Menjadi Buah
Hati Rakyat Malaysia tidaklah semanis seperti yang semua orang lihat. Sedekad
sudah berlalu, dari beribu-ribu pujian kepada berjuta-juta makian sudah dia
hadam. Namun dia masih mampu berdiri dan melangkah setiap hari dengan senyuman,
dan terus mengekalkan status penyanyi nombor satu terbaik di Malaysia.
Terbaharu,
seorang Datin dalam lingkungan lewat usia 40-an membuat kenyataan di Melodi
(dengan namanya dihitamkan) bahawa suaminya sedang menjalin cinta dengan
seorang penyanyi terkenal (juga identiti penyanyi itu dihitamkan) sejak
beberapa bulan kebelakangan ini.
Apabila ditanya
apakah motif kenyataan ini dibuat, wanita itu mendedahkan yang penyanyi itu
merancang untuk berkahwin dengan
suaminya sedangkan dia tidak bersetuju untuk berpoligami. Akibatnya dia diminta
untuk memilih samada berpoligami mahupun berpisah. Pilihan yang diberikan
sangatlah berat sebelah dan langsung tidak memihak kepada dirinya sedikit pun.
Lalu wanita ini
menggunakan medium 'Melodi' untuk meraih simpati jutaan rakyat Malaysia agar
keadilan berpihak kepadanya.
Skuad Melodi
yang terkenal dengan 'Terjah!' mencari penyanyi yang dimaksudkan akan tetapi
sudah beberapa kali terjahan mereka terganggu kerana ketiadaan penyanyi itu di
Malaysia ketika ini. Menurut sumber yang boleh dipercayai, penyanyi itu sedang
bercuti di London sehingga minggu hadapan.
Segelintir
manusia yang bersembunyi di sebalik identiti Pahlawan Kekunci dengan mudahnya
dapat menebak siapkah penyanyi yang dimaksudkan setelah mereka menonton Melodi
dan mengikuti perkembangan penyanyi itu di Instagram. Lalu muncullah gossip di
blog-blog hiburan dengan tajuk sensasi:
‘Mariyyah punca
keretakan rumah tangga orang.’
‘Mariyyah bakal
berkahwin dengan suami orang.'
‘Mariyyah bakal menamatkan
zaman bujang.’
Seluruh rakyat
Malaysia menantikan kepulangan Mariyyah, penyanyi nombor satu Malaysia itu
untuk memberi kenyataan balas bagi pertuduhan dan gosip yang telah tersebar
ini. Berita perkahwinan Mariyyah adalah satu hal yang paling dinanti-nantikan
oleh semua peminatnya dari luar dan dalam negara.
***
Mariyyah sedar
yang rahsia besarnya telah terbongkar. Sebentar lagi pihak wartawan akan
mengejarnya sehingga ke lubang cacing. Dia akan dicincang dengan soalan-soalan
yang bisa memuaskan hati-hati seluruh rakyat Malaysia. Di dalam bilik kebal
itu, dia tanggalkan telinganya dan disimpannya di dalam peti besi. Diambilnya
rambut yang paling mengerbang, lalu disarung ke kepalanya. Kelihatan di depan
cermin, membiaskan rupa Buah Hati Rakyat Malaysia yang anggun. Tiada siapa yang
pernah tahu rahsia ketenangannya tika berhadapan amukan manusia-manusia di luar
sana.
***
“Mariyyah, betul
ke dakwaan mengatakan you akan berkahwin dengan suami orang?” Tanya wartawan
yang bertudung dengan rokok di tangan.
“Adakah lelaki
itu akan menceraikan isterinya?” Tanya wartawan botak bertatu di lengan, yang
macam pondan.
“Mariyyah, apa
pendapat awak tentang poligami?” Tanya wartawan wanita tua yang berskirt-mini
kemanja-manjaan.
Dia dikeremuni
lebih daripada sepuluh orang wartawan dan diajukan soalan bertalu-talu namun
dia masih mampu tersenyum, riak wajahnya langsung tidak menampakkan garis-garis
kelelahan mahupun tekanan.
“Mariyyah apa
istimewanya Datuk J?"
Mariyyah
langsung tidak mendengar setiap satu soalan yang diajukan, dia cuma melihat
kumat-kamit wartawan.
“Hehe. No
komen.” Jawabnya, mudah...
...senyuman
manis terus terlukis di bibirnya, mengekalkan status Buah Hati Rakyat Malaysia,
selagi belum melepasi tarikh luput status itu yang ditentukan oleh Melodi dan
Pahlawan Papan Kekunci.
Tema : Telinga tertinggal dalam bilik kebal
0 ceritaMia's lovers:
Post a Comment