan rasa serba salah lagi sebab susahkan mak dan abah untuk besarkan Irin."

    "Irin!, kenapa cakap macam tu? Mak dan abah tak pernah rasa terbeban membesarkan Irin, padahal Irin lagi bawa keceriaan dalam hidup mak dan abah. Irin tau tak betapa teringinnya mak nak ada anak dulu? Agaknya kalau Allah tak hantar Irin pada kami, sampai sekarang pun mak masih tak merasa nak ada anak sendiri" Kata mak dengan air mata yang bergenang di tubir matanya.

    Aku bangun, basuh tangan di sinki dan memeluk emak yang berdiri di tepi para. Perasaan serba salah menguasai diriku, sungguh aku tak bermaksud untuk buat mak rasa sebegitu, aku cuma... Ahh, niatku iklas ingin membantu emak dan abah cuma mungkin emak tersalah tafsir maksudku.

    "Irin minta maaf mak, bukan macam tu maksud Irin, Irin sayang emak dan abah, Irin dah tak ada sesiapa lagi kat sini, sebab tu Irin nak mak dan abah hidup bahagia, hidup senang, maafkan Irin ya?" Aku peluk emak erat.

    "Lain kali jangan cakap macam tu lagi, ingat! Irin tak pernah jadi beban pada mak dan abah." Emak membalas pelukanku.

Aku mengangguk faham. Aku janji aku takkan ungkit lagi tentang nak balas jasa, tentang nak tolong mak dan abah dan semua perkara yang akan buat mak sedih. Lepas ni aku akan buat senyap-senyap, aku akn pastikan yang pengorbanan emak dan abah selama ni akan dibalas. Itu tekadku!.

Wednesday, July 13, 2011

Bab 4


Ahmad Syafiq Bin Ahmad Iskandar. Ketua pengawas sekolah masa dia darjah enam. Mendapat keputusan yang sangat cemerlang dalam peperiksaan percubaan UPSR, pelajar contoh untuk pelajar-pelajar lain, pelajar kesayangan guru-guru. Menjadi rujukan rakan-rakan sebaya. Menjadi kegilaan pelajar-pelajar perempuan yang satu darjah dengan dia mahupun pelajar-pelajar junior. Termasuk aku.

    Kenapa aku suka dia? Selain ciri-ciri yang aku nyatakan di atas, dia juga bagi aku ada auranya yang tersendiri. Gaya dia berjalan.. teratur dan cool. Jarang nampak dia berjalan seorang diri, selalunya dia berjalan ramai-ramai dengan kawan-kawan lelaki dia. Itu pun dah menunjukkan betapa dia begitu disenangi oleh orang-orang disekelilingnya.

    Dia tetap nampak kacak walaupun rambut dia kering tanpa gel macam selalu. Dan kalau rambut dia disapu gel, ia akan membentuk huruf M. Keningnya yang lebat, alis matanya yang melentik, walaupun ketinggian dia tidaklah seperti mana-mana lelaki macho yang selalu digambarkan seperti dalam tv atau novel, tapi dia masih mempunyai ketinggian yang ideal.  Dia nampak macho walaupun kadang-kadang muka dia nampak serius, dia nampak macho walaupun dia berjalan seorang diri dan menundukkan kepalanya, dia nampak macho dalam apa saja gayanya. Ternyata dia mempunyai auranya yang tersendiri.

    Walaupun dia tak begitu aktif bersukan, tapi dia masih aktif berpersatuan dan kebiasaannya, jawatan pengerusi akan disandang oleh dia, macam biasa. Satu perkara yang aku paling suka tentang dia, adalah dia tak gunakan kekacakkan wajahnya sebagai sesuatu yang harus dibanggakan dengan berlagak menjadi playboy. Tidak. Dia tidak begitu, sebaliknya dia berkawan dengan semua perempuan sama rata dan dia hanya ada seorang kekasih pada masa itu. Ya, perempuan itu selalu membuatkan aku rasa cemburu. Kenapa bukan aku saja yang jadi kekasih lelaki pujaan sekolah itu?.

    Ada satu peristiwa yang aku masih belum boleh lupa sampai sekarang adalah bila dia dengan baik hatinya telah menolongku membaikpulih rantai basikalku yang jatuh, di garaj basikal dalam kawasan sekolah.

Waktu itu, aku dan seorang kawanku ingin pulang ke rumah, tapi malangnya rantai basikalku yang jatuh itu tak mahu melekat di rim basikal walaupun sudah berkali-kali aku cuba membaikinya, kebetulan waktu itu hanya tinggal kami berdua di garaj dan hanya ada sebuah basikal lain di situ, yang aku sedia maklum, basikal itu adalah miliknya. Tak lama selepas tu, dia datang dengan kawannya, dan masa itulah dia menghulurkan bantuan. Satu perkara yang masih membuatkan aku kesal kerana aku tak lakukan dulu, adalah aku langsung tak ucap terima kasih. Sebaliknya aku terus pergi tanpa menoleh ke belakang lagi.

    Setiap hari selepas kejadian itu, aku harap yang aku diberi keberanian untuk mengucapkan perkataan itu kepadanya, tapi siapalah aku untuk bercakap dengan senior lelaki yang popular di sekolah. Akhirnya sehinggalah dia tamat darjah enam dan berpindah sekolah menengah, manakala aku masih tersangkut di sekolah itu untuk menamatkan lagi satu tahun persekolahan, rasa kesal itu masih belum hilang. Malah, aku semakin terasa 'kehilangannya'.

    Tak ada lagi orang yang aku nak pandang masa perhimpunan, tak ada orang yang aku nak cari masa rehat, tak ada lagi orang yang aku nak jumpa bila nak pergi sekolah. Tak ada lagi orang yang akan membuatkan aku rasa lebih bersemangat setiap hari.

    Tapi itu cuma untuk setahun sahaja. Setahun kemudiannya, aku masuk ke sekolah menengah, sekali lagi aku belajar di sekolah yang sama dengan dia. Mujur dia tidak memilih untuk bersekolah di mana-mana sekolah berasrama penuh memandangkan keputusan UPSRnya cukup baik walaupun dia kekurangan satu A. 

Di situ, semangat aku kembali membara. Tapi itu pun tak lama, dua tahun kemudian bila keputusan PMR 
diumumkan, akulah orang paling sedih mendengar berita yang dia mendapat keputusan cemerlang. Bermakna dia akan pilih sekolah yang lebih baik dari sekolah ini.  Sekali lagi aku kehilangannya.

    Sejak dari itu aku tak pernah berhenti berharap untuk terserempak dengan dia di mana-mana, mungkin di kedai, mungkin di pasar, mungkin di depan rumah dia, atau dimana-mana saja. Syafiq adalah lelaki pertama yang aku suka gila-gila. Suka yang bukan suka sebab dia kacak, atau sebab-sebab yang entah apa-apa, macam.. aku suka safuan sebab dia duduk kat sebelah aku masa darjah 3, aku suka zahier sebab dia anak cikgu, aku suka ali sebab muka dia jambu, aku suka michael sebab dia suka kacau aku. Tapi aku suka syafiq sebab dia tak pernah buat apa-apa pada aku. Aku suka dia sebab siapa diri dia.  Aku suka dia tanpa aku sendiri tau apa sebabnya. Misteri..

Rupanya perasaan itu tak pernah hilang sampai sekarang, walaupun aku sudah berumur 22 tahun dan dia 23 tahun, yang kemungkinan besar dia dah ada kekasih lain, atau mungkin kekasih yang bakal jadi calon isteri, aku masih simpan perasaan ini untuk dia.

Dan berharap, suatu saat nanti, perasaan ini akan dibalas. hem!.

    "Apa benda la yang kau tulis tu..." Teguran Ziana yang tiba-tiba berdiri di sebelahku sambil mencuri baca apa yang aku tulis membuatkan aku sponton menutup buku dan memeluknya erat ke dada. Fuiihh, bahaya betul!.

    "Mana boleh curi baca apa yang orang tulis.." Kataku, separa malu dan marah. Bergetar dadaku. Risau jika Ziana mungkin akan terbaca hatta satu perkataan sekalipun.

    "Tak sempat baca pun..." Katanya dan kembali menjauhkan diri dariku.

Aku menyimpan buku nota dan pen itu ke dalam beg. Selepas itu aku kembali menyibukkan diri dengan menyusun majalah-majalah di rak yang diletak betul-betul besebelahan dengan pintu.

    Loceng pintu berbunyi menandakan ada pelanggan yang baru masuk. Pantas aku berpaling ke belakang untuk kembali ke meja kaunter sebelum aku tergaman dan dadaku bergetar. Untuk tempoh masa kurang dari sesaat, mata aku dan matanya sempat bertentangan.

Syafiq!.

Kenapa dia selalu muncul di saat aku langsung tak jangka?. Bila terjumpa dalam keadaan tak disangka-sangka begini hati aku selalu tak keruan, tingkahku selalu tak teratur, nak berjalan ke meja kaunter yang jaraknya cuma beberapa langkah pun aku dah terketar-ketar, macammana nak serve dia nanti? Ah, kacau!.

Dalam pada cuba meredakan gelora di hati, aku terperasan sorotan mata Ziana yang memandangku pelik bercampur curiga. Aku angkat kening ke arahnya, seolah isyarat bertanyakan kenapa dia memandangku. Ziana menggelengkan kepalanya dan berlalu ke belakang. Mungkin menyambung kerja.

Aku tarik nafas dan menghembusnya berulang kali sehingga aku benar-benar yakin yang aku mampu mengawal diri. Err.. maksud aku mengawal perasaan ini. Maklumlah, kadang-kadang bila berada dekat dengan orang yang aku suka dalam diam, perilaku aku secara tiba-tiba akan bertukar menjadi kelam kabut dan agak tak terkawal, otak aku jadi tak boleh berfikir dengan waras..

Oh, itu dia datang. Rileks Irina.

Sebotol air 100 plus,  sebatang gula-gula lolipop dan sebungkus keropok Twisties perasa tomato dihadapkan di hadapanku. Dengan tenang, aku mengira semua jumlah barang-barang ini dan memasukkan ianya ke dalam plastik, sementara Syafiq mengeluarkan duitnya dari dalam beg duit.

Not RM5 dihulurkan kepadaku. Jumlah barang yang dibeli cuma RM4.60, lalu aku memberi baki lagi RM0.40 kepadanya.  Sejak tadi aku cuma menunduk, sekalipun hati aku begitu rindu untuk melihat 
wajahnya. Sesaat berlalu, plastik barangannya di atas meja masih belum berusik. Aku menjeling sedikit dan melihat Syafiq masih berdiri di hadapanku, kenapa? Dia nak kata sesuatu dengan aku kah? Aku mula tak keruan. Serba tak kena bila dia masih tak pergi.

    "Duit baki?" Soal Syafiq.

Aku angkat kepala. "Haa??" Soalku agak kabur dengan pertanyaannya.

    "Tadi aku bagi RM50, Kau bagi balance RM0.40 je, mana lagi RM45?" Katanya menerangkan kepadaku satu persatu.

Aku garu kepala. Blur. Bukan dia bagi RM5 je ke tadi?

    "Bukan kamu bagi RM5 je ke?" Soalku, menutup rasa malu.

    "Tak.. RM50, kau silap pandang kot.." Balasnya.

Tanpa mahu banyak soal aku memulangkan kembali baki duit yang sepatutnya kepada dia. Panas membahang terasa mukaku saat ini.

    "Sorry, kita tak perasan tadi." Kataku walaupun kalau boleh sekarang juga aku ingin lenyap dari pandangannya.

    "Tak apa.." Balas Syafiq, lembut kedengaran di telingaku. Nada seolah memujuk. Ahhh... Pengsan!

    Aku hanya memerhatikannya sehingga dia keluar dengan senyuman malu di wajahku saat ini. Juga dengan muka yang terasa panas.

    "Aku dah agak dah!, Patutlah masa dia mula-mula masuk tadi muka kau dah lain..." Sergah Ziana tiba-tiba.

    "Apa kau cakap ni?" Soalku, pura-pura tak faham.

    "Alah, tak payah nak malu-malu dengan aku lah. Tengok tu muka kau dah merah, kau suka mamat tu tadi ye?" Soal Ziana giat mengusikku.

    "Pandai-pandai je, mana ada lah!" Dalihku.

    "Alalala.. malu-malu kucing pulak. Cerita la kat aku, siapa mamat tu? Bekas pak we kau eh?" Soal Ziana lagi.

Kalau nak diikutkan, sebut saja Ahmad Syafiq, siapa yang tak kenal dengan pelajar terbaik sekolah tu, tapi sebab Ziana bukan berasal dari pekan sini jadi memang tak hairanlah kenapa dia tak kenal Syafiq, dan aku takkan sekali-kali membuka cerita tentang Syafiq kepadanya.

    "Sibuk je lah Ziana nih, pergi buat kerja." Aku menolak lembut tubuhnya supaya menjauhi aku.

    "Tak nak cerita kat aku tak apalah..." Katanya pura-pura merajuk dan menjauhkan diri dariku.

tapi baru beberapa langkah dia menjauh, dia kembali kepadaku dan memujuk supaya aku menceritakan tentang Syafiq kepadanya.

    "Eii.. aku tak kenal dia lah, dah! kalau kau tanya lagi aku tak mahu cakap dengan kau lagi." Ugutku.

    "Ok..ok.. orang tak nak cerita takkan kita nak paksa pulak kan..." Ziana sengaja bercakap dengan nada berjauh hati supaya aku dihimpit perasaan serba salah.

    "Hemmm.. tau tak apa." Balasku selamba, sempat aku jelir lidah ke arahnya yang geram mendengar jawapanku itu.

Tuesday, July 5, 2011

Bab 3

Esok, shift kerjaku pada waktu petang, pukul 3. Jadi malam ni memang tak ada alasanlah untuk aku tak tolong emak buat kuih dan nasi lemak. Memang sejak aku kecil sampai dah besar panjang ni, emak tak pernah berhenti dari buat kerja ini walaupun aku dah melarangnya kerana aku mampu untuk menyara kehidupan kami sekeluarga. Tapi kata emak...

    "Irin simpanlah duit Irin tu, selagi mak ada tenaga, biarlah mak je yang cari duit. Lagipun dah bertahun-tahun mak buat kerja ni, dah biasa pun.."

Dan lepas tu, aku tak pernah bangkitkan lagi soal ini. Yang penting, tiap-tiap bulan aku masih beri duit pada emak dan abah walaupun mereka menolak. Tapi sebab aku berkeras ingin beri, emak dan abah dah tak kuasa untuk menolak lagi.

Aku keluar dari bilik, melintasi abah yang sedang menonton berita di televisyen dan terus ke dapur, melihat emak sedang terbongkok-bongkok di almari tempat penyimpanan barang-barang kering.

    "Emak cari apa tu?" soalku.

Emak menoleh memandangku sekilas. Kemudian dia kembali berdiri tegak dan berjalan ke arah meja makan, tempat dimana aku sedang berdiri.

    "Tak ada pulak.." kata emak sambil menggaru lehernya.

    Aku kerut dahi. "Apa yang tak adanya mak?" soalku.

    "Tepung!, dah habis. Macammana nak buat kuih malam ni.." keluh emak.

    "Lah, kan boleh beli." Jawabku. Kalau setakat tepung habis memang tak jadi masalah besar, beli je lah kat kedai Papathi tu. Kedai tu biasanya tutup dalam pukul 9 malam. Sekarang baru pukul 8.10, masih sempat lagi kalau nak pergi beli.

    "Siapa pula yang nak pergi beli?" Soal emak, masih mengeluh.

aku pandang abah di depan televisyen. Sebagai isyarat kepada emak supaya menyuruh abah.

    "Abah penat tu, petang tadi dia pergi potong rumput." Kata mak sebagai jawapan kepada isyaratku tadi.

    Aku diam, kalau bukan abah yang nak pergi, siapa pula?.

    "Tak apalah, malam ni kita buat nasi lemak je. Esok mak pergi beli tepung." Kata mak mencari jalan tengah. Tangannya mula lincah mengupas bawang.

    Aku mula rasa tak sedap hati. Walaupun aku sendiri yang tak mahu emak bekerja terlalu keras, tapi memang dah jadi kebiasaan emak akan buat kuih dan nasi lemak tiap-tiap hari. Tengoklah tu, muka mak macam tak seronok je. Makin menambahkan rasa serba-salah di hatiku. Aduhhh..

    "Mak, biar Irin pergi beli lah." Putusku akhirnya.

Mak mendongak memandangku. Matanya bersinar-sinar. "Irin nak pergi?" soalnya dengan sengihan di bibir. Memang tak susah nak baca hati mak melalui reaksi mukanya.

    "Hemmm, Irin pergi."

    "Tapi boleh ke Irin keluar sorang-sorang? Tak apalah, esok je la mak pergi beli" Soal emak, tiba-tiba berasa ragu-ragu. Memang aku jarang keluar malam seorang diri walaupun hanya nak ke kedai Papathi yang jaraknya dari rumah cuma 10 minit. Nak balik kerja kalau memerlukan aku bekerja sehingga waktu malam pun, abah yang akan mengambilku kalau tak ada rakan sekerja yang tolong hantarkan.

    "Alah, bukannya jauh sangat pun. Irin lari la.. kejap je dah sampai" Jawabku cuba menyakinkan emak.

    "Irin tak takut ke?" Soal emak lagi.

    "Kalau takut buat apa Irin nak pergi beli.." Jawabku.

    "Kalau Irin dah cakap macam tu, tak apalah. Nanti kejap, mak ambil duit.." Kata mak akhirnya. Kerja-kerja mengupas bawang ditinggalkan dan dia bangun ingin mengambil duit seperti yang dikatanya tadi sebelum aku melarang.

    "Mak, tak payah. Pakai duit Irin je."

Emak berhenti melangkah. "Tak apa, guna duit mak.. lagipun duit kuih mak dah asingkan siap-siap. Nanti kejap!." Lalu dia terus mengatur langkah ke bilik.

Dan aku juga ke bilikku, untuk menyarung baju sejuk dan mengambil beg duit.

    "Nak pergi mana?" soal abah selepas aku selesai mengambil barang yang kendaki dan duduk di kerusi berdekatan abah sambil menunggu emak.

    "Kedai Papathi kejap."

    "Kenapa?" soal abah lagi.

    "Nak beli tepung."

    "La.. kenapa tak suruh abah? Nak beli apa lagi? Biar abah la pergi belikan." Kata abah sudah berkira-kira untuk bangun dan menyarung bajunya.

    "Eh, tak payah abah, biar Irin pergi. Lagipun abahkan penat.."

    "Irin berani ke keluar sorang-sorang ni?" Soal abah, risau.

    "Irin dah besar la abah. Mestilah berani."

    "iya lah tu.. "

Emak keluar dari bilik dan memberiku duitnya berserta senarai barang yang dia ingin aku beli. Patutlah lama sangat kat dalam bilik tu, rupanya siap buat senarai barang sekali.

    "Nah duitnya. Alang-alang nak pergi tu, mak nak kirim barang sekali boleh?" Soal mak.


    "Boleh mak, tak ada masalahlah!" aku menyambut huluran duit dan kertas senarai barang itu dari tangan emak. Di muka pintu sekali lagi emak bertanya samada aku betul-betul berani atau tidak. Aku jawab dengan yakin yang aku sangat berani!. Barulah mak melepaskan aku pergi dengan sengihan senang hatinya.

Sekali-sekala buat emak senang hati pun seronok juga kan?.




Aku berjalan dari satu rak ke rak yang seterusnya. Dua kampit tepung sudah berada dalam pelukanku, yang aku perlukan lagi adalah gula, kacang dal, yis kering dan gula merah. Walaupun kedai ini hanyalah sebuah kedai biasa yang menjual bermacam-macam benda macam sebuah pasaraya, kenapa la tak disediakan sekali raga untuk kegunaan pelanggan-pelanggan yang nak beli barang banyak-banyak macam aku ni?

Baru pegang dua kampit tepung gandum dengan sekampit gula, aku dah tak boleh nak capai apa-apa barang lain lagi dan memaksaku untuk meletakkan dulu barang-barang ini di meja kaunter.

Tapi sesuatu yang aku tak jangka langsung akan terjadi telah pun berlaku. Jantung aku tiba-tiba berdegup dengan lebih kencang, muka aku terasa kepanasan, kaki aku lemah tak lalu nak melangkah, tangan aku menggeletar sampaikan aku rasa barang-barang ni macam nak terhempas jatuh ke lantai. Oh, hati janganlah kau berlari kencang sangat. Cool Irin, cool.

Aku berjalan melalui belakang Syafiq yang sedang memilih sesuatu di rak makanan ringan. Sungguh!, kaki aku rasa macam nak tercabut masa berjalan kat belakang dia. Bila aku berharap untuk terserempak dengan dia kat mana-mana, dia tak pernah muncul, tapi bila aku tak harap langsung untuk terserempak, dia ada depan mata pula. Aduhai...

Semua barang-barang tadi aku letak di atas meja bersebelahan dengan barang-barang milik pelanggan lain. Berat terasa kaki aku nak melangkah balik ke tempat tadi walaupun hati aku meronta-ronta nak ke sana semula. Ah kaki, kenapa kau tak sepakat dengan hati? Kaki aku melangkah ke arah yang bertentangan dari tempat yang sepatutnya aku ingin pergi. 

Elok-elok nak pergi ambil gula merah tadi, aku terus ambil kacang Dal dulu. Dua lagi barang yang aku perlukan ada di tempat Syafiq berdiri tu. Ahh kenapa rasa malu tiba-tiba ni? Pergi je lah Irin, dia bukan tahu kau suka dia pun. Aku paksa kaki aku untuk melangkah, capai barang yang aku nak dan terus pergi dari situ.

Sengaja aku membelek majalah yang ada di situ, sementara nak tunggu syafiq habis beli barang. Ya, walaupun aku tahu yang aku sama sekali tidak akan tegur dia, dan aku yakin yang dia pun takkan tegur aku tapi aku cuma nak ada dekat dengan dia. Nak curi-curi memandang dia, nak rasa kehadiran dia dekat denganku. Konon!.

Lepas dia selesai pilih keropok dan minuman ringan, buat bayaran dan terus keluar, aku masih terkial-kial nak kira harga barang-barang aku.




Pulang ke rumah disambut dengan wajah risau emak. Kalau bukan kerana Syafiq, pasti aku dah sampai ke rumah lebih awal. Wahh.. sekarang kau nak salahkan Syafiq pula ke irina?.

    "Kenapa lambat? Risau mak, ingat ada apa-apa la jadi kat kamu." Kata mak dengan wajah penuh kelegaan.

    "Tadi ramai orang kat kedai, kena tunggu turn uncle tu nak kira barang" jawabku, separuh menipu. Memang ramai orang, memang aku kena tunggu giliran, tapi aku akan lebih cepat kalau aku tak tunggu Syafiq tadi.

    "Ermm, jomlah tolong mak. Ubi pun belum berkupas lagi tu, petang tadi tak sempat mak nak kupas." Kata mak sambil membawa barang-barang itu ke dapur. Selepas menyimpan baju sejuk dan beg duit kat dalam bilik, aku menyusul mengikuti emak di dapur.

    "kita nak buat kuih apa ni mak?" soalku.

    "Kuih gelang. Tolong kupaskan ubi tu ye, mak nak buat sambal kejap." Pinta emak lembut. Setiap kali emak ingin meminta pertolonganku, pasti dengan bahasa yang lembut, tak pernah dia memaksa kalau aku tak mahu buat.

fikiran aku tiba-tiba teringatkan soalan Bob beberapa hari lepas, tentang apa aktiviti malamku sehingga membuatkan aku terlewat bangun seterusnya terlewat pergi kerja. Inilah kerjaku, tolong mak buat kuih, kalau cepat habis, cepatlah aku tidur, kalau lambat habis, lambatlah aku tidur. Itupun belum kira masa tambahan untuk aku curi-curi menulis lagi.

Waktu kerja yang tak menentu menyukarkan aku untuk membahagikan masa untuk melakukan kerja-kerja sampingan aku. Disebabkan itulah aku suka menulis pada waktu malam. Masa tu biasanya idea datang mencurah-curah macam tagline dalam iklan kokokrunch, 'coklat yang  tumpah mencurah-curah  ke ladang gamdum!.

Friday, July 1, 2011

Bab 2


Pukul tiga petang, Shift aku tamat. Hari ni aku tak terasa untuk buat overtime macam selalu bila fikiran aku dah sangat berat dengan sesuatu yang berlegar-legar di dalamnya. Sebaik Nina sampai dan mengambil alih tempatku, terus aku capai beg dan keluar. Di muka pintu sempat pula Bob memanggilku.

    "Tak buat OT ke hari ni?" soalnya.

Aku cebikkan bibir lalu menggeleng. Setelah pasti tiada apa-apa lagi yang Bob ingin tanyakan, aku terus keluar. Berjalan, berjalan dan berjalan sambil menunduk memandang jalan yang diturap dengan tar. Fikiran aku sarat dengan bermacam-macam persoalan, kebarangkalian, teka-teki, pertanyaan dan macam-macam yang semuanya dijawab oleh diri aku sendiri.

    'Kenapa ibu dengan ayah tinggalkan aku terlalu cepat? Kenapa aku boleh tersesat kat dalam kawasan ini? Kenapa pak cik tu hantar aku ke sini? Kenapa aku rasa hidup aku kosong? Kenapa aku rasa sunyi?'

Kenapa, kenapa dan kenapa sehinggalah sedar tak sedar aku telah pun berjalan ke tempat biasa aku melepak. Bawah pokok ketapang, berhadapan dengan tasik. Tak jauh dari pokok ni pun ada dibina sebuah pondok, untuk sesiapa yang nak bersantai, sambil menikmati udara dan pemandangan indah di sini. Tapi aku tak suka duduk bawah pondok tu sebab kadang-kadang ada orang duduk kat situ, aku tak selesa. Jadi aku memilih untuk duduk atas rumput bawah pokok ketapang ni, sekurang-kurangnya tak ada orang yang akan ganggu aku.

Buku nota yang selalu aku bawa kemana saja aku pergi, aku keluarkan dari dalam beg. Aku menyelak setiap helaian kertas sehingga sampai di muka surat yang kosong. Laju jari aku menulis di atas kertas kosong itu. Sesuatu yang mengganggu fikiran aku sejak tadi.

Tolong Rungkaikan

Aku ingin segala keresahan
persoalan dan masalah ini
Segera diselesaikan.

Setiap malam aku bermimpi,
Mimpi yang aku harap
realitinya pasti.

Setiap hari aku harap agar keresahan
persoalan dan masalah ini
Segera dirungkaikan

Setiap saat fikiran aku
resah kerana itu

Jika tersirat seribu hikmah
disebalik semua ini.
Biarlah pengakhirannya membahagiakan.

Biarlah aku tenang,
Biarlah aku ketawa
Biarlah aku senang
Itu doaku.
Yang Maha Mengetahui,
Tolong makbulkan..

25hb Feb-BawahPokokKetapang

    Sejak aku tahu yang kebarangkalian untuk aku sambung belajar adalah 1 : 0 dan aku sendiri yang memberitahu pada mak dan abah yang aku tak mahu sambung belajar lagi sebaliknya aku ingin bekerja, aku mula berjinak-jinak dengan pen dan kertas. Memang selama ini aku selalu 'berkawan' dengan buku dan pen, tapi yang ini lain sikit. Aku mula merajinkan diri menulis nota-nota pendek dan segala macam kisah hati seperti puisi yang aku sendiri tak pasti, layakkah tulisan aku itu dipanggil puisi? Yang akhirnya aku mula tersedar dengan bakat menulisku.

Dalam aku tak sedar, aku semakin banyak menyimpan perasaan. Depan mak dan abah aku berlagak seolah-olah aku gembira dengan kehidupanku, dibelakang mereka, aku menangis sendirian. Aku cuma tak nak bebankan perasaan mak dan abah jika mereka melihat aku tak gembira hidup bersama mereka.

Bukan aku tak bersyukur dengan segala apa yang aku ada sekarang ni, aku cuma... rindu ibu dan ayah. Kejadian berbelas tahun lepas begitu pantas berlaku. Sekelip mata! sehingga membuatkan aku rasa seperti ada sesuatu tentangku yang tertinggal di sana. Seperti ada kenangan silamku di sana yang aku tak pasti apa dia. Takkan aku tak ada saudara mara?  Mungkin mereka sedang mencariku saat ini. Mungkinkah?.

Keriuhan bunyi suara budak-budak yang sedang bermain di bawah pondok itu mencantas lamunanku. Aku kerling jam di tangan, dah pukul empat lebih. Lebih baik aku pulang sekarang daripada terus termenung disini.  Aku simpan buku dan pen dalam beg dan berjalan pulang ke rumah.

Sewaktu dalam perjalanan, aku berhenti di hadapan sebuah kedai yang menjual barangan dan aksesori komputer. Dari dinding cermin luar aku memerhatikan sebuah laptop berjenama Apple berwarna putih. Dah lama aku teringin nak memilikinya, tapi entahkan bila baru aku berpeluang untuk mendapatkannya. Duit yang aku simpan pun masih belum mencapai sasaran yang sepatutnya untuk memiliki laptop ini.

Belum pun apa-apa lagi aku dah berangan, kalaulah aku boleh tolong mak dan abah dengan hasil jualan bukuku nanti. Tapi semua tu takkan terjadi selagi aku belum berjaya memiliki sebuah laptop dan mula menulis.

Tiba-tiba satu perasaan menyelinap dalam diriku. Yang membuatkan aku tiba-tiba bersemangat dan berjanji, walau apa pun, aku akan berusaha mendapatkan laptop ini secepat mungkin!.

Refleksi luar sedar, rupanya aku sedang mengenggam lima jari kiri dan mengangkat lenganku separa dada dan memandang laptop itu dengan mata yang penuh.. keazaman.