http://img10.imageshack.us/img10/7733/contactm.png

Monday, June 29, 2015

Certot : Rutin



Pintu lutsinar aku tolak, seat yang berdekatan dengan pintu aku tuju – duduk menghadap cermin besar di dinding. Pelayan perempuan dengan uniform merah datang hulur buku menu. Tak perlu selak buku itu aku sudah tahu apa yang aku mahu,

                “Brown....”

                Seorang perempuan tiba-tiba datang tarik kerusi dan duduk. “Brownies lagi? Secret recipe ada berpuluh-puluh jenis kek untuk dimakan, kenapa mesti brownies?” Soal dia.

                “Sebab saya suka.”

                Dia tarik buku menu dan menyelak satu persatu. Pelayan tadi masih menunggu dengan buku nota dan pen di tangan. Memandang aku dengan kening yang dijongket.

                “Biar saya pilihkan untuk awak.” Dia mengetuk-ngetuk jarinya pada dagu sambil menyelak menu. “Saya suka carrot cake, tapi saya tak makan carrot cake setiap kali, saya  gila cheese, tapi saya tak makan cheese cake selalu. Kadang-kadang apa yang kita suka makan bukan sebab kita memang suka, tapi sebab itu adalah benda yang kita dah biasa buat. Itu rutin.”

                Aku biarkan dia membebel tentang kek yang meleret kepada entah apa benda. Aku cuma peluk tubuh dan pandang dia tak berkelip. Dia sangat comel bila berakap tanpa henti. Dia sangat jelita dengan tudung bawal yang kadang-kadang serabai bila dia stress, dan kemas bila mood dia baik. Tudung bawal tu dah macam lantunan mood dia pada satu hari itu. Yang dia tak tahu, aku selalu ‘baca’ mood dia daripada gaya tudung bawal yang dia pakai.

                “.... jangan terus hidup dalam zon kawasan selamat, awak kena keluar dan cari hidup yang baru.” Dia pandang aku dengan muka sayu.

                “Encik?” Pelayan perempuan itu tadi memanggil aku. Siap mengawang-awangkan tangan dia kat muka aku lagi.

                Aku tersedar dan perempuan yang duduk kat kerusi depan aku ni tadi dah tak ada.

                “Encik termenung?” Soal si pelayan.

                Aku pandang muka si pelayan. ‘Awak kena keluar, cari hidup yang baru...’ ayat itu terngiang-ngiang di telingaku.

                Aku senyum pada pelayan ini. “Dah lama awak kerja sini?”

                Aku sedang melangkah setapak, mencari ‘hidup’ aku yang baru.
               

                

Sunday, June 21, 2015

Jatuh



                Pada malam-malam terakhir Ramadan, aku masih melihat dia dari balik tabir kain biru. Samar-samar. Cuma telinga yang mendengar setiap malam dia mengalunkan bacaan surah-surah dalam solat yang diimamkan.

                Aku jatuh dalam sujud dan membisikkan kata-kata cinta kepada yang Maha Mengetahui,

“Ya Allah, jika dia untukku, maka satukanlah hatinya dan hatiku dalam ikatan yang sah ya Allah...”


p/s : Selamat berpuasa.

Friday, May 29, 2015

Lega



                Sejak ada budak perempuan baru kerja kat stesen minyak Shell  tepi jalan itu, Leman makin rajin pergi isi minyak kat situ. Setiap kali dia cuma isi rm10. Selang masa dua atau tiga hari sekali dia akan mengisi minyak semula.

                Budak perempuan berkulit cerah itu suka pandang Leman atas bawah bila  Leman nak bayar duit kat kaunter, tapi Leman tak peduli dengan pandangan dia tu, Leman balas je balik dengan kenyitan mata terus budak perempuan itu berhenti pandang Leman atas bawah, dia pandang duit baki yang kena dipulangkan je.

             "Heh!" Leman sengih nakal.

             Dua hari kemudian, Leman datang lagi. Kali ini dengan kawan-kawannya. Budak perempuan itu tersipu-sipu bila Leman memandang ke arahnya sambil berjalan ke kaunter. Habis membayar duit, mengambil duit baki dan mengenyitkan mata pada budak perempuan itu, Leman kembali ke kereta. Pian sedang mengisi tangki minyak, Opie sedang bermain candy crush game dan Leman sedang termenung sambil gigit jari. Ada sesuatu yang difikirkannya.

                “Weh, aku tak tahan ar…” kata Leman bila Pian masuk kereta. 

                Opie dan Pian serentak memandang Leman.

                “Tak tahan apa kau ni?” Soal Pian.

                “Nak kencing pergi cepat, orang nak pergi dah ni.” Kata Opie, kembali bermain game.

                “Ishh.. aku tak tahan dah ni!" Makin kuat Leman gigit jari. Muka Leman macam orang tak senang duduk.

                 "Tak tahan, tak tahan! Tu tandas kat belakang tu." Jerkah Pian.

               "Arghh.. aku tak tahan!" Leman terus keluar dari kereta, dia berjalan pantas ke arah kaunter, matanya memandang tepat ke muka budak perempuan itu yang sedang tersipu-sipu sambil memandang ke tempat lain.

                Leman tak tahan. Dia memang dah tak boleh tahan nak cakap kat perempuan ini.

                “Awak cantik!”

                Terkebil-kebil budak perempuan itu dibuatnya. Leman terus pergi balik ke kereta.


                “Huh, lega….” Pian terus masuk kereta, hidupkan enjin dan pergi. 

                Dua hari kemudian, dia pasti akan datang lagi 




#KarKas #Basedontruestory 



Saturday, May 23, 2015

ANTIDOT



                Rasa serba tak kena. Dada aku macam sempit sampai nafas pun tak mampu dihela. Fikiran menerawang memikirkan benda yang aku sendiri tak pasti hujung pangkal. Jasad aku kaku di atas kerusi, tangan memegang kain, mesin jahit industri terbiar hidup membingitkan suasana. Aku lelah. Aku tahu ada sesuatu yang tak kena tapi aku tak tahu apa dia. Dada aku tumbuk berkali-kali biar rasa sempit itu hilang, biar lapang, biar tenang.

                “Kenapa?” Tanya Lala.

                “Entahlah..” aku mengeluh.

                Lala jongket kening. Lalu dia kembali fokus bekerja.

                Aku mengeluh. Keluhan yang berat. Kain ditangan kembali aku pandang, baju kurung ini harus disiapkan hari ini juga, tak boleh dilengah lagi kalau tidak aku akan terus melengahkan kerja-kerja yang lain.

                Baru jahit pesak dan tangan, tekak mula rasa kering. Mungkin rasa sempit di dada itu bikin badan jadi terhidrat. Aku tinggalkan kepingan-kepingan kain yang perlu dicantum itu, mesin jahit industri aku matikan dengan menekan butang merah. Tali pengukur aku tarik dari leher dan letak di atas meja.

                “Aku nak pergi kedai, ada apa-apa nak kirim?” Soalku pada Lala.

                Dia menggeleng tanpa memandang aku. Tanpa pamitan, aku terus keluar dan berjalan kaki menuju ke kedai serbaneka tak jauh dari situ. Pintu peti ais aku buka, melihat-lihat sambil menimbang tara air apa yang mahu aku capai. Penat berfikir akhirnya air kacip fatimah perasa madu dan kurma aku capai. Pintu peti ais aku tutup kembali dan ketika itu aku sedar ada figura lelaki sedang berdiri menghadapku.

                Betul-betul disebelahku. Dan sedang memandangku. “Sorry..” kataku sebab dah buat dia menunggu lama lalu aku terus ke kaunter bayaran, dan berjalan dengan kaki yang macam tak pijak tanah kembali ke tempat kerja.

                Dada aku berombak kencang, perut berirama tidak senada seolah ada rama-rama yang sedang mengepak kencang. Aku terus duduk di kerusi dan menarik nafas berulang kali.

                Dan rasa sempit yang menyesak dada itu perlahan-lahan hilang. Fikiran aku tenang, dada aku lapang dan aku kembali menjahit kepingan-kepingan kain itu dengan bibir yang tak berhenti tersenyum.

                “Siapa yang kau jumpa kat kedai tu tadi Mia?” Tanya Lala tiba-tiba.


                Terus mati senyumanku.



Saturday, April 4, 2015

Certot : Gadget




                “Budak-budak sekarang tak macam dulu dah. Semua dok ngadap enset, langsung tak peduli orang.” Bebel mak.

                Aku diam. Malas nak cakap banyak sebab kadang-kadang aku pun buat benda yang sama.

                “Tengok mak cik jenah tu, mana ada nak datang sini dah menyembang. Dia duduk kat rumah duduk depan computer ngadap fesbuk. Kalo datang sini ngadap wasap kat telepon, apa orang cakap pun dia macam tak dengar. Benda tu memang buat orang leka, tak peduli sekeliling dah!” sambungnya lagi.

                Aku senyum segaris. Separuh hati mengakui kebenarannya.

                Bila mak diam, aku kembali pegang telefon dan bukak instagram. Ah, aku tengah gila dengan ‘Hati perempuan’, hari-hari nak stalk instagram mia ahmad. Pengsan!
               

***

                Mak balik rumah membebel-bebel seorang diri. Reaksi mukanya menunjukkan yang dia benar-benar tak puas hati. “Kenapa mak?” Soalku. Ingin tahu apa yang membuatkan emak marah sampai begini sekali.

                “Mak pergi kelas memasak tu, sorang pun tak ada! Selalu diorang buat kat situ, hari ni tak ada sesiapa pun bagitau mak yang kelas tak ada? Geram betullah mak, penat mak tunggu sorang-sorang kat situ..”

                “Mak tak tanya mak cik Jenah dulu?”

                “Ha.. idak. Cuba kamu telepon, ke kamu wasap dia ke tanya ke dia.”

                Aku lakukan seperti yang di suruh. Balas mak cik Jenah melalui whatsapp, katanya mereka dimaklumkan lokasi kelas memasak dah ditukar di rumah mak cik Lina dan semua ahli dah diberitahu melalui whatsapp. Memandangkan mak tak ada whatsapp, jadi mak terlepas info penting ini.

                Mendengarkan itu, terus mak melenting. Dia rasa terpinggir dan disisihkan hanya kerana dia tak ada whatsapp. Okey, aku sangat kasihan.


***


                Pagi itu sunyi sekali. Aku tak dengar bunyi pili air, aku tak dengar bunyi gas dipetik, aku tak dengar bunyi air dimasak. Rutin subuh bukankah itu yang selalu mak buat? mana perginya mak aku ni? Aku turun dari katil dan menjengah ke dapur. Kosong. Air tak masak lagi, aku beralih ke ruang tamu.

                Hemmmm...

                “Amboi mak?” tegurku.

                Mak angkat kepala dan tersengih memandangku. Di tangannya ada smartphone yang aku belikan untuknya supaya mudah dia mendapat info dari group whasapp ‘kelas memasak’

                Sejak dapat telepon ni, mak asyik pegang enset aje, nak dengar suara mak membebel pun dah susah, mak macam.. leka.

                Dengan gadget.




p/s : Aku sedar, lately aku macam agak malas... menulis. *sigh*


Thursday, January 29, 2015

certot : Patung



            Orang cakap jangan simpan patung kat rumah nanti malaikat tak masuk., jadi aku pun tak beranilah nak ada patung kat rumah takut nanti malaikat rahmat tak masuk rumah aku, walaupun sebagai seorang perempuan patung itu dah jadi macam sesuatu yang mampu menggetarkan hati. Apa perasaan kau bila masuk kedai aksesori pastu kat satu sudut ada banyak anak patung? Wah, masa tu mulalah nak keluar kamera dan selfie. Pendek kata patung dengan perempuan macam bunga ros merah dan kekasih. Tak boleh dipisahkan!
            Tapi aku kalah dengan satu jenis patung ini sampaikan aku sanggup tepis semua kata peringatan tentang malaikat-rahmat-tak-masuk-rumah-kalau-ada-patung sebab aku dah jatuh cinta dengan patung ini. Dia comel, dia berwarna merah dan dia.. ah, aku tak boleh tahan lagi. Lagipun harga dia murah gila, baru rm10 memang rugi gila kot kalau tak beli.
            Ya, aku beli. Aku anggap itu sebagai bantal peluk masa tidur, bukan bantal hiasan yang buat malaikat tak masuk rumah, ustaz kata selagi kita tak mengagungkan patung itu, dan dijadikan bahan mainan, tak ada apa hal.
            Satu hari, anak buah perempuan aku balik rumah, umur baru tiga tahun. Bila dia nampak patung aku terus dia berkenan, ‘baby kiko’ nama diberi.
Aku pasrah.
            Patung adalah mainan budak-budak.





 Label : Fixi, Patung by Muhammad Fatrim 

Saturday, October 11, 2014

Certot : Abang dude



Dulu aku pernah tetapkan piawaian bahawa “Calon suami aku nanti haruslah yang sebaya atau tua setahun”

“Sebab?”

“Sebab dia tak boleh lebih tua dari abang kakak aku.”

“Kalau dia lebih muda?”

“Aku anggap semua lelaki yang lebih muda sebagai adik. Spontan aku mesti gelarkan diri aku kakak.”

“Jodoh tuuuu… tak kenal usia..” katanya.

Angkat bahu. Tak peduli.

Tapi aku tak pernah jangka yang aku akan semai rasa suka pada seorang lelaki yang lebih tua. Lebih tua daripada setahun dua. Lebih tua yang mungkin lebih tua dari abang kakak aku. lebih tua yang cukup layak untuk dipanggil abang.

“Perempuan akan mengelak memanggil sebarangan lelaki dengan panggilan abang.”

“Sebab sesetengah lelaki, lebih layak dipanggil pak cik walaupun kita panggil bini dia kakak.”

“Betul.”

“Tapi dengan sesetengah lelaki…” dalam fikiran terbayangkan ‘dia’ “Kita.. automatik. Akan. Panggil. Dia..” jeda  “Abang. Kan?” tersipu-sipu.

Tiba-tiba ‘dia’ lalu. Terus hati rasa berbunga-bunga.

 Terlopong. Sambil pandang lelaki yang tengah jalan kat luar tu. “Kenapa kau macam..” Bulat mata. “Jangan cakap kau suka…”

“Ya, aku tersuka pada abang ‘Dude’”

“Hah?”

“Dia nampak remaja kan dengan kemeja lengan pendek?” muka rasa panas.

Senyum. Kemudian ketawa.

Sekali lagi ‘dia’ lalu. Kebetulan dia pandang arah kami.

“Mata dia, pandang arah kau je..” Mengusik.

“Hoiiishhh… janganlah buat kita tersipu-sipu…”


  



p/s : Sebab dah lama tak tulis cerita baru. Lepas gian dengan cerita kontot. t__t