http://img10.imageshack.us/img10/7733/contactm.png

Friday, October 7, 2011

Bab 18


"Sekarang Irin faham kan maksud atuk, orang yang tak bertanggungjawab perlu diberi tanggungjawab yang atuk cakap dulu?" Soal atuk semasa kami sudah pun sampai ke bilik kerjanya dan aku sedang membantu atuk duduk di kerusi.

Aku pula mengambil tempat duduk di sebelah atuk.

"Atuk tau tak penat Irin fikir pasal tu. Kalau mengikut tafsiran Irin dengan Ros, maksud atuk.. Harraz adalah orang yang tak bertanggungjawab jadi dia perlu diberi tanggungjawab iaitu Irin adalah tanggungjawab dia. Betul tak?" Soalku. Persoalan lama yang dah aku lupakan dibangkitkan kembali membuatkan aku kembali bersemangat untuk menafsir maksud kata-kata kiasan atuk itu.

"Hahaha..." Atuk ketawa. Belakang tangan aku ditepuk perlahan sebelum atuk berhenti ketawa dan menyambung bicara. "Iman Harraz adalah seorang pekerja yang sangat bertanggungjawab pada tugasnya, seorang ketua yang sangat berdedikasi dan bermatlamat dalam mengembangkan bidang yang diceburinya, tapi dia tak pernah bertanggungjawab pada kebajikan pekerja, pada kehidupan sosialnya, Harraz tak pernah bertanggungjawab terhadap orang lain. Harraz sukar didekati, dia menganggap semua orang adalah musuhnya. Sikapnya itu  membimbangkan atuk dan pak cik Ghazi dan ia akan menyukarkan Harraz untuk mengembangkan perniagaannya." Kata atuk panjang lebar penuh penghayatan pada kata-katanya itu seolah-olah dia memang sangat-sangat ambil berat tentang Harraz.

"Perniaggan Harraz? Apa maksud atuk?" Soalku, bukankah Harraz berkerja dengan atuk sebelum dia sepenuh masa menjadi penasihat peribadi aku?.

Atuk tersenyum, lucu. "Irin.. takkan selamanya pak cik Ghazi nak jadi pembantu peribadi atuk sampai atuk dah tak ada. Dia pun ada perniagaan dia sendiri, masih lagi dalam bidang perhotelan tapi dia menguruskan salah satu anak syarikat atuk. Pak Cik Ghazi dan Harraz sama-sama ada share dalam Residence Hotel. Cuma buat masa sekarang, atuk masih memerlukan pak cik Ghazi di sini." Kata atuk.

"Oh.. jadi, semua pekerja panggil dia tuan muda bukan sebab pangkat dia lebih tinggi dari yang lain, tapi sebab.. dia pun memang bos kat sini?" Soalku, terkelu. Satu lagi kejutan yang baru aku terima. Kalau bukan sebab dulu dia tak bagi aku panggil dia tuan muda sebab katanya dia  yang bekerja untuk aku pasti aku takkan fikir yang dia adalah pekerja atuk semata-mata. Ohh...

Atuk mengangguk sambil tersenyum. "Tapi dia masih pekerja Irin sebab atuk tugaskan dia untuk jadi penasihat Irin." Kata atuk sepertinya dia tahu apa yang aku fikirkan. "Sebenarnya atuk boleh pilih seseorang yang lebih layak dan lebih baik untuk jadi penasihat Irin tapi memandangkan atuk fikir yang sikap Harraz perlu diubah dan atuk perlukan seseorang untuk jadi mangsa Harraz. Tak ada yang lebih sesuai selain Irin." Atuk tersenyum memandangku.

Aku mencebik. "Sanggup atuk tengok cucu atuk ni asyik kena hukum je dengan dia, sampai nangis-nangis, sakit perut, kena tengking, huuurrr.. seksa!" Balasku, terimbau kembali kenangan dibuli oleh Harraz yang kejam itu dulu.

"Tapi hasilnya, dalam masa sebulan Irin dah berjaya berbaik dengan Harraz. Sekurang-kurangnya itu satu perkembangan yang baik untuk atuk dan pak cik Ghazi."

"Ya.. Irin pun tak sangka yang Harraz boleh berubah jadi baik sekelip mata! Sedar-sedar dia dah tak marah-marah lagi. Rasanya sejak mak su ada yang dia dah tak jadi garang macam dulu.." Kataku terfikir-fikir. Apakah mak su punca dia berubah? Mungkin dia takut mak su marah dia sebab marah aku ke.. siapa tahu kan?.

Atuk ketawa. "Boleh jadi kepulangan mak su membawa perubahan dalam keluarga kita, tapi yang sebenarnya, Harraz bukan sengaja bersikap dingin, dia cuma tak pandai nak berinteraksi dengan orang lain.." Kata atuk.

"Takkan tak reti nak..." Kata-kata aku terhenti bila pintu bilik diketuk, muncul pak cik Ghazi di sebalik pintu. Aku dan atuk memandangnya.

"Maaf, menganggu." Kata pak cik Ghazi seolah baru tersedar tentang kehadiran aku disini lalu berkira-kira untuk keluar.

"Eh, pak cik! Tak ganggu pun, Irin memang dah nak keluar ni." Aku memanggilnya. Sudah sampai masa untuk aku kembali ke bilik sebelum kelas seterusnya bermula. Pak Cik Ghazi tak jadi keluar sebaliknya cuma berdiri tegak di daun pintu.

"Irin keluar dulu ya atuk." Kataku kepada atuk. Atuk mengangguk, Aku bangun dan berjalan melintasi pak cik Ghazi sambil menghadiahkan senyuman untuknya. Pak Cik Ghazi membalas senyumanku sambil menundukkan sedikit kepalanya. 

*********************

Aku mengatur langkah satu persatu menuju ke tempat biasa aku dan Harraz selalu bersidang, tempat dimana Harraz selalu menjatuhkan hukuman kepadaku dan membuatkan aku menangis juga tempat untuk kami bertikam. 

Lidah. 

Tempat yang dimaksudkan adalah bilik bacaan. Mengikut jadual yang tertampal di "buletin board" dalam bilikku, hari ini aku akan belajar tentang.. "keyakinan diri". Keyakinan diri yang bagaimana pula Harraz akan ajarkan kepadaku kali ini, tak tahu la pula aku sebab dalam kertas itu cuma tertulis perkataan itu sahaja. 

Hanya beberapa langkah sebelum aku sampai di pintu bilik bacaan, kedengaran pintu itu sudah pun di buka dari dalam, Harraz keluar tanpa perasankan kehadiran aku yang sedang menuju ke arah bilik itu. Dia berjalan ke arah bertentangan, begitu pantas. Seperti sedang mengejar sesuatu. Tanpa fikir panjang, aku terus atur langkah mengekorinya. Mungkin dia nak tukar lokasi kelas kami hari ini memandangkan dia memang suka-suka hati nak tukar tempat tanpa pengetahuanku.

Sehingga Harraz keluar dari pintu utama, aku masih belum berhenti mengekorinya sehingga ke kereta. Semasa ingin masuk ke tempat duduk pemandu barulah Harraz tersedar akan kehadiranku di sisi kereta itu.

"Eh? Apasal kau ada kat sini?" Soalnya. Pelik.

"Ikut awaklah." Jawabku.

"Ikut aku kenapa? Dah, dah.. pergi masuk." Katanya menghalauku.

Aku garu kepala. Reaksi biasa bila aku tengah blur. Aku hanya memandang Harraz yang sudah pun memasuki kereta, tapi aku masih berdiri di sisi pintu hadapan sebelah penumpang. Tiba-tiba cermin kereta diturunkan

"Irin! Pergilah ma... Ish, naik jelah." Panggil Harraz. Seolah menggesaku. Mungkin dia sedang mengejar waktu sehinggakan untuk memikirkan tentang aku pun dia tak sempat. Akur dengan arahannya, pintu kereta aku buka dan terus duduk di kerusi sebelah pemandu tanpa menyedari yang aku akan keluar dari kawasan villa tanpa membawa kad pengenalan mahupun duit!.

Ah, selagi aku bersama Harraz, aku yakin aku selamat.

"Kita nak pergi mana ni?" Soalku, semasa kereta sedang meluncur laju keluar dari kawasan villa.

Harraz diam. Serius benar mukanya. Aku menunduk. Tiba-tiba rasa menyesal sebab terperangkap dalam kereta ini bersama Harraz yang semestinya tak akan bercakap sebab reaksi mukanya sekarang menggembarkan siapa dia. Ini bukan Harraz biasa yang tak pandai bawak basikal, tapi yang berada di sebelahku sekarang ini adalah tuan muda Iman Harraz yang garang itu. Pasti mood dia tak baik, sebab itulah muka dia serius je.

Aku menelek telefon bimbitku, sengaja menghantar pesanan kepada Ros hanya untuk memberitahu kepadanya tentang situasi aku sekarang.

"Ros.. kita secara tak sengaja telah terikut tuan muda ke destinasi yang kita tak tahu ke mana dan muka dia sangat serius. Apa patut kita buat sekarang???" 

Itu ayat yang aku kirimkan kepadanya. Beberapa saat kemudian, telefon aku berbunyi. Satu mesej diterima.

"Apa maksud cik muda.. "secara tak sengaja?" bukan memang cik muda ada kelas dengan dia ke pagi ni? Kalau mood dia tak baik, jangan bangkitkan kemarahan dia!"

Itu pula balasan dari Ros. 

"Ya memanglah, tapi kelas kita bukan kat luar. Sekarang kita secara tak sengaja terikut dia keluar. :p"

"Oh, ok..ok.. kalau ada apa-apa yang tak kena cepat-cepat call saya tahu?"

"Baik bos!"

":p"

Berbalas mesej habis setakat itu, Harraz masih diam. Aku terfikir untuk menceriakan sikit suasana suram ini dengan bunyi-bunyian radio tapi aku tak reti nak pasang pula. Ah, apa susah? Dalam telefon aku kan ada lagu, pasang sajalah!. Aku menekan-nekan butang di telefon bimbit sebelum lagu-lagu korea dari soundtrack drama dimainkan. 

"Hisyy.. bisinglah!" Rungut Harraz.

Aku perlahankan volume suara. 

"Irin aku masih boleh dengar.." Tegur Harraz, bahasa kiasan supaya aku tutup saja mp3 ini. Akur, aku tekan butang stop dan genggam telefon bimbit itu kemas-kemas. Haihh.. apa pula yang aku nak buat ni? Aku mengerling memandang Harraz di sebelahku. Tangan sebelah kirinya sedang memegang strereng manakala tangan kanannya diletakkan di sisi tingkap sambil jari-jari nya diletakkan di mulut. Reaksi seperti orang sedang dalam kerunsingan. Aku kembali memandang ke hadapan.

Penyudahnya, sebab tak tahu nak buat apa lagi, aku duduk diam-diam sambil pandang ke luar tingkap. Berangan. Itu saja yang mampu aku fikirkan sekarang.

Aku hanya kembali ke alam realiti bila Harraz memberhentikan keretanya di bahu jalan. Dia mengambil beberapa dokumen di kerusi belakang sebelum menyemaknya satu persatu. Dan aku sekadar menjadi pemerhati sejak tadi. Bila dia dah simpan kembali dokumen-dokumen itu dalam fail dan membuka pintu, aku pun ikut buka pintu, terus keluar dari kereta. Kemana saja dia pergi, aku ekori saja. Sehinggalah dia berhenti di sebuah bangunan. Tak berapa nak tinggi, tapi di deretan bangunan ini, hanya bangunan di hadapan kami ini saja yang paling menyerlah. Seperti sebuah pejabat swasta.

"Kau tunggu kat luar je la. Jangan pergi mana-mana sampai aku keluar." Pesannya.

Aku mengangguk. Apa saja arahannya hari ini aku akan ikut, sebab aku takut kalau dia tinggalkan aku sehelai sepinggang di sini. Dan Harraz pun melangkah mendaki beberapa anak-anak tangga yang  sebelum dia berpatah balik kepadaku. Poket seluarnya diseluk, beg duit dikeluarkan. Not RM50 ditarik keluar dan dihulurkan kepadaku. 

Aku pandang duit di tangannya itu bersilih ganti dengan muka Harraz. Apa maksud dia bagi aku duit ni? Nak suruh aku balik naik teksi ke?

"Ambil la, karang nak beli apa-apa tak ada duit pula." Katanya. Mendatar.

Aku tersenyum, yes Harraz dah kembali kepada Harraz yang baik. Terus aku capai duit itu dengan senyuman melebar. Terima kasih!" Ucapku.

Harraz senget bibir seolah tersenyum sebelum dia kembali memanjat anak-anak tangga. Semasa aku baru berpaling untuk mencari tempat duduk, Harraz memanggilku.

"Irin!"

Aku memusing, menghadapnya. "Ha?" Soalku.

"Jangan pergi jauh-jauh" Pesannya. Tegas.  Aku mengangguk. Kemudian dia kembali meneruskan langkahnya. Aku berdiri di tempatku itu sambil melihat sehingga Harraz betul-betul sudah masuk ke dalam bangunan itu. Bukan apa, saja untuk pastikan yang dia tak akan memanggilku lagi. 

Aku berkira-kira untuk mencari tempat duduk bila tiba-tiba aku ternampak ada sebuah kedai serbaneka selang beberapa lot kedai dari pejabat ini. Daripada duduk termenung tak ada buat apa baik aku cari apa yang best kat kedai tu. 

Laju kaki aku ayun menuju ke situ. Melihat-lihat makanan ringan yang tersusun di rak sebelum aku terhenti di peti aiskrim. Satu persatu aiskrim aku lihat sebelum aku mengambil keputusan untuk beli satu. Eh, dua la.. untuk Harraz satu lagi. 

Semasa di kaunter bayaran aku terasa macam ada seseorang sedang merenungku, tapi bila aku toleh tak ada sesiapa pula. Ah, perasaan aku je kot. Selesai bayar harga dua batang askrim yang cuma RM3 itu, aku kembali ke bangunan tempat Harraz pergi tadi. Aku memilih untuk duduk di atas tembok bawah pokok yang betul-betul berhadapan dengan bangunan ini sambil makan sebatang aiskrim yang aku beli tadi. 

Aku perhati keadaan sekeliling. Tiba-tiba mata aku ternampak seseorang yang aku kenal. Eh, sebenarnya tak kenal pun tapi aku cam mukanya. Lelaki yang asyik memandangku semasa aku makan di restoran dengan Harraz minggu lepas. Aku yakin, lelaki yang sedang berjalan itu adalah lelaki yang sama. Walaupun aku cuma nampak dari arah belakangnya saja.

Memang kebetulan dia ada di sini atau memang dia sengaja mengekori aku? Kejap!, Takkan dia ekori aku?.. Macam mustahil. Tapi agak pelik juga kalau secara kebetulan dia boleh ada di sini kan?. Siapa dia sebenarnya? Kenapa dia pandang aku masa kat restoran dulu? 

"Irin, aiskrim kau dah cair tu." 

Aku tersentak. Terus aku menongkat kepala memandang Harraz. 

"Apasal terkejut? Berangan lagi la tu.." Katanya, memerliku tapi reaksi mukanya masam dan serius kembali. Apa pula masalahnya ni??.

Aku terasa seperti ada cecair yang mengalir di jariku. Aku pandang tanganku yang sedang memegang aiskrim itu. Dah hampir cair. Uhhh.. cepat-cepat aku sumbat ia ke dalam mulut. Makan dengan lahapnya sebelum aiskrim itu semakin cair. Dari ekor mata aku terpandang Harraz yang memandangku dengan pandangan yang... jelik. Dia menyeringai seperti geli melihat gayaku.

Baru aku teringat yang aiskrim yang aku belikan untuk dia tadi aku belum beri padanya lagi. "Uhh.. nah aiskrim awak" Kataku sambil menghulurkan aiskrim dalam bungkusan plastik itu. Harraz spontan bangun dan menjauh dariku. 

Pelik aku melihatnya. Orang nak bagi aiskrim dia lari pula. Tangan kiriku yang menghulur aiskrim padanya itu tergantung. "Aku tak nak aiskrim kau tu.." Katanya. Masih berdiri beberapa langkah dariku.

Aku turunkan tangan. Tak nak sudah, biar aku makan. Batang aiskrim yang ada dalam mulut aku keluarkan. Letak di atas tembok sebelahku. Aku terkial-kial membuka plastik aiskrim satu lagi sebelum ia cair.

"Ya Allah... Irin, tak payah dah la makan aiskrim tu. Dah cair.. buang je." Tegur Harraz, geleng kepala melihat gelagatku. Entahlah aku pun tengah runsing sekarang ni. Samada nak makan aiskrim ni sebab tak nak membazir dengan tangan yang dah melekit, dengan bibir yang dah terasa tebal tercalit dengan cairan aiskrim tadi, dengan tisunya tak ada... Kadang-kadang aku memang akan jadi agak clumsy dalam sesetengah perkara. Kadang-kadang aku sukar untuk mengawal keadaan. Seperti sekarang.

"Haihh.... buang je aiskrim tu Irin. Tu tong sampah kat sebelah kau tu." Kata Harraz menunjuk dengan bibir ke arah tong sampah yang berada selang beberapa langkah dariku. Aku bangun dan mengutip sekali batang aiskrim tadi sebelum menghumbakan aiskrim yang belum sempat dihabiskan kedalamnya. Aku pandang tanganku yang melekit dan berwarna coklat bahana aiskrim coklatku. Kat mana pula aku nak basuh tangan ni?.

"Nah lap tangan" Harraz menghulurkan tisu kepadaku. Mana pula dia dapat tisu ni? Aku sebagai seorang perempuan pun tak ada tisu, tapi dia ada.. hebat betul. Aku sambut huluran tisunya dan mengelap jari jemariku.

"Kau ni kan Irin, nak kata budak-budak tapi dah 22 tahun. Makan aiskrim pun comot-comot. Heyy aku tak tau lah macammana kalau kau dah kerja nanti. Mau tunggang terbalik office kau buat." Bebel Harraz sambil tangannya lincah mengelap mulutku. Reaksi spontan yang aku sendiri tak jangkakan.

Aku cuma diam, sedar tentang perangai kebudak-budakan aku itu, dan malu dengan reaksi spontan Harraz. Ish.. tak payah baik hati sangat dengan aku boleh kan.

"Jom, pergi tandas. Eii.. tak pasal-pasal tangan aku pun melekit." Rungutnya sambil membuang tisu yang dipegang tadi ke dalam tong sampah dan berjalan mendahuluiku. Aku mengekorinya dari belakang.

Sampai di tandas awam berbayar, aku ke tandas perempuan Harraz ke tandas lelaki. Selesai mencuci tangan dan mulut, aku keluar kembali dan menunggu Harraz di luar. Beberapa minit kemudian, Harraz keluar dan kami sama-sama kembali ke kereta.

"Kita nak balik dah ke?" Soalku.

"Tak, aku ada kerja lagi nak disiapkan ni" Kata Harraz. Aku mengeluh. Aku dah bosan keluar tanpa arah tujuan seperti ini. Kalaulah aku tahu yang mengikut Harraz adalah memenatkan, baik aku tak payah ikut tadi.

"Apasal? Bosan?" Soal Harraz. Aku mengangguk.

"Padan muka, siapa suruh ikut." Balasnya sambil menekan punat kereta. Kereta itu berbunyi dua kali tanda kuncinya sudah dibuka.

"Manalah kita tau yang awak nak keluar atas urusan kerja." Kataku sambil membuka pintu dan masuk ke dalam kereta. Harraz meletakkan dokumennya di kerusi belakang.

"Ala, siap kerja ni kita baliklah.."  

"Hurmm.." Balasku, akur.

*******************

Hari yang dinantikan pun tiba. Awal-awal lagi aku dah bangun padahal nak keluar bukannya awal pagi macam ni. Teruja punya pasal semua pun aku sanggup buat. Alang-alang dah bangun awal, dah mandi, dah solat, dan jam pun baru menunjukkan ke angka 6.30 pagi, aku memutuskan untuk keluar bersenam seperti biasa. Cuma yang bezanya hari ini, mungkin aku hanya akan bersenam seorang diri sebab aku takkan terikat dengan jadual Harraz untuk satu hari ini.

Ros masuk ke bilikku sewaktu aku sudah pun bersedia untuk keluar.

"Eh, cik muda nak pergi mana ni? Awalnya bangun? Saya ingat cik muda tidur lagi tadi." Soal Ros, pelik melihatku.

"Pergi mana lagi pagi-pagi macam ni Ros, bersenamlah!" Jawabku dengan senyuman yang melebar.

"Hari ni kan cik muda cuti? Tuan muda tak tunggu pun kat luar itulah.." Perli Ros.

"Alah, alang-alang kita dah bangun ni, takkan nak tidur balik. Nanti terlajak tidur dah terlambat nak keluar dengan mak su pula.. oklah Ros basikal kita dah memanggil-manggil dah tu. bubbye." Kataku sambil melambai pendek lalu terus berlari anak keluar dari bilik terus ke pintu utama dan menuju ke garaj khas untuk basikalku. 

Matlamat pagi ini. Ingin menuju ke tasik yang cantik itu dan meronda di sekeliling villa mencari apa lagi tempat istimewa yang aku belum jumpa. Seawal pagi ini, tukang-tukang kebun sudah pun bangun dan menjalankan tugas mereka. Ada yang sapu dedaun kering, yang cantas pokok di tepian jalan, yang menyiram tanaman, yang... eh, pak cik SIbir. Mataku terpaku memandang pak cik SIbir yang pura-pura seperti tak 
nampak aku sedangkan aku sedang melintasinya. Ahh.. apa sajalah yang tak kena dengan pak cik Sibir tu. 

Aku teruskan perjalanan, setelah hampir dengan kawasan tasik, aku ternampak Harraz sedang berdiri di situ membelakangiku. Tak sangka yang dia pun ada disini. Aku tongkat basikal di bawah pokok dan perlahan-lahan berjalan menghampirinya. Niatku untuk mengejutkan dia yang langsung tak sedar akan kehadiranku. 

1, 2, 3... "Warghhh... buat apa tu??" Jeritku sambil menepuk belakang Harraz perlahan. Tapi tak sangka yang Harraz terkejut betul-betul sampai terlompat-lompat dan menjerit sebelum dia secara di luar jangkaan terjatuh ke dalam tasik!.

Aku ternganga. Cepat-cepat tutup mulut dengan jari, mataku terbeliak besar. Harraz jatuh dalam tasik? Terkapai-kapai?.

"Arrgghhh... Irin tolong, aku tak reti berenang" Jerit Harraz sambil cuba untuk timbul di permukaan air.

Aku panik, Harraz tak reti berenang? Alamak. Aku pun tak reti berenang.. macammana ni? Aku pandang sekeliling kalau-kalau aku boleh dapatkan bantuan tapi kenapa di waktu aku perlukan pertolongan tak ada sesiapa di kawasan ini?.

"Irin...hulpp.." Harraz memanggilku lagi sebelum kepalanya tenggelam. 

Hah.. jantung aku terasa macam dah berhenti berdegup bila tengok keadaan Harraz macam tu. 
"Tolongggg.. tolong...." Jeritku, berharap yang akan ada orang yang mendengar. Dalam masa yang sama aku juga cuba menggapai tangan Harraz yang semakin lama semakin jauh dari kawasan tebing.

"Tolonggggg... ada orang lemas...." Jeritku lagi.

"Hahh.. Irin.." Panggil Harraz dalam kelemasan. Aku dah mula terbayang yang aku akan kehilangan Harraz, paling teruk punca kehilangan Harraz adalah disebabkan aku. Satu persatu gambaran buruk bermain di fikiranku di saat ini. Tiba-tiba aku terasa sedih, serentak itu air mataku mengalir. Sedangkan di waktu ini aku sepatutnya memikirkan cara untuk menarik Harraz ke atas.

"Cik muda?" Seseorang memanggilku, Aku menoleh. 

"Tolong.. tolong... tuan muda lemas." Kataku tanpa berlegah lagi kepada seorang tukang kebun yang sedang memegang pencakar rumput. 

Pantas tukang kebun itu mencampak batang pencakar rumput yang dipegangnya dan melompat masuk ke dalam tasik. Dalam masa beberapa minit, Harraz sudah pun berada di atas tebing. Terbatuk-batuk dengan baju yang lencun. Dan di saat itu barulah tukang kebun-tukang kebun yang lain muncul dan menghulurkan pertolongan. Aku tarik nafas lega bila apa yang aku fikirkan tadi tidak berlaku. 

Melihat Harraz yang terbatuk-batuk dan seperti tidak stabil, aku menawarkan diri untuk membantu dengan menepuk belakang badannya. "Harraz.. sorry, kita tak sangka yang boleh jadi macam ni." Air mataku masih belum henti mengalir.

Harraz menepis kasar tanganku. Aku tersentak. Harraz marah ke?... "Harraz.. kita tak sengaja, betul-betul tak sengaja" Pujukku lagi.

"Hantar saya balik.." Kata Harraz kepada salah seorang tukang kebun yang sedang duduk di sebelahnya. Tukang kebun yang kelihatan masih muda itu membantu Harraz bangun dan memapahnya ke kereta kontot itu. Aku hanya memandang sehingga kereta itu bergerak dan menghilang dari pandangan mataku.

"Cik muda tak apa-apa ke?" Soal tukang kebun yang menyelamatkan Harraz tadi. Badannya basah kuyup. Aku menggeleng. 

"Terima kasih sebab tolong tuan muda tadi. Nasib baik awak ada.." Kataku ikhlas, sambil mengelap air mata di pipi. Sungguh, kalaulah tak ada sesiapa yang menyelamatkan Harraz tadi, mungkin aku akan terus berada dalam keadaan serba-salah sampai bila-bila. Aku belum cukup kuat untuk terima satu lagi kehilangan insan yang paling rapat dalam hidupku. Kehilangan ibu dan ayah pun dah cukup buat aku hilang separuh dari kehidupanku, aku tak tahulah macammana hidup aku akan jadi kalau Harraz pun tak ada.. 

"Kebetulan saya lalu kat sini... Saya pergi dulu ya, nak salin baju." Kata tukang kebun ini lagi sebelum berlalu. Yang lain-lain masing-masing dah kembali melakukan tugas masing-masing selepas Harraz pergi. Aku sendiri pun terus kayuh basikal dan pulang ke villa.

Punah keindahan pagi aku dengan gurauan aku yang tak menjadi.


********************

Sudah puas aku mengetuk pintu bilik Harraz tapi langsung tak dibuka, sudah puas aku merayu padanya supaya membuka pintu, tapi tak dihiraukan, sudah puas aku telefon dan berharap agar dia akan menjawab panggilanku, tapi dia malah mematikan telefon, sudah puas aku cuba untuk meminta maaf, tapi tak dihiraukan. Besar sangat ke kesalahan yang aku lakukan sekalipun aku tidak sengaja?

Aku berpeluk tubuh di sambil bersandar di pintu bilik Harraz. Mati akal tentang apa lagi yang harus aku lakukan supaya aku dapat bersemuka dengannya. Buntu!. Aku ketuk kepala dengan jari, memarahi diri sendiri. Kenapa la aku gatal sangat nak kejutkan dia tadi? Kalau tak mesti dia takkan terkejut dan takkan terjatuh dalam tasik tu. Ahhh... Irin! Irin.. apasal kau ni tak habis-habis buat benda yang tak berfaedah?

Tiba-tiba aku terasa badan aku bergerak serentak dengan pintu dibuka dari dalam. Aku terus terduduk di atas lantai, betul-betul di pintu memandangkan aku langsung tak menjangkakan yang pintu ini akan dibuka. Aku menyeringai kesakitan, sempat aku mendongak memandang Harraz yang memandangku tanpa perasaan, jauh sekali untuk menghulurkan tangannya membantu aku bangun. Dengan sombongnya dia terus keluar melangkah kakiku yang terjulur keluar.

"Harraz!.." Panggilku. Aku usaha untuk bangun sendiri walaupun aku dah terasa yang punggungku kebas. Pinggangku sakit. Adoi!.

"Harraz... tunggu. Kita tak sengaja buat awak tadi, kita tak sangka yang awak betul-betul terkejut." Kataku sambil mengekori langkahnya. Tanganku masih lagi dipinggang cuba menstabilkan tulang punggungku yang dah macam senget sebelah.

"Harraz.. kita minta maaf ok? Kita sungguh tak sengaja." Kataku masih merayu kemaafan Harraz. Tapi sayangnya aku macam bercakap dengan tiang.

"Harraz..." Panggilku lagi, lirih.

Harraz terus berjalan tanpa menoleh ke belakang sedikit pun!.

"Harraz.. kita minta maaf..." Rayuku lagi. Mengekori kemana saja dia pergi.

"Harraz.. bukan kita yang buat awak terjatuh, tapi awak yang terjatuh sendiri." Kali ini nadaku agak tinggi, geram kerana dia masih buat tak dengar apa yang aku katakan. Ego tinggi melangit.

"Harraz!!..."

"Pap!." Pintu ditutup. Aku terkesima, Aku pandang sekeliling, oh rupanya aku sedang berdiri di hadapan bilik bacaan dan Harraz berada di dalamnya seorang diri. Kenapa sombong sangat Harraz ni? Hal kecik tu pun sampai sanggup tak nak cakap dengan aku? Ok, fine.

"Harraz..ini laki terakhir saya minta maaf kat awak, kalau awak tak nak maafkan jugak, kita jadi musuh sampai bila-bila." Kataku lantang dan terus melangkah menuju ke bilikku. Tak kisah lah dia dengar ke tidak, yang penting kalau dia tetap tak mahu maafkan aku, lepas ni mungkin aku akan kembali jadi Irina dan tuan muda singa yang tak sedar diri itu.  


p/s : Siap! Haih.. penatnya hari ni, sekarang baru boleh dengan tidur lena. >_<  Enjoy reading kawan-kawan. Jangan lupa tinggalkan komen. "Anonymous" jangan lupa letak nama okeh? *wink*

Tuesday, October 4, 2011

Bab 17




Krrringgg..." Jam loceng berbunyi, aku bangun dan mematikan keempat-empat jam yang masing-masing terletak di atas meja di kiri dan kanan katilku. Selak selimut, terus ke bilik air dan mandi. Segala yang aku lakukan pagi ini semuanya diluar kesedaran otakku. Sedar-sedar saja, Ros dah berdiri tegak di hadapan pintu bilik air sewaktu aku ingin keluar setelah selesai mandi.

"Ros, terkejut kita. Kenapa berdiri kat sini?" Soalku. Serius, aku memang terkejut, bukan saja-saja cakap terkejut.

"Saya lagi terkejut, macammana cik muda boleh bangun sendiri dan mandi tanpa saya yang kejutkan?" Soal Ros, berpeluk tubuh sambil mengekori langkahku menuju ke walk-in- wardrobe.

"Salah ke kalau kita bangun tanpa dikejut? Tak lah awak susah-susah nak gerak kita bangun." kataku sambil menyelak-nyelak pakaian yang bergantung untuk memilih pakaian yang sesuai untuk dipakai. Tapi tak jumpa.

"Ros, mana baju kita?" Soalku memusing memandangnya yang sedang berpeuk tubuh di belakangku. Seperti baru tersedar, kelam kabut Ros membuka salah satu laci sebelum mengeluarkan sepasang pakaian sukan untukku.

"Kat mana awak simpan baju kita? Lain kali biar kita je yang ambil baju kita sendiri, tak payah awak susah-susah untuk kita lagi." Kataku ikhlas. Aku juga perlu belajar berdikari di sini. Takkan semuanya nak harapkan Ros je.

"Cik muda, kenapa cakap macam tu. Dah memang jadi tugas saya untuk jaga cik muda kat sini, jadi tak payah risau lah yang cik muda mungkin akan menyusahkan saya atau tak." Kata Ros seolah terasa dengan kata-kataku itu.

"Ros.. baiknya awak ni, tapi awak tak fikir ke yang kita juga sepatutnya perlu belajar berdikari?" Soalku.

"Tak perlu. Saya tak mahu makan gaji buta. Dah la cik muda tak payah nak persoalkan lagi sebab saya tetap takkan benarkan. Sekarang baik cik muda bersiap dan solat cepat sebelum tuan muda mengamuk"

"Haha.. tuan muda nak mengamuk? Kan kita cakap dia dah jadi baik, dia takkan marah kita lagilah." Kataku sambil menyalin pakaian di disebalik tabir langsir yang terdapat di dalam bilik itu.

"Ye lah tu, cik muda kena ingat angin tuan muda tu tak menentu, kalau semalam dia baik, hari ni belum tentu dia akan jadi baik lagi." Balas Ros.

"Tak adanya, kita rasa dia dah betul-betul berubah. Mungkin dia dah dapat terima kehadiran kita dan dia dah tak rasa yang kita ni beban dia. Betul tak?" Kataku sambil menyelak tabir langsir dan memberikan baju basahan berwarna ungu yang aku pakai tadi kepada Ros.

"Ermm.. kalau dah cik muda cakap macam tu, saya nak kata apa lagi kan. Tapi saya cuma nak ingatkan aje. Dah bertahun-tahun saya kerja dengan tuan muda dan perangai dia tak pernah berubah!" Tegas Ros sambil mencapai penyangkut baju untuk menyangkut baju itu di bilik air. Kami masing-masing melangkah keluar dari bilik pakaian ini.

"Jangan risaulah Ros, kita pasti yang dia dah berubah!" Kataku sangat yakin dengan apa yang aku lihat semalam sebelum capai telekung dan menyarungnya. Sejadah aku bentangkan di ruang solat.

"Ya.. saya harap macam itulah" Sempat telinga aku menangkap suara keluhan Ros sebelum aku membaca niat solat subuh.


**********************


Lama aku menunggu Harraz di gazebo, sebab kebiasaannya memang Harraz dulu yang akan menunggu aku di sini, tapi lima minit berlalu Harraz masih belum muncul. Apa aku yang terlalu awal ke?. Sementara nak tunggu dia datang, ada baiknya aku buat sikit regangan dulu, kalau tak nanti bantainya tiba-tiba dia suruh aku berlari pula. Haru..

Selepas buat sikit regangan otot, dan baru buat lari setempat dua tiga kali, aku terdengar seseorang panggil namaku. Aku menoleh, mak su! Alamak..

"Awalnya Irin bangun. Nak jogging ya?" Soal mak su, mesra.

"Err.. ha'ah.. tengah tunggu Harraz ni." Jawabku. Entah kenapa aku masih kekok dengan mak su walaupun aku sangat suka dengan peribadi sebenar mak su yang mesra ini.

"Dengan Harraz? Oh, mana dia?" Mata mak su melilau-lilau memerhatikan sekeliling mencari Harraz. 

"Tak tau dia, mungkin terlambat sikit kot hari ni" Balasku turut memusingkan kepala melihat-lihat sekeliling, kot-kot ternampak Harraz dimana-mana.

"Oh, mak su tak tahu pula tiap-tiap pagi Iman dengan Irin selalu jongging, kalau tak boleh mak su join sekali." Kata mak su, nampak teruja.

Aku telan liur, tak kuduga yang mak su akan menuturkan kata-kata itu.

"Err.. irin tak kisah kan kalau mak su ikut sekali?" Soal mak su lagi ragu-ragu, bila dilihatnya aku diam, tak bereaksi.

"Oh, boleh.. boleh.. tapi mak su kena cakap kat Harraz dulu la, takut dia pula yang tak bagi." Dalihku, sebenarnya aku yang tak mahu mak su ikut kami, cukuplah Harraz seorang yang menderaku, aku tak mahu mak su berkomplot dengan Harraz untuk membuliku pula nanti. Almaklumlah, diorang kan sekutu.

"Ahh.. Iman Harraz takkan kisah punya. Tapi hari ni mak su tak boleh ikut lah, mungkin esok ke."

"Oh, ok.."

"Cik mudaaaa...." Aku dan mak su serentak menoleh ke arah Ros yang sedang berlari kencang ke arah kami, kelam kabut je lagaknya. Dan dia hanya berhenti berlari bila baru terperasan yang mak su sedang berdiri di sebelahku.

"Maaf, puan. Saya tak tahu yang puan ada di sini." Kata Ros, menikus. Aku tersenyum gelihati melihatnya. Dengan aku bukan main lagi nak korek-korek rahsia segala, tapi bila depan mak su ke, depan Harraz ke terus berubah jadi pekerja yang baik dan sopan.

"Jaga sikit imej awak tu. Ingat yang awak ni bukan budak sekolah yang boleh terjerit-jerit berlari sesuka hati kat dalam villa ni." Pesan mak su. Tegas.

"Maaf puan. Saya janji saya tak buat lagi" Kata Ros mengakui kesilapannya sambil menundukkan kepala.

Mak su mengalih pandangan kearahku. Terus aku matikan senyuman dan buat-buat selamba. "Irin, mak su masuk dulu. Nanti jangan lupa bersarapan." Pesan mak su, lembut. Sangat berbeza cara dia menegur Ros dan cara dia menegur aku. Ahh.. tiba-tiba aku rasa diri aku istimewa. Aku mengangguk dan tersenyum. Selepas mak su beredar, Ros kembali berjalan pantas ke arahku dengan reaksi muka gelisahnya.

"Cik muda.. " Panggilnya.

"Kenapa?" Soalku.

"Tuan muda dah lama tunggu cik kat luar. Tadi dia call, tapi cik muda tak bawak telefon. Dia pesan suruh cik muda pergi keluar sekarang!" Gesa Ros.

"Oh, ok." Jawabku tenang. Dan berjalan perlahan menuju ke arah pintu utama villa.

"Cik muda! Jalan cepat sikit. Lari!" Gesa Ros. Tangannya membuat isyarat seperti menghalauku pergi

Aku berhenti berjalan dan memusing memandangnya. "Lari? Awak tak dengar ke apa yang mak su pesan tadi? Jangan berlari kan"

"Saya lainlah, kalau cik muda tak apa kot.. sebab tuan muda dah tunggu kat luar tu, nanti dia marah lagi teruk cik muda kena." Pesan Ros lagi sambil berjalan menghampiriku.

"Dah la, Ros. Awak tak payah risau pasal kita. Biar kita yang uruskan hal dengan Harraz. Awak pergi buat kerja awak ok?" Aku tepuk bahu Ros dan memusing berjalan dengan penuh ketenangan dan karisma. Pintu utama villa yang besar dan tinggi macamlah pintu ini dibina untuk seorang gergasi aku buka. Aku menapak keluar dan berjalan beberapa langkah sebelum aku berhenti di anak tangga pertama. Ada sesuatu yang menarik perhatianku. 

Basikal?

Cepat-cepat aku menuruni tangga dan mendapatkan basikal comel berwarna pink yang mempunyai raga rotan. Berbeza sungguh dengan basikal biasa yang menggunakan raga besi atau raga jaring yang sangat tak tahan lama dan cepat berkarat. Ya, macam basikal lama aku dulu yang dah reput.

Aku berjalan mengelilingi basikal itu, memerhatikan jika ada terselit apa-apa di situ. Mungkin kad, nota, surat atau mungkin ada tertulis namaku di situ. Tapi puas aku menelek satu kad atau nota pun aku tak jumpa. Entah-entah basikal ini bukan untuk aku tak?

Eh, tapi kalau bukan untuk aku, untuk siapa lagi? Takkan untuk Ros pula? Hah.. ataupun untuk mak su?. Eh, tapi takkan mak su suka warna merah jambu? 

"Tak payah la kau nak termenung kat situ, fikir siapa punya basikal sebab basikal tu memang untuk kau." Aku spontan memusing ke belakang bila suara Harraz menampar gegendang telingaku.

"Untuk kita? Betul ke? Siapa belikan?" Soalku, teruja. Tiba-tiba aku jadi macam budak kecil yang pertama kali dapat basikal. Ok, aku teruja sebab aku tak pernah sangka ada orang akan belikan basikal baru untuk aku yang dah besar panjang ni. Bukan ke untuk gadis seusia aku sekarang sepatutnya aku perlu diberikan sekurang-kurangnya kunci kereta?.

Harraz tidak menjawab soalanku sebaliknya dia hanya memandangku tanpa suara. Aku tundukkan kepala pura-pura menelek basikal ini sebab aku malu melihat renungannya yang misteri itu.

"Perlu ke kau tanya macam-macam setiap kali ada orang belikan sesuatu untuk kau?" Soal Harraz.  Aku angkat kepala memandangnya sekilas.

"Perlu, sebab kita nak ucapkan terima kasih." Jawabku.

"Haih... dalam villa ni tak ada orang lain yang kau patut ucapkan tanda penghargaan itu selain kepada atuk." Kata Harraz sedikit mengeluh.

Aku tersenyum lebar. Atuk!, ya mestilah atuk yang membelikan basikal ini. 

"Boleh kita naik?" Soalku, eh. Kenapa aku perlu minta izin Harraz pula ni? Bukan basikal dia pun.

"Naiklah." Katanya sepatah dan memulakan larian mendahuluiku. Aku tersenyum lebar sambil mengayuh basikal itu. Sempat aku menyaingi Harraz sambil melambai ke arahnya. Terlalu asyik mengayuh sehinggakan aku tak sedar yang aku dah pergi terlalu jauh. Jauh daripada trek biasa yang aku dan Harraz selalu lalui tiap-tiap hari. Aku semakin menghampiri ke arah sebuah tasik. Oh, aku tak pernah tau yang keluasan villa ini mampu memuatkan sebuah tasik?.  Aku berhenti di sebuah pohon berdaun. Kalau tasik pun boleh dibina, kenapa tak atuk suruh je orang-orang tu buat sungai sekali kat sini? Lagi best! Tiap-tiap hari aku boleh mandi sungai.

Aku turun dari basikal dan berjalan menuju ke betul-betul di tebing tasik. Pancaran matahari ke arah air yang bergenang memantulkan satu pemandangan yang sangat indah. Cantik!. Lebih cantik lagi bila bunga teratai dibiarkan hidup meliar dalam tasik itu. Oh cantiknya, aku dah jatuh cinta dengan kawasan ini. Aku pejam mata dan tarik nafas dalam-dalam cuba untuk menyerap masuk udara segar dan nyaman di sini ke dalam tubuhku.

Haaaahhh.....

"Cik muda?" Aku tersentak dan terus membuka mata seluas-luasnya sebelum aku memusing ke belakang.

"Oh, pak cik.. kita ingat siapa tadi." Kelihatan pak cik Sibir si tukang kebun itu sedang berdiri di belakangku sambil tersenyum. Aku mengundur beberapa langkah kebelakang untuk berdiri di sebelah pak cik Sibir.

"Cik muda buat apa kat sini?" Soal pak cik Sibir membuka bicara.

"Tadi kita jalan-jalan naik basikal, tak sangka boleh sampai ke sini. Selama kita tinggal kat villa ni kita tak pernah tahu ada tempat cantik macam ni" Kataku meluahkan keterujaanku.

"Kawasan villa ini terlalu luas, mungkin masih banyak lagi tempat dan ruang yang cik muda belum jumpa." Ujar pak cik Sibir dengan pandangan matanya merenung dalam ke arah tasik.

"Hah? Betul ke? Boleh tak pak cik tolong bawa kita tengok sekeliling villa ni?" Pintaku. Sangat teruja.

"Hahahaa.." Pak cik Sibir ketawa. Aku tak nampak apa yang lucunya dengan kata-kataku tadi. Berkerut dahiku memandang muka pak cik Sibir.

"Cik muda ajaklah orang lain yang lebih sesuai, kalau dengan saya nanti timbul salah faham pula.." Pak Cik Sibir menolak secara halus permintaanku. Salah faham? Pak Cik Sibir bukan orang muda yang boleh menimbulkan gosip yang kononnya aku ada skandal dengan dia pun, kalau dengan Harraz tu lainlah.
"Alah, pak cik siapa la yang nak salah faham pun. Hubungan kita dengan pak cik dah macam anak dengan bapak je kan.. Oh, lagi satu, pak cik tak payah la panggil kita cik muda, kan hari tu elok je pak cik panggil Irin..."

Pak CIk Sibir tersenyum lagi. Murah betul orang tua ni dengan senyuman. "Memanggil cik muda dengan nama sahaja pun dah cukup untuk menimbulkan syak wasangka dan fitnah. Saya ambil jalan tengah dengan menjaga batas saya sebagai seorang pekerja." Terang pak cik Sibir. Pelik! Sangat pelik. Kenapa pak cik Sibir asyik membangkitkan soal fitnah dan syak wasangka?

"Ada apa-apa yang kita tak tahu ke pak cik? Kenapa pak cik macam.. skema sangat? Bukan ke dulu dengan ibu kita pun pak cik tak panggil dia puan?" Soalku bertalu-talu. Aku tak mahu kerana statusku ini membuatkan hubungan aku dan pak cik Sibir yang baru ingin terjalin ini terbatas dan terputus begitu saja.

Pak Cik Sibir mengeluh. Berat. "Tak ada apa yang nak disorokkkan dari cik muda, cuma saya baru tersedar yang kadang-kadang saya macam terlalu leka, saya leka yang saya sebenarnya sedang bercakap dengan cucu kepada majikan saya dan saya sepatutnya menjaga batas-batas pergaulan saya." Kata pak cik Sibir lagi, langsung tidak memandangku yang sedang merenungnya.

Aku tergamam sebentar mendengar kata-kata pak cik Sibir itu. Baru saja aku ingin berkawan rapat dengan pak cik Sibir dia pula dah berperangai aneh. Kenapa la aku asyik dipertemukan dengan manusia-manusia aneh di villa ini?. Mula-mula Harraz yang sombong dan garang kini dah bertukar menjadi agak mesra dan lebih berlembut. Mak su yang memandangku sinis pada hari pertama kami dipertemukan kini bertukar peribadi menjadi penyanyang dalam masa kurang dari satu hari, dan sekarang pak cik Sibir pula?.  Apakah mereka semua ni sebenarnya manusia di sebalik topeng? Yang akan bertukar peribadi selepas topeng mereka dibuka?.

"Kalau pak cik nak jaga batas pergaulan dengan kita kenapa pak cik berdiri kat sini? Kenapa pak cik tegur kita tadi? Kenapa tak biarkan saja kita sorang-sorang kat sini? Cara paling baik untuk menjaga batas pergaulan adalah dengan menjauhkan diri dan jangan bercakap dengan kita langsung, jadi hati kita takkan sakit sebab diperlakukan seperti seseorang yang tak ada perasaan" Kataku agak beremosi sambil berpeluk tubuh berdiri menghadap ke arah tasik dihadapanku.

"Maaf kalau kata-kata saya membuatkan cik muda terasa, tapi tadi saya cuma nak pastikan samada cik muda perlukan pertolongan saya atau tidak. Kalau cik muda masih mahu bersendirian di sini, saya minta diri dulu." Kata pak cik Sibir lagi, agak.. bukan agak tapi sangat skema! Dia bukan bercakap dengan perdana menteri, dia cuma bercakap dengan seorang budak perempuan yang boleh diibaratkan seperti anaknya, kenapa perlu skema sebegitu sekali?.

Aku menoleh bila telingaku mendengar seretan langkah kaki pak cik Sibir yang meninggalkan aku sendirian di sini. Dia betul-betul memaksudkan apa yang dikatanya tadi?. Oh, apa masalahnya dengan orang-orang dalam villa ini? Kenapa dia nak jauhkan diri dari aku?

Aku termenung panjang sambil berdiri berpeluk tubuh dan mengeluh, penat. Penat untuk cuba memahami kehidupan dan protokal dalam rumah besar ini. Kenapa semuanya jadi serba tak kena? Apa sebenarnya masalah mereka dengan aku? Aku meraup muka dan berharap yang aku akan dapat jawapan itu sekarang. Sungguh, aku rasa terpinggir.

"Pon..ponn..ponnnnnn" Bunyi hon yang begitu kuat mengejutkan aku, aku menoleh dan melihat Harraz di atas kereta kontot itu sedang sibuk menekan hon sekuat hati sambil memandang ke arahku dengan muka tak puas hati. Huh, hampir luruh jantung aku dibuatnya. Apa pulak masalahnya dengan mamat ni?

Harraz turun dari kenderaan yang dipandu oleh salah seorang tukang kebun sebelum kereta itu meluncur pergi. Aku memandang sekilas ke arah kereta yang sedang berjalan itu sebelum aku kembali memandang ke arah Harraz yang sedang berjalan kearahku. Serius benar mukanya. Harraz berhenti selang dua langkah dihadapanku.

"Sampai ke sini kau pergi ya? Kau tau tak penat aku berlari cari kau tadi?" Soal Harraz, marah. Marah yang comel... 

Aku tersenyum. Tak tahu apa sebenarnya tujuan aku senyum tapi aku suka melihat reaksi mukanya yang sedang marah tapi tak menakutkan langsung macam selalu.

"Apa senyum-senyum? Aku ada buat lawak ke?" Soalnya lagi, masih dengan reaksi muka marah tak menjadi dia tu.

Aku menggeleng. Bibir aku masih degil untuk mengukir senyuman, lantas aku tunduk menyembunyikan wajah. Biar tak nampak dek Harraz. Haiihh.. sekejap saja mood aku boleh berubah. Kalau tadi aku hampir menangis kekecewaan kerana pak cik Sibir, tapi sekarang aku boleh tersenyum senang kerana Harraz. Villa ini misteri kerana ia menyimpan seribu satu kisah dengan peribadi yang pelbagai.

"Senyumlah kau sampai puas. Malas aku nak layan" Kata Harraz sebelum dia berjalan ke arah tasik, berdiri tegak sambil memasukkan kedua tangannya ke dalam kocek seluar.  Aku mengheret kaki untuk berdiri di sebelahnya. Aku intai muka Harraz yang lebih tinggi dariku ini. Dia sedang memejamkan mata seolah sedang menikmati keindahan pagi ini. Seperti yang aku lakukan tadi sebelum diganggu oleh pak cik Sibir.

Sekali lagi bibir aku tersenyum. Entahla.. aku asyik tersenyum je bila nampak Harraz pagi ni. Macam ada sesuatu yang lain dalam dirinya. Macam Harraz yang berdiri di sebelahku sekarang ini, bukan tuan muda Iman Harraz yang garang, yang tegas, yang sombong, yang suka menjatuhkan hukuman dan yang suka menengking, tapi cuma Iman Harraz yang menjadi dirinya sendiri, yang... peribadi sebenarnya masih belum aku ketahui.

Iman Harraz.. siapa kau sebenarnya?

Tiba-tiba Harraz celikkan mata dan terus memandang tepat ke mukaku, tanpa sempat untuk aku mengalihkan pandangan. Erkk.. kantoi sudah.

"Apa yang kau tengok?" Soalnya.

"Ha.." Aku garu kepala. "Tak ada apa-apa" Aku mengalihkan pandangan ke arah lain. Aduh.. malunya.
Harraz kembali memandang ke arah tasik dan berdehem perlahan. "Aku tahu la yang aku ni kacak, so tak payah la kau nak tenung aku sampai macam tu sekali.." Katanya, sinis.

Aku ketuk kepala sendiri dengan jari. Irin, Irin.. apasal yang kau pergi tenung dia lama-lama tadi. Bahaya tahu tak??? Eeeiii... malu! malu! Rosssss... 

Harraz mengerling jam di tangannya. "Jomlah balik, dah lewat ni." Katanya dan mula mengatur langkah. Aku yang baru tersedar dia dah pergi cepat-cepat berlari mengikut langkahnya kemudian berpatah balik sebab aku terlupa yang aku sebenarnya ada bawak basikal. Sementara aku nak ambil basikal, Harraz pun dah semakin jauh meninggalkan aku. Laju betul dia berjalan. 

Aku kayuh basikal laju-laju untuk menyaingi langkahnya di depan sana. "Harraz!.." Panggilku, ingin menyuruhnya berhenti berjalan jadi kami boleh naik basikal sama-sama. "Harraz!" Sekali lagi aku memanggil, barulah dia menoleh. "Tunggu la.." Pintaku. Kayuhan basikal makin kuat aku kayuh. Tapi Harraz buat tak tahu dan terus berjalan tanpa mempedulikan aku. Ish.. sombong betullah mamat ni. Dah berubah jadi tuan muda pulak ke apa..

Kayuh punya kayuh dan kayuh, akhirnya berjaya juga aku bersaing dengan Harraz. Heh, sepantas mana pun dia berjalan takkan mampu untuk melawan kelajuan kayuhan basikal aku ni. "Harraz, naiklah.." Kataku. Harraz memandangku sekilas sebelum memandang basikal aku dan seterusnya memandang ke hadapan kembali.

"Jauh tu awak nak berjalan, naik je la. kita boleh bawa awak.. Atau kalau awak tak selesa, awak boleh bawa kita. Nak?" Pelawaku. Harraz diam, macam aku sekarang bukan bercakap dengan dia. Sombongnya....

"Harraz!, kita cakap dengan awak ni." Protesku.

"Hishh, bisinglah kau ni, dah bawak basikal tu, naik je la sorang-sorang. Sibuk ajak-ajak aku kenapa.." Rungut Harraz. Aku terdiam. Aku punyalah seikhlas hati nak tolong dia, taknak dia susah-susah berjalan kaki, macam itu pulak katanya. Kalau tak nak naik, cakap je la tak nak. Bukan susah pun nak cakap elok-elok.

Harraz mengerling memandangku. Aku langsung tak bersuara lagi tapi aku masih memperlahankan kayuhan untuk berjalan seiring dengannya. 

"Alahhh.. merajuk pulak. Ye la, ye la, aku naik. Hah, berenti la.." Kata Harraz selepas beberapa kali aku melihatnya tak senang berdiri.

Aku berhentikan baasikal dan turun darinya. Untuk memberi peluang kepada Harraz untuk menunggang.

"Apasal aku pulak kena bawak, kau la bawak aku" Katanya. Oiishh.. mamat ni, tak gentleman langsung!. Aku kembali menaiki basikal dan menunggu Harraz pula yang membonceng. Tapi dua tiga kali dia asyik berpusing-pusing sambil memerhatikan seat basikal itu saja. 

"Naiklah, jangan risau basikal ni mampu tanggung orang yang lebih berat dan lebih besar daripada awak tau." Kataku cuba menyakinkannya.

Percaya dengan kata-kataku Harraz duduk perlahan sambil memegang besi di bawah seat tempat aku duduk. "Dah?" Soalku.

"Hemm .. Jangan bawa laju-laju sangat Irin, aku tak yakin dengan basikal kau ni." Kata Harraz lagi.

"Jangan risaulah!" Kataku dan mula mengayuh. Kayuhan pertama pun dah terasa sangat berat, kayuhan kedua aku dah terasa macam kaki aku nak tercabut. Kayuhan ketiga pedal basikal langsung tak boleh berpusing. Ahhh.. beratnya dia.

"Apasal tak berjalan ni?" Soal Harraz.

"Beratlah. Awaklah bawak kita." Pintaku lalu turun dari basikal.

"Eh, apasal aku pula? Kaulah bawak" Katanya.

"Kita tak larat nak bawak awak lah, awakla bawak kita."

"Tak ada, tak ada, kau bawak basikal kau, aku berjalan." Katanya lalu bangun dari basikal dan mula mengatur langkah. Pelik!.

"Apasal awak tak nak bawak?" Soalku. Harraz diam, terus saja menonong berjalan.

"Awak tak reti bawa basikal ke?" Soalku lagi. Soalan spontan.

Automatik Harraz berhenti berjalan. Dia memandangku, dengan pandangan yang sukar untuk dimengertikan. Er.. aku tersalah cakap ke atau terbetul teka?

"Kalau kau banyak tanya lagi, aku humban basikal kau kat dalam tasik tu." Ugut Harraz perlahan. Sikit-sikit ada lagi sifat tuan muda singa dia tu. Lalu dia kembali menyambung langkah. 

"Habis kalau awak reti bawa kenapa awak tak nak bawa kita?" Aku memang takkan puas hati selagi aku belum tahu apa alasan Harraz yang membuatkan dia tak mahu mengayuh basikal ini. 

"Irinnnn kau jangan buat sampai aku betul-betul campak basikal baru kau tu." Ugut Harraz lagi lebih keras.

"Ok, kalau awak tak nak cakap tak apalah. Awak tak kisah kan jalan kaki sorang-sorang sebab kita nak pergi dulu. Kalau lambat nanti awak marah pulak." Aku pula cuba mengenakannya.

Harraz tak membalas apa-apa, lalu aku terus mengayuh basikal dan meninggalkannya seorang diri di belakang dengan muka masam. Aku yakin pasti ada sebab kenapa dia tak mahu bawa basikal ini. Aku menoleh lagi kebelakang, memandang Harraz. Matahari dah semakin meninggi, jalan kaki ke villa bukan dekat, kesian pula aku tengok dia jalan sorang-sorang. Ah, patah baliklah!.

"Harraz awak pasti ke tak nak naik basikal dengan kita?" Soalku. Harraz pamer muka bosan. 
"Kau ni memang tak serik-serik kan? Bak sini basikal tu, biar aku bawa" Pintanya kasar sambil menarik handle basikal. Hampir saja aku terjatuh akibat tindakan drastiknya.

"Huishh.. kalau minta elok-elok pun bukannya kita tak nak bagi." Rungutku lalu turun dari basikal. Membiarkan Harraz menaikinya dan aku duduk di tempat duduk belakang. Lima saat berlalu, basikal ini masih belum bergerak.

"Kenapa tak jalan?" Soalku.

"Sabarlah!" Marah Harraz. Shis, tanya sikit pun nak marah. 

Perlahan basikal ini mula berjalan, tapi sekejap ke kiri, sekejap ke kanan, melilau-lilau. Aku yang duduk kat belakang pula yang panik!. 

"Kenapa ni Harraz?" Soalku.

"Mana aku tau basikal kau ni, handle dia tak reti duduk diam" Jawab Harraz, juga kedengaran panik dari nada suaranya.

Handle basikal tak reti duduk diam? Memang lah handle tu bergerak, orang yang bawaklah kena kawal.. Betul ke tak betul Harraz ni?. "Awak peganglah kuat-kuat" Jeritku.


"Tekan breklah."

"Mana brek??" Jerit Harraz, makin panik sebab kami hampir menuju ke arah pokok bunga di tepi jalan.

"Brek kat situ laa..aaaaa.." Jeritku beserta jeritan panjang sebab basikal tak dapat dikawal lagi, terus melanggar pokok bunga renek yang dicantas cantik di tepi jalan itu. Aku terduduk di atas aspal, Harraz pula sempat bangun dari basikal sebelum basikal itu terjatuh ke atas jalan dengan tayarnya yang berpusing.

Kami masing-masing kelu. Aku pandang basikal baruku yang dah tersadai atas jalan. Kemudian aku pandang muka Harraz yang blur. Hanya dua perkara bermain difikiran ku sekarang. Satu, Harraz tak pandai bawak basikal. Dua, Harraz memang tak pernah langsung bawak basikal. Dan kemungkinan untuk kedua-dua persoalan itu benar adalah sangat besar.

"Kan aku dah cakap jangan paksa aku bawa basikal, tengok sekarang apa dah jadi?" Kata Harraz menyalahkan aku.

"Mana la kita tau yang awak tak pandai bawak basikal, kenapa awak tak cakap je tadi!" Balasku, geram dengannya.

Kami terdiam lagi, merenung tayar basikal yang sudah pun berhenti berpusing. Tiba-tiba satu perasaan nakal mengusik hatiku, Harraz tak pandai bawak basikal? Hehehe.. Aku tergelak, perlahan.

"Apasal kau gelak?" Soal Harraz, serius.

Aku tak jawab soalannya sebaliknya aku semakin galak ketawa dan ketawa, makin panjang, makin semangat. Harraz tak pandai bawak basikal? Hahaha...Tuan Muda Iman Harraz yang selalu nampak hebat dihdapan orang-orang bawahannya sebenarnya tak pandai bawak basikal? Hihihihi.... Tuan Muda Iman Harraz yang suka menghukum orang itu sebenarnya tak pernah bawak basikal? Hahahahaha.... ini cerita sensasi yang harus diceritakan kepada semua rakyat jelata di villa. 

"Irin kau jangan nak sakan gelakkan aku sangat, Karang aku hukum kau jangan keluar dari bilik langsung baru kau tahu" Ugut Harraz. Ya, kalau sebelum ni aku mungkin akan seram sejuk mendengar hukumannya itu, tapi sekarang aku dah tahu kelemahan Harraz, tak ada apa yang nak ditakutkan dengan hukumannya itu.

"Irin!" Jerit Harraz lagi. Geram bila aku masih belum berhenti ketawa.

"Ok..ok.." Kataku cuba untuk berhenti ketawa tapi sangat sukar. Sakit perut aku.

"Irina Imani, kalau kau tak berhenti ketawa sekarang jangan salahkan aku kalau aku buat sesuatu yang kau akan menyesal seumur hidup!" Kali ini Harraz mengugutku dengan suara yang mendatar tapi penuh maksud tersirat yang menakutkan. Spontan aku berhenti ketawa. Dia nak rogol aku ke?.

"Heh, boleh pulak diam?" Sindir Harraz.

Aku telan liur dan bangun. "Awak nak buat apa?" Soalku. Takut-takut.

"Perlu ke aku bagitau kau? Angkat basikal tu, pergi balik villa" Arahnya, macam biasa. Aku tahu yang aku dah tak perlu takut dengan Harraz tapi buat masa sekarang mungkin lebih selamat kalau aku pulang ke villa sekarang sebelum dia melakukan sesuatu yang akan membuatkan aku menyesal seumur hidup. 
Selamatkan diri!.

Aku angkat basikal dan cepat-cepat terus naik dan kayuhnya laju.

"Irin! Jangan kau cerita kat sesiapa pasal ni kalau kau tak nak menyesal seumur hidup."  Jeritnya walaupun aku langsung tak menoleh ke belakang. 

*****************

Waktu makan tengahari selepas kelas makeover bersama cik Faezah, atuk tanyakan padaku tentang basikal baru yang dibelinya itu.

"Irin suka basikal baru Irin?" Soal atuk.

Aku mengangguk. "Suka sangat, terima kasih atuk.." Kataku sambil menyuap nasi ke mulut. 

"Eh, kenapa ucap terima kasih kat atuk pula?" Soal Atuk, pelik. Terhenti kunyahan makanan dalam mulutku bila dengar atuk cakap macam tu. Dah atuk belikan, mestilah kena ucap terima kasih kat atuk.

"Irin, kau kena makan sayur banyak-banyak baru sihat... " Kata Harraz tiba-tiba sambil mencedok sup sayur campur ke dalam pingganku. Bukan sikit, tapi banyak. Dia dah tahu yang aku tak suka makan sayur, lagi dia nak kenakan aku. 

"Eh, eh.. kenapa banyak sangat. Cukup, cukup!" Aku cuba menghentikan pergerakan tangan Harraz yang sedang mencapai salad segar pula untuk dimasukkan ke dalam pingganku.

"Mana cukup tu, kalau nak jadi sihat dan kuat kena makan lagi banyak sayur." Kata Harraz, tak dihiraukan aku yang sibuk menepis tangannya daripada memasukkan sayur ke pingganku.

"Ishhh.. kita tak naklah! Atuk..." Aku memandang atuk meminta simpati.

"Hahaha.. betul la cakap Harraz tu, kalau nak sihat Irin kena banyak makan sayur." Kata atuk menyokong perbuatan Harraz. Aku pandang muka Harraz yang tersengih bangga. Dia rasa dia dah menang lah tu?.

"Kenapa? irin tak suka makan sayur ke?" Soal mak su yang duduk di sebelahku.

Aku menggeleng dengan reaksi muka kelat, pohon simpati.

"Lah.. bak sini, bagi mak su je makan kan untuk Irin" Pinta mak su dengan menarik pingganku ke pinggannya. Aku tersenyum lebar, membalas pandangan Harraz yang sedang membuat mimik muka menyampah.

"Azie.. kenapa tak biar je Irin makan sayur." Tegur atuk, tak setuju dengan cara mak su.

"Orang tak suka mana boleh dipaksa-paksa ayah, kan Irin?" Soal mak su, memandangku. Aku mengangguk sangat setuju.

Aku jelir lidah kepada Harraz sebagai tanda kemenanganku. Harraz membalas pandanganku dengan muka menyampah. 

"Oh, Iman, bila Irin free? Sebab mak su ingat nak bawak Irin keluar, pergi shopping! Dah lama tak rasa nikmat bershopping dengan kawan-kawan, maklumlah, makin meningkat usia ni, kawan-kawan pun lari, masing-masing sibuk dengan hal sendiri. Nak tak Irin?" Soal mak su kepadaku.

Aku mengangguk laju. Siapa yang tak mahu keluar membeli belah, tambah-tambah lagi dengan mak saudara sendiri yang dah lama tak jumpa, mesti seronok sebab boleh kongsi pengalaman dan kesukaan masing-masing. 

"Saya tak boleh nak cakap bila Irin free sebab jadual dah ditetapkan dan hari-hari pun padat, tapi kalau mak su dah tetapkan hari saya boleh ubah jadual tu." Jawab Harraz.

"Oh, kalau macam tu lusa, seharian mak su nak keluar dengan Irin. Boleh?" Soal mak su.
Harraz menundukkan kepala seperti sedang berfikir. Aku sabar menunggu jawapan darinya. Boleh la, boleh la...

Harraz angkat kembali kepalanya dan memandang mak su, "Bolehlah.." Katanya. Aku tersenyum senang. Yeay! Tak sabar nak pergi keluar dengan mak su esok!.

"Ok, set ya lusa jadual Irin hanya dengan mak su sahaja." Kata mak su kepada Harraz, juga teruja.
"Boleh, tapi dengan satu syarat." Balas Harraz, membuatkan kami semua memandang ke arahnya. Tertanya-tanya apa pula syarat yang harus kami patuhi?.

"Irin kena makan sayur ni sampai habis!" Kata Harraz sambil memandangku dengan reaksi muka jahat. Aku terlopong. Syarat apa macam ni...

Aku pandang mak su, meminta pertolongan. "Sorry Irin, mak su tak boleh nak buat apa-apa"
Aku pandang atuk, tapi atuk cuma angkat bahu, tak mahu masuk campur. Aku pandang pak cik Ghazi yang senyap tidak bersuara sejak tadi. Tapi pak cik Ghazi hanya tersenyum. Arrgghh.. pada siapa lagi aku nak minta tolong ni?

"Irin kalau kau tak makan sayur tu, kau takkan kemana-mana esok" Kata Harraz mengingatkan aku sambil mencedokkan sayur-sayuran ke dalam pinggan aku. Aku bukannya alergik dengan semua sayur pun, sekurang-kurangnya kangkung, pucuk paku dan pucuk ubi masih menjadi sayur kegemaran aku tapi.. tekak aku macam tak boleh terima dengan sayur-sayur bandar ni. Rasanya macam kelat sangat. 

"Come on Irin.. ingat plan kita esok" Mak su memberi semangat kepadaku.

"Cuba Irin, cucu atuk mestilah kena berani" Kata atuk pula. 

"Heh.. nak makan sayur pun takut." Sindir Harraz.

Fine, demi mak su aku cuba!, perlahan aku kuis sayur campur itu yang aku pun tak tahu apa namanya dengan sudu, perlahan juga aku masuk ke mulut, kunyah dan telan. Dan lagi dan lagi sehingga habis. Puas hati aku. Yang penting lusa, Harraz tak boleh halang aku untuk keluar dengan mak su lagi. Tidak dengan syarat bodoh dia tu!

"Habis!," Kataku lemah. Err.. sebenarnya taklah teruk sangat nak makan sayur.

Mak su tepuk tangan bagi pihakku. Harraz peluk tubuh dan mencebikkan bibir, mungkin tak sangka yang aku berjaya menyahut cabarannya. Atuk cuma ketawa dan pak cik Ghazi tersenyum. Suasana di meja makan sekarang ini sangat ceria. Sepanjang tempoh aku tinggal di sini, ini pertama kali aku rasa suasana ceria seperti ini.

"Irin.. tolong papah atuk boleh?" Pinta atuk, memandangkan kami masing-masing sudah habis makan. Tanpa banyak soal aku bangun dan membantu atuk bangun dari kerusinya.

Bila kami dah berjalan keluar dari ruangan makan, atuk berkata sesuatu padaku yang membuatkan aku senyum sampai ke telinga.

"Tahniah Irin, Harraz dah banyak berubah dan atuk percaya yang atuk tak salah pilih Irin sebagai mangsa dia. Hahaha..." 

"Atuk ni.." Aku menampar lembut lengan atuk. Aku mangsa Harraz kata atuk?.





p/s : Yessss!! Berjaya update setiap 3 hari sekali. Sebagai tanda penghargaan, apa kata korang tinggalkan komen banyak-banyak, untung-untung aku semakin bersemangat nak update tiap-tiap hari.. *wink* hehe