http://img10.imageshack.us/img10/7733/contactm.png

Friday, August 26, 2011

bab 11



Terkebil-kebil mataku memandang atuk yang sedang duduk di kerusi bersebelahan katilku. Aku memandang Ros yang sedang berdiri di sebelah atuk dan aku menjeling Iman Harraz yang sedang berdiri di bucu katilku sambil memasukkan kedua-dua tangannya ke dalam poket seluar sukan yang masih tersarung di tubuhnya. Akhirnya pandangan aku kembali terarah kepada atuk yang setia menunggu jawapan dariku.

    "Irin sakit apa?" Itu soalan atuk sejak aku dibawa masuk ke bilik oleh Iman Harraz dan disumbatkan makanan ke mulutku oleh Ros. Sejak tadi aku cuba mengelak menjawab soalan itu dengan alasan aku ingin makan tanpa bercakap tapi kini makanan sudah pun aku habiskan. Maka aku harus menjawab pertanyaan atuk.

    Kenapa aku boleh tersadai di atas katil dengan atuk dan Iman Harraz di bilikku sekarang? Begini ceritanya...

    Setelah menghabiskan pusingan ketiga, termasuk dua pusingan pertama sebelum ini, aku semakin lemah dan tak berdaya untuk berlari lagi. Satu kelemahanku, aku bukanlah seorang atlet sekolah, jauh sekali ahli sukan yang aktif bermain walaupun bola jaring. Setiap kali sukan aku hanya akan menjadi penyokong pasukanku itupun dengan hanya menjadi pemerhati, bukannya penyorak. Disebabkan itu, bab berlari-lari mahupun berjogging ini tak termasuk dalam senarai perkara yang akan aku lakukan seumur hidupku, sehinggalah aku dipaksa mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh Iman Harraz.

    Semakin jauh aku berjogging, semakin aku terasa perut aku sakit. Sakit yang seakan kebas. Aku nak panggil Iman Harraz tapi dia dah terlalu jauh dari aku. Aku sering mengalami rasa sakit perut setiap kali aku terpaksa berlari semasa di sekolah dulu bila cikgu nak buat pemilihan peserta untuk acara larian, dan sejak itu aktiviti berlari telah aku 'haramkan' dalam kamus hidupku. Bila cikgu tanya apa alasanku untuk tidak terlibat dalam acara larian, aku katakan yang aku lelah. Padahal aku tak ada penyakit tu pun. Tipu sunat sekali-sekala tak apa kan??.

    Perut yang dah sakit jadi semakin sakit. Aku tak boleh menunduk, perut aku krem. Aku tak tau berapa lama aku terduduk di atas jalan yang berbatu bata itu, yang aku tau Iman Harraz datang mencariku dan memarahiku kerana mencuri tulang di sini.

    "Aku suruh kau lari, bukan duduk makan angin kat sini.." katanya. 

Panas membara hati aku dengar kata-katanya itu. Terasa macam nak ambil pasu bunga kat tepi ni dan hempuk kepala dia. 

    "Kau kenapa ni? " Nada suara Iman Harraz mula kendur, dia berjalan menghampiriku dan duduk bercangkung berhadapan denganku.

    Aku tak menjawab soalannya sebaliknya terus menerus memegang dan mengusap perutku dengan harapan rasa sakit dan kejang itu akan hilang. Sengaja aku malas nak hiraukan kehadiran dia di sini dan menjawab pertanyaannya. Buat sakit hati je berkomunikasi dengan lelaki ini, balik-balik aku juga yang kena balik.

    "Kau kenapa? Aku tanya ni tak ada mulut ke nak jawab?" Soal Iman Harraz, kasar. Mungkin geram kerana aku tidak menjawab pertanyaannya.

    "Kita sakit perutlah.. " Dalam hati aku dah terpacul perkataan sengal, nasib baik mulut aku masih mampu menahan kata-kata itu daripada terkeluar. Seburuk mana pun layanan dia terhadapku, masih ada rasa hormat aku terhadapnya sebagai orang yang lebih tua dan sebagai penasihat peribadi aku.

    "Tiba-tiba pula sakit perut, tadi elok je?" Soal Iman Harraz, seolah-olah curiga dengan alasan yang aku berikan.

    "Habis tu dah dia nak sakit, mana kita tau. Ingat kita mintak ke sakit ni suruh datang?" Aku melempiaskan rasa marah terhadapnya. Sangat tak kelakar bila kesakitan yang datang tanpa diundang ini menjadi sesuatu yang harus dipersoalkan dan diragui.

    "Sakit kenapa? Datang bulan ke?" Soalnya, masih dalam nada keras. 

Panas mukaku bila soalan itu yang ditanya. Klise. Asal sakit perut je datang bulan, sakit perut, datang bulan. Aku tak ada senggugutlah!  

    "Tak lah, sakit perut nak buang air besar!" Balasku memerlinya.

    Iman Harraz buat muka jelik. Tak sangka jawapan itu yang akan aku bagi.

    "Dah tau nak 'melabur' yang kau duduk kat sini lagi kenapa? Pergi la balik!" katanya masih dalam nada sindiran. Ish, kenapa la dia tak boleh cakap lembut-lembut denganku? Bukannya kena bayar pun kalau cakap elok-elok.

    "Perut kita sakit ni..." Aduku, lebih mengharapkan simpati darinya.

    "Aku tau la perut kau sakit, sebab tu lah aku suruh kau balik.." Balasnya.

    "Perut kita sakit sampai tak boleh nak berjalan.." Tegasku. Aduh, kan bagus kalau aku ajak Ros ikut aku sekali tadi, tak payah la aku terhegeh-hengeh nak dapatkan simpati daripada singa jantan ni.

    "Dah tu? Kau nak suruh aku angkat kau pulak? Banyak cantik muka kau?"

    "Tak suruh awak angkat pun.. tolong la panggilkan Ros, suruh dia datang sini." Pintaku. Gila, ingat aku perempuan murahan ke suka suki hati nak biarkan sembarangan lelaki sentuh aku. Walaupun bukan "sentuh" yang itu tapi membiarkan Iman Harraz mengdukungku ke villa samalah ertinya seperti "membenarkan" lelaki itu menyentuhku.

    "Suruh dia datang sini buat apa?" Soal Iman Harraz, blur.

    "Suruh dia tolong kitalah, takkan suruh dia datang makan angin dengan kita kat sini kot..." hah, kadang-kadang tuan muda yang dihormati dan digeruni pekerja-pekerja di villa ini blur juga ya.

    Iman Harraz diam. Dipandangnya muka aku tak berkelip, aku pula yang termalu sendiri. Salah ke apa aku cakap, mestilah panggil Ros sebab nak suruh dia tolong aku, habis tu nak buat apa lagi kan?.

    "Mulut kau ni boleh tahan juga kan?" Katanya selepas beberapa saat berdiam diri dan merenungku tanpa henti.

    "Dah ada mulut, cakap aje lah.." Rungutku, perlahan.

    "Aaahh? Apa kau cakap?" Soalnya, mendekatkan telinganya ke mulutku. Aku menjarakkan diri. Tak selesa.

    "Tak ada apa.." Balasku. 

    "Perut kau tu sakit lagi ke?" Soalnya mengalih topik 'perbalahan' kami.

Aku mengangguk.

    "Tak payah panggil Roslah, leceh. Dan aku pun takkan angkat kau, memenatkan. Kau masih boleh jalan lagi kan kalau aku pimpin kau?" Soalnya.

    Aku terus angguk. Kalau aku panggil Ros ke sini pun bukan aku nak Ros menggendong aku ke Villa, tapi kerana aku ingin dia memimpinku berjalan saja. Dalam teragak-agak dan nampak kekok, Iman Harraz menarik perlahan lenganku. Bukan dia saja yang malu, aku pun malu bila dia pegang tanganku. Rasanya ini kali pertama aku berada begitu 'dekat' dengan seorang lelaki.

    Serapat mana aku dengan Bob pun, Bob tak pernah menyentuh aku. Apalagi berjalan berpimpinan tangan begini.

    Iman Harraz sekadar menarik tanganku dan membantu aku berdiri, selebihnya, aku berjalan terbongkok-bongkok dengan sebelah tanganku dalam cengkaman Iman Harraz. Aku lega kerana sekurang-kurangnya dia tak mengambil kesempatan dengan memeluk bahuku. Hampir dua puluh minit perjalanan barulah kami sampai ke villa dan sekarang disinilah aku. Di dalam bilik ditemani atuk, Iman Harraz dan Ros.

    Oh ya, macammana atuk pun boleh ada di dalam bilikku ini? Begini...

    Sewaktu kami sampai di hadapan pintu utama villa, kebetulan atuk baru nak keluar. Bila dilihatnya aku dan Iman Harraz berjalan dalam keadaan yang 'mencurigakan' dia mendekati kami dan bertanyakan keadaanku.
    "Kenapa ni?" Soal atuk, berkerut dahinya.

    "Tak ada apa.. " Jawabku. 

    Dahi atuk masih berkerut walaupun aku kata tak ada apa-apa yang berlaku. Matanya tajam memerhatikan tangan Iman Harraz yang mengcengkam lenganku. Cepat-cepat aku lepaskan. 

    "Atuk nak keluar ke? Irin masuk dulu ya.." Kataku meminta diri, tak selesa bila direnung atuk sebegitu rupa. Lalu aku terus berjalan terbongkok-bongkok, diekori oleh atuk dan Iman Harraz ke bilikku. 

    "Irin?" Panggil atuk, membawa aku kembali ke alam realiti. Alam dimana aku bukan lagi di laman villa dan dipimpin Harraz ke bilik, sebaliknya aku sedang diperhati oleh tiga pasang mata.

    "Irin nak pergi klinik?" Soal atuk.

Pantas aku menggeleng.

    "Irin tak sakit teruk pun atuk.. sikit je ni." Balasku.

    "Sikit pun mana kita tau sakit apa yang ada kat dalam badan tu, takkan berjogging pun boleh sakit perut? Irin gastrik ke?" Soal atuk lagi. Curiga bercampur risau.

    Pantas aku menggeleng. Perut aku kebal, walaupun aku suka melewatkan makan, aku belum pernah kena gastrik, cuma.. aku tak pasti kenapa setiap kali aku berlari perut aku sakit?. 

    "Atau Iman ada suruh Irin buat apa-apa ke?" Soal atuk memandang aku dan Iman Harraz silih berganti. Curiga.

    Ada!, dia suruh Irin berlari sepuluh pusingan semata-mata sebab irin terlewat sepuluh minit.

    "irin?" Teguran atuk mengejutkan aku yang tengah merenung Iman Harraz dengan pandangan "menggertak".

    Iman harraz menundukkan wajah. Seolah redha dengan apa saja yang bakal aku ceritakan kepada atuk.

    "Err.. tak ada, Harraz tak suruh irin buat apa-apa pun, tapi perut irin ni tiba-tiba je macam kejang sikit.. sebab tak biasa berlari kot atuk?.." Aku memilih untuk tidak berlaku jujur kepada atuk sedangkan masa kena paksa jogging tadi, itulah perkara yang aku nak sangat lakukan. Entah kenapa, rasa kasihan pula bila tengok muka tuan muda ini tadi.

    Iman Harraz mengangkat muka memandangku. Reaksi pelik terlukis di wajahnya. Harraz.. Harraz.. kau patut buat baik pada aku sebab aku dah backup kau.. 

    Atuk menoleh memandang muka Iman Harraz sebelum dia kembali memandangku. "Betul Irin tak nak ke klinik?" Soal Atuk, meminta kepastianku.

    "Betul.." Aku mengangguk macam burung belatuk.

    "Oklah kalau macam tu, atuk keluar dulu.." Kata atuk dan berkira-kira untuk bangun dari kerusi dibantu oleh Ros dan dihantar terus ke muka pintu.

    Tinggal kami berdua saja di sini. Aku menghantar pemergian atuk ke pintu dengan pandangan mata. 

    "Kenapa kau tak cakap kat atuk tadi?" Soalan Iman Harraz mengalihkan pandanganku ke mukanya.

    "Cakap apa?" Soalku, pura-pura tak faham maksudnya.

    Iman Harraz merenungku. Lama. Mungkin dia cuba menafsir reaksi mukaku sehingga aku sendiri tertunduk malu.

    "Sakit sikit je kan? Ikut jadual, jumpa aku lepas ni. Jangan nak mengelat pula." Pesan Iman Harraz akhirnya sebelum dia sendiri keluar dari kamarku. Eii rasa macam nak baling je bantal ni kat kepala dia. Rugi aku backup dia tadi tapi dia langsung tak hargai? Memang la... memang dia lelaki yang tak ada perasaan!.


**********************

    Selesai mandi dan berpakaian, aku bergerak ke bilik bacaan. Mengikut jadual, masaku akan lebih banyak dihabiskan di bilik bacaan bersama-sama dengan lelaki tak ada perasaan itu. Dan kali ini, aku meminta Ros menemaniku sepanjang masa kerana aku tak mahu dibuli lagi dengan Iman Harraz. Awalnya Ros menolak kerana katanya, dia tak mahu ganggu masa aku bersama Tuan muda, tapi bila aku memaksa, barulah dia bersetuju.

    Aku masuk ke ruangan yang agak luas itu dengan di dindingnya dipenuhi dengan rak yang tersusun buku-buku pelbagai jenis. Terdapat sebuah meja panjang di situ. Juga beberapa hiasan gambar pada dinding. 

    Sebaik melihatku, Iman Harraz menelek jam di tangannya. Seperti biasa, ingin memastikan samada aku sampai tepat pada waktunya atau pun terlewat. Kalau terlewat hatta seminit pun, bolehlah dia cari alasan untuk jatuhkan hukuman untukku. Huh, klise!. Aku takkan benarkan dia menghukum aku lagi!.

    "Wah, bawak PA untuk belajar sekali ke?" Tegur Iman Harraz sambil sorotan matanya memandang Ros yang berdiri di belakangku. Reaksi muka Ros menunjukkan yang dia berasa tak selesa berada di tengah-tengah diantara kami. Aku tarik tangan Ros supaya berdiri di sebelahku.

    "Dalam jadual tak cakap pun 'tak dibenarkan bawa PA sepanjang kelas pembelajaran?' " Sengaja aku memerlinya dengan cara yang sama dia memerliku dulu, sewaktu aku membawa masuk muffin ke bilik ini.

    "Dah, kau tak payah nak bertekak dengan aku kat sini pula. Tolong duduk jadi kita boleh mulakan kelas kita sekarang." iman Harraz mengambil jalan tengah dengan tidak memanjangkan isu aku membawa Ros ke sini.

Aku menarik kerusi dan meminta Ros duduk di sebelahku walaupun dia sehabis mungkin cuba mengelak. Dia lebih sanggup berdiri di belakangku sedangkan tempoh kelas ini akan berlangsung sehingga waktu makan tengahari nanti.

    "Duduklah Ros." Pintaku.

    Ros menggeleng.

    "ish.. awak ni, kita suruh duduk je, bukan suruh buat apa pun. Duduk la.. tak ada sesiapa duduk kat sini" Pelawaku lagi.

    "Ehemm.. baguslah tu, nak suruh duduk atas kerusi pun kena pujuk. Lepas tu buang masa aku yang dah sedia nak mengajar ni.." Kata Iman Harraz, masih kedengaran sinis, sambil menunduk menyelak helaian kertas di tangannya.

Terus aku tarik tangan Ros supaya duduk jadi Iman Harraz takkan memerli kami lagi. Ros akur, itupun dengan reaksi muka yang serba tak kena. Pasti dia tak selesa.

    Setelah berpuas hati dengan keadaan yang tenang ini barulah Iman Harraz memulakan sesi pengajarannya. Satu perkara yang aku tak faham, dia kata dia penasihat aku, tapi kenapa dia bereaksi macam dia cikgu aku?

    "Aku tak tau Ros dah bagitau kau tentang kedudukan sebenar kau dalam Villa ni atau tak, tapi aku tetap nak bagitau yang kau bukan sekadar cucu Tuan Pengerusi yang dijumpai setelah hilang bertahun-tahun dan akan hidup mewah, bersenang lenang di villa sini. Buat permulaan, ya, kau akan duduk senang lenang di sini tapi nanti, kau tetap akan diperkenalkan kepada pihak luar tentang kewujudan dan penemuan kau setelah bertahun-tahun." Iman Harraz berhenti bersuara seketika.

    "Kau juga akan mewarisi harta pusaka dan legasi rangkaian hotel terbesar di malaysia kepunyaan atuk. Sebab tu, sebelum kau benar-benar bersedia untuk bersemuka dengan dunia, kau kena belajar betul-betul. Jangan main-main dalam kelas aku!" Katanya menyambung bicara.

    Tiba-tiba aku terasa macam ada satu beban yang sangat berat menghempap bahuku. Aku akan mewarisi legasi rangkaian hotel kepunyaan atuk? Bermakna aku perlu uruskan perniagaan ini? Oh.. aku tak minta untuk punya harta yang banyak dan tanggungjawab yang besar ini, aku cuma ingin jadi manusia biasa yang hidup dengan cara aku sendiri. Sekurang-kurangnya, cita-cita terbesar aku buat masa ini, aku cuma ingin jadi penulis, bukan pewaris harta berjuta-juta!.

    Aku tersentak bila petikan jari Iman Harraz kedengaran jelas di telingaku. Aku memandangnya, terpinga-pinga. 

    "Kau dengar tak apa yang aku cakap ni?" Soalnya. Jarak dia berdiri dengan kedudukan aku duduk, agat rapat.

    "Dengar.." Balasku. Cepat sangat fikiran aku melayang.

    "Lain kali tolong jangan berangan dalam kelas aku." Dia memerliku.

Aku mencebik. Mana ada aku berangan, aku cuma terfikir je.

    "Berapa umur kau sekarang?" Soalnya, membawa aku kembali fokus kepada keadaan persekitaran.

    "22.." jawabku. RIngkas.

    "Sebelum ni kau belajar sampai tahap mana?" Soalnya lagi. Seperti temubual exklusif pula aku rasa.

    "SPM."

    "Tak sambung belajar?"

    "Tak"

    "Kenapa?"

    "Tak sampai hati nak susahkan mak dan abah."

    "Bukan sebab kau yang malas belajar?"

    "Tak!,"

Iman Harraz ketawa. Ketawa pendek. Aku ragu-ragu dia ketawa sebab apa yang aku cakap itu lucu atau dia ketawa sebab dia sedang memerliku?. Harraz.. mana pernah nak ikhlaskan diri bercakap atau ketawa dengan aku.

    "Aku dah nampak.." Katanya, dengan sengihan senget di bibir.

    "Nampak apa?" Soalku, keliru. Sempat aku pandang Ros di sebelahku, meminta pendapat. Ros jongket bahu. Tak tahu.

    "Kelemahan kau."

    Aku garu kepala. "Kelemahan...." Berfikir. "Kelemahan apa?" Soalku, bila tak dapat jawapan daripada pemikiran itu.

    "Bila berhadapan dengan pihak media, diorang akan tanya soalan-soalan yang tak logik dan tak masuk akal. Kat situlah bila kau tersalah cakap, atau kau tersilap tafsir soalan wartawan, mereka akan terus memanipulasikan fakta dan soalan. Kau harus lebih peka." Terangnya. Kali ini dia nampak tegas. Tak lagi dengan mimik muka menyindir.

    Aku garu kepala lagi. Adakah Iman Harraz sekarang sedang mengajar aku? Tapi aku tak dapat tangkap bila mula-mula dia bertanya soalan lepas tu dia bagi penerangan. Apa ni.. pening lah.

    "Kau faham ke tidak apa yang aku cakap ni??" Soal Iman Harraz, berlagu.

    "Tak faham..." Jawabku, takut-takut. Aku pegang tangan Ros di bawah meja. Meminjam semangatnya. Ros membalas usapan tanganku seolah-olah dia mengalirkan semangatnya kepadaku.

    Iman Harraz mengeluh.

    "Kau takut dengan aku ke Rina?" Soal Iman Harraz, mengendur.

    Terus aku pandang mukanya. Apa dia panggil aku tadi?

    "Apa?" Soalku kembali. Ingin mendengar dengan lebih jelas.

    "Kau takut dengan aku ke?..." Soalnya, lembut. Ok, mungkin aku salah dengar. Dia tak panggil aku apa-apa pun.

    "Ermmm...." Aku serba-salah samada nak cakap ya, atau tidak. Kalau aku cakap 'ya' dia mungkin akan jadi lebih besar kepala, dia mungkin akan buat aku lebih takut kepadanya. Tapi kalau aku kata tidak?
Masalahnya, aku tak takut dengan dia, tapi Ros selalu menakut-nakutkan aku!.

    "Rina.. Rina... kau tak payah jawab pun aku dah tau jawapan kau. Aku ni manusia macam korang juga. Kau nak takut apa dengan aku? Bukannya aku nak makan kau pun..." Kata Iman Harraz sedikit tergelak. Lucu.

    Pasti, sekarang telinga aku memang tak salah dengar. Dia panggil aku RIna?

    "Awak.. nama kita Irina Imani binti Ilyas. kita tak kisah kalau awak nak panggil kita Irin ke, Irina, Imani atau apa saja nama lain asalkan bukan RIna!" Tegasku. Tak pasal-pasal aku jadi berani bila melibatkan namaku.

    Iman Harraz kerut dahi memandangku. 

    "Apa masalahnya kalau aku panggil kau Rina pun? Irina.. Rina.. ada beza ke?" Soalnya.

    "Ada.. kita tak suka orang panggil kita dengan nama tu."

    "chitt.. pasal nama pun nak jadi isu besar?." 

    "mestilah!"

    "apa-apa ajelah Irina..."

Iman Harraz berkalih ke rak-rak buku, satu buku dicapainya sebelum dilemparkan buku itu dengan lembut ke arahku. Mata aku silih ganti memandang diantara buku itu dengan mukanya. 

    "Baca buku tu, banyak maklumat yang boleh kau belajar" Katanya.

Aku membaca tajuk yang tertera di kulit buku tebal itu "How to talk to anyone, anytime, anywhere" bahasa inggeris? Aku tau la bahasa inggeris aku dapat 4 je dalam SPM, nak sebut pun tak berapa nak lancar, apatah lagi nak baca. Haduii..

    "Tu kamus berlambak kat situ, kalau tak faham rajin-rajinkan diri tu selak kamus." Kata Iman Harraz sambil jari telunjuknya ditunjukkan ke arah rak yang menempatkan beberapa buah kamus. 

    "Aku nak keluar kejap, kau jangan ke mana-mana, aku balik nanti aku nak soal apa yang kau dah baca." Pesannya sebelum kelibat dia hilang disebalik pintu.

    Aku dan Ros berpandangan sesama sendiri. 

    Ros menggelengkan kepalanya dengan reaksi muka kesal. kemudian dia mengeluh.

    "Kenapa Ros?" Soalku.

    "Cik muda kena buat sesuatu..." Kata Ros.

    "Buat sesuatu buat apa?" Soalku, pelik.

    Ros memandang ke arah pintu yang tertutup rapat. Seolah ingin memastikan tiada sesiapa disitu sebelum dia mendekatkan badannya kearahku. Curiga pula aku melihat gelagatnya.

    "Tuan muda tu dah melampau. Ikut suka hati dia je nak buat macam tu pada cik muda. Apa? Dia ingat dia tu hebat sangat? Dengan pekerja-pekerja bawahan boleh la dia buli, suruh lari keliling villa segala bagai, tapi dengan cik muda mana dia boleh buat macam tu!." kata Ros agak berbisik, tapi kedengaran agak emosi.Ternyata dia sangat tak puas hati dengan cara Iman Harraz melayanku.

    "Itulah kita cakap, dia sendiri kata dia bekerja untuk kita tapi dia buat macam kita pula yang bekerja untuk dia. " Luahku, juga tak puas hati dengan cara Iman Harraz.

    "Cik muda tak boleh biarkan dia terus buat macam tu pada cik muda.. Cik kena lawan dia!" Kata Ros lagi. Lebih tegas. 

    Aku garu kepala.

    "Lawan? Nak lawan macammana Ros?" Soalku, berkerut-kerut dahiku saat ini. Takkan nak lawan tu, bertendang terajang? Ish.. agak-agak sikit Irin!. 

    "Cik muda kena la lawan cakap dia. Jangan ikut sangat apa yang dia suruh buat. Mana yang patut diikut tu, cik ikut je la.. tapi kalau dia suruh buat benda bukan-bukan, jangan buat." Ros mula menghasut fikiranku.

    "Benda bukan-bukan tu contohnya apa?" Entah kenapa aku menyoal macam orang dungu. Tapi memang wajar rasanya soalan ini aku tanyakan memandangkan aku baru beberapa hari bersama dengan Iman Harraz, masih banyak perkara lagi yang aku tak tahu tentangnya.

    "Ye la.. kalau dia suruh cik... hah! yang dia hukum cik berlari sepuluh pusingan satu villa ni, lain kali cik jangan buat, lagi.. something yang nampak agak tak kenalah, jangan buat. Gunakan kuasa cik sebagai cik muda Irina Imani, cucu kepada tuan pengerusi dalam rumah ni untuk menggertak dia." 

    Aku terangguk-angguk macam burung belatuk. Fahamlah aku sekarang.

    "Eh, tapi..."

Aku tak jadi hendak meneruskan kata-kata bila pintu dibuka dari luar dan Iman Harraz masuk dan berjalan menuju ke arah kami. Cepat-cepat aku berkalih menghadap buku, dan Ros pura-pura membantuku membaca.

    "Setakat mana kau dah baca?" Soalnya.

    "Err.. ha.. baru baca sikit.." Jawabku, teragak-agak. Baca sikit bendanya, satu perkataan pun belum sempat aku baca.

    "Lima minit." Katanya.

Aku mendongak.

    "Ha??"

    "Lima minit untuk kau baca dan fahamkan satu mukasurat tu." katanya yang sedang duduk menyandar di kerusi. Betul-betul ada gaya macam bos besar "kononnya".  

    Aku jeling Ros, nak dapatkan khidmat nasihat dia samada aku patut ikut arahan Iman Harraz yang ini atau tidak. Ros mengerdipkan matanya seolah menyuruh aku mengikut saja arahan tuan muda ini. Aku mengangguk perlahan dan mula membaca. 

    Serangkap demi serangkap aku baca. Mana perkataan yang aku tak faham aku tanya Ros, mana yang aku masih belum faham maksud ayat itu aku baca berulang-ulang kali. Dapat point aku tulis atas kertas, dan seterusnya sehinggalah Iman Harraz bersuara..

    "Timeout!"

    Aku mengangkat muka memandangnya terpinga-pinga. Suaranya betul-betul membuatkan tumpuanku terganggu. 

    "Haa??.." Soalku.

    "Lima minit dah habis. Terangkan kat aku apa yang kau dapat.." Katanya.

Aku merenung kertas yang dah aku contengkan tadi. Baru ada satu perenggan yang sempat aku tafsirkan? Rasanya macam lama benar aku membaca tadi. Aku pandang muka Iman Harraz yang menunggu penjelasan dariku.

    "Kita baru dapat sikit.. satu perenggan je.." Kataku.

    "Lembap betul la kau ni? Bahasa inggeris kau dapat berapa masa SPM dulu? Macammana kau nak jawab soalan-soalan yang wartawan tanya kalau diorang soal kau dalam bahasa inggeris? Itu pun belum kira slang cina, slang india, slang kelantan, slang mat salleh lagi tu. Hey..." Iman Harraz membebel dan mengeluh pada penghujung bicaranya. 

    Aku tertunduk merenung kertas yang aku pegang. Susahnya nak jadi cik muda Irina Imani, kan bagus kalau aku boleh terus jadi irin yang dulu. Tak payah fikir pasal benda-benda ni semua. Tiba-tiba hati aku jadi sebak. Sedih...

    "Dah la, pergi rehat dulu, nanti aku fikirkan cara nak ajar kau cepat belajar bahasa inggeris." kata Iman Harraz, perlahan.

    Aku masih kaku dikerusiku. Kata-katanya itu tak terkesan di telingaku. Masuk telinga kiri keluar telinga kanan, yang aku masih fikirkan, kepayahan yang harus aku hadapi dalam menjalani kehidupan di villa ini.

    "Ros.. bawa cik muda keluar.." 

    Ros menarik tanganku setelah mendapat arahan daripada tuan mudanya. Aku bangun dan menggengam kertas di tangan. Sepanjang langkahku ke bilik, airmataku menitis jatuh ke pipi.
   

Wednesday, August 17, 2011

Bab 10



"Ros! awak kena jelaskan kat kita tentang hal ini!" Selepas selesai sesi 'beramah-mesra' dengan tuan muda yang katanya tak payah nak 'bertuan muda' sangat tu, aku terus kembali ke bilik dengan perasaan tak sabar-sabar nak dapatkan penjelasan sebenar daripada Ros.

"Jelaskan apa cik muda?" Soal Ros dengan muka tak bersalah. 

"Siapa sebenarnya tuan muda Iman Harraz?" Soalku sambil bercekak pinggang.

"Anak Tuan Ghazi, dan..."

"Yang pasti dia bukan calon suami kita kan?" Aku memotong percakapannya.

"Err.. heheheh.." Ros tersengih sumbing.

"EeIii.. awak ni jahat tau Ros, kenapa tipu kita? Malu kita tadi dengan tuan muda awak tu.." Bentakku, geram. 

"Sorry la cik muda.. masa tu saya ingat nak main-main je, lagipun cik muda sendiri yang kata tuan muda tu calon suami cik, saya iyakan sajalah.. tapi tuan muda cakap apa?" Kata Ros masih tak mahu mengalah.

"Tapi awak tak patut terus biarkankan kita fikir yang tuan muda Iman Harraz tu calon suami kita, sekurang-kurangnya bagitau la hal sebenar kat kita sebelum kita jumpa dia tadi. Bila kita terlepas cakap, dia tak balas apa-apa pun, tapi dia ketawa je. Ketawa menyindir tau. Dah la lepas ni kena selalu jumpa dia, hurmmm... tak tau nak sorok muka kat mana. Malu!" Jeritku. Kalaulah jeritan ini boleh hilangkan perasaan malu yang bertapak dalam hati aku sekarang ni.

"Sorry, sorry, sorry.. saya terlupa nak cakap. Alah lagipun.. tuan muda tu kan 'tak ada perasaan' lepas ni mesti dia buat tak tau je pasal tu. Cik muda tak payah malu-malulah.." Kata Ros cuba menyedapkan hatiku. Sanggup dia kata lelaki itu tak ada perasaan?.

"Pandai la awak dia tak ada perasaan. Dia kan manusia, semua manusia ada perasaan." Kataku, sengaja tak mahu faham dengan gurauan Ros.

"Memang la dia manusia yang ada perasaan.. maksud saya, tuan muda tu jenis tak ambil kisah la dengan hal-hal macam ni. Percayalah." Ros cuba meyakinkan aku. 

"So, macammana dengan tuan muda? Ok tak dia?" Soal Ros lagi lalu menarik aku duduk di sofa.

"Macammana apa? Macam biasa la jumpa manusia-manusia lain." Jawabku acuh tak acuh. Fikiranku masih terganggu dengan perkara yang berlaku di bilik bacaan tadi. Aku masih berharap yang Iman Harraz akan melupakan segala hal yang berlaku hari ini.

"Ye la.. tak seronok ke jumpa dia?" Giat Ros tersengih-sengih.

"Seronok? Hari pertama tengok dia pun kita dah rasa macam tak sanggup nak hadapi hari-hari seterusnya dengan dia, dan lagi satu.. dia kata dia bekerja untuk kita tapi kita terasa macam kita pula yang bekerja untuk dia." Aku mula bersemangat untuk mencerita kepada Ros, tentang 'kepelikan' perangai Iman Harraz.

"Kenapa pula?" Ros kerut dahi.

"Awal-awal lagi dia dah bagitau apa perkara yang kita wajib patuhi. Apakah? Bukan ke kita yang sepatutnya cakap kat dia perkara-perkara yang dia sepatutnya patuhi? Dialah yang kena ikut peraturan kita, bukan kita yang ikut peraturan dia kan Ros?" Aku pula yang kerut dahi.

"Ha... itu la saya cakap, tuan muda ni lain sikit perangainya. Lepas ni cik muda siap sedia ajelah dengan perangai dia tu."

"Eii.. Ros buat kita rasa seramlah... Apa yang dia nak buat?" Aku peluk kedua-dua bahu seolah-olah berada dalam kesejukan. 

"Itu saya pun tak pasti, tapi yang saya sangat pasti, tuan muda adalah seorang lelaki yang sombong dan tak suka bercampur gaul dengan orang lain." Kata Ros sambil pandangannya dihalakan ke syiling. Tangannya terawang-awang ke udara. 

"So?"

"So.. dia akan cuba sedaya upaya untuk menyusahkan orang-orang yang berurusan dengannya." Kata Ros kembali memandangku, bersemangat.

"Betul ke ni Ros?..." Soalku, mula cuak.

"Pernah ke saya menipu cik muda selama ni?" Soal Ros, angkuh. kedua-dua belah tangannya diletakkan di pinggang.

"Pernah, beberapa jam lepas." Jawabku spontan. Jari telunjuk aku letak di bawah dagu, seolah berfikir. Boleh pula dia tanya soalan tu kat aku sedangkan tadi aku baru saja mempersoalkan kepadanya kenapa dia menipu a.k.a tidak berlaku jujur denganku tentang siapa sebenarnya Iman Harraz.

Ros tersengih sambil menggigit jari. Baru tersedar akan kesilapannya mengutarakan soalan.

"Ah.. kalau cik muda nak tau, beberapa bulan lepas dia pernah buat seorang 'anak buah' Puan 
Maimunah berhenti kerja kerana ketegasannya sedangkan maid girl  itu cuma tersalah menghantar minuman yang dimintanya." Kata Ros membuka hikayat beberapa bulan lepas. Bukan hikayat zaman berzaman.

"Berhenti kerja... maksudnya Harraz berhentikan maid girl tu?" Soalku, tidak lagi menggunakan nama tuan muda memandangkan aku ingin membiasakan memanggil Iman Harraz tanpa menyebut tuan muda di pangkal namanya.

"Tak.. maid tu sendiri yang nak berhenti sebab dia tak tahan dengan hukuman yang tuan muda bagi."

"Hukuman??.." Aku telan liur. Iman Harraz juga pernah menyebut tentang hukuman padaku tadi. "Apa hukumannya?" Soalku lagi. Ingin tahu walaupun terasa cuak juga di hati ni.

"Dia disuruh membancuh lima puluh cawan air teh panas, sebab minuman yang tuan muda minta tu air teh tapi yang maid girl tu bagi air kopi. Alasannya, dengan membancuh lima puluh cawan teh akan mengajar maid girl itu supaya lebih peka pada arahan dan permintaan."

"Lima puluh cawan? Banyak giler, lepas tu siapa yang nak minum air tu semua? Harraz la yang habiskan ya sebab dia nak sangat minum teh?.." Soalku separuh berjenaka, entah kenapa aku lebih selesa memanggil lelaki itu dengan nama Harraz. 

"Tuan muda nak minum? Huh.. secawan pun tak disentuhnya semua air tu, dia suruh maid girl  tu agihkan pada setiap orang dalam villa ni. 'Agihkan' bermaksud, pembantu tu perlu usung cawan-cawan tu dan bagi pada semua penghuni villa. Cik Irina bayangkan sendirilah penat ke tidak berjalan satu villa ni..." 

Kotak fikiranku mula membayangkan seorang perempuan dengan kain labuh warna hitam dan apron berenda yang dipakainya, perlu berjalan dari satu sudut ke satu sudut sambil menatang dulang yang berisi cawan-cawan air teh untuk diagihkan kepada penghuni di villa yang mempunyai keluasan entah berapa puluh meter persegi ini. Woahh.. Iman Harraz memang kejam!. 

Pasti selepas selesai mengagihkan minuman itu, perempuan itu terduduk lemah. Mungkin kakinya terasa macam nak tercabut. Kesian.. kesian..

"Sampai macam tu sekali Ros?" Soalku, ada nada simpati dalam pertanyaanku itu.

"Bukan 'sampai macam tu', ada lagi yang lebih teruk tuan muda pernah buat"

"Haahh.. ye ke?" Aku menekup mulut dengan jari kerana terlalu terkejut dengan berita ini.

"Betul.. kali ni saya memang tak menipu, tapi saya tak nak  la cerita kat CIk muda.."

"kenapa? Cerita je la.."

"Kalau saya cerita confirm nanti cik muda makin takut nak berdepan dengan tuan muda."

"Kalau awak tak cerita lagi buat kita gerun" 

"Percayalah, kalau saya cerita nanti cik muda lagi takut nak berdepan dengan dia. Oleh kerana cik muda akan lebih banyak menghabiskan masa dengan tuan muda, lebih baik cik muda tak payah tau.."

Kata-kata Ros itu sebenarnya tak bagus sebab lagi dia tak mahu cerita, lagi hati aku meronta-ronta nak tahu. "Ros.. cerita la." Aku memegang lengannya dan memintanya bercerita dengan mimik muka mohon simpati.

Ros membalas pandanganku dengan muka kasihan. "Oklah..oklah.. saya cerita.." Kata Ros dengan reaksi muka seperti terpaksa bercerita.

Tersenyum senang aku.

"Dulu.. tuan muda pernah suruh seorang pembantu lelaki berlari keliling villa ni, dua pusingan." 

"Sebab?"

"Lelaki tu tak faham arahan dia. Kalau tak silap saya, tuan muda suruh dia bawakkan fail yang tertinggal dalam bilik bacaan, tapi yang lelaki tu bawa buku yang selalu tuan muda baca. Dah la masa tu tuan muda nak cepat ke pejabat. Ahh.. memang tak ada maaf bagimu lagilah, terus dia suruh lelaki tu berlari, dan dia sendiri pergi ambil fail dia yang tertinggal tu."

"Dua pusingan Ros?" Aku bangun dan menjenguk ke luar jendela. Sedang membuat perkiraan berapa agaknya keluasan di luar villa ini. 

"Cik muda.. dua pusingan tu dah kira macam berlari 20 pusingan tau. Cik muda tengok sendiri la berapa luasnya kawasan villa ni. Head Gardener dan pekerja dia pun ada kenderaan sendiri tau untuk bersihkan laman kat luar tu. " Ros berjalan dan berdiri di sebelahku.

"Ish, ish, ishh... boleh tahan juga ya perangai tuan muda awak tu? Nampak je macam baik. Tapi yang kita tak faham tu, kenapa atuk masih nak dia yang jadi penasihat kita walaupun perangai dia macam tu?... Oh, jangan kata yang atuk tak tau langsung apa yang dia dah buat..." Aku mula berandaian.

"Tuan pengerusi tau, tapi... entahlah. Kami semua pun tertanya-tanya juga kenapa la tuan pengerusi sanggup serahkan cucunya untuk dijaga oleh “singa jantan” yang nampak senyap tapi merbahaya tu." Reaksi muka Ros menunjukkan yang dia jengkel dan pelik dengan tindakan atuk.

"Agak-agak awak la kan Ros, kalau kita ada buat silap, dia akan hukum kita macam yang dia buat kat orang-orang lain tu ke?" Soalku, curiga.

"Entahlah.. sukar untuk dijangka.” Jawab Ros mengjongket bahu.

Aku dihambat kerisauan.

*************

"Krrrriiiiinggggg....." Telinga aku bingit mendengar bunyi loceng yang nyaring.  Entah dari mana datangnya jam loceng di bilikku ini. Tangan aku menggagau mencari lokasi dimana letaknya alat yang mengganggu tidurku itu tanpa membuka mata.

Jumpa. Jari aku meraba segala suis yang boleh dipetik, ditekan atau apa saja untuk menghentikan bunyi itu. Selesai. Lega. Dan aku kembali lena.

"Cik..." Tidur aku terganggu lagi dengan panggilan suara Ros yang menyentuh bahuku. Aku tarik selimut menutupi seluruh badan. Kenapa tidur aku hari ini asyik terganggu saja?

"Cik muda.. bangun..." Bisik Ros ditelingaku yang ditutupi selimut.

"Ros.. jangan la kacau kita tidur" Rungutku.

"Cik muda Irina Imani... dah pukul 6.15!!" Kata Ros agak tegas, tapi masih dalam nada yang dilembutkan.

Baru pukul 6.15 pagi. Apa masalahnya Ros gerak aku awal-awal ni, pukul 6.45 nanti aku bangun la solat. Aku mengiring ke kiri, membelakangi Ros.

"Haaihh.." Aku terdengar suara Ros mengeluh. Kerana dua kali lena aku terganggu, aku jadi tak dapat nak lelapkan mata, tapi aku masih memaksa mata aku supaya tidur. Malas nak bangun sekarang dan tinggalkan tilam dan selimut yang sangat empuk ini, lagipun kalau bangun subuh awal-awal nanti dah susah nak tidur lena balik..

"Cik muda lupa ke hari ni jadual cik dengan tuan muda berkuatkuasa serta merta?" Soal Ros masih dalam nada yang lembut dan sopan. Sedangkan bagi telinga aku yang mendengar, ia kedengaran seperti nada menyindir.

"Jadual? Jadual apa pula ni Ros... " Aku menyoal di sebalik selimut tebal itu. Masih tak mahu bangun dari katil.

"Cik muda ni, semalam kan tuan muda dah bagi jadual kat cik? Pukul 6.30 pagi cik kena ikut dia pergi jogging dan sekarang dah pukul 6.20 pagi." Kata-kata Ros itu terus membuatkan aku membuka mata seluas-luasnya.

"Jadual!"

Aku menyelak gebar yang menutupi badan dan terus bangun dari katil, menuju ke bilik air. Patah balik sebab lupa ambil tuala. Kembali ke bilik air, capai berus gigi, pencuci muka. Buka paip, tengok cermin. Rambut serabai, Capai sikat pula, lepas tu aku dah tak tau apa yang aku patut buat dulu. Keluar balik dari bilik air, cari Ros.

"Ros, mana baju kita?" Soalku kepadanya sambil membuka pintu almari, tercari-cari baju apa patut aku pakai pagi ini, sebab selalunya Ros yang akan menyiapkan pakaianku.

"Cik muda.. pergi mandi dulu, solat. Lepas tu baru bersiap." Kata Ros meredakan ketidakwarasan otak aku saat ini. 

Bangun dari tidur, teringatkan Iman Harraz terus hari aku jadi kucar kacir. Serabut.

"Tapi kita dah lambat, nanti dia marah kita lepas tu dia suruh kita berlari keliling villa ni macam mana?" Soalku, masih kalut menarik satu persatu baju yang tersangkut, tapi semuanya baju yang terlalu 'cantik'. Dress, skirt, blaus... aku cari seluar!!.

"Kalau cik gelabah macam ni nanti lagi lambat jadinya, pergi mandi dulu, saya dah siapkan pakaian cik muda.." Ros menolak aku ke bilik air, dicapainya berus gigi yang dah diisikan ubat gigi dan diberi kepadaku. 

Agaknya kalau aku tak sambut, mahu dia tolong gosokkan gigi aku sekali. Sambil aku gosok gigi Ros menyelak rambut aku ke belakang dan disepitkan dengan penyepit rambut. Ahh bertuah sungguh dapat pembantu macam Ros, aku dilayan macam tuan puteri!.

Selesai gosok gigi, cuci muka, mandi ala kadar dan solat subuh barulah aku boleh duduk tenang di meja solek sambil didandan oleh Ros. Satu perkara lagi yang aku suka tentang Ros adalah dia suka menyikat dan mendandan rambutku jadi aku tak payah pening-pening kepala nak sikat dan sanggul rambutku supaya ia kelihatan kemas sentiasa macam sebelum ni.

"Ros dah pukul berapa sekarang? Tuan muda tunggu kita kat mana?" Soalku, dengan kepala yang melilau-lilau mencari jam di dinding sedangkan Ros sedang mengikat rambutku.

"6.40 pagi. Tuan muda tunggu kat..." 

"6.40?? Habislah, kita dah lambat!" Belum sempat Ros menghabiskan kata-katanya aku terus bangun dan berlari anak ingin keluar dari bilik. Tak boleh jadi, aku dah lambat, mati aku kena hukum nanti. 

"Cik.. cik muda... tunggu.." Terjerit-jerit Ros mengejarku di belakang.

 Aku terus berlari tanpa mempedulikannya. Dalam fikiran aku sekarang ni, tuan muda Iman Harraz yang suka menghukum orang itu adalah lebih penting. Aku harus carinya sebelum aku akan makin terlambat.

Aku berlari tanpa arah tuju sehinggalah aku ternampak kelibat Iman Harraz di gazebo iaitu tempat dimana atuk buat majlis untuk aku tempoh hari. Aku berlari mendapatkannya.

"Sorry, kita terlambat.." Kataku yang berdiri di belakangnya. Iman Harraz memusing menghadapku. Dipandangnya aku atas dan bawah. Kemudian ditelek jam di tangannya.

Ya, aku tau aku lewat. Jadi tak payah la nak tengok jam tu macamnya aku tak mengaku salah sendiri.

"Sepuluh minit terlewat pun takkan la sampai tak sempat nak pakai...."

"Cik muda.. cik muda... fuh.. fuh.." Kata-kata Iman Harraz terhenti bila Ros tercungap-cungap datang ke arah kami.

"Ni.." Ditunjukkan kasut sukan kepadaku. Aku tunduk memandang kakiku sendiri. Aku tutup muka dengan sepuluh jari, malu. Nak cepat punya pasal sampai terlupa nak tukar kasut. Ini pun kira nasib baik la aku pakai kasut berbulu yang bentuk bunga matahari terletak elok di atasnya, kalau aku tak pakai kasut tadi lagi haru!

Aku curi-curi pandang muka Iman Harraz yang tersengih menyindir memandangku. Perlahan aku capai kasut yang dihulur oleh Ros dan menyarungkan ia ke kakiku di situ juga.

"Memandangkan kau dah terlewat sepuluh minit dari waktu yang dah aku tetapkan, terpaksalah aku jatuhkan hukuman untuk kau..." Kata Iman Harraz.

Aku angkat kepala memandang Iman Harraz. Dia membalas pandanganku. Kata-katanya tadi dibiarkan tergantung. Tak tahan berlawan mata dengannya, aku mengalihkan pandangan ke arah Ros yang sedang berdiri di sebelahku. Ros membalas pandanganku dengan muka simpati.

"Cepat, aku dah tak sabar nak jatuhkan hukuman pertama untuk kau." Kata Iman Harraz lagi, teruja. Seolah-olah menjatuhkan 'hukuman' itu adalah hobinya. Cop, mungkin bukan hobi.. tapi ketagihan. Sebagaimana aku ketagihan untuk menulis, seperti itulah dia ketagihan untuk menghukum orang. Dan aku adalah salah seorang mangsanya.

Terpaksa redha dengan apa saja yang bakal berlaku kejap lagi, aku bangun selepas mengikat tali kasutku dan mengikut langkah kaki Iman Harraz sambil berpaling menghantar pandangan sayu kepada Ros, dibalas dengan pandangan lebih sayu daripada Ros. 

Sabar Irin, walauapapun kau masih Cik muda Irina Imani seorang majikan kepada Iman Harraz, walaupun semua pekerja tetap memanggilnya tuan muda. Kau berhak menggunakan kuasa veto kau untuk menentang lelaki ini. Aku sematkan kata-kata itu dalam hatiku. Macam yang Iman Harraz kata kat aku semalam...

"Aku yang bekerja untuk kau, bukan kau yang bekerja untuk aku.."

Kaki aku terus mengekori langkah kakinya sehingga di hadapan pintu utama villa, barulah Iman Harraz memusing memandangku.

"Terlewat sepuluh minit bersamaan sepuluh pusingan." Berakhirnya kata-kata yang diucapkannya itu dia terus memulakan langkah dan berlari. Atau lebih tepat lagi berjogging. Dan aku terpinga-pinga di tempatku berdiri. Sepuluh pusingan? Sepuluh pusingan satu villa ni ke?

"Apa yang kau menungkan lagi tu? Cepatlah!" Panggil Iman Harraz yang memperlahankan lariannya dan berpusing ke belakang menghadapku sambil berlari secara mengundur. Sehingga aku turut membuka langkah barulah dia memusing ke hadapan kembali.

Tak pasal-pasal aku kena korbankan pagi aku dengan berjogging. Kalau tidur tadi kan sedap?.
Sepuluh minit kemudian...

Aku dah termengah-mengah berlari mengikut langkah Iman Harraz yang nampaknya sangat cool dan steady dari tadi walaupun kami dah memusing kawasan villa ini dua pusingan. Satu pusingan yang mengambil masa lima minit!. 

Mata aku bersinar-sinar bila melihat Iman Harraz berhenti berlari dan membuat sedikit regangan berdekatan dengan kerusi kayu yang terletak di tepi laluan tempat kami berjogging ini. Kalau tadi aku berlari macam dah tak larat benar sampai nak tersembam ke jalan berbatu-bata ini, sekarang aku berlari pantas dengan mata bersinar-sinar seolah-olah melihat batu permata di hadapan mata. 

Tanpa mempedulikan Iman Harraz yang sedang terbongkok-bongkok meregangkan tulang, aku terus duduk dan melepaskan penat. Lega..

"Woi.. woi.. siapa suruh kau duduk?" Soal Iman Harraz bercekak pinggang melihatku.

"Oh, kena buat regangan dulu ya?" Soalku, walaupun aku terasa macam aku bertanya soalan bodoh. Orang kata kalau lepas berlari jangan terus duduk, kena tarik nafas dulu, kalau tak nanti jadi bantut. Eh? ye ke? . Aku pun bangun dan menarik nafas, buat regangan segala, sebelum aku kembali duduk.

"Dah buat regangankan?" Soal Iman Harraz memandangku yang sedang duduk, manakala dia masih berdiri di tempatnya tadi.

Aku kerut dahi. Dah sah-sah aku aku buat depan dia, lagi mau tanya. Soalannya aku biarkan tak dijawab. Rasanya tak perlu jawab pun tak apa.

"Dah tu, tunggu apa lagi? Pergi la lari lagi lapan pusingan!" Tengking Iman Harraz tiba-tiba. Tersentak aku dibuatnya. 

"Kenapa pula? Bagi la kita rehat kejap.." Balasku dalam takut yang 'diberanikan'. Seram juga mamat ni, tiba-tiba je nak tengking orang, 

"Siapa kata kau boleh rehat? Hukuman kau belum habis lagi. Tadi baru dua pusingan, pergi lari lagi lapan pusingan! Sekarang!" Tegasnya lagi. Kali ni dengan tangan-tangannya sekali terangkat menunjuk ke arah laluan yang harus aku lalui.

Betul la mamat ni, nak hukum aku pun beragak la sikit. Pembantu lelaki yang Ros cerita tu kena hukum lari dua pusingan je kot, apasal aku kena lari sampai sepuluh pusingan ni? Tak adil betul!. Aku berkira-kira untuk melawan cakapnya dan menggunakan kuasa vetoku sebagai Cik Muda Irina Imani, tapi tak kesampaian bila Iman Harraz menggertakku akan menambah jumlah pusingan yang harus aku lakukan jika aku tak ikut cakapnya.

"Pergi sekarang atau kau kena lari lagi extra dua pusingan?" Soalnya. Lembut tapi tegas.  

Panas, membara dan mendidih hati aku dengan perangai lelaki ini. Yakin yang kuasa veto aku sebagai cucu kepada atuk takkan mengubah apa-apa keputusan 'tuan muda' ini, aku meneruskan larian dengan bebalan, sesalan, bebelan, dan segala kesalan kerana dipertemukan dengan 'tuan muda Iman Harraz' yang garang macam singa ini.

Siaplah kau, ada peluang nanti aku mengadu kat atuk!.

Thursday, August 11, 2011

Bab 9




Aku berkalih ke kiri, cahaya di luar terbias ke mataku di sebalik langsir yang terselak. Aku memusing ke kanan pula, ingin mendapatkan posisi yang lebih selesa. Tapi sekilas mataku seakan ternampak bayangan seseorang sedang duduk di kerusi yang berhadapan dengan katil beraduku.

Aku gosok mata dan memandang makhuk yang kelihatan seperti sedang merenungku itu. Seorang lelaki. Ahh.. pasti aku bermimpi, mana ada lelaki kat dalam bilik aku. Aku kembali memejamkan mata dan mengiring ke kanan.

"Haihh..." 

Telinga aku menangkap bunyi suara lelaki mengeluh. Berkerut-kerut keningku cuba mengecam suara yang aku dengar tadi dengan mata tertutup. Senyap. Tiada satu bunyi pun yang aku dengar. Sah!, aku bermimpi.

"Berapa lama lagi kau nak tidur?" 

Sekali lagi telinga aku menangkap suara lelaki berkata-kata. Takkan aku...

Aku buka mata dan memandang ke arah kelibat lelaki yang aku nampak tadi. Memang ada seorang lelaki sedang berdiri berpeluk tubuh memandangku tanpa perasaan. Aku gosok mata berkali-kali. Aku buka mata luas-luas. 

Ya, lelaki itu berada di bilikku.

"Aaarrrrrhhhhh..." Spontan aku menjerit. Terkejut.

Sekuat hati aku menjerit dan menjerit dan menjerit sehingga Ros datang tergesa-gesa dan menenteramkan aku. Barulah aku berhenti menjerit dan menarik nafas tercungap-cungap tapi lelaki itu tetap  terus memandangku tanpa perasaan.

Ros menghulurkan segelas air kosong kepadaku. Aku meneguknya rakus. Lupa langsung yang aku masih belum cuci muka dan gosok gigi.

"Siapa dia? Apa dia buat kat bilik kita? Macammana dia boleh masuk ke sini? Suruh dia keluar." Soalku bertalu-talu. 

"Cik muda, ini.. tuan muda Iman Harraz, saya yang bagi dia masuk ke sini." Terang Ros satu persatu.

Aku pandang Ros dan lelaki ini silih berganti. Tuan muda Iman Harraz?  Maksudnya ini lelaki yang Ros ceritakan kepada aku malam tadi? Kenapa pula Ros boleh membiarkan seorang lelaki masuk ke bilik aku masa aku tengah tidur, sedangkan aku dan lelaki ini belum ada apa-apa ikatan lagi.

"Bersiap sekarang dan jumpa aku di ruang makan dalam  masa 15 minit dari sekarang. Ada banyak perkara yang perlu kita bincangkan.." Seiring kata-katanya itu dia pun berlalu keluar dari bilikku.

Aku pandang muka Ros, blur. Serius, aku tak faham langsung apa yang tuan muda Iman Harraz tadi tu katakan walaupun aku mendengar dengan jelas yang dia nak jumpa aku di ruang makan 15 minit dari sekarang.

Tapi...

"Baik cik muda mandi dan bersiap sekarang. Saya bukan nak takutkan cik, tapi tuan muda tu memang tegas orangnya. dia sangat puntual." Kata Ros memberi peringatan kepadaku.

Tanpa berlengah lagi Ros menarik tanganku supaya bangun dari katil dan menolakku ke bilik air. 


30 minit kemudian...

Aku berjalan ke ruang makan dengan hati yang berdebar-debar. Andai diberi pilihan, aku memilih untuk tidak bersarapan dan terus duduk di dalam bilik. Berseorangan di dalam bilik lebih baik, daripada menghadapi lelaki yang tak aku kenali ini dan dikatakan sebagai seseorang yang menakutkan!.

Tapi aku tak diberi pilihan...

Semakin kaki aku menghampiri meja makan, semakin gelisah dan berdebar jantungku dibuatnya. Aku dah terlewat 15 minit daripada waktu yang diberikan. Aku tak kenal lelaki ini dan dia berada di bilik tidurku sewaktu aku sedang nyenak tidur. Dan baru malam tadi aku diberitahu yang lelaki ini adalah seseorang yang sangat penting dalam hidup aku sedangkan aku tak rasa begitu.

Sampai di ruangan makan, atuk juga berada di situ bersama-sama dengan tuan muda Iman Harraz itu, lega.. sekurang-kurangnya aku takkan rasa kekok jika berdua-duaan dengan lelaki itu. 

"Irin.. mari duduk, atuk nak kenalkan Irin dengan seseorang." Hanya atuk yang menyambut kedatanganku ke sini tapi tidak tuan muda Iman Harraz. Sejak tadi dia hanya menunduk dan menikmati sarapannya tanpa mengalihkan pandangannya ke arahku sikit pun

Aku tarik kerusi dan duduk berhadapan dengan lelaki sombong ini, bak kata Ros, dia bukan sombong tapi orang selalu kata dia sombong. Bagi aku dia memang seorang yang sombong! Kalau tak dia takkan memandangku tanpa perasaan semasa aku menjerit melihat mukanya di bilikku tadi, dia juga takkan terus beredar tanpa segaris senyuman sewaktu dia menyuruhku bersiap dan keluar ke ruangan makan, dia juga tak akan menundukkan kepalanya sejak tadi seolah-olah aku langsung tak wujud di sini. Betul tak?

Rupanya tanpa sedar, dari tadi aku asyik memerhatikan lelaki ini sehingga ditegur oleh atuk, "Ini Iman Harraz, mulai hari ini dia akan jadi kawan Irin" 

"Kawan?" Aku memandang atuk, pelik.

"Ya, mulai hari ini, dia akan bersama dengan Irin setiap masa dari Irin celik mata sampailah bila Irin tidur.  Anggap sajalah yang Iman ni teady bear Irin..hahaha.." Atuk ketawa. Lucu agaknya dengan perbandingan Iman Harraz sebagai teady bear aku.. eeii.. tolong, siapa kata aku nak usung teady bear ke hulu ke hilir. Kalau betul tuan muda Iman Harraz ini akan jadi calon suami aku, rasanya atuk tak perlulah sampai perlu menyuruh dia mengekoriku sepanjang masa.

"Selamat pagi cik muda Irina Imani.." Pak cik Ghazi tiba-tiba muncul dengan buku hitam yang dikepit di lengannya dan menegurku.

"Pagi.." Apa mimpi pak cik Ghazi memanggilku cik muda? Sebelum ni elok je panggil Irina.

"Tuan, kita kena pergi sekarang" kata pak cik Ghazi berbisik perlahan di telinga atuk tapi masih mampu didengari oleh aku. Aku memandang atuk dan pak cik Ghazi, menunggu mereka memberitahu kepada aku kemana mereka ingin pergi.

"Irin, atuk ada kerja yang nak dibuat ni, Irin bolehlah berkenalan dengan Iman,  mulai hari ini kamu berdua perlu bekerjasama. Jangan gaduh-gaduh.." Atuk menepuk bahu Tuan muda Iman Harraz dan bangun perlahan-lahan dibantu oleh pak cik Ghazi. 

Aku pandang muka Tuan muda, Jangan bergaduh? Apa maksud atuk? Dan ketika atuk sudah beredar barulah lelaki ini mengangkatkan kepalanya memandangku.

"Habiskan makanan kau cepat dan jumpa aku kat bilik bacaan tepat pukul 9!" Kata tuan muda dengan perkataan tepat itu ditekankan dengan lebih dalam supaya aku mendengar dengan lebih jelas dan dia bangun meninggalkan aku di meja makan ini. Ya, aku tau dia memerliku. 

Baiklah, kejengkelannya sudah semakin  terserlah!.

Aku meneruskan bersarapan sambil memandang keadaan di sekeliling ruangan makan yang agak luas ini sekalipun hanya aku seorang yang sedang makan di meja 'maha' panjang ini, mataku meliar memerhatikan ke dinding yang dihiasi dengan gambar-gambar pemandangan, potret yang mempunyai nilai estetika yang tinggi, jam dinding berbentuk seperti rumah..., piring bermotifkan.. kejap! JAM? Ya, jam menunjukkan lagi lima minit sebelum ia mencecah ke pukul 9 dan aku masih belum selesai makan malah aku sendiri tak tau di mana letaknya bilik bacaan.

Oh my god, apa aku nak buat ni? Ros! Mana Ros? Hanya Ros yang boleh tolong bawa aku ke bilik bacaan tapi dia tak ada bersamaku sekarang ini. Dalam keadaan yang kalut memikirkan dimana bilik bacaan, dimana Ros, dengan perut yang berbunyi kelaparan lagi, aku sempat capai sebiji muffin di atas meja dan terus keluar dari ruang makan dan mencari dimana letaknya bilik bacaan dalam rumah yang ada entah berapa banyak bilik ini. Satu harapanku agar aku tidak terlewat untuk kali kedua.

Tuan muda Iman Harraz, kau betul-betul buat hari aku kalau bilau!.


*******************


Sebaik  pintu bilik bacaan itu dibukakan untukku, aku terus meluru masuk dan mencari tuan muda dengan nafas yang tersekat-sekat, penat. Tak dapat aku gambarkan dalam masa lima minit aku perlu berlari dan mencari bilik bacaan yang entah dimana, mujur ada seorang pembantu lelaki yang bertanyakan kepadaku jika aku memerlukan pertolongannya, terus aku memintanya membawaku ke bilik bacaan, nah! Sekarang di sinilah aku terbongkok-bongkok menarik nafas di hadapan tuan muda Iman Harraz yang sedang berdiri tegak sambil melihat jam di tangannya.

"Bagus, lain kali kalau kau rasa perlu 'berkuda' untuk sampai tepat pada masanya, aku memang sangat galakkan!" Kata tuan muda lalu mengambil tempat duduk di meja yang terletak di tengah-tengah ruang.

Aku menyusul mengikutnya duduk. Muffin yang berada di genggamanku sejak tadi aku letak di atas meja. Aku tarik nafas dan hembus berulang kali untuk meredakan perjalanan oksigen aku yang dah macam tunggang terbalik ni.

"Eh, ni apa ni?" Soal tuan muda sambil menunjuk dengan pandangan yang jelik ke arah muffin yang aku bawa itu.

"Muffin." Jawabku sepatah. Takkan dia tak kenal makanan yang dia makan tadi?

"Macammana benda ni boleh ada kat sini?" Soalnya lagi.

"Kita bawa.." Jawabku, pelik dengan soalannya.

"Ada tak aku kata 'jumpa aku di bilik bacaan dan bawa sebiji muffin?' tadi?" Soalnya lagi, masih berkias denganku. Sekarang aku faham kenapa dia bertanya soalan-soalan pelik dan agak merepek itu.

"Tadi kita tak sempat nak habiskan makanan, sebab tu kita bawa ni, ingat nak spare kalau-kalau lapar nanti."

"Dalam villa ni, kau tak boleh buat semua benda ikut suka hati kau, ada peraturan yang mesti kau patuhi termasuk tak boleh makan selain di dining hall. Aku nak kau buang sekarang makanan ni" Arahnya, tegas.

"Tapi..." Aku buat muka kasihan.

"Buang." Dia buat muka serius. 

Kecut perut aku.

Gila ke apa mamat ni nak buang-buang makanan? Tau la dah biasa hidup mewah sampai makanan pun sanggup main buang-buang. Err.. tapi aku tak sanggup nak buang, macammana ni?

"Kau nak buang sekarang atau biar aku yang tolong buangkan?" Soal tuan muda lagi bila dilihatnya aku masih tidak berganjak dari kerusiku.

"Tak payah buanglah, kita simpan."  Kataku, memberi saranan. Tuan muda memandangku tajam.

"Kita tak makan, kita simpan je." Kata aku lagi, cuba menyakinkannya.

    "Dengar baik-baik apa aku nak cakap ni. Aku amat pantang dengan lima perkara. Pertama, tepati masa. Kedua, jangan melawan cakap aku. Ketiga, ikut arahan. Keempat, jangan paksa aku untuk ulang apa yang aku dah sebut dan kelima, hormat aku. Kalau kau tak patuhi semua perkara itu, ada hukuman yang akan menanti kau." Katanya tegas.

"Err.. " Aku kelu, tak tau apa yang patut aku balas dengan kata-katanya itu. Lebih kelu lagi sebab rasanya aku dah pun melanggar tiga prinsip yang pertama. Dan apa katanya tadi? Ada hukuman untuk aku kalau tak ikut cakap dia? Alamak.. habislah.

Dari posisi duduk tegak di kerusi, tuan muda mula menyandar dan memeluk tubuh. Pandangannya masih terarah kepadaku, tiada senyuman di bibirnya selain muka dingin yang seperti tak ada perasaan.

"Aku bagi peluang untuk kau supaya tak ulangi kesalahan ke tiga." Katanya. 

Kepantangan nombor tiga, ikut arahan. Baru tadi dia suruh aku buang makanan ni jadi maksudnya sekarang, aku tetap kena buanglah muffin ni? Oh sayangnya... 

Dalam terpaksa dan paksa rela, aku bangun membawa sekali muffin itu menuju ke tong sampah yang terdapat di satu sudut tepi dinding. Dalam setiap langkahku aku berdoa supaya Allah ampunkan dosa aku sebab sengaja suka-suka nak buang makanan, padahal dulu masa duduk dengan mak dan abah nak dapatkan benda ni sebiji pun punya la susah. Bukan susah sebab tak mampu nak beli, tapi susah sebab tak ada dijual di pekan tempat kerjaku, cuma ada dijual di bandar sahaja. 

Oh, nampak sangat betapa kolotnya pekan tempat tinggalku dulu, nak cari muffin sebiji pun susah. ish..ish..ish..

"Apa yang kau menungkan lagi tu? Aku suruh kau buang, bukan suruh kau tenung dia." Teguran tuan muda Iman Harraz membawa aku kembali ke situasi yang tak mahu aku lakukan. Aku memandangnya dengan pandangan simpati. Kenapa kejam sangat dia sampai sanggup suruh aku buang makanan semata-mata untuk mematuhi peraturan di bilik bacaan ini?

Tuan muda mengeluh, kuat. 

"Oleh kerana kau masih baru kat sini dan tak tahu peraturan di sini, fine! Aku maafkan, makan cepat sebelum kita mulakan perbincangan. Tapi lain kali pastikan yang kau tak ulang perkara ini" Katanya, masih ada nada ketegasan dan 'kejelikan' dalam tutur katanya. 

Aku mengangguk dan tersengih gembira. Tanpa membuang masa aku terus makan muffin blueberry itu di tempat aku berdiri dimana betul-betul bersebelahan dengan tong sampah.

"Kot iya pun tak payah la makan kat tepi tong sampah tu..." Kata tuan muda, mengeluh. Aku memandangnya, memintanya mengulang kembali apa yang dikatakan tadi. Telingaku tidak mendengar dengan begitu jelas kata-katanya tadi.

Dia memberi reaksi dengan menggelengkan kepalanya dan membuat isyarat tangan supaya menyuruh aku menghabiskan makanan. 

Satu, dua, tiga, ngap! Dah habis. Aku kembali ke meja dengan mulut yang penuh. Tuan muda memandangku dengan pandang yang.. pelik? Jelik? Entah, sukar untuk aku tafsirkan pandanganya, tapi itu pun tak lama bila dia kembali menatap kertas dihadapan matanya sebelum kertas itu diletakkan betul-betul di depanku.

Dengan mulut yang masih mengunyah, tanganku mencapai kertas di atas meja. Mata aku meneliti satu persatu perkataan yang tertera di atasnya. Apa benda ni? Macam jadual harian aku je?. 

6.00 pagi : wajib bangun sebelum aku yang gerak kau supaya bangun
6.30 pagi : tak payah nak bermalas-malasan atas katil lagi, ikut aku pergi jogging

Apa ni? Apa ni? Apakah ini?! Aku pandang tuan muda mengharapkan penjelasannya. Tapi dia pula memandangku dengan kening yang dijongketkan. Aku membalas dengan turut mengangkat kening.

"Apa ni?" Soalku, akhirnya. Tak sanggup nak lawan angkat-angkat kening dengannya lagi semata-mata untuk mendapatkan jawapan kepada persoalan 'kertas apakah ini?'.

"Jadual harian kau." Jawabnya. 

"Jadual...?? " Aku mengharapkannya menjelaskan kepadaku dengan lebih mendalam maksud 'jadual harian aku' ni memandangkan aku langsung tak faham apa kena mengena jadual ini dengan tuan muda Iman Harraz yang kononnya akan menjadi calon suamiku.

"Oh, mungkin aku patut mulakan dari awal memandangkan atuk tak cakap apa-apa pun lagi pasal aku pada kau. Kan? " Soalnya sambil bangun dari kerusi dan berjalan mengelilingi kerusinya itu sebelum dia menunduk dan memandangku sewaktu dia menyebut perkataan 'kan?'. 

Laju aku mengangguk. 

"Nama aku Iman Harraz, aku bekerja dengan atuk kau sejak aku habis belajar dan skop kerja aku sebelum ni hanya tertumpu pada hal-hal pentadbiran di pejabat, sebab itu memang kerja aku. Tapi sejak kau muncul, skop kerja aku pun mula diubah. Atuk nak aku jadi penasihat kau sepenuh masa yang mana aku terpaksa tinggalkan semua kerja-kerja aku dipejabat dan menghadap muka kau disini. Oh ya, sebenarnya selain daripada menjadi penasihat kau, aku juga boleh dikelaskan sebagai 'bodyguard' kau. Jadi aku harap yang kau takkan buat aku menyesal sebab setuju terima kerja ini. Boleh?" Soalnya. Berhenti berjalan-jalan memusing meja dan memandangku sambil mengangkat sebelah kening.

"Err.. boleh kot.." Jawabku ragu-ragu. Macammana aku nak buat supaya dia tak menyesal dengan kerja dia ni?.

"Kau boleh buat kalau kau patuhi lima prinsip yang aku cakap tadi."

"Tapi tuan muda...."

"Ahh.. lagi satu, jangan panggil aku tuan muda, kau bukan pekerja aku, aku yang bekerja untuk kau, sepatutnya aku yang panggil kau cik muda" Tuan muda memotong percakapanku membuatkan aku jadi blur sejenak. Lupa langsung apa yang aku nak tanyakan padanya tadi.

"Habis tu kita nak panggil apa?" Soalku. Eh, kenapa soalan ini pula yang keluar dari mulutku, sepatutnya aku nak tanya apa maksudnya dengan tugasnya sebagai penasihat aku tu... Adoi.

"Kau ni tak faham bahasa ke, sengaja tak nak faham? Atau pekak?" Soalnya. Agak sarkastik. 

Aku menunduk. Dah sah sah aku memang tak faham bahasa. "Prinsip  Keempat, jangan paksa aku untuk ulang apa yang aku dah sebut" Dah tiga kali aku diperkenalkan kepada dia sebagai Iman Harraz, itulah nama yang sepatutnya aku panggil. 

"Ambil jadual tu dan tampal di bilik kau. Mulai esok, jadual itu akan berkuatkuasa serta-merta. Pastikan yang kau tak tertinggal satu aktiviti pun. Ada apa-apa lagi yang kau nak tanya?" Soalnya.

Ya, aku nak tanya. Macam-macam. Tapi apa yang patut aku tanyakan dulu ya?.

"Kalau tak ada kau boleh keluar sekarang."

"Ada!."

Iman Harraz memandangku, menanti soalan.

"Ermmm.. apa maksud awak, jadi penasihat kita?" Soalku. Terkeluar juga soalan ini.

"Membantu kau dalam mengadaptasikan diri dengan kehidupan baru kau di villa ini sebelum kau akan diperkenalkan dengan orang luar." Ringkas dan padat jawapannya.

"Itu je?" Soalku lagi. Rasanya macam dia ada terkurang sesuatu yang belum diberitahu kepadaku. 

"Apa lagi yang kau nak tau?" Soalnya kembali kepadaku.

Betul ke atuk nak jodohkan kita? Oh, macam berani je nak tanya soalan ni kat dia.  Andai diberi peluang untuk bersuara, aku nak cakap kat atuk yang aku tak mahu dijodohkan dengan lelaki ini. Baru pertama kali bertemu, dia dah bagi tanggapan yang buruk kepadaku. Dengan reaksi mukanya, dengan kelakuannya.. dengan... semua tentang dia! Aku tak berkenan.

"Kenapa awak yang jadi bodyguard kita?" Penyudahnya itu soalan yang keluar dari mulutku.

"Sebab aku yang akan bersama kau setiap masa, terpaksalah aku ambil alih tugas pengawal peribadi dengan menjaga kau..." Katanya dengan reaksi muka bosan.

        "Bukan sebab awak calon....." Aku tak jadi meneruskan kata-kata bila pandangan mata tuan muda tepat memandang ke arahku. Tiba-tiba lidah aku jadi kelu nak bersuara.

        "Calon apa?" Soalnya.

Aku menggeleng. Dan tersengih. Berharap yang dia akan mengabaikan kata-kataku tadi.

        "Calon suami kau?" Soalnya.

Aku jadi tak tau nak mengangguk atau menggeleng atau buat tak tau saja.

        Tuan muda ketawa. Perlahan dan makin galak. Dia memandangku sambil menggelengkan kepalanya lalu keluar dari bilik ini dengan suaranya ketawa kedengaran kuat di telingaku walaupun pintu sudah ditutup.

Jadi maksudnya, dia bukan calon suami aku macam yang Ros katakan semalam? Oh, patutlah Ros cakap semalam...

"Selagi tuan pengerusi tak cakap apa-apa cik muda tak payah bangkitkan apa-apa tentang hal ini. Rileks saja ok?"

Jadi Ros cuma menipu aku? Ros!!!!!!......