http://img10.imageshack.us/img10/7733/contactm.png

Wednesday, February 1, 2012

Bab 36




Aku celikkan mata, suasana di luar masih gelap dan sejuk. Selimut aku tarik sampai ke paras dada, tahu yang jam dah pukul enam dan aku sepatutnya bangun dan solat subuh, tapi boleh tak nak tidur kejap je lagi? Lima minit jeeeee..

Ok, lima minit je! Mata aku pejamkan kembali sampailah aku terlena. Lima minit pun berlalu begitu saja.

"Astagfirullah hal azimmm... cik muda, bangun cik muda, bangun! Bangun!.."

Sekarang aku terasa badan aku digoyang-goyangkan berkali-kali, selimut aku ditarik jauh dariku, bunyi langsir ditarik kasar dan bunyi tingkap bilik dibuka, disertai mata aku terasa silau dengan panahan cahaya terang dari luar sekalipun aku belum membuka mata.

"Cik muda, bangun cepat! Cik muda dah lambat ni.."  Suara Ros kedengaran lagi, disertai dengan goncangan kuat di kakiku.

"Pukul berapa dah Ros..." Soalku, sambil menguap dan menggeliat.

"Pukul lapan setengah pagi cik muda"

"Hurmm.." Balasku, sambil genyeh-genyeh mata yang masih berat dan liat untuk dibuka.

"So bangunlah cepat pergi mandi, tuan muda dah siap bersarapan kat luar tu kot..."

Sekarang aku buka mata luas-luas, memandang muka Ros yang sedang kalut dan risaukan aku, memandang jam di atas meja tepi katil sebelum jam itu aku campakkan dan bergegas ke bilik air.

Bukan ke aku kata nak tidur lima minit je tadi? Macammana boleh terlajak sampai ke dua jam lebih ni?
Haishh! Mati aku karang Harraz membebel tak sudah. Aku capai berus gigi dan pencuci muka sekaligus, aku buka penutup pencuci muka dan isikan di berus gigi, kemudian baru aku tersedar yang aku nak cuci muka dan berus gigi, tapi pencuci muka bukan ubat gigi!

Aku tinggalkan kedua-dua benda itu disinki, dan beralih ke tab mandi, aku capai sabun badan dan paip shower, air aku pasang tapi aku basahkan botol sabun itu saja sebaliknya aku sebenarnya mahu mandi dan sabun badan!

Aku campak kedua-dua benda itu ke dalam mangkuk tab mandi dan menjerit memanggil Ros. Aku rasa macam orang gila semata-mata kerana aku terlewat bangun daripada kebiasaannya. Memang padanlah dengan muka aku sendiri!

"Kenapa?" Soal Ros yang muncul di muka pintu bilik air.

"kita tak tau nak buat apa..." Rengekku.

Ros menarik tangan aku ke sinki dan memberi aku berus gigi yang dah diisi dengan ubat gigi yang sepatutnya.

Pencuci muka diletakkan di sebelah aku.

"Tak payah mandi, cuci muka dah cukup" Pesan Ros.

Tak ada sesiapa yang tahu, aku memang tak mandi pagi setiap kali aku terlewat bangun tidur, termasuk Harraz. Jadi jika hal ini sampai ke pengetahuanny aku tahu siapa orang yang bertanggungjawab menyampaikan berita ini kepadanya.

Selesai bersiap aku terus menonong keluar dari bilik menuju ke arah pintu keluar. Langsung tak singgah ke meja makan dan langsung tak menoleh semasa atuk memanggil dan menyuruh aku bersarapan dulu.

"Irin makan kat kolej!" Balasku.

"Irin.. marilah sarapan dulu, tak lari pun kolej Irin tu.." Pujuk atuk, sempat lagi dia memerli aku.

"Irin dah..."

"Irin?" Belum sempat aku menghabiskan kata-kataku telinga aku menangkap bunyi suara seorang perempuan memanggilku. Mak su? Bukan... bukan mak su, tapi macam suara..

"Irina Imani.." Panggil suara itu lagi, lebih berlagu. Serta merta aku menoleh.

Bibir aku mula terbuka sedikit demi sedikit dan tersenyum lebar, "Makkkk" Jeritku sambil berlari-lari anak menuju ke arah emak dan memeluknya erat-erat.

"Kenapa tak cakap kat Irin nak datang sini? Bila mak sampai? Atuk tak bagitau Irin pun? Ini pakatan nak surprisekan Irinlah ni erk?" Soalku bertalu-talu sambil melepaskan pelukan.

Abah muncul dari arah ruangan makan, aku terus menerpanya dan menyalami tangannya. "Abah pun.. bukan nak bagitau Irin nak datang sini!" Rungutku.

"Eh, abah mana tahu apa-apa, tiba-tiba ada orang datang rumah jemput abah dengan emak datang sini, abah ikut saja lah.." Balas abah.

"Hurmm... kalau macam tu boleh tak kalau hari ni Irin tak payah pergi kolej, atuk?" Soalku, meminta kebenaran atuk sambil mengedip-ngedipkan mata. Berharap sangat yang atuk akan cakap 'boleh'.

"Tak boleh!"

Tapi sebaliknya ada satu suara lain yang tiba-tiba muncul dan menunjukkan muka 'gila kuasanya' dan memberi kata putus terhadap permintaan yang aku buat pada atuk. Urrhh.. Harraz suka jadi manusia yang merosakkan mood dan suasana.

"Apasal pulak? Kita tanya kat atuk bukan pada awak! Eeii sibuk je orang tu." Balasku.

"Eh, aku cakap tak boleh, tak bolehlah."

"Atuk.." rengekku sambil memegang lengan atuk, berharap yang dia akan memihak kepadaku.

"Emak dengan abah ada kat sini lama, Irin pergi je lah kolej, bukannya mak dengan abah nak balik cepat pun.." Balas atuk, sebaliknya berlaku bila atuk pula yang memujuk aku supaya pergi ke kolej.

"Hahh.. mak..." aku merengek pada mak pula, mengharapkan belas ehsan darinya.

"Mana boleh ponteng kelas suka-suka hati kan? Pergi jelah, petang nanti pun mak ada lagi kat sini, mak tak pergi mana-manalah.." Pujuk emak pula.

Haish! Kalah. Hari ini aku terpaksa kalah dengan Harraz. Hari ini? Eh, bukan memang tiap-tiap hari pun aku selalu kalah dengan Harraz ke??

"Dah jom! Ingat kolej tu atuk punya ke, selamba je nak pergi lambat. Dah la bangun pun lambat." Rungut Harraz sebelum dia berlalu menuju ke arah pintu keluar.

Aku mencemik, lalu aku menyalam tangan ketiga-ketiga orang terpenting dalam hidup aku itu dan terus berlari terkedek-kedek bila bunyi hon kereta kedengaran kuat dari luar. Memang dasar tak reti sabar betul mamat tu.

************************************

 Dari luar kelas aku dah boleh dengar suara-suara kawan-kawanku sedang bersembang. Fuhh.. nasib baik belum ada pengajar yang masuk, kalau tidak naya je kena marah. Bila aku buka pintu semua terdiam, tapi bila mereka melihat muka aku di muka pintu masing-masing tarik nafas lega dan merungut kerana mereka menyangkakan pensyarah yang akan masuk.

"Sorryy.." ucapku dengan sengihan melebar. Serba salah pula sebab buat diorang panik.

"Hei, kenapa datang lambat?" Soal Hanna bila aku dah duduk di tempatku, bersebelahan dengannya.

"Kita bangun lambat..hehe" Jawabku,

"Oh, sepupu awak tu la yang hantar ya?" Soal Hanna, bunyi suaranya macam ada maksud tersirat je tu..

"Ha..ahh, dia hantar." Aku keluarkan buku nota dari dalam beg. Tertunggu-tunggu soalan seterusnya dari Hanna.

"Err.. kek yang saya suruh bagi tu awak dah bagi ke?" Seperti yang aku jangka, dia pasti akan bertanyakan tentang hal itu.

"Dah, dan dia cakap kek awak tu sedap! Lagi sedap daripada kek kita." Balasku, tersenyum. Walaupun
Harraz tak kenal siapa Hanna tapi bila pujiannya yang kek Hanna itu sedap pastilah Hanna akan berbangga dan semakin berbunga hatinya.

"Oh ye ke??.." Hanna dah tersengih lebar. Pipi dia memerah. Dia ambil buku notanya untuk menutup mukanya.

Lucu aku melihat reaksinya.

"Hanna.. ok tak?" Soalku, menarik buku yang menutupi mukanya dan tergelak lucu. Alololoo.. comelnya budak ni. Baru cakap Harraz puji kek dia sedap, dia dah malu-malu. Belum lagi cakap yang Harraz suka dia ke.. apa ke..

Eh, Harraz suka Hanna? Erk! Aku telan liur.

"Siapa sebenarnya cucu kepada Pengerusi Residence Hotel ni? Apasal sampai nak buat press conference segala bagai ha?" Soal Nazmi kepada Naim dari tempat duduknya yang tak berapa jauh dari belakang kami.

Aku pasang telinga. Kalau bab Residence Hotel telinga aku memang sentiasa alert!

"Cucu Pengerusi Residence Hotel?? Nak buat press conference pasal apa?" Soal Naim kembali.

"Entah kat sini kata nak kenalkan cucu dia pada media." Jawab Nazmi, yang sedang membaca sesuatu di skrin laptopnya. Mungkinkah atuk dah umumkan pada media tentang tarikh itu?

"Eh, bukan cucu dia tu dah meninggal ke?" Soal Naim kembali.  Aku telan liur, dah meninggal katanya? Habis aku ni hantu ke apa?

Nazmi pandang Naim dengan dahi berkerut. "Biar betul kau ni.."

Hanna yang sedari tadi turut mencuri dengar perbualan mereka turut menyampuk. "Eh, cucu dia belum meninggallah, anak dengan menantu dia yang meninggal tu, cucu dia kan hilang sejak kemalangan tu." Terang
Hanna sambil bangun dari tempat duduknya dan berdiri di sebelah Nazmi, turut membaca apa yang terpapar di skrin laptop itu.

"Oh, cucu dia tak meninggal eh.. hihii.. " Naim ketawa malu atas kesalahan faktanya.

"Eh, kalau diorang nak kenalkan cucu dia tu pada umum maksudnya cucu dia dah dijumpailah kan?" Soal Hanna, memandang Nazmi dan Naim bersilih ganti. Meminta sokongan pendapat daripada mereka.
Dalam hati aku dah berdebar-debar kerana tanpa pengetahuan mereka, akulah manusia yang mereka maksudkan itu. Macammana agaknya nanti kalau diorang tahu akulah cucu kepada Pengerusi Residence Hotel itu? Mahukah mereka berkawan dengan aku lagi? Atau mereka akan meminggirkan aku kerana merahsiakan status diriku dan membuatkan mereka bercakap tentangnya dihadapanku sedangkan aku pura-pura seperti tiada apa-apa? Oh.. serabut pulak otak aku sekarang ni.

"Eh mana korang tau pasal kisah diorang ni?" Soal Nazmi, nampak seperti agak tak puas hati kerana hanya dia yang langsung tak tahu apa-apa tentang sejarah keluarga 'Pengerusi Residence Hotel' itu, sedangkan mereka boleh bertanya sendiri kepada aku kalau mereka mahu.

Err.. kalaulah mereka tahu.

"Cerita ni famous kot dulu, aku ingat lagi masa kecik-kecik kalau aku nak tengok tv time mak ayah aku tengah tengok, mesti diorang marah sebab diorang nak tengok berita. Lepas tu diorang dok cakap-cakap pasal tu. Walaupun dulu aku tak faham apa-apa tapi bila dah besar pun mak dengan ayah aku masih lagi dok bahaskan pasal hal nilah. Diorang fikir kemanalah perginya cucu tunggal Pengerusi hotel tu, mak ayah aku cakap kalau cucu dia tu dah dibawa ke siam ke, ataupun dah mati memang rugilah sebab tauke hotel tu tak ada pewaris." panjang lebar Naim bercerita.

"Ha'ah samalah dengan mak ayah saya, diorang pun asyik cakap pasal hal ni sampai sekarang! Lagipun ayah saya kerja kat salah satu cawangan hotel ni so lagilah dia asyik sebut-sebut je pasal cucu Pengerusi yang hilang tu." Sampuk Hanna.

Aku mula rasa tak selesa untuk terus duduk di situ dan mendengar mereka bercakap tentang aku. Sakit telinga! Rasa macam nak jelaskan kat mereka yang aku masih hidup dan selama tempoh aku hilang itu, aku dijaga dengan baik oleh sepasang suami isteri yang langsung tak anggap aku macam anak angkat diorang, malahan melayan aku macam anak kandung je.

"Irin, kau tau ke pasal cucu tokey hotel ni??" Soal Naim tiba-tiba.

Aku terpinga-pinga sebelum akhirnya aku cuma mampu mengjongketkan bahu aku tanda tak tau. Haish! Sorry kawan-kawan..


********************

Malam yang dinanti-nantikan itu pun tiba, aku memang sangat-sangat berdebar kerana majlis pada malam ini adalah majlis untuk aku, dihadiri entah berapa puluh orang manusia, pastinya diiringi dengan pancaran lampu dari kamera-kamera mereka, memang malam ini aku akan secara rasminya akan bertukar status menjadi Cik Muda Irina Imani yang sebenar-benar. Takut!

"Cik muda ok??" Soal Ros. Dia duduk di sebelahku dan menggenggam jari jemari aku seperti cuba menenangkan aku.

"Tak berapa ok." Balasku, membalas genggamannya. Tangan aku sejuk sebab terlalu gemuruh.

"Rileks saja, semuanya akan berjalan lancar. Insyaallah. Dah jom kita keluar sekarang? Mesti yang lain-lain dah tunggu." Ros menarik tangan aku supaya keluar.

Semuanya akan baik-baik saja, aku semat kata-kata itu dalam fikiran untuk membuang resah ini.

Kami menaiki dua kereta menuju ke hotel atuk dimana majlis itu akan diadakan. Emak, abah dan atuk naik satu kereta yang dipandu oleh pemandu, manakala aku, Ros dan Harraz menaiki kereta yang dipandu oleh Harraz.

Entah kenapa aku lihat Harraz seperti tak senang duduk walaupun dia sedang memandu. Kejap-kejap dia ketuk stereng kereta, kejap-kejap dia mengeluh, kemudian dia memandang aku seperti ingin berkata sesuatu tapi tak ada satu patah perkataan pun yang keluar dari mulutnya. Sedangkan aku ternanti-nanti apa yang Harraz ingin katakan kepadaku.

"Bukan kita ke yang sepatutnya rasa resah? Tapi kenapa awak pulak yang tak senang duduk ni Harraz?" Soalku.

Harraz menoleh memandangku di belakang sekilas, kemudian dia kembali menumpukan perhatian pada pemanduan. Aku pandang Ros, dan kami masing-masing jongket bahu tanda tak faham dengan reaksi Harraz itu.

"Haish.." Harraz mengeluh lagi, kali ini bunyinya kedengaran begitu 'berat'. Apa agaknya yang Harraz fikirkan ya?

Sampai di lokasi yang dituju, Harraz membelokkan keretanya dan mengikut laluan belakang banggunan. Aku pelik.

"Kenapa tak berhenti kat depan je?" Soalku.

"Depan ramai sangat orang, nanti susah nak masuk." Jawab Harraz.

"Habis tu nanti atuk, mak dengan abah cari kita macammana?" Soalku lagi.

"Hei kau jangan banyak tanyalah. Aku taulah apa aku nak buat." Marah Harraz. RImas dengan soalan aku.

Aku mencemik. Geram betul dengan Harraz ni, tanya sikit pun tak boleh. Harraz memarkir keretanya di kawasan tempat parking para pekerja, aku dan Ros cepat-cepat keluar tanpa menunggu Harraz. Laju je kami berjalan menghala ke arah pintu masuk belakang, tapi langkah kami terhenti bila Harraz memanggil kami.

"Tunggulah aku!" Jeritnya sambil terkocoh-kocoh menutup pintu kereta dan menekan butang 'lock' kemudian dia berlari mendapatkan kami.

"Jangan pergi mana-mana tanpa aku, hari ini aku bertanggungjawab ke atas kau." Pesan Harraz, tegas.

Ya, apa-apa sajalah Harraz!

Kami beriringan masuk ke dalam hotel, dengan diiringi mata-mata para pekerja yang memandang dan berbisik sesama sendiri. Mungkin bercakap tentang aku, malu dengan pandangan mereka, aku tundukkan kepala sambil memeluk erat lengan Ros, ingin menyorok muka di bahunya. Macamlah muka aku ni kecik sangat sampai boleh main sorok-sorok.

Sampai dibilik dimana tempat persidangan akan diadakan, dada Irin semakin berkocak kencang! Sebaik saja pintu bilik dibuka, mukanya terus diterjah dengan sinaran lampu-lampu dari berpuluh-puluh buah kamera. Aku tutup muka dengan jari dan berlindung di belakang Harraz, takut...

Mereka hanya berhenti mengambil gambar bila diarahkan supaya berhenti oleh seseorang. Mungkin pengacara majlis. Aku dan Harraz duduk di kerusi yang disediakan, sebaris dengan emak, abah dan atuk manakala Ros berdiri di sisiku dengan tangannya aku genggam erat, ingin menghilangkan rasa gementar ini.

Tiba-tiba rasa macam nak lancarkan album sulung pulak! ok, tak kelakar Irin! Aku beranikan diri untuk angkat kepala dan memandang tetamu di hadapan kami ini, tapi bila melihat jumlah tetamu yang begitu ramai dan mata mereka semuanya memandang tepat ke arah aku, tiba-tiba aku rasa kecut perut balik. Oh, dan tiba-tiba rasa macam nak pergi tandas!

"Ros.. jom teman kita pergi tandas" pintaku.

Harraz tiba-tiba memandang aku, dia angkat kening. "Nak pergi tandas?" Soalnya. Lagaknya seperti dia mahu menemankan aku ke tandas juga.

"Tak apa, kita pergi dengan Ros." Balasku, tak selesa kalau sampai nak ke tandas pun Harraz nak ikut jugak.

"Tak apa, aku temankan." Harraz bangun dari kerusinya dan membisikkan sesuatu pada lelaki yang berdiri di belakang kami sejak tadi. Mungkin salah seorang ahli jawatan kuasa majlis, kemudian dia menunggu aku pula bangun. Akur dengan 'kedegilannya' aku bangun juga sambil menarik tangan Ros supaya mengikut kami sekali. Aku tak mahu nanti Harraz kata dia nak temankan aku sampai dalam tandas pula kalau Ros tak temankan.

Kerana rasa macam dah tak boleh tahan sangat dah, aku berlari menuju ke tandas sekalipun Harraz melarang aku berbuat demikian dan masih mahu aku berjalan beriringan dengannya. Oh, Harraz ini antara hidup dan mati pun kau masih nak bertegas dengan tanggungjawab kau tu ke?

"Ouchh.." tiba-tiba aku terlanggar seorang lelaki di laluan yang berselekoh. Lelaki itu memakai topi dan dia hanya mengangkat sediri topi hadapannya sebagai tanda maaf sebelum dia cepat-cepat beredar. Aku abaikan tentang lelaki itu dan kembali meneruskan langkah masuk ke dalam tandas dan... lega.

Keluar dari tndas aku dihadapkan dengan muka tak puas hati Harraz. Seperti yang aku jangkakan daripada reaksi mukanya itu, pasti aku akan dimarahinya.

"Kau ni degil kan? Tak boleh ke ikut apa yang aku cakap? Tunggu je lah aku, ni nak lari-lari kenapa?" Bebelnya.

"Ish, kita dah tak tahan sangat takkan nak jalan terkedek-kedek lagi kot?" Balasku, tak puas hati.

"Ye lah tapi tunggulah aku, kalau jadi apa-apa tadi macammana?"

"Nak jadi apa?" Soalku, tak faham betul dengan Harraz ni.

"Dah lah, jom! Diorang dah tunggu tu.." Harraz mengajak kami kembali ke dewan sekaligus menukar topik 'kerisauan' dia tadi.

Sampai saja di dewan, atuk sedang berjalan menuju ke arah meja berucap, bersedia untuk memberikan ucapannya tapi sekelip mata, tiba-tiba lampu terpadam. Semua orang panik, termasuk aku. Dalam pada tercari-cari di mana kerusi untuk aku duduk dan dimana Ros, tiba-tiba ada tangan yang menarik aku agak jauh dari tempat aku berdiri tadi. Nasib baik Harraz jumpa aku..

Tapi tiba-tiba tangan Harraz merayap-rayap pada pinggang aku, ditarik aku rapat dalam pelukannya. Eh, apasal Harraz ni? Aku meronta-ronta minta dilepaskan.

"Harraz, apa ni.. tepilah!" Aku menepis kasar tangannya yang semakin kuat memeluk pinggangku.

"Harraz!!!" Aku ingin menjerit kuat, tapi sedar dimana aku berada sekarang, jadi aku cuba tahan nada suaraku agar ianya tidak kedengaran begitu kuat.

Harraz mendengus. Marah dengan tindakanku yang asyik menepis tangannya, lalu dia menarik tubuh aku lebih jauh dan jauh sehingga bunyi riuh dalam dewan itu tidak lagi kedengaran. Pasti yang sekarang kami sudah berada di luar dewan, baru aku berani meronta dan meminta Harraz melepaskan aku.

"Harraz, apa awak buat ni.. lepaslah!"

Aku terasa seperti ada objek tajam pula yang diacukan pada perutku. "Diam" Katanya.

"Harraz, kenapa dengan awak ni, janganlah...." belum sempat aku menghabiskan kata-kata, mulut aku pula yang ditekup dengan kain, kuat. Aku meronta lagi sehingga akhirnya aku sendiri lemas dan dah tak sedar apa-apa lagi.



p/s : Sorry for being very the late. Alasan? Errr...  kecelaruan minda dan emosi lalu mengganggu prestasi. Btw sebenarnya cerita ni 'mungkin' dah nak tamat dah. Oh mesti korang lagi tak sabar-sabar nak suruh kite siapkan cepat-cepat kannnnnn... >_<  (psst.. nak mintak maaf siap-siap kalau next bab nanti pun terrrlambat siap jugak, huhuu.. ;p)


Sunday, January 22, 2012

Bab 35




Seperti biasa setiap pagi seminggu yang lalu, pagi ini Harraz juga yang akan menghantar aku ke kolej, dan seperti biasa sejak seminggu yang lalu, sebaik saja keretanya berhenti di hadapan bangunan kolej, dia akan memandangku dan mulutnya akan mula menyampaikan pesanan...

"Jangan..."

"Jangan pergi mana-mana, tunggu kat sini sehingga awak sampai. Baiklah!" Aku bersuara dulu sebelum dia menyampaikan dialog yang dah terhafal dalam fikiranku ini bila setiap hari dalam tempoh seminggu ini, sejak dari hari pertama aku menjejakkan kaki ke sini, itulah saja ayat yang Harraz akan pesan.

"Hurmm.. baguslah kalau kau dah tau." Balasnya, kembali memegang stereng kereta dan memandang ke hadapan.

"Ok, bye!" Aku buka pintu kereta dan terus keluar, kebetulan ketika itu Hanna juga baru sampai, terus kami berjalan beriringan bersama.

"Memang hari-hari sepupu awak tu ke yang hantar?" Soal Hanna. Kami menaiki anak-anak tangga dan bersaing dengan pelajar lain yang juga kebanyakan baru sampai.

"Ha'ah.." balasku, ala kadar. Sejujurnya aku agak tak selesa bila ada orang yang bertanyakan perihal keluarga aku. Lebih-lebih lagi di saat status sebenar diri aku masih belum didedahkan kepada umum.

"Berapa umur dia?" Soal Hanna lagi, nampak seperti berminat untuk mengenali Harraz dengan lebih rapat.

"24."

"Oh.. muda lagi ya? Tapi nampak macam someone yang dah ada kerjaya je. Dia kerja apa?" Soalnya lagi.

Kerjaya? Ya, pastilah Harraz nampak macam lelaki matang yang bakal menginjak ke usia 30an sebab dia asyik dengan pakaian formal, kemeja dan seluar slack dia tu. Kecuali waktu pagi dan petang bila nak dia nak buli aku supaya berjongging baru lah dia nampak macam lelaki yang baru ingin menginjak dewasa dalam pakaian kasualnya.

"Kenapa awak asyik tanya je ni? Awak suka dia ya? Nanti kita cakap kat dia eh.." Aku menukar topik perbualan.

"Eh, janganlah! Mana ada saya suka dia, saya nak tau je.. " Balas Hanna, kalut.

Aku gerakkan jari telunjuk di hadapan Hanna dan tersenyum mengusik. "Mana ada orang saja-saja je nak tau kalau bukan sebab dia suka.."

"Taklah. Irin.. saya tak ada apa-apa pun, saja je nak tanya, awak janganlah cakap apa-apa kat sepupu awak tu.." Rengek Hanna, risau benar kalau aku betul-betul beritahu kepada Harraz.

"Ok.. tapi kalau awak tanya lagi pasal dia, saya nak bagitau dialah."

"Eh, janganlah.. awak ni, nak tanya sikit pun tak boleh.." Rungut Hanna, muncung bibirnya, tak puas hati dengan aku.

"Hikhik.. dah suka cakap jelah suka, tak payah malu-malu. Ada jodoh boleh kita tolong kenenkan.."

"Irin nieeee... " Hanna menyiku lenganku dan tersengih malu-malu.

Lucu pulak aku tengok reaksinya. Perempuan, satu kelemahannya adalah memang tak pandai nak sorok perasaan sendiri. Mulut kata tak nak tapi tingkah laku pun dah tunjuk apa perasaan sebenar dia.

"Hanna.. Hanna.." Aku menggelengkan kepala sambil ketawa.

"Irin ni, tak sukalah! Eh, tapi apa nama sepupu awak tu ya?" Soal Hanna, kembali memandangku dengan mata yang bersinar-sinar.

"Nama dia Lion!."

"Lion??"

"Hihi.. taklah, gurau je. Nama dia Iman Harraz."

"Iman Harraz? Wow.. sedapnya nama. Islamik gitu.. mesti dia tu baikkan?"

Mendengar kata-kata Hanna itu membuatkan aku rasa macam nak korek kerongkong aku sekarang supaya aku boleh termuntah, tapi sayangnya aku tak mampu berbuat demikian. Akhirnya, aku cuma boleh pamerkan reaksi muka yang.. tak tahu untuk ditafsirkan sebagai apa dan menggoyangkan tangan kananku, sebagai isyarat.. 'bolehlah.'

"Kenapa buat muka macam tu? Dia tak baik ke??" Soal Hanna, mula ragu-ragu.

"Eh, tak.. bukan, dia baik, memang baik tapi kadang-kadang tu dia suka buli saya."

"Oh, mesti comel kan.. dia suka buli awak? Tapi tengok muka dia macam serius je. Saya ingat dia tu jenis yang tak suka bercakap ke.. jenis yang macam garang ke.. tapi kalau dah sampai tahap suka membuli tu, mestilah dia tu nakal juga kan?" Kata Hanna, dengan sengihan yang aku lihat seperti tertahan-tahan daripada terukir di bibirnya.

Berkerut dahi aku memandang Hanna. Oh my.. dia ni memang betul-betul, betuulll punya suka pada Harraz ke? Takkanlah pandang dari jauh je dah boleh terjatuh cinta kot?

"Hanna? Awak ok?" Soalku.

Hanna seperti baru tersedar dari lamunan selepas aku bertanyakan soalan itu kepadanya. Dia menggaru-garu belakang kepalanya yang ditutupi tudung sambil termanggu-manggu.

"Ok? Oh.. saya ok je. Kenapa awak tanya?" Soal Hanna, cuba berlagak selamba sedangkan perlakuannya itu begitu ketara sekali.

"Awak nampak macam tengah mengelamun... "

"Ahh.. ya ke? Hihii.. tak adalah! Oh ya, pagi ni kita ada kelas amali, masak-masak kat dapur, sebab tu saya tak sabar tu."

"Oh.. erk?" Berilah seribu alasan sekalipun, reaksi di wajahnya dah menunjukkan isi hati yang cuba disembunyikan.

Di dapur.

Di papan putih sudah tertulis resepi yang kami akan masak untuk hari ini iaitu kek keju. Oleh kerana ini adalah pengalaman pertama aku di dapur ini, maka aku agak kekok dan terpinga-pinga sedangkan orang lain sudah siap sedia mencapai itu dan ini, menyukat tepung, mengambil perkakas yang diperlukan dan berkumpul di meja panjang bersama kumpulan masing-masing.

"Irin!, Sini awak sama kumpulan dengan saya.." Panggil Hanna, menggamit aku kearahnya yang sedang berkumpul di satu meja berdekatan dinding sambil memegang sebii mangkuk aluminium. Terus aku atur langkah menuju ke arahnya.

"Nak buat apa ni?" Soalku.

"Ambil bahan-bahan nak buat keklah. Nah, awak pegang mangkuk ni, biar saya sukat tepung." Hanna menghulurkan mangkuk yang dipegang itu kepadaku, sementara dia menimbang tepung sebelum dimasukkan ke dalam mangkuk yang aku pegang ini.

"Ok.. pergi letak kat meja, nanti datang sini balik bawa talam tau, nak ambil bahan-bahan lain pulak." Arah Hanna.

Aku mengangguk dan terus menuju ke arah deretan meja sebelum aku menoleh kembali dan bertanya kepada Hanna.

"Meja kita kat mana?"

"Tu.. sama meja dengan Nazmi.." Tunjuk Hanna sebelum dia kembali sibuk berebut-rebut ingin mengambil bahan masakan.

Aku menuju ke arah meja dimana Nazmi sedang sibuk menyukat bahan-bahannya seperti seorang chef terkenal. Aku letak mangkuk tepung, capai talam dan kembali mengatur langkah ke arah Hanna. Sebaik aku berdiri di sebelahnya, beberapa biji telur yang dah diletakkan di dalam mangkuk kecil diletakkan di atas talam. beserta keju, biskut dan beberapa bahan lain. Cukup kesemuanya kami kembali ke meja.

"Lepas tu kita nak buat apa ni?" Soalku kepada Hanna yang dah siap sedia untuk memulakan aksi membakar keknya.

Mendengar soalan aku itu, serta merta Nazmi angkat kepala memandangku. Kerek. Boleh jadi, reaksi itu kerana aku bertanya soalan yang tak septutnya ditanya.

"Kenapa pandang kita macam tu?" Soalku, pelik dan curiga.

Nazmi tidak menjawab apa-apa sebaliknya dia cuma menggelengkan kepala dan kembali melakukan tugasnya.

"Irin, tengok kat whiteboard tu lepas tu buat step by step ikut apa yang tertulis, kalau tak faham boleh tanya Hanna." Hanna menjelaskan kepadaku.

"Oh.." Itu saja yang terluah di bibirku. Dalam fikiran aku mula mencongak berapa kalikah aku membakar kek semasa di rumah emak dulu? Rasanya sekali pun tak pernah. Kalau setakat nasi lemak dan beberapa jenis kuih itu, pernah jugaklah aku tolong-tolong emak buat, tapi kalau kek, memang ini kali pertama kot!

Walaupun teragak-agak dan ragu-ragu aku gagahkan juga tangan ini untuk melakukan seperti yang Hanna buat daripada proses meramas biskut merry sampai hancur dan dimasukkan dalam loyang kek sampailah kepada proses akhir membakar kek. Aku lalukan satu persatu sebelum aku akhirnya menarik nafas lega dan duduk di tepi tingkap cermin panjang di sisi meja.

"Irin.. tengahari ni kita makan kat luar ya, Hanna teringin nak makan mcDlah." Usul Hanna

"Ok!"

"Urmmm..." Hanna tiba-tiba nampak macam teragak-agak. Dia seperti ingin berkata sesuatu dengan aku tapi kemudiannya dia senyap kembali.

"Kenapa?" Soalku, memudahkan urusannya supaya dia tak perlu terfikir-fikir lagi samada mahu tanya ataupun tidak.

"Hihi.."

"Apa gelak-gelak?" Soalku, tersengih menyindir.

"Ermm.. nak tanya sikit, sepupu awak tu.. suka makan kek tak?" Soal Hanna.

"Hah? Kenapa awak tanya macam tu?" Soalku kembali.

"Hihi.. tak ada apalah.." Hanna tersipu-sipu malu.

"Erk.. ok, sebenarnya kita pun tak tau dia suka makan kek ke tak, tapi kenapa awak tanya?"

"Kalau saya cakap awak jangan gelakkan tau?"

"Tak.. kenapa? Ceritalah."

"Hanna ingat nak bagi kek ni pada dia, tapi awak jangan cakap pada dia! Boleh?"

Aku kerut dahi. Hanna nak bagi kek yang dibakar sendiri ini pada Harraz? Oh, nampaknya aku perlu percaya yang Hanna memang betul-betul dah jatuh cinta pada Harraz.

"Oh.. ok, boleh. Nanti kita tolong bagikan pada dia."
Hanna tersenyum meleret mendengar kata-kataku itu, baru saja dia ingin memelukku Nazmi tiba-tiba saja muncul dan mencelah perbualan kami.

"Dah pukul satu ni, korang nak pergi makan ke? Pergilah.. aku boleh tolong tengok-tengokkan kek korang." Kata Nazmi dengan kedua-dua tangannya disembunyikan di dalam poket apron.

Aku pandang Hanna, Hanna pandang aku. Aku angkat kening, menagih jawapan darinya, Hanna gigit bibir.. terfikir-fikir.

"Kalau tak nak biar aku je yang keluar makan, korang tolong tengokkan kek aku eh.."

"Eeehh.." Serentak aku dan Hanna bersuara sambil terus berdiri.

"Kitorang keluar!" Kata Hanna.

"Kau nak pesan apa-apa ke? Kitorang nak pergi McD." Soalku kepada Nazmi sekadar ingin membalas jasa baiknya kerana ingin menunggu sehingga kek kami masak.

"Bolehlah.. belilah burger apa-apa."

"Ok.."

Aku dan Hanna beriringan keluar, tapi semasa di muka pintu keluar utama, Hanna tiba-tiba meminta diri untuk ke tandas dulu. Aku mengambil keputusan untuk menunggu saja Hanna di luar

Secara tak sengaja, semasa aku ralit memandang sekeliling, dari jauh aku dah ternampak seorang lelaki tua yang agak serabai penampilannya dengan topi koboi yang dipakai, pakaian biasa yang nampak sedikit lusuh, berjalan perlahan-lahan ke arahku. Matanya langsung tak berkelip dari memandangku. Seperti dipukau, elok-elok aku cuma duduk di atas tangga, aku terus bangun dan berjalan ke arahnya sebelum kini aku sedang berdiri betul-betul berhadapan dengan lelaki tua ini. Reaksi muka lelaki ini berubah-ubah, sekejap berkerut,
sekejap tergeleng-geleng, seperti banyak benar yang ada dalam fikirannya.

Tangan lelaki itu diangkat dan dia seperti ingin menyentuh muka aku..

"Irin!"

Jeritan Hanna tiba-tiba mematikan terus hasrat lelaki ini, dia menunduk dan terus berpaling pergi. Aku ingin menghalang tapi aku tak pasti apa patut aku buat kalau aku halang dia pergi pun? Akhirnya aku cuma melihat dia mengatur langkah, pergi semakin jauh dariku. Dalam hati aku penuh dengan tanda tanya yang tak terungkap. Tapi yang pasti, ini bukan pertemuan pertama aku dengannya. Aku dah banyak kali terserempak dengan pak cik ini cuma baru kali ini kami berada dalam jarak yang dekat.

"Irin.. siapa lelaki tu?" Soal Hanna, tercungap-cungap dia berdiri di sebelahku.

Aku menggelengkan kepala. Tak ada jawapan.

"Habis dia nak buat apa dengan awak tadi?" Soal Hanna lagi.

Sekali lagi aku menggeleng. Tak tahu.

"Ish, risaulah saya kalau dia ada niat tak baik dengan awak.. "

"Tak ada apalah, urmm.. jom?" Aku tarik tangan Hanna.

**************************

Dua kotak kecil yang berisi kek keju tergenggam erat di celah jari jemariku untuk dibawa pulang. Satu kek yang aku bakar sendiri dan satu lagi adalah kek yang Hanna bekalkan untuk Harraz. Sebelum Hanna balik tadi, sempat lagi dia berpesan pada aku..

"Irin..ingat pesan Hanna tadi, jangan beritahu siapa pengirimnya tahu?"

"Baik Hanna, kita takkan bagitau punya!" Balasku dengan sengihan yang meleret.

Tapi itu setengah jam yang lepas, semasa semua pelajar masih lagi berlegar-legar di luar kawasan kolej ini, semasa Hanna masih menemani aku menunggu Harraz sebelum dia akhirnya meminta diri untuk pulang bila melihat keadaan sekeliling yang mula mendung. Dan sekarang, aku keseorangan di disini, melihat awan hitam yang semakin menebal, dengan angin yang mula bertiup kencang.

Nombor telefon Harraz dah berulang-ulang kali aku tekan, tapi setiap kali itulah deringan itu berbunyi panjang sebelum suara operator perempuan menjawab "This is the voice mail, bla..bla..bla.." dia ni tak ingat nak ambil aku ke?

Dua kotak kek itu aku letak dulu di atas anak tangga pertama bila aku rasa tangan aku dah berpeluh-peluh memegangnya dan aku berjalan-jalan di kawasan sekitar itu, ke kiri ke kanan, ke hadapan, ke belakang sambil terfikir-fikir patutkah aku telefon Syafiq dan meminta dia saja menjemputku?

Tapi tiba-tiba aku ternampak ada cahaya yang datang dari sebuah kereta, membelok masuk ke perkarangan hadapan kolej. Aku baru nak tersenyum lebar dan menarik nafas lega bila memikirkan yang itu adalah Harraz, tapi sengihan aku mati bila kereta itu meluncur laju dihadapanku dan ternyata itu bukan kereta Harraz! Aku tergaman. Err.. ini ada orang nak main-main dengan aku ke apa? Tak nampak ke aku tengah berdiri terpacak kat depan dia ni, tak reti nak tekan brek ke? Atau bukan ke aku sepatutnya yang....

Tiba-tiba aku terasa badan aku ditarik dari belakang, badan aku terasa terhuyung hayang sebelum aku terjatuh di atas lantai, bunyi kereta yang hampir melanggar aku itu tadi berdecit meluncur laju meninggalkan perkarangan kolej.

Aku buka mata untuk memastikan apa sebenarnya yang sedang berlaku sekarang ini, tapi satu kejutan untuk diriku bila aku cuma nampak muka lelaki tua misteri itu ada disebelahku, mengerang kesakitan. Dia memegang bahunya sambil cuba untuk bangun sekalipun reaksi di wajahnya menggambarkan kesakitan.

"Pak cik?" Tegurku. Aku pantas bangun dan memapah dia berdiri.

"Pak cik buat apa kat sini?" Aku tak tau kenapa soalan itu yang aku tanya. Bukankah aku sepatutnya ucapkan terima kasih sebab dia dah selamatkan aku?

"Aku dah agak yang kau tak selamat duduk kat rumah tu.. " Kata pak cik ini perlahan, tapi tegas. Dia mencapai topinya yang terpelanting agak jauh dari kami berdiri. Aku mengekori langkahnya.

"Apa maksud pak cik?" Soalku.

Pak cik ini menyarung topinya dan memegang bahu kirinya semula. Matanya menikam anak mataku, dalam.

"Keluar.. keluar dari rumah itu.." Katanya lagi. Seperti satu amaran keras untuk aku, rumah? Rumah mana? Villa atuk?

"Tapi pak cik.."

"Aku tak boleh jaga kau selalu, keluarlah dari rumah tu.." Pesan pak cik itu lagi sambil dia memandang ke arah belakang aku dan dia cepat-cepat pergi, berlari terkedek-kedek. Aku ingin menghalang tapi bunyi hon kereta di belakang aku membantutkan niatku, aku menoleh.. Harraz sudah sampai.

Aku kembali memandang ke arah pak cik itu dan dia dah tak ada.. Hilang!

"Hei, kau tunggu apa lagi Irin? Tak nak balik ke?" Soal Harraz dari belakangku. Aku diam, tidak bersuara sebaliknya cuma memegang kepalaku yang tiba-tiba rasa pening dan keliru sambil berjalan ke arah dimana aku terjatuh tadi dan mengambil beg tanganku, dan kotak kek yang aku tinggalkan di tangga tadi. Mujur ternampak kalau tidak tinggal je lah kek tu kat sini.

"Irin.. kau kenapa?" Soal Harraz, ada riak risau dalam nada suaranya.

Aku menggeleng, dan terus berjalan ke arah kereta yang cuma beberapa langkah jauhnya dari tempat kami berdiri. Aku duduk menyandar, pasang tali pinggang keselamatan dan pejam mata tanda aku tak mahu berbicara apa-apa dengan Harraz. Sedar-sedar kereta mula meluncur perlahan dan semakin laju. Harraz juga senyap tidak bertanya apa-apa lagi.

********************************

"Irin.." Panggil Harraz, perlahan. Aku buat-buat tak dengar dan terus atur langkah menuju ke bilik.

"Irina Imani." Panggil Harraz lagi, perlahan tapi tegas. Aku terhenti, bukan kerana takut mendengar nada suaranya yang tegas itu tapi kerana aku baru teringat yang aku masih belum beri kek keju kiriman Hanna ini kepadanya lagi.

Spontan aku menoleh ke belakang dan memberikan salah satu kotak kek yang beriben, Hanna yang letak
riben warna biru itu, sekadar untuk membezakan kek aku dan kek yang dibakar olehnya.

Harraz kerut dahi memandang kek itu bersilih ganti dengan muka aku.

"Apa ni?" Soalnya, lambat-lambat dia menyambut juga huluran aku itu.

"Kek keju." Jawabku.

Sedikit demi sedikit Harraz mula tersenyum dan memandang permukaan kotak itu, seperti mencari apa-apa kad yang terselit atau nota, macamlah aku nak letak benda tu kat situ.

"Kau buat?" Soalnya lagi.

Aku menggeleng. Situasi yang tadi agak tegang dan dingin tiba-tiba berubah warna bila aku memberikannya kek itu.

"Habis? Kau beli?"

"Tak.. yang itu kawan kita bagi, yang ini kita buat." Aku mengangkat kotak kek di tanganku.

Harraz mula membanding-bandingkan kotak kek ditangannya dengan kotak kek ditanganku. Macamlah ada beza sedangkan warna kotak ini sama saja, silver. Oh cuma kotak yang Harraz pegang tu ada reben dan aku punya tak ada.

"Apasal aku dapat yang kawan kau punya, kenapa tak bagi yang kau buat tu je?" Soal Harraz tak puas hati. Sekarang aku pula yang berkerut dahi tak faham dengan reaksinya itu.

"Apa salahnya? Kek keju jugak.. " Balasku.

"Ah.. tak ada-tak ada, aku nak makan yang kau buat tu.." Harraz meluru ke arahku, ingin merampas kek ditanganku ini. Aku bergerak menjauh dan menyorokkan kotak kek itu di belakangku.

"Eh, Harraz.. Harraz, apa ni.. makan jelah kek tu.." Marahku sambil cuba menepis-nepis tangannya yang masih cuba untuk mengambil kek aku.

"Mesti kek kawan kau ni tak sedap sebab tu kau bagi aku kan? Tak kira, aku nak makan yang kau buat jugak!"

"Eh.. eehhh.... Iman Harraz!!!" Jeritku, spontan. Serentak itu Harraz berhenti cuba merampas kek aku.

Terkebil-kebil dia memandang aku. Err.. sebenarnya aku sendiri pun tak sangka yang aku boleh jerit macam tu kat dia. Mungkin sebab rimas sangat dengan perangai tak berapa nak matang dia tu.

"Kongsi!" Putusku dan aku terus ke taman di tepi villa. Duduk di satu kerusi dan membuka kotak kek aku.

Harraz kemudiannya juga duduk di sebelahku dan membuka kotak keknya. Kek bulat yang lebih besar dari cupcake tapi lebih kecil daripada kek-kek biasa yang dijual di kedai kek itu kami letak di tengah-tengah kerusi diantara kami.

"Tengok! Sama je kan?" Ajuku, menunjukkan kepadanya yang tak berbaloi dia nak berebut jenis kek yang sama dengan aku.
Harraz memuncung, buat tak tahu dan mula mencubit keknya sedikit. Aku pukul tangannya perlahan.

"Auuww.. apa ni!" marahnya.

Aku cuma jeling dan mengeluarkan sudu plastik dari dalam beg dan memotong kek itu menggunakan pemegang sudu. Sejak jadi salah seorang bakers student hal-hal remeh macamni dah tak jadi masalah untuk aku, guna sudu pun bolehhh..

Harraz makan kek yang dibuat oleh Hanna dan dia terangguk-angguk seperti suka dengan rasa kek itu, kemudian dia memakan kek yang dibakar oleh aku, tapi reaksi mukanya sangat mengjengkelkan. Baru satu gigitan dia dah merenung kek aku ditangannya itu seperti cuba mencari jika terhadap bahan-bahan terlarang di dalamnya dengan muka yang dikerut-kerutkan. Kemudian dia menggeleng.

"Tak sedap cakap jelah tak sedap, tak payahlah nak buat muka macam tu.." Perli aku.

"Ehem.. bukan tak sedap, tapi aku rasa kau kena banyak belajar dari kawan kau ni." Balas Harraz.

Aku menoleh ke sisi dan tersenyum. Sekurang-kurangnya dia tak kondem aku secara terang-terangan. Ehem.. pandai juga ambil hati aku. Nak makan free lagi la tu.

Habis sepotong kek aku dimakannya, dia nak capai lagi kek Hanna, cepat-cepat aku halang dengan menepis tangannya.

"Simpan untuk Ros sikit!" Pesanku.

"Alah, Ros bukan nak pun makan kek kau ni.. biar jelah aku yang makan." Harraz cuba lagi untuk mengambil kek aku.

"Ish.. tak boleh.. Ros punya!" Cepat-cepat aku simpan kedua-dua kek itu di dalam satu kotak dan letak di sebelah kananku agar Harraz tak boleh ambil.

"Kedekut!" Rungutnya.

"Nak buatlah sendiri.."

"Huh.. "

Kami diam beberapa saat, sebelum  aku tiba-tiba tergerak hati untuk ceritakan hal tadi kepada Harraz.

"Harraz.." Panggilku, agak meleret.

"Hurm?"

Aku garu kepala. Serba salah nak cerita ke tak nak? Takut nanti Harraz buat keputusan yang mungkin akan buat aku menyesal sebab bagitau dia. Mungkin dia tak bagi aku belajar kat situ lagi ke.. apa ke..

"Apa dia?" Soal Harraz, menoleh memandangku.

"Tadi kan.. "Aku meramas-ramas jari jemariku. "Tadi kenapa awak lambat?" Soalku, terus lari dari topik yang sepatutnya. kini aku pura-pura memarahinya.

"Oh.. tadi ada kerja sikit, lepas tu aku terlupa yang aku kena ambil kau, so.. terlambatlah." Balasnya. sambil garu telinga.

"Sebab awak lambatlah tadi nyaris kita tak kena langgar!" Kataku, spontan. Kemudian aku tutup mulut bila tersedar yang aku dah terlepas kata.
Harraz membuntangkan mata memandangku. "Hah?"

"Tapi nasib baik ada pak cik ni selamatkan kita.."

"Pak cik? Kena langgar? Kat mana? Itulah kan aku dah pesan pada kau jangan pergi mana-mana, tunggu sampai aku datang yang kau degil jugak tu apasal..."

"Kita tak pergi mana-mana pun, kita tunggu kat depan kolej je tiba-tiba ada kereta lalu dan kebetulan kita tengah berdiri kat tengah-tengah jalan tu, lepas tu kereta tu takkan tak nampak kita kat depan mata dia kan, dia bawa laju jugak, nasib baik pak cik tu tarik tangan kita sebab masa tu kita dah blur gila tak tau patut buat apa." Balasku, juga membebel.

"Oh.." Itu reaksi Harraz.

"Tapi pak cik tu.." aku berjeda.

"Pak cik tu?"

"Pak cik tu lelaki sama yang kita pernah jumpa dulu. Otak kita ni dah cam sangat muka dia sebab dah banyak kali kita terserempak dengan pak cik tu. Dan pak cik tu ada pesan.." aku berjeda lagi.

"DIa pesan?" Soal Harraz, semakin teruja dan suspen.

"Dia pesan suruh kita keluar dari rumah ni, 'kau tak selamat kat rumah tu' dia cakap."

"Rumah? Maksudnya villa ni?" Soal Harraz.

"Entah! iya lah kot.."

"Kau kenal tak pak cik tu?"

"Tak.. kan dah cakap tadi tak kenal.."

"Bila masa kau cakap tak kenal, kau cakap tadi kau dah cam muka dia maksudnya kau kenallah siapa dia."

"Ish.. kita cam muka dia je sebab kita dah banyak kali terserempak dengan dia tapi kita tak kenal dia faham tak?" Aku mula naik angin. Bercakap dengan Harraz ni, dia je yang nak menang. Ish!

"Tak kenal cakap jelah tak kenal, apa susah.." Rungut Harraz.

"Iya lah kan dah cakap tadi, nak cakap berapa kali lagi?"

"Aa.. ya.. ya.. dah."

Tak pasal-pasal jadi gaduh pulak aku dengan Harraz semata-mata kerana kenal dengan tak kenal.

"Orang dah la takut ni, awak tanya macam-macam pulak.." Rungutku. Mula la rasa macam nak menangis je ni. Ish, bila la nak jadi budak matang ni Irin. Air mata aku mula mengalir perlahan-lahan.

"Lah, itu pun nak nangis? Kau ni macam budak-budaklah Irin. Bukannya aku buat apa pun kat kau.." Rungut Harraz, tergelak-gelak.

Tak aku pedulikan kata-katanya itu. Dia tak faham perasaan aku, bila diganggu oleh seorang lelaki misteri dan meminta aku supaya keluar dari villa ini kerana nyawa aku tak selamat di sini sedangkan ini adalah rumah keluarga aku, merupakan satu amaran halus yang mengganggu fikiranku.

Makin lebat airmata aku mengalir. Sepatutnya dari awal lagi aku tak perlu ceritakan pada Harraz jadi aku tak perlu menangis di hadapannya dan menunjukkan kelemahanku.

"Irin.. boleh tak kau jangan macammani?" Soal Harraz, nada suaranya dikendurkan seperti memujuk.

"Macam ni apa.." Soalku, berselang-seli dengan seduku.

"Jangan jadi budak baik, jangan jadi anak manja yang suka menangis. Kau buat aku risau.."

Aku kesat airmata. Tapi tetap ada lagi airmata yang mengalir.

"Kau kena kuat Irin, kalau hal kecik macamni pun kau dah menangis, kau tak fikir ke nanti kau akan jumpa lebih ramai orang yang mungkin cuba untuk jatuhkan kau? kau tak boleh cepat mengalah, cepat takut dan tunjukkan kelemahan kau pada orang lain, satu hari nanti kau akan jadi ketua Irin, kau kena uruskan beribu-ribu pekerja bawahan kau, kena uruskan legasi hotel ni lagi supaya ia akan kekal jadi yang terbaik. Jadi mulai sekarang kau kena belajar jadi orang yang kuat." Harraz menitipkan kata-kata semangat kepadaku.

Aku kesat lagi airmata dan tarik nafas, cuba membawa masuk semangat yang Harraz titipkan buatku tadi.

"Habis tu kita nak buat apa?" Soalku. kononnya dah kembali bersemangatlah ni.

Harraz tersenyum, puas hati. "Hah.. macam nilah baru ada ciri-ciri seorang ketua. Ok, sekarang kau tenang je, selagi aku ada.. insyaallah tak ada apa-apa akan jadi pada kau. Aku kan guardian angel kau.." Gurau Harraz.

Aku tersenyum. "Terima kasih.." Ucapku, ikhlas sambil mengesat lagi sisa airmata yang berbekas di pipi.

"Terima kasih je tak cukup Irin.. bak sini kek tu aku makan." pinta Harraz.

"Tak boleh, kita nak pergi bagi pada Ros." Aku bangun, membawa sekali kek dan beg tanganku, menuju ke bilik tidurku.

Harraz guardian angel aku? Heh.. aku tersenyum lagi.

"Kalau Ros tak nak jangan lupa bagi kat aku.." Jerit Harraz.



P/s : Soalan! Eh, bukan soalan... Permintaan! Tolong cadangkan pelakon-pelakon lelaki melayu yang korang rasa sesuai jadi Harraz, please? Untuk Irin aku dah jumpa siapa pelakon sesuai... hurmm.. *usap dagu*




Monday, January 16, 2012

Bab 34



Kini walaupun Harraz tidak akan bersama dengan aku sepanjang hari seperti hari-hari sebelum ini, tapi dia masih lagi penasihat merangkap pembantu peribadi dan jawatan terbaru yang atuk beri untuknya, pemandu aku. Maka, tiap-tiap pagi dia yang akan hantar aku ke kolej dan menjemput aku dari kolej pada tiap-tiap petang. Dan hari ini adalah hari pertama aku akan menjejakkan kaki ke kolej bersamaan hari pertama Harraz akan menjalankan tugasnya sebagai pemandu peribadi aku. Hik..hik..hik.. Aku suka dengan status baru yang Harraz sandang itu.

Pemandu peribadi. 

Sampai di hadapan bangunan kolej, Harraz sempat berpesan pada aku, "Habis kelas call aku dan tunggu sampai aku datang, jangan merayap kemana-mana" 

Aku mencebikkan bibir, apalah.. bukan sepatutnya aku ke yang kena pesan kat dia macam ni.. 'lima belas minit sebelum habis kelas nanti kita call awak, jangan datang lambat! Tunggu kat sini sampai kita turun' kan? Sebab aku bos dia, bukan dia bos aku..

"Dengar tak aku cakap apa ni?" Soal Harraz, sekaligus menghapuskan semua angan-angan aku tadi.

"Hah.. dengar, dengar."

"Pergilah cepat!"

Aku terangguk-angguk sampaikan dalam kalut-kalut itu sempat pula aku hulur tangan pada Harraz nak bersalaman, terbiasa punya pasal, sebab dulu masa abah hantar pergi sekolah aku mesti salam tangan abah dulu.

"Ni apahal nak bersalam-salam ni? Tak payah.. aku bukan abang kau." Bidas Harraz.

Malu dengan tindakan spontanku itu, aku terus keluar dan berjalan pantas memanjat anak-anak tangga yang tak berapa nak tinggi itu. Malu! Tapi secara tak sengaja aku terlanggar bahu seseorang yang juga sedang menaiki anak tangga bersamaku, mungkin kerana terlalu gopoh sampaikan langkah kaki aku jadi tak menentu dan terhuyung hayang. Haish! Apa ni irin hari pertama dah langgar-langgar orang.

"Oh, sorry.. sorry.. saya tak sengaja." Kataku kepada gadis yang aku langgar tadi.

"Tak apa.. tak sakit pun." Balasnya.
Aku tersengih segaris. Tak sakit? Apa maksud dia? Perli aku ke atau dia memang tak sakit?

"Hai, awak student baru ke? Tak pernah nampak pun sebelum ni?" Soal gadis yang berkaca mata dan bertudung ini.

"Err... ha'ah, baru first day." Jawabku, malu-malu. Mana tak malu orang lain dah masuk dua minggu yang lalu masa sesi pendaftaran dibuka tapi aku masuk lambat macamlah kolej ni atuk yang punya. Tapi tak dinafikan disebabkan pengaruh politik atuklah yang membolehkan aku mendaftar di kolej ini walaupun sudah terlewat dua minggu.

"Oh.. patutlah nampak kelam kabut semacam, hihi.." Gadis ini ketawa kecil, seperti mengutuk aku tapi kemudiannya dia menutup mulutnya dengan lima jari. "Ops.. sorry, saya main-main je tadi. Oh, saya Hanna, nama awak apa?" Soalnya.

"Saya irin." Aku hulurkan tangan sebagai tanda perkenalan. Dia menyambut huluran tanganku.

"Awak ambil kursus apa?" Soal Hanna sambil membetulkan kaca mata berbingkai hitam tebalnya. Comel je Hanna ni, muka ala-ala budak baik gitu.

"Bakeri dan pastri.." Balasku.

"Oh!" Hanna terjerit kecil ditekup mulutnya dengan jari dan memandang aku dengan reaksi muka terkejut. Aku kerut dahi memandangnya. Aku salah cakap ke??

"Kenapa Hanna?" Soalku, curiga.

"Oh.. tak ada, saya cuma terkejut yang kursus kita sama!" Kata Hanna, terjerit kecil. Nampaknya dia begitu teruja bila mengetahui yang aku dan dia belajar dalam bidang yang sama.  Baguslah tu, sekurang-kurangnya sekarang aku sudah ada kawan.

"Ye ke? Wah, bestnya!" Balasku, juga tersenyum lebar.

Hanna mengangguk berkali-kali, sebagai isyarat yang dia juga merasakan sebegitu.

"Kalau macam tu jom saya bawak awak pergi kelas kita. Jom! Jom!" Hanna menarik tangan aku dan kami sama-sama menyambung menaiki baki anak-anak tangga. Baru aku sedar yang dari tadi kami sedang bersembang di tengah-tengah laluan di atas tangga.

"Awak datang dengan siapa tadi? Mak ayah awak tak hantar ke? Kan hari ni hari pertama awak kat sini?" Soal Hanna panjang lebar.

"Ahh.. mak ayah saya dah tak ada." Akuiku. Bila harus memulakan kehidupan baru sebagai cik muda Irina Imani yang sudah kehilangan ibu dan ayah, tinggal bersama atuk dan mak cik, aku tau yang mulai hari ini aku memang harus mula membiasakannya.

"Oh, sorry.. saya tak tau." Balas Hanna, kesal kerana bertanyakan soalan itu.

"Tak apa.." Balasku.

"Jadi awak datang sini sorang-soranglah?" Soal Hanna kembali.

Aku menggeleng. "Ada orang hantar" Jawabku.

"Siapa? Abang? kakak?" Soalnya lagi. Haish.. boleh tahan busybody jugak si Hanna ni.

"Errmmm.. sepupu!" Balasku. Harapnya lepas ni Hanna takkan tanya apa-apa lagi berkaitan 'sepupu' aku itu pula.

"Oh, sepupu.. jadi selama ni awak duduk rumah sepupu awaklah ya?" Soalnya lagi. Ya Allah, banyaknya soalan perempuan ni..

"Hanna, boleh tak awak bawak kita pergi pejabat sebab kita nak daftar diri dululah." Pintaku, menukar topik perbualan. Kalau dibiarkan entah bilalah baru habis soalan dia tu.

"Oh, boleh.. boleh.. ikut sana, sebab kalau ikut sini terus nak ke kelas." Hanna menukar hala laluan kami daripada kanan kepada membelok ke sayap belah kiri bangunan. Dan selepas itu tiada lagi soalan-soalan berkaitan diriku.

Selepas melaporkan diri dan menyelesaikan hal-hal yang berkaitan di pejabat itu, kami kembali menuju ke kelas, tapi semasa dalam perjalanan tiba-tiba saja Hanna menarik tangan aku kebelakang dan beberapa orang gadis berjalan di hadapan kami dengan haruman minyak wangi mereka menusuk ke hidung kami.

Tiba-tiba aku rasa macam kepala aku berpusing-pusing, pening.

"Nasib baik awak tak terlanggar dia tadi." Kata Hanna, memandang kelibat gadis-gadis yang berjalan melepasi kami tadi dari arah belakang.

"Siapa?" Soalku, juga melihat ke arah yang dilihat oleh Hanna.

"Itu.. yang pakai reben pink atas kepala tu." Hanna menjuihkan bibirnya ke arah gadis yang sedang berjalan dihadapan sekali. Lagaknya seperti dia ketua kepada ahli-ahlinya yang lain.

"Oh.." Balasku.

"Nama dia Ara, awak kena hati-hati sikit dengan dia tu sebab kat sini dia paling otai. Orang kata dia anak orang kaya, bapak dia tauke stesen minyak Petronas. Oh, dia tu senior kita tau.. paling teror memasak!" Jelas Hanna, sekaligus memberi peringatan kepada aku supaya jangan cari masalah dengan perempuan itu.

"Hebat sangat ke kalau bapak dia tauke petronas pun?" Soalku, spontan. Sungguh! Aku sendiri pun tak sedar yang aku sedang bertanyakan soalan itu pada Hanna.

"Hebat sangat ke awak tanya? Mestilah hebat! Elaun dari mak ayah dia tiap-tiap bulan je dah Seribu ringgit tahu? Saya pun dapat tiga ratus je sebulan.." Keluh Hanna.

Aku menoleh memandang Hanna selepas kelibat gadis-gadis yang memakai minyak wangi sebotol itu hilang dari pandangan.

"Berapa banyak stesen minyak yang bapak dia bukak?" Soalku lagi, Entah kenapa ada rasa sikit menyampah dengan kesombongan yang ditunjukkan oleh perempuan bernama Ara itu.

"Kalau tak silap saya, ada satu je.. itupun kat tengah-tengah bandar, memang jadi tumpuan kenderaan keluar masuk, sebab itulah banyak untung diorang dapat.."

"Heh.. hebat sangat ke sebijik stesen minyak kalau nak dibandingkan dengan berpuluh-puluh cawangan hotel satu malaysia?" Rungutku, perlahan.

"Hah? Apa awak cakap?" Soal Hanna, tidak mendengar dengan jelas apa yang dah aku katakan tadi.

"Hah?? Oh, tak ada apa-apa.. jomlah kita masuk kelas, saya dah tak sabar nak kenal dengan budak-budak kelas kita."

*******************************

Dari luar dah kedengaran bunyi bising di dalam kelas. Macam sekolah tadika pula aku rasa, tapi sebaik saja Hanna membuka pintu dan mempersilakan aku masuk dulu, dan apabila aku berdiri kaku dihadapan kelas, serta merta suasana jadi sunyi dan senyap. Perbuatan mereka tadi terus terhenti sebaik saja mereka terpandangkan aku.

Sekarang aku tak tahu antara nak angkat tangan dan cakap hai? Tengok diri aku sendiri kalau-kalau pakaian aku ini pelik bagi mereka atau buat tak tahu dan duduk saja di mana-mana kerusi yang kosong, mana satu yang aku patut buat dulu?

"Ini student baru kelas kita, nama dia Irin." Mujur saja Hanna bertindak cepat dengan memperkenalkan aku kepada mereka dalam nada bangganya kerana dia menjadi orang pertama yang mengenali aku dan seterusnya membawa aku ke sini.

"Student baru? Eh bukan sesi pendaftaran dah habis dua minggu lepas ke?" Soal satu suara lelaki yang aku tak pasti mulut mana yang mengutarakan soalan itu.

"Wei.. kau lupa ke, ini kolej bukan universiti yang ada peraturan ketat. Bapak dia yang bayar yuran, tak kisahlah kalau sesi pendaftaran dah tamat pun, asalkan bapak dia bayar.. semua orang pun boleh masuk bila-bila masa babe.." Balas satu suara lain. Juga seorang lelaki.
 
Wah, nampaknya ramai juga lelaki yang berminat dalam bidang masakan ya? Oh, kalau tidak takkanlah kebanyakan chef-chef terkenal terdiri daripada kaum adam kan..

"Entah, biarlah dia nak masuk lambat pun, pengarah tak kata apa korang pulak yang kepoh." Kata Hanna disebelahku ini, cuba menyelebelahi aku. "Dah Irin, jom duduk." Hanna menolak tangan aku menuju ke arah meja-meja yang bergelimpangan manusia yang duduk di atasnya sampaikan aku sendiri pun dah tak nampak mana satu meja yang tidak berpenghuni.

Tiba-tiba ayunan langkah aku terhenti bila ada sepasang kaki yang menghalang laluanku. Aku memandang muka tuan punya kaki ini, iaitu seorang lelaki dengan rambut pacak-pacak sedang mengulum lolipop. Dia tersengih sumbing membalas pandanganku.

"Nazmi, tepilah kaki tu, tak nampak ke orang nak lalu ni?" Marah Hanna sambil menolak-nolak kaki lelaki ini dengan tangannya. Aku hanya memandang tapi tidak terfikir untuk menolong Hanna menolak kaki lelaki ini sama-sama.

"Mana aci, budak baru tak kena orientasi, kitorang dulu masa mula-mula masuk semua kena orientasi dengan senior kau tau?" Kata lelaki yang Hanna panggil Nazmi ini.

"Habis tu?" Soalku.

"Habis.. kau pun kenalah jalani proses orientasi jugak. Sekarang kau pergi kat depan tunggu arahan dari kitorang." Arah Nazmi, dia melambai-lambaikan tangannya sebagai isyarat menyuruh aku pergi.

Aku pandang Hanna. Mengharapkan pengertian darinya.

"Ish, kau ni mi.. tak payah pun tak apa kot? Lagipun dia seorang saja, lainlah kita dulu ramai-ramai.." Larang Hanna.

Nazmi memandang muka Hanna dengan pandangan tajam. "Aku suruh kau ke? Tak kan? Dah, kau.. pergi berdiri kat depan!" Arah Nazmi lagi, kini dia berdiri dan menunjukkan dengan jari telunjuknya ke arah hadapan kelas.

Memikirkan ini mungkin pengalaman biasa apabila masuk ke mana-mana institut, kolej mahupun universiti, maka aku gagahkan diri berjalan ke hadapan kelas sekalipun sekarang aku akui yang aku agak gemuruh dan segan berdiri di hadapan mereka.

"Weh korang, sekarang korang nak tanya apa-apa kat budak baru ni, silakan! kaunter pertanyaan di buka sekarang.." Nazmi berjalan ke hadapan kelas sebelum dia duduk di sisi meja pensyarah sebelum dia kembali mengulum lolipop yang dipegang di tangannya tadi.

"Aku nak tanya, weh.. nama kau apa?" Soal seorang lelaki yang terjengket-jengket berdiri di sebalik mejanya macamlah dia tu rendah sangat.

"Irin." Jawabku

"Nama penuh dengan nama bapak sekali." Tegur Nazmi.

"Irina Imani binti Ilyas"

"Sedap nama kau.." Puji Nazmi, spontan.

Aku menoleh memandangnya dan mengucapkan terima kasih dalam nada memerli, juga dengan sengihan perlian. Bukan apa, aku risau kalau pujian yang Nazmi beri itu pun sebenarnya cuma satu perlian.

Seorang perempuan mengangkat tangan dan serentak terus bertanyakan soalan padaku. "Kau duduk mana?"

Aku kelu sesaat. Bukan kerana aku tak mahu mereka tahu dimana aku tinggal tapi kerana aku sendiri tak tahu apa nama tempat tinggalku itu. Pelikkan? Sehingga aku ditanya tentang ini baru aku terperasan yang selama berbulan-bulan aku tinggal di villa itu, aku tak pernah terfikir untuk mengambil tahu apakah nama daerah yang aku duduki itu.

Penyudahnya aku cuma mampu memberikan senyuman segaris dengan harapan mereka takkan menagih jawapan daripada soalan itu lagi.

"Next!" Jerit Nazmi, meminta mereka bertanyakan soalan yang lain pula.

"Awak dah ada pak we??" Soal seseorang dengan nada yang dileretkan.

"Urmmm... belum lagi." Jawapanku itu disambut dengan sahut-sahutan pelajar-pelajar lelaki yang lain dan mereka hanya senyap kembali selepas ditenteramkan oleh Nazmi. Ok, tiba-tiba aku rasa.. kembang semangkuk! Rasanya aku tak pernah diberi perhatian sebegini rupa selama aku belajar di sekolah.

"Ehem.. ehem.. sesi soal jawab dah tamat, so sekarang korang boleh suruh dia buat apa saja yang korang mahu." Kata Nazmi.

Sekarang mata aku terbeliak seperti sedang melihat Nazmi berubah menjadi makhluk asing atau zombi. Suka-suka hati dia je nak jadikan aku bahan permainan yang kejap-kejap boleh ditanya soalan, kejap-kejap...

"Banana dance!" Jerit satu suara sebelum dipersetujui oleh suara-suara yang lain. Semua bersetuju menyuruh aku melakukan seperti yang disebut oleh seseorang itu tadi.

Aku pandang Hanna, menagih penjelasan darinya tentang apa yang mereka maksudkan dengan banana... apa tadi? Hanna membalas pandanganku dengan muka seperti bersimpati dengan aku. Dia juga kelihatan teragak-agak dan reaksi mukanya agak keruh.

"Cepatlah!" Kata Nazmi, terus aku menoleh memandangnya.
 
"Cepat apa?" Soalku. Berlapis dahi aku cuba memahami apa yang mereka mahu aku buat.

"Banana dance?" Pinta Nazmi.

"Apa tu?" Soalku.

"Kau tak tau?" Soalnya kembali.

Aku menggeleng.

"Kawan-kawan, dia tak tau banana dance tu apa, cepat siapa volunteer nak ajar dia apa itu banana dance?" Kata Nazmi lantang kepada kawan-kawan sekelas.

Masing-masing berpandangan sesama sendiri sebelum mereka memandang ke arah Nazmi kembali. Kesemuanya, memandang ke arah Nazmi dengan satu maksud pandangan. Dan aku yakin yang Nazmi faham maksud pandangan mereka itu.

"Apasal korang pandang aku?" Soalnya. "Oh, aku tanya siapa yang nak volunteer bukan aku yang volunteer." Balas Nazmi dengan tangan yang terawang-awang, kejap menghala ke arah mereka kejap menunjuk ke arah dirinya

Tapi mereka yang ada di hadapanku ini tetap memandang ke arah Nazmi dengan pandangan yang...

"Ok, ok.. aku buat!" Keluh Nazmi, kalah dengan pandangan tajam mereka. Mereka bersorak dan bertepuk tangan. Begitu teruja untuk melihat Nazmi melakukan banana.. apa tadi? Oh, sekali lagi aku terlupa apa yang mereka sebutkan tadi.

"Kau, ikut apa aku buat." Nazmi berdiri di sebelahku dan mengulum lolipopnya tapi dikeluarkan semula apabila dia ingin bercakap dengan budak-budak kelas."Korang nyanyi, aku dance." Dan dimasukkan kembali lolipop ke dalam mulut.

Nazmi berdiri tegak dengan kedua-dua belah tangan diangkat ke atas. Dipandang aku sekilas, sekadar untuk memastikan samada aku sudah buat seperti yang disuruh atau belum, perlahan-lahan aku angkat juga tangan sekalipun aku tak pasti apa yang akan mereka buat.

Dan suara budak-budak kelas menyanyikan satu lagu mula kedengaran.

"Split banana, split, split banana."

"Cut banana, cut, cut banana." Nazmi berpusing ke kiri dan menggerakkan kedua-dua tangannya secara menyerong, seperti sedang memotong sesuatu. Ok, walaupun rasa macam pelik dan kelakar, aku buat jugak.

"Shake banana, shake, shake banana.." Kali ini Nazmi menggoyangkan badannya dari atas ke bawah. Aku rasa tarian ini sangat melucukukan. Bila didengar betul-betul ia seperti sebuah tarian mengenai pisang. Atau mungkin proses membuat minuman banana shake? Hahahaha...

Tanpa dapat ditahan aku ketawa sambil menggoyangkan badanku, diikuti budak-budak kelas yang lain, dan seorang demi seorang datang ke depan dan melakukan gerakan yang sama berulang-ulang kali sehinggakan semua kelas pun menari sama.

Untuk pertama kalinya dalam tempoh ini, aku sedar yang hidup aku bukan sekadar tentang villa dan Harraz tapi ada lagi dunia lain yang belum aku terokai dan.. aku sangat seronok dengan kehidupan yang baru aku temui ini.

************************

Habis kelas, aku keluar beriringin dengan Hanna ke muka pintu utama, menuruni anak-anak tangga yang tak berapa nak tinggi itu dan disambut dengan sebuah kereta hitam yang diparkir betul-betul di depan pintu utama bangunan. Harraz ada di dalam kereta itu sedang menunggu aku.

"Eh, sepupu kita dah sampailah. Jumpa esok, bye!" Aku melambai pendek kepada Hanna. Hanna membalas lambaianku dan dia sendiri meneruskan perjalanannya menuju ke hentian bas di tepi jalan sana.

"How was your first day?" Soal Harraz dan kereta mula meluncur laju meninggalkan kawasan kolej.

"Great!" Balasku, spontan.

Harraz menoleh memandangku sekilas. "Great? Kau tak gunakan status kau untuk tak biarkan orang lain buli kau kan?" Soal Harraz, curiga bercampur sindiran.

"Tak.." Balasku.

"Jadi hari pertama di kolej memang bagus tanpa ada sebarang buli atau gangguan? Oh, aku nampak yang kau dah ada kawan baru.."

Aku tersenyum. "Ya, it was fun!" Jawabku, tanpa sedar perkataan itu terluncur keluar dari mulutku. Wow, bahasa inggeris aku semakin hari semakin baik.

"Baguslah. Aku pun tak mahu dengar kau merungut nak keluar dari kolej tu"

"Insyaallah tak, sebab kita memang suka nak belajar kat sini." 

Harraz menjeling, memandangku sekilas. "Iyalah tu.." Rungutnya, perlahan tapi telinga aku masih mampu mendengar dengan jelas kata-katanya itu

Aku diam saja, malas nak cakap apa-apa kalau tidak sampai ke villa nanti pun takkan habis sesi bertelagah ini. Tiba-tiba telefon aku berbunyi dari dalam beg, kalut aku cari dan keluarkan. Nama Syafiq tertera di skrin. Aku betul-betulkan kotak suara sebelum butang hijau aku tekan.

"Hello.." Sapaku.

"Hello, Irin kat mana?" Soal Syafiq di talian.

"Urmm.. dalam kereta on the way nak balik." Aku menoleh memandang ke luar tingkap, rasa malu nak bersembang di hadapan Harraz.

"Dengan Harraz?" Soalnya, perlahan.

Aku mengangguk, tapi bila tersedar yang Syafiq tak mungkin boleh melihat anggukan aku itu barulah aku mengiyakan, "Ahha.."

"Oh.."

"Ermm.. kenapa awak call?"

"Saya ingat nak ajak awak keluar makan malam ni, Irin free tak?" Soalnya, kembali ceria dan teruja dari nada suaranya.

"Malam ni?" Soalku berbisik. Tak mahu didengari oleh Harraz.

"Ya, malam ni. Nanti saya jemput Irin di villa. Kalau nak saya minta Izin tuan pengerusi saya boleh call dia sekarang?"

"Urmm.. awak, boleh tak kalau kejap lagi bila dah sampai villa,  kita call awak balik?" Pintaku, seboleh mungkin aku tak mahu Harraz dengar rancangan aku dan Syafiq untuk keluar bersama malam ini kerana aku tak mahu perkara yang sama berulang lagi. Keadaan dimana aku tak jadi keluar kerana Harraz.

"Kenapa?"

"Sajalah.. tak selesa nak bercakap sekarang." Aduku.

"Oh.. ok, ok, faham. Saya tunggu."

"Ok bye!" Dan aku menekan butang merah selepas Syafiq juga mengucapkan perkataan itu.

"Siapa?" Soal Harraz, tumpuannya masih pada pemanduan tapi mulutnya sibuk nak ambil tahu tentang hal aku. Ish!

"Tak ada sesiapa.." Balasku. Tak mahu aku berkongsi cerita peribadiku dengannya.

"Tak ada sesiapa... ingat aku budak-budak ke, yang tak nampak apa yang kau buat tadi? Cubalah bagi alasan yang logik sikit." Rungut Harraz.

"Dah tu? Tak payah la ambil tahu kalau kita memang tak nak bagitau.."

Harraz buat mimik muka disertai cebikan bibir sambil mengajuk kata-kataku.

Sampai saja di Villa, aku terus buat panggilan kepada Syafiq sambil berjalan menuju ke bilik tidurku dan memutuskan untuk keluar bersamanya pada malam ini. Kata putus diambil, Syafiq akan menjemputku pada pukul lapan malam.   
 
Yeah, aku sangat tak sabar dan teruja!




p/s : Kalau korang kata bab ini pendek.. ya, nak buat macammana. Huhuhuuu.. v_v